Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1, Buku 2 dan Buku 3.


Wednesday, March 06, 2013

Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari rumah ke Kota Bahru melawan sakit dan demam

Dalam artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Bermotosikal solo meredah banjir dan hujan lebat yang dibuat 5 hari lalu telah diceritakan secara umum satu perjalanan yang dibuat ketika itu untuk melaksanakan suatu misi. Sekarang biar diceritakan lebih terperinci, dari hari ke hari...


Jam 1 tengah hari Selasa 26 Februari 2013, setelah hampir 2 minggu memikirkan perjalanan terbaru  ke Kota Bahru, Kelantan saya pun bersedia untuk  memulakannya menunggang motosikal besar seorang diri. Kalau ikut rancangan asal saya mahu bertolak 10 pagi. Tetapi disebabkan saya telah berjanji, sebelum berlepas mahu menyerahkan kertas kerja dan sejumlah isi pembentangan dari acara HIKMAH I di Shah Alam 4 November 2012, HIKMAH II di Melaka 25 November dan HIKMAH III di Lumut 27 Januari 2013 saya telah bersengkang mata sehari suntuk dari pagi Isnin membawa ke pagi Selasa. Kemudian ada pula sedikit kerja lain yang perlu diselesaikan, hampir jam 11 pagi baru siap.


Bayangkan selepas kepenatan membuat kerja 24 jam gitu dan tidak tidur-tidur lagi saya harus menunggang motosikal seorang diri lebih 500 km untuk ke KB. Laluan dari rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang harus melalui lebuh raya MRR II di sekitar Batu Caves, Kuala Lumpur. Dari rumah ke situ hampir 40 km, dari situ ke KB sekitar 490 km. Tidak cukup itu saya juga telah berjanji untuk menghantar terus sejumlah buku tulisan saya ke rumah seorang pembaca di Kota Damansara. Beliau telah membayar kos penuh satu set buku "Berpetualang ke Aceh", satu DVD "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874", senaskah buku mewah "Rumah Azan", juga "Kereta Api Menuju Destinasi" secara on-line.

Selain itu beliau juga telah membayar untuk senaskah buku "Ahlul Bait and the Malay Sultanates" yang merupakan terjemahan serta adaptasi dari buku "Ahlul Bait dan Raja-raja Melayu" karangan sahabat saya Tun Suzana Othman. Buku ini harus saya ambil dari penerbitnya di sekitar Batu Caves kemudian dihantar melalui poslaju berdekatan. Selepas itu baru saya rasa cukup ringan untuk meneruskan perjalanan. Kelihatan dalam gambar sebahagian Batu Caves apabila saya keluar dari pejabat poslaju untuk masuk kembali ke MRR II menghala ke lebuh raya Karak.



Ketika itu sudah jam 2.42 petang. Nah. Memang saya dah lari jauh dari rancangan asal mahu bertolak pagi. Sejurus sebelum susur masuk ke MRR II hujan mula turun renyai. Saya pun berhenti di stesyen minyak berdekatan. Sambil mengisi minyak, saya berteduh mengharapkan hujan berhenti sepenuhnya sebelum membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan memakai baju hujan. Kelihatan nombor menarik pada meter motosikal...


Kalau ikut rancangan asal saya harus sudah sampai ke Raub, Pahang sekitar jam 12 tengah hari untuk menikmati hidangan istimewa ikan keli gulai asam rong yang cuma boleh didapati di sana. Sebaliknya saya keluar dari Lembah Kelang pun dah jam 3 petang, terpaksa pula meredah hujan lebat. Separuh dari diri saya sudah pasrah, mungkin tidak dapat menikmati hidangan kegemaran yang cuma sesekali sahaja dapat dirasai kerana ia biasanya sudah habis sekitar 2 petang. Namun hati saya juga berdoa semoga Allah SWT memberi rezeki agar saya tidak kempunan.

Kelihatan dalam gambar motosikal diletakkan dalam kawasan perhentian bas di Bentong sekitar 4 petang, lagi 40 km untuk ke Raub. Saya mahu berteduh sebentar kerana hujan terlalu lebat. Oh. Lupa nak beritahu. Selain kepenatan akibat tak cukup rehat saya sebenarnya sedang demam dan sakit bisa-bisa badan. Selepas hujan dilihat renyai, tidak lagi begitu lebat. Saya pun menyambung perjalanan. Tengok-tengok lepas saja dari pekan Bentong hujan kembali lebat. Begitulah keadaan sehingga hampir ke Raub.


Syukur alhamdulillah Allah tidak menghampakan hajat dan harapan hambaNya ini. Mungkin kerana doa seorang musafir itu senang termakbul apalagi dalam rangka kerja misi untuk menjayakan acara yang bertujuan mahu menyatukan umat Melayu dan Islam? Sampai di Raub saya terus menuju ke Simpang Kallang di mana terdapat dua buah kedai makan yang biasa menjual hidangan ikan keli gulai asam rong. Ketika itu jam 5 petang Kedai kegemaran saya sudah habis hidangan tersebut. Nasib baik kedai di sebelah ada sedikit stok yang baru disimpan ke dalam peti ais. Kalau ikutkan kedai itu dah nak tutup. Tetapi setelah diberitahu saya sangat berhajat nak makan ikan keli asam rong penjaga kedai pun menghidangkan lalu menunggu sehingga saya selesai makan...


Selepas itu cuaca agak baik, cuma sesekali ada hujan renyai. Kelihatan dalam gambar kawasan pergununan berdekatan Merapoh, menghampiri sempadan Ulu Kelantan. Ketika itu sudah jam 6.30. Saya sudah pasrah cuma akan dapat sampai ke KB lewat malam.


Selepas Raub saya ada berhenti lama di Gua Musang di mana saya menjamakkan solat Zuhur dan Asar sebelum menunggu matahari tenggelam untuk menjamakkan Maghrib dan Isyaq. Di situ juga saya mandi lalu bertukar pakaian bersih. Perjalanan diteruskan dengan tidak memakai baju hujan kerana kelihatannya langit akan cukup terang buat beberapa jam. Tengok-tengok saya kena basah juga... akibat meredah banjir yang melanda sebahagian jalan besar di Kuala Krai.

Gambar banjir tidak saya ambil. Mana nak ambil sedangkan fikiran saya cuma tertumpu pada hendak melepaskan diri dari banjir apalagi perjalanan masih jauh dan ketika itu sudah hampir jam 10 malam! Semasa di Gua Musang saya telah diberitahu jalan di Kuala Krai yang terletak sekitar 64 km dari KB telah dilanda banjir sedalam paras lutut orang dewasa. Namun saya juga diberitahu itu adalah keadaan ketika jam 6 petang. Harusnya bila saya sampai nanti ia sudah cukup surut.

Memang ketika saya sampai ia sudah surut tapi masih hampir sekaki dalam. Ketika hendak meredah itulah air naik terpercik, habis basah stokin, kasut, sebahagian seluar dan terkena juga baju. Selepas kawasan banjir saya berhenti sebentar untuk makan malam. Selepas itu baru kesan tidak cukup rehat, demam, hujan dan banjir begitu terasa. Sepanjang perjalanan ke KB saya menggigil-gigil kesejukan, gigi dan gusi asyik terketap-ketap.


Bukan senang wooo menunggang motosikal seorang diri dalam kegelapan lewat malam menggigil-gigil begitu lebih 60 km. Campur perjalanan dari rumah ke Kota Damansara mencari rumah pembaca untuk menghantar buku sampai ke Kuala Krai pun saya sudah menunggang lebih 500 km, sampai ke KB harus lebih 560 km. Sepanjang ingatan inilah perjalanan paling jauh menaiki motosikal pernah saya buat hampir terus-menerus. Seingat saya paling jauh saya menunggang sebelum berhenti berehat lalu bermalam di mana-mana tempat adalah sekitar 300 km.

Kalaulah tidak kerana memikirkan janji mahu menghadiri mesyuarat pagi esoknya tentang penganjuran HIKMAH IV di Kandis, Bachok, kemungkinan besar saya akan bermalam di Gua Musang. Kalau ikutkan di Kuala Krai pun saya boleh bermalam sebelum berkejar ke Kandis kerana sudah tidak terlalu jauh... tapi saya juga sudah memasang niat untuk bermalam dan beriktikaf di Masjid Tok Kenali, Kubang Kerian, KB. Sudah ada seorang kenalan anak Kelantan menunggu untuk beriktikaf sama. Alhamdulillah, memikirkan keadaan yang dilalui meredah banjir dan hujan lebat dalam keadaan demam, bisa-bisa badan kemudian menggigil-gigil kesejukan dapat juga sampai ke KB selepas 11.30 malam.



No comments: