Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, June 21, 2012

Bengkel kajian naskhah kesultanan Melayu Selangor di Muzium Alam Shah

Assalamualaikum. Sempena hari ini 1 Syaaban biar dipersembahkan artikel ke 1,001 di blogspot ini. :]


Baru-baru ini saya telah ke Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam.


Ada bengkel 2 hari kajian naskhah kesultanan Melayu yang bermula pagi Selasa.


Mengikut maklumat yang tertera juga yang didapati dari Facebook, ia bermula 8 pagi sedangkan saya sampai 9.30.


Nasib baik ketika itu masih lagi peringkat pembukaan dan alu-aluan.


Bengkel sebenar bermula dengan sesi pertama sekitar jam 11 iaitu selepas makan pagi.


Mengikut rancangan asal ia sepatutnya dibuka oleh Profesor Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd. Yusoff Hj. Hashim dari Melaka dengan makalah bertajuk "Naskhah-naskhah kesultanan Selangor". Tetapi beliau kurang sihat dan tidak dapat muncul. Sebaliknya yang awal naik ke pentas adalah Encik Zaidin (ke Saidin?) dari Arkib Negara. Beliau mewakili Encik Azemi Abdul Aziz yang asalnya dijadualkan menjadi pemakalah ketiga dengan tajuk "Sumber-sumber bahan di arkib negara Malaysia berkenaan negeri Selangor".Menurut beliau, arkib menyimpan lebih 4 juta dokumen penting tetapi cuma sekitar 60,000 sahaja sudah dimanfaat sebagai kajian. Katanya lagi arkib memiliki rekod-rekod paling lengkap tentang negeri Selangor setelah zaman penjajahan British

Pemakalah kedua adalah Dr. Arbaiyah Mohd. Nor dari Universiti Malaya dengan tajuk "Selangor dalam naskah Melayu". Menariknya, beliau yang asalnya harus menjadi pemakalah keempat membuka dengan menceritakan bahawa nama Selangor ada disebut dalam kitab Sulalatus Salatin tetapi pada versi Raffles 18 sahaja, dalam cerita mengenai kedatangan Tun Jana Khatib ke Singapura sebelum ia diserang todak. Dalam kitab versi itu ada disebut Tun Jana Khatib disebut bersahabat dengan Tuan di Bungoran dan Tuan di Selangor. Walhal malam sebelumnya saya memang terfikir mahu membangkitkan  hal itu.

Ini kerana versi-versi lain  seperti Sejarah Melayu @ Sulalatus Salatin oleh pengkaji Barat zaman penjajahan, Shellabear dan Sulalatus Salatin versi moden terbitan pelajar yang diselenggarkan A. Samad Ahmad berdasarkan 3 naskah lama simpanan Dewan Bahasa Pustaka menyebut sahabat-sahabat Tun Jana Khatib adalah Tuan di Bungoran dan Tuan di Samalanga. Saya telah membaca sampai habis ketiga-tiga versi dan ada membuat perbandingan antara setiap versi. Ada pengkaji sudah lebih awal berbuat begitu sehingga saya pernah terbaca buku menyebut Tuan Jana Khatib bersahabat dengan Tuan di Bungoran dan Tuan di Samalanga (Selangor)... Selangor sengaja disebut dalam kurungan selepas Samalanga...

Adapun Samalanga itu adalah wilayah yang masih wujud dengan nama sama di Aceh. Dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai ia menjadi tempat permulaan cerita wujudnya Merah Silu yang kemudian bergelar Sultan Malikus Saleh. Cerita serupa ada disebut di dalam kitab Sulalatus Salatin dan penulisnya Bendahara Johor Tun Sri Lanang kemudian bermastautin di sana di mana beliau dijadikan pemerintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh lalu bergelar Ampon Syeikh Samalanga. Saya sudah lama tertanya-tanya. Apakah hal Selangor disebut dalam kurungan selepas Samalanga itu petunjuk bahawa satu kaitan lama antara kedua negeri pernah wujud, kaitan yang boleh ditafsirkan sebagai hubungan purba Aceh dengan Selangor?

Pemakalah seterusnya adalah Profesor Abdullah Zakaria Ghazali (ketiga dari kiri dalam gambar), juga dari UM dengan tajuk "Surat-surat Sultan Abdul Samad". Kajian beliau menunjukkan bagaimana sultan selalu sahaja meminta pendapat penasihat Inggerisnya dalam menangani urusan negeri. Kenyataan ini membuat saya sedikit sangsi apakah kenaikan Sultan Abdul Samad sebagai Sultan Selangor ke 4 menggantikan mertuanya Sultan Muhammad ada udang di sebalik batu? Kerana ramai juga tahu ada calon lain untuk menaiki takhta tetapi kemudian dipinggirkan entah atas sebab apa.

Di hujung kanan adalah pengerusi sesi, Dr. Harun Mat Piah. Prof. Abdullah sebenarnya dijadualkan menjadi pemakalah ketiga sesi petang tetapi menukar gilirannya ke pagi kerana ada hal lain selepas itu. Semasa makan pagi, sebelum bermula sesi ini, saya sempat bertanya kepada beliau tentang nama Selangor dalam Sulalatus Salatin versi Raffles tetapi Samalanga dalam versi lain. Kata beliau ini mungkin disebabkan kekaburan tulisan pada naskah asal yang berhuruf jawi. Beliau berpendapat versi Raffles yang silap, Tuan di Samalanga yang tepat.

Perkara ini saya bangkitkan semasa sesi soal jawab. Dr. Arbaiyah pula berpendapat versi Raffles yang menyebut Selangor itu lebih tepat kerana ia versi awal. Versi lain yang tersilap. Hmm...


Ini pula adalah gambar sesi petang yang bermula jam 2.30.


Kelihatan dalam gambar pengerusi majlis Dr. Taufiq Arridzo diikuti  Dr. Mardiana Nordin dari Akademi Pengajian Melayu UM (tajuk makalah : "'Hikayat Negeri Johor' sebagai sumber sejarah Selangor"), Dato'  Dr. Abu Hassan Shah ("Tokoh dan episod-episod Selangor dalam Tuhfatun Nafis"), Puan Effah Imtiaz Zainol ("Koleksi khazanah kesultanan Selangor") dan Puan Halimah Hassan ("Salasilah Datuk Engku Klang"). Secara rata pembentangan dibuat menurut jadual asal kecuali kelompongan akibat Prof. Abdullah bertukar ke sesi pagi diisi Puan Effah yang asalnya merupakan pemakalah kedua sesi awal itu.

Dr. Mardiana yang pertama kali saya temui membuat satu pembentangan agak kontroversi tentang salasilah diraja Perak (lihat artikel lama Satu sisi lain salasilah Raja-raja Perak - Fantasi gila atau ada yang tersirat?) memberitahu bagaimana manuskrip yang dilabelkan sebagai "Hikayat Negeri Johor' sebenarnya lebih banyak menceritakan sejarah Selangor sebelum kesultanannya bermula secara rasmi tahun 1766. Dato' Abu Hassan pula menyebut nama tokoh-tokoh yang tidak asing buat saya, maka saya tidak terasa menerima ilmu baru kecuali mengingatkan apa yang sudah terlupa. Sambil itu saya berkira-kira hendak bertanya tentang barang pertabalan Sultan Selangor yang dipanggil Keris Beruk Berayun kepada Puan Effah kerana tajuk makalahnya berkenaan koleksi kesultanan itu. Sangka saya mungkin beliau bekerja dengan istana. Rupa-rupanya Puan Effah adalah daripada Perpustakaan Negara dan koleksi yang dimaksudkan adalah naskah-naskah lama di pusat manuskrip sana


Ini pula adalah Cikgu apa (saya lupa namanya) yang rajin bertanya apabila muncul sesi soal jawab. Saya terlupa apa yang saya sendiri tanya untuk sesi kali ini. Ah... baru ingat. Salah satu pertanyaan saya adalah berkenaan keluasan sebenar negeri Selangor semasa kesultanannya di bawah raja-raja berketurunan Bugis bermula pertengahan abad ke 18 Masihi. Saya bertanya kerana pernah mendapat mimpi yang membayangkan Selangor ketika itu adalah wilayah di selatan Sungai Selangor sementara tanah di utara sungai masih termasuk di dalam negeri Perak. Tetapi saya tidak memberitahu khalayak tentang mimpi itu. Lihat artikel Mimpi pelik Kuala Selangor... yang dibuat 2 tahun lalu.

Cikgu ini kemudian menawarkan untuk menjawab pertanyaan saya. Beliau memberi statistik keluasan negeri Selangor menurut batu/km persegi, ekar dan hektar seperti yang pernah dilihatnya dalam beberapa tulisan pada masa yang berlainan. Nampaknya beliau bukan menjawab pertanyaan saya tetapi mahu menunjukkan kepada khalayak betapa tanah milik Melayu semakin berkurangan. Ini berlaku akibat pemilikan orang berketurunan asing yang kelihatan semakin menjadi-jadi, pemilikan yang dibenar oleh orang Melayu sendiri yang sudah gelap mata...  


Ini pula gambar sesi pagi hari seterusnya iaitu Rabu. Sesi bermula jam 9 tetapi saya meninggalkan rumah yang terletak sekitar 40 km dari Shah Alam pun selepas 9.30. Hasilnya saya terlepas pembentangan tiga makalah.


Ketika saya sampai pembentang keempat dan terakhir sesi, Dato' Zainal Abidin Borhan sedang bercakap tentang "Adat dan budaya dalam teks kenang-kenangan Selangor". Saya pula agak terkilan kerana terlepas pembentangan Dr Harun Mat Piah yang bertajuk "Riwayat Tengku Musauddin - Hubungan dua teks hikayat dan sejarah". Ini kerana ia melibatkan satu topik yang sangat kontroversi dalam sejarah kesultanan Selangor moden. Adapun Tengku Musauddin itu adalah kerabat diraja paling kanan untuk menggantikan ayahandanya almarhum Sultan Sulaiman. Tetapi Inggeris yang nampaknya memiliki muslihat tertentu menaikkan adiknya Sultan Hishammudin Alam Shah dan daripada sultan inilah terbit keturunan yang memerintah sekarang.

Tengku Musauddin pernah diangkat menjadi Sultan Selangor apabila Jepun berkuasa di Tanah Melayu 1942-1945. Tetapi baginda diturunkan oleh Inggeris selepas Pihak Perikatan (Amerika, Inggeris @ British. Peranchis dan Rusia) menang Perang Dua Kedua dan Sultan Hishammudin dinaikkan kembali. Asalnya Dr Harun dijadualkan membentangkan kertas kerjanya waktu petang. Sebaliknya beliau ditukarkan menjadi pembuka sesi pagi diikuti Prof. Madya Dr. Ahmad Jelani Halimi (dua dari kiri) dengan tajuk "Surat-surat Francis Light (Hubungan Pulau Pinang dan Selangor)" dan Prof. Madya Dr. Sanat Md. Nasir ("Aspek bahasa Melayu dalam teks kenang-kenangan Selangor"). Dua dari kanan adalah pengerusi sesi Prof. Madya Dr. Jelani Harun.


Jam 11, selepas makan pagi sesi seterusnya dimulakan. Dinyatakan sebagai sesi keempat keseluruhan bengkel ia dibuka oleh Prof Jelani Harun dengan tajuk "Adat segala hamba orang lari di dalam Selangor berasaskan salina manuskrip oleh Edouard Dularier 1840".


Tetapi saya cuma teringat mahu mengambil gambar apabila pembentang kedua Prof. Datuk Dr. Zainal Kling menonjolkan makalahnya "Kesinambungan sistem kerajaan Melayu : Kajian perlembagaan Selangor". Sesi yang dipengerusikan Prof Ahmad Jelani ini diikuti pembentangan oleh Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim (dua dari kiri) yang bertajuk "Selangor dalam Hikayat Pelayaran Ibrahim Munsyi" dan Prof Madya Dr. Saiful Bahri Md. Radzi yang duduk paling kanan ("Si Tenggang, batu belah batu bertangkup dan cerita-cerita asal nama dan tempat : Suatu perbincangan terhadap folklor Selangor").

Pembentangan Prof. Zainal menarik perhatian kerana menyebut tentang bidang kuasa raja yang selama ini yang kelihatan sengaja diketepikan atau dilupakan. Apabila masuk sesi soal jawab saya pun bertanya berkenaan itu... setakat mana raja di Selangor mahupun di mana-mana di Malaysia ini dapat bertindak mempertahankan hak orang Melayu jika parti-parti politik dari sebelah mana pun tidak lagi boleh diharap lantaran keadaan semasa yang terasa lebih berpihak kepada keturunan bangsa asing. Prof. Zainal agak berhati-hati menjawab. Namun mesejnya jelas. Walaupun ada takrifan perlembagaan dan undang-undang yang agak kabur mahupun bertindih boleh digunakan oleh ahli politik untuk berbuat sesuka hati mereka, hakikatnya ada peruntukan untuk para raja mengatasi segala permainan politik jika mereka sendiri ada kesedaran dan kekuatan diri untuk melaksanakannya.


Sesi terakhir diadakan selepas makan tengah hari, bermula jam 2.30 gitu.


Pembuka sesi, Puan Intan Salina Idrus dari Muzium Sultan Alam Shah bercerita tentang "Kesenian telepuk warisan kesultanan Melayu Selangor". Pengerusi, Dr. Ibrahim Ghaffar duduk di tengah diikuti Dr. Mohd. Supian Sabtu (pembentang terakhir dengan makalah "Mata wang kesultanan Selangor") dan pembentang kedua, Dr. Mohd Taufik Arridzo ("Kitab Tazkiyat al-Anzar wa Tasfiyat al-Afkar karangan Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abd al-Rahman al-Fatani - Shaykh al-Islam Selangor : Melibas fatwa salah"). Seperti biasa, selesai sesi saya mengambil peluang untuk bertanya, kali ini dengan soalan khusus untuk setiap pembentang atau ahli panel. Namun pada saya soalan yang paling ringan tetapi paling bermakna adalah apabila saya bertanya kepada Puan Intan setakat mana pernah wujud hubungan antara Aceh dengan Selangor. 

Saya tergerak bertanya ini kerana dalam pembentangannya, beliau ada menyebut tentang pakaian rasmi seorang sultan yang memiliki ciri-ciri Aceh selain Bugis. Hubungan dengan Bugis sudah sedia diketahui ramai lantaran raja-raja Selangor berketurunan Bugis. Tetapi hubungan dengan Aceh. Daripada jawaban yang diberi nampaknya perkara ini belum dikaji. Mungkin tidak ada keperluannya? Entahlah.

Lalu satu soalan yang terbuku dalam hati saya simpan begitu sahaja... tentang kenapa Aceh pernah meminta pertolongan Selangor untuk menangani apa yang disebut sebagai pemberontakan orang Dusun di sana. Sehingga Raja Muda Selangor pada zaman Sultan Ibrahim (1780an-1820an gitu), Raja Nala ibni Sultan Salehuddin dihantar ke Aceh lalu mangkat di Aceh, Raja Nala yang seorang anaknya Raja Busu Hassan pernah menguasai perlombongan biji timah di Lukut tetapi akhirnya mangkat bersama keluarganya dibunuh pelombong Cina...


Bengkel dua hari ini ditutup selepas 4.30 oleh Orang Besar Daerah Gombak, Dato' Paduka Raja Dato' Hj. Wan Mahmood Pa'Wan Teh. Beliau mengambil semangat sejarawan dengan menceritakan bagaimana ketika mudanya begitu tidak sukakan subjek sejarah kerana merasakan ada yang tidak kena tentangnya... bagaimana beliau pernah disuruh menjadi cikgu sejarah tetapi membantah kepada guru besarnya yang berbangsa Inggeris kerana tidak percaya dengan kurikulum yang dikemukakan lalu di'denda' menjadi guru senaman sahaja. Namun dengan bengkel ini beliau mendapati ada semangat kuat untuk memperbetulkan sejarah yang selama ini telah dipesongkan lalu menyatakan minat baru terhadap subjek ini.

Oh. Saya terlupa satu perkara. Sepanjang bengkel ada kecenderungan kuat untuk pembentang dan peserta menceritakan semangat perjuangan kental orang Bugis menentang penjajah sehingga sukubangsa itu sering dituduh sebagai lanun. Maklumlah apabila menceritakan hal kesultanan Selangor kita tidak akan dapat lari daripada cerita orang Bugis kerana yang merajai Selangor itu sendiri keturunan Bugis. Peliknya setelah bercerita sampai ke perenggan ini tidak banyak yang saya perihalkan tentang semangat tersebut sedangkan darah Bugis saya sendiri berkobar-kobar (selain berdarah Aceh saya juga berdarah Bugis malah darah Aceh itu sendiri datang daripada apa yang dipanggil "raja-raja Aceh Dinasti Bugis") apabila terbangkit hal perjuangan Melayu melawan penjajah dari Barat. Apapun cukuplah saya berkongsi bab bengkel naskah kesultanan Selangor. Cukuplah ini sebagai artikel ke 1,001 di blogspot ini. Takkan hendak dipanjangkan jadi cerita Arabian Nights 1,001 malam! :]




No comments: