Apapun saya hendak beritahu video tersebut panjangnya hampir 30 minit. Ia adalah video pertama mahu dipersembahkan setelah mendapat tawaran lebih 15 minit namun dengan peralatan kurang berkuasa yang ada, ia mengambil masa 6 jam untuk dimuatnaik. Pada ketika menulis ayat ini masih ada 4 jam untuk menunggu. Itu yang membuat saya ingin mengenengahkan dahulu satu siri kecil berdasarkan perjalanan di Muar yang dibuat ketika cuti panjang Hari Raya Cina baru-baru ini.
Sebenarnya siri kecil ini memang mahu diketengahkan nanti, menunggu masa sahaja untuk dibuat setelah sekurang-kurangnya 3 lagi artikel baru siri "Mencari jejak Merong" disajikan untuk tatapan pembaca. Artikel Mencari jejak Merong : Kesan yang ditinggalkan di Perlis? yang dibuat Jumaat malam Sabtu merupakan yang ketiga setelah siri menerima selingan berupa 2 buah artikel berdasarkan koleksi gambar bulan Januari 2011 dan satu artikel tentang buku terbaru saya yang baru keluar di pasaran "Kereta Api menuju destinasi" (lihat Mencari makna di sebalik Januari yang santai?, Meredah hujan dari Tanjung Sepat ke Jugra dan Kelang - Mengenang nasib Sultan Musa dan Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi). Cuma cadang saya biarkan ia tidak 'dikacau' sekurang-kurangnya 3 hari. Tapi tadi timbul gerak rasa untuk memuatnaik video yang sudah lama disimpan atas sebab tertentu. Masa yang lama untuk proses membuat saya terasa elok juga cerita-cerita berdasarkan apa yang berlaku cuti Raya Cina disajikan sekarang. Mari... :]
OK. Mereka yang sudah biasa dengan penulisan saya tentu faham gerak bercerita saya selalunya keluar untuk melancarkan sesuatu dalam fikiran dan hati. Maka itu saya turut sahaja apa yang timbul walaupun mungkin kelihatan kurang relevan pada sesetengah orang. Khamis malam Jumaat 3 Februari 2011, setelah puas berehat di rumah kami anak-beranak keluar menghala ke selatan. Jalan senyap sunyi terasa aman dan seronok untuk memandu...
Walaupun cuti Raya Cina telah bermula sejak siang, walaupun isteri saya sendiri sebenarnya telah mula bercuti hari Rabu kami memilih untuk berjalan lambat kerana satu, malas nak berlumba dengan orang lain yang balik kampung, takut kesesakan lalu lintas teruk (yes. saya elakkan penggunaan perkataan traffic jam, kiranya nak practice cakap Melayu tanpa campur-aduk Inggerislah konon). Kedua, sehari dua itu memang kami terasa malas nak keluar rumah. Dah lepas jam 10 malam Jumaat baru nak bergerak. Singgah le pusing-pusing sebentar di tengah bandaraya Kuala Lumpur melihat suasana ketika ramai orang dah balik kampung.
Kami makan malam lewat di restoran selepas tol lebuhraya Plus di Sungai Besi.
Kemudian baru kereta meluncur laju...
Keluar lebuhraya di tol Alor Gajah kami menuju ke pusat bandaraya Melaka.
Bukan apa, dah hampir setengah tahun rasanya tak singgah di Masjid Kampung Hulu.
Beriktikaflah kami sebentar sebelum menziarahi makam Syed Abdullah di hadapan masjid juga makam Sheikh Shamsuddin Sumatrani kira-kira 300 meter dari situ.
Perjalanan diteruskan ke Muar. Singgah minum di satu restoran yang kebetulan ada nama "Istana". Mungkin ada kena-mengena dengan apa yang akan berlaku siang hari?
Siangnya saya bersolat Jumaat di Masjid Kampung Treh yang terletak tidak jauh dari rumah ibubapa di Kampung Temiang.
Sementara imam membaca khutbah saya sempat memanjat Bukit Treh yang terletak di belakang masjid...
Semasa turun dari satu bahagian lereng, baju saya tersangkut pada ranting.
Gerak hati saya menyebut itu tanda supaya berhenti sebentar lalu meneliti tembok yang ada dengan lebih dekat. Allah! Saya sudah banyak kali memanjat bukit ini. Baru tersedar tembok ini didirikan menggunakan batu karang. Selama ini saya lebih memandang bahagian tembok lain yang kelihatan lebih moden, mungkin buatan zaman Inggeris. Tapi tembok batu karang menandakan sesuatu yang jauh lebih lama, nanti akan dihuraikan di bawah.
Selesai majlis kami makan di sungai (bukan parit ya) hadapan.
Bukan apa. Seronok duduk kat atas tembok. Al-Rasyid pun suka tengok air...
Kembali dari majlis kami mendapat panggilan ada saudara-mara yang mahu bertemu tetapi mereka sedang bertandang di rumah seorang datuk saudara saya tidak jauh dari Bukit Treh. Kami pun singgah, dapat juga menziarahi datuk saudara yang merupakan saudara tertua masih hidup, juga orang tertua di Kampung Temiang dan sekitarnya. Sekarang biar diterangkan tentang apa yang tersurat dan tersirat di batu karang. Hmm... saya rasa rujuk dahulu pada artikel Mencari jejak Dinasti Al-Kamil di Muar : Empayar Khalifah Sharif yang sebenar? yang dibuat setengah tahun lalu.
.......... Dah baca dah? Baca le sebab saya sebenarnya malas nak menerangkan banyak kali. Nasib baik dua hari lepas saya ada menulis cerita berkaitan untuk satu projek buku baru. Jadi biar disalin kembali di sini ya (yay... saya tak guna perkataan copy and paste). Harap ia dapat menjelaskan lagi bab istana lama itu...
Bukit Treh menjadi saksi
Kehadiran tembok panjang dari batu karang di tengah Bukit Treh boleh dijadikan bukti bahawa satu tamadun lama pernah wujud di sekitar ini dengan bukit kemungkinan besar menjadi pusat. Batu karang juga menjadi bukti kawasan berdekatan pernah menjadi laut. Bukan senang untuk mencari batu jenis ini dalam jumlah yang banyak untuk dijadikan tembok. Bukan senang pula mahu mengangkutnya lebih 5 km dari garis pantai sekarang jika tidak kerana semasa tembok didirikan pantai terletak cukup dekat. Ini bukan sahaja menunjukkan kewujudan laut atau perairan Selat Melaka berdekatan dengan bukit, ia menunjukkan tembok telah dibina pada satu zaman yang agak lampau. Kalau kisah Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman mahu diselarikan dengan satu cerita rakyat dari Sumatera yang menyebut tentang seorang raja bernama Sultan Muhammad Al-Kamil meninggalkan Bandar Khalifah (kini dalam Aceh) lalu membuka kerajaan baru di Muar, ia harus berlaku sekitar 700 tahun lalu. Kalau kewujudan tembok dikira sebahagian dari istana sebuah kerajaan besar menurut pendapat sesetengah pihak ia merujuk pada zaman yang lebih lampau, abad ke 8-9 Masihi.
Kesan istana di puncak bukit jika benar pun pernah ada telah pupus dengan pembinaan loji air Inggeris yang kini tidak lagi dipakai. Namun Bukit Treh terus menjadi saksi pelbagai perkara sejak sekian lama. Kedudukannya sebagai satu-satunya tanah tinggi dalam lingkungan 5 km dari bandar Muar sekarang (bukan Muar purba yang mungkin terletak lebih pendalaman) malah satu-satunya bukit dalam lingkungan 11 km dari kuala Sungai Muar menjadikannya tempat yang amat istimewa. Walaupun tingginya tidak seberapa cuma sekitar 80 kaki sahaja dari paras laut, ia menjadi terserlah di ketika seluruh kawasan sekeliling rata-rata hanya mendatar belaka.
2 ulasan:
salam brader...
nak tumpang tanya la...shamsudin sumatrani dgn shamsudin pasai adakah org yg sama?
Wassalam. Yep orang sama. Makamnya dekat tepi rumah Munshi Abdullah kat belakang satu tokong besar tu dalam 300-500 meter dari Masjid Kampung Hulu. Cuba tanya orang kat sana...
Catat Ulasan