Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Jun 20, 2013

Jejak Bugis di Pontian - Dari Parit Raja ke Parit Betak

Salam semua wahai para pembaca yang dimuliakan. Pada penghujung artikel Antara Janda Baik, Bukit Tinggi dan Hospital Sungai Buloh yang dibuat Rabu minggu lepas saya ada menyebut bahawa pada Jumaat itu atau pagi Sabtu akan berlepas ke Johor  menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu di Parit Raja, Batu Pahat kemudian membawa adik-beradik ibu dan keluarga mereka berjumpa saudara-mara dari keturunan Daeng Betak di Pontian. Malam ini malam Jumaat bolehlah saya bercerita...


Awal pagi Sabtu 15 Jun 2013, saya dan keluarga pun memulakan perjalanan ke selatan. Seperti halnya  satu setengah bulan kebelakangan sejak mengalami kecederaan teruk kaki, isteri yang memandu kereta. Anak kecil kami Johan dibiarkan duduk di hadapan.


Ini dibuat agar dia tidak bergaduh dengan abangnya Rasyid yang disuruh duduk di belakang. Kalau saya memandu isteri akan duduk di sebelah mendukung Johan, abangnya sendirian di belakang. Sejak saya cedera isteri harus memandu dan selalu juga saya duduk di sebelah, maka Johan harus duduk di belakang. Mereka tu ada masa ok. Tapi bila dah berebut ruang yang lebih selesa, mulalah bergaduh tolak-menolak menggigit dan sebagainya.


Namun untuk perjalanan jauh seperti yang dilakukan ketika pergi ke Terengganu untuk HIKMAH V 5-8 Jun dan kembali lebih elok saya duduk di belakang. Jika duduk di hadapan kaki saya harus diletakkan ke bawah dan jika terlalu lama ia akan membengkak disebabkan kecederaan yang memakan masa untuk pulih. Kalau duduk di belakang saya boleh meletakkan kaki ke atas sedikit, sekurang-kurangnya di atas tempat duduk. Sesungguhnya perjalanan jauh amat mencabar buat diri saya yang sedang cedera. Allah sahaja yang tahu bagaimana rasanya bila kaki mula berdenyut-denyut kesakitan ditambah bila jalan kurang lancar kereta bergegar atau terhentak-hentak. Kalau tak kerana tanggungjawab dan memenuhi harapan orang, tentu saya tak keluar rumah...


Sesungguhnya perjalanan lebih 1,000 km untuk menjayakan HIKMAH V itu sendiri sudah cukup mencabar dan menyakitkan, perjalanan yang dibuat selepas baru sahaja seminggu kaki saya dibedah masuk besi. Ia bukan sahaja mencabar bagi saya tetapi juga untuk isteri yang harus memandu sendirian, mengangkut segala barangan keperluan, menjaga dua orang anak kecil sambil menjaga diri saya yang dalam keadaan seperti OKU, Orang Kurang Upaya. Untuk perjalanan ke selatan beliau dijangka harus memandu lebih 800 km, kali ini dalam tempoh kurang 2 hari. Apapun kami sampai ke tempat tujuan pertama iaitu Parit Raja, Batu Pahat sekitar 10.30 pagi, ketika majlis pernikahan sepupu  masih lagi berlangsung.


Selepas majlis pagi kami berehat di homestay berdekatan hingga 2 petang kemudian kembali ke rumah pengantin untuk majlis bersanding.


Oh. Saya sudah sebut bukan selepas itu akan membawa adik-beradik ibu dan keluarga mereka berjumpa saudara-mara dari keturunan Daeng Betak di Pontian? Adapun ini merujuk pada moyang saya sebelah ibu... nama bapa kepada ibu adalah Ismail bin Hussin bin Betak atau Daeng Betak yang mana saya baru dapat tahu beberapa tahun lalu pernah membuka tempat bernama Parit Betak di Pontian. Dari situ saya mula menjejak saudara-mara belah sana lalu terjumpa sejumlah mereka. Lihat artikel Ke selatan sempena cuti Hari Buruh - Salasilah sebelah ibu, makam Malim Deman, pertemuan Sungai Muar/Jempol dan tetamu misteri di makam Tuan Tulis yang dibuat lebih 2 tahun lalu.


Sejak saya mengenali saudara-mara dari Pontian itu adik-beradik sebelah ibu sudah menyimpan hajat mahu berjumpa mereka. Tetapi belum ada kelapangan atau masa yang sesuai kerana ramai antara mereka menetap di Lembah Klang, agak jauh untuk ke Pontian mencari orang yang belum pernah mereka kenali dan jumpa. Majlis kahwin sepupu di Parit Raja memberilan peluang kerana letaknya cuma sekitar 30 km sahaja dari Parit Betak. Oleh kerana saya sahaja ahli keluarga yang mengenali mereka, nak tak nak saya harus menunjukkan jalan.



Kami sampai ke rumah saudara di Parit Betak sekitar 4.30 petang. Sebelum ini saya pernah sampai bersama isteri dan Rasyid (ketika itu Johan masih dalam perut) penghujung 2011. Lihat artikel Kembara Johor-Riau : Muar, Singapura, Parit Betak. Biar diberitahu lawatan ketika itu dibuat sejurus sebelum kami pertama-kalinya pergi ke Pulau Bentan, Riau, Indonesia untuk menziarahi makam raja-raja Bugis di sana sambil mencari petunjuk lebih lanjut tentang nasab Bugis sebelah ibu.


Sudah disebut bukan bahawa Parit Betak ini dibuka oleh seorang moyang saya bernama Daeng Betak? Saudara-mara yang mahu ditemui di sini adalah keturunan beliau. Biar ditambah bahawa Daeng Betak ini dikatakan berketurunan Daeng Parani, saudara tertua Lima Daeng Bersaudara yang sangat terkenal dalam sejarah Empayar Johor-Riau-Lingga terutama pada abad ke 18 Masihi. Lihat artikel lama Kaitan Daeng Parani dengan keluarga sebelah ibu. Semasa di Riau penghujung 2011 itu saya mendapat sedikit lagi petunjuk. Lihat artikel Kembara Johor-Riau - Makam-makam di Hulu Riau dan alamat salasilah ibu.



Kali ini, setelah beberapa lama baru keluarga sebelah ibu dapat berkenalan dengan saudara-mara di Parit Betak. Menarik sungguh memikirkan ini akhirnya terjadi setelah saya dan isteri membuat perjalanan ke Tanah Bugis 3-12 Mei 2013. Lihat artikel pengenalan Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat.


Cerita tentang perjalanan di Tanah Bugis itu belum dikembangkan lagi di blogspot saya. Insyaallah penceritaan bersiri akan dimulakan tidak lama lagi. Saya mahu melepaskan dahulu cerita "Jejak Bugis di Pontian" yang ada 2 bahagian juga menyelesaikan beberapa cerita tentang HIKMAH V di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Di atas adalah gambar beramai-ramai yang diambil setelah hampir 2 jam berbual-bual dalam rumah berkenalan dan bertukar cerita.


Diharap ini adalah permulaan kepada ikatan silaturrahim yang lebih erat. Sesungguhnya ada banyak cerita keluarga yang hilang perlu digali. Antara kewujudan keluarga di Pontian dengan keluarga belah saya di Muar seolah-olah ada kehilangan 20-40 tahun cerita yang tersembunyi. Bayangkan, di kalangan saudara mara di Parit Betak ini ada seorang yang umurnya cuma tua setahun lebih tua dari saya tetapi berpangkat datuk saudara. Dia mengatakan Daeng Betak memiliki 7-8 isteri yang diketahui yang mana dari 4 yang beliau kenali terbentuklah keluarga di Parit Betak, seorang melahirkan ayahnya yang beliau kira selama ini adalah anak paling tua kepada Daeng Betak.

Namun yang dikatakan anak paling tua itu dikira lahir tahun 1917, sama tahun datuk saya sebelah ibu lahir. Sedangkan datuk yang bernama Ismail itu berpangkat cucu. Jadi bagaimana tu? Anak Daeng Betak yang mereka anggap paling tua selama ini sebenarnya sebaya dengan seorang cucu yang tentunya datang dari isteri lebih awal yang memberikan anak jauh lebih tua tetapi tidak pernah diketahui kewujudannya oleh saudara-mara di Parit Betak kecuali setelah diceritakan saya. 

Datuk saya memiliki beberapa orang kakak yang lebih tua sementara ayahnya pula ada sekurang-kurangnya seorang abang. Sebenarnya perkara ini tidaklah terlalu pelik kerana ada berlaku abang tertua jarak umurnya lebih 20 tahun dengan adik bongsu. Ini kita bercerita tentang adik-beradik yang seibu sebapa. Apalagi kalau si bapa itu ramai isteri? Ketika umur 20 tahun sudah berkahwin, masuk umur 40 tahun ada lagi isteri baru, masuk umur 60 tahun kahwin lagi? Kalau dah begitu apa hendak dihairankan kalau ada adik-beradik lain ibu yang umurnya berbeza 40 tahun? Apa nak hairan bila abang dapat cucu, sambil itu dia juga dapat adik baru lalu cucu dan adik boleh jadi sebaya?



Rabu, Jun 12, 2013

Antara Janda Baik, Bukit Tinggi dan Hospital Sungai Buloh

OK. Sampai masa untuk kembali menulis, setelah 8 hari siri tentang perjalanan ke Tanah Suci 1-12 April ditutup melalui artikel kompilasi Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat.... Kalau ikut giliran penulisan tentang perjalanan ke Makassar/Tanah Bugis 3-12 Mei harus menyusul kini (rujuk artikel pengenalan Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Satu pengenalan pagi Jumaat yang dibuat 5 hari setelah kembali dari sana). Namun saya rasa selagi tidak selesai menyajikan artikel-artikel tentang acara kelima HIKMAH yang berlangsung di Kuala Terengganu 5-8 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) (baru siang tadi dimulakan penceritaan) lebih baik cerita perjalanan Makassar/Tanah Bugis ditangguhkan. Dengan itu biar dibuat satu cerita yang sangat kena-mengena dengan keadaan saya sekarang...


Ini adalah gambar ketika pertama kali masuk wad di Hospital Sungai Buloh, Isnin 27 Mei 2013. Seingat saya ini adalah kali pertama harus masuk menjadi pesakit di mana-mana wad hospital mahupun klinik. Saya masuk kerana esoknya dijadualkan mahu menjalani pembedahan masuk besi akibat kecedaraan kaki. Rujuk artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot yang dibuat pada hari saya mengalami kecederaan 23 April lalu. Setelah beberapa lama mengalaminya baru tahu kecederaan adalah lebih serius dari yang disangkakan lalu saya tiada pilihan kecuali dibedah masuk besi.


Dua hari sebelum masuk hospital saya dan keluarga keluar berjalan ke negeri Pahang. Ia adalah kali pertama berjalan agak jauh setelah dilanda kecederaan yang ada diceritakan agak terperinci pada bahagian terakhir artikel HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Dari dunia di luar matriks ke dinar dan dirham, dibuat di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) siang tadi.


Diikuti seorang rakan perempuan yang membawa seorang anak menaiki kereta lain kami masuk ke Janda Baik.


Ia adalah kali pertama saya dan keluarga ke tempat ini tahun 2013... terus menuju ke rumah penulis buku politik, Syed Hussein Al-Attas @ S.H. Alattas @ Pak Habib.


Kami picnic di tepi sungai, dalam kawasan rumah.


Ketika picnic inilah Pak Habib lalu dan menegur kami. Beliau baru tahu saya kecederaan kaki namun apabila diberitahu saya akan menganjurkan acara kelima HIKMAH di Kuala Terengganu tidak lama lagi beliau mengaku tahu kerana katanya ada mengikuti perkembangan diri saya melalui Internet.


Sesungguhnya tanah seluas 8 ekar diapit bukit dan sungai tempat Pak Habib membuat sekelompok rumah rehat berserta taman yang indah ini sentiasa segar dalam kenangan. Di sinilah saya pernah menetap awal 2002 hingga pertengahan 2005 sambil menolong Pak Habib menyiapkan sejumlah buku beliau. Dalam tempoh inilah saya mengutip ilmu cara-cara membuat buku. Walaupun dalam sesetengah hal saya tidak sekepala dengan Pak Habib yang dipanggil Abah, beliau tetap seorang insan yang pernah membantu saya mengenal lebih banyak tentang kehidupan.


Dahulu di sini, dan kemudian hampir setiap kali apabila bertandang di Janda Baik saya akan mengambil peluang mandi sungai. Kali ini apa boleh buat dengan kaki berbungkus begini? Tak pernah disangka akan mendapat kecederaan yang tidak pernah dialami sebelum ini, kerana selalu terasa diri cukup kuat dan lasak... boleh melompat ke sana ke mari tanpa menghadapi masalah, terlupa yang usia sudah menjangkau 43 tahun lalu tidak sekuat zaman muda lagi...


Puas mandi kami singgah ke rumah lama milik almarhum Raja Ashman ibni Sultan Azlan Shah Perak yang dibawa dari Gunung Semanggol sekitar atau lebih 10 tahun lalu.


Rumah ini dijaga oleh seorang kawan. Tengok-tengok dia dan beberapa orang tetamu sedang bersedia untuk jamming...


Ah. Dah berapa tahun tak jamming bersama kawan-kawan. Selalunya saya suka main lead guitar. Sesekali boleh gak layan vocal. Lihat video di atas.


OK. Tujuan kami keluar ke Pahang ini sebenarnya adalah untuk menyahut pelawaan seorang kawan agar bermalam di satu tempat di Bukit Tinggi. Kami ke Janda Baik dahulu kerana ia terletak hampir dalam perjalanan.


Kami agak ragu-ragu juga apabila jalan masuk yang ditunjukkan kelihatan mencabar. Sedangkan saya dan keluarga cuma naik kereta kecil  Kenari, bukan 4WD.


Ternyata selepas jalan kurang elok terdapat bahagian panjang bersimen, cuma agak curam. Apabila dah sampai baru terasa cukup berbaloi masuk ke dalam.


Manakan tidak? Pemandangan di sini memang cantik apalagi malam itu bulan mengambang...


Lihat sahaja pergunungan yang kelihatan, Banjaran Titiwangsa dari tengah kawasan tinggi hutan. Pada awal pagi kabus dan awan memberikan kesegaran.


Keluar sahaja bilik mata sudah disapa keindahan. Lihat artikel A private retreat at Bukit Tinggi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH..


Esoknya Isnin 27 Mei saya pun masuk wad bersedia untuk menghadapi pembedahan. Namun petangnya harus keluar kerana pembedahan ditangguh ke hari Khamis akibat ramai orang sakit lebih memerlukan perhatian, Rabu baru masuk balik wad. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan pembedahan dapat diadakan dengan jayanya selepas Zuhur hari Khamis. Pagi Sabtu saya disahkan cukup sihat untuk keluar hospital, petangnya dapatlah kembali ke rumah.

Gambar di atas  diambil pada malam setelah kembali. Ketika itu baru tersedar dapat keluar itu pada tarikh 1 Jun, hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim dari Kedah. Pada pagi Rabu 5 Jun iaitu seminggu lepas dapat berlepas ke Kuala Terengganu bersama keluarga untuk HIKMAH V. Hari Jumaat atau pagi Sabtu 15 Jun ini pula saya dijadualkan ke Johor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang sepupu di Parit Raja, Batu Pahat. Insyaallah selepas itu akan membawa adik-beradik ibu dan keluarga mereka berjumpa saudara-mara dari keturunan Daeng Betak di Pontian.


Selasa, Jun 04, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat...


Alhamdulillah. Pada Ahad lepas tamatlah penceritaan siri "Ziarah dan umrah 2013" yang telah dimulakan lebih sebulan lalu. Sekadar mengingatkan, cerita meliputi tempoh perjalanan yang dibuat 1-12 April. Sekarang bolehlah dikumpulkan links cerita-cerita berkaitan. Untuk rekod saya sendiri ini adalah artikel ke 1,113 di blogspot ini.

Dengan ini juga saya boleh memberikan sepenuh tumpuan pada acara kelima HIKMAH yang akan diadakan di Kuala Terengganu 5-8 Jun. Insyaallah esok kami sekeluarga akan berlepas ke sana untuk menyertai majlis yang akan bermula selepas Maghrib, malam Isra' dan Mi'raj. Rujuk artikel Final update sebelum acara - HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu 5-8 Jun di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Semua dijemput hadir memeriahkan suasana. 

































31. Ziarah dan umrah 2013 - Keseronokan berada lama di Gua Hira' dan Jabal Nur

32. Passing over Aceh, the land known as the verandah of Mecca

33. Ziarah dan umrah 2013 - Sampailah masa untuk kembali


Ahad, Jun 02, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Sampailah masa untuk kembali

Pada artikel sebelum ini Ziarah dan umrah 2013 - Keseronokan berada lama di Gua Hira' dan Jabal Nur juga artikel sebelumnya Ziarah dan umrah 2013 - Ke Hudaibiyah sebelum bermalam di Gua Hira ada diberitahu hal saya akan berehat dari menulis buat beberapa hari. Apa yang berlaku sebenarnya adalah saya dijadualkan menjalani pembedahan kaki di hospital hari Selasa lalu harus masuk wad hari Isnin. Tetapi pembedahan kemudian ditunda ke hari Khamis lalu saya harus keluar dahulu dari hospital sebelum masuk kembali hari Rabu.

Ketika keluar sebentar itulah saya menyelesaikan cerita tentang Gua Hira' dan Jabal Nur. Kini saya sudah selamat dibedah selepas Zuhur hari Khamis dan semalam dibenarkan kembali ke rumah. Malam ini, setelah lebih sebulan memulakannya, biarlah siri "Ziarah dan umrah 2013" ini ditamatkan...


Pagi Khamis 11 April 2012 saya dan isteri keluar untuk membeli-belah sedikit barangan akhir.


Jam 10 pagi kami kembali ke hotel untuk mengemas dan menyiapkan barangan. Hari ini kami dijadualkan meninggalkan Mekah untuk ke Jeddah lalu mengambil kapal terbang kembali ke Malaysia. Selepas penundaan lebih satu hari perjalanan (rujuk kembali artikel Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda... yang dibuat lebih sebulan lalu) saya berharap agar penerbangan kembali juga ditunda buat tempoh masa serupa agar dapat berada satu hari lagi di Mekah. Nampaknya tak dapat jugak. Tak dapatlah merasa hari Jumaat di Mekah.


Selepas bersiap kami harus melakukan Tawaf Wida' iaitu tawaf perpisahan di Baitullah. Maka tengah hari itu bergegaslah kami ke Masjidil Haram.


Bas ke Jeddah dijadualkan bertolak jam 5 petang. Sebaik sahaja selesai Tawaf Wida' kita harus meninggalkan Masjidil Haram dan bersedia untuk meninggalkan Mekah.


Selepas Tawaf Wida' kita tidak boleh lagi tidur walau sebentar pun untuk berehat di Mekah. Nak membeli-belah pun tak boleh kecuali sedikit untuk makanan. Sementara belum buat tawaf. saya dan isteri mengambil peluang berjalan-jalan, antaranya di satu kawasan yang menjadi tumpuan orang dari Bangladesh.


Kami membeli makanan di kedai seberang jalan lalu makan di sini. Saja je nak merasakan suasana...


Kemudian baru masuk masjid untuk solat berjemaah Zuhur.


Saya mahu menghabiskan sebanyak masa yang mungkin di Masjidil Haram sebelum meninggalkannya. Saya beritahu isteri biarlah kita buat Tawaf Wida' selepas Asar. Sementara itu kita berehat tidur di aras dua.


Di aras dua memang ramai orang melepak.


Seperti ada diberitahu dalam salah satu artikel siri "Ziarah dan umrah 2013" tiada masalah untuk suami isteri berehat berdekatan malah baring sebelah menyebelah di aras ini.


Ditakdirkan Allah SWT, bas ke Jeddah cuma bergerak selepas jam 8 malam. Nampaknya walaupun tidak dapat menghabiskan hari Jumaat di Mekah, sekurang-kurangnya harapan saya dapat bermalam Jumaat sedikit di kota suci termakbul.


Sejurus sebelum meninggalkan Mekah ada satu insiden kecil. Begitu juga selepas sampai ke Jeddah lebih kurang sejam kemudian. Tapi tak payahlah lagi bercerita hal-hal yang kurang menyenangkan. Apapun kami sudah diberi kelapangan melakukan ibadah lalu sampailah masa untuk kembali ke rumah.


Kami memasuki pesawat sekitar jam 1 pagi.


Dalam perjalanan lebih 9 jam itu kami banyak tidur. Hampir ke Aceh baru mata saya betul-betul cerah. Lihat artikel Passing over Aceh, the land known as the verandah of Mecca di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kapal terbang kami mendarat di KLIA Jumaat 12 Jun sebelum jam 2.30 petang waktu Malaysia. Terbayang di kepala senyuman gembira berserta lambaian rindu dua anak kecil yang ditinggalkan di rumah saudara sepanjang perjalanan "Ziarah dan umrah 2013". Cukuplah cerita ya. Wassalam... :]

Selasa, Mei 28, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Keseronokan berada lama di Gua Hira' dan Jabal Nur

Salam semua. Pada penghujung Ziarah dan umrah 2013 - Ke Hudaibiyah sebelum bermalam di Gua Hira' yang dibuat satu setengah hari lalu saya ada menyebut, atas sebab tertentu akan berehat daripada menulis buat beberapa hari. Rupa-rupanya rehat ini harus dimulakan bukan semalam tetapi 2 hari kemudian. Nanti insyaallah akan diceritakan kenapa perlu berehat. Buat masa ini biar disambung cerita dari Gua Hira'...


Pagi Rabu 10 April 2013, orang ramai telah menunggu untuk masuk ke gua. Ketika gambar ini diambil jam 5.53 pagi masih ada sisa waktu Subuh. Saya dapat menunaikan solat di atas batu berdekatan dengan berwudhuk menggunakan sedikit air mineral yang ditinggalkan orang.


Di sekitar tidak ada tandas atau bilik air. Saya terpaksa bertungkus-lumus mencari tempat di mana orang tak boleh nampak untuk melepaskan hajat.


Bukan senang hendak mencari tempat sebegitu...


Kawasan amat curam dan ada saja sudut yang orang boleh memandang.


Namun alhamdulillah dapat juga dicari satu sudut belakang batu yang tersembunyi sekurang-kurangnya buat sedikit waktu.


OK. Salah satu perkara yang mahu didapatkan di atas Gua Hira' adalah membuktikan kewujudan beruk jenis baboon yang bontotnya berkepul-kepul merah di atas ini. Nampaknya Allah SWT mendengar 'rintihan' hati saya, hehe. Tidak lama kemudian datanglah segerombolan beruk melintas di atas batu.


Dahulu ketika pertama kali sampai tahun 2005 saya ada menceritakan perihal beruk baboon yang muncul di hadapan mata setelah selesai berzikir dan bertafakur menutup mata. Ketika itu saya sedang bersila atas batu hampar kecil di atas gua. Namun ada yang tak percaya dan menganggapnya cuma khayalan saya saja.


Ada juga mengatakan itu mungkin jelmaan yang diperlihatkan berdasarkan isi hati saya. Oleh kerana saya ni kadangkala suka memikirkan hal-hal lucu lagi mengarut dan bersifat katun maka Allah zahirkan ia dalam bentuk beruk bontot berkepul di tempat suci ini agaknya.


Nah. Sekarang saya sudah letak 3 keping gambar menunjukkan beruk-beruk ini. Kalau ia muncul kerana saya berotak kartun maka seharusnya semua pengunjung ke Gua Hira' pagi itu juga berotak katun.


Apapun, pemandangan dari atas memang cantik. Boleh kelihatan kota Mekah terhampar di celah bukit dan gunung dengan menara jam setinggi 601 meter menandakan kedudukan Masjidil Haram dan pusat kota. Saya mengambil gambar persekitaran dari beberapa sudut baik waktu selepas Subuh mahupun ketika matahari naik. Lihat artikel Views from on top of Hira' cave di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Gambar ini pula menunjukkan kedudukan saya berbanding Gua Hira'. Lihat artikel Gua (The cave of) Hira' di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Sejak sebelum 5 pagi lagi pengunjung asyik datang bertali-arus menunggu giliran untuk masuk. Oh. Baru teringat. Sebelum memulakan pendakian isteri hilang kasut sebelah kiri di Masjidil Haram. Ketika itu kami sedang duduk berehat di halaman sebelum solat jemaah Isya' kalau tak salah ingatan. Tiba-tiba sahaja kasut hilang, mungkin ditendang orang yang lalu lalang. Lama juga kami mencari tapi langsung tak jumpa. Entah bagaimana isteri boleh menemui kasut lain sebelah kiri yang nampaknya ditinggalkan orang. Memandangkan ia sudah tersadai begitu sahaja kami rasa mungkin itu cara Allah menggantikan kasut isteri yang hilang. Itulah yang digunakan untuk memanjat Jabal Nur hingga sampai ke Gua Hira'.


Saya dan isteri sudah berlegar sejak jam 3.25 pagi. Lepas jam 8 baru mahu meninggalkan tempat suci di mana Nabi Muhammad SAW menerima wahyu baginda yang pertama ini. 


Kami mahu mengucapkan selamat tinggal dengan sekurang-kurangnya menyentuh dalam gua. Oleh kerana orang terlalu ramai kami mencuba dari satu sudut yang agak susah.


Kami perlu memanjat ke atas gua kemudian turun ke satu sisi yang curam.


Lihat sahaja pemandangan ke bawah. Kalau kecut perut atau gayat jangan sesekali mencuba.


Dari situ kami boleh menjenguk ke dalam Gua Hira', boleh juga menyentuh isinya sampai ke satu tahap.


Cukuplah ini sebagai syarat. Hampir jam 8.30 kami pun naik kembali ke puncak.


Perjalanan menuruni bukit atau gunung dari gua harus menaiki ke puncak. Di situ ada pondok tempat rehat di mana kita boleh membeli minuman. Nak tidur atas permaidani pun boleh. Lihat The hut at the summit of Jabal Nur.


Jam 9 baru kami meninggalkan puncak dengan turun melalui muka lain batu besar yang membentuk puncak.



Sekitar 12 minit kemudian sampai ke pondok lain yang terletak di satu bahagian genting.


Beginilah kedudukan pondok (kanan bawah) berbanding batu besar yang membentuk puncak. Pondok atas terlindung dari pandangan.


Di pondok bawah ini juga ada tempat rehat dan menjual minuman. Punyalah seronok melepak, kami suami isteri sampai tertidur di sofa...


Tu dia. Jam 10.45 baru menyambung penurunan.


Setelah 12 minit bergerak sampailah ke bahagian kaki bukit terdekat di mana boleh didapatkan kenderaan untuk kembali ke pusat kota.


Balik ke hotel kami pun berehat. Selepas jam 6 petang baru kami keluar. Kami mahu ke Masjidil Haram melalui satu jalan lain. Jalan ini saya agak-agak kedudukannya setelah beberapa hari memerhatikan persekitaran.


Kami perlu melalui terowong yang menembusi satu banjaran kecil bukit. Banjaran ini mengunjur ke selatan sementara terowong menembusi ke timur...


Adapun hotel kami terletak 1 km ke selatan Masjidil Haram, dalam satu kawasan yang dipanggil Misfalah, berdekatan jalan Al-Hijrah yang hampir selari dengan jalan besar Ibrahim Al-Khalil. Pintu masuk terowong terletak ke tenggara hotel membawa masuk ke kawasan yang menurut carian saya di Google Earth bernama Ajyad.


Keluar sahaja terowong kelihatan sebuah masjid ke kanan. Lihat Masjid (Mosque of) An-Nafiq. Masjidil Haram terletak lebih kurang 700 meter ke utaranya dengan menara jam Mekah sebagai penanda arah.


Setelah melihat masjid saya dan isteri pun menyambung perjalanan.


Dari Ajyad kita boleh menaiki jambatan pejalan kaki untuk masuk terus ke aras dua Masjidil Haram.


Di sana kami setakat membuat beberapa kali tawaf sunat untuk dihadiahkan kepada kaum keluarga. Cukuplah saya dah buat umrah 5 kali, isteri 4 kali. Saya rasa memang dah tak larat dah nak buat 11 kali seperti pernah dilakukan 8 tahun lalu. Malam itu saya sekali lagi cuba membawa isteri untuk mencium Hajarul Aswad. Sempatlah beliau menyentuh batu suci tersebut sebelum harus mengalah pada tekanan orang ramai yang tak putus asyik berebut mengintai peluang, rata-rata dengan cara kasar.

Untuk pengetahuan ini adalah artikel yang ke 1,111 di blogspot ini. Selepas ini tinggal satu sahaja lagi artikel dalam siri diikuti artikel kompilasi yang mengumpulkan semua links. Setelah selesai kesemuanya saya mahu menumpukan perhatian pada acara kelima HIKMAH, "HIKMAH Isra' dan Mi'raj : Jejak Sufi dalam Tamadun Melayu". Sebagai peringatan ia dijadualkan berlangsung di Kuala Terengganu 5-8 Jun. Marilah sama-sama memeriahkannya. Sila klik sini.