Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, November 13, 2007

13 haribulan 11 dan 131... Sesuatu yang istimewa...

Assalamualaikum sekalian! Rasanya ramai yang mengenali tahu betapa saya ini ada sedikit gila-gila nombor. Pada 11 November baru-baru ini atau 11 haribulan 11 yang kebetulan bersamaan dengan 1 Zulkaedah 2007, saya telah tergerak untuk membuat sebuah posting bertajuk Liliputian midget in Pulau Besar, Melaka! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Ini diikuti posting-posting bertajuk Orang kenit di Pulau Besar, Melaka? dan Susah senang 'mencari' diri... di blogspot ini. Posting-posting ini menyebabkan jumlah keseluruhan postings di BERPETUALANG KE ACEH bercambah menjadi 130 sementara jumlah di blogspot ini ialah 201.
Kebetulan ketika itu, jumlah posting di blogspot saya yang lagi satu iaitu SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) adalah 74, 3 sahaja lagi untuk mencapai nombor 77 yang ada kecantikannya yang tersendiri. Selain itu, saya cuma perlu menambah 1 sahaja lagi posting untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH untuk menjadikan jumlahnya kepada 131, satu nombor yang sangat bermakna untuk saya dan boleh menambah 1 posting juga untuk blogspot ini untuk mencukupkan jadi 202, satu lagi nombor yang simetrikal (kiri dan kanan sama). Cuma tak pasti bilakah masa yang sesuai...
Di sini, biar saya bercerita sedikit tentang nombor 131.
Adapun dahulu semasa mula-mula berkahwin 7 tahun lepas, saya pernah membuat tempahan sebuah rumah semi-D dan kebetulan kedudukan cantik yang masih ada adalah di lot 131. Rumah itu sepatutnya siap tahun 2002 tetapi sebaliknya projek itu terbengkalai sementara tahun itu menyaksikan beberapa ahli keluarga rapat kembali menyambut panggilan Ilahi. Saya pula sedang sibuk mengembara merata tempat demi mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang mengganggu fikiran sehingga hubungan keluarga terabai dan akhirnya bercerai. Apapun sejak itu nombor 131 menjadi begitu bermakna, satu nombor yang saya kaitkan dengan idaman diri sendiri untuk mendapatkan home sweet home atau rumahku syurga pada suatu hari nanti.
Adapun pagi tadi, setelah sekian lama tergendala, baki buku 3 saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" telah selamat dihantar daripada kilang ke tempat simpanan milik seorang kawan. Buku yang lain-lain pula telah dihantar ke kedai-kedai dan pengedar, bermakna pada pagi ini selesailah segala urusan berkaitan penerbitan buku... Sekarang saya cuma perlu memantau penjualan dan mewar-warkan isinya ke seantero jagat raya sahaja.
Semasa mengambil bill yang menyatakan penerimaan buku-buku tadi, baru saya perasan tarikh hari ini 13 November yang tertulis pada bill itu terdapat nombor 131 iaitu dalam bentuk 13/11. Terus timbul rasa, hari inilah hari yang sesuai untuk saya membuat posting ke 131 untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH... Maka biar dibuat sekali beberapa posting untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) supaya cukup jumlah jadi 77 dan kemudian bercerita di blogspot ini supaya jadilah ia posting ke 202.
Hari ini juga ternyata amat istimewa kerana saya dapat berjumpa satu-satunya anak yang saya ada setelah lebih sebulan tidak dapat berjumpa disebabkan keadaan. Tak payahlah saya sebut apakah keadaan itu ya... Cukuplah saya meluahkan hari ini, tarikh ini dan kaitannya dengan 131 sebagai sesuatu yang begitu istimewa.
Oh... Satu lagi perkara yang istimewa tentang tarikh hari ini, 13 Nov... Adapun siri buku "Berpetualang ke Aceh" mengandungi jumlah 13 bab bernombor, bab-bab yang diberi tajuk seperti "Bab 1", "Bab 8" dan sebagainya. Kebetulan, saya dalam proses membaca kembali semua siri buku ini dan telah selesai buku 1 dan buku 2... Sekarang sudah sampai pada buku 3 dan kebetulan pula berada pada pengakhiran Bab 13! Setelah selesai urusan penghantaran buku tadi, baru saya sedar, saya sudah sampai pada mukasurat terakhir Bab 13. Lalu menghabiskannya ketika menaiki keretapi komuter untuk sampai ke tempat di mana Alhamdulillah, saya dapat berjumpa anak...
Lagi satu, tarikh hari ini bersamaan 3 Zulkaedah 1428 Tahun Hijrah... Kebetulan urusan penerbitan buku 3 selesai dengan tersimpannya baki buku di tempat sepatutnya. Allah! Adakah ini bermakna akan selesai juga satu fasa besar dalam hidup saya lalu sudah sampai masanya untuk menggapai rasa home sweet home yang tersirat dalam nombor 131, satu rasa ketenangan apabila berada dalam rumah bersama keluarga yang sudah lama hilang... Sejak kecil lagi, ketika meninggalkan rumah untuk memasuki sekolah asrama 25 tahun dahulu?
Apapun, itu cuma harapan seorang pemuda 'gila' seperti saya, harapan yang entah betul-betul akan kunjung tiba, mungkin juga tidak... Di bawah ini biar disertakan beberapa gambar serta link-link postings yang baru dibuat sehingga tercapailah jumlah-jumlah yang tersebut itu. Maka dengan ini, saya mungkin tidak akan menambah apa-apa cerita baru buat satu jangka masa. Sekian! Terima kasih kerana selalu mengikuti tulisan-tulisan saya. Wassalam! :]


Makam (tomb of) Baginda Ali



Sedikit citarasa Itali di Pulau Besar? (A bit of Italian taste in Pulau Besar?)


Batu Belah (split stone) of Pulau Besar, Melaka


Cerita (the story of) Tun Teja...

p/s: Baru teringat. Adapun blogspot BERPETUALANG KE ACEH adalah blogspot pertama tempat saya menulis di Internet. Beberapa bulan kemudian barulah terbit blogspot ini dan sebulan dua seterusnya blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Maka dengan itu, jumlah postings 131 untuk BERPETUALANG KE ACEH jadi lebih lagi bermakna. Alhamdulillah!

Ahad, November 11, 2007

Susah senang 'mencari' diri...

Semalam, Sabtu 10 November 2007 bersamaan 29 Syawal 1428 Hijriah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, saya sedang duduk minum di sebuah warung di tepian sungai lalu terlihat sebuah artikel yang tiba-tiba membuka mata yang sedikit keletihan petang itu. Awal sebelum itu, pada waktu pagi juga tengahari, saya sempat membaca akhbar harian berbahasa Malaysia itu sebanyak 2 kali di 2 buah kedai makan yang berlainan di kampung ini tetapi baru petangnya tersedar akan suatu perkara... Sebuah artikel yang terasa rapat di hati...

Adapun, kebetulan juga artikel tersebut yang merupakan sebuah tulisan pujuk pengarang dalam seksyen I-Kon di dalam sisipan kecil akhbar terletak pada mukasurat 10 dengan nombor mukasurat itu tertera dekat pada tarikh 10 November... Apakah ada makna tersirat di sebalik ini? Maklumlah, saya kan ada sedikit gila-gila nombor?

Pada mulanya, saya membiarkan sahaja laman itu yang kebetulan terbuka di hadapan mata di atas meja terus terbiar tanpa terusik. Entah siapa yang membaca dan meninggalkannya di situ pada halaman tersebut sedangkan saya cuma mahu minum sahaja. Tetapi gerak hati ini pula boleh berkata bacalah dahulu... Walaupun telah menatap akhbar Berita Harian 2 kali hari itu, mungkin sahaja telah tertinggal suatu perkara yang boleh memberikan petunjuk?

Saya pun meletakkan gelas minuman ke tepi lalu mengambil laman yang terbuka itu... Terus tertarik pada suatu tajuk yang menerpa jiwa. Bila dibaca dengan teliti, ternyata ia sebuah tulisan oleh seorang rakan akhbar yang sangat bermakna, cukup bermakna sehingga malam ini setelah kembali ke Kuala Lumpur, tergerak untuk mencari artikel ini kembali dalam laman Berita Harian on-line...

Nasib baik artikel ini masih wujud, dalam bahagian "Arkib seminggu" untuk hari Sabtu, diletakkan di bawah tajuk Mencari diri sendiri bukan mudah . Di sini, saya tergerak untuk memaparkannya kembali buat tatapan semua juga para pembaca siri buku "Berpetualang ke Aceh" terutama buku pertama saya dengan tajuk kecil "Mencari Diri dan Erti".

Oh... Untuk Salina yang menulis artikel tersebut, terimakasih atas keprihatinan saudari. Insyaallah ada rezeki nanti kita akan berkongsi lebih banyak pengalaman dan cerita... Ini tulisannya...


------------------------ 


 Mencari diri sendiri bukan mudah 

Oleh Salina Abdullah

JIKA ada yang berani mendakwa kenal akan diri sendiri sepenuhnya, itu semua karut. Kaji betul-betul, benarkah kita kenal diri kita sendiri jauh sekali untuk mengenali dan menilai orang lain. Siapa saya? Siapa anda? Siapa dia? Setakat tahu nama, kesukaan, kebencian dan beberapa perkara peribadi, belum cukup untuk mengeluarkan dakwaan sedemikian. Jika anda mendakwa anda penyabar, benarkah begitu?

Letakkan diri dalam keadaan yang cukup tertekan, berapa peratus golongan penyabar itu akan kekal sabar? Cerdikkah anda, ada ketikanya anda akan berasa diri begitu `bodoh’ dan kerdil. Baikkah anda? Percayalah, ada masanya anda akan berubah menjadi jahat dan kejam.

Manusia boleh berubah-ubah. Sifat, emosi yang terlalu bergantung kepada persekitaran. Hari ini, begini; esok lusa begitu pula; jangan kata orang lain, turun-naik `cuaca’, cerah, mendung, hujan, ribut, taufan kita sendiri pun tidak dapat jangka, jauh sekali memahaminya. Tetapi, berapa ramai antara kita yang mempunyai keberanian untuk mengenali diri sendiri? Berapa ramai yang ada kemampuan dan keupayaan untuk `mencari’ diri? Soalan pertama, wajarkah? Perlukah? Soalan kedua, takkan tak kenal diri sendiri dan diikutilah pelbagai soalan dan kenyataan yang kesudahannya, tak payahlah susah-susah.

Kita mungkin akur tidak begitu mengenali diri sendiri tetapi kita juga akur, kita tidak mahu `mengenali diri’ jauh sekali mencarinya. Apatah lagi jika pencarian itu menuntut banyak pengorbanan. Korbankan masa, tenaga, kerjaya juga keluarga seperti yang dilakukan seorang rakan. Berkerjaya bagus, graduan Matematik dari luar negara tetapi segalanya ditinggalkan kerana ingin mengenali dan mencari diri. Mengapa? Apakah kurang dirinya dulu hingga segala-galanya sanggup dilepaskan untuk pencarian yang mungkin tidak berkesudahan?

Jika ada rezeki, mungkin kita akan berkongsi pengalaman dan kisah pencarian rakan saya ini. Apapun, ketika tulisan ini dihasilkan, dia berkata, pencariannya belum selesai. Semakin dicari, semakin banyak yang perlu dicari lagi.

Saya pun tak tahu apakah yang dicari itu, cuma berharap pencariannya berhasil. Pencarian bukan sesuatu yang mudah, adakalanya begitu sukar hingga mampu `menyesatkan’. Sama seperti menuntut ilmu. Sememangnya kita didorong mencari ilmu tetapi haruslah berguru. Pencarian yang melampaui batasan akal fikiran manusia boleh membuatkan kita `gila’. Kepada rakan tadi, semoga berjumpa apa yang dicari dan kepada anda semua, selamat membaca...


Orang kenit di Pulau Besar, Melaka?

Lihat gambar ini. Betulkah ada orang kenit di Pulau Besar, Melaka?

Untuk cerita dan penerangan lanjut, sila masuk ke Liliputian midget in Pulau Besar, Melaka! dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH .

Minta maaf ya saya tidak membuat cerita dalam Bahasa Melayu di sini. Ini kerana saya juga mahu mempraktikkan bercerita dalam Bahasa Inggeris di samping menggalakkan para pengunjung blogspot ini turut bertandang ke blogspot yang di sana. Sila! :]



Khamis, November 08, 2007

Sedikit tambahan teks pada grafik-grafik di atas... Dan pengumuman tambahan



Assalamualaikum semua. Tadi saya telah cuba memasukkan sinopsis-sinopsis yang dibuat untuk siri buku "Berpetualang ke Aceh" I, II dan III di bawah grafik kulit-buku yang berkenaan. Ternyata teks yang banyak itu mengacau susunan yang sudah dibuat. Maka itu saya membuat keputusan bahawa sinopsis-sinopsis ini harus diletakkan sebagai entries yang berdiri sendiri tetapi boleh dimasuki melalui link-link yang diletakkan di bawah grafik.

Oh... Untuk makluman, sinopsis-sinopsis yang dipaparkan ini sama dengan apa yang tertera pada poster terbaru untuk promosi siri buku BKA... Ia mungkin bukanlah sinopsis dalam ertikata terhad perkataan itu iaitu satu penerangan pendek tentang isi buku... Ia lebih merupakan penerangan isi buku bercampur proses penulisan dan apa yang dirasai penulis sendiri pada setiap peringkat membuat siri buku ini.

Dan sebagai pengumuman tambahan... Alang-alang sudah menulis di sini... Jeng! Jeng! Jeng!

Ingin dimaklumkan, saya telah membuat cetakan sejumlah poster promosi siri "Berpetualang ke Aceh" dalam saiz 16.5 inci x 23. 5 inci atau bersamaan saiz kertas A2 (2 x A3 atau 4 x A4) untuk dipaparkan di mana-mana kedai yang sudi. Oleh kerana percetakan itu sendiri lebih ekonomikal apabila dibuat dalam jumlah yang banyak, maka saya ada sejumlah lebihan poster yang boleh diberikan kepada pembeli dan peminat siri buku ini.

Hmm... Rasanya elok juga saya masukkan grafik poster tersebut dalam posting ini. Sat... OK... Ia ada di atas artikel ini....

Adapun semalam, saya telah menyerahkan sejumlah buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III kepada pengedar, bermakna Insyaallah buku yang melengkapkan siri ini akan menemui peminat seluruh Malaysia dalam jangka-masa seminggu lagi. Poster lebihan yang dicetak juga telah diserahkan kepada pengedar. Maka jika anda ada membeli buku-buku BKA di mana-mana selepas ini, sila tanya jika ada poster tersebut dan dapatkannya untuk simpanan sendiri atau untuk diletakkan di pejabat... Senang cerita, di mana-mana anda suka. Selagi stok masih ada ya!

Lagi satu, saya tidak dapat menjamin bahawa poster-poster ini boleh didapati di setiap kedai yang menjual BKA ya. Ini bergantung kepada budi-bicara pengedar dan saya sudah berserah bulat-bulat atas perancangan Allah ke mana-mana poster-poster ini akan diserahkan! Kira kalau ada rezeki, ada le... Kalau tak da, jangan mare... Hmm... Kalau tak da, boleh download dan copy gambar poster di sini dan kemudian print sendiri, hehe!

Oh... Hampir terlupa pula. Pustaka Mukmin dan Minerva di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (masing-masing ada 2 cawangan), Pustaka Rezeki Harapan di hadapan Masjid India dan Pustaka Pertama telah menerima beberapa keping poster ini terus daripada saya semalam. Maka kalau nak cepat, pergilah beli buku BKA di kedai-kedai ini...


p/s: Sinopsis-sinopsis yang serupa juga turut terpapar pada poster baru untuk para pembaca ini. Apalagi... Dapatkan naskah BKA anda sekarang! :]

Sinopsis BKA III



“Akan datang Panji-Panji Hitam dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka umpama kepingan-kepingan besi. Barangsiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbai’ahlah kepada mereka sekalipun merangkak di atas salji.”

- Sabda Rasulullah SAW mengenai akhir zaman!


Jika buku satu “Berpetualang ke Aceh” dengan tajuk kecil “Mencari Diri dan Erti” boleh diibaratkan sebagai perjalanan permulaan masuk ke hutan tebal untuk mendaki sebuah gunung yang tinggi lagi mencabar dalam keadaan teraba-raba mencari jalan, buku kedua yang menyusul hampir setahun kemudian dengan tajuk kecil “Membela Syiar yang Asal” pula boleh diibaratkan sebagai tanda kejayaan si pengembara menawan puncak gunung idaman setelah lama berhempas-pulas mencuba sedaya-upaya. Tetapi ini tidak akan bermakna jika dia tidak dapat kembali dengan selamat ke kampung halaman... Maka siri novel unik ini perlu dilengkapkan dengan buku ketiga yang boleh diibaratkan sebagai perjalanan menuruni gunung keluar hutan sebelum kembali ke pangkuan masyarakat dan keluarga!

Masalahnya, perjalanan ini tidaklah semudah yang disangka... Selain kepenatan amat akibat lama melangkah membelah hutan belantara, masih terdapat banyak lagi ranjau di sepanjang jalan pulang. Maka itu buku ketiga pun diberi tajuk kecil “Sirih Pulang ke Gagang?” dengan tanda soal di belakang, tanda yang menunjukkan mungkin perjalanan itu akhirnya selesai, mungkin juga tidak!

Jika “Mencari Diri dan Erti” cuba merungkai makna besar Melayu sebagai gabungan bangsa-bangsa bersatu yang diikat oleh agama Islam berserta budaya Melayu seperti yang tersurat dan tersirat di dalam perlembagaan, “Membela Syiar yang Asal” pula cuba menyusuri makna Islam yang lebih luas... Islam yang bermula sejak Nabi Adam AS muncul sebagai manusia pertama entah puluhan ribu tahun lalu, bukan setakat Islam syariat Nabi Muhammad SAW, syariat akhir zaman yang bermula sekitar 610 Masihi.

Ini disertai pemahaman mendalam Islam bertunjangkan amalan Tasawuf sejati sehingga nyatalah kaitan persaudaraan setiap manusia di mukabumi yang harus diikat kembali melalui penghayatan Islam yang tulin. Lalu ternyata juga kenapa ada pihak jahat seperti puak Yahudi Zionis mahu menghancurkan semua ini... Dengan mencipta pelbagai fahaman palsu yang akhirnya memecah-belahkan manusia. Kerana mereka mahu menguasai dunia dan ini cuma boleh dilakukan melalui cara pecah dan perintah!

Setelah beberapa konsep dan pemahaman sejarah dirombak semula, barulah cerita boleh diteruskan dengan buku ketiga. Lalu sejarah bumi Melayu yang pernah menyaksikan kota Melaka dijajah Portugis 1511 diikuti kejatuhan Samudera-Pasai beberapa tahun kemudian dapat dilihat dalam konteks lebih luas! Konteks yang melibatkan Perang Salib di Timur-Tengah yang melarat ke bumi Melayu demi memadamkan syiar Islam sejati di mukabumi.

Ditambah pemahaman tentang penghijrahan ramai Ahlul Bait anak cucu Nabi ke bumi Melayu sejak 1,200 tahun lampau akibat pelbagai faktor terutama pergolakan politik Islam di Timur Tengah, akan ternyata juga kenapa penjajah Barat begitu rakus mahu menakluki rantau ini. Keturunan berdaulat yang bermastautin di sinilah yang akan menjadi penyebab akan kemunculan Panji-panji Hitam dari Timur yang disebut Nabi. Apakah kita sudah bersedia untuk menyambutnya nanti?


Sinopsis BKA II



“Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkau lah segala kebajikan. Sesungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”

- Surah Ali Imran, ayat 26.


Bagi mana-mana penulis, buku pertama adalah buku yang paling berat hendak ditulis. Di sinilah letaknya ketika di mana seseorang itu harus membuat keputusan nekad, apakah mesti terjun seratus peratus ke dalam dunia penulisan dengan penuh dedikasi untuk menghasilkan karya yang bermutu atau mengambil jalan selamat - membuat kerja lain untuk menjamin pendapatan lalu menulis secara sambilan sehingga tidak dapat memberikan sepenuh tumpuan.

Jalan yang jauh lebih selamat jika hendak menulis sepenuh masa, jalan yang boleh menjamin kesejahteraan hidup malah mendapatkan imbuhan lumayan pula adalah ‘melacurkan’ diri... Gunakan kelebihan yang ada untuk menulis bagi pihak yang berkepentingan walau mereka ternyata pengkhianat agama, bangsa dan negara yang cuma pandai bermain wayang kulit!

Bagi penulis pula, ketentuan Qada Qadar Ilahi atas kehidupan ini berserta tanggungjawab yang wujud akibat darah keturunan yang mengalir dalam diri mengharuskannya menulis dengan sepenuh hati. Masalahnya tidak ramai yang faham ini... Kenapa perlu menulis siri buku yang menongkah arus zaman, apalagi dibuat dengan belanja sendiri tanpa sokongan penerbit besar, persatuan atau kuasa-kuasa politik seperti lazimnya kini? Harus menanggung segala risiko seorang diri di kala ramai yang mencemuh usaha ini lalu menganggap niat penulis untuk memperkasakan makna Melayu Islam sejati sebagai satu cita-cita gila yang bersifat angan-angan Mat Jenin atau kerja sia-sia orang yang ‘perasan’.

Risikonya sangat tinggi. Jika ia berjaya, dapatlah penulis terus berkecimpung menulis buku dan novel dengan yakin... Sebaliknya jika gagal, kemungkinan besar keyakinan diri ini akan tergugat teruk hingga tidak mampu membuat apa-apa lagi penulisan sepanjang hayat!

Alhamdulillah buku pertama penulis, “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan. Lalu cerita pun dapat diteruskan dengan buku dua. Maka pembaca dibawa pula untuk menelusuri kaitan kerajaan-kerajaan Samudera-Pasai, Melaka dan Aceh juga kepentingan darah keturunan dan amalan Tasawuf sejati dalam membentuk seseorang pemimpin, faktor-faktor yang cuba dikaburkan pihak Yahudi Zionis yang sangat mengagung-agungkan sistem demokrasi sebagai wadah terbaik mengatur masyarakat.

Tembelang sebenar demokrasi harus ditelanjangkan dan kepentingan darah keturunan yang membawa sifat kepimpinan semulajadi diketengahkan demi menangani masalah ummah. Maka turut disentuh makna jihad membela syiar yang asal agar terserlah satu perjuangan besar...


Sinopsis BKA I



“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama”


- Sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang tersebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai


Bayangkan menulis sebuah buku, buku pertama seumur hidup dalam keadaan amat tertekan setelah lebih 3 tahun tidak bekerja dan tidak memiliki apa-apa sumber pendapatan... Dalam keadaan terpisah daripada keluarga, anak dan isteri... Terasing juga daripada rakan-rakan malah masyarakat umum akibat kekalutan hidup yang sedang dihadapi.

Bayangkan menulis sebuah novel Melayu yang cuba menggali balik makna Melayu itu sendiri sedangkan penulis tidak pernah pun membuat apa-apa penulisan dalam bahasa itu kecuali untuk karangan di sekolah lantaran lebih fasih menulis dan bercakap dalam bahasa penjajah iaitu bahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa ibunda sendiri...

Bayangkan, mengupas sejarah Melayu yang hilang malah cuba menghuraikan permasalahan umat Islam zaman berzaman seperti konflik Sunni-Syiah dan mencari jalan tengah sambil menyentuh mutiara ilmu keTuhanan dan cara mempraktikkannya dalam dunia sekarang di mana agama boleh dijual-beli... Sedangkan sang penulis sendiri pernah menjadi seorang yang agak ke Baratan, malu dilahirkan Melayu dan pernah hidup dalam dunia penuh kemaksiatan.

Bayangkan melakukan kesemuanya seorang diri, penulisan, penyuntingan, rekabentuk dan rekaletak buku sehingga ke grafik dalam keadaan dikhianati orang-orang yang dipercayai.

Buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” mengupas banyak persoalan kehidupan melalui pengalaman sebenar penulis dalam memahami liku-liku kehidupan diri sendiri yang membawanya untuk mencari salasilah keturunan keluarga sehingga berjaya menemukan banyak cerita-cerita lama Melayu tersembunyi melibatkan raja-raja dan para wali. Maka terciptalah satu olahan kata-kata yang InsyaAllah boleh jadi berguna untuk semua.

Segala jerit-payah yang dilalui dinukilkan kembali dalam bentuk fiksyen bercampur travel-log melalui kacamata watak pengembara yang diberikan nama Muhammad al-Aminul Rasyid. Pencarian yang bermula dengan pengkajian salasilah diraja Perak membawa kaitan Istana Aceh hingga ke kerajaan lama Samudera-Pasai malah memutar masa 1,200 tahun ke belakang untuk meliputi kerajaan Perlak yang pernah diperintah para Ahlul Bait anak cucu Nabi. Turut terkait adalah jurai keturunan cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan... Termasuk juga keturunan raja para wali, Sheikh Abdul Qadir al-Jilani yang tersembunyi!



Selasa, November 06, 2007

Promosi baru siri buku "Berpetualang ke Aceh" sudah bermula!

Ya... Rasanya tajuk artikel kali ini sudah cukup jelas untuk menerangkan segalanya... Buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" yang akan melengkapkan trilogi siri sudah terbit seperti yang dijanjikan November 2007... Lihat sahaja poster atau bunting terbaru dalam gambar yang diletakkan di sebelah stesyen LRT Masjid Jamek pada suatu petang... Insyaallah sebentar lagi saya akan memasukkan copy poster ini ke dalam blogspot...



Cuma proses pengedaran memakan masa... Maka mungkin para pembaca perlu menunggu lagi seminggu dua sebelum buku terbaru ini keluar di toko-toko buku seluruh Malaysia.

Tetapi sesiapa yang tak sabar boleh membeli terus daripada saya... Klik CARA-CARA MEMBELI BUKU BKA untuk maklumat lanjut.

Atau beli terus di kedai Pustaka Mukmin berhadapan panggung wayang Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (gambar atas) dan Pustaka Rezeki Harapan di Wisma Yakin berhadapan Masjid India (gambar bawah)... Harganya RM27.90 senaskah, mahal sedikit daripada buku-buku terdahulu "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" dan "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang masing-masing berharga RM24.90 senaskah...




Selepas meletakkan bunting di kedai-kedai tersebut, saya terus ke Masjid Jamek, Kuala Lumpur untuk menunaikan solat Jumaat. Sempat juga menggantungkan bunting untuk kegunaan sendiri di hadapan masjid sementara ada waktu....



Ini pula adalah bunting lama yang pernah diletakkan di Pustaka Mukmin 2 bulan kebelakangan... Bunting ini telah saya ambil kembali untuk digantikan dengan yang baru...

Petang Jumaat itu, sementara menikmati sepinggan mee rebus di kedai bersebelahan, saya telah menggantungkan bunting lama di suatu tempat seperti yang kelihatan.

Adapun, bunting lama ini kini sedang "menikmati persaraan" di Pulau Besar, Melaka... Ceritanya serta cerita-cerita berkaitan akan dibuat di blogspot ini atau/dan blogspot-blogspot saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) nanti ya!

Oh... Baru teringat, tadi saya baru sahaja menyiapkan satu cerita tentang ziarah ke pejabat lama saya di The New Straits Times. Ceritanya ada di A visit at my old haunt at The New Straits Times . Sekian buat masa ini! Teruskan perjuangan!

Teks untuk "Saja-saja di Bukit Treh"

Subhanallah! Setelah sekian lama membiarkan blogspots saya senyap tanpa pembaharuan, baru kini saya mendapat sedikit tenaga dan gerak untuk menyambung cerita... Maka biarlah disambung dengan cerita ringkas untuk posting bertajuk Saja-saja di Bukit Treh yang dibuat 2 minggu lalu ya... Oh... Sila juga lihat Teks untuk Nostalgia Sungai Muar (Text for Nostalgia of the Muar river) dan Nostalgia Sungai Muar (Nostalgia of the Muar river) , juga Text for Views from on top a telecommunication tower in Muar... dan Views from on top a telecommunication tower in Muar... .
Adapun gambar-gambar berkenaan Bukit Treh ini diambil pada hari Jumaat setelah seminggu berhari-raya di kampung ibu di Muar, Johor. Pagi itu, saya telah memanjat sebuah menara telekomunikasi dan cerita serta gambarnya telah dibuat dengan link-linknya di atas.
Semasa keluar bersolat Jumaat, tergerak pula mengambil gambar-gambar berkenaan bukit ini... Lagipun petang itu saya akan kembali ke Kuala Lumpur.
Saya sampai di Masjid Kampung Bukit Treh semasa kutbah Jumaat baru bermula. Melihat bukit yang terletak di belakang masjid, timbul pula rasa gatal untuk berkejar sebentar ke puncaknya.
Hmm... Rasanya cukuplah ini sebagai penerangan ya... Sebenarnya saya masih terasa malas untuk menulis kerana amat kepenatan... Tetapi saya tetap terus menulis demi kesinambungan blogspot ini dan berita-berita terbaru terutama yang melibatkan penerbitan buku terbaru saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III. Tunggu!

Selasa, Oktober 23, 2007

Selamat Hari Raya semua!

OK... Pendek je... Selamat hari raya semua... Ini adalah gambar yang diambil Sabtu 20 Oktober semasa rumah terbuka dibuat di rumah ibu saudara saya di Ampang... Kelihatan dalam gambar adalah kawan baik saya Zaidi sedang membaca buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III sementara saudara Yap sedang menikmati juadah.
Ketika ini tetamu-tetamu lain sedang berada di dalam rumah untuk satu majlis tahlil ringkas sedangkan saya harus melayan kawan-kawan yang baru tiba.
Oh... Untuk pengetahuan, BKA III sudah siap dicetak... Cuma belum diambil (kecuali 20 naskah untuk tatapan keluarga) daripada kilang untuk dihantar kepada pengedar dan kedai-kedai. Insyaallah bulan November ni masuklah ia ke kedai-kedai...
OK... Saya harus bergerak. Sekian, wassalam!

Saja-saja di Bukit Treh

Nota: Ni ada sedikit gambar yang diambil di Bukit Treh, Muar... Ceritanya akan saya buat nanti ya... :]











Rabu, Oktober 10, 2007

Akhirnya... Membuka misteri identiti Nakhoda Khalifah!



Dan akhir sekali untuk malam ini, posting saya ke 191 dalam blogspot ini... Oleh kerana nombor ini (pada saya le...) membawa makna berakhirnya satu fasa kehidupan untuk dimulakan fasa baru pula, gerak hati saya menyuruh melihat pada mukasurat 191 buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang" atau BKA III.
Adapun mukasurat 191 di BKA III sebenarnya mengandungi tajuk sebuah bab iaitu "Tok Pulau Manis, Batu Bersurat Terengganu dan beberapa warisan Aceh"... Teringat pula bagaimana beberapa orang yang telah membaca buku pertama saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I menyatakan rasa tidak puas hati kerana cerita Nakhoda Khalifah yang telah ditimbulkan dalam bab bertajuk "KeSultanan Perlak: Bermulanya sebuah cerita" telah dibiarkan tergantung sedangkan buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II tidak menyentuhnya langsung...
Oleh itu, sukacita dimaklumkan cerita ini akan disambung kembali dalam BKA III. Kebetulan dalam BKA I, mukasurat 191 mengandungi tajuk "Legenda Merah Silu: Kemunculan Sultan Malikus Salih". Maka itu biar saya berikan sedutan daripada bab "Tok Pulau Manis..." di BKA III ya. Ini dia.... Selamat Hari Raya! Insyaallah saya akan bercerita kembali selepas puas bercuti nanti. Wassalam! :]

----------------------------

Nama penuh Tok Pulau Manis ialah Sharif Abdul Malik bin Sharif Abdullah... Memakai nama Sharif yang bermaksud “Yang Mulia” kerana beliau sebenarnya adalah keturunan Rasulullah SAW dari sebelah Saidina Hassan. Malah moyangnya Sharif Muhammad Al-Baghdadi dikatakan pernah memerintah kerajaan Baghdad sebelum turun takhta dan membawa diri ke Terengganu. Menurut Ayah Weng, di sebuah surau lama iaitu Surau Putih di Pulau Duyong, Kuala Terengganu pernah tertulis bahawasanya Sharif Muhammad telah turun takhta kerajaan Baghdad kerana mengambil jalan warak... Baginda pergi ke Mekah tapi dituruti orang lalu melarikan diri ke Terengganu setelah tinggal beberapa lama di Hadramaut, Yaman.
Rasyid pernah terbaca catatan ini enam tahun lalu... Setelah tergerak untuk singgah di Pulau Duyong ketika hampir sampai ke Kuala Terengganu dalam satu pengembaraan solo bermotosikal mengelilingi Semenanjung. Lebih menarik, Sharif Muhammad al-Baghdadi dikatakan orang yang bertanggungjawab menulis Batu Bersurat Terengganu yang amat terkenal itu. Malah menurut ceritanya, baginda menulis menggunakan jari tangan, bukan tukul, pahat ataupun apa-apa alatan terus ke atas batu!
Menurut ceritanya lagi, ini berlaku setelah baginda berjaya menundukkan beberapa kerajaan penyembah berhala di bumi Timur lalu menjatuhkan hukum syariat Islam ke atas raja-raja di bawah taklukannya. Isi dan intipati hukum inipun dimaktubkan di atas batu bersurat sebagai panduan untuk mereka dalam mentadbir negara dan rakyat...
“Itulah batu bersurat yang ditemui di Kuala Berang ini kemudian dimasyhurkan sebagai bukti Islam sudah sampai di Terengganu 700 tahun dahulu,” kata Ayah Weng. “Batu yang sekarang disimpan di Muzium Negeri Terengganu ini begitu diiktiraf dalam sejarah tanah Melayu sehingga cerita tentangnya diajarkan sejak dari sekolah rendah lagi.”
Mengikut sejarah rasmi yang dibaca Rasyid, tiada siapa tahu siapakah penulis batu bersurat tersebut. Sejarahwan Barat pula mengaitkannya dengan Aceh lama kerana batu itu nampaknya mempunyai pengaruh Pasai berdasarkan ciri-ciri yang terdapat padanya.Memang ada cerita menyebut Terengganu dahulukala mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Samudera Pasai. Malah Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan lama di bumi Aceh itu dikatakan pernah datang ke Terengganu bersama Sheikh Ismail yang makamnya di Pulau Besar, Melaka kerana mereka mempunyai hubungan rapat dengan Sharif Muhammad Al-Baghdadi!

........ (setelah melangkah beberapa mukasurat) ...............

Di sini biar diajukan satu persoalan. Jika sejarah Perak berkaitan bumi Serambi Mekah boleh digelapkan, bagaimana pula sejarah awal Terengganu sebelum pertabalan Sultan Zainal Abidin I, awal abad ke 18? Sejarah rasmi menyatakan baginda diangkat kerajaan Johor di satu pihak, kerajaan Patani di pihak yang lain... Kitab Tuhfat Al-Nafis karangan Raja Ali Haji pula menyebut pihak Bugis bertanggungjawab menabalkan Sultan dengan perintah dari Johor. Peranan Tok Pulau Manis dalam kenaikan raja itu langsung tidak pernah disebut kecuali oleh orang-orang tertentu
Bagaimana pula cerita Ayah Weng tentang moyang Tok Pulau Manis, Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang mempunyai pertalian dengan Sultan Malikus Salih pengasas kepada kerajaan Samudera Pasai yang pusatnya terletak di dalam wilayah Aceh sekarang? Bagaimana cerita tentang baginda sebagai orang yang menulis Batu Bersurat Terengganu, batu bersejarah yang disebut sarjana Barat mempunyai pengaruh Pasai? Apakah ceritanya digelapkan pihak tertentu yang tidak mahu kaitannya dengan Aceh diketahui orang? Atau ada yang sengaja mahu menenggelamkan peranan anak cucu Saidina Hassan menyebarkan syiar Islam di bumi Melayu ini?
Ayah Weng ada menyebut Sharif Muhammad pernah mengalahkan kerajaan-kerajaan Sri Wijaya dan Majapahit sehingga dikatakan semua negeri di Nusantara juga kerajaan yang bersempadan dengan Lautan Pasifik (seperti Filipina sekarang) sampai ke sempadan Empayar China pernah tunduk di bawah pemerintahannya. Agaknya sebab itu wujud cerita-cerita lama menyebut tentang sebuah kerajaan Melayu besar dahulukala bernama Kembayat Negara dengan jajahannya meluas sehingga ke Indo-China walaupun kisah ini dianggap dongeng oleh masyarakat sekarang? Kembayat Negara pula dikatakan bersempadan dengan Yunan yang mana Syair Siti Zubaidah menyebut tentang kehadiran seorang Puteri Yunan yang memang dilahirkan Islam. Tidak ada apa yang hendak dihairankan kerana kajian peribadi Rasyid menunjukkan semua pemerintah Dinasti Ming di China beragama Islam... Sebab itu China di bawah pemerintahan Dinasti Ming boleh menjalinkan hubungan yang rapat dengan KeSultanan Melayu Melaka serta melindunginya daripada ancaman kerajaan Siam!
Maka Batu Bersurat Terengganu ditulis sebagai manual pemerintahan Islam untuk tatapan raja-raja di bawah takluknya. Sehingga Ayah Weng dan waris-warisnya memberitahu Sharif Muhammad adalah khalifah teragung yang pertama menjadi model Rasulullah SAW di Asia Timur. Apakah mungkin baginda inilah Muhammad Nafs Al-Zakiyah, (baca balik Jilid 1 bab bertajuk Perlak: Bermulanya sebuah cerita) satu-satunya anak cucu Rasulullah SAW berketurunan Saidina Hassan yang diketahui pernah dibai’at sebagai khalifah iaitu diangkat dengan sumpah setia oleh semua golongan umat Islam? Bukankah ini melayakkan baginda menjadi khalifah pertama dari keturunan Rasulullah SAW selepas takhta itu dirampas secara tipu-helah oleh Bani Umaiyah daripada tangan Saidina Hassan?
Muhammad kemudian dikhianati anak cucu Saidina Abbas, saudara mara sendiri yang sanggup merampas takhta keKhalifahan itu untuk mendirikan kerajaan Bani Abbasiyah yang akan memerintah ummah selama 500 tahun. Apakah ini yang menyebabkan cerita asal-usul baginda yang sebenar digelapkan? Apakah mungkin Sharif Muhammad juga adalah watak misteri yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah, pemimpin rombongan 100 orang pendakwah yang mengIslamkan Perlak 1200 tahun dahulu, kerajaan Islam terawal dalam sejarah bumi Serambi Mekah?

—————————

Rasyid teringat kembali cerita Ayah Weng tentang catatan di Surau Putih, Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang menyebut: “Bahawasanya Sharif Muhammad telah turun takhta kerajaan Baghdad kerana mengambil jalan warak. Baginda pergi ke Mekah tapi dituruti orang. Lalu melarikan diri ke Terengganu setelah tinggal beberapa lama di Hadramaut, Yaman.” Rasanya ada persamaan dengan kisah Muhammad Nafs al Zakiyah atau nama sebenarnya Muhammad bin Abdullah bin Hassan al Muthana bin Saidina Hassan bin Saidina Ali Abi Talib Karamallahuwajha.
Disebut dalam sejarah, sekitar 132 Hijrah atau 750 Masihi, masyarakat Islam di Baghdad termasuk kaum Bani Abbas juga para Ahlul Bait keturunan Nabi pernah membai’at Muhammad Nafs al Zakiyah sebagai khalifah demi menjatuhkan pemerintahan Bani Umaiyah yang zalim dan kejam. Nama baginda Muhammad bin Abdullah dikaitkan dengan watak penyelamat Imam Mahdi menyebabkannya mendapat sokongan ramai... Tetapi apabila Bani Umaiyah berjaya dijatuhkan, Abul Abbas al Saffah dari Bani Abbas pula diangkat puaknya menjadi khalifah. Dan apabila dia meninggal dunia, seorang lagi Bani Abbas, Abu Jaafar Al-Mansur diangkat menggantikannya sehingga Muhammad hilang sabar lalu memberontak.
Ada cerita menyebut salah seorang penyokong kuat baginda adalah Nu’man ibnu Thaabit atau Abu Hanifah, pengasas Mazhab Hanafi. Baginda juga mendapat sokongan Imam Malik, pengasas Mazhab Maliki... Tetapi pemberontakan awalnya di Baghdad telah dipatahkan pemerintah Bani Abbasiyah dengan kejam. Tidak lama kemudian ahli keluarga dan saudara-maranya pula mula diburu, ditangkap dan dibunuh seorang demi seorang. Muhammad pun terpaksa berundur jauh daripada Baghdad sehingga baginda tersepit lalu meneruskan pemberontakan dari Madinah.
Sejarah rasmi menyebut baginda akhirnya terbunuh tetapi Rasyid percaya ada kemungkinan Muhammad dapat melarikan diri. Teringat kisah moyang Sultan Brunei, Sharif Ali, seorang lagi Ahlul Bait keturunan Saidina Hassan yang dikatakan terbunuh dalam satu perebutan kuasa di Mekah tetapi boleh muncul pula di Brunei... Apakah mungkin Muhammad juga sebenarnya terselamat lalu melarikan diri secara senyap ke Mekah? Orang lain yang terbunuh tetapi mayatnya pula diwar-warkan sebagai Muhammad? Mungkin ini berlaku supaya musuh tidak lagi mengejarnya... Kemudian apabila identitinya terbongkar baginda lari pula ke Hadramaut, Yaman lalu terus membawa diri ke Nusantara, sampai ke Terengganu?
Fikirkan... Sharif Muhammad Al-Baghdadi dikatakan adalah seorang keturunan Saidina Hassan yang pernah bertakhta di Baghdad. Setahu Rasyid, tidak ada seorang pun anak cucu Rasulullah SAW pernah menduduki takhta di sana dahulukala. Kalau abad ke 20 memang ada kerana Raja-raja Iraq (sebelum menjadi republik) adalah anak cucu Sharif Mekah yang berasal daripada keturunan cucu sulung Nabi. Saidina Hassan yang pernah menjadi khalifah umat Islam pula bertakhta di Kufah sementara keturunan Nabi yang lain seperti Imam Ja’afar al-Sadiq pernah diangkat sebagai ketua satu golongan umat Islam sahaja seperti golongan Syiah Imamiah, maka tidaklah boleh dikira sebagai pernah bertakhta di sana...
Sekarang, fikirkan dengan lebih mendalam... Dari satu segi, Muhammad Nafs Al-Zakiyah boleh dikira pernah ‘bertakhta’ di Baghdad kerana baginda pernah dibai’at sebagai khalifah seluruh umat Islam walaupun untuk seketika sahaja. Malah tidak mustahil Muhammad sempat menaiki takhta dan duduk di istana selepas kejatuhan keKhalifahan Bani Umaiyah... Ini kerana pergerakan menjatuhkan pemerintahan dinasti yang kejam itu cuma dapat disatukan di atas namanya Muhammad bin Abdullah sebagai seorang khalifah baru dari keturunan Rasulullah SAW yang namanya dan nama bapanya serupa dengan Rasulullah SAW, serupa juga dengan nama Imam Mahdi yang pernah diisyaratkan Nabi!

................................


Di sini, Rasyid ingin mengemukakan pandangan yang rasanya tidak pernah muncul dalam mana-mana sumber sejarah Islam baik bertulis mahupun lisan. Memandangkan, Muhammad Nafs al Zakiyah telah dibai’at ramai dan Bani Umaiyah pula berjaya dijatuhkan kerana segenap lapisan masyarakat menyokong baginda sebagai Al-Mahdi, maka itu orang-orang Bani Abbasiyah yang sebenarnya berniat serong tidak boleh terus merampas takhta keKhalifahan di hadapan orang ramai. Mereka harus menunggu waktu yang sesuai untuk bertindak... Maka tidak mustahil Muhammad sempat menaiki takhta dan duduk di istana sebelum orang-orang Bani Abbas dapat menjatuhkannya tanpa dapat atau sempat ditentang rakyat.
Kemungkinan besar mereka telah meletakkan diri sebagai penasihat baginda dan ini boleh diterima akal kerana mereka pernah berperanan sebagai ahli strategi Muhammad semasa menaja pergerakan menjatuhkan Bani Umaiyah. Selepas menjadi penasihat dan pembesar di istana khalifah barulah puak Bani Abbas boleh mendapatkan sokongan mereka yang mengawal istana dan persekitarannya serta pihak tentera. Apabila keselamatan istana khalifah berada dalam tangan mereka, barulah boleh dilakukan coup de etat atau rampasan kuasa dari dalam... Maka Muhammad dihalau tanpa sempat mengatur pembelaan sedangkan kaum Bani Abbas sudah lebih dahulu mencengkam semua pihak yang berkepentingan...
Memang cerita ini tidak terdapat dalam mana-mana dokumen atau kajian serta catatan sejarah rasmi dan lagi boleh dikira sangat spekulatif tetapi Rasyid percaya, ia tidak mustahil. Bani Abbasiyah diketahui memegang keKhalifahan selama 500 tahun. Dalam tempoh itu, tidak mustahil mereka menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menggelapkan sejarah sebenar pemerintahan Khalifah Muhammad Nafs al Zakiyah.
Apapun, Muhammad Nafs al Zakiyah inilah yang paling dekat cerita asal-usulnya dengan kisah Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang dikatakan turun takhta kerajaan Baghdad dan akhirnya sampai ke Terengganu. Tidak lama selepas Muhammad dijatuhkan di Baghdad, muncul pula rombongan 100 orang pendakwah diketuai Nakhoda Khalifah di Perlak (baca buku 1 “Berpetualang ke Aceh”). Barangkali mereka orang yang sama, orang kemudiannya menulis Batu Bersurat Terengganu lalu menurunkan wali Allah terkenal Tok Pulau Manis atau Sharif Abdul Malik?

Mengenang BKA tour run pula...

Ini adalah bahagian Sungai Chemperoh yang terletak betul-betul bersebelahan sebuah surau di Kampung Janda Baik yang sering menjadi tempat saya menginap apabila bertandang ke kampung nyaman yang terletak di Banjaran Titiwangsa ini... Sejak 2 tahun kebelakangan, sejak saya keluar daripada rumah Pak Habib (Syed Hussein Al-Attas) yang terletak 100 meter sahaja daripada sini.
Gambar ini diambil seminggu lepas, selepas saya berjaya menyiapkan proses penyuntingan akhir buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III hari Ahad. Keesokannya hari Isnin iaitu 1 Oktober 2007 bersamaan 19 Ramadhan 1428 Hijriah saya terus hantar ke kilang percetakan.
Dua hari lepas, saya tergerak untuk naik lagi ke Janda Baik... Mahu menghabiskan malam tujuh likur (birthday saya yang ke 38 kalau ikut kalender Islam!) di sebuah rumah lama yang ceritanya ada saya nukilkan dengan tajuk Rumah lama Perak di Janda Baik (An old Perak house in Janda Baik) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Malam semalam baru saya tidur di surau bersebelahan sungai ini...
Demi memuaskan gerak bercerita saya untuk hari ini (dan sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan muncul hujung minggu ini!) lebih-lebih lagi setelah berjaya menamatkan artikel terakhir untuk pengembaraan jauh terbaru yang dibuat Julai 2007, pengembaraan yang dipanggil sebagai "BKA tour run" kerana ia dilakukan seraya membuat promosi jalanan siri buku "Berpetualang ke Aceh", ini pula himpunan link-link cerita menurut susunan masa seperti yang telah dibuat dalam blogspot ini juga blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Sila baca dengan tertib ya!





---------------------------------





Tour terbaru "Berpetualang"... Berita dari Raub


Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?


Kuala Lipis, bandar yang comel!


BKA Tour Run: Dari Raub ke Gua Musang


Mendaki Bukit Panau


Danau Tok Uban pula...


BKA Tour Run: Jale-jale Kota Bahru, Kelantan


Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban!


BKA Tour run: Laporan daripada Aloq Setaq!


A typical day in Alor Setar?


BKA Tour Run: Alor Setar ke Kuala Kangsar sebelum melaporkan di Ipoh


From Kedah to Perak... The show must go on!


Gunung Semanggol... The threat from the mountains


Taiping to Kuala Kangsar... A dangerous look at Malaysian history?


Lapolan Ipoh mali... Tatak sombong punya!


Revisiting Teluk Intan the birth-place of my dad.....


Sampai masanya untuk meninggalkan Perak dan masuk ke Selangor...


From Perak to Selangor... Time to start settling down


A day at Kuala Kubu Baru


Finally, back to Kuala Lumpur!


BKA Tour Run... Laporan akhir setelah kembali ke Kuala Lumpur.





Dan bonusnya ini... Janda Baik revisited again... Kerana saya sebenarnya baru kembali daripada Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang... Sekarang ini menulis daripada sebuah Internet Cafe di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur pula... Hehe! :]

Kenangan di London bersama buah hati lama semasa pertama kali sampai 1991

Gambar hiasan - Inilah kali pertama saya melihat buah nona sebesar ini dan berwarna kuning pula... Selama ini saya cuma pernah berjumpa buah nona berwarna hijau dengan saiz tidak lebih setengah daripada ini... Buah nona ini diberikan oleh seorang penduduk Kampung Janda Baik kepada Puan Ainon, pemilik syarikat penerbitan buku PTS lebih seminggu lepas.

OK... Sebagai meneruskan gerak bercerita berdasarkan sedutan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III yang Insyaallah akan menemui khalayak ramai November ini, biar disajikan sedikit cerita daripada Bab 10. Sila...

---------------------


Fasten your seatbelt. We are now approaching Heathrow airport, London! “ teringat pengumuman ketua juruterbang setelah lebih 13 jam membelah udara tanpa-henti. Pesawat Jumbojet Boeing 747 yang dinaiki mula bergegar akibat penurunan laju daripada paras ketinggian 11,000 kaki ke paras laut. Dada pemuda itu berdebar-debar penuh harapan setelah lebih lima tahun mengidam untuk ke England - Dia pernah dibuang kolej kerana masalah disiplin dan nyaris-nyaris tidak dapat menyambung pengajian ke sana.
Kapalterbang mendarat lalu mengisi tempat yang disediakan. Aerobridge disambungkan kepada pintu pesawat dan penumpang mula keluar.
“Wow!” terkeluar reaksi awal melihat lapangan terbang utama Britain itu, salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di dunia. “Canggih!”
Kelihatan beberapa blok bangunan gergasi dikelilingi berpuluh pesawat pelbagai jenis dan saiz milik pelbagai syarikat. Terasa jauh bezanya dengan Lapangan Terbang Subang (ketika itu KLIA belum wujud) yang terasa begitu kecil dan third-world, begitu ketinggalan zaman.
Rasyid yang berpakaian segak dengan sepasang suit hitam lengkap milik almarhum Atuk Muar berserta kemeja putih bertali-leher (ramai juga orang menyangkakannya seorang businessman!) berjalan keluar menuju ke tempat pemeriksaan immigresyen. Setelah beratur lebih kurang 15 minit sampailah gilirannya untuk diperiksa. Pemuda itupun menghulurkan paspot dan embarkation pass. Sambil itu bersiap-sedia dengan financial guarantee letter, surat sokongan yang menyatakan dia mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk bermastautin di London, dikepilkan bersama surat tawaran untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di University College of London, sebuah universiti terkemuka di England yang termasuk di dalam kelompok besar University of London.
Pegawai yang bertugas meneliti rupa-paras pemuda itu sambil membandingkannya dengan gambar serta maklumat yang tertera di dalam paspot. Tak banyak beza gambar dengan orangnya...
I see, you come here for study, sir…” katanya seraya membelek visa pelajar di dalam paspot. “May I see your other supporting documents?” dia bertanya pula.
Rasyid menghulurkan surat-surat sokongan yang disediakan. Nampaknya teliti juga pegawai ini. Takut pemuda ini terrorist agaknya…
I see you got everything in order,” katanya, puas-hati setelah meneliti segala dokumen yang di beri lalu mengecop paspot.
Welcome to London, sir! Enjoy your stay here!” ucapnya dengan senyuman mesra seraya memulangkan semua dokumen-dokumen itu.
Anak muda itu melangkah lega. Secara rasmi, dia sudah berjaya memasuki London. Awal tadi, ada juga rasa takut kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini. Dia pernah mendengar cerita ada orang Malaysia yang ditahan pihak immigresyen lalu dihantar-balik dengan penerbangan seterusnya kerana masalah tertentu. Tak pastilah kenapa...
Rasyid pergi ke ruang bersebelahan untuk mengambil beg-beg pakaian dan keperluan di ruang menunggu bagasi lalu melangkah masuk ke ruang utama terminal. Sebaik sahaja melangkah keluar, terdengar satu laungan dengan satu suara yang agak familiar, biasa didengarnya…
“Abang! Sini, sini!”
Ah… Buah hati lamanya yang sampai seminggu lebih awal sudah sedia menunggu. Kota London, sudah sampai masa untuk kita berkenalan...

—————————

Banyak sungguh pengalaman baru hari itu. Setelah pertama kali menaiki kapal-terbang, pertama kali ke seberang laut, pertama kali ke London, pertama kali melihat lapangan terbang canggih seperti Heathrow, itulah pertama kali dia merasakan cuaca selain iklim khatulistiwa di tanah-air... Ketika itu England baru masuk musim luruh . Suasananya berangin sejuk dengan suhu sekitar 15 darjah Celsius., terasa berbeza sungguh dengan suhu 30 darjah di Malaysia.
Rasyid juga buat pertama kali merasa naik keretapi bawah tanah London Underground yang sering diceritakan orang.. Pemuda itu masih ingat perasaan pelik tetapi seronok apabila keretapi sampai di stesyen bawah tanah Heathrow di bawah lapangan terbang diikuti pengumuman aneh: “Mind the gap!”
Perkataan sama tertera di beberapa tempat sepanjang tepian pelantar.
“Apa ini, ‘Mind the gap!’, Mind the gap!’” dia bertanya seraya mengajuk…
Rupa-rupanya ia satu peringatan supaya berhati-hati apabila melangkah masuk ke dalam keretapi... Jangan sampai terjatuh kerana ada ruang sehingga selebar 1 kaki di antara pelantar dan keretapi.
Buah hati lamanya seronok melihat Rasyid begitu teruja. Itulah kali pertama dia melihat pemuda yang biasanya suka berseluar jeans dan t-shirt itu begitu segak memakai suit lengkap! Penumpang lain pula kelihatan hairan melihat seorang ‘businessman’ dengan beg-beg besar serta haversack di belakang memeluk seorang gadis berpakaian ranggi dengan muka seperti pelajar 15 tahun. Sudahlah masing-masing buat perangai macam jakun, seperti rusa masuk kampung pun ada, seorang kelihatan begitu dewasa, seorang lagi seperti bawah umur…
Setengah jam kemudian, keretapi bawah tanah itupun sampai ke Marble Arch, stesyen terdekat ke Malaysia Hall, tempat tumpuan pelajar dan warga-kerja Malaysia di London. Rasyid dan buah hati lama keluar menaiki escalator naik ke permukaan. Kelihatanlah sebuah arca besar yang diperbuat daripada batu mar-mar (sebab itu dipanggil Marble Arch) di tengah persimpangan jalan, bersebelahan taman terkenal kebanggaan rakyat tempatan Hyde Park.
Dari situ, mereka berjalan kaki menghala ke utara melepasi Malaysia Hall dan beberapa blok bangunan untuk ke rumah sewa wanita itu di Baker Street, sebuah kawasan perumahan yang agak ekslusif, terkenal dengan watak khayalan detektif ternama Sherlock Holmes ciptaan penulis Arthur Conan Doyle. Selepas berehat sebentar dan bertukar pakaian yang lebih selesa (apalagi, seluar jeans dan t-shirt kegemaran Rasyid lah tetapi mesti memakai sweater sekali kerana sejuk), pemuda itupun memulakan penjelajahan pertamanya di kota itu.. Destinasi pertamanya - Oxford Street, lebuh membeli-belah utama London.
Memang seronok bersiar-siar di sepanjang lebuh membeli-belah terkenal dunia yang menjangkau jarak 3km itu sambil singgah window shopping, cuci-cuci mata di gedung-gedung membeli-belah gergasi seperti Selfridge’s, Marks & Spencer dan Debenham’s. Pasangan yang memang suka berjalan kaki jauh bersama-sama sejak mereka berkenalan di Kuala Lumpur itu juga menjenguk beberapa kedai lain... Sambil melepasi lebuh-lebuh terkemuka seperti Regent Street dan menyelit-nyelit di tengah kebanjiran penduduk tempatan dan pelancong yang memenuhi hampir setiap inci kaki lima, rasanya tidak kurang lima kali lebih padat daripada keramaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika hujung minggu!
Pemandangan lautan manusia yang mengkagumkan itu dihiasi pula dengan deretan bas-bas dua tingkat London Transport berwarna merah, juga teksi-teksi besar berwarna hitam yang rupanya saling tak tumpak seperti kereta Rolls Royce lama. Masing-masing menjadi identiti tersendiri kota metropolitan terkenal dunia yang menampung sekitar 10 juta penduduk itu. Sampai ke stesyen Tottenham Court Road di penghujung timur Oxford Street, sebuah kawasan yang juga dikenali sebagai West End, Rasyid dan buah hati lama berjalan menghala ke utara sehingga menghampiri kawasan kampus University College of London yang akan menjadi tempat pemuda itu menyambung pengajian tinggi.
Mereka singgah sebentar di kedai buku kedua terbesar di London iaitu Dillon’s bersebelahan bangunan University of London Union, sebuah bangunan tiga tingkat sebesar pasaraya Batu Road Supermarket di Chow Kit ataupun gedung membeli-belah Mydin di Masjid India tetapi penuh dengan buku-buku pelbagai tajuk dan bermacam-macam subjek yang belum pernah ditemui pemuda itu di Malaysia. Apa yang membuat dia lebih seronok, itulah kedai buku pertama yang ditemuinya seumur hidup di mana seseorang itu boleh membaca apa-apa buku selama mana mereka suka sambil duduk bersila di atas lantai atau bersandar di tepi dinding. Malah pemuda itu cuba berbaring di atas lantai yang beralas permaidani... Tiada pula pembantu kedai yang menegur atau menghalaunya keluar. Ah... Terasa bagai berada di syurga dunia pula!
Rasyid keluar dengan senyuman lebar sampai ke pipi.
Tiba-tiba dia menoleh ke arah buah hati lama. “Cubit saya!” katanya...
“Hah? Apa dia?” wanita itu bertanya hairan.
“Cubit saya!”
“Kenapa?”
“Alah… Cubit sahajalah… Jangan banyak tanya!”


Gadis cantik berwajah budak sekolah menengah itupun mencubitnya.
“Kuat lagi! Kuat-kuat!” kata pemuda itu.
Buah hati lamanya menurut sehingga terbeliak mata…
“Adoi!” baru dia menjerit.
“Eh, kenapa awak ini? Buang tebiat ke?” wanita itu semakin pelik.
“Tidak ada apa-apa,” kata Rasyid tersengih seperti kerang busuk. “Sahaja-sahaja, hendak pastikan saya tidak bermimpi!”
Mereka ketawa riang lalu meneruskan perjalanan... Kali ini menghala ke selatan melepasi School of Oriental, African and Slovanic Studies, British Museum, seterusnya stesyen Holborn untuk menyusuri lebuh Kingsway hingga ke Aldwych, lokasi sebuah universiti pengajian ekonomi yang terkemuka di dunia, London School of Economics, tempat buah hati lama itu menuntut.
Dalam hari pertamanya di London, pemuda itu juga sempat bersantai di tempat-tempat tumpuan pelancong terkemuka yang sering menghiasai poskad antarabangsa, tempat-tempat seperti Trafalgar Square dan Piccadily Circus. Hari itu sahaja, dia berjalan kaki lebih 10km! Belum dikira hari-hari berikutnya membelek barangan antik di Camden Town atau menikmati hiburan jalanan termasuk orkestra kecil four piece classical music di Covent Garden, tempat tumpuan warga seni jalanan di kota London, tempat yang pernah memberi rakyat Malaysia yang sealiran ilham untuk menerbitkan Central Market di Kuala Lumpur. Belum dicampur hari-hari kemudian santai di taman-taman bunga seperti Hyde Park dan Regent’s Park atau menikmati angin tepian Sungai Thames sambil melihat jam besar Big Ben atau jambatan tergantung Tower Bridge. Pendek kata, cukup banyak tempat menarik di sana. Sesetengahnya begitu unik membuatkan seseorang itu tersenyum lebar sampai ke pipi. Boleh ditulis sebuah buku semata-mata untuk menceritakan semua ini...

Mengenang kembali pengembaraan 2 bulan Disember 2006-Februari 2007

Gambar kompleks makam Sultanul Ariffin Sheikh Ismail di Pulau Besar sebagai hiasan...


Tadi dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH saya telah menyaipkan artikel terakhir tentang perjalanan jauh terbaru saya yang dibuat bulan Julai 2007 untuk meliputi negeri-negeri Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor. Timbul rasa untuk mengatur semua link-link dalam chronological order atau turutan masa kerana artikel-artikel asal mungkin ditulis ikut sesuka hati saya, bila nak tulis terus sahaja buat tanpa mengira bilakah sesuatu cerita itu berlaku.

Tetapi saya rasa proses ini tidak akan lengkap kalau tidak mengatur kembali cerita-cerita yang dibuat berdasarkan pengembaraan sebelum itu yang memakan masa tempoh 2 bulan, satu perjalanan yang meliputi beberapa lokasi di Pahang, Terengganu, Kelantan, Johor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak pula! Maka itu di sini saya sediakan supaya lebih senang ditatap pembaca. Mungkin di sebalik apa yang tersurat, akan dapat ilmu yang tersirat? Maklumlah, saya menulis mengikut gerak rasa pada sesuatu masa, selalunya tanpa terfikir atau mengetahui pun kenapa saya mengambil sesuatu sudut penceritaan atau mengenengahkan sesuatu perkara... Mungkin apabila diatur balik, akan nampaklah mesej yang tersirat hasil gerak daripada Ilahi jua, Insyaallah! Inilah link-link nya...


Trip to the East Coast


Tambahan (dibuat 23 April 2021) : Bila disemak kembali betul-betul rupa-rupanya ada beberapa artikel pernah dibuat dalam bahasa Melayu di blogspot ini tentang perjalanan yang sama. Cuma tidak selengkap seperti dalam blogspot berbahasa Inggeris. Biar dikongsikan di bawah :-








Sekali lagi - Hal-hal yang nyata vs. perkara-perkara ghaib

Gambar hiasan - Sungai di kawasan Pulau Santap, Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang...

Lagi perkara untuk difikirkan... Tentang hal-hal nyata yang kita selalu pegang sebagai fakta dalam dunia moden sekarang berbanding hal-hal ghaib yang belum tentu dapat dirasai semua orang maka tidak dapat dibuktikan secara ilmiah melalui kaedah yang diakui ilmu Sains. Daripada bab pembukaan buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III, bab bertajuk "Mukadimah: Sedikit catatan tentang tarikh dan peristiwa yang bercanggah"...

---------------------------

Suatu masa dahulu Rasyid juga kurang percaya terhadap perkara-perkara ghaib kerana terlalu menyanjung tinggi logik serta cara pemikiran rasional. Pemuda ini cuma mahu percaya apa yang dapat dibuktikan dengan lima pancaindera zahir, atau istilah ilmiahnya empirical science - ilmu Sains yang terbukti apabila sesuatu percubaan kajian ataupun eksperimen boleh diulang kembali dan dibuktikan hasilnya dengan konsisten di mana-mana makmal di mukabumi... Atau apa yang dapat dibahaskan di dalam dunia pemikiran mengikut hukum logik akal yang berasaskan apa yang dikenali sebagai Aristotlelian Logic, kaedah mencari kebenaran sesuatu perkara mengikut cara pemikiran ahli falsafah Yunani purba terkenal, Aristotle.
Anak Melayu jati ini pernah memandang remeh sejarah bangsa sendiri yang mengandungi banyak cerita-cerita pelik tidak masuk akal. Seperti kebanyakan anak berpendidikan Barat, Rasyid turut mempersoalkan kewujudan Hang Tuah... Apakah ia cuma satu mitos yang dicipta untuk menaikkan semangat orang Melayu yang hilang arah apabila dijajah? Sebagai orang yang kononnya telah mengkaji berbagai jenis sistem politik dan yakin terhadap sistem demokrasi, pemuda ini pernah mempersoalkan apakah relevannya sistem beraja. Lalu dia juga terperdaya dengan dakyah Barat yang mendakwa Raja-raja Melayu kononnya berasal daripada lanun yang mendapat kuasa dan takhta hanya kerana mereka kuat...
Sampai suatu masa, Allah SWT menunjukkan pemikiran logik yang amat diagung-agungkannya itu tidak sampai pun ke mana... Kepandaian akal fikiran yang pernah didewa-dewakan sehingga sanggup cuba merungkai masalah keTuhanan melalui sudut pandangan ilmu Sains peringkat tinggi seperti Quantum Physics, Theory of Relativity, Unified Field Theory dan sebagainya tidak mampu menggapai kebenaran yang hakiki. Malah bila direnung kembali apa yang telah berlaku, Rasyid bukan sahaja telah tersilap arah malah nyaris-nyaris jatuh kafir! Pemuda ini mulai sedar, banyak lagi perkara yang tidak diketahuinya... Begitu luas lagi rahsia alam ini dan kebanyakan jawaban bagi persoalan yang membelenggu fikirannya selama ini sebenarnya terletak di dalam lingkungan apa yang dipanggil sebagai perkara-perkara ghaib yang cuma boleh disusuri melalui ilmu Tasawuf dan hati yang murni. Ingat. Bukankah kita disuruh beriman dengan Allah SWT dan para malaikat? Dengan Hari Kiamat, Qada dan Qadar, Syurga dan Neraka yang kita tidak boleh nampak atau rasa dengan pancaindera zahir yang lima? Hal-hal yang tidak dapat diukur dengan akal fikiran biasa?
Apapun, ini tidak bermakna anak muda ini cuba mengetepikan logik langsung. Dalam menulis buku ini, dia cuba mengikut fakta yang diterima logik sedapat mungkin seperti yang dipersetujui secara umum oleh para pengkaji sejarah yang mana hasil kajian mereka telah diterima ramai lalu dijadikan bahan buku teks sejarah... Begitu juga sumber pengkajian yang lebih tinggi seperti thesis dan kertas-kerja sejarah peringkat universiti digunakan untuk memahami apa yang pernah berlaku di bumi Timur walaupun ia belum lagi sampai pada masyarakat umum untuk diteliti semua pihak... Cuma kita mesti ingat, fakta-fakta yang dikemukakan secara ilmiah oleh para pengkaji yang diiktiraf ramai pun tidak semestinya tepat. Sebagai manusia biasa yang tidak sempurna, mereka boleh sahaja berlaku khilaf dan membuat kesalahan yang tidak disengajakan... Kerana perkara-perkara yang dikaji melibatkan peristiwa yang telah berlaku beratus tahun dahulu, ada masanya beribu tahun sebelum dunia yang dikenali sekarang wujud...

Jumaat, Oktober 05, 2007

BKA III akan bergerak lebih laju, Insyaallah!

Nota: Penulisan ini telah dimulakan dengan gambar di bawah yang di upload petang tadi kemudian disimpan dalam bentuk draft... Malam ini setelah masuk jam 10 baru saya boleh menyambung dengan sedikit cerita lalu boleh disiarkan untuk tatapan umum.
Oh... Sila jenguk cerita-cerita yang dibuat lebih awal tadi iaitu From Perak to Selangor... Time to start settling down dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan Masjid (mosque of) Tanjung Malim dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...


Di atas adalah gambar saya bersama saudara Syed Munawar, pengacara rancangan Resensi dan Selamat Pagi Malaysia di RTM. Ia diambil di Studio 2 pagi semalam semasa membuat satu temu-bual tentang siri buku "Berpetualang ke Aceh" untuk program Resensi akan datang, Insyaallah akan dipaparkan di televisyen selepas Hari Raya nanti.

Adapun kami telah berhubung sejak 3 bulan lalu. Pernah awal dahulu saudara Syed Munawar menghantar message agar saya dapat hadir untuk satu proses recording yang dibuat di luar studio, kalau tak salah ingatan di sebuah universiti di pinggir ibukota tetapi ketika itu saya pula sedang sibuk dengan beberapa hal. Kemudian rancangan Resensi dipenuhi oleh ulasan-ulasan tentang buku-buku keluaran pihak tertentu terutama yang membawa kepada sambutan kemerdekaan ke 50 tahun negara... Pendek-kata jadual penuh! Baru 2 hari lepas saya dihubungi agar datang ke studio untuk program Resensi atau ulasan buku kelolaan RTM ini.

Rupa-rupanya segala yang berlaku ada hikmahnya... Jika ditemu-bual lebih awal, mungkin saya cuma dapat bercerita tentang buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I dan buku kedua "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II. Sebaliknya kelambatan yang berlaku menyebabkan saya sempat menyiapkan buku ketiga yang melengkapkan trilogi siri... Itulah dia buku "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang?" atau BKA III yang masuk kilang percetakan Isnin baru ini!

Bayangkan... Buku itu masuk kilang hari Isnin... Belum siap pun lagi kerana percetakan akan memakan masa sekurang-kurangnya seminggu apalagi ketika semua orang sibuk bersedia menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan berlangsung tidak sampai 10 hari lagi. Tiba-tiba hari Selasa saudara Syed Munawar menghubungi saya untuk menghadiri program Resensi. Maka hari Rabu sempatlah saya membuat satu cetakan sendiri kulit buku BKA III yang boleh digunakan sebagai mock dalam temu-bual nanti.

Alhamdulillah temu-bual itu telah selesai dengan jayanya. Dan saya juga dapat menunjukkan bagaimana rupa buku BKA III yang dijadualkan (sudah letak di dalam buku bulan keluarannya) akan menemui khalayak ramai November ini. Temu-bual ini akan keluar di televisyen selepas Hari Raya pada satu tarikh yang akan diberitahu... Segalanya cukup cantik untuk menyaksikan BKA III bergerak lebih laju daripada BKA I dan BKA II, Insyaallah.

Pagi tadi pula saya baru selesai menyerahkan 1115 naskah BKA II untuk Perpustakaan Negara. Ini ditambah sedikit cerita yang baru diluahkan dalam blogspot-blogspot saya yang lain iaitu BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) membuat diri ini terasa begitu lega malam ini. Alhamdulillah! Maka terimalah sedikit lagi sedutan daripada BKA III sebagai hadiah untuk pembaca ya... Ini dia, daripada bab permulaan bertajuk "Mukadimah: Sedikit catatan mengenai tarikh dan peristiwa yang bercanggah" ! :]

--------------------------------

Pengalaman sebagai wartawan mengajar Rasyid bagaimana sesuatu peristiwa boleh diubah untuk memenuhi citarasa tertentu supaya boleh dihidangkan kepada khalayak ramai dengan tujuan mempengaruhi fikiran mereka ke arah mempercayai sesuatu perkara. Contohnya, selepas pulang daripada sebuah perhimpunan yang dianjurkan pihak tertentu, dia pernah ditanya berapa ramaikah manusia yang menghadiri perhimpunan itu...
Pemuda yang telah mempunyai banyak pengalaman menghadiri pelbagai acara besar melibatkan pelbagai peringkat dan lapisan masyarakat itupun menjawab 3,000 orang, mengikut anggaran mata kasarnya... Lalu diarahkan supaya meletakkan angka 1,000 dalam laporan berita untuk menggambarkan penyokong perhimpunan itu tidaklah seramai mana.
Pada ketika lain pula, perhimpunan yang dihadiri 3,000 orang disuruh "tingkatkan" menjadi 5,000 supaya mereka yang membaca laporan akhbar itu percaya, perhimpunan tersebut mendapat sokongan ramai. Pada pihak pengarang, ini adalah satu perkara biasa di dalam dunia kewartawanan... Sesuatu peristiwa itu boleh sahaja dilihat daripada berbagai sudut. Maka terpulanglah kepada kita untuk mengetengahkan yang mana…
Rasyid faham ada masanya suatu laporan itu perlu di"adjust", diubah-suai demi kepentingan negara... Salah satunya supaya tidak wujud huru-hara yang boleh menakutkan pelabur luar yang telah menyuntikkan berbillion Ringgit ke dalam ekonomi Malaysia. Hakikatnya, samada kita suka atau tidak, keutuhan kewangan negara juga bergantung kepada mereka.
Keadaan ini boleh diibaratkan begini: Jika diketahui ada pengganas telah menanam bom di dalam lapangan terbang, pihak keselamatan tidak boleh membuat pengumuman "lurus bendul" mengatakan terdapat sebiji bom menunggu masa untuk meletus. Ini akan menyebabkan orang-ramai panik, lagi susah hendak memperbetulkan keadaan. Maka sebuah alasan yang "lebih lembut" akan dikemukakan untuk mengajak mereka beredar ke tempat selamat sementara pihak yang berkebolehan mencari bom.
Tetapi pemuda itu tetap percaya, jika kita betul-betul jujur, betul-betul orang Islam, maka kita tahu sudut mana yang perlu diambil, sesuai dengan agama yang menyuruh kita menyampaikan apa yang benar mengikut kadar yang sesuai. Kalau untuk kepentingan orang ramai, untuk kemaslahatan umum dia tiada masalah untuk menyembunyikan sesetengah fakta. Tetapi kalau untuk menyelamatkan individu tertentu seperti yang sering terjadi di dalam realiti, hmm... Ini memang masalah...
Apapun, hakikatnya, samada anda suka atau tidak, whether you like it or not, itulah kenyataan hidup, realiti dunia hari ini… Bukan semua manusia bersifat jujur malah zaman sekarang ini cukup susah untuk mencari orang yang sanggup mengotakan perkara yang benar. Seringkali manusia cuma mahu menaikkan orang yang disokong sehingga membelakangkan atau menjatuhkan langsung orang yang tidak disukai. Wujud pula pertimbangan politik, wang ringgit serta untung rugi menyebabkan sesuatu artikel itu boleh diwarnai secukup rasa demi menjaga periuk nasi sendiri.
Sesuatu laporan, artikel ataupun rencana yang keluar di dada akhbar seringkali diterima sebagai kebenaran tanpa banyak soal. Sampai satu masa, ia akan menjadi dokumen sejarah serta sumber rujukan generasi akan datang lalu menjadi "bukti ilmiah" kerana telah didokumentasikan mengikut garis panduan yang boleh diterima ahli sejarah.
Ramai tidak sedar, jika asas sesuatu cerita itu sudah lari daripada kebenaran, apatah lagi bila ia menjadi rujukan sejarah? Lalu cerita-cerita yang telah diwarnai pihak berkepentingan boleh diterima masyarakat umum yang tidak sedar mereka telah ditipu bulat-bulat secara "lmiah". Tidak hairanlah nanti akan timbul cerita-cerita yang bercanggah.
Interpretasi sesuatu peristiwa siaran akhbar-akhbar rasmi yang mempunyai ramai pembaca lebih senang diterima sebagai cerita yang ‘sahih’ sedangkan pihak yang tertindas, yang ceritanya telah digelapkan pula tidak diendahkan. Mereka terpaksa "makan hati", disisih daripada pandangan serta sokongan majoriti. Maka pihak yang tertindas cuma dapat menyatakan kebenaran sesuatu peristiwa itu kepada orang-orang yang tertentu, mungkin di kalangan keluarga dan sahabat handai terdekat.
Begitu juga yang telah berlaku dahulukala... Sementara cerita ‘rasmi’ yang dijaja pihak yang berkuasa mewarnai sesuatu peristiwa diakui sebagai fakta sejarah yang tidak boleh disanggah, kebenaran yang disimpan pihak yang terpinggir pula cuma dapat dikekalkan turun-temurun melalui lisan dan ingatan. Lalu timbullah apa yang dinamakan atau dikenali sebagai cerita-cerita lisan atau cerita orang tua-tua, cerita-cerita yang selalunya dianggap sebagai mitos ataupun legenda sahaja oleh para pengkaji sejarah yang menggunakan "kaedah-kaedah ilmiah" apalagi jika cerita itu mengandungi peristiwa-peristiwa yang tidak masuk akal...