Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mac 19, 2020

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia

Salam semua. Adapun hari ini adalah hari ke-2 seluruh negara Malaysia berada dalam perintah pergerakan terhad (restricted movement) yang bermula sebaik sahaja masuk tarikh 18 Mac 2020 tengah malam semalam akibat wabak virus Covid-19 yang sudah sebulan dua melanda dunia. Disebabkan itu edisi ke-6 siri syarahan  buku "Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam") oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar bagi tahun 2020 di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang sepatutnya berlangsung petang Rabu semalam harus ditangguhkan sehingga perintah pergerakan terhad dijadualkan selesai 31 Mac. Apapun ada perkongsian tentang siri syarahan boleh dibuat kerana edisi ke-5 yang berlangsung petang Rabu sebelumnya 11 Mac iaitu pada 8 hari lalu masih belum diceritakan. Sebelum itu biar diputar masa dahulu 3 hari lagi ke belakang.


Ini adalah gambar pemandangan satu bahagian bandar raya Kuala Lumpur diambil pada tengah hari Ahad 8 Mac 2020. Ia diambil dari serambi kondominium seorang kawan di Sentul. Dari atas itu dapat dilihat bangunan ISTAC tersergam indah menyerlahkan seni bina bercirikan Istana Alhambra legasi zaman keemasan Islam Andalusia yang pernah wujud di Semenanjung Iberia (wilayah paling barat Eropah di mana terdapat negara Portugal dan Sepanyol) beberapa ratus tahun yang lampau. Gambar diambil apabila didapati susah untuk menemukan gambar ISTAC tersergam besar daripada jauh melalui Google


Ini disedari ketika mahu membuat slaid bagi pembentangan mengaitkan ISTAC dengan zaman keemasan Andalusia. Bila sudah diambil sebegini rupa lebih terserlahlah persamaan dengan Istana Alhambra yang telah dijadikan tarikan pelancongan sejak beberapa lama. Lihat artikel Semangat keilmuan Andalusia dalam menongkah arus zaman di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Rujuk juga artikel sebelum ini Acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020


Sebelum mengambil gambar-gambar tadi saya dan keluarga ada berjalan-jalan di taman cantik sebelah kondominium di Sentul. Lihat artikel A walk around Sentul Park di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Sekarang pergi kita ke ISTAC pada petang Rabu 11 Mac. Saya sampai pada jam 3.22 petang untuk menyelesaikan beberapa urusan pejabat. Kalau tidak kerana harus menghantar anak-anak ke sekolah agama terlebih dahulu jam 2.30 petang tentu saya akan sampai lebih awal.


Selesai urusan saya membuka komputer riba untuk memulakan penulisan artikel Semangat keilmuan Andalusia dalam menongkah arus zaman. Ketika gambar ini diambil jam 5.21 penulisan sudah siap. Tetapi ia masih memerlukan satu lapisan suntingan dan semakan baru boleh dipersembahkan. Sedangkan mengikut jadual syarahan "Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam" sudah bermula jam 5.15.


Nak tak nak saya harus bergerak masuk ke bilik yang digunakan untuk syarahan. Dengan mengusung komputer dalam keadaan terbuka (ia lebih mudah diusung dalam keadaan terkatup tetapi ini akan menyebabkan suis komputer dimatikan lalu mengambil masa untuk dihidupkan kembali) saya pun mengambil tempat. Gambar ini diambil jam 5.24. Selepas itu saya harus membuka PDF buku "Classification of Knowledge in Islam" sebagai rujukan bagi mengikuti syarahan.


Tumpuan penuh pun mula diberikan pada syarahan. Menurut turutan bacaan dalam buku ia harus bersambung daripada syarahan terdahulu seperti dikongsikan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar (dipersembahkan 5 Mac). Kedengaran Osman sedang menerangkan apakah itu maksud dan konsep fakulti yang wujud dalam diri manusia. Perkataan asalnya dalam bahasa Inggeris iaitu "faculty" membawa dua makna. Satu adalah kebolehan-kebolehan yang wujud pada diri manusia lalu dalam hal-hal tertentu boleh disamakan dengan deria. Misalnya :-

Faculty of hearing = fakulti pendengaran = deria pendengaran

Faculty of seeing = fakulti penglihatan = deria penglihatan


Daripada segi 'dalaman' pula kepandaian boleh dikaitkan dengan faculty of intelligence. Ia bukan lagi satu bentuk deria tetapi kebolehan bersifat abstrak. Bandingkan dengan pemahaman biasa kita tentang apa itu fakulti. Kita cuma biasa dengar fakulti berupa cabang-cabang pengajian dalam suatu universiti. Saya pun menyemak makna perkataan 'fakulti' iaitu daripada perkataan faculty yang telah diMelayukan. Lihat apa kata kamus Dewan Bahasa dan Pustaka versi atas talian (on-line) :-


[fa.kul.ti] | فاکولتي

Definisi : 1 jabatan di universiti (kolej) yg mengajarkan sesuatu cabang ilmu atau yg khusus dlm sesuatu jurusan pengajian: ~ sastera. 2 pensyarah-pensyarah dan mahasiswa-mahasiswa dr sesuatu jabatan ilmu pengetahuan di universiti. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)



Nah. Nampak tidak bagaimana perkataan Melayu fakulti telah disempitkan makna berbanding perkataan asal "faculty" dalam bahasa Inggeris? Biar diambil takrifan berkenaan dalam bahasa Inggeris melalui Google...



faculty
/ˈfak(ə)lti/
Filter definitions by topic
See definitions in:
All
University
Ecclesiastical
noun
  1. 1.
    an inherent mental or physical power.
    "her critical faculties"
    Similar:
    power
    capability
    capacity
    facility
    potential
    potentiality
    propensity
    wherewithal
    means
    preparedness
    senses
    wits
    reason
    intelligence
  2. 2.
    a group of university departments concerned with a major division of knowledge.
    "the Faculty of Arts"
    Similar:
    department
    school
    division



Lihat makna nombor 1 - an inherent mental or physical power - merujuk pada kebolehan-kebolehan yang ada pada diri manusia. Inilah yang mahu ditekankan oleh Osman dalam edisi ke-5 syarahan...

Penerangan tentang makna sebenar fakulti perlu diberikan kerana syarahan telah masuk pada sub-topik 2.3 buku. Tajuknya "The Hierarchy of Faculties of the Human Soul" boleh diterjemahkan sebagai "Hierarki Fakulti-fakulti Roh Manusia". Maka harus difahami terlebih dahulu bagaimana perkataan fakulti itu merujuk pada kebolehan-kebolehan yang ada pada diri manusia luar dan dalam, bukan fakulti sebagai satu jabatan besar pengajian di universiti sahaja. Namun fakulti dalam konteks universiti tetap boleh dijadikan perbandingan dan rujukan jika dilihat dalam konteks ideal dan benar. Osman menyebut, Syed Naquib al-Attas (Tan Sri Profesor, pemikir besar Islam yang mengasaskan ISTAC) pernah menyatakan bahawa sebuah universiti patut menggambarkan fakulti-fakulti yang ada pada seorang manusia dalam bidang ilmu pengetahuan. Setiap satu fakulti ada pengkhususan bidang dan peranan. Masing-masing ada kerja tanpa mengganggu yang lain namun tetap menyumbang pada kesejahteraan keseluruhan. 

Osman pun menyebut perkataan Arab Quwwah al-Natiqah sebagai membawa makna faculty of rationality (ingat, syarahan dibuat dalam bahasa Inggeris). Ini saya terjemahkan sebagai fakulti kerasionalan. Menggunakan contoh ini perkataan Quwwah boleh dikaitkan dengan perkataan faculty. Sedangkan daripada perkataan Quwwah itulah juga timbul perkataan Melayu "kuat". Maka kata Osman, fakulti juga boleh diterjemahkan sebagai kekuataan.

"Kekuatan untuk mendengar, kekuatan untuk melihat, kekuatan untuk mena'akul (menggunakan akal fikiran, intellect, bukankah itu semua merujuk pada fakulti yang wujud dalam diri manusia?" tambah beliau.

Sekarang terus pada bacaan teks. Tak mahu lagi dipanjangkan ulasan kerana disebabkan soal jawab yang timbul akibat ulasan lebih sejam syarahan masih bersekitar pada ayat pertama dalam perenggan pertama sub-topik 2.3.

Sudah disebut dalam syarahan terdahulu bahawa Al-Farabi dan sejumlah ulamak silam Islam menafsikan ilmu psikologi atau ilmu jiwa sebagai ilmu an-nafs.  Ayat pertama pun menyebut Al-Farabi membincangkan ilmu jiwa ini kebanyakannya dalam 4 buah kitab beliau yang terkenal iaitu :-


1. Risalat fi'l-aql - Risalah Tentang Akal (terjemahan saya - Osman memberikan terjemahan bahasa Inggeris Treatise on the Intellect)

2. al-Madinat al-fadilah - Kota Kebaikan (terjemahan saya juga, begitu seterusnya bagi tajuk-tajuk lain. Malas hendak dipanjangkan ulasan kerana bab satu kitab ini sahaja dah memakan masa sekitar 15 minit)

3. al-Siyasat al-Madaniyah - Siasah Negarakota  (ilmu kenegaraan dalam mentadbir suatu kota - Madinah adalah kata umum Arab bagi kota, Madinah yang biasa kita dengar di Tanah Arab itu rujukan khususnya adalah Madinatun Nabi - Kota Nabi)

4. Fusus al- Hikam - Kumpulan-kumpulan Perkataan Hikmah (sebelum membaca buku Osman saya cuba pernah dengar tajuk tersebut pada satu kitab Ibnul Arabi, selepas itu baru tahu Al-Farabi yang hidup 2 abad lebih awal telah menggunakan tajuk ini)


Secara rata apa yang mahu diperkatakan adalah Al-Farabi telah menerangkan dan membahagikan fakulti-fakulti kebolehan manusia kepada beberapa kumpulan dan peringkat menurut hierarki dan ini ada disebut dalam 4 kitab beliau. Konsep haywan al-natiq iaitu haiwan yang berfikir ada dipakai dalam menerangkan diri manusia dan ia telah digunakan ramai ulamak Islam



Syarahan dipanjangkan tanpa ulasan panjang sehingga memasuki separuh muka surat 49. Konsep natiq yang terkait dengan akal dan kepandaian (intelligence) diulas sedikit lagi dengan satu lagi bentuk perkataan sama dalam bahasa Arab iaitu nutq. Nampaknya ia sebagai persediaan untuk syarahan ke-6 dalam keadaan masa semakin suntuk kerana 2 jam yang diperuntukkan bagi syarahan rata-rata telah dihabiskan untuk menerangkan apakah makna fakulti diikuti ulasan dan soal jawab melibatkan beberapa ayat terawal. Cukuplah perkongsian daripada saya ya. Sekadar menambah apa yang mungkin 'tergantung' tadi - Artikel Semangat keilmuan Andalusia dalam menongkah arus zaman akhirnya disiapkan lalu dipersembahkan setelah saya kembali ke rumah lewat malam.


Ahad, Mac 15, 2020

Acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur 22 Februari 2020

Pembaca setia blogspot ini harus tahu bahawa setiap kali saya ada mengadakan acara atas nama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman) mesti ada sedikit sebanyak disebut dan diceritakan tentangnya di blogspot ini walaupun ada blogspot khas untuknya iaitu Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Namun entah kenapa kali ini, untuk acara ke-22 kami yang telah selamat berlangsung di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Kuala Lumpur pada 22 Februari 2020 terlupa langsung untuk menyebut tentangnya. Yang ada sekadar menyatakan dalam satu dua artikel bahawa ada acara perlu ditangani. Oleh itu biar artikel 'penggulungan' acara yang baru siap di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) beberapa minit tadi disalin isi untuk membentuk  artikel ke 1,915 di sini.


------------------




Salam sejahtera semua. Setelah beberapa lama sampailah masa semua artikel yang telah dibuat tentang acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) dikumpulkan pautan  dalam satu artikel 'penggulungan'. Sekadar mengingatkan turutan peristiwa dan keadaan. Adapun acara di ISTAC itu adalah kesinambungan bagi acara ke-21 HIKMAH di Aceh setengah tahun lalu. Lihat Acara kedua puluh satu HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Muzium MAPESA/Pedir, Aceh 1-3 September 2019. Sebelum itu HIKMAH pernah berehat panjang daripada mengadakan apa-apa acara. Malah sebenarnya kami tidak mahu lagi mengadakan majlis sampai bila-bila.

Hal ini diputuskan selepas mengadakan acara ke-20 HIKMAH di bahagian lain Aceh (lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017). Sebab musabab ada diceritakan dalam artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini?. Ketika itu  sepanduk utama HIKMAH yang telah dibawa ke sana ke mari sejak hampir penghujung tahun 2012 (rujuk Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012) baru diserahkan kepada orang Aceh. Selepas beberapa lama sepanduk 'ditapakan' di wilayah yang sangat terkenal dengan perjuangan tinggi Islam itu baru timbul isyarat dan gerak untuk mengadakan kembali acara.

Jadilah acara ke-21 di Aceh September tahun lalu selepas sepanduk dibawa merata pusing Aceh dan utara Pulau Sumatera dalam satu pengembaraan darat yang meliputi jarak dekat 2,000 km. Lihat Kompilasi artikel perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos - 4 September 2019 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Acara ke-22 di ISTAC pada 22 Februari 2020 pula menyaksikan sepanduk dibuka kembali di Malaysia menandakan perjuangan disambung lagi di tanah air ini. Ia juga adalah simbolik membawa semangat perjuangan Aceh yang sebenarnya ada kaitan dengan Semenanjung Tanah Melayu malah ISTAC itu sendiri. Kaitan khas dengan ISTAC ada kena mengena dengan tema acara iaitu "Salam Fakir Andalusia".


Persediaan untuk acara...


1. Acara ke-22 HIKMAH di ISTAC - Menyelami irama asyik Andalusia bagi menongkah arus zaman

2. Sedikit perkembangan terbaru tentang penganjuran acara ke-22 HIKMAH di ISTAC

3. Tatacara penggunaan ruang bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC

4. Beberapa persiapan akhir bagi acara ke-22 HIKMAH di ISTAC


Apa yang berlaku sepanjang acara...


1. HIKMAH ISTAC 2020 - "Salam Fakir Andalusia", kelebihan ilmu dan signifikan mengadakan acara di ISTAC

2. HIKMAH ISTAC 2020 - Menelusuri pelbagai aspek peradaban Melayu demi kebangkitan ummah akhir zaman


Kertas kerja atau/dan perkongsian rasa yang telah dipersembahkan...


1. Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia – Radzi Sapiee @ Merah Silu, pengkaji dan penulis buku, presiden HIKMAH

2. Keris Sebagai Pakaian Peradaban Melayu – Tengku Ahmad Ridhaudin, penulis dan calon PhD di ISTAC dalam bidang pemikiran Islam khusus pada kajian keris, presiden ISTACSS (Persatuan Pelajar ISTAC)

3. Ilmu Kejuruteraan di Alam Melayu dan Islam – Shaiful Hakim, pensyarah kejuruteraan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan calon double PhD dalam bidang Aerospace Engineering di UPNM dan Institut National Science Applique (INSA) di Bourges, Perancis

4. Dinar dan Dirham Sebagai Wadah Kebangkitan Ummah – Hazrin Marjan, perunding kewangan Islam dan aktivis dinar dirham

5. Melayu dan Islam Berpisah Tiada – Profesor Datuk Dr Awang Sariyan, penyandang Kursi Za’aba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

6. Semangat Keilmuan Andalusia Dalam Menongkah Arus Zaman – Radzi Sapiee @ Merah Silu, pengkaji dan penulis buku, presiden HIKMAH


Antara yang dapat dikongsikan dengan butiran di blogspot...







6. Semangat keilmuan Andalusia dalam menongkah arus zaman


Acara juga boleh diikuti melalui video klip...


Video-video sekitar acara ke-22 HIKMAH di ISTAC



Jumaat, Mac 13, 2020

Mengenangkan satu permulaan baru dalam dunia penulisan lebih 13 tahun lalu

Salam hari Jumaat ke-3 bulan Rejab tahun 1441 Hijriah. Ia juga adalah "Friday the 13th" atau Jumaat 13 hari bulan menurut kalendar Barat/Gregorian kerana tarikh hari ini adalah 13 Mac atau 13/3 bagi tahun 2020 Masihi. Adapun beberapa hari kebelakangan saya telah menyibukkan diri mengumpulkan pautan-pautan artikel daripada blogspot BERPETUALANG KE ACEH untuk diatur menurut kategori seperti bukit dan gunung (yang pernah didaki), kenderaan air  (pernah dinaiki, bot, feri dan sebagainya) juga tasik dan air terjun. Ini kerana mengingatkan bahawa blogspot itu telah dikhaskan untuk berkongsi artikel-artikel melibatkan pemandangan dan kecantikan/keistimewaan suatu tempat. 

Di situlah juga paling banyak diketengahkan gambar-gambar yang diambil sendiri dalam pengembaraan dan perjalanan. Selepas meneliti satu persatu setiap daripada lebih 2,000 artikel yang ada lalu  dimasukkan ke dalam kategori yang difikirkan paling bersesuaian sampailah pada artikel pertama blogspot. Untuk makluman penelitian dibuat bermula daripada artikel terkini memutar balik masa ke belakang. Sampai pada artikel lama yang diberi tajuk A New Beginning  itu baru tersedar dan teringat ia adalah artikel pertama saya tulis dalam mana-mana blogspot

Tercatat dalam artikel bahawa saya menulisnyat lebih 13 tahun atas saranan seorang bapa saudara. Beliau mendapati menulis di blogspot boleh membantu kita menjadi lebih tenang dan terurus.




Hal ini menyebabkan timbul rasa untuk membuat status update berkenaan di Facebook. Di bawah ini adalah teks tersebut, di atas adalah screen capture (tangkapan layar?) yang diambil daripada FB setelah 17 minit ia dipaparkan tengah malam tadi...


-----------------



GERAK PENULISAN BLOGSPOT LEBIH 13 TAHUN LALU YANG BERCAMBAH MENJADI PELBAGAI PERKARA

Subhanallah. Sedar tak sedar sudah lebih 13 tahun saya membuka blogspot pertama saya BERPETUALANG KE ACEH. Untuk makluman blogspot berbahasa Inggeris  ini dimulakan atas saranan seorang bapa saudara. Katanya bagus untuk dijadikan wadah bagi melepaskan/meluahkan rasa sambil menjadi terapi jiwa. Ia berjaya menjadikan beliau lebih lembut hati, tidak lagi garang seperti dahulu. Saya juga mendapati muncul faedah serupa malah banyak lagi menjadikan diri ini lebih baik dan bertimbang rasa berbanding sebelum itu.

Nama BERPETUALANG KE ACEH diberikan sempena nama siri trilogi novel saya yang mula menemui pembaca Jun tahun 2006. Blogspot pula dimulakan pada bulan November tahun sama. Kebetulan tengah malam ini sudah masuk tarikh 13/3. Eloklah dibuat update perkongsian ini.

Kini saya telah memiliki 3 buah blogspot dengan jumlah artikel telah dipaparkan adalah seperti berikut :-

CATATAN SI MERAH SILU (1,913 artikel bahasa Melayu)

BERPETUALANG KE ACEH (2,054 artikel bahasa Inggeris)

SENI LAMA MELAYU (2,083 artikel dwi-bahasa)

Selain itu saya juga memiliki sebuah blogspot khas untuk aktiviti suatu NGO bernama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman). Atas nama tersebut saya telah menganjurkan 22 majlis ilmu setakat ini meliputi tempat-tempat terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia dan 3 kali di Aceh. Blogspot itu sendiri kini sudah mengandungi 385 buah artikel. Ini menjadikan jumlah ditulis untuk blogspot mencapai 6,435 artikel setakat ini. 

Untuk menyokong penulisan berpuluh ribu, mungkin sudah lebih 100,000 gambar yang diambil sendiri di merata tempat dalam pelbagai keadaan telah disertakan sekali lalu artikel dan gambar-gambar menjadi rujukan ramai pihak. Tetapi cuma sedikit sahaja yang mengaku telah mengambil faedah daripada penulisan-penulisan saya, perkongsian ilmu dan gambar-gambar. Ada yang mendapat petunjuk malah arah hidup tapi bukan sahaja tak mahu mengaku. Mereka pula sibuk mencanangkan diri sendiri sebagai pencetus kesedaran baru anak Melayu dan sebagainya konon sambil cuba menafikan langsung sumbangan saya sejak lebih 13 tahun lalu. 

Dunia, dunia. Tak mengapalah. Saya tetap berjalan terus kerana memangpun asalnya menulis untuk meluahkan dan berkongsi rasa, bukan untuk mencari nama atau mahu merebut apa-apa. Sekadar melengkapkan gerak biar dikongsi artikel pertama ditulis dalam blogspot, artikel yang menandakan satu permulaan baru dalam hidup.



-------------------


Untuk melengkapkan gerak kenangan ini elok dibuat artikel dalam blogspot CATATAN SI MERAH SILU  sebelum keluar untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid. Boleh dipanjangkan sekali ingatan berkenaan tentang penulisan artikel pertama tersebut. Sesungguhnya ketika menulis artikel A New Beginning di blogspot pertama saya BERPETUALANG KE ACEH yang berbahasa Inggeris itu pada petang Jumaat  10 November 2006  tidak pernah terlintas pun dalam fikiran mahu membuka blogspot selain daripada itu. Entah kenapa, tak ingat sebabnya, 2 hari kemudian timbul rasa untuk membuat satu blogspot dalam bahasa Melayu pula.

Jadilah artikel pertama yang diberi tajuk Apa-apa aje le... dalam blogspot ini iaitu CATATAN SI MERAH SILU petang Ahad 12 November 2006. Ini diikuti gerak untuk mendirikan satu blogspot dwi-bahasa (Melayu dan Inggeris) kurang seminggu selepas itu. Maka terbitlah artikel pertama bertajuk Mukadimah (Introduction) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pagi Sabtu 18 November 2006.

Pada awalnya saya tidak begitu tahu apakah yang patut dimasukkan ke dalam blogspots lalu menurut sahaja apa yang terlintas dalam hati. Lama kelamaan terbentuk satu kebiasaan di mana setiap kali selesai mengembara atau membuat suatu perjalanan, cerita-cerita utama tentangnya diletakkan di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Artikel-artikel sokongan menunjukkan pemandangan suatu tempat atau dalam perjalanan pula diletakkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH, artikel tentang tempat-tempat bersejarah termasuk masjid dan makam diletakkan di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Hampir penghujung tahun 2012 iaitu dekat 6 tahun kemudian saya mengasaskan satu NGO bernama HIKMAH (Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman) khas bagi mengadakan majlis-majlis ilmu melibatkan isu-isu sejarah dan kedaulatan orang Melayu Islam. Pada mulanya cerita-cerita berkenaan HIKMAH dan rancangan aktivitinya diletakkan dalam CATATAN SI MERAH SILU. Setelah beberapa lama baru timbul rasa untuk mengadakan blogspot khas bagi  tujuan tersebut. Terbitlah artikel pertama bertajuk Awaluddin makrifatullah di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) petang Rabu 31 Oktober.

Sekarang semuanya telah menjadi sejarah dengan hampir 6,500 artikel telah ditulis lalu dikongsikan setakat ini. Pelbagai perkara telah diliputi, daripada hal penulisan buku, perkongsian ilmu, sejarah Alam Melayu, pemikiran Islam, falsafah hidup, pengembaraan dan perjalanan serta banyak lagi. Cukuplah melangsaikan gerak dalam menyatakan kenangan bermulanya satu fasa baru dalam dunia penulisan saya lebih 13 tahun lalu. Sekian, wassalam.