Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Februari 07, 2019

Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan - Antara dasar dan pelaksanaan

Salam malam Jumaat. Merujuk kepada artikel Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan - Antara idealisma dan realiti zaman yang dipersembahkan jam 3.49 pagi tadi. Siang tadi pula berlangsunglah hari ke-2 seminar di ISTAC. Sedikit perkongsian daripada saya.


Pagi Khamis 7 Februari 2018. Hari dimulakan dengan persidangan tertutup Majlis Penasihat Antarabangsa ISTAC yang terdiri daripada cendekiawan-cendekiawan terpilih 9 hingga 11 pagi. Jam 11.30 baru sesi ke-3 seminar (sesi pertama dan kedua sudah diadakan hari Rabu).  Moderator adalah Profesor Madya Dr Danial Mohd Yusof daripada ISTAC.


Pembentang pertama adalah Profesor Dr John L, Esposito daripada Georgetown University, Amerika Syarikat. Beliau membawa tajuk "Islam and Societal Reform in the Contemporary World : Western Responses". Saya terjemahkan ini sebagai "Islam dan Reformasi Kemasyarakatan dalam Dunia Semasa : Maklum Balas Barat".





Pembentang kedua (duduk kiri), Profesor Ulung Dr Amin Saikal daripada Australian National University pula membawa tajuk "Islam and Politics in Afghanistan : Its Implications for Central Asia" - "Islam dan Politik di Afghanistan : Kesannya terhadap Asia Tengah". Setelah beberapa lama asyik mendengar orang Islam harus berubah jadi begitu jadi begini supaya lebih diterima dan difahami orang bukan Islam baru terdengar suatu yang lebih menghampiri realiti kesusahan dan cabaran hidup sebenar manusia. Tentunya ramai sedia tahu bagaimana Afghanistan pernah dijajah British awal abad ke-20 Masihi. Masuk zaman moden ia diceroboh kuasa komunis Soviet Union kemudian diratah Amerika Syarikat atas alasan mahu memerangi keganasan Islam. Walhal Afghanistan juga merupakan pengeluar besar narkotik/dadah, ditaja oleh pihak-pihak yang berkepentingan.


Masuk sesi ke-4 yang diadakan di bilik persidangan, bukan dewan utama ISTAC seperti pada sesi-sesi sebelumnya saya merasakan baru suara Islam dapat berkumandang lebih tegas, bukan diasak-asak sehingga terhimpit ke dinding seperti kita pula terasa melukut di tepi gantang.


Pembentang pertama sesi, Profesor Dato Seri Dr Md Salleh Yaapar daripada Universiti Sains Malaysia (USM) bercakap tegas tetapi lembut tanpa perlu bersuara lantang. Tajuk yang dibawa adalah "Islam and Reforms of Tertiary Education : The Malaysian Case" - "Islam dan Reformasi Pendidikan Tinggi : Kes Malaysia".





Hala tuju yang mahu dibawa, bagaimanakah komponen-komponennya disuarakan dan dipaparkan begitu jelas.


Walaupun mungkin akan ada suara-suara sumbang mempersoalkan ini bukan benda baru. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang diketengahkan Salleh sudah disebut banyak pihak. Pada saya dan rakan-rakan seperjuangan ia tetap kedengaran segar dan bertenaga dalam seminar.


Jelas wawasan keIslaman yang mahu dibawa. Termaktub dan terhias buah-buah fikiran cendekiawan besar Tan Sri Profesor Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas yang mula disuarakan dengan lantang tahun 70an masih relevan berkumandang. Untuk makluman Naquib mengasaskan ISTAC pada tahun 1987 untuk mengangkat aspirisi tinggi pendidikan dan pembentukan golongan intelektual Islam bagi memakmurkan ummah sejagat.  Sudah sepatutnya warga institut berhempas pulas untuk mengangkat wawasan.


Disebut bahawa falsafah pendidikan yang ingin diangkat memang bukan perkara baru tetapi formula kejayaan ummah yang pernah digunakan universiti-universiti atau pusat pendidikan tinggi klasikal pada zaman kegemilangan Islam sejak lebih 1,000 tahun lalu.








Paradigma yang betul mengikut turutannya harus dilaksanakan untuk menerbitkan golongan pemikir yang penuh hikmah.


Soal peradaban, pembentukan masyarakat beradab harus dijunjung tinggi demi kebaikan ummah, pembinaan negara/kerajaan juga untuk kesejahteraan masyarakat dunia sejagat.





Pembentangan diakhir dengan saranan bahawa pemisahan antara subjek-subjek sains dengan subjek-subjek seni/sastera dan kemanusiaan harus dibuang kerana ia menghalang penerbitan pelajar yang lengkap dan seimbang. Untuk reformasi pendidikan berjaya penekanan harus diberikan kepada insan.


Moderator sesi Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican, juga dari USM kemudian memperkenalkan pembentang atau ahli panel kedua bagi sesi.


Naiklah Profesor Dato' Dr Zaleha Kamarudin daripada Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membawa tajuk "Legal Reforms and Gender Equity in New Malaysia" - "Reformasi Perundangan dan Keadilan Jantina dalam Malaysia Baru".


Beliau merujuk kepada reformasi perundangan yang katanya mahu dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.


Janji Pakatan dalam manifesto mereka pun diingatkan - tentang reformasi terhadap segala macam undang-undang yang dilihat tidak adil, bersifat kuku besi dan sebagainya.








Satu persoalan besar dan penting yang diangkat adalah kenapa Pakatan tidak menyebut tentang reformasi Udang-undang Syariah? Apakah ia sengaja dibuat-buat lupa? Atau ia tidak disebut demi menghormati bidang kuasa negeri-negeri dalam melaksanakan Undang-undang Syariah Islam menurut takrif dan kefahaman masing-masing?


Tumpuan khusus pun diberikan terhadap undang-undang melibatkan wanita. Misalnya had umur minimum 18 tahun untuk seorang wanita dibenarkan berkahwin. Pada Zaleha biarlah seorang wanita itu sekurang-kurangnya memiliki pendidikan peringkat SPM sebelum berumahtangga. Ini kerana telah berlaku banyak kes perceraian yang menyebabkan kebajikan kaum hawa terabai.


Disebut juga tentang cadangan mengadakan satu suruhanjaya tetap untuk mengadakan reformasi Undang-undang Syariah di bawah Parlimen.


Pembentang ketiga dan terakhir, En Habib (lupa nama penuh) dari Indonesia membawa tajuk "Synergy between Islamic Thought and Societal Reform in Contemporary Indonesia" - "Sinergi antara Pemikiran Islam dan Reformasi Kemasyarakatan dalam Indonesia Semasa". Untuk itu diceritakan sejarah kebangkitan pemikiran Islam di Indonesia pada zaman penjajahan Belanda sehingga zaman presiden pertama  Indonesia iaitu Sukarno membawa kepada zaman presiden kedua Suharto dan seterusnya.


Sesi soal jawab dibuka dengan Syeikhul Kulliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar menerangkan bahawa sesi ke-4 ini memang dibuat khas untuk menangani isu-isu dalam negara Malaysia. Namun dimasukkan sekali Habib dan isu Indonesia kerana tajuk beliau itu asalnya harus dibawa oleh Profesor Dr Azra Azyumardi daripada Universitas Islam Negeri, Jakarta pada sesi ke-2 iaitu pada hari Rabu. Tapi Azra tidak dapat datang lalu slot beliau digantikan oleh oleh Profesor Dr Kamar Oniah Kamaruzaman daripada ISTAC yang membawa tajuk  "Societal Reforms of Tertiary Education : The Malaysian Case" - "Reformasi Kemasyarakatan dalam Pendidikan Tinggi : Kes Malaysia" sehari lebih awal. Sepatutnya Kamar membawa tajuk itu pada sesi ke-4.

Apapun Osman mencadangkan agar para cendekiawan mengambil kesempatan atas komitmen kerajaan Pakatan yang mengatakan akan memberi universiti otonomi untuk menentukan hala tuju sendiri. Untuk itu setiap fakulti atau kulliyyah itu sendiri harus diberikan otonomi untuk bertindak dan melaksanakan apa yang dirasa terbaik buat mereka tanpa perlu terlalu mengikut telunjuk pentadbiran pusat universiti.

Dalam sesi soal jawab ini saya mengambil peluang untuk bertanyakan soalan-soalan berikut :-

1) Kepada Salleh - Apa pendapat beliau tentang pendidikan sekolah vernacular (saya tak pasti terma tepat dalam bahasa Melayu) merujuk kepada sekolah kebangsaan Cina dan India (Tamil). Bukankah ini penghalang kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan?

2) Dalam konteks sama kepada Zaleha - Apakah benar kata sesetengah orang bahawa kewujudan sekolah-sekolah vernacular ini melanggar Perlembagaan Negara?

3) Kepada Zaleha lagi tentang Perlembagaan - Saya teringat dalam satu majlis di Pusat Islam tahun 2012, mantan Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz pernah menyebut bahawa berdasarkan sejarah dan kaedah yang membawa kepada Perlembagaan negara maka Undang-undang Syariah sebenarnya secara semulajadi mengatasi Common Law iaitu undang-undang Barat versi British yang kita anuti selama ini seolah-olah lebih tinggi daripada Undang-Undang Syariah. Seingat saya Ahmad menyebut bahawa penggunaan Common Law (tahun 1965) berlaku kerana Undang-Undang Syariah yang telah digunakan sekian lama oleh setiap negeri yang membentuk Persekutuan Tanah Melayu kemudian Malaysia tidak diatur bertulis secara sistematik seperti hal-halnya undang-undang Barat. Ia wujud dalam kitab-kitab agama dan didapati tidak selari pula, ada perbezaan antara negeri. Hal inilah yang menyebabkan Common Law digunakan sebagai ganti. Pertanyaan saya adakah perkara ini benar?

Untuk menyokong pertanyaan tersebut saya Google kata-kata kunci "Ahmad Fairuz Common Law 1965" lalu terjumpa satu artikel yang keluar dalam akhbar The New Straits Times pada 25 Mac 2017. Saya bacakan beberapa perenggan berkenaan pada seminar. Di sini biar dicopy paste keseluruhan artikel tersebut :-


Laws in contradiction to Islamic laws are void, says former Chief Justice

KUALA LUMPUR: Islamic law is the second most supreme legislation in Malaysia and any other laws that run contrary to it are void said former Chief Justice Tun Ahmad Fairuz Abdul Halim.
In his interpretation, Ahmad Fairuz said that anything that is in contradiction to Islam or anything that went against Islamic laws’ main sources, which are the Quran and Sunnah, is unconstitutional.
He said it is similar to laws that contradict the Federal Constitution, which will deem it unconstitutional.
“I feel that anything which is in contradiction to Islam is unconstitutional. The Privy Council has ruled in a case in Singapore that a law, to be valid, must conform to the fundamental rules laid down by the English law.
“As Islam is the religion of the federation, surely the fundamental principles of the law should be based not only on the English Common law but on the Syariah,” he said when giving a lecture on “Islam as the Law of the Land” at Majestic Hotel here today.
The reason for this opinion, he said was because the Quran, Sunnah, and the traditions and practices of Prophet Muhammad are the main source of Islamic laws.
Hence, he said, reading Article 3 and 4 of the Federal Constitution together means that any laws contradicting to Islamic scriptures are void.
Article 3 stated that “Islam is the religion of the Federation”, while Article 4 stated that “Constitution is the supreme law of the Federation” and any law passed after Independence and inconsistent with it shall be void.
“Hence, laws that are against the Quran and Sunnah will also be void.”
When asked on Pas’ Private Member’s Bill dubbed RUU355, Ahmad Fairuz said since there’s a cap on the punishment, the bill will not lead to the implementation of hudud in Malaysia.
Commenting further on RUU355, he said he couldn’t fathom why non-Muslims disagreed with the bill as it has been guaranteed that the amendment would not affect them.
“When it involves a non-Muslim, we can’t use Syariah law, only civil law. This is a Muslim’s right to follow his or her own religion and the Muslims are not asking for equality in that sense. So it shouldn’t be an issue isn’t it?” he added.
Pas President Datuk Seri Abdul Hadi Awang had last year sought to amend the Syariah Courts (Criminal Jurisdiction) Act 1965 which has been listed on the Parliament’s Order Paper for this sitting.
On Nov 24, Hadi read out a motion to amend the Bill by inserting the punishment caps of 30 years’ jail, RM100,000 fine, and 100 lashes. Syariah courts’ sentencing powers are currently limited to three years’ jail, RM5,000 fine and six lashes.
Asked further on some Malaysian Muslims expressing concern on the punishment and if there’s an exit for those who are against it, Ahmad Fairuz said no Muslims can opt out of this.
“Pertaining on whether or not Muslims can opt out from this, the Federal Court has stated that, Muslims in Malaysia cannot run away with the two laws – the Federal and the State – and State laws have the right (power) on Muslims, so you cannot opt out as there are two laws in which you are bound.”
The lecture today was co-organised by the Malaysian Lawyers Circle, Malaysian Muslim Lawyers Association, Concerned Lawyers for Justice, Ikatan Muslimin Malaysia’s legal arm iPeguam, and the Centre for Human Rights Research and Advocacy.

(rujuk artikel asal di sini)



Jawaban untuk soalan-soalan saya itu  adalah seperti berikut. Biar ditulis menurut ingatan dan faham saya, bukan word by word seperti dituturkan mereka tetapi secara essence atau isi dan makna...

1. Ya kata Saleh. Memang sekolah vernacular menjadi halangan kepada aspirasi pendidikan kebangsaan. Menurut Perlembagaan Negara pendidikan formal atau rasmi sepatutnya dijalankan dalam Bahasa Malaysia. Namun kelonggaran telah diberikan untuk sekolah vernacular wujud itupun selama 10 tahun sahaja sebagai bentuk peralihan memandangkan kaum-kaum Cina dan India yang telah dibawa secara beramai-ramai oleh British untuk kepentingan mereka baru diberi peluang untuk berasimilasi setelah sengaja dipisahkan daripada bergaul bebas dengan orang Melayu. 

Itu adalah DASARnya. Tetapi PERLAKSANAANNYA? Selepas 10 tahun diminta 10 tahun lagi untuk sekolah-sekolah vernacular terus berdiri. Sekarang dah 60 tahun berlalu. Bukan sahaja tiada tanda-tanda sekolah vernacular akan diluputkan malah ditambah jumlah dan peringkat/tahapnya lagi. Siap diminta pula mahu dilaksanakan peperiksaan UEC yang berdasarkan kurikulum Cina Taiwan sebagai syarat boleh masuk universiti awam di Malaysia. Sebab apa? Sebab menjaga kepentingan politik pihak tertentu. Itulah realitinya.

2. Dengan jawaban Salleh ini Zaleha tidak perlu menerangkan hal sama panjang lebar menurut Perlembagaan Malaysia. Cukup sekadar bersetuju dengan Salleh. Terus kepada perkara seterusnya...

3. Tentang perkara ketiga. Ya. Zaleha berkata memang benar apa yang dikatakan Tun Ahmad Fairuz. Malah ini pernah disuarakan oleh pakar undang-undang lain sebelum itu (saya lupa nama). Zaleha memberikan beberapa contoh bagaimana memang Undang-undang Syariah dirujuk oleh orang seperti mantan Peguam Negara, Tan Sri Datuk Abdul Gani Patail dalam meluluskan suatu kes untuk tindakan jabatan. Kata Zaleha memang jelas inilah termaktub dalam Perlembagaan. Tetapi sekali lagi ia adalah soal PERLAKSANAAN. 

Dengan itu dicadangkan agar ISTAC boleh mengadakan satu forum untuk merangka jalan bagaimana Undang-undang Syariah boleh diangkat kembali agar mengatasi Common Law Barat menurut interpretasi atau terjemahan Perlembagaan yang sepatutnya, bukan sebaliknya seperti dilihat telah dipraktikkan selama ini.

Oh. Tadi saya rujuk balik artikel-artikel lama untuk mencari kenyataan Ahmad yang saya kata didengari tahun 2012. Sebenarnya ia adalah pada satu majlis awal tahun 2013. Lihat Seminar Memartabatkan Islam Agama Negara di Pusat Islam. Sebagai mengakhiri artikel ini ingin diketengahkan kembali satu resolusi berkenaan yang pernah saya buat bersama kawan-kawan aktivis dalam siri majlis ilmu yang kami adakan sendiri secara sukarela sehingga meliputi hampir semua negeri di Semenanjung membawa ke luar negara di Aceh. Begini bunyinya :-


6. Memohon undang-undang syariah diangkat mengatasi common law dan muamalat Islam berdasarkan penggunaan dinar dan dirham mengatasi sistem ekonomi konvensyional seperti pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511.


Kenapa  begitu? Bagaimana ia boleh terbit? Rujuk artikel Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman? dalam blogspot aktivisma saya Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Sekarang biarlah saya berehat supaya dapat mengikuti hari ke-3 dan terakhir seminar bermula pagi Jumaat ini.



Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan - Antara idealisma dan realiti zaman

Salam semua. Daripada siri cerita pengembaraan yang telah ditutup dengan artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Kembali ke tanah air selepas 12 hari 11 malam di perantauan Ahad lalu kita beralih ke satu majlis ilmu yang juga boleh diceritakan secara bersiri...


Sejak awal tahun para pelajar ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam telah diberitahu melalui Whatsapp tentang majlis dalam poster yang mahu diadakan di institut kami 6 hingga 8 Februari 2019.  Tajuknya "International Seminar on Contemporary Islamic Thought and Societal Reforms" boleh diterjemahkan sebagai "Seminar Antarabangsa Pemikiran Semasa Islam dan Reformasi Kemasyarakatan". Barisan pembentang pun kelihatan menarik perhatian. Cuma tempoh masa diadakan itu adalah waktu cuti sekolah sempena perayaan Tahun Baru Cina. Dan lagi ada yuran yang boleh 'menebuk' poket kami para pelajar. Nasib baik kemudian kami diberitahu ia percuma untuk pelajar ISTAC. Cuma kehadiran kami diwajibkan.


Tak mengapalah bagi mereka yang berkesempatan. Saya sendiri pun dah 3 kali balik kampung ke Muar sejak pertengahan bulan Disember tahun lepas sehingga pertengahan Januari lepas. Raya Cina ni terasa malas hendak 'berlumba' dengan kesesakan jalan raya yang biasa melanda musim perayaan.  Anak-anak pun tiada masalah setakat bercuti di sekitar kawasan. Selepas menunaikan solat Zuhur di rumah saya pun bergegas untuk sesi pertama majlis yang bermula jam 2.30 petang.


Pembentang pertama Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar yang merupakan Sheikul Kulliyah ISTAC sedang membawa tajuk "Islah and Tajdid as the Twin Faces of Islamic Reform : Challenges for Islam in Multicultural Societies". Ini boleh diterjemahkan sebagai "Islah dan Tajdid sebagai Dua Muka Kembar Pembaharuan Islam". Secara rata beliau bercakap tentang usaha-usaha mahu memartabatkan kembali Islam di mata dunia dalam konteks inclusivity iaitu dengan memasukkan agama-agama lain dan penganutnya dalam perbincangan untuk kebaikan bersama. 

Faham saya perkataan Arab Islah dan Tajdid membawa maksud reform dan renewal dalam bahasa Inggeris. Reform ke dalam bahasa Melayu boleh membawa maksud pembaikan, pemulihan pun boleh. Jadi lebih elok diterjemahkan sahaja menjadi reformasi agar dapat meliputi makna-makna tersebut. Tajdid = renewal lebih mudah kerana membawa maksud jelas pembaharuan. Saya nyatakan ini kerana ada juga kamus menyebut reform sebagai pembaharuan sedangkan apabila dirujuk kepada perkataan Islah dan Tajdid jelas terdapat perbezaan.


Pembentang kedua, Mudassar Ahmed daripada Concordia Forum, London kemudian membawa tajuk "Islam and the Common Good : Ideals and Realities" - "Islam dan Kebaikan Bersama : Ideal dan Realiti". Beliau bercakap sebagai ahli golongan minoriti penganut agama Islam di United Kingdom pada kala fenomena Islamophobia iaitu rasa takut dan curiga terhadap Islam sedang kuat mencengkam dunia terutama di Barat.


Sesi kedua bermula sekitar jam 4.10 petang selepas rehat minum sekitar setengah jam. Pembentang pertama sesi, Profesor Madya Dr Imtiaz Yusuf daripada ISTAC membawa tajuk "Bridging between Tradition and Modernity in Thai Islam : The Role of Surin Pitsuwan" - "Menghubungkan Tradisi dan Kemodenan Thai Islam : Peranan Surin Pitsuwan". Beliau merujuk kepada tokoh politik Thailand beragama Islam yang katanya memainkan peranan sangat besar dalam mendamaikan penduduk Islam dengan majoriti orang Thai yang beragama Buddha. Imtiaz yang pernah mengajar di Thailand selama belasan tahun merujuk juga perkenalan peribadi beliau dengan tokoh tersebut.


Saya sendiri pertama kali mendengar nama Surin Pitsuwan semasa awal kelas di ISTAC September tahun lepas. Ada seorang pelajar perempuan yang berasal dari wilayah Setul atau Satun di selatan Thailand memberitahu mahu membuat tesis tentang sumbangan tokoh tersebut kepada dunia Islam. Daripada pembentangan tadi baru saya tahu Surin ini memang seorang tokoh besar. Dikatakan hampir-hampir sahaja beliau menjadi setiausaha agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu menggantikan Kofi Annan (memegang jawatan tersebut 1997-2006) kalau tidak dihalang oleh kepentingan politik tertentu.


Sebenarnya sesi kedua seminar ini sepatutnya dibuka oleh Profesor Dr Azra Azyumardi daripada Universiti Islam Negeri, Jakarta dengan tajuk "Sinergy between Islamic Thoughts and Societal Reforms in Contemporary Indonesia" - "Sinergi antara Pemikiran Islam dan Reformasi Kemasyarakatan Semasa di Indonesia". Sebaliknya beliau tidak dapat bersama lalu tempatnya digantikan oleh Profesor Dr Kamar Oniah Kamaruzaman daripada ISTAC.


Menurut atur cara Kamar sepatutnya membentang pada sesi ke-4 petang Khamis 7 Februari karang. Apapun beliau menjadi pembentang kedua sesi ke-2 dengan membawa tajuk "Societal Reforms of Tertiary Education : The Malaysian Case" - "Reformasi Kemasyarakatan dalam Pendidikan Tinggi : Kes Malaysia" sehari lebih awal.


Seminar ini secara keseluruhan dilancarkan pada waktu malam dengan syarahan dua orang tokoh terkenal dunia, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Anwar Ibrahim yang kini menjadi ahli parlimen Port Dickson dan pensyarah Georgetown University (Amerika Syarikat) Profesor Dr John L. Esposito.


Terus terang cakap saya asalnya tidak berminat langsung untuk mendengar mereka bercakap. Walaupun tahu ada beberapa orang pensyarah di ISTAC mengangkat tinggi Anwar kerana terlibat atau pernah terlibat dengan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) saya ada rasa sangsi terhadap beliau. Saya sendiri pernah mengangkumi Anwar ketika kembali dari London tahun 1995. Saya termasuk antara ramai anak muda yang percaya inilah tokoh paling layak untuk mengangkat Malaysia lebih tinggi ke persada dunia selepas Dr Mahathir (ketika itu belum bergelar Tun). 

Lalu saya menjadi antara orang paling keliru apabila tiba-tiba sahaja Anwar digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Ketika itu saya bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times lalu disuruh meliputi aktiviti-aktiviti beliau sejak hari-hari terakhir di kediaman rasmi TPM di Kuala Lumpur sehinggalah beliau bersyarah setiap hari di kediaman sendiri di Bukit Damansara (sebelum ditangkap). 

Selepas beberapa lama mendengar cerita daripada pelbagai pihak dan menilai sendiri keadaan saya berpendapat beliau memang bersalah atas beberapa hal yang dilakukan ketika diberi peluang memangku jawatan Perdana Menteri. Pada saya beliau memang telah bersekongkol dengan Amerika Syarikat untuk menjatuhkan Dr Mahathir. Untuk itu beliau telah menjalankan saranan IMF (International Monetary Fund) agar menaikkan kadar faedah bank negara (base lending rate) sambil memendekkan tempoh non-performing loans (saya lupa takrif-takrif tepat untuk perkara) yang menyebabkab banyak syarikat tempatan menjadi muflis.

Tentang Esposito pula saya pernah menyatakan pendirian tidak enak terhadap beliau selepas pertama kali mendengar syarahannya di ISTAC awal tahun lepas. Lihat Syarahan "Muslim and the West" oleh John Esposito di ISTAC. Apabila dua nama ini disebut - Anwar dan Esposito - ada kawan-kawan aktivis saya dalam dunia kewangan Islam anti riba' dan anti perbankan yang terus menyatakan tidak mahu langsung mendengar kata-kata mereka. Namun di sini tidak perlulah dipanjangkan perkara. Cukuplah dikatakan atas dasar sayangkan ilmu biar kita dengar apa yang akan mereka katakan.



Majlis pelancaran dibuat dalam bentuk forum bertajuk "Islam and Multiculturalism : The Need for Educational Reform" - "Islam dan Pelbagai Budaya - Keperluan untuk Reformasi Pembelajaran" dengan Anwar dan Esposito sebagai panelis. Tajuk ini sahaja sudah boleh membuat ramai rakan seperjuangan saya dalam dunia keMelayuan, kebudayaan dan persilatan jadi sangsi dan meluat. Ini disebabkan realiti keadaan negara sekarang yang seperti meminggirkan hak-hak orang Melayu dan Islam. Sebaliknya pihak-pihak yang kelihatan anti-Melayu dan anti-Islam semakin mendapat ruang. Kesangsian saya dalam hal ini ada dinyatakan dalam artikel Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC? pada 8 hari lalu.


Saya bercakap sebagai seorang yang pernah teruk hanyut dalam dunia pemikiran keBaratan dan liberal sebelum menggamit kembali jati diri keMelayuan akibat panggilan 'hak keturunan' yang kadangkala datang dalam bentuk mistik bersifat pengalaman dzauq Tasawuf lagi spiritual. Namun atas nama dunia keintelektualan saya cekalkan hati juga untuk mendengar sambil Syeikhul Kulliyah ISTAC memberikan pengenalan. Sebetulnya kerisauan saya ada diluahkan pada sesi soal jawab siang hari. Saya menyebut tentang kes arwah Adib, petugas bomba berbangsa Melayu yang maut lebih sebulan lalu akibat luka-luka dalaman dipukul perusuh dalam kes pencerobohan Kuil Mariamman 26 November tahun lalu. Kelihatan pada kami orang Melayu seperti kes ini hendak dilupakan kerana menjaga hati kaum lain. Kelihatan pada kami kalau orang bukan Melayu nak buat apa pun boleh terlepas...


Nasib baik ada yang sudi menjawab dengan suara waras. Walaupun soalan disuarakan pada sesi pertama seminar,  Kamar yang bercakap pada sesi kedua pula sudi menjawab walau tidak diulang tanya dengan menyatakan ini adalah soal mencari keadilan. Tidak ada kena mengena dengan kaum mahupun agama.


Idealismanya memang saya sendiri suka melihat segala macam dialog antara agama dan budaya diadakan. Tapi realiti zamannya kelihatan seperti orang Melayu semakin dibuat seperti melukut di tepi gantang.


Jadi apakah salah jika pihak yang mahu memperjuangkan keberadaan dan kelangsungan Melayu merasa sangsi terhadap dialog-dialog sebegini? Apakah orang seperti Anwar dan Esposito boleh menyelami dengan sebenar-benarnya hati nurani kami? Atau perasaan kami boleh dikorbankan begitu sahaja atas nama keharmonian antara budaya kaum yang disokong sifat 'keterbukaan'  atas nama keintelektualan dan kecendekiawanan?





Di sini tidaklah ingin saya mengupas panjang lebar tentang apa yang diperkatakan mereka pada majlis malam. Ketika menulis ayat ini sudah jam 3.19 pagi. Saya sampai  ke rumah setelah kembali daripada majlis tadi pun tengah malam sedangkan jam 11.30 pagi karang saya harus berada kembali di ISTAC lebih 40 km dari rumah saya untuk sesi seminar yang seterusnya.


Cukuplah dikatakan syarahan malam tadi boleh saya terima dengan hati terbuka dan lapang. Ada suatu macam janji oleh Anwar bahawa Islam dan Melayu akan dipertahankan sambil usaha-usaha dijalankan agar kita lebih saling mengenali antara agama dan budaya. Ada ketegasan daripada beliau bahawa kita akan menangani hal-hal ini menurut acuan kita sendiri, bukan menurut kehendak Barat. 

Dan Esposito pula tidak kedengaran memperkecilkan kepimpinan negara-negara Islam seperti saya dengar dalam syarahan awal tahun lepas. Walaupun beliau masih memperjuangkan kepelbagaian budaya (multiculturalism) dan plurisma ia kedengaran lebih lunak sedia untuk menerima pendirian kukuh Islam dalam hal-hal yang tiada tolak ansurnya. Malah beliau dikatakan sentiasa membela Islam pada kala pihak lain sibuk di Amerika Syarikat sibuk membantai sehingga pernah dituduh telah menjadi seorang pro-teroris atau menyokong keganasan (yang dipalitkan kepada Islam). Wallahualam.


Ahad, Februari 03, 2019

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Kembali ke tanah air selepas 12 hari 11 malam di perantauan

Salam semua. Setelah beberapa lama sampailah masa untuk menamatkan cerita perjalanan saya dan keluarga di Cambodia dan Thailand 22 November hingga 3 Disember 2018. Bersambung daripada artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Bersantai di Hatyai.


Pagi Isnin 3 Disember 2018 iaitu tepat dua bulan lalu. Sampailah masa untuk kami kembali ke tanah air.


Esoknya Selasa 4 Disember isteri harus masuk kerja sedangkan saya pula ada kelas di ISTAC. 


Cukuplah 12 hari 11 malam berada di perantauan. Kalau ikut rancangan asal harus lagi seminggu lagi kami berjalan. 


Tapi itu rancangan yang dibuat ketika membeli tiket penerbangan ke Siem Reap awal tahun 2018.  Fikir kami semasa itu akan membuat sekali perjalanan ke Vietnam dan Laos. Ketika itu tidak terbetik dalam fikiran pun saya akan menyambung pelajaran di ISTAC selepas pertengahan tahun.  Isteri boleh mengambil cuti lebih tetapi saya tetap harus kembali kerana tempoh masa seminggu dua selepas itu sangat penting dalam pengajian. Rujuk artikel Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia



Dari hotel kami mengambil Grab ke pusat bandar raya Hatyai. Terus ke stesyen kereta api untuk perkhidmatan hingga ke Padang Besar, Malaysia. Jaraknya cuma sekitar 50 km dari Hatyai. Tetapi selepas itu ada jarak lebih 470 km lagi untuk sampai ke rumah kami di Sungai Buaya, Rawang.


Dahulu kita boleh menaiki kereta api KTMB (Keretapi Tanah Melayu Berhad) dari Hatyai hingga ke Kuala Lumpur dan kembali. Saya sempat menggunakan perkhidmatan tersebut walau tidak sampai ke KL tahun 2010. Lihat Projek buku keretapi : Ipoh ke Hatyai... dan Projek buku keretapi : Kembali dari Hatyai daaa....


Setahu saya perkhidmatan KTMB ke Hatyai dan kembali itu sudah ada sejak tahun 1970an. Namun sejak perkhidmatan kereta api laju ETS yang mula dibuka dari KL ke Ipoh tahun 2010 dipanjangkan hingga ke Padang Besar sekitar 2-3 tahun lalu perkhidmatan kereta api lama ke Hatyai ditamatkan.


Sekarang kita boleh naik kereta api Malaysia hingga ke Padang Besar sahaja. Daripada sana ke Hatyai kena naik kereta api Thailand. Oh. Ini adalah stesyen Padang Besar di Thailand.


Adapun terdapat dua buah bandar dipanggil Padang Besar. Satu dalam Thailand, satu dalam Malaysia. Kedua-duanya ada stesyen kereta sendiri. Kereta api Thailand yang dinaiki dari Hatyai membawa hingga ke syesten kereta api Padang Besar, Malaysia di mana kami pturun untuk pemeriksaan imigresyen, Saya sudah melalui proses ini ketika kembali daripada perjalanan pertama saya ke Patani awal tahun 2017. Ketika itu saya menghadapi sedikit masalah kerana ada membawa keris dalam beg sandang. Lihat Misi jejak Aceh-Langkasuka - Sedikit masa di Hatyai sebelum kembali ke tanah air.


Dari stesyen ini perjalanan ke selatan boleh dteruskan dengan dua cara :-

1. Naik kereta api laju ETS

2. Naik kereta api komuter.


Kereta api ETS lebih laju dan cuma membuat persinggahan di stesyen-stesyen utama. Tetapi tempat duduknya terhad lalu harus ditempah lebih awal kerana menjadi rebutan. Yang mudah bagi pengembara jalanan yang bergerak tidak ikut jadual adalah menaiki kereta api komuter. Tempat duduknya tidak terhad - kalau tak cukup boleh berdiri atau duduk atas lantai.


Dengan kereta api komuter kita boleh merentasi negeri Perlis dan Kedah.


Tidak lama kemudian kelihatan Gunung Jerai dan pekan Gurun. 

Pada saya gunung ini memiliki sejarah besar yang terkait dengan kerajaan Funan. Ini kerana Hikayat Merong Mahawangsa menyatakan selepas Raja Merong Mahawangsa datang dari Rum lalu mendirikan kerajaan Langkasuka di kaki Gunung Jerai baginda mendirikan kerajaan Kedah Tua. Seorang anaknya diangkat menaiki takhta apabila baginda mahu kembali ke Rum. Pesan baginda  apabila anak itu sendiri mendapat anak hendaklah yang tua disuruh  bergerak jauh ke utara untuk membuka negeri baru.

Hikayat menyebut apabila cukup umur berhijrahlah anak tersebut ke utara dengan satu angkatan lalu membuka negeri bernama Siam Lanchang. Saya percaya yang dimaksudkan itu adalah Funan dengan pusat dalam lingkungan negara Cambodia sekarang. Adapun Lanchang itu boleh merujuk kepada Lanxang, sebuah empayar lama yang wujud tahun 1354 hingga 1707 Masihi berpusat di Laos. Namun Lanxang juga adalah panggilan orang Cina bagi Sungai Mekong dan ini masih digunakan untuk bahagian hulu sungai yang terletak di dalam negara Cina. Saya percaya nama Siam Lanchang merujuk kepada Funan berdasarkan penguasaannya ke atas lembah Sungai Mekong.


Dengan kereta api komuter kita boleh bergerak jauh hingga ke Padang Rengas di negeri Perak mendekati bandar diraja Kuala Kangsar. Tetapi kena tukar dahulu kereta api di Butterworth.


Sebaliknya kami naik kereta pula masuk ke Pulau Pinang. Seorang kawan lama saya satu kolej zaman A Levels tahun 1988-1990 (boleh rujuk Proper reunion pertama PPP/ITM A Level 7 setelah hampir 30 tahun meninggalkan kolej) mengambil untuk ke rumahnya di Queensbay.


Kami pergi kerana kawan tersebut pernah mengajak datang untuk majlis perkahwinan anaknya sekitar seminggu sebelum kami berlepas ke Cambodia 22 November 2018. Kami tidak dapat pergi kerana perlu menyimpan belanja dan tenaga untuk pengembaraan Oleh itu kami memberitahu insyaallah akan bertandang dalam perjalanan kembali melalui darat.


Beliau yang merupakan seorang profesor penuh di Universiti Sains Malaysia sejak berumur 30an membawa kami berjalan-jalan di universiti dan kawasan sekitar sebelum ke rumah.  Petang jam 4 kami dihantar ke satu stesyen bas khas dekat pusat membeli belah berdekatan.


Tanpa dipinta kawan tersebut membelikan tiket-tiket untuk perkhidmatan bas VIP hingga ke KL. Kata beliau tak perlulah kami bersusah-payah hendak memikirkan bagaimana mahu kembali ke rumah sebelum isteri masuk kerja dan saya pergi ke kelas keesokan harinya.


Dengan ini naiklah kami ke dalam bas dengan hati yang lapang.


Anak-anak pula suka sebab setiap kerusi ada televisyen kecil untuk menonton filem atau bermain game


Sampai ke rumah nanti baru dapat disemak. Adapun menurut lakaran menggunakan Google Map kami empat beranak telah meredah laluan darat sejauh 2,877 km.  Kalau dicampur jarak perjalanan dalam bandar dan tempat-tempat yang tidak dimasukkan ke dalam lakaran harus 3,000 km. Kalau campur sekali penerbangan ke Siem Reap jadi lebih 4,200 km. Rujuk artikel pengenalan Akan datang tidak lama lagi - Cerita Jejak Kerajaan Funan yang dibuat Selasa malam Rabu 4 Disember 2018. Sekian.Tammmmmaaatttt.... :]