Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Ogos 20, 2024

Jawaban bagi kempen yang semakin galak untuk mengaku sebagai keturunan Laksamana Muhammad Amin

Salam awal pagi Selasa 15 Safar 1446 Hijriah. Tulisan berikut asalnya berada di DALAM artikel Dari majlis ilmu ke hal bapa saudara meninggal ke balik kampung hujung minggu iaitu selepas gambar meter menunjukkan kami anak beranak sudah berjalan sejauh 517 km hujung minggu. Tetapi apabila dilihat balik elok dipisahkan untuk membentuk artikel tersendiri.



Ketika masih berada di Muar hari Sabtu 17 Ogos 2024 saya diberitahu bahawa satu puak yang mengaku sebagai keturunan Laksamana Muhammad Amin telah memanjangkan lagi dakwaan  melalui satu artikel baru yang keluar dalam Astro Awani. Rujuk hal sama sebelum ini dalam artikel Maklum balas rasmi terhadap pihak yang mendakwa berturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di media massa. Berikut adalah salinan artikel Awani itu. Biar diambil teks sahaja ya...



Puteri-puteri Laksamana: Kedudukan mereka dalam sejarah Melayu

Bernama

KUALA LUMPUR: Beberapa bulan lepas, saya menerima berita yang saya ini mungkin daripada keturunan salah seorang tokoh besar dalam sejarah Melayu iaitu Laksamana Muhammad Amin, menerusi anak perempuannya, hasil perkahwinan dengan isteri pertama.
Laksamana itu adalah salah seorang daripada beberapa orang lelaki yang dituduh bersubahat untuk membunuh Residen British di Pasir Salak, Perak. Pembunuhan itu menjadi detik penting dalam sejarah negara ini, kerana ia memulakan rantaian tindak balas yang bermula dengan terhakisnya kuasa Sultan Perak dan berakhir dengan pengukuhan kuasa British ke atas negeri-negeri Melayu.
Akibat penglibatannya, Laksamana Amin dihukum buang negeri ke Kepulauan Seychelles bersama dengan beberapa orang lain yang dituduh bersubahat - Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Sultan Perak ke-26, dan Syahbandar Uda Maamor serta Tengku Menteri Ngah Ibrahim, menantu lelaki Laksamana. Menurut beberapa orang penyelidik, isteri pertama Laksamana, Fatimah bt Mohamad Tahar mengikuti suaminya, seperti kehendak adat pada ketika itu.
Apa yang membuatkan sesetengah sejarawan berasa teruja ialah kemungkinan Laksamana mempunyai dua orang anak perempuan - Ngah Teresah bt Muhammad Amin dan Puteh Manjera bt Muhammad Amin, hasil perkahwinan dengan Fatimah. Pada masa Laksamana dibuang negeri pada tahun 1877, kedua-dua anak perempuannya sudah berumah tangga dan menetap di Kampung Kepayang di Fair Park, Ipoh. Anak perempuan sulung diberitakan berkahwin dengan anak lelaki Ngah Jabor, yang mungkin atau mungkin tidak, pada masa itu menyandang gelaran Dato Panglima Kinta.
Meskipun saya ingin sangat tahu tentang kemungkinan pertalian itu, apa yang saya paling hairan ialah tidak banyak maklumat yang ada tentang kedua beradik itu. Difahamkan Laksamana mempunyai ramai isteri dan anak, dengan catatan banyaknya waris sehingga ke hari ini. Mengapa lain pula kisahnya dengan dua beradik itu, sekiranya mereka sememangnya anak perempuan Laksamana?
Jawapan yang saya terima mudah dan memeranjatkan: mereka wanita muda yang berkahwin tanpa ada abang atau adik lelaki yang masih hidup pada ketika berlaku kekacauan dan ayah mereka pula dianggap sebagai musuh British.
Tak banyak kisah yang ada
Penyelia Kajian Gender (Jantina) di Universiti Malaya (UM) Dr Ruhana Padzil berkata, bukan sesuatu yang memeranjatkan yang kedua beradik itu, walaupun mereka adalah anak perempuan Laksamana, akan lenyap begitu sahaja daripada ingatan masyarakat kerana status jantina mereka dan keadaan ketika itu.
"Masyarakat tahu tentang mereka tetapi sejarah tidak mengiktiraf mereka. Bukanlah mereka itu lenyap (pada hakikatnya), tetapi dalam teks sejarah kita, mereka lenyap kerana wanita tidak penting dalam (teks) sejarah kita," beliau memberitahu saya ketika ditemu bual di UM.
"Tidak pernah dibincangkan dalam teks sejarah kita tentang peranan anak perempuan dan isteri," tambahnya.
Menurut beliau lagi, ini kerana orang Melayu sebelum kependudukan British jarang menulis. Mereka mengamalkan tradisi lisan yakni sebarang memori, hal keluarga dan masyarakat disampaikan kepada generasi berikutnya menerusi penceritaan dan perbualan. Surat pun sedikit.
Sejarah lisan ada memberi penghormatan kepada kaum wanita tetapi penceritaan semula mencetuskan kekeliruan atau lenyap begitu sahaja, akhirnya. Apa sahaja dokumentasi sejarah yang terselamat sehingga kini, adalah kerana pihak British. Walaupun begitu, sebarang dokumentasi memerlukan orang tempatan berinteraksi dengan pentadbiran British, dan sudah tentu sesiapa yang ada hubungan dengan pemberontak tidak akan berbuat demikian. Ramai ahli keluarga juga memilih untuk mengasingkan diri dan mengelak daripada menarik sebarang perhatian.
Catatan sejarah British menggambarkan orang Melayu di Perak selepas Perang Perak sebagai berada dalam "keadaan takut, lekas marah dan menyimpan kebencian."
Ruhana berkata, mana-mana wanita yang nama mereka muncul dalam sejarah, mereka adalah lain daripada yang lain, berbanding dengan kebiasaannya.
Beliau memberi contoh Toh Puan Halimah, anak perempuan Laksamana dengan isteri yang lain dan juga isteri Tengku Menteri Ngah Ibrahim, yang turut dibuang negeri, membandingkan dengan isteri ketiga Ngah Ibrahim iaitu Sa'eah. Kedua-duanya enggan menyertai suami mereka ke Seychelles dan meminta cerai.
Beliau berkata, Halimah dicatat dalam buku sejarah kerana dia bersedia berurusan dengan pihak British, sementara Sa'eah lenyap daripada sejarah.
"Dua kisah yang berbeza. Sa'eah memilih untuk meminta cerai kerana dia masih muda. Dia mahu berkahwin lain dan kerana alasan ini, suaminya bersetuju menceraikannya. Tetapi Toh Puan Halimah, sebagai isteri pertama, dia sepatutnya mengikuti suaminya dan dia enggan," kata Ruhana.
Beliau berkata, Halimah merayu kepada Frank Swettenham, orang tengah utama antara British dan orang Melayu pada masa itu, dan menyatakan yang dia perlu tinggal untuk menjaga anak-anak lelakinya serta harta benda mereka.
"Dia mempunyai perwatakan waja. Akhirnya, Ngah Ibrahim terpaksa menceraikan Toh Puan Halimah, jadi dia dapat apa yang dia hendak," tambahnya.
Ahli sejarah bersetuju bahawa terdapat jurang jantina dalam berurusan dengan sejarah Melayu, yang membuatkan bertambah rumit untuk mengesan leluhur atau nenek moyang sekiranya leluhur itu semuanya wanita.
"Sekiranya anda membaca tentang kisah pembesar kita, kita tidak tahu tentang ahli keluarga mereka (kecuali mereka sebahagian daripada keluarga diraja). Sebagai contoh, kita tidak tahu (langsung tentang) isteri Tun Perak," kata Profesor Madya Prof Mohd Samsudin, pengarah Institut Kajian Tuah.
Beliau terbabit dalam penyelidikan yang menjumpai Fatimah dan dua saudara perempuannya.
Kaedah mencari asal permulaan
Mana-mana anak lelaki seorang yang bergelar dalam sejarah Perak boleh mewarisi gelaran ayah mereka, oleh itu, keluarga yang mempunyai anak lelaki kebiasannya mempunyai rekod keturunan, sama ada menerusi cerita atau di atas kertas. Tetapi memandangkan Fatimah mempunyai hanya dua orang anak perempuan, maka kisah atau hubungan pertalian mereka lenyap begitu sahaja kerana tidak ada keperluan untuk menjejak mereka.
"Ada sedikit kebenaran tentang hal ini. Biasanya kalau keturunan daripada perempuan, mereka tak berhak untuk menuntut sebarang gelaran. Gelaran, bukan harta. Harta soal lain (ada kebenarannya tentang perkara itu. Lazimnya, jika keturunan adalah menerusi talian wanita, mereka tidak berhak menuntut sebarang gelaran. Tapi hanya gelaran, bukan harta benda. Harta berbeza)," kata Profesor Kehormat Prof Ahmad Jelani Halimi, pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) cawangan Perak.
Beliau menambah, dengan adanya yang tampil mengaku waris keturunan, ini akan memberi peluang untuk menambah pengetahuan tentang sejarah Melayu.
Bagaimanapun, masih ada harapan. Menurut Ruhana, tidak seperti wanita British pada masa itu, wanita dalam sejarah Melayu senantiasa berjaya mewarisi harta.
Samalah juga dengan kedua beradik perempuan itiu. Tuntutan mereka disokong dengan geran tanah dengan nama penuh mereka di atasnya, di samping hubungan mereka dengan keluarga dan orang-orang ternama di Perak pada masa itu, termasuk saudara perempuan Laksamana. Tambahan, terdapat sepucuk surat yang meminta kerajaan British membiayai kos tambang Fatimah untuk kembali ke Singapura dari Kepulauan Seychelles.
Memandangkan tidak banyak bukti sejarah, mungkin ada yang berfikir ujian DNA akan menjadi lebih popular. Bagaimanapun, Mohd Samsudin berkata, ianya tidaklah semudah itu, menggunakan contoh Laksamana Muhammad Amin dan Ngah Ibrahim, yang jenazah mereka dikebumikan di Bukit Chandan pada tahun 2006.
Laporan berita tentang jenazah mereka yang dibawa balik ke Perak dari Singapura menyebut, Dewan Negara Perak menimbangkan ujian DNA dibuat ke atas jenazah kedua-duanya. Tidak ada pula laporan sama ada ujian itu dilakukan.
Melakukan ujian DNA ke atas jenazah yang sudah begitu lama adalah sukar, kerana ia bergantung kepada keadaan jenazah berkenaan, iaitu usia dan keadaan jenazah, di samping persekitaran di mana jenazah itu disimpan. Para saintis berkata, lebih mudah memperolehi DNA daripada tulang lama dalam iklim yang sejuk. Seperti peti ais, sejuk dan keadaan kering memelihara DNA dengan lebih baik.
"Tulang-tulang mereka tersimpan lebih 100 tahun di Singapura," kata Mohd Samsudin.
Beliau menambah, proses itu akan mengambil masa yang panjang dan menelan kos yang tinggi.
Dengan keadaan sekarang, tidak banyak yang boleh dibuat untuk menampung kekurangan maklumat tentang wanita dalam sejarah Melayu.
"Kita perlu membuat lebih banyak penyelidikan," kata Ruhana.
Sebelum mengakhiri perbualan, beliau menyatakan harapannya.
"Teruskan pencarian, carilah lebih banyak maklumat tentang (sejarah) anak-anak perempuan dan isteri-isteri, " katanya.
Janji saya kepada Ruhana, saya akan cuba yang terbaik.
--BERNAMA
Tag: wanita, , nenek moyang, Perak, JWW Birch, , Laksamana Muhammad Amin, Tengku Menteri Ngah Ibrahim, sosial


Kali ini penulisan kelihatan lebih berhati-hati. Jika seminggu sebelum itu penulis yang sama kelihatan mahu sangat menegaskan diri (dan saudara mara) sebagai keturunan Laksamana Muhammad Amin  sehingga boleh jadi terlebih yakin tanpa bertapis kali ini ia cuma dimulakan dengan menyatakan itu adalah kemungkinan. Dan seminggu sebelum itu penulis kelihatan mahu sangat menegaskan Panglima Kinta Ngah Jabor adalah sama orangnya dengan Ngah Jabor yang terlibat membunuh Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada 2 November 1875. Sehingga kelihatan terang bagi saya yang pernah menjadi wartawan akhbar The New Straits Times 1996-2001 sebagai membelitkan atau bahasa sopannya sengaja misquote kenyataan seorang Profesor. Kali ini namanya  disebut sebagai:  "Ngah Jabor, yang mungkin atau mungkin tidak, pada masa itu menyandang gelaran Dato Panglima Kinta." 

Pun begitu naratif tetap membawa tujuan yang sama. Dengan menyatakan bahawa wujud kelompongan sejarah atas pelbagai sebab pada zaman itu, kali ini sudut utama adalah dengan menyatakan bagaimana perempuan zaman itu kurang diberikan perhatian lalu kurang terakam cerita. Maka ia berbalik pada mahu menyatakan bahawa Laksamana Muhammad Amin memiliki anak-anak perempuan bernama Ngah Teresah dan Puteh Manjera. Kelihatan ada yang dinyatakan dalam artikel sebagai keluar daripada mulut orang yang diwawancara bagi menguatkan cerita adalah lebih pada putting words in one's mouth - meletakkan kata-kata pada mulut seseorang. Misalnya bertanya kepada orang yang sebenarnya tidak cukup pengetahuan dalam sejarah namun pakar dalam bidang gender atau kejantinaan apakah rekod menyatakan Ngah Teresah dan Puteh Manjera sebagai puteri-puteri Laksamana tidak dapat ditemui kerana orang zaman dahulu termasuk British kurang mengambil tahu hal keberadaan perempuan? Maka dijawablah oleh 'pakar' kemungkinan itu ada lalu penulis menjadikan ia hujah. Dah tu takkan nak cakap mustahil pulak? 

Yang betul-betul benar adalah memang British kurang mengambil tahu hal keberadaan perempuan. Jadi memang hal-hal melibatkan perempuan kurang direkodkan. Ini bertujuan untuk meyakinkan pembaca bahawa Ngah Teresah dan Puteh Manjera memang 'puteri-puteri Laksamana'. Cuma tiada dalam rekod kerana mereka adalah perempuan. 

Ditambahlah pula kenyataan seorang yang saya sendiri tahu adalah pakar sejarah turut menyatakan tidak menemui catatan tentang ahli keluarga tokoh. Misalnya kita tidak tahu siapakah isteri Tun Perak. Sekali lagi wawancara-wawancara dipilih ayat-ayat tertentu lalu dijalin naratifnya agar mereka-mereka yang ada kedudukan dalam bidang masing-masing ini dilihat menyokong dakwaan bahawa Laksamana Muhammad Amin memiliki puteri-puteri yang bernama sekian-sekian.

Saya sebagai salah seorang waris utama Laksamana Muhammad Amin jika tidak pun waris paling utama dan saudara mara tetap menolak dakwaan. Ini kerana tahu mereka tiada bukti kukuh, cuma jalinan cerita dan kebetulan. Dan kami tahu, walaupun tidak dinyatakan dalam penulisan artikel, pihak mereka berhajat untuk menuntut bahagian faraid harta Laksamana. Kami tahu kerana saudara mereka yang mula membawa naratif dan dakwaan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan pernah seawal tahun 2019 memaksa seorang saudara dua pupu saya untuk menerima mereka sebagai saudara lalu dimasukkan nama untuk sama-sama menuntut bahagian. 

Saudara tersebut adalah setiausaha jawatankuasa bertindak keluarga besar kami untuk menangani kes di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh. Lihat artikel Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan yang dipersembahkan hampir sebulan lalu. Malah saya diberitahu ada kemungkinan ada saudara mara pihak tersebut berhajat untuk menuntut kedudukan sebagai Orang Besar 16 atau Orang Besar 32 Perak. Ini boleh berlaku kalau dapat 'dibuktikan' mereka berketurunan Laksamana walau dari belah anak perempuan. Jadi selain melibatkan harta dan nama ia turut melibatkan pangkat dan kedudukan dalam istana.

Menyedari hal ini saya telah membuat hantaran berikut di Facebook...






ADA PAKATAN MENGAKU KETURUNAN LAKSAMANA NAMPAKNYA...
Wah. Bersungguh2 berkempen nampak? Sumber yang sama, dari Bernama. Walau tak sebut nama penulis, walau tak sebut sumber asal naratif mengaku keturunan Laksamana Muhammad Amin seperti yang keluar di Bernama, NST, Berita Harian dan Harian Metro seminggu lalu, walau dah gunakan orang lain untuk menyokong jalinan cerita, siapa yang cukup peka boleh baca tujuan sebenar mereka. Jawaban saya? Walaupun artikel yang dipautkan oleh Astro Awani ini mengambil angle lain, guna hal gender keberadaan perempuan zaman dahulukala, isunya tetap sama. Mengaku keturunan Laksamana walhal tiada bukti kecuali kebetulan dan jalinan cerita. Lihat penerangan saya melalui pautan berikut


-------------



Selepas membuat ini saya diberitahu bahawa artikel sama dalam bahasa Inggeris telah muncul dalam lawan sesawang Bernama. Dinyatakan dengan jelas penulisnya adalah Nina Muslim, sama halnya seperti seminggu sebelum itu. Klik sini. Hantaran itu kemudian menerima banyak maklum balas. Antaranya adalah daripada pihak yang harus merupakan saudara mara kepada orang yang mula sekali membawa naratif mereka adalah anak cucu Laksamana Muhammad Amin yang berkembang dari Kampung Kepayang, Ipoh. Saya pula yang dibuat seperti kelihatan tidak mahu menerima saudara mara. Orang yang membawa naratif dibela sebagai berusaha untuk menyatukan anak cucu Laksamana (konon).

Maaf. Kamu-kamu itu tidak tahu cerita sebenar. Kamu tidak tahu orang yang kamu angkat itu telah beberapa tahun ke sana ke mari mengkaji salasilah keluarga orang lain. Sehingga ramai memberitahu beliau sejak bertahun lama selalu memerhatikan perjalanan saya menziarahi makam-makam lama seperti dinyatakan dalam CATATAN SI MERAH SILU lalu menyusul menziarahi. Dah berapa orang beritahu saya ini. Entah apakah tujuannya...

Hendak menyatukan anak cucu Laksamana? Kami sudah ada badan bertindak untuk melakukan ini. Orang yang kamu angkat itu bukan tidak kenal siapa saya Merah Silu. Kalau sungguh mahu bertemu berbincang dah lama dah jadi. Ini kerana dia didapati pernah hadir dalam sejumlah majlis yang turut saya hadiri. Sebaliknya yang ditemuinya cuma saudara mara saya yang kurang berani lalu boleh digertak. 

Kenapa tidak saya? Kerana dia tahu saya akan menyoal siasat setiap perkara dan meminta bukti. Dan saya cukup berpengetahuan juga ada ketajaman akal fikiran berserta firasat dan gerak hati untuk mengesan apa yang tidak betul atau tidak kena. Serta ada cukup keberanian untuk menyatakannya secara berhadapan mata.

Saya/kami bukan orang yang menolak saudara. Cuma kami serik. Kerana sebelum ini, ketika saya belum betul-betul terlibat dengan jawatankuasa bertindak keluarga akibat sibuk dengan pengajian di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), kami pernah menerima seseorang sebagai saudara tanpa soal. Kami terima walaupun beliau tidak pernah mengemukakan orang lain pun daripada keluarga besarnya kecuali seorang anak supaya boleh bersoreh.

Sebaliknya apa yang berlaku adalah beliau mengambil alih jawatankuasa bertindak kami lalu mula melakukan tindakan-tindakan bagi kepentingan keluarga kecil sendiri sambil mengesampingkan kami keluarga-keluarga yang sah boleh ditemui rujukan dokumen dan tulisan sehingga daripada zaman British sebagai anak cucu Laksamana Muhammad Amin.

Saya tak boleh tulis lebih-lebih, nanti dituduh memfitnah lalu mahu disaman. Namun rekod kebimbangan kami wujud. Antaranya melalui surat rasmi kepada hakim mahkamah tinggi syariah kenapa mahu bertukar peguam dan tidak mahu lagi bersama keluarga berkenaan.

Di sini cukuplah dinyatakan kami takkan lagi mudah menerima sesiapa pun sebagai saudara. Kalau betul saudara boleh jumpa jawatankuasa bertindak kami semasa saya ada. Saya perlu hadir supaya dapat meneliti hujah dan apa-apa yang dinyatakan sebagai bukti. Saya juga perlu hadir kerana bukan sekali ada pihak cuma membomohkan dan membodohkan kami. Tahulah saya menanganinya. Anak cucu Laksamana kan? Keturunan orang alim, para wali, raja yang soleh ya bukan keturunan orang main ilmu penunduk bagi orang takut, akur, ikut cakap, jadi pelupa dan sebagainya.





Tiada ulasan: