Merujuk pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan pada hari Jumaat. Ada diberitahu bahawa pada hari tersebut saya sebenarnya mahu bercerita tentang satu majlis ilmu yang berlangsung pagi hingga tengah hari Rabu tetapi kepala terasa berat. Maka dipersembahkan artikel kenangan berbasikal sebagai ganti. Hari ini fikirnya dapat diceritakan tentang majlis tetapi cuma dapat siap separuh jalan sebelum kepala kembali terasa terlalu berat. Oleh itu biar dibuat lagi cerita perjalanan kerana penulisannya terasa lebih ringan. Masuk pada fasa ketiga perjalanan. Bersambung penceritaan daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik yang dipersembahkan pagi Rabu.
Ini adalah gambar street view iaitu daripada paras permukaan bumi yang diambil daripada program Google Map. Ia menunjukkan keadaan jalan selepas beberapa kilometer meninggalkan pekan Gerik untuk menghala ke arah timur. Jalan ini dikenali sebagai Lebuh Raya Timur Barat. Dahulu ia adalah satu-satunya jalan raya menghubungkan negeri Perak dengan Kelantan juga satu-satunya jalan raya menghubungkan Pantai Barat dengan Pantai Timur di separuh utara Semenanjung. Selepas beberapa lama baru ada jalan lain iaitu lebuh raya yang menghubungkan Simpang Pulai di Ipoh, Perak dengan Cameron Highlands di negeri Pahang membawa ke Gua Musang di Kelantan.
Selepas bermalam di Gerik kami mengambil jalan ini ke Kelantan. Ia adalah kali pertama saya mengambil jalan tersebut juga pertama kali ke negeri itu. Menurut Google Map jarak dari pekan ke sempadan negeri adalah hampir 90 km. Jalan ini menyeberangi kawasan pergunungan utama Semenanjung iaitu Banjaran Titiwangsa.
Gambar daripada artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - The compilation... tahun 2012 ini menunjukkan satu bahagian di tepian Tasik Banding. Untuk pengetahuan selain menjadi tarikan bagi mereka yang berminat bermain air, memancing dan sebagai ia adalah pintu masuk utama ke Hutan Simpan Belum. Hutam ini meluas ke sempadan negara Thailand. Oh. Walaupun kami mengalah dengan menaiki van tidaklah ia dilakukan sepanjang perjalanan. Apabila jalan cukup landai misalnya di sekitar Tasik Banding kami turun kembali menaiki basikal. Begitu juga sebenarnya di beberapa bahagian atas pergunungan iaitu apabila turun naiknya tidak terlalu mencabar.
Seingat saya penginapan seterusnya adalah di Tanah Merah, Kelantan. Berdasarkan anggaran separuh daripada perjalanan dibuat dengan van, separuh dengan basikal jarak sekitar 170 km dari Gerik dapat ke Tanah Merah dicapai dalam tempoh 5 hingga 6 jam (sejam dengan van 85 km, 4 jam lebih 85 km dengan basikal). Oleh itu kalau bertolak jam 8 pagi kami boleh sampai sebelum jam 3 petang. Ini kalau berehat atau berhenti tanpa melebihi jumlah masa sejam.
Saya masih ingat kami semua menginap tidur lambak di rumah seorang peserta pengembaraan di sebuah kampung, tak ingat lokasi tepat. Teringat bahawa pada malam itu kami sempat pergi ke pasar malam berdekatan di mana nyaris-nyaris terjadi pergaduhan antara pihak saya dengan satu pihak penjual pakaian disebabkan duit hilang.
Merujuk kembali pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan. Adapun ia ditulis untuk menyatakan kekeliruan/kemusykilan tentang bilakah perjalanan sebenarnya berlaku. Sekarang rasanya sudah mendapat jawaban...
Saya tahu dan pasti perjalanan secara rasminya bermula dari kampus PPP/ITM di Seksyen 17, Shah Alam, tempat belajar kami setelah beberapa lama menetap di kampus terdahulu iaitu di Damansara Utama (DU). Menurut seorang kawan sama batch yang turut bersama dalam perjalanan ia berlangsung sekitar sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos tanpa menyatakan tahun bila. Namun berdasarkan maklumat daripada seorang junior pada Disember tahun 1989 kami masih berada di DU kerana bertolak dari situ untuk satu aktiviti lain di Pulau Pangkor. Yang pasti pada Januari 1990 kami semua sudah berpindah ke Seksyen 17. Tetapi tidak lama kemudian saya ditendang keluar daripada program akibat telah melakukan terlalu banyak kesalahan disiplin.
Oleh itu mustahil saya dapat bersama dalam perjalanan kalau ia berlaku sekitar 31 Ogos tahun 1990. Mesti pada tahun sebelumnya iaitu 1989 juga sedangkan pada waktu itu kami belum berpindah ke Shah Alam. Setelah beberapa lama baru terfikir muncul satu kemungkinan bagaimana ini boleh berlaku. Walau kami yang mengambil program A Level di PPP/ITM menetap di kampus lama di DU sehingga penghujung 1989, program besar PPP/ITM itu sendiri sudah berjalan lama di Seksyen 17.
Program kami adalah satu cabang sedangkan di Shah Alam sudah berjalan dua lagi cabang yang memiliki lebih ramai pelajar iaitu iaitu program AAD (American Associate Degree - boleh diterjemahkan sebagai Ijazah Bersekutu Amerika) dan TESL (Teaching of English as Second Language - Pengajaran Inggeris sebagai Bahasa Kedua). AAD adalah untuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, TESL untuk mereka yang bakal menjadi guru bahasa Inggeris di sekolah - Ada yang bakal melanjutkan pelajaran ke United Kingdom tapi kebanyakannya meneruskan ijazah di Malaysia.
Boleh jadi kami yang di bawah program A Level belum berpindah ke Shah Alam tetapi perjalanan berbasikal dimulakan dari sana kerana menempatkan kampus induk PPP/ITM. Ya, ini ada logiknya atas sebab-sebab perasmian memandangkan kami membawa nama besar PPP/ITM, bukan sekadar nama A Level. Nampaknya ini lebih tally atau bersesuaian dengan satu lagi ingatan bahawa setelah seminggu dua perjalanan selesai saya harus bergerak jauh ke Shah Alam untuk mengambil basikal. Ini adalah untuk memulangkannya kepada bapa saudara di Taman Aman, Petaling Jaya. Perjalanan secara rasminya berakhir di Shah Alam.
Ya, saya ada meninggalkan basikal di rumah seorang pensyarah yang juga merupa warden asrama di sana kemudian balik ke DU dengan bas kerana sudah terlalu penat berkayuh jauh. Kalau ketika itu sudah berpindah ke Shah Alam harus isu ini tidak terbit kerana tidak perlu bergerak daripada suatu tempat yang agak jauh seperti Petaling Jaya dan Kuala Lumpur semata-mata untuk mengambil basikal. DU dengan Taman Aman cukup dekat untuk memulangkan basikal yang dipinjam daripada bapa saudara lebih awal sedangkan ia tidak berlaku begitu. Ya. Seingatnya lagi buat satu tempoh saya tidak berbasikal. Kalau benar ketika itu sudah berpindah ke Shah Alam tentu selepas perjalanan selesai saya dapat menggunakan basikal buat suatu tempoh sebelum memulangkan.
Saya rasa inilah penerangan terbaik kenapa perjalanan bermula dari Shah Alam sekitar 31 Ogos tahun 1989 sedangkan kami cuma berpindah ke sana menjelang Januari 1990. Cukuplah penceritaan kali ini. Selamat malam dan wassalam.
2 ulasan:
Teringin nak ke Royal belum tapi belum ada rezeki
Saya pun belum masuk lagi. Setakat lalu di pintu masuknya sahaja.
Catat Ulasan