Sesuatu yang agak lucu berlaku malam Jumaat lalu di Pulau Besar. Setelah berkejar meninggalkan Kuala Lumpur selepas waktu pejabat agar dapat sampai ke jeti Anjung Batu, Melaka untuk mendapatkan feri terakhir ke Pulau Besar, saya dan isteri akhirnya sampai ke pulau itu sebelum 9 malam. Suasana di jeti pulau gelap gelita. Kecuali sedikit lampu dari bot dan 2 buah van yang menunggu, kami cuma dapat melihat kelibat orang-orang terdekat dan sedikit suasana persekitaran.
Adapun tujuan utama saya ke pulau adalah untuk menghantar 20 set buku "Berpetualang ke Aceh", atas permintaan kenalan baik di sana, Kak Nur yang ingin menjual buku untuk memenuhi masa seraya memperolehi pendapatan tambahan. Kedatangan saya dan isteri baru dimaklumkan kepada Kak Nur dan suaminya Abang Ramli petang itu juga... kerana kami tidak mahu mereka bersusah-payah bersedia menyambut kami sedangkan ada kemungkinan kami tidak dapat masuk ke pulau akibat ketinggalan feri. Sebaik sahaja feri menghampiri jeti pulau, baru saya menelefon Abang Ramli untuk memberitahu kami sudah sampai. Maklumlah, selain untuk menepati kata-kata akan datang ke situ, kami memerlukan pertolongan untuk mengangkut 20 set buku yang beratnya sekitar 30kg.
Sayangnya Abang Ramli yang dijangka datang bertemu kami dengan menaiki motosikal tidak dapat dihubungi. Sebaliknya kami cuma dapat menghubungi Kak Nur yang memberitahu Abang Ramli sudah keluar dari pondok mereka untuk menyambut. Kami naik ke atas jeti... mana dia Abang Ramli? Kelibatnya tidak kelihatan sedangkan jeti akan kembali gelap-gelita sebaiknya sahaja feri berlepas kembali ke tanah besar dan van-van yang ada menghala ke surau utama membawa penumpang yang mahu menaikinya.
Biasanya saya akan berjalan kaki sahaja untuk ke surau yang terletak bersebelahan makam Sheikh Ismail, lebih 500 meter daripada jeti... kemudian baru pergi ke pondok Abang Ramli yang terletak lagi 500 meter gitu ke satu arah. Tetapi kali ini saya membawa isteri yang sudah lebih 4 bulan mengandung selain buku-buku yang boleh tahan berat.
Ah. Nampaknya kami harus menaiki van sebelum ia berlepas. Entah selisih dengan Abang Ramli atau tidak, saya cuma dapat menyuruh isteri agar menelefon Kak Nur memberitahu kami akan menaiki van... takut Abang Ramli tercari-cari kami nanti. Entah kenapa saya memilih untuk menaiki sebuah van di hadapan walaupun van lagi satu terletak lebih dekat. Tak disangka, rupa-rupanya segala-galanya telah diatur Allah jua.
Sampai di hadapan surau orang pun mula turun dan membayar tambang RM2 seorang, Selepas semua orang lain sudah keluar, baru saya menurunkan buku. Tiba-tiba terdengar satu panggilan. "Radzi!", daripada pemandu van. Masyaallah, rupa-rupanya Abang Ramli! Baru saya ingat, dia juga ada membuat kerja sambilan memandu van mengambil penumpang di Pulau Besar. Baik dia mahupun saya tidak menyangka akan bertemu dalam keadaan begini. Dalam keadaan hampir gelap gulita di jeti saya cuma menaiki van yang ada tanpa memikirkan siapa di dalamnya sedangkan daripada Abang Ramli pula baru saya tahu, dia yang memandu untuk Resort Chandek Kura sepatutnya mengambil sejumlah penumpang lain yang turun di tepian pantai sedikit jauh dari jeti... penumpang yang menaiki bot sewa dari jeti Umbai. Sebaliknya apabila melihat penumpang yang turun di pantai tidak seramai mana, dia terfikir untuk ke jeti utama dahulu sebelum ke tepi pantai lagi. Siapa sangka dia akan mendapat penumpang penuh di jeti utama dan salah satu penumpangnya adalah saya!
Saudara dan saudari para pembaca yang dihormati sekalian. Dalam perjalanan mencari kebenaran akan hakikat alam, sering terserlah betapa segala yang berlaku, buruk dan baik semuanya telah diatur Tuhan. Perjalanan terbaru ke Melaka ini sendiri berlaku atas sebab lain sebenarnya... untuk menghadiri satu perhimpunan keluarga rakan-rakan lama dari Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) di Kluang yang sudah 22 tahun tidak saya temui. Itupun asalnya saya tidak pasti akan ke sana. Dan saya sebenarnya risau juga tentang penerimaan rakan-rakan setelah begitu lama yang tidak berjumpa. Maklumlah di sekolah itu, pada tahun 1983 hingga 1986 (saya dibuang sekolah ketika Tingkatan Empat, tidak sempat menduduki peperiksaan SPM di sana tahun 1987) saya mengalami zaman remaja dan mula mengenal sedikit erti kedewasaan. Di situlah saya mula memberontak menjadi budak nakal yang walaupun dikenali pandai suka membuat kacau.
Saya mula mendapat tahu tentang perhimpunan ini daripada e-mail yang didatangkan dari e-group kami sejak sebulan kebelakangan. Walaupun selepas Hari Raya tahun lepas, saya sempat berjumpa sejumlah rakan lama SMSJ (lihat artikel Open house di Ampang, barbecue geng moto beso di Rawang dan perjumpaan kawan lama SMSJ di Kajang ), disebabkan hal-hal lain saya terpaksa menolak jemputan lalu 2 kali terlepas peluang berjumpa rakan-rakan lama secara beramai-ramai. Sejak itu saya berazam, jika ada lagi pertemuan akan saya cuba hadiri juga. Cuma saya tidak dapat menyatakan dengan pasti akibat sejak sebulan lalu isteri harus menghadiri kursus tertentu setiap hari Sabtu dan Ahad.
Adapun pertemuan atau hari keluarga SMSJ ini diadakan di sebuah resort di Melaka pada 1 Mei, cuti Hari Buruh. Alhamdulillah, berlaku perkembangan tertentu yang menyebabkan isteri tidak perlu menghadiri kursus hujung minggu itu. Perjalanan ke Melaka pun dirancang sejak Selasa atau Rabu. Mengingatkan pesan Kak Nur yang mahu menjual buku sejak sebulan dua lalu, rasanya eloklah digunakan peluang itu untuk turut menghantar buku. Soalnya bila, bagaimana jadual perjalanannya.
Apahal pun Ahad itu saya dan isteri perlu berada di Tanjung Sepat untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara. Kami cuma dapat meninggalkan Kuala Lumpur selepas isteri tamat waktu kerja 5.30 petang. Sempat ke sampai Melaka seterusnya jeti Anjung Batu untuk mendapatkan feri terakhir 8.30 malam, feri yang cuma akan bergerak jika terdapat lebih 7 orang penumpang pada waktu itu? Selain jarak lebih 140km yang perlu dilalui, perlu juga memikirkan kesesakan lalu lintas sepanjang jalan...
Alhamdulillah, segalanya jadi cukup teratur. Selepas menghantar buku, kami sempat bermalam Jumaat di Pulau Besar kemudian keluar ke tanah besar menaiki feri jam 12.30 tengahari. Sempat menziarahi makam Sultan Ali di Masjid Umbai kemudian melihat rumah milik "Sultan Melaka" (lihat artikel "Istana Kuning" ("The yellow palace"), Melaka... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ) sebelum pergi ke perigi Hang Tuah di Kampung Duyung dan melihat rumah tradisional Melayu di belakangnya. Lihat artikel Rumah tradisional (Traditional house of) Melaka, Kampung Duyung . Kemudian saya sempat bersolat Jumaat di Masjid Kampung Duyung sebelum singgah di makam Datuk Aroom dan keluarga di Bukit Beruang seterusnya Taman Mini Malaysia di Ayer Keroh untuk mengambil gambar-gambar rumah tradisional yang ada sebagai modal untuk dijadikan cerita akan datang.
Petang itu juga buat pertama kalinya saya dan isteri dapat berehat menikmati angin laut selain bersolat di Masjid Selat Melaka yang didirikan di atas Pulau Melaka, sebuah pulau buatan manusia di luar Bandar Hilir. Selepas mandi, bersiap dan solat Maghrib jamak dengan Isyak di Masjid Tengkera, baru kami ke Shah's Beach Resort berhampiran Tanjung Keling untuk menghadiri hari keluarga SMSJ. Lewat malam kami menziarahi makam Sheikh Shamsuddin, wali besar Aceh yang mangkat di Melaka sebelum menunaikan hajat untuk beriktikaf atau bermalam lagi di Masjid Kampung Hulu, tengah bandaraya. Esoknya selepas Subuh, kami berjalan keliling bandaraya sebelum pergi ke Masjid Tanjung Keling, berehat sebentar sebelum mandi... sempat singgah makam Hang Tuah sebelum pergi lagi ke Shah's Beach Resort bertemu kawan-kawan. Selepas itu baru mereka berpecah tengahari untuk membuat hal masing-masing.
Dari Tanjung Keling kami terus menyusuri pantai ke utara. Niat asal adalah untuk ke Tanjung Sepat melalui Port Dickson diikuti Lukut. Tetapi apabila mendapati jalan selepas Sungai Udang mulai sesak, kami menghala ke Alor Gajah dengan niat mahu menggunakan Lebuhraya PLUS kemudian membelok ke Lukut. Selepas Alor Gajah, timbul rasa yang kuat untuk menikmati hidangan asam pedas tetapi di mana ya? Sedangkan sepanjang berada di Melaka, kami belum terjumpa gerai menjual asam pedas yang menarik perhatian... mungkin sebab tidak tahu di mana harus dicari yang bagus. Sejurus sebelum sampai ke laluan masuk ke lebuhraya, kelihatan sederet rumah kedai. Rasanya yang terakhir sebelum meninggalkan Melaka melalu lebuhraya. Saya pun masuk ke sana... tengok-tengok terjumpa sebuah restoran yang menyajikan masakan asam pedas ikan pari dan lagi satu ikan apa entah, lupa dah yang amat menyelerakan.
Makan tengahari sedikit lambat yang memuaskan itu membuat saya dan isteri terasa tidak perlu terkejar-kejar untuk ke Lukut mahupun Tanjung Sepat. Oh... isteri saya teringin untuk ke Lukut kerana mahu menziarahi makam Raja Jumaat. Lalu kami membuat keputusan untuk mengambil jalan lama ke Negeri Sembilan... sempat menziarahi makam Dol Said dan bersolat serta berehat di Masjid Naning malah sempat ke Rembau menziarahi seorang makcik yang sering dijadikan isteri tempat mengambil nasihat.
Kami sampai ke makam Raja Jumaat di Lukut sekitar jam 5 petang sebelum masuk ke Selangor melalui Sepang lalu terus ke Tanjung Sepat melalui Sungai Pelek dan Bagan Lalang. Cuba kira, berapa banyak lokasi kami sempat pergi dalam perjalanan ke Melaka kali ini... dan beberapa banyak perkara dapat kami selesaikan, dari bab bertemu rakan-rakan lama yang telah 22 tahun tidak ditemui, menghantar sejumlah buku, bermalam di Pulau Besar, beriktikaf di Masjid Kampung Hulu dan sebagainya, dalam perjalanan yang asalnya dibuat cuma untuk bertemu kawan lama.
Kiralah sendiri. Bukan apa... saya mahu anda memikirkan. Di kala saya lihat di forum-forum Internet kelihat begitu ramai yang suka berbual-bual dan berbincang mahu ke Pulau Besar lah, Gunung Jerai lah, Gunung Ledang, makam ini, makam itu, masjid ini, masjid itu sedangkan apa yang saya lihat, seringkali mereka terus berbincang dan kemudian bertekak sahaja tanpa menimbulkan apa-apa faedah yang konkrit. Ada yang saya lihat sejak dua tahun sering bertekak tapi sampai kini tidak pernah pun sampai ke tempat-tempat yang katanya mereka ingin pergi, tempat yang saya sendiri sudah ziarahi beberapa kali walaupun harus berjalan kaki seorang diri dalam kegelapan malam. Dalam tempoh satu hujung minggu sahaja saya dan isteri yang sedang sarat mengandung dapat pergi ke banyak lokasi yang boleh dikira keras. Sebab apa? Sebab takdir Allah belaka! Tetapi untuk melalui takdir yang begini teratur haruslah lebih banyak berbuat dari bercakap. Kalau dah buat baru boleh bercerita tentang sesuatu... kalau tidak, takut teori aje banyak, praktikalnya tiada. Cerita aje tinggi-tinggi, pasal ilmu ini le ilmu itu, pasal Tasawuf Muntahi le tapi hakikat sebenar diri adalah jauh panggang dari api...
Selepas ini baru boleh dibuat posting tentang pertemuan rakan-rakan lama dari SMSJ. Sekian!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan