OK. Satu cerita baru...
Sekitar penghujung tahun 2006 begitu, seorang saudara sebelah ibu di Muar yang pernah bekerja di negeri Melaka memberitahu bahawa di Bukit Beruang yang terletak di pinggiran bandaraya Melaka, terdapat sebuah kawasan pemakaman yang mengandungi beberapa batu nesan Aceh. Dia berkata begini setelah melihat buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang mengandungi gambar batu nesan Aceh milik Sultan Malikus Salih yang mendirikan kerajaan Samudera dan Pasai lebih 700 tahun lalu.
Sejak itu saya ada rasa teringin untuk ke Bukit Beruang mencari kawasan pemakaman yang dimaksudkan. Sebelum itu, saya setakat tahu batu nesan Aceh di Melaka cuma terdapat di makam Hang Jebat dan makam Tun Teja. Sebuah buku yang saya temui tahun 2005, kalau tak salah ingatan tajuknya ialah "Aceh gravestones" tulisan Profesor Othman Yatim terbitan tahun 1980an atau 1990an gitu pula setakat menyatakan kewujudan batu nesan Aceh di makam Tun Teja...
Tetapi minat ini jadi luput apabila saya pergi ke beberapa lokasi lain di sekitar tanah-air yang disebut orang mengandungi batu nesan Aceh tetapi apabila saya sampai ke lokasi-lokasi itu, ternyata batu-batu nesan itu berbentuk lain. Apapun saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana orang-orang ini cuma penduduk tempatan yang mungkin sedikit teruja tapi keliru apabila melihat gambar batu nesan Aceh yang disuakan kepada mereka.
Berbalik ke cerita Bukit Beruang. Saudara saya itu sendiri belum pernah sampai ke kawasan pemakaman yang disebutnya... dia setakat pernah mendengar cerita kawan-kawan. Maka itu saya tidak mencarinya walaupun gerak hati saya sering menyebut ada sesuatu yang menarik di Bukit Beruang, bukit besar yang boleh kelihatan tersergam gagah sebaik sahaja seseorang itu masuk ke Melaka melalui tol lebuhraya di Air Keroh.
Sabtu lepas, dalam perjalanan kembali ke kampung ibu di Muar untuk menyambut Hari Raya Aidil Adha, saya pun ke Bukit Beruang untuk mencari kawasan pemakaman itu. Setelah beberapa ketika mencari-cari bertanyakan orang sehingga beberapa kali tersilap jalan lalu harus pula meredah hujan, terjumpalah saya dengan papan-tanda di atas yang menyebut "Tapak sejarah batu nisan Acheh".
Oh! Biar diberitahu, saya lebih suka menggunakan ejaan "nesan" untuk "nisan" dan "Aceh" untuk "Acheh", tak kiralah apakah ejaan terbaru yang dikeluarkan Dewan Bahasa dan Pustaka yang saya lihat boleh berubah-ubah mengikut zaman. Anggaplah ini house style saya... sepertimana ketika bekerja sebagai wartawan di akhbar di The New Straits Times, saya diajar supaya menggunakan ejaan "Datuk" untuk setiap pangkat Datuk tak kiralah anugerah dari negeri mana sedangkan ada akhbar lain menggunakan ejaan "Dato'" malah ada menyebut pangkat Datuk dengan Dato' ini ada bezanya, wallahualam...
Ke hadapan sedikit, terdapat pula papan-tanda menyebut arah ke "Makam Datuk Aroom". Teringat semasa di Masjid Kampung Hulu, saya diberi sebuah buku kecil sejarah Datuk Aroom oleh penjaga masjid. Menurut ceritanya, Masjid Kampung Hulu dibuka oleh Datuk Aroom pada tahun 1670 sedangkan sejarah rasmi menyebut masjid itu dibuka oleh anaknya Datuk Shamsuddin tahun 1728.
Akhirnya saya pun sampai di hadapan kawasan pemakaman. Ketika itu hujan masih renyai-renyai...
Kelihatan dua buah papan tanda... di kiri menyebut "Makam Datuk Kapitan Melayu Melaka Datuk Aroom dan kerabat" sedangkan di kanan cuma menyebut "Tapak batu nisan Acheh"...
Batu maklumat yang didirikan pihak muzium menyebut batu-batu nesan Aceh yang terdapat di sini tidak diketahui milik siapa sedangkan sepasang batu nisan Aceh di luar kawasan ini dikatakan milik Datuk Shamsuddin bin Arom (Aroom). Apa makna semua ini?
Buku kecil sejarah Datuk Aroom yang saya dapat menyebut semua makam di sini adalah milik kaum kerabat Datuk Aroom. Saya pula sedikit musykil. Setahu saya batu-batu nesan Aceh cuma boleh dipakai oleh golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Termasuk dalam golongan juga adalah alim-ulamak besar yang apabila disusur-galur keturunannya memang memiliki darah bangsawan ataupun keturunan raja-raja.
Buku kecil itu menyebut Datuk Aroom sebenarnya adalah orang Cina dari Tiongkok yang memeluk Islam kemudian menetap di Melaka. Jadi bagaimana mahu dikaitkan dengan bangsawan atau raja-raja Melayu? Sekali lagi, sila baca cerita di artikel
Cerita projek buku masjid - Masjid Kampung Hulu dan masjid-masjid di Melaka . Hmm... elok juga saya
copy and paste bahagian yang berkenaan di sini...
Saya pun mengundurkan diri untuk membaca buku tentang Pulau Besar dan Sheikh Ismail diikuti buku sejarah Datuk Aroom yang juga mengandungi sejarah Masjid Kampung Hulu. Baru saya tahu Datuk Aroom adalah Kapitan atau ketua orang Melayu Melaka pertama zaman pemerintahan Belanda (1641-1824). Ini kerana menurut buku tulisan warisnya itu, Datuk Aroom dan orang-orangnya telah membantu Belanda mengalahkan Portugis tahun 1641 lalu dilantik menjadi kapitan dan dianugerahkan sejumlah tanah sekitar Melaka.
Yang menarik, Datuk Aroom asalnya seorang pedagang muda bernama Tan Seek Tiong dari Tiongkok di negeri Cina. Tetapi kapalnya karam dipukul taufan di Selat Melaka sebelum jasadnya yang telah nyawa-nyawa ikan ditemui penduduk kampung di Pantai Kelebang.
Semasa diusung ke rumah ketua kampung, kebetulan laungan azan mula berkumandang. Pemuda Cina itu tersedar lalu bertanya tentang azan. Setelah diterangkan makna seruan di sebalik panggilan azan, beliau pun meminta diIslamkan. Hmm... macam kena pula dengan tajuk buku ini, ... (dirahsiakan) . Sejak itu Tan Seek Tiong memakai nama Islam Harun, kemudian dipanggil Harom, Arom dan Aroom.
Inilah makam Datuk Aroom @ Tan Seek Tiong. Tetapi ia bukan batu nesan Aceh.
Menurut sepasang suami isteri yang duduk di sebelah kawasan pemakaman ini, batu nesan asal di makam telah rosak dan patah lalu digantikan dengan yang ini . Batu nesan asal agak besar dan cantik.
Kata mereka, batu nesan Datuk Aroom serupa dengan batu nesan ini yang terdapat sekitar 200 meter di luar kawasan pemakaman tadi. Batu nesan di atas ini dikatakan milik anakandanya Datuk Shamsuddin.
Sebenarnya, selain mahu melihat batu-batu nesan Aceh di Bukit Beruang, saya juga ingin meneliti betulkah makam-makam ini milik kaum kerabat Datuk Aroom seperti dinyatakan dalam buku kecil sejarah Datuk Aroom yang ditulis mereka? Kecuali makam Datuk Shamsuddin di luar kawasan utama, pihak muzium sendiri menyebut makam-makam yang ada tidak diketahui milik siapa.
Persoalan yang bermain di fikiran saya ketika itu... apakah keluarga anak cucu Datuk Aroom terlebih-lebih membesarkan datuk nenek mereka? Seperti disebut awal tadi, setahu saya batu-batu nesan Aceh cuma boleh dipakai oleh golongan bangsawan dan raja-raja Melayu. Kajian peribadi saya pula menunjukkan bahawa pemilik-pemilik batu nesan ini boleh disusur-galur keturunannya sampai ke keturunan Nabi Muhammad SAW. Sebab itu ada batu nesan ekslusif ditempa dari Aceh, bumi Serambi Mekah tempat masuk ramai anak cucu Nabi yang berhijrah ke Nusantara sebagai tanda. Maka mana mungkin Datuk Aroom yang sebenarnya seorang Cina masuk Islam dan kaum kerabatnya memakai batu nesan jenis ini.
Kemudian saya teringat cerita Laksamana Cheng Ho yang pernah memimpin armada besar Cina datang melawat Melaka dan beberapa kerajaan Melayu lain. Kajian-kajian terkini telah pun mengiktiraf Cheng Ho sebagai seorang Islam sejak lahir lagi, bukannya pendatang bangsa Cina yang datang memeluk Islam kemudian. Malah ada kajian menyebut nama sebenar beliau ialah Sayid Muhammad Adjal, seorang keturunan Nabi dari cabang keluarga yang berpindah ke Bukhara kemudian dibawa masuk ke istana Maharaja Cina!
Jadi apakah mungkin Datuk Aroom juga sebenarnya memiliki darah keturunan Nabi? Yang pasti, beliau bukan orang sembarangan. Kalau tidak, kenapa boleh diangkat untuk mengetuai orang-orang Melayu di Melaka! Dengan persoalan ini, saya tamatkan cerita. Sekian! :]
12 ulasan:
Assalamu'alaika wa rahmatullah. Nama saya Mohanizam bin Mohd bin Puteh bin Mat. Allahyarham datuk saya telah memberitahu Allahyarham abah saya bahwa maqam2 di Bukit Beruang adalah kaum kerabat saya dan punya kaitan dengan maqam Sheikh Abdullah di Masji Kampun Ulu,Melaka dan berpesan supaya pergi menziarahi mereka. Saya dilahirkan dan menetap di Singapura dan sedang berusaha untuk mencari silsilah keluarga. Harap tuan dapat membantu. No telfon saya ialah 02 atau +65 91414 733. Saya sangat mengharapkan bantuan Tuan. Terima kasih
Wassalam. Dahulu rasanya ada kaum kerabat Datuk Aroom yang bagi nombor telefon tapi saya dah lupa. Saya sarankan satu hari nanti saudara pergi sendiri ke Bukit Beruang dan ziarah makam. Pergi sahaja ke sana dahulu, kedudukannya dekat dah dengan Air Keroh, Melaka kemudian tanya orang.
Bersebelahan kawasan makam ada sebuah rumah kayu yang diduduki satu keluarga. Ia adalah satu-satunya rumah di sebelah makam, yang lain semua rumah teratur dalam kawasan perumahan.
Berilah salam dan nyatakan kaitan dengan Datuk Aroom. Insyaallah dari situ saudara akan mendapat jalan untuk mengenali kaum keluarga lain... tahulah nanti apa yang harus dibuat seterusnya...
Alhamdulillah. Saya sangat berterima kasih di atas penerangan saudara. Insya'Allah ia akan membantu. Kalau ada kesempatan untuk kita berkomunikasi,terutama yang berkaitan dengan Datuk Aroom,bolehlah missed call saya di nombor yang telah saya berikan. Saya akan telfon saudara kembali. Semoga segala usaha saudara diberkati Allah dan semoga bumi M'sia dilimpahi barakah dengan kehadiran para Habaib yang bermastautin di sana
Salam,Saudara. Saya diamanahkan untuk menjemput saudara ke Majlis Haul Datuk Aroom pada 29hb Mei 2010 di kawasan permakaman. Majlis bermula sekitar jam 10am. Sila hubungi saya di nombor yang telah saya berikan di atas. Insya'Allah,kehadiran saudara akan dapat membantu saudara mengenali sejarah Datuk Aroom dan bermacam2 lagi. Skali lagi,saya ingin mengucapkan terima kasih kerana dapat berjumpa dengan kaum kerabat berkat membaca blog ini. Penjaga nasab Datuk Aroom suka dengan tulisan saudara. Harap dapat hubungi saya. Wasalam
Wassalam. Terimakasih atas jemputan itu. Tetapi saya tidak dapat memastikan apa-apa buat masa ini. Kemungkinan besar pada tarikh tersebut saya harus outstation lagi untuk satu tugasan. Kirim salam pada keluarga...
Insya'Allah,akan saya sampaikan salam saudara. Terima kasih,ya
Salam,Encik Radzi. Saya dapat tahu bahwa Datuk Harun@Aroom bukanlah seorang muallaf. Dia memang beragama Islam dan berasal dari Yunnan. Orangnya alim dan begitu juga anaknya yang bernama Samsuddin. Saya sedang mencari nasabnya yang terus sampai ke Nabi s.a.w. kalau memang dia seorang Ahlul-Bait. Boleh terangkan serba sedikit tentang orang bagaimanakah yang boleh memiliki nesan aceh,lebih2 lagi yang jenis Othman H? Kalau Encik Radzi boleh bantu serba sedikit dalam pencarian nasabnya,saya amat berterima kasih
Wassalam. Saya pun tak tahu kategori batu nesan tu bagaimana. Yang saya tahu ia boleh dipecahkan kepada zaman dan kedudukan tapi tak tahu detailnya. Contohnya batu nesan berkepak kalau kepala pendek (kepala panjang meninggi untuk perempuan) tu memang confirm taraf raja. Tapi lepas abad ke 17 dah tak pakai dah. Kalau bentuk macam tombol rasanya lebih pada ulamak. Tapi nampakanya ada gak raja yang pakai.
Yang pasti batu nesan Aceh menandakan pemiliknya bukan orang sembarangan dan saya secara peribadi percaya ia turut menandakan seseorang itu ada titisan Ahlul Bait. Bab batu nesan Samsuddin tu saya lihat ia serupa dengan apa yang terdapat di makam Tun Habib Abdul Majid juga makam Sultan Mahmud mangkat dijulang.
Trima kasih. Saya sedang cuba mengkaji dan mencari Datuk Harun dari marga Sayyid yang mana. Tak banyak sejarah tentang dia. Pihak muzium pun kata yang dia muallaf dan ini tidak tepat
Assalamualaikum... sebenarnya Datuk Harun @ Aroom adalah seorang mualaf dan anaknya Datuk Shamsudin telah berkahwin dengan seorang puteri kerajaan acheh yang dikhabarkan merupakan ahlul bait. Batu nesan datuk shamsudin ini didatangkan dari acheh disebabkan perkahwinan beliau dengan kerabat kerajaan acheh.. wassalam
Salam. Saya rasa sedih kerana jika kita masih mengharapkn bahan2 sejarah dari belanda,yg memang terkenal ingin menghapuskn Ahlul Bait,sahaja,itu menunjukkn yg kita masih dijajah. Walaupun kelemahan bahan2 sejarah kita adalah dari mulut ke mulut dan tidak ditulis,wajib kita mengiktiraf setelah ditimbang dan diselidik secara terperinci. Saya diberitahu bahawa,salasilah keluarga ini,berkait rapat dgn Habib Nuh al-Habashee yg maqamnya terletak di S'pura. Mengapa mereka yg terdahulu merahsiakn keturunan mereka,kita berbalik kepada isu belanda hendak menghapuskn Ahlul Bait Rasulullah saw
Assalamualaikum,saya ingin bertanya apa sejarah dan peristiwa yang pernah berlaku di kampung perigi acheh
Catat Ulasan