Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Januari 08, 2019

Islam dan komunitinya di Kampuchea zaman ini - Keadaan sekarang dan cabaran masa hadapan

Keluar lagi daripada cerita pengembaraan di Cambodia (dan Thailand). Tetapi masih sangat berkait dengan Cambodia ataupun Kampuchea ataupun Kemboja...



Semenjak seminggu dua lepas satu majlis ilmu dengan tajuk yang kelihatan telah diwar-warkan mahu diadakan di ISTAC pada pagi Selasa 8 Januari 2018.




Pagi tadi sampailah masanya untuk ia berlangsung. Disebabkan itu saya pun ke ISTAC, kali pertama untuk tahun 2019 yang baru sahaja masuk 8 hari.




Adapun majlis ini asalnya dirancang mahu diadakan pada pagi Khamis 6 Disember 2018 iaitu 3 hari selepas saya dan keluarga kembali daripada perjalanan di Cambodia dan Thailand. Tetapi atas sebab-sebab tertentu ia ditunda kepada satu tarikh yang tidak diberitahu. Baru seminggu dua lepas diwar-warkan tarikh baru.




Majlis bermula dengan Sheikhul Kulliyah ISTAC, Profesor Ulung  Datuk Dr. Osman Bakar memberi sepatah dua kata juga pengenalan terhadap pembentang, Profesor Madya Dr. Mohamad Zain Musa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau adalah warga keturunan Melayu-Champa dari Cambodia yang sudah lama bermastautin di Malaysia.




Sekitar jam 10.15 pagi Mohamad Zain pun memulakan pembentangan. Ia juga keseluruhan majlis dibuat dalam bahasa Inggeris.




Tajuk pembentangan "Islam and It Community in Contemporaray Kampuchea - Present Conditions and Future Challenges' boleh diterjemahkan sebagai "Islam dan Komunitinya di Kampuchea Zaman Ini - Keadaan Sekarang dan Cabaran Masa Hadapan". Ia dibuka dengan sejarah kedatangan orang Melayu Cham ke Cambodia.




Umum tahu bahawa orang Melayu adalah penduduk asal satu kerajaan lama bernama Champa yang meliputi pesisir timur pantai Indo-China menghadap ke Laut Cina Selatan. Namun ia hilang daripada peta dunia akibat ditelan oleh puak Dai Viet yang berasal dari selatan Cina. Serangan berlaku dalam beberapa peringkat dengan tahun 1471 Masihi tercatat sebagai permulaan jatuhnya Champa ke tangan Dai Viet lalu orang Melayu Champa dipaksa bergerak lebih ke selatan. Masuk pertengahan abad ke-19 ia ditelan sepenuhnya untuk membentuk negara moden Vietnam. Orang Melayu Cham terpaksa berhijrah meninggalkan tanah air mereka, ada yang ke Malaysia ada yang ke Cambodia yang terletak lebih berdekatan lalu turut dikenali sebagai orang Khmer Islam.




Penghijrahan ke Cambodia telah bermula sejak kejatuhan pertama Champa tahun 1471. Mereka diterima baik oleh kerajaan Khmer (sebelum bernama Kampuchea mahupun Kemboja). Masuk tahun 1975 berlakulah peristiwa kekejaman oleh Pol Pot yang menyaksikan berjuta penduduk Cambodia termasuk orang Islam dibunuh atau mati akibat kebuluran dan penyakit yang muncul berleluasa zaman itu. Hal ini juga mengubah keadaan sosio-politik masyarakat.




Muhammad Zain memberikan statistik yang diperolehi daripada pihak-pihak tertentu termasuk jabatan mufti. Menarik melihat nombor-nombor yang tertera. Kata beliau 3 juta orang mati disebabkan kekejaman Pol Pot dan ini harus menyebabkan penduduk selepas zaman itu (1975-1979) tinggal kurang 4 juta. Namun ia boleh melonjak naik menjadi 12.1 juta pula pada tahun 2000...




Secara rata masyarakat Cambodia terdiri daripada orang bangsa Khmer yang beragama Buddha. Kalau ada yang beragama Islam itu adalah yang bertukar agama kemudian, bukan daripada keturunan sejak zaman berzaman. Yang memang sudah Islam sejak sekian lama iaitu sejak paling lewat pun abad ke-15 hingga ke-16 adalah orang Melayu dari Champa. Maka itu boleh dikatakan rata-rata orang Islam di Cambodia adalah Melayu Cham. Sedikit sahaja terdapat bangsa lain Islam misalnya orang Pakistan yang datang berniaga.




Komuniti Islam duduk di kampung-kampung yang ketuai seorang Imam. Daerah-daerah yang setiap satunya mengandungi beberapa buah kampung dipimpin oleh Kadi sementara seluruhnya berada di bawah penjagaan seorang Mufti yang dilantik oleh raja...








Seterusnya Muhammad Zain bercakap tentang perkembangan pendidikan dan sekolah untuk orang Islam di Cambodia.








Walaupun sudah berlaku banyak perkembangan sejak lebih 20 tahun kebelakangan hasil bantuan umat Islam dari seluruh dunia terutama dari Malaysia masih banyak perlu dilakukan untuk memajukan orang Melayu Cham atau Khmer Islam di Cambodia.








Mereka sedar pendidikan sangat penting untuk memajukan diri. Tetapi kemiskinan menjadi halangan untuk bergerak ke hadapan.




Banyak perkara sedang dirancang untuk memajukan komuniti Islam di Cambodia.












Walaupun kepimpinan Cambodia di bawah Perdana Menteri Hun Sen kelihatan sangat menyokong umat Islam namun ada cabaran-cabaran lain menghalang kemajuan. Hal ini dibincangkan panjang lebar dalam sesi soal jawab di mana sejumlah hadirin memang biasa ke sana untuk membuat sumbangan mendirikan masjid juga sekolah. Kelihatan cabaran utama adalah daripada para pemimpin tempatan Islam sendiri seperti yang seperti takut status quo mereka terganggu oleh orang luar.

Terbetik dalam fikiran. Agaknya mereka lebih suka orang Melayu Cham tidak berpendidikan lalu tidak dapat maju ke hadapan. Mereka lebih suka komuniti Islam terus menerima zakat juga sumbangan lembu korban daripada luar, tidak mahu orang sendiri menjadi mampu membayar zakat juga membeli lembu untuk korban. Terasa ada segelintir yang memiliki kepentingan di belakang tabir. Biar orang Islam seperti dari Malaysia terus menghantar wang untuk membeli lembu-lembu yang diternak oleh segelintir itu. Kemudian agih-agihkanlahh daging korban Raya Haji. Biar terus menerus begitu. Nampaknya le...

Sabtu, Januari 05, 2019

Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menyambut hari lahir di tapak pusat empayar

Assalamualaikum wahai para pembaca sekalian. Hari ini 5 Januari 2019 sesuailah dikongsikan cerita hari ke-5 perjalanan saya dan keluarga ke Cambodia dan Thailand 22 November-3 Disember 2018.  Ada sebab lebih kuat yang melibatkan hari lahir dan ini akan diceritakan. Bersambung daripada Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam.



Pagi Isnin 26 November 2018. Kelihatan satu pemandangan daripada tempat kami menginap.


Ia adalah sebuah rumah penginapan merangkap hotel kecil.


Letaknya di bahagian lama pekan kecil Takeo,  Dari sini ada jalanraya menuju 50 km ke sempadan Vietnam di selatan.



Namun ada bahagian sempadan yang terletak lebih dekat tetapi tidak boleh dicapai melalui jalan darat.


Dari Takeo ini lebih mudah mengambil jalan air. Terdapat beberapa terusan purba yang menyambung tempat-tempat terutama di lembangan Sungai Mekong membawa ke delta dan muara yang kini terletak dalam sempadan moden negara Vietnam.


Terusan-terusan ini dibina semasa empayar atau kerajaan lama Funan berdiri abad pertama sehingga ke-enam Masihi.


Selepas meninjau-ninjau persekitaran lalu terjumpa sebuah warung makanan halal baru mengajak anak-anak dan isteri keluar bersarapan.


Adapun seluruh negara Cambodia juga sebahagian daripada Vietnam pernah terletak di dalam empayar Funan. Dari Takeo kami mahu pergi ke tapak ibu kota atau pusat kerajaan.


Kami dapat tahu lebih mudah ke sana dengan menaiki bot dari Takeo.


Bergeraklah kami ke tapak pusat tersebut lebih 20 km perjalanan bot.


Melihat pada terusan begitu panjang dengan kelebaran 60 meter saya merasa kagum. Bagaimana mereka dapat membina sistem tersebut hampir 2,000 tahun yang lampau? Lihat artikel Boat ride from Takeo to Phnom Da di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Setelah beberapa lama masuk ke satu terusan kecil lalu sampai ke satu perhentian.


Kami mahu ke satu bukit yang dipanggil Phnom Da, satu tapak penting tinggalan empayar Funan.


Kami anak beranak pun mendaki bukit. Lihat Going up the hill of Phnom Da.


Di puncak bukit ada kuil lama yang dibina pada abad ke-11 Masihi. Menariknya ia berdiri di atas kuil lama yang sudah wujud abad ke-enam Masihi iaitu pada zaman Funan. Malah dikatakan di tapak sama pernah wujud kuil lebih lama zaman awal Funan abad pertama atau kedua Masihi. Lihat artikel Kuil (Temple of) Phnom Da di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Saya merasa amat seronok kerana sudah sampai ke persekitaran tapak pusat empayar Funan.


Lebih seronok lagi kerana ini berlaku pada tarikh 26 November yang merupakan hari kelahiran saya, buat yang ke-48. Saya pun mengambil peluang menikmati pemandangan dari puncak bukit bersejarah ini. Lihat Views from on top of Phnom Da.


Dari Phnom Da tinggal 10 km sahaja melalui sistem terusan lama untuk masuk ke Vietnam. 


Tetapi kami bukan mahu ke negara tersebut. Sebaliknya kami bergerak 3.5 km ke arah bertentangan iaitu ke utara untuk sampai ke pekan Angkor Borei.


Pekan ini terletak di dalam kawasan kota lama yang dipercayai adalah ibu kota terawal atau paling tidak pun antara paling awal bagi empayar Funan.


Kami singgah ke muzium yang menempatkan artifak-artifak berkenaan. Lihat Muzium (Museum of) Angkor Borei.


Di dalamnya terdapat satu peta menunjukkan jangkauan ibu kota purba yang dahulu pernah bertembok meliputi seluruh Angkor Borei. Daripada kajian-kajian sebegini yang dipelopori ahli-ahli arkeologi dari Peranchis (Cambodia pernah menjadi jajahan takluk Peranchis abad 19-20 Masihi) dapat ditelusuri sejarah dan keberadaan Funan zaman berzaman.


Ada yang percaya kerabat-kerabat diraja Funanlah yang kemudian mendirikan empayar Srivijaya. Mereka juga yang membentuk wangsa Sailendra yang memerintah Pulau Jawa lalu mendirikan Candi Borobudur yang terkenal itu abad ke-9 Masihi. Rujuk artikel lama Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja...


Ini berlaku selepas Funan jatuh abad ke-enam akibat serangan daripada satu wilayah bawahan bernama Chenla. Serangan sebenarnya dipelopori oleh seorang kerabat diraja Funan (dipercayai berdarah Melayu tulen) yang berkahwin dengan orang Khmer, satu bangsa yang asalnya mendiami bukit-bukit di IndoChina. Lalu berdirilah kerajaan Chenla yang dikenali sebagai kerajaan bangsa Khmer. Chenla kemudian berpecah dua, satu daripadanya muncul menjadi kerajaan Angkor yang mendirikan Angkor Wat abad ke-12 Masihi. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Angkor Wat dan kuil-kuil lama di sekitar.


Setelah beberapa lama bahagian timur Angkor jatuh kepada kerajaan Ayuthia yang berpusat di negara Thailand sekarang. Campur tangan Peranchis membawa kepada pembentukan negara moden Kampuchea, kemudian dikenali sebagai Cambodia abad ke-20. Di sini saya tidak ingin bercerita panjang lebar tentang kerajaan-kerajaan tersebut. Google sahaja nama-nama berkenaan anda boleh jumpa banyak cerita panjang lebar daripada pelbagai pihak walaupun ramai antara mereka tidak pernah pun menjejakkan kaki ke mana-mana tapak sejarah yang diceritakan.


Saya tiada masalah dengan orang yang bercerita panjang lebar tetapi tidak pernah sampai. Yang tidak suka adalah mengarang cerita ala-ala kreatif untuk memberikan bayangan seolah-olah pernah sampai merata walhal tidak. Lalu ramai tertipu dengan karangan kreatif sebegitu. Walhal cerita-ceritanya semua dicedok daripada kajian orang lain...


Apapun, selesai urusan di persekitaran pusat empayar Funan kami kembali ke Takeo lalu menuju ke stesyen kereta api. Lihat Takeo train station.


Kami sempat sampai ke stesyen sebelum kereta api ke Phnom Penh dijadualkan bergerak jam 12 tengah hari. Tengok-tengok jam 2 baru ia muncul. Kemudian kereta api bergerak begitu perlahan.  Dekat jam 5.30 petang baru sampai walhal jarak Takeo ke Phnom Penh  cuma sekitar 70-80 km iaitu seperti Seremban ke Kuala Lumpur.


Selesai hal di pusat empayar Funan baru ada masa untuk menikmati ibu kota negara Cambodia ini. Sudah disebut dalam artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menghampiri sempadan selatan Vietnam bahawa hari sebelumnya kami sudah sampai dari arah Kampong Cham. Tetapi tiada masa untuk menikmatinya kerana mahu berkejar lebih jauh ke arah selatan Vietnam.








Dah malam baru sampai ke penginapan kami di satu kawasan yang biasa dihurungi pelancong Barat.


Alhamdulillah bilik cukup besar, siap ada 3 katil queen terlebih cukup untuk kami anak beranak dua orang dewasa dua kanak-kanak.


Menariknya adalah gambar penari perempuan pada dinding bilik. Motif-motif serupa boleh dilihat dengan banyak di kuil-kuil lama termasuk di Angkor Wat. Di Phnom Penh baru saya faham kenapa ia terpapar di banyak tempat. Tapi itu cerita daripada siang keesokannya hari Selasa...


Oh. Biar diberitahu. Jika cerita dalam artikel ini berlaku ketika saya menyambut hari lahir yang ke-48 tarikh artikel ini ditulis iaitu 5 Januari pula adalah tarikh lahir isteri. Ia adalah ulangtahun beliau yang ke-44. Semoga kami dapat terus bersama mengembara merata meneroka pelbagai perkara sehingga ke akhir hayat. Untuk rekod saya ini adalah artikel ke-1,727 di blogspot ini. :]