Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Mac 20, 2007

Berpetualang ke Aceh: Membela syiar yang asal (BKA II)


Assalamualaikum para pembaca sekalian. Hari ini sudah masuk 1 Rabiulawal 1428 Hijrah, bulan Islam yang akan membawa kepada tarikh kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW 11 hari lagi. Maka timbul pula gerak untuk berkongsi gambar kulit hadapan buku terbaru saya yang akan datang, "Berpetualang ke Aceh: Membela syiar yang asal" atau BKA II.
Adapun buku ini saiznya sama dengan "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I, jumlah mukasurat pun sama iaitu 300 muka, campur 4 mukasurat kosong kerana jumlah mukasurat buku dijilid dalam gandaan 16 (set 4 kertas dilipat 2 lalu menjadi 16 mukasurat), dalam kes ini 16 x 19 = 304. Ia adalah kesinambungan cerita dalam buku I dan akan membawa pembaca pergi lebih jauh ke dalam dunia pengembaraan serta pemikiran Muhammad Al-Aminul Rasyid. Maka akan ada lebih banyak perkara yang melibatkan hal-hal pelik dan ghaib, juga pengajian ilmu Tasawuf.
Untuk pengetahuan, buku ini baru siap diedit dan layout menggunakan perisian Pagemaker kemudian InDesign pada Khamis 15 Mac 2007 sejurus sebelum masuk Subuh. Tapi saya perlu melakukan satu lagi proses editing untuk memantapkan isi... Kulit buku pun belum 100 peratus siap kerana belum mendapat ilham untuk pantun yang perlu diletakkan di belakang.
Setelah siap proses editting pada hari Khamis, gerak hati saya menyuruh supaya menunggu bulan Safar tamat. Hari ini sudah masuk bulan Rabiulawal, maka proses seterusnya akan disambung hari ini dan sebab itulah saya mendapat gerak untuk meletakkan gambar kulit buku di sini dan berkongsi perkembangan terbaru BKA II dengan para pembaca sekalian.
Apapun, doakan segalanya berjalan lancar OK... Jika tiada aral melintang, insyaallah buku ini akan berada di pasaran bulan May. Baiklah, saya perlu menyambung kerja ya... Teruskan membaca! :]

Khamis, Mac 15, 2007

Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Memandangkan sudah masuk 15 Mac maka saya rasa sesuailah jika segmen ke 5 "Laksamana pulang ke Perak" yang diterbitkan untuk akhbar tabloid Kencana edisi ke 114, Mac 1-15 turut dikongsi bersama di sini. Untuk pengetahuan, cerita yang diletakkan di sini adalah dokumen asal. Maka ada sedikit perbezaan dengan cerita yang keluar dalam Kencana kerana di sana, tuan pengarang perlu membuat sedikit perubahan bersesuaian dengan ruang yang boleh dipakai serta polisi akhbar. Silakan membaca...


Mukadimah

Kitab Sulalatus Salatin ataupun Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor abad ke 17, Tun Sri Lanang ada menyebut, sebelum Raja Iskandar (dikenali Barat sebagai Parameswara) membuka kerajaan Melaka yang berpusat di Sungai Bertam (sekarang dikenali sebagai Sungai Melaka), baginda telah cuba membuka negeri di Muar terlebih dahulu. Menurut ceritanya, ini berlaku sejurus selepas kerajaan Singapura pimpinan baginda jatuh diserang Majapahit. Lalu larilah raja ini menghala ke utara dengan para pengikutnya untuk mencari tempat baru yang boleh dijadikan negeri.

Sampai ke suatu tempat di pinggir Sungai Muar, Raja Iskandar pun berhenti berjalan lalu cuba membina penempatan baru. Malangnya tempat itu selalu dinaiki biawak, bukan seekor dua tapi berpuluh sehingga beratus ekor! Mula-mula binatang-binatang ini dapat dibunuh tapi keesokannya datang sekawan besar biawak baru lalu dibunuh lagi. Ini berlaku beberapa hari seterusnya sehingga jadi bertimbun-timbun bangkai biawak yang membusuk. Baginda dan para pengikutnya tidak tahan lagi lalu meninggalkan tempat itu. Sebab itu kawasan ini dikenali sebagai Biawak Busuk.

Sang raja pun mudik lebih jauh menyusuri Sungai Muar sehingga terjumpa tempat baru yang dirasakan sesuai untuk dibuat negeri. Setelah berpenat-lelah membuka hutan sekitar, rakyat baginda berjaya membina sebuah kota. Nampaknya lokasi ini lebih baik daripada tempat sebelumnya, rupa-rupa tak juga… Mereka cuma sempat bermalam satu hari sahaja. Keesokannya, kota yang dibina bertukar menjadi buruk , tidak tahulah kenapa. Maka tempat itupun dikenali sebagai Kota Buruk sementara Raja Iskandar pula terpaksa mengembara lagi untuk mencari negeri.

Setelah berjalan lama, sampailah mereka ke tepi Sungai Bertam. Di situlah berlaku peristiwa yang terkenal dalam cerita pembukaan negeri Melaka iaitu anjing pemburu baginda ditendang seekor pelanduk yang berani sehingga anjing itu terjatuh ke dalam sungai! Kebetulan ini berlaku ketika sang raja sedang berehat di bawah pokok Melaka. Mengikut ceritanya, sempena peristiwa itulah, Raja Iskandar terasa tempat itu elok dibuat negeri, maka diberi nama Melaka.

Cerita mengenai pembukaan negeri Melaka ini boleh dikatakan sangat terkenal sehingga diketahui kebanyakan rakyat Malaysia yang sedikit peka terhadap sejarah negara. Berapa ramai yang sedar, sebelum itu baginda telah dua kali cuba membuka negeri di Muar tetapi gagal?

Dari satu segi, memang Raja Iskandar telah ditakdirkan untuk membuka negeri di Melaka, sebab itu baginda menghadapi masalah biawak busuk dan kota buruk terlebih dahulu. Tetapi daripada segi lain, kenapa pula seorang raja yang dikatakan berdaulat tinggi, keturunan Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang boleh kecundang di Muar? Apakah ada yang tersirat di sebalik ini?


Istirehat sejenak di kampung halaman

Ketika memulakan segmen kali ini, penulis baru seminggu selesai mengharungi pengembaraan secara solo di utara tanah air setelah lebih 2 tahun tidak menjejakkan kaki ke sana. Pengembaraan yang meliputi lokasi-lokasi tertentu di Pulau Pinang, Kedah, Perlis juga Pulau Langkawi selama tiga minggu dengan menaiki kenderaan awam, hitch-hike dan berjalan kaki (sempat mendaki Gunung Jerai seorang diri pada satu malam Jumaat) begitu memenatkan zahir dan batin sehingga terasa hendak menulis satu perenggan pun begitu payah… Terlalu banyak yang berlaku menyebabkan penulis harus menilai kembali pegangan dan arah tujuan hidup selama ini.

Pengembaraan ke utara itupun sebenarnya cuma separuh daripada gerak pengembaraan yang bermula pertengahan Disember 2006 dengan perjalanan ke Pantai Timur. Seorang sepupu mahu melangsungkan perkahwinan di Kuala Terengganu lalu penulis pun terpanggil untuk ke sana. Memandangkan kali terakhir berada di sana adalah ketika pemerintahan Terengganu bertukar tangan pada pilihanraya 2004, elok juga digunakan peluang ini menjelajah Kelantan sekali. Maka jadilah perjalanan dua minggu meliputi Terengganu, Kelantan juga sebahagian Pahang sekali.

Gerak pengembaraan ini disusuli pula dengan perjalanan kembali ke Muar untuk menyambut Aidil Adha, sempat melihat sedikit kesan peninggalan banjir besar Johor di kawasan Pagoh lalu bermalam di masjid bersebelahan makam Sultan Alauddin Riayat Shah Melaka. Kemudian perjalanan diteruskan ke Pulau Besar, Melaka setelah setahun tidak ke sana. Selesai ini barulah berjalan ke utara…

Dalam siri pengembaraan ini penulis mula terasa kesan umur yang semakin meningkat menghampiri 40… Dari segi zahir, kekuatan itu masih ada walaupun selalu diserang demam akibat penat berjalan, kurang berehat serta perubahan cuaca… Sempat juga diserang begok sehingga pipi sebelah kanan membengkak seperti telur semasa di Kelantan. Yang paling terasa apabila memikirkan arah tujuan hidup… Sampai bila harus mengembara begini? Bilalah mahu mendapat rasa istirehat lalu dapat hidup secara “normal” seperti orang lain. Bukan senang hendak mengekang “penyakit” kuat mengembara bila ia datang… Kalau tidak diendahkan, terasa panas punggung dan jiwa resah gelisah sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Mahu buat kerja seperti menulis di ruangan ini pun terasa sangat susah…

Akhirnya, apabila beban penat zahir dan batin sudah rasa tidak tertanggung lagi, penulis kembali sekali lagi ke kampung ibunda di Muar untuk menemui ayahanda dan bonda.

Setelah meluahkan segala rasa yang terbit sepanjang perjalanan di utara itu, baru terasa lega dan boleh menyambung sedikit penulisan ini, itupun tersangkut beberapa hari lagi setelah kembali ke Kuala Lumpur.

Oh… Semasa di Muar, penulis sempat merasa lagi Mee Bandung Muar yang agak terkenal juga hidangan nasi beringin di sebelah stesyen bas. Ketika berjalan di bandar sambil menghirup nostalgia lama zaman kanak-kanak, terjumpa pula apek menjual air tebu yang biasa berniaga di satu sudut jalan… Sama keadaannya seperti 20 tahun lalu dan air tebu itu masih murah harganya, cuma 60 sen segelas.

Di kawasan kampung pula, penulis sempat menaiki Bukit Treh, satu-satunya bukit yang terletak dalam lingkungan 5 km dari bandar Muar. Menurut cerita tempatan, bukit ini ialah sebuah kapal yang disumpah dan ceritanya sama seperti cerita Si Tanggang yang derhaka terhadap ibu-bapanya. Tapi biar cerita ini disimpan untuk keluaran seterusnya. Di sini, biar diceritakan sedikit keistimewaan Muar untuk dikongsi bersama…


Muar bukan calang-calang tempat

Bandar Muar yang merupakan bandar kedua terbesar di Johor, selepas ibunegeri iaitu Johor Bahru, juga dikenali sebagai Bandar Maharani. Nama ini diberi oleh Maharaja Abu Bakar apabila bekas Temenggung itu membukanya secara rasmi tahun 1877… Sempena gelaran Maharani yang dipakai oleh permaisurinya ketika itu.

Untuk makluman, Maharaja Abu Bakar asalnya mewarisi gelaran Temenggung Sri Maharaja daripada bapanya Temenggung Ibrahim. Keluarga Temenggung berpusat di Teluk Belanga, Singapura tetapi berkuasa ke atas sebahagian besar Johor seperti yang dikenali sekarang.

Keadaan semasa yang menyaksikan bekas empayar Johor-Riau dipecah-belahkan penjajah Barat iaitu Inggeris dan Belanda telah memberi peluang kepada beberapa orang pembesar mengangkat diri sebagai raja. Dalam kekalutan inilah Temenggung Abu Bakar mula memakai gelaran Maharaja , kemudian dinobatkan sebagai Sultan lalu dikenali sebagai Bapa Johor Moden. Anak cucu baginda terus berkuasa ke atas Johor sehingga kini. Sultan sekarang ialah Sultan Mahmud Iskandar bin Sultan Ismail bin Sultan Ibrahim bin Sultan @ Maharaja @ Temenggung Abu Bakar.

Tempoh masa yang sama juga menyaksikan Bendahara Wan Ahmad mengangkat diri sebagai Sultan yang menerbitkan kerabat diraja Pahang sekarang. Menarik juga memikirkan hal ini apabila terkenang kedudukan geografi Muar yang terletak antara Pahang dan Johor, kedua-duanya adalah pecahan daripada empayar Melaka yang jajahan takluknya diwarisi empayar Johor-Riau. Lebih menarik lagi, Muar sudah lama dikenali zaman berzaman sebagai tempat jalan pintas daripada Melaka ke Pahang, melalui Sungai Muar mudik ke hulu sampai ke tempat bernama Jalan Penarikan di mana perahu boleh ditarik dalam 300-400 meter untuk masuk ke Sungai Serting seterusnya Sungai Pahang.

Dalam keluaran lepas, kita telah menyentuh akan peranan Muar dalam iklim sosio-politik empayar Melaka dahulukala. Telah dinyatakan, di sekitar pasar Muar terdapat bekas Kubu Bentayan yang dikatakan tempat pertahanan terakhir keSultanan Melaka sebelum jatuh ke tangan Portugis tahun 1511. Ketika itu, Sultan Ahmad ibni Sultan Mahmud mengetuai ketumbukan pahlawan Melayu di sana sementara Sultan Mahmud berkubu di Pagoh. Kekalahan mereka menyaksikan kedua-duanya lari ke Pahang melalui jalan penarikan di mana mereka berlindung di bawah naungan kaum kerabat mereka juga tetapi daripada keturunan Sultan Muhammad Shah ibni Sultan Mansur Shah Melaka.

Sultan Muhammad telah dibuang daripada takhta Melaka tetapi diberi kekuasaan ke atas Pahang, Ini berlaku akibatnya membunuh anak Bendahara yang secara tidak sengaja telah menyepak bola-raga sehingga terkena kepala Sultan yang ketika itu merupakan putera mahkota Melaka.

Apapun, Muar telah lebih dahulu berperanan dalam sejarah Melayu sebelum Melaka. Maka itu penulisan ini dimulakan dengan cerita Raja Iskandar yang telah dua kali cuba membuka Muar tetapi gagal dan kemudian baru mengasaskan kerajaan Melaka.

Sebenarnya Muar telah lama terkenal dalam sejarah dunia, salah satunya melalui catatan pengkaji Barat seperti Ptolemy, seorang pendita Yunani yang berpengkalan di Mesir sekitar abad ke 2 Sebelum Masihi. Dalam catatannya mengenai Golden Chersonese atau Semenanjung Emas (dikatakan Semenanjung Tanah Melayu ini!). Ptolemy menyebut tentang kewujudan Mount Ophir atau Gunung Ophir yang disamakan dengan Gunung Ledang kerana dikatakan di situ kononnya terdapat banyak emas. Malah ada yang kata ia mengandungi gedung perbendaharaan Nabi atau Raja Sulaiman AS!

Cerita Puteri Gunung Ledang pula sangat terkenal di kalangan orang Melayu sehingga timbul cerita sang puteri yang cantik rupawan digilai Sultan Melaka. Sekarang biar kita meneroka pula satu lagi aspek lama Muar, kali ini melibatkan satu cerita lama yang dikenali sebagai Hikayat Malim Deman.


Hikayat Malim Deman: Realiti atau fantasi?

Maka Tuan Puteri Bongsu pun naik bersalin kain basahan, duduk di pintu Nenek Kebayan dengan percintaannya. Maka Nenek Kebayan pun turunlah ke tanah mendapatkan Malim Deman, menyuruh bersiram membalikkan rupa sedia kala itu. Maka Tuanku Malim Deman pun berangkatlah bersiram ke dalam taman itu beryang-yang mengamalkan sekalian ilmu hikmat. Setelah sudah, kembalilah rupanya seperti sedia kala, terlalu elok mejelisnya, lalu kembali ke rumah Nenek Kebayan, serta dipakainya baju layang dan kain layang Tuan Puteri Bongsu itu melalui dari pintu nenek yang tempat tuan puteri.

Demi terpandang oleh Tuan Puteri Bongsu akan seorang laki-laki terlalu elok mejelisnya itu, maka berdebarlah hati tuan puteri, melayang roh semangatnya, jatuhlah hatinya kasih sayang yang tiada dapat diperikan lagi, melihatkan rupa cahaya gilang-gemilang itu. Maka tuan puteri pun segeralah menarik tudung ke atas hulunya berselubung mukanya lalu baring seraya bersabda memanggil Nenek Kebayan. “Aduhai nenek, kepala beta sangatlah ngilu rasanya: “Pening kepala bagai dibaji, Sakit hati bagai digunting.”

Maka Nenek Kebayan pun masuklah ke dalam bilik itu mendapatkan tuan puteri, memicit hulunya, mengurut-urut seluruh tubuhnya. Maka sabda Tuan Puteri Bongsu, “Orang mana itu, nenek, yang terlalu amat elok itu, gilang- gemilang cahaya mukanya?”

Maka sahut Nenek Kebayan dengan perlahan-lahan suaranya, “Wahai cunda tuan puteri, itulah yang bernama Tuanku Malim Deman, putera Tuanku Malim Dewa, cucu Tuanku Malim Perman yang memerintah di negeri Bandar Muar ini!”



Mereka yang pernah mengikuti pengajian sastera Tingkatan 6 mesti pernah terbaca sedutan ini. Untuk makluman, ia adalah sebahagian daripada cerita di dalam Hikayat Malim Deman, sebuah hikayat Melayu lama yang agak terkenal suatu masa dahulu, pernah menjadi salah sebuah teks wajib untuk para pelajar di sekolah menengah.

Kisah yang tertera ini menceritakan tentang pertemuan Tuanku Malim Deman dengan bakal isterinya, Puteri Bongsu yang berlaku di rumah Nenek Kebayan. Ia dikatakan berlaku suatu masa dahulu ni negeri Bandar Muar, cuma kewujudan watak-watak seperti Puteri Bongsu yang turun daripada kayangan serta Nenek Kebayan yang sering menghiasi cerita dongeng Melayu menyebabkan Hikayat Malim Deman dianggap tidak lebih daripada sebuah kisah penglipur lara yang direka sebagai hiburan istana.

Apapun penulis ada sebab tersendiri untuk mempercayai kerajaan Bandar Muar dan watak Malim Deman ini wujud secara realiti. Cuma mungkin cerita itu ada tokok-tambah sehingga mengandungi unsur-unsur mistik… Atau segala unsur mistik ini sebenarnya adalah realiti harian dunia suatu zaman dahulu? Sila ikuti huraian dalam tajuk berkenaan..


Dari Aceh ke Muar: Apakah Malim Dewa dan Malim Deman berasal dari kerajaan Perlak?

Hikayat Malim Deman mengisahkan pengembaraan hidup Tuanku Malim Deman sebelum menjadi raja yang betul-betul prihatin akan nasib rakyat kerajaan Bandar Muar. Ia bermula apabila putera kepada raja bernama Tuanku Malim Dewa itu mendapat mimpi bertemu seorang wali Allah yang menyuruhnya pergi mencari isteri di Ulu Muar. Di sana, di rumah Nenek Kebayan, Malim Deman telah bertemu lalu berkahwin dengan Puteri Bongsu yang dikatakan turun dari kayangan.

Setelah berkahwin, Malim Deman mula leka menyabung ayam dan melayan gundik. Lalu Puteri Bongsu yang sempat melahirkan seorang putera merajuk dan kembali ke kayangan di mana sang puteri disunting pula oleh seorang anak raja di sana.

Malim Deman menyedari kesilapannya mengabaikan anak dan isteri lalu pergi menyusul mencari kedua-duanya. Dalam perjalanan itu baginda melalui pelbagai dugaan malah di kayangan sempat bergaduh lalu membunuh anak raja kayangan yang ingin merampas isterinya sebelum mereka dapat kembali bersama sebagai keluarga.

Memang terdapat banyak unsur mistik dalam cerita ini sedangkan catatan rasmi sejarah kerajaan-kerajaan Melayu yang diketahui ramai tidak pernah menyebut tentang kewujudan mana-mana keSultanan di Muar dahulukala. Maka itu cukup senang untuk orang sekarang menghukum cerita-cerita ini sebagai dogengan dan khayalan semata-mata. Tetapi tahukah anda terdapat catatan yang menyebut tentang kewujudun kerajaan Islam di Muar sekitar abad ke 12hingga 13 Masihi? Cuma ia diragui kerana  berasal daripada sejarah lisan mengenai raja-raja Batak yang mana ada disebut Sultan Malikul Mansur daripada kerajaan Samudera-Pasai pernah mengahwini puteri daripada keSultanan Muar. Cerita yang dijadikan buku ini lebih berpusat kepada hal seorang pembesar Sumatera abad ke 19 bernama Tuanku Rao. Namun isinya disanggah oleh Profesor Hamka.

Samada cerita ini boleh dibuktikan secara akademik atau tidak, biar ditolak ke tepi sejenak. Penulis agak tertarik dengan pernyataan yang menyebut bahawa sekitar abad ke 12 Masihi, satu rombongan telah membawa diri daripada Bandar Khalifah, ibunegara Perlak (dalam Aceh sekarang) lalu mendirikan sebuah keSultanan Muar.

Sejarah rasmi mencatatkan sudah wujud keSultanan Islam di Perlak sejak tahun 840 Masihi malah diterajui anak cucu Nabi Muhammad SAW. Ini berlaku setelah kedatangan rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah yang dikatakan melarikan diri daripada buruan setelah gagal memberontak terhadap kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad.

Rombongan yang diketuai seseorang yang cuma dikenali sebagai Nakhoda Khalifah ini datang tahun 804 Masihi lalu diterima baik penduduk setempat. Perlak ketika itu diperintah seorang raja bernama Merah Syahir Nuwi. Seorang ahli rombongan bernama Ali bin Muhammad bin Jaafar as-Sadiq yang merupakan keturunan Rasulullah SAW telah dikahwinkan dengan adinda kepada Merah Syahir Nuwi. Apabila Merah Syahir Nuwi mangkat, anak yang terbit daripada perkahwinan inipun diangkat menaiki takhta dengan nama Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah sementara pusat kerajaan Perlak pula dikenali sebagai Bandar Khalifah.

Kerajaan Perlak terus wujud untuk merangkumi tempoh 400 tahun sebelum diserapkan ke dalam kerajaan Samudera-Pasai (juga dalam Aceh) yang diasaskan Sultan Malikus Salih pertengahan abad ke 13 Masihi. Dalam tempoh itu telah berlaku beberapa perbalahan besar dalam negara yang melibatkan takhta dan agama terutama konflik golongan Syiah dan Sunni. Ini meyebabkan perpecahan kerabat diraja yang kemudian merantau membuka negeri baru maka tidak mustahil ada seseorang yang dikenali sebagai Malim Dewa lari ke Muar lalu membuka kerajaan.

Sesuatu yang menarik tentang Hikayat Malim Deman ialah ia menceritakan tentang sebuah kerajaan Islam di Muar sedangkan cerita ini mula dibukukan oleh Pawang Ana yang berasal daripada Perak. Sebuah cerita tersendiri mengenai bapa Malim Deman, cerita yang dikenali sebagai Hikayat Malim Dewa pula agak terkenal di Aceh. Untuk makluman ada kaitan rapat antara keSultanan Perak dan Aceh sedangkan mengikut cerita lama, Muar adalah sempadan selatan keSultanan Beruas yang pernah dibuka Sultan Malikul Mansur sebelum wujud kerajaan Melaka.

Baik Hikayat Malim Deman mahupun Hikayat Malim Dewa ada menyebut tentang rombongan Malim Dewa atau Tuanku Gombang Malim Dewa membawa diri lalu mendirikan keSultanan di Muar. Lebih menarik, setakat yang penulis nampak, dalam banyak-banyak hikayat tentang kerajaan Melayu, cuma Hikayat Malim Deman dan Hikayat Malim Dewa yang ada memperbesarkan cucu-cucu Nabi iaitu Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Yang lain lebih suka menonjolkan kebesaran raja-raja yang dikatakan diwarisi daripada penakluk besar dunia bernama Iskandar Zulkarnain.

Mungkin sebab itu Raja Iskandar yang membuka kerajaan Melaka tidak berjaya membuka negeri di Muar? Kerana Muar ialah bekas jajahan raja-raja yang lebih berdaulat iaitu daripada keturunan Nabi Muhammad SAW berbanding Raja Iskandar Melaka yang dikatakan berasal dari Iskandar Zulkarnain?



Isnin, Mac 12, 2007

Gambar-gambar Muar 3

Assalamualaikum. Di sini, saya ingin meletakkan beberapa buah lagi gambar-gambar di Muar untuk tatapan semua. Sebenarnya ini dilakukan supaya saudara pengarang akhbar tabloid Kencana boleh terus masuk ke blogspot ini untuk memilih mana-mana gambar yang sesuai untuk segmen terbaru "Laksamana pulang ke Perak" akhbar itu... Kira buat kerja cara on-line le ni. Apapun, silalah tatap bersama. Adapun kebanyakan gambar ini diambil di sekitar Bukit Treh, lebih kurang 5km daripada pusat bandar Muar... Ada le sebabnya tu...






Gambar bandar Muar diambil daripada sisi kawasan medan selera berdekatan stesyen bas di Bentayan.



Inilah dia Bukit Treh yang agak terkenal di kalangan orang bandar Muar, satu-satunya bukit yang wujud dalam sekitar 5km daripada pusat bandar Muar. Tak tinggi mana pun, mungkin tak sampai 100 kaki tingginya. Perhatikan, di sebalik lindungan pepohon rimbun di sekelilingnya adalah bentuk bukit seperti kapal tertangkup. Mungkin benar kata orang tempatan, cerita lagenda Si Tanggang (atau yang sewaktu dengannya) di mana kapal seorang anak derhaka serta segala yang berada di dalam disumpah menjadi batu pernah berlaku di sini?




Loji air di kaki Bukit Treh.



Runtuhan tembok lama di kaki Bukit Treh.




Runtuhan dilihat lebih dekat.



Paip yang menghubungkan loji air lama zaman British di puncak Bukit Treh dengan kawasan sekitar.


Loji air Bukit Treh serta runtuhan tembok dilihat daripada lereng bukit.




Tangga untuk naik ke puncak Bukit Treh yang bermula selepas mendaki bukit itu separuh.



Bangunan loji air lama zaman British di puncak Bukit Treh.


Bangunan loji dilihat daripada sudut lain.



Menara bangunan loji air lama.



Sebuah makam lama di kaki Bukit Treh. Tidak ramai, walau penduduk tempatan sekali pun yang sedar akan kewujudan kubur lama yang dikatakan milik seorang puteri raja dahulukala. Adapun puteri itu dikatakan isteri ketiga kepada watak Si Tanggang yang derhaka terhadap ibunya. Puteri ini seorang yang baik hati lalu menasihati Si Tanggang supaya menerima ibu-bapanya walau seburuk mana (baca balik cerita Si Tanggang)... Malangnya dia turut menerima bahana sumpahan akibat Si Tanggang tidak mahu mengaku dua orang berpakaian buruk yang datang merapati kapal mewahnya adalah ibu-bapanya yang sebenar.



Masjid Kampung Bukit Treh. Di belakangnya, di sebalik rimbunan pepohon di belakang menara masjid ini terletak kubur lama yang dikatakan milik seorang puteri raja.



Masjid Kampung Bukit Treh dilihat daripada sudut lain.



Masjid Kampung Temiang yang terletak lebih kurang 1km daripada Masjid Kampung Bukit Treh. Adapun kedua-dua kampung ini terletak sebelah menyebelah tetapi Bukit Treh pula terletak di dalam lingkungan Kampung Temiang.
Kampung Temiang adalah kampung ibu saya. Adapun ia juga dikenali sebagai Kampung Tok Raja sempena nama seorang bangsawan yang membuka kampung itu seabad dua dahulukala. Nama jalan utama di kampung ini masih dikenali dengan nama Jalan Tok Raja atau Jalan Tok Raja Temiang.



Sungai Muar dilihat daripada satu sudut berhampiran Bukit Treh.
Di bawah ini pula adalah gambar-gambar peta lama kota-kota Portugis, satu di Muar, satu di Melaka sekadar untuk hiasan, tatapan dan renungan pembaca. Adapun gambar atau lukisan kota di Melaka yang juga dikenali sebagai A Famosa itu dibuat tahun 1630 sedangkan yang di Muar itu dikatakan dibuat tahun 1604, wallahualam...






Syarif Ali: Penyebar Islam dan Sultan Brunei

Artikel ini keluar hari ini, dalam Utusan Malaysia 12 Mac 2007. Apa yang menarik perhatian adalah kata-kata bahawa Syarif Ali yang menjadi Sultan Brunei abadke 15 Masihi ada hubungan kekeluargaan dengan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Teringat kata-kata seorang bapa saudara bahawa keSultanan Brunei mempunyai kaitan rapat dengan nasab keluarga kami yang sampai kepada Sultan Al-Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera-Pasai abad ke 13 Masihi. Maka tergerak pula untuk menyertakan artikel ini di sini...

Syarif Ali penyebar Islam dan Sultan Brunei

Oleh Haji Wan Mohd. Shaghir

SYARIF Ali Bilfaqih diriwayatkan adalah berasal dari keturunan Saiyidina Hasan bin Ali, bererti beliau adalah zuriat Nabi Muhammad s.a.w. melalui perkahwinan Saiyidatina Fatimah az-Zahra dengan Saiyidina Ali.
Diriwayatkan pula bahawa Syarif Ali atau nama lain Syarif Ali Mufaqih Muqaddam adalah berasal dari Taif (Arab) dan tiba di Brunei sekitar tahun 1370 M. Menurut Pangiran Haji Mohammad bin Pangiran Haji Abd Rahman, nama ayah Syarif Ali ialah Saiyid Abdul Qadir, salah seorang keturunan Saiyidi Syeikh Abdul Qadir al-Jilani, Wali Quthub yang sangat terkenal. Secara garis besarnya pula masih bertikaian pendapat apakah Syarif Ali itu keturunan Saiyidina Hasan atau pun keturunan Saiyidina Husein.
Jika benar Syarif Ali itu keturunan Saiyid Syeikh Abdul Qadir al-Jilani jelaslah beliau keturunan Saiyidina Hasan bin Ali bin Abi Talib kerana nasab Saiyid Syeikh Abdul Qadir al-Jilani adalah kepada Saiyidina Hasan bukan Saiyidina Husein.
Namun masih diragukan kerana sebahagian penyebar Islam yang datang ke Asia Tenggara termasuk Maulana Malik Ibrahim yang dikatakan ada hubungan kekeluargaan dengan Syarif Ali adalah keturunan Saiyidina Husein bukan keturunan Saiyidina Hasan. Pangiran Haji Mohammad bin Pangiran Haji Abd. Rahman lebih cenderung mengukuhkan bahawa Syarif Ali adalah keturunan Saiyidina Husein.
Saya sendiri lebih menerima pendapat Pangiran Haji Mohammad tersebut. Ini kerana jika benar bahawa Syarif Ali ada hubungan kekeluargaan dengan Maulana Malik Ibrahim bererti ada hubungan pula dengan ulama-ulama Fathani Darus Salam yang kemudian melanjutkan penyebaran Islam ke Cam, selanjutnya ke Jawa dan tempat-tempat lain di Asia Tenggara. Sezaman dengan Syarif Ali di Brunei itu, ada seorang ulama Patani ke Brunei, iaitu Wan Nik.
Nama ini adalah nama gelar sewaktu beliau masih di Patani. Beliau ini pergi menyebarkan Islam ke Brunei.Walau bagaimana pun sehingga artikel ini saya tulis nama Wan Nik al-Fathani tidak pernah ditulis baik penulis-penulis Brunei atau pun ahli sejarah lainnya. Boleh jadi sewaktu di Brunei, Wan Nik tidak menggunakan gelaran nama itu, tetapi memakai nama asli. Adik-beradik Wan Nik al-Fathani adalah 11 orang.
Di antaranya ialah Saiyid Jamaluddin al-Kubra, yang wafat di Tuwajok, Bugis. Beliau adalah datuk bagi Maulana Malik Ibrahim. Jadi menurut sejarah versi Patani ini berertilah Wan Nik al-Fathani itu datuk saudara bagi Maulana Malik Ibrahim.
Hubungan penyebaran Islam antara Fathani Darus Salam dengan Brunei terjalin sejak lama, dalam Hikayat Tuan Wali Allah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani tertulis, “Dan lagi Raja Brunai itu jadi dua beradik dengan bapak Tok Nyang Syeikh Abdur Rahman itu, Wallahu a’lam...”
Yang dimaksudkan “... bapak Tok Nyang Syeikh...” pada kalimat ialah Syeikh Abdul Mubin al-Fathani. Namun, perkara ini tidak jelas dari perkahwinan dalam bentuk bagaimana, dari adik-beradik sebelah laki-laki atau pun dari adik-beradik perempuan, yang dimaksudkan hingga terjadi “dua beradik...” seperti yang termaktub dalam kalimat di atas.
Kemungkinan catatan pada hikayat tersebut keliru atau pun tersalah salin. Kemungkinan yang dimaksudkan dengan perkataan “dua beradik...” itu ialah Syarif Ali yang ternyata menjadi Sultan Brunei ketiga itu memang adik-beradik dengan Syeikh Wan Muhammad Arifin Syah al-Jarimi al-Fathani, Saiyid Jamaluddin al-Kubra, Wan Nik al-Fathani, dan lain-lain atau “dua beradik...” dalam istilah yang lain, ialah dua riwayat di bawah ini:
Petikan dari Habib Alwi bin Thahir Al-Hadad, “Keterangan-keterangan daripada dokumen-dokumen Mindanao menunjukkan bahwa pada tahun 880 H (1475 M) telah datang Syarif Ali dan dua orang saudaranya dari Mekah. Ali menjadi raja yang pertama di Mindanau, saudaranya yang kedua menjadi sultan di Brunei, dan yang ketiga menjadi sultan di Maluku".
Walaupun dari segi tahun dan terdapat kelemahan-kelemahan lain, kalimat di atas sukar diterima namun masih dapat diambil kira untuk penyelidikan, terutama sekali perkataannya “... dan yang ketiga menjadi sultan di Maluku.”
Kemungkinan yang dimaksudkan dengan Maluku itu ialah Ternate. Sultan Ternate itu di antaranya ialah Sultan Babullah iaitu adik-beradik dengan Syarif Hidayatullah/Sunan Gunung Jati di Betawi, Banten dan Cerebon.
Ayah kedua-duanya adalah Saiyid ‘Umdatuddin Sultan Cam di Kemboja. Ayahnya ialah Ali Nur Alam yang sebelum ke Cam memperoleh beberapa orang anak di Patani. Ali Nur Alam anak Saiyid Jamaluddin al-Kubra. Oleh sebab Wan Nik al-Fathani yang mengembara ke Brunei adalah adik bongsu Saiyid Jamaluddin al-Kubra maka berertilah Sultan Babullah di Ternate (Maluku) dan Syarif Hidayatullah di Cerebon (Jawa Barat) adalah cucu saudara Wan Nik al-Fathani yang ke Brunei itu.
Sekiranya betul tulisan Habib Alwi al-Hadad di atas, bahawa yang menjadi raja di Brunei adalah adik-beradik dengan Sultan Babullah di Ternate (Maluku), bererti raja Brunei itu cucu saudara Wan Nik al-Fathani yang tersebut itu. Wallahhu a’lam.
Datang ke Brunei
Sebagaimana telah disebutkan bahawa Syarif Ali berasal dari Taif, negeri Arab, tetapi masih dimusykilkan apakah beliau langsung dari Taif ke Brunei atau pun terlebih dulu singgah di negeri-negeri lain di Asia Tenggara. Atau pun boleh jadi Syarif Ali dilahirkan di salah satu tempat di Asia Tenggara. Semua yang tersebut itu masih belum terjawab.
Pangiran Haji Mohammad bin Pangiran Haji Abd. Rahman membahas tentang kedatangan putera-putera Syarif Zainal Abidin termasuk Syarif Ali ke Johor. Menurut beberapa sejarah, namun beliau lebih cenderung yang dimaksudkan dengan Johor itu ialah Melaka.
Lain pula pendapat Pehin Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri. Katanya, yang dimaksudkan dengan Johor itu ialah Singapura Tua, iaitu kerajaan Johor Tua. Oleh sebab pendapat itu hanya merupakan andaian maka perlu dikaji semula. Perlulah kita memperhatikan bahawa ada pertalian kekeluargaan antara Syarif Ali dengan Maulana Malik Ibrahim, yang juga diakui oleh Pangiran Haji Mohammad. Saya lebih meyakini yang dimaksudkan dengan Johor itu bukan Melaka, bukan pula Singapura Tua, tetapi kemungkinan adalah Patani.
Sejarah tidak menyebut bahawa Maulana Malik Ibrahim itu pernah ke Melaka, yang ada hanyalah di Patani.
Peristiwa ini tidak mengubah kenyataan bahawa salah seorang ulama keturunan Patani-Johor yang ada hubungan keluarga dengan Maulana Malik Ibrahim dalam tahun 815 H/1412 M menyebarkan Islam ke Pulau Buton, Sulawesi. Namun penduduk lebih mengenalnya sebagai berasal dari Johor dan tidak pernah muncul nama Patani.
Dalam sejarah, kita mengakui kebesaran Kerajaan Melayu Melaka, tetapi dalam penulisan kitab ilmu-ilmu keislaman di peringkat awal mulai abad ke-16 hingga ke-19 Masihi, tidak ada bukti dihasilkan oleh ulama yang berasal dari Melaka atau pun Johor. Apa yang terbanyak ialah yang dihasilkan oleh ulama-ulama Aceh dan Patani.
Oleh itu untuk mengakui Melaka sebagai pusat penyebaran Islam di Asia Tenggara dan menjadi tumpuan kedatangan penyebaran-penyebaran Islam dari dunia luar terutama Arab perlu dikaji semula. Berdasarkan bukti penulisan kitab-kitab oleh ulama-ulama Patani dan hubungan kekeluargaan ulama Patani dengan Kerajaan Cam yang ada hubungan dengan penyebaran Islam sejagat, maka Patani perlu dibicarakan sebagai perbahasan pada konteks ini menggantikan tempat Johor dan Melaka seperti yang disebutkan tadi.
Aktiviti dan dilantik sebagai Sultan Brunei
Dipercayai Syarif Ali adalah seorang ulama, tujuan pengembaraannya ialah menyebarkan agama Islam. Di Brunei, dari aktivitinya mengajar masyarakat awam akhirnya dapat mempengaruhi pemimpin-pemimpin kerajaan Brunei sehingga Syarif Ali diambil jadi menantu oleh Sultan Ahmad (Sultan Brunei yang kedua). Sultan Ahmad mangkat, sekitar tahun 1425 M, para pembesar dan rakyat Brunei sepakat menabalkan Syarif Ali sebagai Sultan Brunei(Sultan Brunei yang ketiga).
Selanjutnya beliau digelar Sultan Berkat. Sebagai seorang ulama, setelah menjadi sultan, beliau menjadi contoh sebagai insanul kamil bagi masyarakat Brunei. Beberapa penulis sejarah Brunei merakamkan, “Maka Syarif Ali inilah mendirikan agama Islam dan mengeraskan syariat Nabi kita Muhammad s.a.w. di Brunei dan membina masjid-masjid.”
Menurut riwayat, sebelum Syarif Ali menjadi sultan, sultan-sultan yang terdahulu belum mendirikan masjid. Diriwayatkan pula bahawa Syarif Ali selain sebagai seorang sultan, beliau sendiri menjadi imam sembahyang fardu, sembahyang Jumaat, dan menjadi khatib hari Jumaat dan kedua-dua hari raya.
Ini bererti dirinya sebagai seorang ulama, imam dan sultan mesra menyatu, bersepadu dan tertanam kasih sayang ke seluruh lubuk hati masyarakat yang beragama Islam.
Pendapat Pangiran Haji Mohammad mengenai Syarif Ali pergi pula ke Jawa untuk mengislamkan Raja Majapahit yang bernama Perabu Angka Wijaya masih sukar untuk diterima kerana bertentangan pendapat dengan beberapa orang penulis.
Mengenai di mana lokasi kerajaan Cermin, menurut beliau, juga Pehin Dr. Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri, yang kedua-dua pendapat berasal dari pendapat Habib Alwi Al-Hadad, adalah di Brunei, perlu dikaji semula. Ini kerana wujud kontroversi dengan beberapa pendapat lain terutama penulis-penulis yang berasal dari Patani dan Kelantan.
Sahabat dan ulama yang sezaman dengan beliau di Brunei
Selain Syarif Ali dipercayai ramai lagi penyebar Islam yang sezaman dengannya yang menyebarkan Islam di Brunei. Oleh sebab mereka hidup sezaman dan sasaran penyebaran di tempat yang sama, maka kita anggap saja mereka adalah bersahabat. Di antara mereka yang dapat disenaraikan ialah sebagai yang berikut:
1. Saiyid Alwi al-Faqih Muqaddam
2. Syeikh Adam
3. Syeikh Sulaiman bin Abdur Rahman
4. Saiyid Abu Bakar
5. Saiyid Hasan al-Hadad
Wafat dan keturunan
Sultan Syarif Ali, wafat pada tahun 1432 Masihi, demikian yang tertulis dalam beberapa buku sejarah karangan baru. Tahun 1432 itu berasal dari tulisan batu nisan yang transliterasinya; “Dari Hijrah Nabi s.a.w. delapan ratus tiga puluh enam tahun, dalam bulan Jamadilawal, malam Khamis, wafat pada hari Ali berpindah dari dunia ke akhirat...”
Hasil perkahwinan Syarif Ali dengan Puteri Sultan Brunei, beliau memperoleh anak bernama Sulaiman, yang selanjutnya menjadi Sultan Brunei pengganti ayahnya Sultan Syarif Ali, Sultan Brunei yang ketiga itu.
Dari sini pula selanjutnya menurunkan sultan-sultan Brunei Darussalam dan Sultan- Sultan Sambas (Kalimantan Barat, Indonesia) secara bersalasilah menurun dari atas ke bawah bersambung tanpa putusnya. Nama-nama yang dapat disebutkan ialah: Sultan Sulaiman memperoleh putera Sultan Bolkiah. Sultan Bolkiah memperoleh putera bernama Sultan Abdul Kahar. Sultan Abdul Kahar (mangkat 1571 M) memperoleh putera tiga orang, iaitu;
1. Sultan Syah Berunai
2. Sultan Muhammad Hasan
3. Raja Dungu Sultan Muhammad Hasan (nombor dua) memperoleh putera tiga orang, iaitu;
1. Sultan Tengah
2. Sultan Abdul Jalilul Akbar
3. Sultan Muhammad Ali
Sultan Tengah (nombor satu) itulah yang kahwin dengan Ratu Suria (Sambas), memperoleh putera Sultan Muhammad Shafiyuddin, Sultan Sambas. Ada pun Sultan Abdul Jalilul Akbar (nombor dua) dan Sultan Muhammad Ali (nombor tiga) keturunannyalah yang menjadi sultan-sultan Brunei Darussalam.

Sabtu, Mac 10, 2007

Peranan ulamak dan para wali di Aceh

Ini adalah sedutan daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Membela syiar yang asal" atau BKA II yang masih dalam proses suntingan... Daripada bab bertajuk "Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda: Puncak kegemilangan Aceh". Sila...


"Kita boleh memulakan penglibatan para Wali serta para guru mursyid yang arif ilmu Tasawuf dalam pendaulatan raja-raja di Aceh dengan sejarah penubuhan keSultanan Perlak," orang tua itu membuka cerita setelah selesai solat Isyak. "Seperti yang kamu sedia tahu, sejarah keSultanan Perlak bermula dengan kedatangan rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah yang membawa Islam ke Perlak pada tahun 804 Masihi. Kemudian seorang anggota mereka, Ali bin Muhammad telah dikahwinkan dengan adik Raja Perlak ketika itu yang berketurunan Parsi."
Rasyid mengangguk bersetuju. Perkara ini sudah dibangkitkan di dalam buku pertamanya sebagai persediaan untuk cerita-cerita seterusnya.
"Dari perkahwinan ini muncullah Sultan pertama Perlak, Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah yang menaiki takhta 840 Masihi," orang tua itu meneruskan. "Sultan ini mempunyai darah keturunan Rasulullah SAW... Melalui jurai Imam Ja’afar al Sadiq yang diiktiraf ketinggian taraf keilmuan serta kerohaniannya oleh ulamak berwibawa."
"Kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan 400 tahun kemudian pula menyaksikan kemunculan Sultan Malikus Salih yang juga memiliki darah keturunan Nabi," orang tua itu melompat untuk mempercepatkan cerita. "Baginda menerima pengajian daripada Rasulullah SAW melalui mimpi sebelum dididik secara nyata oleh cicit Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Jilani iaitu Sheikh Ismail, wali besar yang juga dikenali sebagai Sultanul Arifin, raja orang-orang Arif - orang yang betul-betul mengenali Allah."
Rasyid tahu Sultan Malikus Salih juga telah mendapat didikan agama daripada bekas seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar as Siddiq. Orang yang dikenali sebagai Fakir Muhammad ini turun daripada takhta kerajaannya semata-mata untuk turut sama memartabatkan Samudera demi memenuhi wasiat Nabi yang menyebut akan kemunculan kerajaan itu pada akhir zaman. Wasiat itu menyebut Samudera mesti diIslamkan kerana di situ akan muncul ramai wali! Perkara ini adalah tulang-belakang cerita buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Malah bab bertajuk "Samudera-Pasai: Bumi para wali" ditulis untuk menerangkannya lebih teliti kerana ia adalah tapak cerita untuk buku seterusnya.
Sekarang Rasyid mahu pergi lebih jauh untuk meliputi sejarah bumi Serambi Mekah di zaman Iskandar Muda. Ini mahu diterangkan dalam buku dua "Berpetualang ke Aceh" yang diberi sub-title "Membela Syiar yang asal". kerana dia percaya penjajahan Barat di Nusantara sebenarnya bermotifkan agama, bukannya perniagaan seperti diwar-warkan sejarah.
Berbalik pada cerita kedatangan Islam di tangan para ulamak... Bumi Aceh telah menyaksikan kedatangan Sheikh Abdullah Arif yang membawa kitab Tasawuf bertajuk Bahr Lahut (Lautan Ketuhanan) sekitar 1066 Masihi. Kedatangan Sheikh Ismail pada pertengahan abad ke 13 Masihi diikuti ulamak lain yang kemudian bertapak beranak-pinak sehingga menerbitkan ramai ulamak Tasawuf bertaraf wali memastikan raja-raja di bumi Serambi Mekah terus mendapat didikan guru-guru mursyid yang mempunyai pertalian kerohanian juga titisan darah Nabi.
Raja-raja Aceh selepas abad ke 15 (di mana nama Aceh Darussalam mula muncul dalam catatan rasmi sejarah) juga mendapat suntikan daulat kerohanian daripada guru-guru serta para ulamak dan wali sebegini. Pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid al Mukammil (1589-1604), muncul pula seorang ulamak dan wali agung. Beliaulah pujangga besar Melayu yang bernama Sheikh Hamzah Fansuri!
"Bila bercakap tentang ulamak dan para wali di bumi Serambi Mekah, kebanyakan masyarakat Aceh lebih menyanjung tinggi Sheikh Abdul Rauf Singkel yang juga dikenali sebagai Syiah Kuala," orang tua berketurunan Aceh di Perak menyambung cerita. "Mereka lupa, Sheikh Hamzah Fansuri telah lebih dahulu memainkan peranan mendaulatkan bumi Aceh."
Asal-usulnya sebenarnya tidak dapat dipastikan tetapi Sheikh ini diketahui membesar di Siam, ketika itu dikenali sebagai Shahr Nawi. Ini kerana bapanya pernah menjadi seorang pembesar di sana, maka Sheikh Hamzah menyebut beliau ‘mendapat wujudnya di tanah Sharnawi’.
"Tetapi ada pula yang menyebut Hamzah Fansuri dilahirkan di Fansur, di barat-daya Aceh berdekatan sempadan wilayah Minangkabau sekarang," orang tua itu meneruskan. "Lagipun beliau pernah membuka madrasah di sana, sebab itu dikenali sebagai Hamzah Fansuri."
Rasyid teringat kali pertama dia mengenali nama itu... Ketika berumur 18 tahun, selepas terjumpa sebuah buku tulisan Professor Syed Naguib Al-Attas bertajuk "The Mysticism of Hamzah Fansuri.". Itulah buku pertama yang mengenalkan anak muda itu kepada dunia Tasawuf dan orang-orang Sufi. Sejak itu, dia tidak memandang ke belakang lagi. Rasyid telah membaca banyak lagi buku yang menceritakan pengalaman para wali dan Sufi dalam mencari kebenaran hakiki, makna sebenar kehidupan, keTuhanan dan tujuan sebenar manusia dijadikan lalu diletakkan di atas muka bumi.
Sheikh Hamzah telah mendalami berbagai cabang ilmu berkaitan Islam. Selain belajar di Aceh, beliau mengembara ke merata sudut dunia demi menambah pengetahuan termasuk seluruh tanah Jawa, Semenanjung Malaysia juga India, Parsi dan Tanah Arab. Sheikh ini dikatakan sangat mahir dalam ilmu Fiqah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula Hamzah Fansuri telah menguasai seluruh cabang ilmu berkaitan bahasa Arab (nahu, saraf dan sebagainya) selain boleh bertutur dalam bahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa!.
Dunia sastera Melayu pula mengakuinya sebagai pelopor malah sasterawan serta pujangga Melayu terulung dahulukala atas sumbangan yang tidak terhingga terhadap perkembangan penulisan Melayu. Beliau telah memperkenalkan banyak gurindam, puisi, syair dan pantun yang sebenarnya merupakan ajaran Tasawuf yang dikarang begitu indah. Maka banyak perkataan Arab melibatkan konsep keTuhanan diMelayukan. Dengan ini, khazanah kata-kata Melayu turut menjadi lebih luas.
"Beliau menjadi rujukan utama dalam hal kerohanian di Aceh lalu menjadi guru mursyid yang bertanggungjawab menggilap peribadi Sultan Sayyid al Mukammil," orang tua berketurunan Aceh di Perak memberitahu. "Antara karyanya yang masyhur ialah Al-Muntahi (Ilmu tertinggi), Ruba’i Hamzah Fansuri (sekumpulan puisi), Syair Si Burung Pinggai, Syair Si Burung Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Dagang dan Syair Perahu."
Pengaruh kuat sang pujangga Sufi ke atas perkembangan kerohanian kerajaan Aceh Darussalam terus berlangsung sehingga ke zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636). Maka sudah tentu beliau mempunyai pengaruh penting terhadap raja besar itu.
"Tidak ramai orang tahu, selain membimbing Sultan Sayyid Al-Mukammil, Sheikh Hamzah Fansuri juga merupakan guru mursyid Sultan Iskandar Muda." dia mendedahkan satu rahsia. "Malah pada zaman itu, beliau adalah mahaguru Tasawuf yang terkemuka di seluruh Nusantara
Walaupun tidak ada bukti akademik menyatakan Sheikh Hamzah pernah berjumpa kedua Sultan ini, Rasyid percaya cakap orang tua itu. Sebagai seorang pemikir besar, ulamak dan wali yang sangat terkenal zaman itu, tidak hairanlah jika beliau dijemput mengajar atau didatangi Sultan-sultan ini. Lagipun Hamzah Fansuri memang mempunyai pengaruh ke atas mereka ini, setidak-tidaknya melalui anak muridnya Sheikh Shamsuddin Pasai, ulamak dan penasihat utama di istana Aceh zaman itu. Sayyid al Mukammil diketahui seorang pengikut Tariqat Qadiriyah iaitu jalan kaedah peningkatan kerohanian yang diasaskan oleh Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Sheikh Hamzah Fansuri pula adalah Khalifah tertinggi Tariqat ini untuk bumi sebelah sini . Maka tidak hairanlah jika penasihat utama istana Aceh itu pernah memimpin Sayyid Al-Mukamil dan cucundanya Iskandar Muda bersuluk dan apabila sampai masa, menyuruh mereka khatam mengaji dengan Hamzah Fansuri pula.
Sheikh Shamsuddin diketahui meneruskan aktiviti penulisan yang dimulakan gurunya Sheikh Hamzah. Tulisan mereka dikatakan senada dan seirama walaupun masing-masing ada cara tersendiri dalam pengajaran. Paling menarik, kedua-duanya dikatakan menyokong pemahaman "Martabat Tujuh". Ia menghuraian hakikat keTuhanan serta hubunganNya dengan alam ini dengan cara yang dikira amat kontroversi.

Ahad, Februari 25, 2007

Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian V)

Bersambung daripada artikel Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian IV).



Kebetulan wasiat mengenai Samudera itu disempurnakan anak cucu Nabi sendiri dan orang-orang terdekat dengan baginda. Misalnya Sharif Mekah yang menitahkan Sheikh Ismail supaya pergi mencari negeri Samudera untuk melaksanakan wasiat itu.

Tahukah anda siapa itu Sharif atau Raja Mekah? Kalau hendak tahu kajilah sejarah awal Islam dalam-dalam! Mereka ini adalah keturunan anak cucu Nabi daripada sebelah Saidina Hassan...

Selepas keKhalifahan Islam jatuh ke tangan Bani Umaiyah, kekuasaan ke atas Mekah telah ditarik-balik daripada Bani Hashim iaitu kaum kerabat Nabi yang telah berkurun-kurun menjadi penguasa Mekah, bermula dengan moyang mereka Nabi Ismail AS yang menemui telaga Zam-zam. Penindasan demi penindasan terhadap anak cucu Rasulullah SAW diteruskan pula oleh para pemerintah Bani Abbasiyah yang berjaya menjatuhkan keKhalifahan Bani Umaiyah abad ke 8 Masihi, selepas mendapat sokongan rakyat dengan memakai nama seorang anak cucu Saidina Hassan bernama Muhammad Nafs Al-Zakiyah, kononnya untuk diangkat sebagai Khalifah pertama berketurunan Nabi selepas Saidina Hassan dijatuhkan oleh Muawiyah.

Tetapi penguasaan pemerintahan Bani Abbasiyah terhadap wilayah-wilayah Islam yang semakin membesar akibat penaklukan demi penaklukan yang berterusan tidak sekuat cengkaman Bani Umaiyah dahulu. Tidak lama selepas memegang tampuk kekuasaan, beberapa wilayah telah melepaskan diri lalu menerbitkan keSultanan-keSultanan sendiri. Apapun, kecuali dua tiga pihak yang ingin mendirikan daulah bebas malah bersaing pula sebagai keKhalifahan sendiri seperti Daulah Fatimiyah di Mesir, mereka masih menerima keKhalifahan Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad sebagai penaung seluruh umat Islam walaupun hanya sebagai lambang.

Sekitar abad ke 13 Masihi, telah terjadi satu kekacauan besar akibat pergolakan politik di Mekah. Rakyat yang tidak senang dengan keadaan ini telah meminta seorang pembesar berketurunan Saidina Hassan bernama Qitada untuk campur tangan menenangkan keadaan. Lalu pembesar yang berpusat di Yanbu ini telah mengarahkan anak-anaknya untuk membawa sebuah angkatan untuk menawan Mekah.

Sejak itu, kota suci inipun jatuh ke bawah kekuasaan keturunan Saidina Hassan yang juga merupakan cabang keturunan Bani Hashim. Mereka mendapat pengiktirafan Bani Abbasiyah sebagai khadamul haramaian atau penguasa dua kota suci Islam, Mekah dan Madinah lalu mula memakai gelaran Sharif di pangkal nama, seperti yang pernah digunakan nenek-moyang mereka Bani Hashim yang memerintah Mekah dahulukala. Maka timbullah gelaran bangsawan yang dikenali sebagai Sharif Mekah...

Ada pihak percaya, Sharif Mekah mendapat tahu tentang kewujudan Samudera daripada para jemaah haji Nusantara yang datang ke Mekah. Tetapi tidak dapat dipastikan daripada manakah baginda mendapat wasiat Nabi mengenai negeri itu, apakah ia melalui keluarganya daripada jalur keturunan Saidina Hassan atau ada pihak lain yang menyimpan wasiat itu lalu menyampaikannya apabila sampai masanya...

Apapun, sudah ditakdirkan negeri Samudera yang diasaskan Sultan Malikus Salih sekitar tahun 1250an (ada yang kata awal 1260an) muncul beberapa tahun selepas Mekah mula diperintah keturunan Saidina Hassan. Maka wasiat Rasulullah SAW inipun disempurnakan Sharif Mekah seperti yang diceritakan di dalam Hikayat Raja-raja Pasai.


—————————


“Kamu tahu tak, selain Sharif Mekah, wasiat itu juga disempurnakan oleh seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad yang sanggup turun takhta menjadi fakir semata-mata untuk turut serta menjalankan amanah Nabi?” Rasyid masih cuba meyakinkan Badrul. “Ini diperkuatkan dengan kehadiran Sultanul Ariffin, Sultan orang-orang arif iaitu Sheikh Ismail yang diketahui memiliki nasab keturunan Saidina Hassan daripada sebuah jurai yang amat diagung-agungkan dalam dunia pengajian Tasawuf dan orang-orang Sufi iaitu keturunan Sultanul Awliya, raja para wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!”

“Bukankah ini menunjukkan Sultan Malikus Salih itu sendiri mempunyai hubungan kekerabatan ataupun pertalian kerohanian yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW?” dia bertanya pula. “Kalau tidak mengapa wasiat mengenai Samudera ini disempurnakan dua orang bertaraf Sultan daripada keturunan Nabi melalui Saidina Hassan iaitu Sharif Mekah dan Sheikh Ismail, ditambah dengan kehadiran seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat karib Nabi dan Khalifah pertama seluruh umat Islam? Bukankah ini satu pengiktirafan yang kuat?”

“Mereka juga disuruh membawa perkakas dan alat-alat kerajaan daripada Mekah untuk menabalkan Sultan Malikus Salih menurut adat pertabalan Raja-raja Islam,” pemuda itu menyambung. “Apakah ada raja lain di Nusantara atau mana-mana pun yang pernah menerima pengiktirafan sebegini?” katanya lalu merenung tepat muka rakan itu.

Badrul sudah tidak terkata apa lagi. Walaupun apa yang diceritakan kawan lama ‘sepermainan’ di London itu memang menarik perhatian, bekas ustaz ini kurang senang kerana kaitan segala persoalan ini dengan sebuah wasiat Nabi yang tidak dapat dipastikan kesahihannya...

“Lantak kamulah,” jawabnya agak kasar. “Aku sudah beritahu setakat yang boleh mengenai hadis dan penerimaannya. Sebagai kawan, aku cuma hendak ingatkan kamu... Berhati-hatilah jika menulis tentang ini. Jangan sampai menimbulkan kontroversi. Takut kamu juga yang susah nanti!”

Rasyid tersenyum nakal. Tahu pensyarah ini mula meluat...

“Oh... Nanti dulu!” tiba-tiba Badrul terfikir sesuatu lalu bertanya: “Apa kamu nak jawab jika orang ramai bertanya bagaimana pula wasiat Nabi yang tidak wujud dalam sumber lain boleh muncul dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai? Mungkin kamu boleh mengenepikan nasihat aku tetapi apakah alasan kamu di hadapan beribu, mungkin berjuta umat Islam nanti?”

Nampaknya rakan ini juga tidak mahu mengalah. Maklumlah, bekas ustaz sekolah menengah kemudian pensyarah pengajian ilmu wahyu universiti terkemuka tanahair. Dan sebagai seorang graduan Universiti Al-Azhar yang memiliki Masters dan PhD dari universiti terkemuka London, sudah tentu dia juga memiliki ego yang mahu dipertahankan...

Rasyid telah menjangkakan lambat-laun soalan sebegini pasti akan timbul juga. “Seperti dihuraikan awal tadi, kemungkinan wasiat ini tidak pernah disiarkan kepada umum, cuma berlegar di sekitar keluarga anak cucu Nabi sahaja memang ada... Pergolakan politik Islam di Timur Tengah pula menyebabkan ramai Ahlul Bait dan para penyokong mereka melarikan diri ke Nusantara, khususnya bumi Serambi Mekah di mana mereka diterima baik malah diangkat sebagai raja dan para penguasa. Maka apalah yang hendak dihairankan jika wasiat ini akhirnya diabadikan dalam Hikayat Raja-raja Pasai, (kemudian Sejarah Melayu)? Lebih-lebih lagi selepas ia selamat disempurnakan dengan kemunculan kerajaan Samudera yang diasaskan Sultan Malikus Salih abad ke 13 Masihi?”

Sekali lagi Badrul menggeleng-gelengkan kepala. Ada-ada sahaja jawaban rakannya itu. Tanya begini jawabnya begitu, tanya begitu dia dok pusing corner ikut jalan lain pula. Susah... “Inilah jadinya kalau sudah genius sangat, “getusnya dalam hati. “Tak kuasa aku hendak melayan lagi. Asyik nak menang sahaja. Macamlah dia saja yang betul...”

Rasyid dapat menduga apa yang bermain di fikiran bekas ustaz itu. Dia tahu walaupun Badrul berfikiran luas, dia amat berhati-hati apabila bercakap apa-apa perkara berkenaan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi. Maka tidak hairanlah pensyarah itu susah hendak menerima kenyataannya tentang wasiat Nabi yang menyentuh negeri Samudera selagi tidak ada bukti tentang kewujudannya daripada kitab-kitab para ulamak muktabar. Apapun, anak muda ini telah cuba mendapatkan second opinion daripada orang yang berkelayakan dalam bidang agama dan mempunyai ilmu hadis seperti yang disarankan Nasri. Sekarang sampailah masanya untuk mengupas lebih lanjut tentang peristiwa-peristiwa berkaitan wasiat itu. Tetapi bukan dengan Badrul lagi, rasanya lebih elok dengan Nasri...

Oh... Hampir terlupa... Apahal pun, berdamailah dulu dengan si Badrul ni... Takkanlah sebab wasiat Nabi, kawan bertukar jadi lawan pula?


—————————


“Ada pengkaji menganggap pertabalan Sultan Malikus Salih ini tidak lebih daripada pengiktirafan kerajaan Mekah terhadap Samudera.” Nasri memberikan pandangan dalam perjumpaan terbaru mereka. “PengIslaman negeri Samudera pula dianggap sekadar pertukaran mazhab daripada Syiah kepada Shafie. Kerana Mekah dikatakan telah lama menjunjung Mazhab Shafie sedangkan kajian rasmi sejarah menyebut, negeri-negeri di Sumatera sudah lama memeluk agama Islam versi Syiah.”

“Contohnya, keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi dirajai Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah, cicit kepada Imam Ja’afar Al-Sadiq yang dikultuskan sebagai salah seorang imam maksum Syiah,” lulusan Undang-undang dari England ini mempamerkan pengetahuan. “Selain itu, telah muncul beberapa penempatan awal Islam seperti Barus di pantai barat Sumatera yang juga dikatakan sejarawan telah diterajui golongan Syiah, para penyokong kepimpinan Saidina Ali dan Ahlul Bait. Maka itu tidak hairanlah jika kerajaan-kerajaan di Sumatera dahulu dikatakan menganut fahaman Syiah lalu perlu ditukarkan mazhab. Lebih-lebih lagi kerana kerajaan Mekah pimpinan para Sharif anak cucu Saidina Hassan mahukan penganut Islam bertaut semula di bawah panji-panji Ahlus Sunnah Wal Jamaah demi kesejahteraan umat sejagat.”

Ternganga juga Rasyid mendengarnya. Nampaknya rakan yang pernah bersama mengurat perempuan ketika di kolej dahulu semakin faham arah tujuan dan sebab-musabab pemuda itu meminati kisah-kisah lama. Pengetahuannya tentang sejarah Melayu serta kedatangan Islam di Nusantara juga menjadi semakin mendalam semenjak mereka sering bertukar cerita, kebetulan setelah persahabatan lama bertaut kembali...

Dahulu, Nasri pernah ‘merajuk’ kerana rakan lamanya tidak pernah membalas suratnya ketika mereka mula-mula masuk universiti, seorang di Wales, seorang di London. Kemudian Rasyid tidak menunjukkan simpati apabila dia mengaku putus cinta dengan gadis yang telah dikenalinya sejak dari Malaysia lagi, ketika mereka terserempak kembali di ibukota Great Britain apabila Nasri menyambung pengajian undang-undangnya ke peringkat kelulusan professional Bar di Lincoln’s Inn. Tetapi Nasri akhirnya sedar rakan lamanya bersikap begitu kerana persoalan-persoalan hidup yang membelenggu jiwanya selama ini... Persoalan-persoalan yang menjadi semakin kalut ketika dia melangkah ke universiti lalu membawanya menggali cerita-cerita lama berkaitan Aceh nanti.

“Memang Sumatera, terutama bumi Serambi Mekah telah beberapa kali didatangi rombongan demi rombongan para ulamak dari Tanah Arab dan Timur Tengah... Kerana ia diketahui melindungi ramai anak cucu Nabi,” Rasyid pula mengemukakan hasil pengkajiannya. “Salah-satunya, rombongan Sheikh Abdullah Arif yang dikatakan datang ke Aceh sekitar 1166 Masihi (ada yang kata 1177), bersama anak muridnya Sheikh Burhanuddin yang akan berdakwah ke wilayah Minangkabau nanti.”
“Eh... Bukankah orang ini juga bertanggungjawab membawa sebuah kitab Tasawuf bertajuk Bahr Lahut (lautan keTuhanan) ke Nusantara?,” Nasri menyampuk. Memang kisah ini agak terkenal di kalangan mereka yang pernah membaca sejarah awal kedatangan Islam ke Nusantara.

“Dialah orangnya itu!” jawab kawannya teruja. “Tetapi kitab itu dikatakan berbau falsafah Syiah kerana menjunjung konsep Nur Muhammad sebagai sumber penciptaan alam, lalu membayangkan kelebihan dan keutamaan Rasulullah SAW serta para Ahlul Bait keturunannya ke atas makhluk-makhluk lain! Apakah kerana orang-orang Sumatera dahulu menjunjung tinggi kemuliaan dan kedaulatan anak cucu Nabi maka mereka semua dikira Syiah?” Rasyid bertanya pula. “Kalau begitu, ingatlah kata-kata Imam Shafie ‘Kalau aku dikatakan Syiah Rafidhah (Syiah sesat) kerana mencintai Ahlul Bait, maka saksikanlah bahawa aku ini Syiah Rafidhah.’”

Nasri seronok mendengar ulasan ini. “Mungkin peristiwa pengIslaman Samudera dan rajanya Merah Silu seperti diceritakan Hikayat Raja-raja Pasai sebenarnya adalah proses meluruskan akidah?” dia mengulas wasiat Nabi mengenai Samudera dari sudut lain pula. “Bukankah hikayat itu menyatakan ayahandanya Merah Gajah adalah anak angkat kepada seorang pemerintah bernama Raja Ahmad? Bondanya Puteri Buluh Betong pula adalah anak angkat Raja Muhammad? Bukankah mereka memakai nama-nama Rasulullah SAW yang terang-terang berbau Islam?”

“Itu memang logik,” Rasyid bersetuju. “Mungkin mereka memang sudah lama memeluk Islam tetapi pengetahuan agama Merah Silu kurang lengkap. Kerana baginda telah menjadi anak yatim piatu selepas bondanya hilang dan ayahandanya terbunuh. Kemudiannya negerinya pula hancur akibat peperangan di antara Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Lagipun ada kajian akademik menyatakan Sultan Malikus Salih ini berasal daripada keturunan Dinasti Makhdum di Perlak yang diasaskan oleh Sultan Abdul Qadir Syah Johan Berdaulat tahun 918 Masihi,” pemuda itu menambah.

“Kajian ini juga menyebut ayahandanya Merah Gajah sebenarnya bernama Makhdum Malik Abdullah, anakanda Makhdum Malik Ibrahim bin Makhdum Malik Mesir bin Makhdum Malik Ishaq bin Sultan Makhdum Malik Ibrahim Syah Johan Berdaulat (memerintah Perlak 976-1012 Masihi),” Rasyid mendedahkan hasil satu kajian yang tidak diketahui umum malah kurang disedari para sejarawan. “Nah... bukankah ini nama-nama Islam? Lebih-lebih lagi Dinasti Makhdum ini diakui sejarah rasmi sebagai pembawa fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah ke Perlak?”

Nasri mengangguk bersetuju. Rasyid pula gembira kerana ternyata rakan yang mula-mula dikenalinya 17 tahun dahulu, pernah duduk sebilik di asrama program “A” Levels KPP/ITM selama hampir dua tahun amat serasi dibawa berbincang, seringkali sependapat dalam mengupas sejarah Islam dan cerita-cerita lama Melayu walaupun adakalanya mereka bertikam-lidah juga. Teringat pula zaman kolej dahulu, ketika sama-sama suka mengurat dan menyakat pelajar-pelajar perempuan, suka keluar ke kelab-kelab malam dan lain-lain tempat ‘gelap’ bersama pasangan masing-masing melayari kehidupan remaja, membuat pelbagai perkara mengarut...


—————————


Kereta Honda Accord merah model 1985 milik Nasri pernah menjadi saksi bagaimana Rasyid selalu bertukar pasangan (Nasri kurang aktif kerana lebih setia kepada pasangannya), apa yang sering berlaku di tempat duduk belakang, apa pula yang ditemui tuan-punya kereta setelah pemuda itu meminjamnya sebentar untuk ‘beriadah’ di tempat-tempat seperti parking lot di luar disko Faces, Jalan Ampang. Kereta itu jugalah yang sering digunakan untuk menyusup keluar kawasan asrama bersama rakan-rakan lain untuk berseronok hujung minggu, pernah naik lapan orang sekaligus, tiga pasangan di belakang dengan yang perempuan duduk bertenggek atas yang laki-laki sehingga ditahan polis ketika road-block. Banyak juga kena soal, nasib baik lepas...

Mereka juga telah beberapa kali bersama berdesup lari macam lipas kudung dikejar pengawal keselamatan kolej ketika cuba menyeludup masuk kembali ke asrama setelah semalaman berdansa dan ber... entah apa-apa lagi di luar. Pernah sekali muka Rasyid bengkak sebelah dengan bibirnya pecah kerana terhentak besi railing tangga dalam gelap ketika lari menuju ke bilik di tingkat empat. Terpaksalah bertahan seminggu dua dengan muka lebam...

Rasyid, Nasri serta beberapa orang kawan rapat lain juga pernah menyakat para pelajar junior yang duduk bersama di bilik 51C dengan kisah-kisah hantu yang menyeramkan. Kemudian melaksanakan sebuah rancangan teratur yang berjaya menakut-nakutkan mereka sehingga anak-anak muda yang mudah terpedaya ini nyaris-nyaris melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan kolej, meminta untuk ditukarkan ke bilik lain.

Pemuda itu masih ingat bagaimana Nasri telah membakar kemenyan secara senyap, dia pula berlagak sebagai hero yang mencabar ‘hantu-hantu’ supaya menonjolkan diri sementara rakan-rakan di atas bumbung bilik menyorong batu-bata di atas atap genting lalu mengeluarkan bunyi yang menyeramkan sebelum menyemburkan minyak wangi masuk ke dalam bilik. Lakonan mereka dengan sound effects yang diterbitkan sungguh berkesan sehingga pelajar-pelajar junior ini, kalau tidak salah ingatan 15 orang, semuanya anak orang berada telah berpelukan beramai-ramai ketakutan sambil melaungkan azan kemudian membaca Yasin dengan nyaring. Sedangkan ramai di antara mereka tidak tahu pun membaca Al-Quran! Bukankah kelakar jadinya?

Apa yang Rasyid dan Nasri tidak tahan nak tergelak (tetapi terpaksa control, buat-buat serius), adik-adik ini masih tidak dapat mengesan gurauan para senior sehingga boleh terpedaya pula dengan lakonan seorang lagi kawan yang berlagak sebagai seorang ustaz. Kawan itu datang siap berjubah dan berkopiah tiga hari kemudian untuk “menghalau hantu”, satu lakonan yang terpaksa dilakukan supaya mereka tidak jadi melaporkan perkara ini kepada pihak pengurusan. Kalau tidak Rasyid dan rakan-rakannya juga yang kena... Turun-naik mahkamah pelajarlah jawabnya nanti... Kan susah?

Anak muda ini juga pernah mengetuai satu sesi ‘suai-kenal’ buatan sendiri bersama lebih 50 orang pelajar junior yang terpaksa datang “menyerahkan diri” setelah dia memberikan amaran akan datang menyerang bilik-bilik mereka jika tidak muncul di bilik 51C sebelum jam 6 petang.

Ini berlaku apabila ramai rakan-rakannya mengadu kepadanya bahawa para pelajar elit di bawah program BTU (British Top University) yang bakal terbang ke England tiga bulan lagi tidak tahu menghormati pelajar senior, langsung tidak mengendahkan mereka. Lalu sekitar 10 orang kawan-kawan rapat termasuk Nasri telah menyaksikan bagaimana pemuda berdarah Aceh ini berjaya menggertak kesemua anak-anak muda ini, siap mencabar sesiapa sahaja yang berani untuk bertumbuk dengannya! Ajar mereka supaya respect sedikit, belajar hormat kepada mereka yang lebih tua.

Walaupun sesi itu bermula dengan kasar, adalah beberapa buah almari pecah dalam proses, Rasyid berjaya menukarkannya menjadi satu sesi “riang-ria” setelah pasti adik-adik ini telah mendapat sedikit pengajaran. Sejak itu, pelajar-pelajar junior ini akan memberi salam dan bertegur-sapa setiap kali berselisih dengan para senior. Hubungan mereka juga menjadi lebih erat kerana saling bertukar-tukar fikiran dan pandangan.

Ah... Begitu banyak sekali kenangan zaman kolej, daripada sesi-sesi permainan snooker di sebuah kelab berdekatan, santai minum teh tarik di mapley ( warung-warung di hadapan asrama) sambil mengurat gadis-gadis cantik dan berbagai lagi aktiviti muda-mudi pra-universiti. Dan selalunya Nasri juga turut serta lebih-lebih lagi jika membuat hal-hal yang mengarut, sesetengahnya tidak boleh diceritakan dalam mana-mana media... Lalu seluruh warga kolej mengenali mereka dan kawan-kawan, kira famous lah kata orang. ‘Saham’ pula meningkat naik tinggi, maka lagi senanglah dapat teman-teman perempuan... Siapa sangka, setelah hubungan mereka terputus sejak ke luar negara, lebih 10 tahun kemudian baru bertemu kembali, itupun terserempak di sebuah warung minuman, kini mereka telah sama-sama insaf, boleh pula berbincang tentang sejarah Melayu dan kedatangan Islam dengan begitu mendalam.


—————————


“Bro... Aku ada satu lagi perkara nak confirm tentang Samudera,” tiba-tiba Nasri memotong lamunan. “Aku ada terjumpa sebuah kajian yang menyebut bukan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan ini pada abad ke 13 Masihi tetapi seorang raja bernama Mahmud Syah yang membuka Samudera tahun 1042 Masihi, 200 tahun lebih awal. Apabila Mahmud Syah mangkat tahun 1078, baginda digantikan pula oleh Mansyur Shah yang memerintah sehingga tahun 1133. Kemudian Khiyasyuddin Shah (1133-1155) diikuti Nuruddin Sultan Al Kamil (1155-1210)...”.

“Hmm... Teruskan,” Rasyid memberi jalan.

“Menurut kajian ini lagi, selepas Sultan Al Kamil mangkat, telah berlaku satu kekecohan besar, tidak pastilah apa yang menyebabkan Samudera tidak beraja dalam satu tempoh yang agak lama. Sampailah Sultan Malikus Salih muncul untuk memimpin kerajaan itu tahun 1261. Maka Sultan ini bukanlah pengasas Samudera seperti disebut Hikayat Raja-raja Pasai tetapi boleh dikira sebagai penyelamat kerajaan itu.”

Rasyid tersenyum mendengar pendedahan rakannya lalu membuat pengakuan: “Aku juga pernah terbaca kajian akademik yang menyebut hal yang sama tetapi aku tetap yakin Sultan Malikus Salih lah pengasas sebenar Samudera. Nak tahu mengapa?”

“Silakan,” jawab Nasri.

“Baiklah,” kata rakannya. “Tetapi ini bukanlah hasil kajian akademik OK. Cuma kajian rambang hasil penelitian fakta sejarah yang diketahui.”

No problem,” sahut Nasri. “Asalkan plausible, boleh diterima akal, sudah! Aku kan lawyer... Berikan hujah yang berkesan dan aku sedia menerimanya... Principals of modern justice... Siapa pandai berkata dialah pemenangnya...”

Rasyid pun meneruskan: “Sejarah keSultanan Perlak menyebut, selepas kedatangan Sultan Abdul Qadir Syah Johan Berdaulat yang mengambil-alih kekuasaan (tahun 918 Masihi) daripada keturunan Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah, kerajaan itu pernah terpecah menjadi dua tahun 976 – Perlak Baroh yang diperintah Sultan Mahmud Syah dari Dinasti Sayyid dan Perlak Tunong, diperintah Sultan Ibrahim Syah dari Dinasti Makhdum. Eh... Atau terbalik kot? Mahmud Syah yang dari Dinasti Makhdum, Ibrahim Syah Dinasti Sayyid, aku tak ingat pula... Apapun Perlak pernah berpecah dua pada zaman itu,” katanya lagi.

“Apa kebendanya Perlak Baroh dan Perlak Tunong tu?” Nasri sedikit pelik. Inilah kali pertama dia mendengar perkataan-perkataan ini.

“Entahlah,” jawab rakannya jujur. “Aku pun tak tahu. Agaknya Perlak Hulu dan Perlak Hilir lah kot? Atau Perlak Utara dengan Perlak Selatan? Tak tahulah mana yang betul tetapi rasanya lebih kurang begitulah...”

“Sultan Mahmud Syah pula dikatakan memerintah sehingga tahun 988 Masihi sedangkan Sultan Ibrahim Syah akhirnya berjaya menyatukan kembali Perlak dan terus memerintah sehingga tahun 1059,” dia meneruskan. “Sekarang cuba kamu lihat nama-nama dan tarikh yang disebutkan. Perhatikan bagaimana nama Mahmud Syah muncul dalam tempoh masa yang selari dengan kemunculan kerajaan Samudera dalam kajian yang kamu sebut tadi. Mungkin raja inilah yang dikatakan telah mengasaskan kerajaan Samudera tahun 1042? Mungkin apa yang sebenarnya berlaku adalah baginda telah kehilangan Perlak Baroh kepada Sultan Ibrahim Syah tetapi berjaya mempertahankan sedikit wilayah yang kebetulan mengandungi tapak pusat kerajaan Samudera akan datang? Atau baginda lari membuka negeri lain tetapi di tapak yang sama juga?”

“OK,” kata Nasri. “Logik juga telahan kamu ini... Tetapi bagaimana pula Sultan-sultan lain yang dikatakan memerintah Samudera sebelum Sultan Malikus Salih? Dari manakah mereka ini datang?”

Well, mungkin mereka berasal daripada keturunan Mahmud Syah? Atau mereka adalah raja-raja dari keturunan lain yang datang mengambil-alih kekuasaan sepertimana Dinasti Makhdum pernah menggantikan Dinasti Sayyid untuk menguasai Perlak.” jawab Rasyid. “Mungkin dari satu keturunan yang asal-usulnya telah digelapkan?”

“Ah... Mungkin juga Nuruddin Sultan Al Kamil yang dikatakan memerintah Samudera sehingga tahun 1210 Masihi itu adalah gelaran bagi samada Raja Ahmad ataupun Raja Muhammad dalam Hikayat Raja-raja Pasai!” anak muda itu membuat ‘teori’ baru pula. Tiba-tiba dapat ilham... “Bukankah hikayat itu menyebut raja-raja ini berperang sehingga negeri mereka musnah dan mereka sendiri terkorban? Agaknya sebab itu, selepas tahun 1210 wilayah yang terbabit ini tidak mempunyai raja sampailah Sultan Malikus Salih muncul 50 tahun kemudian.” dia meneruskan ‘thesis’nya.

“Tetapi pada aku, ini tidak bermakna mereka adalah raja-raja yang memerintah Samudera,” baru Rasyid menekankan keyakinannya tentang asal-usul kerajaan itu. “Mungkin benar mereka telah menguasai wilayah yang sama tetapi semasa itu, ia dikenali dengan nama lain sepertimana Singapura dahulu pernah dikenali dengan nama Temasik. Walaupun Temasik mungkin memiliki raja-rajanya sendiri, hakikatnya Singapura tetap diasaskan oleh Sang Nila Utama kerana ia adalah nama yang diberikan baginda. Begitu juga asal-usul kerajaan Samudera... Bukankah Hikayat Raja-raja Pasai menyebut, nama Samudera ini muncul berdasarkan semut besar yang ditemui oleh Merah Silu atau Sultan Malikus Salih?”

“Lagipun jika kerajaan itu telah dikenali sebagai Samudera sebelum zaman Merah Silu, tentu wasiat Nabi mengenai kerajaan itu telah disempurnakan lebih awal lagi,” pemuda itu menambah. “Ia patut dilaksanakan sekurang-kurangnya pada zaman Sultan Al Kamil kerana ketika itu Mekah telah pun diperintah oleh Qitada (1201-1220) yang berasal dari keturunan Saidina Hassan. Mengapa perlu menunggu lama sehingga kemunculan Sultan Malikus Salih, selepas Mekah diperintah Muhammad Abu Numay (1254-1301)?” Rasyid menyimpulkan persoalan.


—————————


Wasiat Rasulullah SAW dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga menyebut negeri Samudera mesti diIslamkan kerana di sana nanti ramai orang akan jadi wali. Jika ramai rakyatnya akan jadi wali, siapakah pula raja yang layak memerintah kalau baginda sendiri bukan raja bertaraf wali atau raja para wali? Bukankah pemimpin mesti lebih arif daripada yang dipimpin?

Selain ini, hikayat yang dianggap teks tertua Melayu Islam itu juga menyebut Nabi sendiri yang memberikan nama Sultan Malikus Salih yang bermakna Sultan dan raja kepada orang-orang salih. Walaupun ini berlaku dalam mimpi, tidakkah ia menunjukkan Merah Silu adalah seorang manusia yang berdarjat tinggi, baik sebagai pemerintah mahupun sebagai seorang Islam dan Mukmin sejati?


—————————


Seorang tua educated, memiliki Masters in Education daripada University of Harvard, sebuah univeristi terkemuka Amerika tetapi kemudian lebih selesa menjadi petani di sebuah kampung terpencil di Negeri Sembilan pernah memberitahu, raja bertaraf wali ini boleh diibaratkan seperti seorang Brahmin Hindu yang diangkat menjadi raja. Dalam sistem kasta Hindu, raja-raja biasanya berasal daripada golongan Kesatria yang juga mengandungi pahlawan, pendekar dan hulubalang sedangkan Brahmin yang merupakan golongan alim ulamak lebih mementingkan akhirat daripada dunia.

“Maka kasta Brahman ini adalah kasta yang tertinggi dalam hierarki agama Hindu, lebih setingkat daripada golongan Kesatria termasuk raja-rajanya kerana mereka lebih dekat kepada Sang Pencipta,” dia menambah. “Maka itu juga, seorang raja dari golongan Brahmin adalah lebih tinggi kedudukan dan tarafnya daripada seorang raja Kesatria, ibarat kelebihan seorang raja bertaraf wali ke atas raja-raja biasa, tidak kiralah berapa tinggi pun daulat raja itu.”

Kata pakcik itu lagi, adab seorang raja wali juga berbeza dengan raja biasa. Lebih dekat kepada cara Rasulullah SAW yang pada hakikatnya adalah raja segala raja walaupun penampilannya sekadar seperti seorang hamba.

“Raja biasa lebih menunjukkan kebesaran yang diringi berbagai perhiasan seperti sering dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan moyang Raja-raja Melaka sedangkan seorang raja wali lebih mendekati kezuhudan, amat merendah diri dan sangat ringkas penampilannya walaupun peribadinya jauh lebih terserlah kerana keakrabannya dengan hadirat Ilahi.”

Sultan Malikus Salih yang mangkat tahun 1297 Masihi (ada yang menyebut 1292) telah mendirikan kerajaan Samudera kemudian Pasai untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, bukan untuk bermegah-megah. Baginda memakmurkan kerajaan dengan asas Iman dan Takwa, bermula daripada diri baginda sendiri sebagai Ulil Amri, pemerintah dan ulamak pewaris Nabi yang layak memerintah bumi para wali.

Maka itu tercatat di batu nesan baginda di makamnya di tapak pusat kerajaan Samudera, terjemahan dari bahasa Arab: “Ini kuburan almarhum yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadat, penakluk yang bergelar Sultan Malik Al-Salih.” Sifat-sifat seperti inilah yang akan diwarisi anak-cucu baginda nanti, meneruskan perjuangannya menegakkan syiar Islam di muka bumi ini, perjuangan yang juga diwarisi dari Nabi...

Sebuah catatan menyebut, pengembara Arab, Ibnu Batuttah yang melawat Pasai sekitar tahun 1345 Masihi menggambarkan pemerintahnya Sultan Malikul Zahir sebagai seorang yang sangat soleh, pemurah dan rendah hati. Selalu memberi perhatian terhadap fakir miskin meski pun telah menaklukkan banyak kerajaan. Sikap ini ditunjukkan baginda apabila menyambut rombongan Ibnu Batuttah. Mereka dipersilakan duduk di atas hamparan sedangkan baginda sendiri duduk di atas tanah.

Seperti kata pepatah Melayu: Ular menyusur akar takkan hilang bisanya... Cucu Sultan Malikus Salih ini tidak merasa perlu dimuliakan walaupun baginda adalah seorang raja besar yang memerintah kerajaan Islam terulung di bumi Timur zaman itu.

Sultan Malikul Zahir juga dikatakan selalu pergi bersolat Jumaat berjalan kaki sedangkan Sultan-Sultan Melaka sering digambarkan pergi ke masjid menaiki gajah dengan segala macam pengiring, alat kebesaran dan kemegahan. Lalu Ibnu Batuttah yang juga seorang duta keSultanan Delhi mencatatkan Sultan Malikul Zahir sebagai seorang raja yang terkenal kerana kealimannya, sangat mengambil berat tentang perkara yang bersangkut-paut dengan Islam. Baginda dikatakan sangat arif dalam ilmu Fiqah, selalu mengadakan majlis agama bersama para pembesar dan rakyat jelata pada hari Jumaat. Istananya pula sering dikunjungi para alim-ulamak dan bijak pandai daripada seluruh pelusuk dunia Islam!


—————————


“Kemakmuran dan kesejahteraan Samudera Pasai telah diakui para sejarawan sejak awal lagi,” kata Rasyid dalam satu pertemuan dengan beberapa orang rakan lama di sebuah kedai makan di Sri Hartamas. “Pengembara dari Itali, Marco Polo mencatatkan beliau pernah sampai ke sana tahun 1292 Masihi, ketika Sultan Malikus Salih masih memerintah. Katanya, beliau dan ahli rombongan kapalnya yang telah berlepas dari negeri China sedang menunggu pertukaran angin untuk kembali ke Eropah. Lalu mereka terpaksa menetap beberapa bulan dan dalam tempoh itu, mereka telah dilayan dengan baik seperti sebuah keluarga Islam.”

Rakan-rakannya seronok mendengar cerita ini. Maklumlah ada cerita tentang seorang pengembara Mat Saleh yang terkenal di seluruh dunia...

Anak muda itu menambah. “Marco Polo juga menyatakan kemewahan kerajaan ini adalah hasil perniagaan lada hitam daripada ladang-ladang yang luas dicampur pungutan cukai daripada kapal-kapal yang berlabuh di situ, kebanyakannya datang untuk berniaga. Pentadbiran kerajaan pula berjalan lancar teratur dan aman, tidak terdapat pergaduhan dan kecurian.”

Nasri yang hadir sama terasa musykil. Macam ada yang tidak betul...

“Eh, Acid... Bukankah negeri yang Mat Saleh itu singgah adalah Perlak? Bukannya Pasai ataupun Samudera” dia menegur jujur...

“Bagaimana pula?” Rasyid bertanya balik. “Setahu aku, dia memang pergi ke Samudera. Bukankah ia adalah kerajaan utama di Sumatera? “

“Yakah?” Nasri tidak puas-hati. “Aku pun sudah kaji tentang ini, sudah meneliti beberapa kisah sejarah awal bumi Serambi Mekah. Banyak sumber menyatakan dia singgah ke Perlak, atau dalam catatannya Ferlec.”

Rasyid tersenyum mendengar ini. “Betullah apa yang kamu katakan itu. Aku tidak boleh hendak nafikan... Memang catatan perjalanannya menyebut dia singgah secara khusus di Perlak,” pemuda itu sedia mengaku. “Tetapi Marco Polo juga menyebut ada sekurang-kurangnya enam buah pelabuhan besar dan sibuk di Utara Sumatera selain Perlak, salah satunya, Samudera,” sambungnya. “Takkanlah pengembara ini boleh sampai ke sana tanpa singgah juga di Samudera? Lagipun, kalau dikaji balik, Perlak telah pun diserapkan ke bawah pemerintahan kerajaan Samudera Pasai sejak Sultan Malikus Salih memerintah, sebelum kedatangan Marco Polo lagi. Maka singgah di Perlak boleh dikira juga sebagai singgah di Samudera!”


—————————


Samudera Pasai juga diketahui pernah menjalinkan hubungan rapat dengan banyak kerajaan Islam termasuk beberapa buah kerajaan besar dari benua Hindi dan Timur Tengah. Sebagai seorang pengembara terkenal dan duta terhormat keSultanan Delhi, Ibnu Batuttah pernah beberapa kali menghadiri majlis-majlis kerajaan di istana Pasai selain majlis-majlis ilmu yang dipenuhi ulamak serata dunia. Maka itu dalam catatan-catatannya yang setanding dengan kisah pengembaraan Marco Polo, meliputi perjalanan dan persinggahan ke hampir seluruh dunia bertamadun zaman itu , beliau telah menyebut terdapat para pembesar dari Delhi dan Parsi menolong Sultan Malikul Zahir dalam pemerintahannya.

Ketika itu, kerajaan Samudera yang berpusat tidak jauh daripada pusat pemerintahan Pasai telah diserapkan ke bawah kekuasaan Sultan Malikul Zahir. Maka kerajaan itu juga dikenali sebagai Samudera Pasai, kemudian diringkaskan kepada Pasai...

Menurut sebuah riwayat, cucu Sultan Malikus Salih ini telah berkahwin dengan Puteri Chandana, anakanda seorang raja besar yang dikenali dengan nama Raja Chermin. Mengikut ceritanya, raja ini menguasai sebuah empayar lama yang mewarisi jajahan takluk kerajaan purba Langkasuka lalu merangkumi negeri-negeri Pattani, Kelantan dan Kedah!

Puteri ini pula adalah saudara kandung kepada Chek Siti Wan Kembang, pemerintah perempuan kerajaan lama Tanah Serendah Sekebun Bunga yang amat dibangga-banggakan rakyat Kelantan sampai sekarang sedangkan seorang lagi saudara mereka, Puteri Linang Cahaya telah berkahwin dengan seorang pendakwah terkenal, Sayyid Jamadil Kubra. Beliau adalah anakanda Sayyid Ahmad Syah Jalal, seorang gabenor keSultanan Delhi semasa zaman pemerintahan Dinasti Tughluq (1325-1551 Masihi).

Maka itu tidak dapat dinafikan, memang terdapat jalinan ikatan diplomatik juga pertalian kekeluargaan yang kuat di antara keSultanan Samudera Pasai dengan kerajaan-kerajaan tersebut. Dan tentunya mereka juga mempunyai hubungan dengan kerajaan Mekah dan Madinah yang dipimpin para Sharif... Kerana anak cucu Saidina Hassan inilah yang bertanggungjawab menjalankan wasiat Rasulullah SAW untuk mengIslamkan Samudera zaman Sultan Malikus Salih dahulu.


—————————


Sebagai biras Sultan sebuah kerajaan yang menjunjung tinggi syiar serta penyebaran Islam ke seluruh Nusantara, Rasyid percaya Sayyid Jamadil atau Jamaluddin Kubra yang dikenali sebagai pendakwah besar berketurunan Nabi tentu pernah singgah dan bermastautin di Pasai.

“Maka saudara-saudara seangkatannya seperti Sayyid Qamaruddin, Sayyid Majduddin dan Sayyid Thanauddin (yang menurut sesetengah pendapat adalah Adi Putera, guru Hang Tuah) juga pernah bertapak di bumi para wali itu sebelum bertebaran ke merata tempat,” pemuda itu memberi penerangan sambil menyanggah sedikit pendapat seorang anak Kelantan yang baru dikenalinya ketika singgah minum kopi di sebuah warung di Chow Kit. “Maka itu tidak hairanlah jika kerajaan Pasai yang mengandungi bumi Samudera terus dikerumuni ramai pendakwah termasuk para Ahlul Bait dan melahirkan ramai wali,” tambahnya lagi.

Ketika itu, hamba Allah dari Kota Bharu itu sedang giat memperbesar-besarkan sejarah negeri kelahirannya. Lalu terkeluarlah nama Sayyid Jamadil Kubra yang diketahui bakal menurunkan ramai pendakwah Ahlul Bait termasuk para Wali Songo, pelopor penyebaran Islam di Tanah Jawa, Mengikut ceritanya, Sayyid Jamadil juga menurunkan Sultan Qumbul Ali Nurul Alam yang dikatakan nama sebenar Perdana Menteri Majapahit atau Patih Gajah Mada. Pembesar ini sangat terkenal dalam sejarah sebagai orang yang bertanggungjawab meluaskan kekuasaan kerajaan Majapahit hingga meliputi hampir seluruh Nusantara. Ali Nurul Alam juga dikatakan moyang kepada Raja-raja Kelantan dan Pattani sampai sekarang. Mendengarkan cerita ini, Rasyid yang berada di sebelah pun mencelah lalu memusingkannya menjadi cerita kebesaran Aceh pula.

Hamba Allah itu kurang senang ceritanya diganggu tetapi dia terus terdiam apabila menyedari kawasan itu dikuasai para peniaga dari Aceh yang seronok mendengar kisah bumi Serambi Mekah. Lagipun apa yang dikatakan itu ada juga kebenarannya. Lalu dia terpaksa mendengar bagaimana Maulana Malik Ibrahim yang dicatatkan sebagai Wali Songo pertama diketahui memang berasal dari Pasai, begitu juga Sunan Gunung Jati atau Sharif Hidayatullah yang datang ke Pulau Jawa kemudian.
“Sunan Giri yang dilahirkan dan dibesarkan di Jawa pula adalah anakanda Maulana Ishaq yang berasal dari Pasai dengan seorang puteri Jawa. Malah ada riwayat menyatakan ayahandanya ini sebenarnya bekas Sultan Pasai yang turun takhta menjadi fakir!” pemuda itu menambah.

Rasyid juga menceritakan bagaimana Pasai yang telah terlebih dahulu menjadi pusat perdagangan seluruh Nusantara, juga payung agama Islam di bumi Timur telah menyerahkan peranannya kepada Melaka apabila kerajaan itu memeluk Islam. Ini kerana keSultanan Pasai dan Melaka mempunyai hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan Sultan Megat Iskandar Shah yang memerintah Melaka sekitar tahun 1414 hingga 1423 Masihi dengan seorang puteri Raja Pasai.

Cuma peranannya sebagai pusat ilmu tidak boleh diganti. Kerana Pasai yang termasuk di dalamnya tanah asal Samudera adalah bumi para wali yang tidak ada galang ganti, tiada yang sepertinya di sebelah Timur ini...

“Sebab itu kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang menyebut Melaka akan bertanya ke Pasai setiap kali terdapat masalah mengenai agama yang tidak dapat ditanganinya,” kata anak kelahiran Muar, Johor itu lagi. “Sehingga diceritakan kitab Tasawuf bertajuk Darul Mazlum tulisan Maulana Abu Ishaq dari Tanah Arab yang telah dipermudahkan bahasanya dari bahasa zat ke bahasa sifat, kemudian ke bahasa af’al terpaksa dihantar ke Pasai untuk diertikan, barulah boleh difahami dan diajarkan untuk orang-orang Melaka.”

Anak Kelantan di sebelah terus terkunci mulut. Jika pada awalnya dia memang berniat mahu memperbesarkan negeri kelahirannya sebagai bumi Serambi Mekah yang asal, Rasyid pula menyatakan Kelantan cuma mendapat gelaran itu sejak muncul ulamak negeri itu yang terkenal iaitu Tok Kenali, hujung abad ke 19 Masihi. Sebaliknya Aceh telah beratus tahun, mungkin lebih seribu tahun (sejak zaman kerajaan Perlak) diakui sebagai bumi Serambi Mekah... Kalau dilihat pada peta pun memang Aceh lebih dekat ke Mekah! Setiap kapal yang mahu keluar melepasi Nusantara menghala ke Tanah Arab mesti melalui perairannya. Kalau dari Kelantan pula, mesti turun ke selatan melalui perairan Terengganu, Pahang dan Johor, kemudian baru membelok ke utara masuk ke Selat Melaka menyusuri Pulau Sumatera. Terpaksa juga melalui Aceh, baru boleh sampai ke laut lepas...

“Maka itu yang manakah sebenarnya Serambi Mekah... Aceh atau Kelantan? Atau kedua-duanya sekali kerana ada orang lama menyebut kedua bumi itu pernah bercantum menjadi sekeping tanah suatu masa dahulu?” Rasyid meninggalkan teka-teki sebelum berangkat pergi.


—————————


4 Oktober 2005 bersamaan 1 Ramadhan 1426 Hijrah. Badrul duduk di hadapan televisyen menunggu waktu berbuka puasa sambil menyelak helaian kitab versi moden Hikayat Raja-raja Pasai yang ditemuinya awal pagi tadi. Ketika itu, dia sedang mencari bahan bacaan untuk anak-anaknya di gedung buku Books Kinukuniya Suria KLCC. Sampai ke bahagian buku-buku berbahasa Melayu khusus untuk sastera dan agama, terjumpa pula beberapa cetakan baru kitab-kitab Melayu lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Aceh, Tuhfat al Nafis serta hikayat itu...

Pensyarah itu teringat pertemuannya dengan Rasyid dua minggu lepas. Dia pun tergerak untuk membaca wasiat Rasulullah SAW tentang Samudera lalu meneliti setiap perkataan yang tertera satu demi persatu.


Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama.


“Hmm.... Dahsyat juga kandungan wasiat ini,” fikirnya. “Dalam sungguh maknanya... Macam ada petunjuk tertentu tentang peristiwa akhir zaman nanti. Tetapi betulkah kata-kata ini pernah dituturkan Rasulullah SAW?”

Lama Badrul memerah otak memikirkannya. Tadi, dia telah membaca mukadimah buku yang menyatakan betapa bernilainya hikayat itu dalam dunia pemikiran Melayu. Pensyarah ini terfikir, jikalau kata-kata Nabi ini palsu, bagaimana pula ia boleh dikekalkan dalam penulisan yang dianggap sebagai teks sastera tertua bahasa Melayu? Boleh pula dikutip Bendahara Johor, Tun Sri Lanang untuk disertakan dalam kitab karangannya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu... Kalau kata-kata ini adalah hadis yang dibuat-buat, kenapa tidak dilupuskan terus daripada kedua-dua buah kitab yang menjadi bahan rujukan utama sejarah Melayu lama? Kenapa dibiarkan terus ditelaah berjuta manusia dari dahulu sampailah sekarang? Sehingga muncul pula cetakan-cetakan moden daripada institusi-institusi berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, juga Yayasan Karyawan lalu boleh didapati di gedung-gedung besar buku seperti Books Kinokuniya?

Dalam pada itu, terngiang-ngiang pula nama Sultan Malikus Salih, orang yang dikatakan bertanggungjawab mengasaskan kerajaan Samudera. Sejak pertemuannya dengan Rasyid di Janda Baik dahulu, bekas ustaz ini tidak dapat melupakan nama itu, juga perbincangan mereka yang berjela-jela sehingga terkeluar nama tokoh-tokoh besar seperti Saidina Ali, Saidina Hassan, Saidina Hussein juga Sheikh Ismail dan Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang nampaknya amat disanjungi pemuda itu.

Tiba-tiba Badrul tersentak apabila nama Sultan itu dilaungkan di televisyen. “Eh... Betulkah apa yang aku dengar ini?” getus hatinya.

Rupa-rupanya ada sebuah rancangan sedang bercerita tentang Sultan Malikus Salih. Keluar pula beberapa footage, gambar-gambar rakaman yang berkenaan termasuk gambar makam Sultan itu di tapak pusat kerajaan Samudera dengan batu nesan Acehnya yang berkepak... Makam yang tidak disentuh ombak Tsunami yang melanda Aceh 26 Disember 2004.

“La... Program Jejak Rasul terbaru, Jejak Rasul ke-11, Sicupak dari Istanbul rupanya,” terpacul perkataan ini sambil dia menepuk dahi...

Baru pemegang ijazah doctorate dalam bidang comparative religion atau perbandingan agama dari London itu mendapat tahu kaitan di antara Sultan Malikus Salih dengan raja-raja lain yang pernah memerintah Aceh. Kaitan yang menyebabkan semua Raja-raja Aceh juga memiliki titisan darah Rasulullah SAW. Sekali lagi dia teringat pertemuannya dengan Rasyid, bagaimana pemuda itu begitu beriya-iya mahu membela kelebihan dan kepimpinan Ahlul Bait bagai ‘hendak rak’, sanggup berhujah tentang hadis-hadis Nabi yang digelapkan yang menurutnya disebabkan angkara pemerintahan Bani Umaiyah, kemudian Bani Abbasiyah yang membenci keturunan Rasulullah SAW. Semuanya dikemukakan rakan lama itu dengan penuh semangat semata-mata untuk menyokong kesahihan wasiat Nabi mengenai Samudera dalam Hikayat Raja-raja Pasai!

Ayah kepada lima orang anak itu juga teringat penerangan Rasyid tentang peranan Sharif Mekah dari keturunan Saidina Hassan, Sheikh Ismail dari keturunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani dan Fakir Muhammad dari keturunan Saidina Abu Bakar Al-Sidiq sebagai orang-orang yang bertanggungjawab melaksanakan wasiat Nabi dan menabalkan Sultan Malikus Salih... Bagaimana ini menunjukkan kaitan Sultan itu dengan Rasulullah SAW. Baru dia sedar betapa beratnya amanah yang dipikul mereka tidak kiralah jika wasiat itu bukan hadis Sahih...

Ah... Baru Badrul faham... Patutlah rakannya itu begitu bersemangat bercerita tentang semua ini. Patutlah anak muda itu ingin menulis buku berkaitan Aceh dan peristiwa-peristiwa perkaitan sehingga menjangkau kisah-kisah lama di sebalik pergolakan politik Islam jauh di Timur Tengah! Rupa-rupanya dia memiliki kaitan tersendiri dengan semua watak-watak tersebut, satu kaitan peribadi yang tidak dimiliki semua orang...

“Hmm... Sekarang, baru aku faham kenapa Rasyid begitu marah apabila mengenangkan segala penindasan yang pernah berlaku ke atas para Ahlul Bait anak cucu Nabi. Ini rupanya alirannya...”

Aliran apakah yang dimaksudkan bekas ustaz itu? Apakah hubungan sebenar Muhammad al-Aminul Rasyid dengan watak-watak tersebut? Kita ikuti nanti apabila cerita-cerita dalam buku “Berpetualang ke Aceh” ini berkembang meliputi banyak lagi kisah-kisah lama yang telah digelapkan atau dipinggirkan daripada sejarah rasmi... Termasuk kisah Malikul Mansur, pewaris takhta yang disisihkan. Teruskan membaca... Amin.