Salam pagi Jumaat 21 Rabiul Akhir 1443 Hijriah. Merujuk pada artikel Ekplorasi Angkor 3 tahun lalu dalam kenangan yang dipersembahkan pada pagi Selasa lalu 23 November. Adapun hal tersebut mengingatkan bahawa pada tarikh 26 November 2018 iaitu ulang tahun kelahiran saya yang ke-48 kami sekeluarga telah pergi ke satu tinggalan pusat kerajaan Funan di Cambodia. Ia adalah tempat yang pada saya sangat menarik untuk sesiapa pun dapat menyambut hari lahir apa lagi bagi peminat sejarah. Hal ini membuat saya ingin menyemak semula di manakah saya berada pada tarikh tersebut bagi beberapa tahun kebelakangan.
Sebagai mengingatkan juga untuk dijadikan rujukan saya pernah membuat artikel bertajuk Apabila ulang tahun kelahiran yang ke-50 juga jatuh pada malam Jumaat pada tarikh 26 November 2020 iaitu tepat setahun lalu. Artikel itu menyenaraikan apa yang dibuat pada tahun-tahun yang mana tarikh tersebut jatuh pada hari Khamis. Ini kerana saya lahir pada malam Jumaat 26 November 1970 sedangkan siangnya adalah hari Khamis. Didapati selepas tahun 1970 cuma terdapat 7 kali sahaja tarikh 26 November jatuh pada hari tersebut iaitu pada tahun 1981, 1987, 1992, 1998, 2009, 2015 dan 2020.
Sekarang biar disenaraikan apa yang dapat dikesan telah dibuat pada tarikh tersebut bagi beberapa tahun kebelakangan tanpa mengambil kira pada hari apakah ia jatuh. Gerak hati menyuruh memilih sehingga tahun 2008. Ini kerana pada tahun tersebut saya bernikah dengan isteri sekarang lalu tidak lama lagi akan menyambut ulang tahun perkahwinan kami yang ke-13.
1. Tahun 2008 - Berehat di rumah di celah-celah kesibukan mengeluarkan artikel-artikel tentang projek buku masjid di belah Pantai Timur sambil menunggu masa untuk kembali berumah tangga. Untuk makluman projek yang membawa pada penerbitan buku ke-4 saya "Rumah Azan" (tahun 2009) ini telah menyaksikan saya pergi ke 30 buah masjid di merata Semenanjung. Segmen perjalanan Pantai Timur dilakukan 15-16 November sambil meliputi jarak 1,100 km. Selesai penulisan saya harus kembali ke Muar untuk Hari Raya Aidil Adha kemudian kembali ke Kuala Lumpur seterusnya ke Tanjung Sepat untuk membuat persiapan perkahwinan. Lihat artikel Perjalanan terbaru ke Pantai Timur - Cerita projek masjid diikuti Nombor 131 dan makna satu pernikahan....
2. Tahun 2009 - Sedang melakukan perjalanan dari Bandar Tenggara ke Muar bersama isteri dan anak pertama kami yang baru berumur 40 hari lebih. Singgah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang di mana saya pernah belajar Tingkatan 1 hingga 4 kemudian membawa anak kecil berziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh sebelum kembali ke kampung untuk berhari raya. Lihat artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan lama Gelanggayu, kopi Kluang dan kenangan sekolah menengah lalu... diikuti Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin!. Ia adalah dalam rangka perjalanan lebih besar yang meliputi jarak hampir 1,500 km. Lihat Koleksi artikel "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan"....
3. Tahun 2010 - Masuk umur 40 tahun, umur yang mana dikatakan seorang lelaki patut mencapai kematangan diikuti keimanan yang tanpanya boleh jadi sesat seumur hidup. Menulis artikel Tribute untuk lawatan tak dijangka ke Brunei bulan Ogos diikuti 777, umur 40 dan tawaran terhad buku. Perjalanan itu sendiri berlaku pada bulan Ogos namun disusuli beberapa perjalanan lain lalu penulisan tentangnya berterusan sehingga bulan November. Saya juga disibukkan dengan perjalanan-perjalanan untuk buku ke-6 saya ""Kereta Api Menuju Destinasi" (terbit Januari 2011) diikuti penulisan-penulisan berkenaan. Lihat Projek buku keretapi.
4. Tahun 2011 - Menulis artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Dari Berastagi ke Danau Toba iaitu daripada perjalanan 3 minggu sebelum itu. Ia adalah sebahagian daripada siri berkenaan yang perjalannnya meliputi jarak lebih 1,100 km atas darat. Lihat Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Walaupun masih penat akibat perjalanan diikuti penulisan saya bercadang mahu menghadiri majlis perkahwinan di Pontian pada tarikh 26 Disember. Tetapi pada hari sebelumnya satu-satunya kereta yang dimiliki rosak teruk lalu harus dihantar ke bengkel. Penulisan bagi artikel-artikel dalam siri berkenaan pun diteruskan. Tidak lama selepas kereta siap diperbaiki dibuat pula perjalanan selama lebih seminggu meliputi jarak lebih 1,600 km sehingga ke Pulau Riau di Indonesia. Lihat artikel Diperkenalkan : Kembara Johor-Riau diikuti Koleksi Kembara Johor-Riau.
5. Tahun 2012 - Membawa kawan-kawan dari Aceh berjalan-jalan melihat kesan-kesan sejarah setelah melaksanakan acara ke-2 HIKMAH di Melaka. Lihat Menyambung Melaka dengan Aceh - Misi menyelamatkan tapak kerajaan lama Lamuri. Beberapa hari kebelakangan saya disibukkan dengan persiapan bagi menjayakan acara. Lihat artikel Acara kedua HIKMAH di Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka 25 Nov 2012 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
6. Tahun 2013 - Menulis artikel Solat Jumaat di Masjid Kampung Hulu dan persinggahan di Taboh Naning. Sambil itu saya disibukkan dengan persiapan untuk melaksanakan acara ke-7 HIKMAH, juga di Melaka. Dua hari selepas tarikh lahir saya pun mengorak langkah ke sana. Lihat artikel Perjalanan sekitar HIKMAH VII - Antara cabaran dan amanah juga jejak Hang Tuah diikuti Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013.
7. Tahun 2014 - Berehat di rumah sebelum ke majlis ilmu keesokannya. Lihat Program Penghayatan Warisan Kesusasteraan Melayu Tradisi : Hikayat Merong Mahawangsa. Sebelum itu saya telah disibukkan dengan penganjuran acara ke-11 HIKMAH di Pagoh. Berlaku juga beberapa perjalanan susulan. Lihat Acara kesebelas HIKMAH di masjid dan makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Pagoh, Muar 8 Nov 2014 diikuti Susulan HIKMAH Pagoh - Lawatan ke Bukit Treh dan Pulau Besar dan Ke Muar kemudian menyusuri Sungai Batu Pahat. Selepas ulang tahun kelahiran dibuat pula perjalanan jauh ke selatan. Lihat Trip anak-beranak ke Desaru – Compiled.
8. Tahun 2015 - Berada di rumah lalu mempersembahkan artikel bertajuk Daulah Melayu di Jawa Timur - Sunan Giri, panggilan Raden Santri dan Sunan Ampel pada jam 11.31 malam. Adapun perjalanan berkenaan berlaku sebulan lebih awal. Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan itu saya disibukkan dengan penggambaran satu projek dokumentari selain beberapa hal. Lihat Kenangan projek dokumentari "Daulah Melayu" 2015-2016.
9. Tahun 2016 - Membuat artikel Menumpang kegembiraan isteri dan jenama beliau Bona Fida pada pagi hari kemudian bertolak ke Bukit Tinggi untuk membuat persediaan bagi acara ke-19 HIKMAH tetapi menghadapi masalah kereta. Lihat artikel Misi HIKMAH Bukit Tinggi - Dugaan yang melanda ke lokasi diikuti Misi HIKMAH Bukit Tinggi - Menikmati pemandangan indah sambil meninjau kemudahan sebelum kembali mengharungi dugaan kereta rosak. Pagi sebelumnya pula saya bercerita tentang buku-buku terbaru saya di satu majlis resensi di Perbadanan Kota Buku. Cerita tentangnya dipersembahkan awal pagi 26 November. Lihat "Berpetualang ke Aceh" di Kota Buku
10. Tahun 2017 - Tidak dapat mengesan apa yang dilakukan pada hari ulang tahun kelahiran. Yang pasti ada membuat beberapa perjalanan kecil dan hadir beberapa majlis ilmu dalam sebulan dua kebelakangan. Nampaknya waktu sekitar tarikh lahir 26 November hingga awal Disember lebih pada berehat. Ini sebagai persediaan untuk melakukan perjalanan lebih 4,000 km pusing Thailand 12-23 Disember dengan memandu kereta sendiri. Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation.
11. Tahun 2018 - Pergi ke tapak pusat kerajaan Funan di Cambodia. Lihat artikel Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - Menyambut hari lahir di tapak pusat empayar. Ini berlaku dalam rangka perjalanan lebih besar yang meliputi jarak darat lebih 3,000 km (tidak campur penerbangan ke Siem Reap) pada 22 November hingga 3 Disember dengan pelbagai jenis kenderaan termasuk kereta api. Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation
12. Tahun 2019 - Berehat di rumah antara kesibukan menghadiri sejumlah majlis ilmu di pelbagai lokasi pada hari-hari sebelum dan selepasnya. Menulis artikel Amerika Syarikat menjadi kuasa dunia dengan 'pertolongan' Alam Melayu - Satu kisah lama yang mendunia bermula di Aceh. Oh. Baru teringat pada 26 November tahun itu anak-anak lelaki saya, Rasyid dan Johan disunatkan. Maka memang hari-hari terdekat banyak dihabiskan di rumah.
13. Tahun 2020 - Menyambut hari lahir di rumah bersama sejumlah kawan kemudian mempersembahkan artikel Apabila ulang tahun kelahiran yang ke-50 juga jatuh pada malam Jumaat lewat malam. Dalam tempoh waktu sekitar itu kurang berjalan akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak virus Covid-19. Namun tetap ada kesibukan mengikuti majlis-majlis ilmu secara atas talian selain tergerak untuk menulis dan mengumpulkan kompilasi cerita-cerita perjalanan lama sehingga terhasillah artikel induk bertajuk Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain.
Ini adalah cerita sekitar hari ulang tahun kelahiran saya bagi 13 tahun hingga setahun lalu. Bila dilihat kembali ternyata tidak ada tempoh waktu yang tidak sibuk. Kalau tidak keluar mengembara, menghadiri atau melaksanakan majlis-majlis ilmu atau menulis tentangnya saya sama ada pegi keluar beriadah ke bukit-bukit di sekitar rumah atau berehat di rumah akibat kepenatan yang kadangkala rasa tidak terhingga. Itu belum lagi diceritakan kesibukan (juga sakit kepala) bagi menulis tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam).
Tahun ini? Apakah yang dilakukan pada tarikh 26 November 2021 iaitu hari ini? Malam tadi hingga lewat hampir tengah malam saya dan isteri menghadiri majlis Qasidah Burdah di Saujana Putra. Dekat jam 1 pagi baru sampai rumah.
Pagi ini pula dihabiskan masa beberapa jam untuk menulis artikel ini. Sekarang saya harus bersiap untuk menunaikan solat Jumaat di masjid ISTAC. Sekadar menyebut, ini adalah artikel ke-2,022 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Sekian, wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan