Sabtu malam Ahad saya, isteri dan anak kembali ke kampung di Tanjung Sepat. Tengahari tadi pula dalam perjalanan untuk kembali ke rumah kami di Bandar Tasik Puteri, Rawang, timbul rasa untuk mengambil simpang ke Pantai Kelanang berdekatan Morib sebelum menghala ke Jugra...
Asalnya saya cuma mahu menikmati pemandangan setelah 10 tahun begitu tidak naik ke sana. Jalan tepian bukit yang kelihatan membuat saya ingin terus keluar berjalan...
Rupa-rupanya ada pelantar tempat orang bermain payung terjun paragliding menghadap ke kuala Sungai Langat.
Seronok pula melihat mereka-mereka ini bermain dengan angin dan ketinggian. Lihat artikel Paragliding at Bukit (hill of) Jugra yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.
Allah! Saya memang sudah lama teringin hendak merasa, cuma belum muncul peluang. Maklumlah, ini bukan sukan murah. Saya difahamkan untuk satu set asas payung terjun sahaja memerlukan RM10,000, belum dikira kos aksesori lain juga latihan dan sebagainya. Tetapi saya terpaksa menolak kerana isteri tidak membenarkan, sekurang-kurangnya bukan pada waktu itu. Maklumlah, dia penat-penat menunggu dalam kereta bersama bayi dalam keadaan panas terik tengahari, saya pula seronok ingin melayan kehendak sendiri. Sedangkan suami isteri yang menjemput menyangkakan saya datang seorang diri. Maka tak patutlah saya terus meninggalkan anak dan isteri dalam kereta.
Ketika hendak meninggalkan pasangan itu, si suami baru sahaja menebarkan payung terjunnya. Terus saya teruja malah naik bulu roma. Ternyata, payung terjun itu memiliki 3 warna serupa bendera negeri Perak iaitu putih, kuning, hitam yang ada makna tersendiri buat saya.
Awal semasa meninggalkan Pantai Kelanang untuk masuk ke jalan belakang menghala ke Bukit Jugra, isteri saya tiba-tiba menyebut keadaan di situ terasa seperti berada di jalan masuk ke makam seorang moyang utama saya yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu. Beliau inilah yang disebut Keramat Sungai Durian, meninggal dunia lebih 200 tahun lalu. Lihat artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! yang dibuat Jun 2008 diikuti Keramat Sungai Durian dan Kota Setia. Apa ceritanya? yang dibuat setahun kemudian. Saya pun cuba mengaitkan segalanya... warna bendera negeri Perak, tempat bernama Sungai Durian dan rasa seperti menghampiri makam. Apakah Allah ingin memberikan satu jawaban?
Ini membuat saya teringat kembali gerak ilham bercerita yang diluahkan melalui artikel Bukit-bukit 'berhantu' di Kuala Selangor dan batu nesan Aceh di perdu pokok - Membuka kaitan Aceh-Bugis dan cerita sebenar sistem penggiliran Perak? yang dibuat 2 minggu lalu. Isteri saya pasti makam berbatu nesan Aceh di Kuala Selangor yang ditemui baru itu memang berkait dalam hal ini. Apakah ia petunjuk baru untuk menyokong telahan saya tentang kaitan rahsia Tok Jambu yang dikatakan seorang Laksamana dengan Sultan ke 17 Perak, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda yang namanya ada menggabungkan nama 2 orang Sultan Aceh iaitu Sultan Alauddin Mansur Shah, anak kepada Sultan kedua Perak tetapi dirajakan di Aceh dan Sultan Iskandar Muda yang merupakan penakluk teragung dalam sejarah Aceh? Apakah ini semua satu asas pencarian untuk satu perjalanan baru yang akan dibuat tidak lama lagi?
P/s: Ini adalah artikel ke 626 di blogspot ini. 313 x 2...
6 ulasan:
Saya amat tertarik dengan perjalanan kerajaan Selangor di zaman Marhum Abd Samad ra dimana usaha merealisasikan Daulah Islam tulen dibuat dengan kemasukan ulama-ulama besar, menghapuskan sekian adat istiadat bentuk faham hindusm secara total dan menghapuskan sistem perhambaan manusia. Sedangkan pada masa yang sama negeri berantakan dengan pertikaian persaudaraan & fitnah hingga membawa kepada pertumpahan darah sesama suku bangsa.
Berkaitan dengan pencarian Toh Jambu@Tok Jambu mungkinkah sebenarnya orang dimaksudkan adalah Y.M. Tuan Sayyid Muhammad Jambul Bangsa al-Yahya suami kepada Y.A.M. Raja Perak binti al-Marhum Sultan Saleh ud-din ibni al-Marhum Raja Chelak?
http://www.royalark.net/Malaysia/selang2.htm
Hmm. Baru saya sedar akan kewujudan Sayyid Muhammad Jambul ini. Zaman pun memang sama dengan Toh Jambu di Perak. Namun setahu saya Toh Jambu dari marga lain yang lebih dikenali sebagai Dinasti Bugis Raja Aceh, dipanggil Toh Jambu kerana datang ke Perak dari Jambu, Patani di mana ayahandanya telah berhijrah dari Aceh...
oooo..begitu... bagaimana pula yang di sebut sebagai Wan Daim bin Wan Nik, Dato' Pangkalan Tua and Dato' Jambu of Patani sebagaimana dalam
http://www.royalark.net/Malaysia/kelant3.htm
tapi cerita Kelantan lah pulak
Datuk Jambu tu satu gelaran umum. Sebenarnya bukan Datuk tetapi Datu Jambu. Datu ni macam raja yang memerintah satu wilayah (zaman dahulu penghulu pun macam raja tapi bagi daerah itu sahaja). Jadi Datu Jambu ni adalah Datu yang memerintah Jambu sedangkan Jambu termasuk di dalam pemerintahan kerajaan Patani.
Panggilan Toh Jambu pula membawa dua makna... satu, mungkin memang pernah menjadi Datu Jambu. Kedua, seorang terhormat yang datang dari Jambu atau pernah bermukim di sama sepertimana Laksamana Raja Mahkota pertama Perak juga dikenali sebagai Tok atau Toh Kuala Bidor...
a'kum bang sy nk tnye bleh tak abang bagi tau sy siapa kah tok pawang kepada sultan abdul samad zaman beliau dahulu ada yg bagi tau sy zaman sultan abdul samad pawang nya ialah pawang jumpol(tok jumpol @ panglima itam)adakah benar??klu betul sy adalah cicit pawang jumpol keramat nya ada di kampung api-api k.selangor emil:azmi_abdul_azis@yahoo.com
Wassalam. Maaf saya pun tak tahu. Kalau panggilan Panglima Hitam pula memang ada satu makam di Jugra dekat makam Sultan Abdul Samad. Kat Bukit Melawati pun ada dekat makam Sultan pertama Selangor.
Catat Ulasan