Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, November 26, 2020

Apabila ulang tahun kelahiran yang ke-50 juga jatuh pada malam Jumaat

Salam lewat malam Jumaat. Artikel ini telah disediakan seminggu lalu tetapi disemak lalu disunting waktu Subuh tadi. Gambar bawah ini pula diambil daripada satu rakaman video selepas solat Isyak. Semuanya untuk perkongsian selepas jam 11 malam ini atas sebab tertentu...



Lewat malam Khamis 19 November 2020. Terlihat iklan di televisyen menyatakan satu rancangan akan diadakan pada hari Khamis 26 November 2020. Teringat bahawa pada tarikh tersebut genaplah umur saya 50 tahun menurut kalender Gregorian yang diperkenalkan oleh Barat. Apabila melihat tarikh tersebut jatuh pada hari Khamis teringat pula bahawa saya dilahirkan sekitar jam 11 malam Jumaat.

Ya, malamnya adalah malam Jumaat berdasarkan kiraan Islam bahawa apabila masuk sahaja waktu Maghrib maka bermulalah hari baru. Tetapi siangnya adalah hari Khamis. Maka 26 November 2020 jatuh pada hari Khamis sedangkan malamnya adalah malam Jumaat. Menarik ini. Saya akan menyambut hari ulangtahun ke-50 pada hari Khamis yang  malamnya adalah malam Jumaat seperti halnya ketika lahir setengah abad lalu.

Ini membuatkan timbul rasa untuk menyemak sudah berapa kalikah ulang tahun saya jatuh pada hari Khamis malam Jumaat. Semakan boleh dibuat dengan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter (mengubah tarikh Barat kepada tarikh Islam, boleh cari programnya menggunakan Google) kerana ia turut menunjukkan pada hari apakah suatu tarikh itu jatuh. Tetapi hendak menyemak setiap tahun sehingga sampai yang ke-50 harus memakan masa. Untuk mempercepatkan proses terfikir untuk menggunakan kira-kira matematik seperti berikut :-

------------

Adapun satu tahun dalam kalendar Gregorian memiliki 365 hari. Suatu hari akan berulang selepas seminggu atau 7 hari. Misalnya 19 November jatuh pada hari Khamis. Maka 26 November iaitu 7 hari selepas itu juga jatuh pada hari Khamis. Begitu juga seminggu selepas itu dan seterusnya.

365 hari bahagi 7 = 52 minggu + 1 hari... ada anjakan satu hari. Ini bermakna setahun selepas 1970 iaitu pada tahun 1971 tarikh 26 November jatuh satu hari selepas Khamis iaitu pada hari Jumaat.

Saya menyemak ini menggunakan program Gregorian to Hijriah converter lalu mendapati ini adalah benar. Cuba pula bagi tahun 1972. Ingatkan 26 November jatuh sehari selepas Jumaat  iaitu pada hari Sabtu. Tengok-tengok salah. Ia jatuh pada hari Ahad.

Ah. Nampaknya saya sudah terlupa bahawa 1972 adalah Tahun Lompat yang mengandungi 366 hari. Ini adalah bersamaan 52 minggu + 2 hari. Dalam kalendar Gregorian ia berlaku sekali pada setiap 4 tahun. Setiap kali berlaku Tahun Lompat suatu hari pada suatu tarikh teranjak sebanyak 2 hari. Jika 26 November 1971 jatuh pada hari Jumaat maka 26 November 1972 jatuh pada 2 hari selepas Jumaat iaitu Ahad.

Ya. Faktor Tahun Lompat mesti diambil kira. Nasib baik boleh mengenal mana satu Tahun Lompat. Ia jatuh pada tahun yang boleh dibahagi 4 tanpa meninggalkan baki. Misalnya 1970 bahagi 4 adalah 492 darab 4 campur baki 2. Sedangkan 1972 bahagi 4 adalah tepat 493. Setelah mengetahui ini kita boleh tambah 4 pada 1972 untuk mengetahui Tahun Lompat seterusnya adalah 1976. Ini diikuti 1980, 1984, 1988 dan seterusnya.


Dengan ini bolehlah dibina jadual anjakan hari seperti di atas. Setiap jumlah anjakan yang boleh dibahagi dengan 7 menunjukkan 26 November pada tahun tersebut jatuh pada hari Khamis yang malamnya adalah malam Jumaat. Hasilnya adalah didapati ini berlaku pada tahun 1981, 1987, 1992, 1998, 2009, 2015 dan 2020. Semakan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter menunjukkan kira-kira ini adalah benar. Ia juga memberikan tarikh-tarikh kalendar Islam atau Hijriah seperti berikut :-

1) 26 November 1981 = 29 Muharram 1402 

2)  26 November 1987 = 4 Rabiualwal 1408

3)  26 November 1992 = 1 Jamadilakhir 1413

4)  26 November 1998 = 7 Sya'aban 1419

5)  26 November 2009 = 9 Zulhijjah 1430

6) 26 November 2015 = 14 Safar 1437

7) 26 November 2020 = 11 Rabiulakhir 1442


Untuk makluman program memberitahu ada terdapat kemungkinan ralat 1 hari dalam penukaran tarikh menurut kalendar. Harus juga diingatkan bahawa kalendar Islam dahulu boleh jadi berbeza antara negara disebabkan kemunculan anak bulan dijadikan penentu utama bagi bermulanya bulan baru, bukan kiraan falak. Hal ini boleh menyebabkan orang di Indonesia mula berpuasa pada hari Khamis sedangkan orang di Malaysia mula berpuasa pada esoknya hari Jumaat. Begitu juga halnya pada Hari Raya Aidilfitri. Apapun program memberikan hari lahir tepat saya 26 November 1970 adalah bersamaan 26 Ramadhan 1390 Hijriah. Ini adalah benar kerana malamnya adalah 27 Ramadhan iaitu Malam Tujuh Likur. Memang saya dilahirkan pada malam mulia itu. 

Seterusnya tergerak untuk cuba mengingati di manakah saya berada pada tarikh-tarikh berkenaan...

1) 26 November 1981 - Ketika ini baru habis Darjah 5 di Sekolah Rendah Ismail 2 di Muar. Harus sudah masuk cuti sekolah hujung tahun. Mungkin sedang berjalan ke mana-mana dibawa ibu bapa. Ketika ini anak ke-5 dan bongsu mereka iaitu satu-satunya adik perempuan saya sudah hendak masuk umur 2 tahun.

2)  26 November 1987 - Semasa ini harus cuti sekolah juga. Pada tahun ini saya berada di Tingkatan 5 Sekolah Tinggi Muar. Cuma tak pasti apakah ketika itu sudah tamat mengambil SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) atau bagaimana. Satu perkara menarik dalam ingatan. Saya pernah bergaduh dengan bapa sehingga lari rumah ketika peperiksaan menjelang. Hampir-hampir tidak mengambil SPM. 

Nasib baik terfikir juga tentang masa hadapan lalu meminta adik membawakan baju sekolah ke satu tempat perjumpaan. Selama 2-3 hari juga saya mengambil peperiksaan dalam keadaan 'pelarian' menumpang di rumah kawan. Selepas mengambil peperiksaan di sekolah membantu beliau menjual rojak di taman peranginan sebelah Sungai Muar. Nasib baik masih boleh dapat Gred 1 walaupun agregatnya tidak berapa cemerlang.

3)  26 November 1992 - Ketika ini sudah masuk Tahun 2 pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di Universiti College of London. Tetapi saya selalu ponteng kelas. Malah rasanya tak sampai 5 peratus kehadiran dalam kelas. Masa banyak dihabiskan tidur atau berjalan. Saya sedang menghadapi pergolakan jiwa yang hebat akibat diri yang dahulu sangat meminati ilmu sains dan logik akal mula beralih arah masuk ke dunia spiritual bersifat Tasawuf. Nasib baiklah selepas itu dapat juga ijazah kepujian walau tidak cemerlang.

4)  26 November 1998 - Ketika ini sudah 2 tahun lebih bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times di Kuala Lumpur. Rasanya sudah masuk meja sukan yang bersifat lebih santai berbanding misalnya meja berita (newsdesk) yang dipandang lebih berwibawa kerana sering berurusan dengan para menteri dan pentadbiran tertinggi negara mencari berita-berita penting yang boleh menentukan hala tuju. Namun pada zaman itulah rupanya dapat mengenali para VVIP dalam kapisiti lebih peribadi. Misalnya, saya pernah diperkenalkan dengan seorang Tengku Mahkota dan seorang Raja Muda dalam keadaan santai minum-minum bersama kawan-kawan. Tidak lama kemudian mereka menaiki takhta negeri masing-masing.

5)  26 November 2009 - Ketika ini sudah hampir setahun bernikah dengan isteri sekarang. Anak pertama kami (bersama kerana kami masing-masing sudah ada anak) sudah berumur hampir sebulan setengah. Ketika ini juga saya sudah menghasilkan 4 tajuk buku. Berdasarkan tarikh adalah bersamaan 9 Zulhijjah 1430 kami harus sedang berada di kampung saya di Muar untuk menyambut Hari Raya Haji atau Aidil Adha.

Oleh kerana pada ketika ini sudah lebih 3 tahun saya aktif menulis dalam blogspot maka dapatlah juga disemak aktiviti apakah yang dilakukan pada sekitar waktu itu. Didapati bahawa selain balik kampung kami mengambil peluang untuk berjalan ke selatan sehingga ke Singapura setelah isteri habis pantang  bersalin 40 hari iaitu pada 22 November. Lihat artikel Akan datang : Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan!. Bila disemak betul-betul artikel-artikel berkenaan didapati bahawa pada 26 November 2019 kami sekeluarga telah melakukan perjalanan dari Bandar Tenggara ke Muar. Singgah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang di mana saya pernah belajar Tingkatan 1 hingga 4 kemudian membawa anak kecil kami berziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh sebelum kembali ke kampung untuk berhari raya. Lihat artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan lama Gelanggayu, kopi Kluang dan kenangan sekolah menengah lalu...  diikuti Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin!

6) 26 November 2015 - Ketika ini anak kedua bersama isteri sudah berumur 3 tahun lebih. Saya pula telah menghasilkan 8 tajuk buku. Pada jam 11.31 malam saya telah mempersembahkan satu artikel bertajuk Daulah Melayu di Jawa Timur - Sunan Giri, panggilan Raden Santri dan Sunan Ampel. Perjalanan dalam cerita berlaku sebulan lebih awal. Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan itu saya sibuk dengan penggambaran satu projek dokumentari selain beberapa hal.

7) 26 November 2020 - Setelah menghasilkan tajuk buku yang ke-13 pada bulan Syawal tahun 2019 saya memilih untuk berehat daripada menulis apa-apa buku baru. Sepatutnya saya sudah siap menulis tesis sarjana di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 2-3 bulan lalu kerana sudah cukup 4 semester bersama institusi (rujuk artikel lama Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia).  Tetapi masih menghadapi masalah gangguan mood dan rentak penulisan. Besar harapan agar segala gangguan sirna dan saya dapat menyiapkannya sebelum akhir tahun ini. Semoga luahan dalam penulisan ini membawa kelancaran yang didambakan. Doakan saya ya kawan-kawan. Sekian. Selamat malam.


Nota tambahan : Siang tadi saya ada menelefon ibu di Muar untuk bertanya waktu tepat saya dilahirkan 50 tahun lalu. Beliau yang sudah berumur 78 tahun sudah lupa tapi ia harus sekitar jam 11.40. Saya pun menunggu suatu waktu berdekatan untuk memaparkan artikel ini. Sengaja dipilih jam 11:31 kerana ada nombor 131 yang saya suka.

Oh. Selepas solat Isyak isteri melakukan kejutan dengan membawa keluar kek yang ditempah khas untuk menyambut ulang tahun kelahiran saya. Kebetulan ada sejumlah kawannya datang ke rumah untuk satu urusan berlainan. Maka dijadikanlah acara menyambut ulang tahun sekali. Itu yang ada gambar atas tadi.  :]


1 ulasan:

Pemimpin tanpa nama berkata...

Alhamdulillah saudara semoga dalam sihat hendaknya.