Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, September 07, 2020

Misi menghantar anak balik kolej - Antara kesegaran air terjun Lata Kinjang dengan dugaan hampir lewat malam

Salam lewat petang Isnin 19 Muharram 1442 Hijriah. Setelah beberapa lama baru timbul rasa untuk berkongsi kisah perjalanan terbaru saya dan keluarga yang bermula 9 hari lalu. Itupun banyak perkara terasa harus diselesaikan terlebih dahulu termasuk menamatkan pembacaan juz ke-28 Al Quran petang tadi. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengkhatamkan bacaan sejak masuk tahun baru Hijrah kurang 3 minggu lalu. Apabila artikel ini siap harus sudah masuk malam Selasa 20 Muharram kerana ketika ayat ini ditulis pun sudah jam 7.16 petang. Tak mengapa. Kita mulakan sahaja cerita.


Pagi Sabtu 29 Ogos 2020. Kira-kira jam 10.30 pagi kami sekeluarga meninggalkan rumah untuk memulakan perjalanan itu. Ooops. Dah dengar azan Maghrib pulak dah. Saya harus berhenti menulis seketika untuk berbuka puasa sunat hari Isnin...


OK. Dah berbuka dengan kurma 3 biji, sepatah coklat dan segelas kecil air jagung. Boleh sambung sedikit cerita. Dari rumah di Bandar Sungai Buaya, Rawang kami mengambil Lebuh Raya PLUS ke  utara. Kelihatan banyak kereta menunjukkan ramai orang mahu balik kampung atau berjalan sempena cuti hujung minggu yang akan berpanjangan sehingga hari Isnin 31 Ogos. Ini kerana pada tarikh tersebut kita akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke-63.


Seperti orang lain kami anak beranak juga mahu mengambil kesempatan atas cuti panjang. Selain itu kami harus menghantar anak sulung perempuan kembali masuk ke kolej di utara pagi Selasa 1 September. Ini adalah kali pertama beliau kembali ke tempat belajarnya setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak virus Covid-19 mula dilaksanakan pada 18 Mac iaitu hampir setengah tahun lalu. Alang-alang hendak menghantar biar berjalan-jalan singgah sana sini...

Kami keluar dari Lebuh RayaPLUS  di tol Hulu Bernam lalu masuk ke pekan Tanjung Malim. Perjalanan diteruskan menggunakan jalan lama untuk mengelakkan kesesakan jalan raya yang boleh dilihat berpanjangan dari Slim River ke Ipoh melalui program Google Map dalam telefon pintar. Selain itu kami juga mahu menjimatkan tol. Dan jalan lama memberikan lebih banyak pilihan untuk berhenti di mana-mana selain boleh melihat cantik pemandangan kampung,, pekan-pekan dan sebagainya.





Tidak lama kemudian sampailah kami ke pekan Slim River.


Boleh kelihatan poster pelbagai parti politik merata. Rupa-rupanya hari itu ada pilihan raya kecil ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) bagi kawasan Slim River. OK. Saya harus berhenti menulis sebentar kerana isteri dan anak dah bising ajak makan malam bersama...





OK. Sambung balik menulis setelah makan malam kemudian menunaikan solat Maghrib diikuti sedikit wirid. Ketika menulis ayat ini sudah jam 7.58 malam. Gambar atas pula diambil pada jam 11.45 pagi. Ketika itu kami sedang menghampiri Sungkai lalu menghadapi kesesakan jalan raya.


Rupa-rupanya ada kerja menyebabkan jalan raya dua jalur disempitkan menjadi satu jalur malah menyimpang masuk ke bahagian lawan arah. Pun begitu saya kira ini lebih baik daripada menghadapi kesesakan lebuh raya yang boleh memakan masa tambahan lebih 40 minit berbanding keadaan biasa. Di lebuh raya bukan sahaja kena bayar tol. Kita tiada pilihan untuk berhenti atau mencuba masuk simpang ke mana-mana. Memang sakit hati kalau berlaku kesesakan sedangkan tujuan kmengambil lebuh raya sehingga sanggup bayar tol adalah supaya perjalanan lebih lancar dan laju. Kalau di jalan biasa sekurang-kurangnya boleh juga cari gerai untuk berhenti minum atau lepak di bawah pokok bila berlaku kesesakan.


Jam 12.20 kami berhenti sebentar di pekan Bidor kerana isteri ingin membeli buah-buahan untuk dibuat makan dalam kereta. Saya cuma boleh melihat sahaja. Ini kerana ketika itu saya sedang berpuasa sunat hari Asyura iaitu 10 Muharram.


Haaa. Baru teringat. Hari itu adalah 10 Muharram. Sebelum itu iatu pada hari Jumaat saya juga telah menunaikan puasa sunat iaitu bagi 9 Muharram iaitu Hari Tasu'a. Pada tarikh-tarikh sebegitu yang ada kelebihan dan makna dalam Islam saya akan berusaha untuk melaksanakan puasa sunat selain pada hari Isnin dan Khamis juga tengah bulan Islam (puasa putih 13, 14, 15 hari bulan). Pun begitu setahun kebelakangan saya tidak akan menunaikan puasa sunat Isnin atau Khamis jika sedang berjalan jauh bersama keluarga. Sebabnya supaya kami dapat makan bersama siang hari di mana-mana, bukan sebab penat akibat mengembara. 

Tetapi tarikh seperti 10 Muharram tidak ada galang gantinya kerana ia adalah tarikh yang sangat istimewa lalu saya harus tetap menunaikan puasa. Gambar atas ini pula diambil di pekan Tapah. Isteri mahu singgah ke kedai DIY kerana mahu membeli kipas mudah alih lantaran penghawa dingin kereta dirasakan tidak cukup kuat dan sejuk untuk memberikan keselesaan kepada anak-anak yang duduk di kerusi belakang kereta.


Ya. Hari itu kami keluar 6 beranak menggunakan kereta panjang dengan 3 baris tempat duduk. Tak tahu ketika itu rupa-rupanya kereta sedang menghadapi masalah sistem hawa dingin... beberapa hari kemudian baru kelihatan nyata tapi itu cerita lain. Apapun bukan selalu kami dapat keluar jauh 6 beranak kerana dua orang anak besar tidak selalu duduk bersama di Sungai Buaya. Kami berjalan ini dengan niat untuk menuju ke utara bagi menghantar anak sulung kembali ke kolej tetapi sedia untuk singgah malah menginap di mana-mana dalam perjalanan itu.


Sudah dipesan awal-awal kepada anak-anak agar membawa sekali pakaian untuk bermandi-manda walaupun belum tentu singgah di mana-mana sungai, pantai atau sebagainya. Kali ini memang ada rasa untuk membawa anak-anak berseronok di air terjun. Dari Tapah kami mengambil jalan ke pekan kecil Chenderiang lalu ke Air Terjun Lata Kinjang. Hampir 3 jam juga kami di sana. Sempatlah membawa anak lelaki bujang memanjat naik ke bahagian tertinggi air terjun. Lihat artikel Approaching the top of Lata Kinjang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Tengok-tengok ada makhluk seronok bermandi manda di atas sana. Anak bujang saya sempat rakamkan video. Amaran. Penakut jangan tengok. Takut mengingau 40 hari 40 malam...



Apapun, kami meninggalkan Lata Kinjang sekitar jam 4.20 lalu mengambil jalan ke Kuala Dipang. Laluan ini agak sunyi, jarang dilalui kenderaan.


Jalan ini melalui tepian sebuah gunung yang baru 2 bulan lalu saya dapat tahu bernama Gunung Bujang Melaka. Ia dapat dilihat memanjang di tepian Lebuh Raya PLUS selatan sebelum Gua Tempurung. Saya sudah lama tertarik dengan gunung dan persekitarannya kerana kelihatan begitu cantik dari lebuh raya malah terasa ada aura misteri yang tersendiri. Tetapi baru 2 bulan lalu itu saya tergerak untuk mengkaji lalu mendapat tahu tingginya  adalah 1,233 meter atau 4,045 kaki daripada paras laut. Ini adalah tinggi sedikit daripada Gunung Jerai di Kedah (1,217 meter bersamaan 3,854 kaki) dan rendah sedikit daripada Gunung Ledang di Johor (1,276 meter bersamaan 4,186 kaki).


Saya juga mendapat tahu rupa-rupanya gunung tersebut agak popular dalam kalangan pendaki. Tetapi mereka selalu mendaki dari arah pekan Kampar di sisi timur gunung sedangkan saya selalu melihat sisi baratnya dari lebuh raya. Minat terhadap gunung dan persekitaran timbul akibat satu peristiwa yang berlaku pertengahan Disember tahun lalu. Lihat artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Akhirnya. Apa ada di persekitaran KM305.5 tempat kereta mati? yang telah dipersembahkan pada 7 Julai iaitu tepat 2 bulan lalu. Sebetulnya saya membawa keluarga lalu di jalan berdekatan gunung kerana mahu mengajak mereka mengimbau kembali apa yang telah berlaku pada waktu itu. Tak sangka pula laluan yang diambil membawa kami untuk masuk kembali ke Lebuh Raya PLUS melalui tol di mana kami 6 beranak pernah bermalam di suraunya akibat peristiwa tersebut. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel-artikel berikut yang telah dipersembahkan lebih 8 bulan lalu :-






Kami mengambil lebuh raya kerana isteri dan anak-anak sudah terasa penat mengambil jalan lama. Kami membuat keputusan, persinggahan seterusnya adalah di bandar Taiping. Isteri teringin hendak memakan hidangan kuey teow istimewa di sana.


Asalnya kami merancang untuk bergerak terus masuk ke Pulau Pinang lalu menginap di sana. Tetapi persinggahan hampir 3 jam ke Lata Kinjang menyebabkan kami bertukar rancangan. Kiranya kami main jalan sahaja asal menuju ke utara. Tengoklah nanti hendak menginap di mana bergantung pada keadaan. 

OK. Ketika menulis ini sudah jam 8.45 malam. Saya harus berhenti sat untuk solat Isyak.


OK. Sambung balik penulisan jam 9.43 malam. Adapun selepas solat Isyak kemudian sedikit wirid tadi saya telah menyambung kembali pembacaan Al Quran. Dapatlah menghabiskan setengah juz 29. Sasaran saya kalau boleh dapat khatam seluruh kitab sebelum tamat tarikh 20 Muharram iaitu sebelum masuk waktu Maghrib kurang 22 jam daripada sekarang.

Kami sampai ke Taiping dekat jam 6.30 petang. Timbul rasa penat untuk meneruskan perjalanan lalu kami mahu mencari tempat penginapan. Namun apabila dicari hotel menggunakan Internet termasuk melalui perisian Booking.Com didapati semua bilik telah ditempah, tiada lagi kekosongan. Kami pun cuba mencari secara 'manual' iaitu pusing bandar cari hotel demi hotel dan bertanya. Ada le satu hotel dengan lokasi menarik berhadapan masjid lama tetapi harga bilik iaitu RM160 terasa mahal.


Kami ini pengembara bajet. Kalau sekitar RM100 semalam boleh le ambil. Akhirnya kami buat keputusan untuk lupakan dahulu hal bilik. Kami pergi ke tempat makan kegemaran iaitu Kuey Teow Doli demi memenuhi hajat dan tujuan utama isteri ke Taiping. Fikir kami selepas itu boleh teruskan sahaja berjalan ke utara. Kalau selepas itu jumpa hotel yang cukup selesa dan sesuai dengan bajet di situlah kami tidur. Kalau tak jumpa juga cubalah cari mana-mana masjid ataupun surau buat tumpang menginap.

Sebetulnya begitulah kebiasaan kami ketika mengembara jauh. Ada masa kami tidur hotel elok, ada masa hotel murah, ada masa tumpang tidur di masjid dan surau. Selalunya kami tidak risau hendak berjalan ke mana-mana kalau setakat dalam Malaysia ini kerana ada sahaja masjid atau surau boleh dijadikan tempat menginap. Tetapi sejak PKP berkuatkuasa 18 Mac dah jadi susah kerana rata-rata masjid dan surau berkunci rapat selepas selesai solat Isyak berjemaah.

Ketika kami sampai ke restoran Kuey Teow Doli ramai orang sedang beratur menunggu giliran untuk mendapatkan meja. Alhamdulillah tidak lama selepas mendapat meja masuk waktu Maghrib lalu saya boleh berbuka dengan minuman yang sampai awal. Juadah yang dipesan pula sampai tidak berapa lama kemudian lalu bolehlah kami makan. 

Lebih menarik lagi, ketika celah-celah makan itu saya mencuba lagi mencari bilik hotel melalui Booking.Com lalu mendapati ada satu bilik kosong di sebuah hotel pada harga RM108. Padahal sebelum itu hotel sama katanya tidak ada lagi kosong. Kami pun menempah lalu terus dapat. Bolehlah makan dengan tenang tanpa perlu memikirkan lagi di mana hendak bermalam...


Cuma tidak dijangka timbul satu dugaan hampir lewat malam. Selesai makan dekat jam 8.30 kami dengan bergembira pun bergerak ke hotel menggunakan panduan arah daripada perisian Google Map. Sampai sahaja ke hotel terus menyerbu kerana sudah tidak sabar hendak berehat. Tengok-tengok ia hotel yang salah. Rupa-rupanya terdapat 3 biji hotel atas nama dan syarikat sama iaitu Kimal Hotel. Yang kami tempah adalah dekat Jalan Tupai sedangkan yang ditunjukkan Google adalah yang dekat Jalan Taman Sari di bahagian lain bandar...

Kami pun kembali ke kereta untuk mencari hotel yang betul. Tengok-tengok kereta pula tak boleh start. Cuba beberapa kali pun tak jadi, yang keluar cuma bunyi ketek ketek gitu. Nampaknya ada masalah sama ada dengan bateri atau starter. Ah. Bagaimana hendak menyelesaikan ini? Kalau dah sampai hotel betul sekurang-kurangnya bolehlah berehat. Boleh cuba selesaikan masalah kereta siang nanti. Ini tidak, hotel pun tak sampai lagi.

Dipendekkan cerita... dipendekkan ya sebab ketika menulis ayat ini pun sudah jam 10.10 malam. Insyaallah cerita yang lebih terperinci akan dikongsi pada kesempatan lain nanti. Dipendekkan cerita saya terjumpa dengan seorang anak tempatan selepas dia membeli barang di sebuah kedai berdekatan. Kebetulan hamba Allah ini memakai model kereta yang sama dengan saya iaitu Kia Carens first edition (tahun 2001 atau 2002). 

Saya sebetulnya sekadar mahu bertanya jika beliau ada cable jumper lalu dapat menggunakan bateri kereta dia untuk menghidupkan kereta saya. Dipendekkan cerita rumahnya dekat lalu beliau memanggil anaknya untuk membawa kabel ke lokasi kereta saya. Walaupun kereta tetap tidak dapat dihidupkan beliau berusaha dengan memanggil seorang mekanik Melayu kenalannya. Setelah beberapa lama masalah dapat diselesaikan dengan menukar kepada bateri milik mekanik itu. Menariknya, rupa-rupanya mekanik juga ada memakai kereta Kia Caren model sama.



Di sini cukuplah ditambah bahawa didapati hamba Allah yang menolong itu adalah waris saya juga, saudara mara jauh daripada keturunan Maharajalela Pancung Tak Bertanya Daeng Selili. Gambar atas tadi adalah masjid lama yang dilalui selepas masalah kereta selesai lalu saya keluar minum bersama mereka sebelum ke hotel. Oh, isteri dan anak-anak telah terlebih dahulu ke hotel dengan menaiki kereta Grab sementara saya menunggu kereta. Insyaallah hal dugaan ini akan dipanjangkan dalam cerita sambungan yang akan menghuraikan satu hal penting tentang Taiping.


Nota : Penulisan artikel ini tamat pada jam 10.19 malam. Semakan dan pembetulan pula selesai jam 10.46. Sekadar hendak memberitahu. Gerak penulisan kali ini memerlukan saya berkongsi dengan jujur hal saya membuat puasa sunat juga usaha mengkhatamkan Quran. Tentang puasa sunat alhamdulillah saya sudah dapat istiqamah menjaga setiap Isnin dan Khamis (kecuali ketika mengembara jauh bersama keluarga), puasa putih 13, 14, 15 haribulan dan lain-lain puasa sunat yang digalakkan sejak 3-4 tahun lalu.

Tentang mengkhatamkan bacaan Al-Quran pula alhamdulillah bulan puasa atau Ramadhan lalu saya dapat melakukannya dalam tempoh 15 hari. Masuk bulan Zulkaedah dimulakan satu sesi lagi tapi lebih perlahan. Ia cuma selesai sebelum masuk tarikh 10 Zulhijjah iaitu Hari Aidil Adha atau Raya Haji iaitu dalam tempoh kurang sedikit daripada 40 hari. Masuk 1 Muharram pula saya memulakan sesi tanpa menetapkan bila akan selesai. Apabila dapat mencapai kadar yang agak bagus baru mensasarkan agar dapat dikhatamkan sebelum masuk waktu Maghrib selepas ini. Ini bersamaan tempoh 20 hari.

Kiranya ini adalah usaha ke-3 saya mengkhatamkan bacaan Al-Quran bagi tahun 2020 kalendar Barat dan pertama bagi tahun Islam 1442 Hijriah. Saya kongsikan untuk menyatakan perkara-perkara yang terlibat dalam penulisan iaitu pertama, saya menulis berdasarkan perjalanan atau pengembaraan sebenar, bukan cerita atas cerita, angan-angan mahupun karangan kreatif. Ada cabaran dan dugaan yang kadangkala sampai tahap boleh mengancam nyawa, satu perkara yang tidak wujud kalau menulis berdasarkan pembacaan sahaja. Bila menulis tentang pengalaman suatu perjalanan pula boleh muncul dugaan-dugaan lain dalam proses penulisan itu sendiri. Misalnya artikel ini  sebenarnya kalau boleh mahu dipersembahkan pada tarikh 19 Muharram iaitu sebelum masuk Maghrib tadi. Tetapi disebabkan kurang sihat, ada sakit gigi, ada rasa demam seram-seram sejuk sambil sedang menunaikan puasa terasa lemah pula hendak menulis sedangkan ada komitmen-komitmen lain juga perlu diselesaikan seperti hal keluarga. Ini termasuk masa yang harus diperuntukkan bagi membaca Al-Quran pada kadar yang dapat menepati sasaran. Sekian, selamat malam dan wassalam.


Tiada ulasan: