Adapun pada permulaan artikel terakhir saya di
blogspot ini iaitu artikel
Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora yang ditulis 2 minggu lalu saya ada menyebut bahawa setengah hari daripada itu (merujuk pada masa artikel ditulis) saya akan membuat satu lagi pengembaraan jauh masuk ke negara orang. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan. Pengembaraan yang dimaksudkan sudah selamat dilaksanakan 25 Januari hingga 1 Februari 2017. Ia telah membawa saya untuk meliputi beberapa tempat bersejarah dan menarik di bahagian tengah pulau Sumatera, pulau yang saiznya 2-3 kali ganda besar Semenanjung Malaysia. Perjalanan meliputi Padang di pantai barat pulau tersebut membawa ke Pelalawan dan Siak menghampiri pantai timur pulau. Kalau tidak kerana telah berjanji kepada isteri akan membawa anak bongsu menghadiri
appointment hospital di Selayang tentu saya akan pergi lebih jauh lalu balik lewat.
Pengembaraan tersebut yang merupakan kedua buat saya untuk tahun 2017 berlangsung dalam keadaan penceritaan "Misi jejak Aceh-Langksuka" baru hendak masuk separuh perjalanan. Sebagai peringatan, misi merujuk, pada cerita sekitar pengembaraan pertama saya tahun ini yang dilakukan 12-21 Januari, perjalanan yang meliputi beberapa tempat di selatan Thailand dan utara Semenanjung. Artikel
Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora yang dipersembahkan pada jam 2.28 pagi 25 Januari baru menghuraikan hari ke-4 perjalanan. Sedangkan berdasarkan tarikh ada lagi 6 episod cerita untuk dikongsikan sebelum siri dan misi betul-betul selesai dan lengkap.
Sekitar jam 3 petang hari tersebut saya menaiki pesawat dari KLIA ke Padang. Hari-hari berikut pun menyaksikan saya disibukkan dengan pengembaraan baru, bila dah kembali pula saya dilanda rasa kepenatan yang amat sangat buat beberapa hari. Oleh itu saya telah membuat keputusan akan mempersembahkan cerita-cerita mengenai perjalanan di Sumatera secara berselang-seli dengan perjalanan yang melibatkan selatan Thai. Sekarang biarlah disambung dahulu cerita daripada artikel
Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora.
Awal pagi Isnin 16 Januari 2017, hari ke-5 perjalanan, Saya melihat ke luar daripada tingkap Masjid Sultan Sulaiman tempat menginap di bahagian lama kota Singgora, kini bahagian luaran bandar raya Songkhla.
Masjid ini menjadi tumpuan pengikut tabligh tempatan juga daripada luar berkumpul dan beramal seperti digalakkan dalam gerakan. Selepas mandi dan bersiap untuk keluar saya mendengar dahulu tazkirah walaupun tak faham sepatah haram kerana dibuat dalam bahasa Thai.
Jam 11 pagi saya meninggalkan masjid dengan berjalan kaki ke arah jeti feri.
Sebelum sampai ke jeti saya melihat pemandangan perairan berdekatan yang menyambungkan Laut China Selatan/Teluk Siam (Thailand) dengan Tasik Songkhla kemudian bersarapan di hadapan jeti. Lihat artikel
The waters facing old Singgora.
Masjid di pekan kaki bukit Singgora dilihat dari atas feri. Ternyata ia sebuah masjid baru, bukan masjid lama seperti disangkakan sebelum itu.
Sampai sahaja ke daratan saya terus mendapatkan perkhidmatan 'teksi motosikal' untuk ke pusat bandar raya Songkhla.
Saya meminta untuk dibawa ke masjid utama bandar raya. Dalam perjalanan terlihat papan tanda menunjuk arah ke "Songkhla City Wall" lalu saya turun ke sana. Terjumpa sekali sebuah rumah yang bersejarah juga muzium utama. Lihat artikel-artikel berikut :-
Biar dimaklumkan tujuan asal saya datang ke Songkhla adalah untuk melihat tinggalan tembok kota yang kelihatan tadi. Tak terfikir sebenarnya hendak ke makam Sultan Sulaiman Singgora dan kawasan bersejarah berdekatannya seperti dinyatakan dalam artikel
Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora. Ini kerana bila saya Google tentang tempat peninggalan sejarah di Songkhla itulah yang saya jumpa dahulu. Bila dah terjadi saya terjumpa makam kemudian kota berdekatan terlebih dahulu baru saya faham kenapa. Kerana rupa-rupanya makam Sultan Sulaiman terletak dalam tapak kota lama yang katanya wujud sejak seawal tahun 610 Masihi. Kota yang dinaiki atas bukit Singgora pula daripada zaman sekitar pemerintahan Sultan Sulaiman awal abad ke-17 Masihi.
Sebaliknya tembok kota yang kelihatan, yang kedudukannya adalah dalam bandar raya Songkhla sekarang, bukan di tapak kota Singgora Melayu Islam yang asal, cuma didirikan pada pertengahan abad ke-19. Ini berlaku selepas beberapa lama Singgora telah diserapkan ke dalam pemerintahan kerajaan Siam/Thailand yang beragama Buddha. Maka pada saya ia bukanlah tinggalan lama Singgora yang patut dibanggakan tetapi lambang ia sudah dijajah dan dikuasai Thai.

Perjalanan diteruskan dengan berjalan kaki hendak mencari sendiri masjid utama bandar raya. Terjumpa beberapa tempat menarik termasuk bahagian lama bandar yang secara rasminya dinyatakan sebagai "Old Singgora" atau "Singgora Lama". Walhal Singgora lama yang sebenar adalah di sekitar makam Sultan Sulaiman, bukit dan kaki bukit yang saya jelajahi hari sebelumnya seperti dinyatakan dalam artikel
Misi jejak Aceh-Langkasuka : Masjid Kerisek, makam Sheikh Abdul Samad dan kota atas bukit Singgora. Biar ditekankan "Old Singgora" di dalam bandar raya Songkhla ini merujuk pada bandar lama yang didirikan orang Thai untuk menggantikan pusat pemerintahan Singgora yang asli dan lebih awal. Lihat artikel-artikel berikut :-
Berehat sebentar duduk di tepian dinding jalan.
Ini katanya pintu gerbang ke bahagian lama kota Songkhla.
Selepas beberapa lama berjalan kaki sampailah ke masjid utama bandar raya ini. Menariknya, reka bentuk masjid mengingatkan saya pada Masjid Lebuh Aceh di Pulau Pinang. Lihat
Masjid (Mosque of) Asasul Islam, Songkhla.
Selepas solat dan rehat di masjid, siap sempat mandi sekali baru terasa puas berjalan di Songkhla. Saya pun makan tengah hari lewat di sebuah kedai makan orang Islam tidak jauh dari masjid. Selepas itu baru mendapatkan kenderaan untuk ke destinasi seterusnya iaitu Hatyai. Lihat
From Songkhla to Hatyai.
Sampai di Hatyai yang terletak dalam wilayah Songkhla saya mengambil sedikit masa 'menggagau' ke sana ke mari sebelum dapat mengenal kembali dengan pasti arah perjalanan di pusat bandar raya. Ini disebabkan saya diturunkan di satu kawasan pinggir pusat yang tidak saya cam. Walhal berdasarkan pengalaman pernah dua kali ke Hatyai tahun 2010 saya boleh sedikit sebanyak mengenal arah di pusat kota berpandukan beberapa bangunan tinggi dan sebagainya. Lihat artikel
Reorienteering oneself on the streets of Hatyai.

Saya cuma dapat mengenal pasti kembali arah dengat tepat setelah menemui stesyen utama kereta api. Ini kerana kali pertama saya sampai ke Hatyai iaitu pada bulan Mei tahun 2010 saya telah mengambil kereta api dari Ipoh ke sana. Lihat artikel lama
Projek buku keretapi : Ipoh ke Hatyai. Setelah dapat mengenal pasti arah baru saya mencari hotel untuk menginap. Untuk makluman itulah kali pertama saya mahu bermalam di kota meriah selatan Thailand ini. Sebelum itu saya cuma datang balik hari.

Ternyata Hatyai memang meriah waktu malam. Macam-macam boleh dilakukan dan orang pun tak boleh halang kalau nak buat. Maklumlah, berjalan seorang diri. dah 5 hari di perantauan, berada pula di negara orang, di sebuah kota yang ramai sudah sedia maklum ada apa yang ditawarkan. Nasib baik saya ingat diri sebagai seorang yang mahu menjadi penganut Islam yang baik juga suami yang baik kepada isteri yang cemerlang. Kalau tidak, boleh hanyut juga saya dengan segala macam dugaan waktu malam sana. Lihat artikel
First time savouring Hatyai at night time.
No comments:
Post a Comment