Sekitar jam 2.11 petang kami meninggalkan kawasan Sekolah Amanasak untuk membuat lawatan lapangan ke tempat-tempat bersejarah terutama makam-makam lama yang dikatakan ditanda dengan batu nisan Aceh.
Beberapa orang pengkaji muda dan peminat sejarah warga tempatan yang menghadiri forum pagi hingga tengah hari ikut sama dalam lawatan. Kelihatan dalam gambar van yang membawa rombongan Malaysia dari Kelantan masuk ke Patani. Ketika ini saya dan seorang rakan senegara menumpang kereta rakyat tempatan.
Kami mahu menuju ke satu kawasan yang dipanggil Yarang, sekitar 20 km ke luar bandar Patani.
Rakyat tempatan berbangsa Melayu dan Islam yang membawa kami berjalan dalam keretanya itupun memberitahu terdapat lebih 4,000 sekatan jalan diletakkan secara tetap di 3 wilayah dalam selatan Thailand yang selalu bergolak dengan aktiviti-aktiviti melibatkan golongan pemberontak. Ke beliau sebut 1,000 lebih? Saya dah tak berapa ingat. Yang pasti memang banyak dan lebih daripada 1,000.
Tiga wilayah itu adalah Patani, Narathiwat dan Yala, semuanya sebahagian daripada Patani asal yang telah dipecah-belahkan oleh kerajaan Thai. Di sini tak perlulah dipanjangkan kenapa ada yang memberontak. Cukup dikatakan bahawa sejak Patani kalah perang lalu ditakluk orang Thai penghujung abad ke-18 mereka selalu ditekan agar akur pada pemerintahan yang berasaskan agama Buddha berpusat di Bangkok. Bahasa dan tulisan Thai diutamakan sehingga ada anak Melayu sudah lupa bagaimana untuk bertutur dalam bahasa ibunda asal.
Setelah beberapa lama sampailah ke lokasi pertama lawatan lapangan kami.
Papan maklumat daripada kerajaan Thailand menyatakan ia sebagai kota purba Yarang. Lihat sahaja penerangan yang membesarkan ia sebagai pusat agama Buddha,
Pengkaji tempatan pula menyatakan inilah tinggalan Kota Mahligai yang ada disebut dalam teks-teks lama Melayu sebagai pusat kerajaan Langkasuka suatu masa dahulu. Untuk pengetahuan Langkasuka kemudian ditukar nama menjadi Patani, selepas seorang rajanya memeluk agama Islam. Lihat artikel-artikel berikut di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-
Seterusnya kami dibawa ke sebuah kampung yang nama Melayunya adalah Pintu Gajah. Untuk makluman rata-rata nama tempat malah nama orang di Patani juga Yala dan Narathiwat ada dua. Satu dalam bahasa Thai satu dalam bahasa Melayu.
Menurut ceritanya kampung ini adalah tempat menyimpan dan membela gajah-gajah raja. Kami dibawa masuk ke dalam sebuah kebun getah lalu ditunjukkan dua buah makam dengan batu-batu nisan yang disebut pengkaji sini sebagai daripada jenis batu nesan Aceh.
Ahli rombongan kami merangkap tetamu khas jemputan, Prof Othman yang merupakan pakar rujukan bidang (lihat balik artikel
Misi jejak Aceh-Langkasuka : Forum Batu Aceh di Patani, asbab utama perjalanan dibuat) pula menyatakan ia sebagai variasi daripada salah satu jenis yang telah disenaraikan beliau 30 tahun lalu. Apabila diminta oleh pengkaji tempatan untuk membuat anggaran umur makam berdasarkan jenis atau reka bentuk, beliau menanggarkan sekitar 500 tahun.
Di kampung ini juga kami terlihat sebuah rumah yang agak unik. Lihat
Rumah menarik di Pintu Gajah (Interesting house at Pintu Gajah), Seorang pendudk kampung kemudian memberitahu sekitar 3-4 pintu sahaja dari situ terdapat rumah tempat menetap asal bapa kepada allahyarham Dato' Haron Din ulamak terkenal Malaysia sebelum berpindah negara.
Seterusnya kami masuk ke satu lagi kebun getah tetapi di kampung lain.
Selesai penelitian di situ kami dibawa menghampiri bandar Patani untuk melihat dan menziarahi makam Sultan Ismail Syah, raja Patani yang dikatakan pertama memeluk agama Islam.
Laluan membawa kami lalu di tepian Masjid Kerisek yang sangat terkenal di Patani juga perigi yang dikatakan digali sendiri oleh pahlawan terkenal Melayu Melaka, Hang Tuah di seberang jalan.
Tetapi kami tidak singgah lagi kerana mahu mengutamakan ziarah ke makam sultan.
Batu-batu nisan di makam Sultan Ismail pula saya lihat berlainan daripada jenis-jenis batu Aceh yang saya kenali. Lebih selamat untuk mengatakan ia adalah sejenis variasi. Lihat
Makam (Tomb of) Sultan Ismail Syah Patani.
Apapun, baginda katanya memeluk Islam pada tahun 1457 Masihi lalu memindahkan pusat kerajaan ke satu tempat yang lebih dekat dengan pantai. Proses pemindahan inilah yang katanya menyebabkan nama kerajaan Langkasuka ditukar menjadi Patani. Selepas ziarah ke makam kami bertolak sekitar 250 meter ke timur sebelum meletakkan kenderaan di hadapan masjid ini. Lihat
Masjid (Mosque of ) Barahom, Patani.
Dari masjid kami berjalan kaki melepasi beberapa rumah kampung untuk sampai ke tepian sebuah sungai...
Kami dibawa menaiki bot menghilir sungai ke suatu perairan yang luas.
Perairan itu merupakan satu teluk yang dibatasi sekeping tanah sesempit 80 meter di setengah tempat. Ia paling lebar sekitar 1.6 km sambil memanjang 14.5 km ke Laut Cina Selatan.
Kata warga tempatan yang membawa kami berjalan, kami sekadar mahu dibawa melihat perairan. Tiba-tiba kami diajak untuk melawat makam lama di sebuah kampung di seberang.
Nama penempatan adalah Kampung Dato' sempena panggilan untuk pemilik makam yang dikenali sebagai Dato' Panjang. Naik ke daratan kami perlu melepasi satu kawasan berselut sebelum dapat sampai ke kawasan yang lebih aman.
Untuk sampai ke makam kami perlu berjalan kaki sekitar 500 meter termasuk lalu di celah rumah-rimah orang.
Dalam perjalanan terlihat masjid lama yang diwartakan sebagai berumur 200 tahun. Tetapi penduduk tempatan menyebut ia berumur 500 tahun! Lihat
Masjid (Mosque of) Datoh, Patani.
Selepas melepasi satu tanah perkuburan awam Islam yang luas sampailah kami ke makam yang dimaksudkan. Lihat
Makam (Tomb of) Dato' Panjang, Patani. Timbullah satu cerita yang menarik di dalam makam...
Adapun sebelum menaiki bot ada penduduk tempatan dari kampung berdekatan makam Sultan Ismail memberitahu saya tentang kewujudan makam Dato' atau Tok Panjang ini. Kata beliau nama diberikan kerana jenazahnya asyik memanjang sehingga harus dilipat dua sebelum dapat dikuburkan. Itupun jenazah yang dilipat dua masih panjang. Tambahnya Tok Panjang ini adalah orang yang derhaka kepada raja. Ini disebabkan beliau melanggar titah raja ketika itu yang melarang mana-mana orang menjual tembaga kepada orang luar.
Titah ini muncul kerana pada zaman tersebut tembaga adalah logam terbaik untuk membuat meriam. Patani pula sedang sibuk diserang musuh, kalau tak salah oleh puak Siam atau Thai. Tok Panjang dikatakan menderhaka kerana didapati menjual tembaga kepada orang luar, Akibatnya beliau dijatuhkan hukuman bunuh oleh raja lalu mayatnya ditanam di sebuah pulau.
Peliknya mayat Tok Panjang jadi memanjang apabila mahu dikebumikan Lebih pelik lagi pulau tempat ditanam jenazah kemudian timbul sedikit demi sedikit daratan di laut berdekatan sehingga dapatmenyambungkannya dengan tanah besar. Biar diletakkan peta kawasan daripada Google Map disertakan sedikit maklumat yang boleh disemak melalui program Google Earth...
Nampak kan kedudukan makam Tok Panjang. Kalau ia terletak atas satu kawasan yang asalnya merupakan sebuah pulau tetapi muncul tanah hingga bersambung dengan tanah besar apakah maknanya ini? Sedangkan beliau dikatakan derhaka lalu dihukum bunuh dan ditanam atas pulau sebagai tanda buangan. Saya tidak tahu pada zaman mana atau pada ketika pemerintahan sultan Patani manakah Tok Panjang dibunuh lalu 'dipulaukan'. Tetapi apa yang berlaku kemudian seperti menyanggah daulat sultan. Apakah kerana beliau memiliki karamah yang melangkaui daulah?
Serta merta terbit dalam hati bahawa Tok Panjang telah difitnah menjual tembaga melanggar titah raja sehingga dikatakan derhaka lalu dihukum bunuh. Sekian lama itulah cerita yang nampaknya berkumandang tiba-tiba saya yang baru pertama kali datang ke Patani boleh terasa sebaliknya pula, Hal ini turut diutarakan kepada seorang rakan yang sama masuk menziarahi di dalam bangunan makam. Ketika hendak keluar beliau tergerak untuk ke bahagian kepala makam lalu terlihat sebilah keris kecil terletak cantik di atas dinding kepuk sebelah!
Ini adalah gambar yang saya cuba ambil dalam perjalanan kembali ke tanah besar dengan menaiki bot. Kami telah membuat keputusan untuk bersolat Maghrib dan jamak solat Isyak di Masjid Datoh dahulu sebelum mengorak langkah kembali ke tanah besar, Peliknya langit begitu gelap, nampak banyak bintang sedangkan sepatutnya bulan sedang mengambang kerana malam itu baru masuk 16 Rabiulawal, masih di tengah bulan Islam yang kiraan kalendarnya memang dibuat menurut pergerakan bulan. Bulan purnama langsung tak nampak sepanjang perjalanan sedangkan malam sebelumnya ia begitu jelas dan terang. Mana boleh hilang begitu sahaja kecuali sudah hujung bulan?
Kami sampai kembali ke tanah besar hampir jam 8 malam, Biar dimaklumkan keadaan malap kegelapan harus sama seperti pada jam 9 malam di Malaysia. Tentang keris kecil yang terletak cantik di atas kepuk tadi ia sebenarnya jatuh terlucut ketika saya tunduk hendak mencium batu nisan sebagai tanda hormat dan sayang. Tetapi saya tidak terdengar apa-apa bunyi benda jatuh. Dan kalau ikut kedudukan saya tunduk mencium itu ia harus jatuh melintang bukan membujur cantik atas kepuk.
Pada kawan yang terlihat peristiwa ini ia adalah petanda bahawa gerak hati saya mengatakan Dato' Panjang difitnah adalah benar dan tepat. Ketika mengharungi perairan pergi dan balik timbul pula harapan agar satu meriam besar Patani yang katanya telah jatuh ke dalam perairan selepas Patani kalah perang dengan Siam dapat timbul kembali.
Meriam Sri Patani di Bangkok. Dengan kepanjangan 22 kaki 7 inci dikatakan meriam terbesar pernah dibuat di Alam Melayu dahulukala...
Menurut ceritanya, sejak zaman pemerintahan Ratu Biru (1616–1624) Patani memiliki 3 meriam besar lalu berjaya mempertahankan ia daripada banyak serangan Siam dalam tempoh hampir 200 tahun. Ia akhirnya kalah tahun 1785 kalah akibat pengkhianatan daripada dalam. Sebuah meriam yang kecil sedikit rosak dan patah dua akibat terlalu panas asyik menembak. Baki dua lagi meriam yang sama besar dirampas lalu cuba dibawa balik Siam ke Bangkok. Tetapi satu terjatuh dalam laut lalu tenggelam.
Satu yang dapat dibawa mereka, namanya adalah Sri Patani Yang tenggelam itu namanya Sri Nagara. Apakah ia akan timbul kembali tak lama lagi menandakan zaman kegemilangan lama Patani akan kembali nanti? Tak mustahil kerana petunjuk-petunjuk tentang akhir zaman menyatakan kerajaan-kerajaan Islam sejati akan kembali bangkit untuk membela maruah ummah. Tetapi sebelum itu kita perlu melepasi kepedihan dan kesengsaraan zaman umat Islam disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa.
Nah. Baru terasa cukup lengkap penulisan saya kali ini. Baru saya boleh berehat setelah bertungkus-lumus menyiapkan cerita demi cerita sekitar aktviti hari ke-3 perjalanan pembuka tahun 2017 ini. Selamat malam dan wassalam...
6 ulasan:
Tkasih banyak2 Tn Radzi...perkongsian maklumat anda sangat membantu...semoga Allah terus menguatkan semangat anda...
Sama2...
Terima kasih atas perkongsian.Syabas!
Saya sangat berminat dgn sejarah melayu dan baru2 ini banyak tempat2 sejarah yg dapat saya ziarah bersama2 ustaz saya. Dan banyak penulisan saudara Radzi yg saya baca dan maklumat2 yg mendalam. Terimakasih saya ucapkan & semoga terus dipermudah perjuangan ini.
Sama2. Saya menulis sekadar ikut gerak. Bonus bagi saya bila orang mendapati penulisan saya bermanfaat.
Tulisan yang amat bermanfaat Tuan. Semoga Kisah Pattani menjadi pengajaran kepada umat Melayu Islam nusantara khasnya. Sama- sama kita berdoa agar saudara -saudara kita di Pattani dilindungi Allah.. Pattani bumi Syuhada'.
Catat Ulasan