Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 28, 2016

Wacana politik dan pemerintahan kesultanan Melayu di DBP

Salam Jumaat. Satu cerita daripada aktiviti semalam...


Kira-kira 3 minggu lalu saya terlihat gambar atas di Facebook lalu diberitahu tentang satu acara terbaru di DBP, Dewan Bahasa Pustaka. Disertakan sekali butiran seperti berikut. Sangat menarik nampaknya...


Tema: Menelusuri Pemerintahan Beraja daripada Kesultanan Melayu kepada Kuasa Berperlembagaan

27 Oktober 2016 (Khamis)
8:30 pagi – 4:30 petang
Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Aras 2, Menara DBP


Ucaptama:
Prof. Dr. Jelani Harun
Wibawa Pemerintah dan Pemerintahan dalam Institusi Diraja: Lambang Kekuatan Melayu

Pembentang:

Datuk Zainal Abidin Borhan
- Lambang Kedaulatan Kesultanan Melayu: Padi Berbuahkan Emas, Berdaunkan Perak, Berbatangkan Suasa

Dr. Mardiana Nordin
- Pelestarian Kerajaan Melayu Melalui Kekebalan Institusi Pertahanan dalam Kesultanan Melayu

Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria
- Peranan Warkah dalam Hubungan Diplomatik 

Prof. Emeritus Dr. Hashim Hj. Musa
- Falsafah Hati Budi Pembesar dan Pemerintah dalam Mempertahankan Kesultanan Melayu

Prof. Dr Adel M. Abdulaziz Algeriani
- Peranan Golongan Cendekiawan Dalam Memartabatkan Institusi Kesultanan Melayu

Dr. Arbaiyah Mohd. Noor
- Wanita dan Pemerintahan dalam Kesultanan Melayu

Kertas Kerja Iringan:

Dr. Ermy Azziaty Rozali
- Kesultanan Melayu dan Hubungan Diplomatik

Dr. Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi
- Peradaban Islam dalam Pembinaan Ketamadunan Kesultanan Melayu: Peranan Alim Ulama’

Prof. (ADJ) datuk Dr. Haji Mohd. Jamil Mukmin
- Sejarah Kesultanan Melayu Melaka ke Kerajaan Berperlembagaan

Prof. Datuk Dr. Zainal Kling
- Nilai dan Etika Kerajaan Melayu dalam Naskhah Melayu Lama

Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd. Zarif
- Raja Sebagai Wakil Tuhan dalam Sastera Kitab

Encik Mohd. Jamil Haron
- Institusi Raja Berperlembagaan di Malaysia 

Puan Kamariah Abu Samah
- Koleksi Naskhah Melayu

Dr. Mohd. Hanafi Ibrahim 
- Sulalatus Salatin

Prof. Dr. Tatiana Doroseva
- Kearifan Tempatan dalam Naskhah Melayu Lama 



Sampai waktunya iaitu pagi Khamis semalam, 28 Oktober saya pun ke tempat acara.





Saya masuk ke dewan lewat iaitu pada jam 11 pagi. Nak dijadikan cerita pagi itu timbul kepenatan yang amat sangat lalu saya kembali tidur selepas Subuh. Jam 9 lebih baru bangun dan bersiap walhal rancangan asal saya adalah pada waktu itu saya seharusnya sudah berada di DBP. Kena pulak sakit perut ceret beret, dah dekat nak sampai terperangkap pula dalam kesesakan jalanraya. Rupa-rupanya aturan Allah SWT itu sentiasa lebih baik buat kita. Betul-betul di belakang saya dalam kesesakan itu adalah seorang sahabat dari Aceh yang mahu mengikuti majlis. Disebabkan sempat jumpa itulah beliau jadi berani menyalin pakaian ke satu persalinan tradisional cara orang Aceh...


Beliau yang datang ke Malaysia untuk menyertai acara ke-18 HIKMAH anjuran pihak saya di Muzium Negara Sabtu lepas mendapat tahu tentang majlis setelah saya naikkan balik (bagi up...) poster ringkas tentang majlis di FB sekitar 3 hari lepas. Kalau tidak kerana itu, beliau merancang untuk kembali ke Aceh samada Rabu ataupun semalam. Bila dah datang majlis baru saya tahu ia dirasmikan oleh Tunku Zain al-Abidin, anakanda lelaki kedua kepada Yamtuan Negeri Sembilan sekarang, Tuanku Mukhriz. Beliau diperkenalkan sebagai presiden dan pengasas Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).


Ketika saya sampai, pembentang ketiga sesi pagi, Dr. Arbaiyah Mohd. Noor yang saya kenali sebagai pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Universiti Malaysa sedang membawa tajuk "Wanita dan Pemerintahan dalam Kesultanan Melayu". Menariknya masuk sahaja ke dewan kedengaran beliau sedang menyebut cerita tentang Sultan Malikul Mansur yang mewarisi kerajaan Samudera daripada nendanya Sultan Malikus Saleh, tetapi dibuang daerah oleh kekandannya Sultan Malikul Tahir yang memerintah Pasai akibat mengambil perempuan daripada istana Pasai. Cerita ini ada kaitan peribadi yang mendalam melibatkan diri batin saya dan susur galuran keturunan. Terasa seperti ada yang tersirat sedang disampaikan dari pihak 'atasan'...


OK. Di sini biar diberitahu sesuatu. Saya telah menulis artikel Memberikan penumpuan pada acara ke-18 HIKMAH di Muzium Negara pada pagi buta Sabtu lepas untuk memberitahu sedikit tentang acara yang dianjurkan pihak saya pagi hingga petang itu. Sekarang sudah hampir seminggu acara selamat diadakan. Tapi saya bercadang cuma akan bercerita tentang perjalanan acara di sini apabila apa yang patut dikongsikan tentang sepanjang hari itu sudah disampaikan terlebih dahulu dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Satu perkara yang berlaku sebelum pembukaan acara adalah kamera saya terjatuh dari atas tembok ketika saya sibuk membetulkan pakaian sebelum menyambut kedatangan VIP. Akibatnya, kamera tidak dapat memfokus dengan baik. Gambar-gambar yang diambil sejak iu rata-rata kabur termasuk gambar sekitar wacana di DBP. Sesekali sahaja dapat gambar yang elok...

Di atas kelihatan slaid pembentangan Arbaiyah menceritakan peranan srikandi terkenal Tun Fatimah dalam politik kesultanan Melaka. Beliau memberikan banyak contoh bagaimana wanita-wanita Melayu berperanan dalam politik kerajaan juga dalam perjuangan dan peperangan...


Kalau tidak disebabkan kamera kabur, kebiasaan saya adalah cuba mengambil sebaik dan sebanyak mungkin gambar slaid yang dipersembahkan pada majlis ilmu. Diakui rentak saya sebagai seorang yang masih memiliki sedikit sebanyak instict atau gerak rasa wartawan terganggu akibat hal kamera itu. Nak hantar kedai  untuk diperbaiki rasanya kos tak berbaloi, nak beli baru tak cukup duit. Jadi kena bersabarlah buat masa ini dengan keadaan kamera. Rekod aje le apa yang dapat dan sempat walaupun kabur. Cukuplah untuk menunjukkan keadaan dan perjalanan majlis.


Biar ditambah bahawa sebelum Arbaiyah membentang, majlis telah terlebih dahulu menyaksikan mantan pengarah Akademi Pengajian Melayu di UM, Datuk Zainal Abidin Borhan membawa tajuk "Lambang Kedaulatan Kesultanan Melayu: Padi Berbuahkan Emas, Berdaunkan Perak, Berbatangkan Suasa". Turut membentang lebih awal adalah Profesor Emeritus Dr. Hashim Hj. Musa dengan tajuk "Falsafah Hati Budi Pembesar dan Pemerintah dalam Mempertahankan Kesultanan Melayu". Profesor Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) ini asalnya dijadualkan membentang waktu petang. Tetapi beliau dialihkan ke waktu pagi untuk menggantikan Profesor Datuk Dr Abdullah Zakaria dari Jabatan Sejarah, UM yang muncul lewat.


Abdullah yang baru seminggu lebih menerima gelaran Profesor Emeritus pula beralih ke petang mengambil tempat Hashim. Sesi petang yang dimulakan selepas jam 2.30 dibuka oleh Dr. Mardiana Nordin, juga dari Jabatn Sejarah UM dengan tajuk "Pelestarian Kerajaan Melayu Melalui Kekebalan Institusi Pertahanan dalam Kesultanan Melayu".


Mardinana pun menceritakan aturan atau saf perang juga perkara-perkara berkaitan seperti strategi-strategi yang diketahui telah digunakan oleh orang dan kerajaan-kerajaan Melayu dalam peperangan. Ia berdasarkan apa yang tercatat dalam manuskrip-manuskrip lama kita seperti kitab Sulalatus Salatin, Tuhfat an-Nafis dan Hikayat Pahang.


Jenis-jenis senjata Melayu turut disebut termasuk senjata-senjata api. Sesekali catatan Barat misalnya rekod Portugis ketika menyerang Kota Melaka dirujuk.


Abdullah muncul sebagai pembentang kedua sesi petang dengan tajuk "Peranan Warkah dalam Hubungan Diplomatik". Merujuk pada surat raja-raja Melayu kepada pihak British, beliau memberitahu bahawa secara rata setiap surat mengandungi 3 perkara utama. Alamak, saya sudah lupa perkara pertama, Perkara yang seterusnya adalah harapan dikuti hajat.


Seperti biasa pada mana-mana majlis, forum dan seminar Abdullah bercakap terus tanpa slaid. Tiada juga kelihatan rujukan dalam tangan. Tentang 3 perkara dalam surat ataupun warkah beliau memberikan contoh surat-surat Raja Melayu meminta pertolongan Syarikat Hindia British untuk menyelesaikan suatu masalah lalu memberikan keputusan. Misalnya Sultan Abdul Samad, Sultan ke-4 Selangor pernah kehilangan bakal pengganti apabila anakandanya Raja Muda Musa mangkat awal. Ketika itu ada waris-waris daripada jurai keturunan lain yang berkaitan mahu menuntut tempat. Dengan pertolongan British cucunda Sultan Abdul Samad diangkat. Itulah cucunda yang kemudian menaiki takhta sebagai Sultan ke-5 Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah.


Pembentang ketiga dan terakhir, Prof. Dr Adel M. Abdulaziz Algeriani, penyelaras sejarah dan warisan Islam di Universiti Islam Malaysia (UIM) kemudian naik ke podium untuk berkongsi ilmu. Sambil itu aturan slaid beliau dikawal oleh Mardiana, Adel memberikan arahan tukar slaid dari atas podium. Hadirin menjadi tertarik mendengar seorang berbangsa Arab membentang tentang sejarah Melayu. Ini dibuat dalam bahasa Melayu di sebuah institusi yang dikenali bertujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu iaitu DBP.


Ikut tajuk tentatif awal, beliau akan akan membentang tajuk "Peranan Golongan Cendekiawan Dalam Memartabatkan Institusi Kesultanan Melayu. Ini kemudian ditukar menjadi "Kesultanan Melayu Menurut Sumber Sejarah Geografi dan Pengembaraan Arab", 


Beliau pun berkongsi beberapa kisah dan penulisan tentang Alam Melayu yang pernah disebut orang Arab sejak seawal abad ke-9 membawa ke awal abad ke-20 Masihi...


Sebagai nota, tadi pada awal artikel ini ada disebut bahawa terdapat beberapa kertas kerja iringan disenaraikan sebagai antara persembahan untuk wacana ini.





Kertas-kertas kerja tersebut bagaimanapun tidak dibentangkan pada majlis.


Sebaliknya ia disampaikan sebagai sisipan dalam fail mengandungi kertas-kertas kerja dan aturan majlis yang dihadiahkan kepada mereka yang mendaftar sebagai peserta wacana...


Wacana tamat apabila sesi soal jawab selesai lalu diikuti sesi penutup sekitar jam 5 petang. Ini gambar saya (kanan) bergambar bersama sahabat dari Aceh, Ustaz Mujiburrizal (kiri) dan guru kami, (Prof) Dato' Dr Othman Yatim di tengah...


Tiada ulasan: