Sampai masanya untuk menyentuh satu berita menarik yang muncul beberapa hari lalu tetapi baru semalam iaitu siang Sabtu sempat membuat sedikit penyiasatan yang berkenaan...
Rabu 13 April 2016. Tiba-tiba keluar berita daripada akhbar The Star menunjukkan penemuan batu-batu nesan lama di sekitar Masjid Jamek Kuala Lumpur. Menariknya, salah satu nesan adalah daripada jenis batu Aceh. Penemuan pun diwar-warkan sebagai bukti telah terdapat tanah perkuburan Islam di sekitar itu 200 tahun lalu.
Berita ini saya dapat tahu setelah terlihat beberapa orang rakan Facebook memaparkannya di tembok (
wall) masing-masing. Salinan berita telah diletakkan dalam
blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Rujuk artikel
Exciting discovery of old Muslim Gravestones at Kuala Lumpur's Masjed Jamek.. Kebetulan hari tersebut saya ada sesi penggambaran untuk dokumentari Daulah Melayu di Bukit Tunku, tidak berapa jauh dari Masjid Jamek. Isteri pun menyarankan, bila tamat sesi pergilah ke masjid untuk melihat batu-batu nesan itu...
Tetapi penggambaran selesai lewat iaitu selepas jam 6 petang. Saya sudah kepenatan, nak masuk pusat bandar KL meredah kesesakan jalan raya pada masa orang ramai biasa pulang kerja untuk sampai ke Masjid Jamek dah terasa malas. Semalam 16 April baru ada kesempatan untuk melihat. Saya dan isteri telah keluar ke KL untuk melihat persembahan di Planetarium Negara. Selepas jam 4 petang baru bertandang ke masjid.
Masuk ke kawasan atau halaman Masjid Jamek. Masjid ini merupakan salah satu tempat persinggahan kegemaran saya apabila timbul gerak untuk berjalan kaki atau bermotosikal secara musafir di tengah bandar raya KL. Sebelum ke masjid kami sekeluarga juga sempat melihat segala macam pameran yang terdapat di Muzium Negara. Kali terakhir saya masuk ke dalam bangunan utama muzium untuk melihat pameran adalah lebih 5 tahun lalu kalau tak salah ingatan. Kali ini baru dapat meneliti batu nesan berciri reka bentuk Aceh yang dikatakan milik Sultan Mansur Syah Melaka. Lihat artikel-artikel berikut :-
Muzium Negara (National Museum) - Galeri-galeri luar (Outside Galleries)
OK. Kiblat terletak menghala ke kanan gambar ini. Pintu gerbang masuk ke halaman yang ditunjukkan pada awal artikel sebenarnya terletak di sisi kanan masjid. Kedudukannya adalah di belakang saya ketika gambar ini diambil. Pada sisi kiri gambar iaitu halaman belakang masjid kelihatan kerja-kerja sedang dijalankan, katanya untuk mencantikkan kawasan. Laporan dalam akhbar The Star menyatakan di kawasan inilah batu-batu nesan lama mula ditemui.
Untuk pengetahuan ke belakang sedikit dari halaman iaitu ke kiri gambar (tak nampak dalam gambar ini) adalah Sungai Kelang. Ke hadapan dalam gambar iaitu di hujung halaman sisi kiri masjid terdapat kuala Sungai Gombak. Pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang inilah yang menimbulkan nama Kuala Lumpur. Ini kerana kuala Sungai Gombak dikatakan sentiasa berlumpur.
Alhamdulillah, saya dapat menemui petugas yang katanya terlibat secara langsung dalam penemuan batu-batu nesan. Beliau pun menunjukkan batu yang disimpan dalam bangunan pejabat.
Nampaknya memang sama dengan apa yang ditunjukkan dalam akhbar The Star.
Terlupa pula untuk bertanya label-label pada batu nesan itu apakah maknanya dan siapa yang buat.
Yang sempat saya tanya ketika itu cuma dua perkara. Satu adalah ke manakah perginya batu nesan jenis Aceh yang saya lihat ada tertera dengan jelas dalam gambar pada laporan akhbar The Star.
Kata petugas ia telah diambil untuk simpanan Jabatan Warisan. Terlupa pula saya untuk bertanya bilakah ini berlaku.
Sejarah kawasan persekitaran Masjid Jamek yang terpapar berdekatan kumpulan batu nesan. Peta tahun 1895 ditandakan kawasan tanah perkuburan Melayu yang menjadi tempat masjid didirikan kemudian...
Soalan kedua sempat saya tanya adalah yang manakah batu nesan yang ada catatan nama, tarikh dan sebagainya. Ada berapa kesemuanya.
Kata petugas cuma satu sahaja yang dilihat memiliki catatan. Inilah dia...
Saya kemudian bertanya di bahagian manakah masjid batu-batu nesan tersebut ditemui. Petugas memberitahu ia bukan di kawasan halaman belakang masjid seperti ditunjukkan tadi dan dinyatakan The Star sebagai tempat ditemui. Sebaliknya ia di kawasan hadapan menghala ke arah kiblat.
Inilah kawasannya. Ia juga sedang dibangunkan untuk satu projek mencantikkan kawasan. Allah. Di hadapan itu iaitu di tengah gambar dahulu terdapat sebuah kolam mengambil wudhuk. Walaupun ada beberapa tempat untuk mengambil wudhuk di sekitar masjid kolam tersebut merupakan tempat kegemaran saya menyucikan diri setiap kali singgah ke sini...
Saya ditunjukkan lagi sejumlah batu nesan, kali ini di halaman luar berdekatan tempat mengambil wudhuk (bukan kolam) di sisi kanan masjid.
Kata petugas batu-batu nesan di luar ini ditemui dalam tempoh sebulan kebelakangan. Sedangkan yang tersimpan dalam bangunan pejabat adalah daripada penemuan lebih awal yang dibuat sekitar 2 bulan lalu. Penemuan berlaku akibat kerja-kerja mencantikkan kawasan yang memerlukan tanah terlibat dikorek sehingga mencapai kedalaman tertentu lalu diratakan. Batu-batu nesan ditemui oleh pekerja lalu pihak masjid dimaklumkan.
Saya seterusnya meminta petugas untuk mennjukkan lokasi tepat batu nesan Aceh ditemui dalam kawasan yang sedang dikerjakan. Beliau memberitahu ia terletak berdekatan pangkal pokok kelapa di hujung halaman hadapan masjid, satu-satunya pokok kelapa yang masih ada di situ.
Saya masuk ke kawasan tersebut walaupun hujan mula menjadi lebat. Tanpa memakai payung atau baju hujan saya mara terus meninggalkan petugas yang menunggu di serambi masjid. Untuk makluman saya sampai ke Masjid Jamek ketika hujan renyai. Isteri dan anak-anak menunggu dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan raya, saya seorang sahaja masuk ke masjid untuk melihat batu nesan dan bertanya apa yang patut tentangnya.
Pokok kelapa ini terletak di tepian Sungai Gombak. Sekitar 120 meter ke hadapan iaitu di tengah gambar terdapat kuala sungai yang bertemu dengan Sungai Kelang, "Kuala Lumpur" yang asal. Kedudukan kawasan di halaman hadapan masjid sesuai dengan kenyataan kebiasaan kedudukan kubur di masjid-masjid. Kewujudan tanah perkuburan di kawasan pertemuan dua sungai ini katanya memang tertulis dalam rekod sudah wujud seawal tahun 1870.
Penemuan batu nesan Aceh yang jenisnya boleh disenaraikan sebagai buatan tahun 1700-1800 Masihi (rujuk buku Batu Aceh :Early Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia tulisan Profesor Dato' Dr Othman Yatim) boleh dijadikan hujah bahawa kawasan ini sudah diduduki orang Islam sejak lebih 200 tahun lalu. Disertai dengan fakta bahawa cuma manusia daripada golongan atasan seperti raja-raja, para bangsawan, panglima-panglima dan ulamak terkemuka sahaja diketahui berhak memakai batu nesan Aceh untuk menandakan makam, ini menunjukkan penempatan yang wujud bukan setakat kampung golongan bawahan. Ia mungkin sudah pun menjadi sebuah kota ketika itu. Cuma definisi dan reka bentuk kota menurut orang Melayu yang sukakan kehijauan lalu biasa membina rumah dan kedai antara pokok-pokok sedia ada mungkin kelihatan seperti kampung sahaja pada kaca mata Barat yang suka meratakan sesuatu kawasan sebelum mendirikan bangunan.
Yang pasti sudah wujud penempatan yang cukup signifikan di sekitar ini sebelum muncul seorang kepala orang Cina iaitu Yap Ah Loy yang sering disebut sejarah rasmi pro-Barat/bukan Melayu sebagai orang yang bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur. Yap Ah Loy lahir di Cina pun katanya tahun 1837, tahun 1854 baru sampai ke Tanah Melayu sebelum dapat menjadi ketua orang-orang Cina di Kuala Lumpur bermula tahun 1869 . Ketika itu Raja Abdullah, seorang ahli kerabat diraja Riau yang ada kena mengena dengan istana Selangor telah lama menerima watikah daripada Sultan ketiga Selangor, Sultan Muhammad Syah untuk menguasai Kelang dan sekitarnya iaitu pada sekitar tahun 1849 atau 1850. Oleh itu pengkaji seperti Profesor Dato' Dr Abdullah Zakaria daripada Universiti Malaya percaya Raja Abdullah yang sebenarnya membuka Kuala Lumpur, bukannya Yap Ah Loy. Rujuk tulisan berkenaan di
sini.
Yang pasti ia telah dibuka oleh orang kita sebelum bangsa Cina mendapat kedudukan di Tanah Melayu terutama melalui campur tangan British yang sengaja mahu meminggirkan orang Melayu. Dan boleh jadi Kuala Lumpur telah dibuka lebih awal walaupun mungkin dikenali dengan nama lain sebelum itu. Melihat kedudukan asal batu Aceh ditemui berdekatan pangkal pokok kelapa di tepian Sungai Gombak teringat saya akan dua buah makam lain berbatu nesan Aceh berdekatan sungai yang sama tetapi sekitar 3.4 km ke hulu iaitu di Sentul. Lihat artikel lama
Selamatkan makam Harun Al-Rasyid, satu-satunya makam berbatu nesan Aceh yang masih wujud di Kuala Lumpur.
Ini adalah bahagian gambar dalam laporan The Star menunjukkan batu Aceh yang ditemui di Masjid Jamek. Untuk pengetahuan makam-makam di Sentul memiliki 4 batang batu nesan yang sama rupa dan jenis. Melihat balik koleksi lama artikel-artikel yang pernah disuakan dalam
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) saya dapati bahawa batu nesan serupa turut digunakan pada sepasang makam lama yang kurang diketahui orang di barat KL. Lihat
Makam (Tomb of) Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama. Menariknya kedudukan makam ini adalah kira-kira 10.5 km menghilir Sungai Kelang dari Masjid Jamek. Apakah ada kaitan antara kesemua makam-makam ini?
Hal ini menyebabkan saya terasa ingin berkongsi tentang beberapa makam lain yang pernah dilihat memiliki batu nesan serupa atau hampir sama. Semoga ada pihak dapat membaca kaitan dengan lebih baik lalu dapat berkongsi tentangnya kepada umum...
Melaka
Makam berbatu nesan Aceh di sebelah Masjid Tengkera (Tombs with Aceh gravestones besides the Tengkera mosque)
Batu nesan Aceh di (Aceh gravestones in) Taboh Naning
Makam (tombs of) Hang Kasturi dan (and) Hang Jebat
Batu nesan Aceh di (Aceh gravestones in) Bukit Beruang, Melaka
Johor
Makam (Tomb of) Sultan Alauddin Riayat Shah II Johor
Makam Sultan-sultan lain di Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat dijulang (Tombs of other Sultans at the Sultan Mahmud Mangkat Dijulang tomb complex)
Melihat lebih teliti makam Tun Habib (Having a detailed look at the tomb of Tun Habib)
Makam Tauhid pada siang hari (The Tauhid tombs during daytime)
Batu nesan Aceh di Gemereh (Aceh tombstones in Gemereh
Pahang
Kawasan pemakaman diraja di (the royal mausoleum at) Kuala Pahang...
Terengganu
Makam (Tomb of) Sayyid Yassin
Kedah
Makam (Tomb of) Sultan Muzaffar Shah I Kedah
Sebuah makam berumur 1,100 tahun di Kedah! (A 1,100 year old tomb in Kedah!)
Bertandang ke makam diraja Langgar, Kedah? (A visit to the royal mausoleum at Langgar, Kedah?)
Makam (Tomb of) Tok Pasai
Pulau Pinang
Makam (Tomb of) Tuanku Syed Hussein Aidid
Aceh
Rupa baru makam Saidil Mukamil (New look of the tomb of Saidil Mukamil
Makam Raja-raja Dinasti Bugis (the tomb of kings from the Bugis dynasty)
Makam (Tomb of) Sultan Alauddin Mahmud Shah
Makam (tomb of) Syiah Kuala
Riau
Makam (Tomb of) Daeng Chelak
Makam-makam berdekatan makam Sultan Ibrahim (Tombs nearby the tomb of Sultan Ibrahim)
Sulawesi Selatan
Makam (Tomb of) Sheikh Yusuf Makassar
Sekarang cukuplah saya bercerita tentang ini. Harapan saya semoga ada yang dapat merungkai penemuan di Masjid Jamek KL dengan lebih baik. Mungkin Jabatan Warisan, Muzium Negara atau mana-mana institusi yang berwibawa boleh mengadakan satu seminar di mana pembentangan dan kajian-kajian berkaitan ditonjolkan. Tujuannya adalah agar umum mendapat gambaran lebih jelas tentang penempatan-penempatan awal orang Melayu di Lembah Klang.
Bolehlah dimasukkan sekali cerita-cerita tentang Kampung Abdullah Hukum, Kampung Baru dan Kampung Sungai Chinchin misalnya. Yang penting dapat diserlahkan hak orang Melayu terhadap wilayah ini pada kala ada pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk membodohkan kita sebagai bangsa yang kurang bertamadun konon, perlu berharap pada mereka untuk maju. Walhal mereka dengan bantuan ajen-ajen Barat yang anti Islam telah lama menipu, merompak hasil mahsyul kita, memporak-porandakan sejarah sebenar untuk digantikan dengan sejarah putar belit yang bertujuan meminggirkan kita sekian lama. Cukup kata-kata. Selamat malam...
3 ulasan:
OK. Ini ada maklumat saya terima melalui private message di Facebook beberapa bulan lalu tetapi baru tadi tersedar kewujudannya. Biar dicopy n paste...
Assalammualaikum Tuan.
Maaf ganggu. Harap Tuan ingat saya lagi, orang kuat Persatuan Sejarah Selangor... (dulu la.. hehe..)
Saya ada baca tulisan Tuan tentang kisah batu nisan lama yang dijumpai di Masjid Jamek KL di laman blog Tuan.
Untuk makluman Tuan, panjang juga ceritanya. Ni bukan di bawah persatuan sejarah malaysia cawangan Selangor. Kebetulan saya sedang membuat kajian di satu tempat utama di Kuala Lumpur untuk Kerajaan Persekutuan, jadi penemuan ini berkait rapat dengan kajian saya.
Saya terlibat dengan jumpaan tu sejak awal tahun tapi kami terpaksa merahsiakan dulu kerana tidak mahu masjid menjadi tumpuan ramai hasil penemuan berkenaan. Sedia maklum, Masjid Jamek tu memang sentiasa dikunjungi jemaah, orang ramai dan pelancong. Pada masa yang sama kami mahu selidik dahulu butiran sejarahnya sebelum dimaklumkan kepada orang ramai.
Laporan penemuan batu nisan tu telah dibuat oleh rakan saya dan satu lagi oleh saya sendiri. Pihak masjid mungkin tidak tahu hal ini. Mereka banyak bergantung pada info yang ada pada saya dan rakan2.
Ada sedikit kesilapan info dalam blog tu..
Batu2 nisan ditemui secara berperingkat2, dan di beberapa tapak berlainan tapi dalam kawasan yang sama, iaitu di kawasan kerja2 di mengadap kiblat (tapak kolam wuduk lama). Laporan The Star memang tidak tepat.
Peringkat pertama batu nisan (pameran dalam bangunan) dijumpai pada akhir Disember 2015. Ini termasuk batu nisan Aceh bentuk papan dari batu marmar.
Kumpulan Kedua sebanyak 15 batu nisan dtemui pada 21.2.2016. (kumpulan batu nisan di depan tandas lelaki.)
Kumpulan ketiga ditemui pada 2 Mac 2016 termasuk batu nisan Aceh bentuk bulat. (kumpulan batu nisan di depan tandas lelaki.)
Satu lagi batu nisan kecil ditemui pada 8 April 2016. Dalam bilik pameran bersama kumpulan pertama.
Kedua2 batu nisan Aceh berkenaan berada pada PADAT. Kebetulan pihak PADAT memang sedang buat kajian tentang hubungan Selangor-Aceh. Saya pula beberapa kali dipanggil PADAT untuk membantu dalam kajian tersebut. PADAT telah berurusan dengan pihak Jabatan Warisan Negara tentang perkara ini pada 12.4.2016 lalu.
Batu nisan Aceh bentuk bulat tu saya temui berasingan tidak jauh dari sebatang pokok mangga (kalau tidak silap) dan bukan di bawah pokok kelapa. Bawah pokok kelapa tu kumpulan ketiga. Foto pokok mangga tu ada dalam blog Tuan, (sebelum foto pokok kelapa) dan perenggannya Tuan sendiri membicarakan ingin tahu lokasi jumpaan batu nisan Aceh berkenaan. Dalam foto tu ada dua orang pekerja di bawah pokok berkenaan.
Label dan tanda pada batu nisan kumpulan pertama tu dilakukan oleh sahabat saya Cik Mariana semasa beliau membuat laporan penemuan.
Setakat hari ini hanya tiga batu nisan yang dapat dibaca iaitu 2 orang lelaki dan seorang perempuan. Ada beberapa lagi batu nisan mempunyai tulisan yang boleh dibaca tapi masih dalam kajian..
Catatan tarikh pada batu nisan paling awal adalah tahun 1885 M / 1305 H.
Setuju dengan saranan Tuan untuk diadakan seminar. Saya cadang biarlah dilakukan selepas Masjid Jamek siap dinaik taraf. Lagipun kami perlu masa dan dana untuk menyelidik sejarah dan info batu nisan berkenaan, kepingan2 seramik dan penemuan tangga batu di masjid berkenaan juga..
Maaf Tuan panjang sangat saya celoteh.. jangan marah ye hehe..
Terima kasih.
Cikgu Faisal
Penyelidik Sejarah Selangor
ASH Persatuan Sejarah Malaysia
Bagi Saya,Masjid Jamek adalah satu tinggalan tua yang harus dikaitkan dengan Kuala Lumpur yang dibuka pembesar Melayu,Datuk Panglima Almarhum Abdullah Hukum dan dari Tanah Basa Minang,Almarhum Sutan Puasa ia menjadi pembentuk masyarakat dahulu di Kuala Lumpur.
Batu nisan tersebut bertulis:
.....(tak dapat dibaca)
1 Sya'ban
Malam Isnin
Sayyid Abdullah
Bin Sayyid
Abbas
..... (Tak dapat dibaca)
Catat Ulasan