Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Mei 28, 2023

Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023

Salam semua. Salam malam 9 Zulkaedah 1444 Hijriah. Lagi cerita berkenaan buku.


Merujuk pada majlis pelancaran buku terbaru saya pada 13 Mei 2023 seperti diceritakan dalam artikel artikel-artikel berikut :-






Semasa hari pelancaran muncul cadangan agar diadakan majlis bedah atau bicara buku. Memandangkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 dijadualkan berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun sedangkan salah seorang kawan kami adalah seorang penjual buku yang terlibat membuka reruai maka  seterusnya dicadangkan agar ia diadakan di reruainya pada satu tarikh. Setelah difikirkan tarikh dan masa yang sesuai baru mendapatkan persetujuan sejarawan ulung negara Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali untuk turut serta. Lalu dibuatlah poster seperti di atas bagi edaran umum.




Untuk pengetahuan Abdullah yang menulis kata-kata aluan buku juga melancarkannya pada majlis 13 Mei. Pagi Ahad 28 Mei iaitu hari mahu diadakan bicara saya pun membawa isteri dan anak ke lokasi PBAKL iaitu di WTC (World Trade Centre), dahulu dikenali sebagai PWTC (Putra World Trade Centre).








Ia adalah PBAKL yang ke-40. 




Acara diadakan setiap tahun kecuali ketika berlaku PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak COVID-19 tahun 2020 dan 2021.






Terus ke reruai kawan iaitu Taman Pustaka yang bernombor 3142 iaitu di Aras 3.




Beliau sebenarnya berkongsi sambung gerai dengan dua syarikat lain iaitu Pelita Dhihin dan Areca Books. Lalu mereka mengiklankan bersama sebagai beroperasi daripada rerurai 3142 hingga 3145.




Bergambar bersama pemilik Taman Pustaka saudara Zahamri Nizar atau Zam dan rakan aktivis Tun Suzana daripada Akademi Watan yang menjadi pemudahbicara.




Asalnya bicara mahu dimulakan jam 11 pagi. 




Tetapi baru beberapa hari lalu Prof. Abdullah menghubungi untuk memberitahu bahawa beliau baru sahaja menyedari ada undangan untuk sesi bicara lain pada hari dan tarikh yang sama.




Beliau pun bertanya. Bagaimana ini? Beliau telah berjanji dengan saya lebih awal. Perlukah membatalkannya?




Memandangkan bicara lagi satu itu melibatkan mantan Menteri Besar Perak Tan Sri Ramli Ngah Talib yang juga memegang jawatan Orang Besar Perak, Dato' Sri Agar Diraja (Dato' Sagor) saya jawab elok Prof bersama beliau dahulu. Saya punya boleh ditunda ke jam 12.



Dengan itu berlangsunglah bicara bersama Ramli bagi sebuah buku beliau tentang Melayu yang diterjemahkan oleh ITBN (Institut Terjemahan Buku Negara), daripada naskah asal berbahasa Inggeris yang diterbitkan tahun lalu.



Sebaik sahaja selesai jam 12 terus saya ke hadapan untuk memberitahu harus menarik Abdullah ke majlis saya di tingkat lain...


Pun begitu diajak dahulu bergambar. Saya telah menghadiahkan senaskah buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin kepada Ramli.


Selepas mengharungi kesesakan orang ramai baru dapat bersedia untuk bicara buku sendiri. Sebetulnya saya ada memikirkan untuk  mengajak Ramli bersama. Tetapi melihatkan beliau sibuk melayan orang dan kami sendiri mengejar masa maka diteruskan seperti rancangan asal iaitu cuma kami bertiga.


Sesi ini ada dipancarkan secara siaran  langsung melalui Facebook Akademi Watan. Lihat video atas. Cuma sayang audio atau bunyi ada kedengaran berdengung atau pecah/kasar. Mungkin kerana clash dengan mikrofon yang diselitkan ke baju.


Nasib baik isteri ada membuat rakaman sendiri. Lalu dapat dimuatnaik ke Youtube. Kedengaran bunyinya lebih baik.


Cuma isteri harus memecahkan kepada dua bahagian.


Sebetulnya banyak perkara lagi mahu diperkatakan tetapi bicara harus diselesaikan sebelum masuk waktu Zohor. Memandangkan orang juga sudah lapar saya terus mengajak Prof Abdullah dan anak yang mengiringinya makan tengah hari di Aras 4.


Selesai makan kemudian menunaikan solat baru kembali ke meja di reruai lalu dapat melayan mereka yang membeli buku juga kawan-kawan yang datang kemudian bagi memberikan sokongan.



Dengan itu biar diberitahu saya akan hadir lagi ke Pesta Buku pada hari Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad (hari terakhir 4 Mei).



Dah perangai saya mesti nak merayap-rayap melihat pelbagai buku yang ada juga kerenah manusia.


Tapi insyaallah saya akan berada di reruai nombor 3142 pada hari-hari tersebut jam 2 petang. Mungkin sehingga jam 5.



Bergambar bersama isteri tersayang. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,399 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Tiada ulasan: