Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Januari 12, 2026

"Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dalam Berita Harian

Adapun Sabtu lebih seminggu lalu, 3 Januari 2026 telah dipersembahkan artikel "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dalam Dewan Masyarakat untuk menunjukkan isi majalah yang sebenarnya sudah muncul atas talian hampir 2 minggu lebih awal. Sekarang biar dikongsikan isi serupa tetapi lebih panjang yang muncul di dada akhbar Berita Minggu, semalam Ahad 11 Jan.



Seperti mana yang ada dalam  "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dalam Dewan Masyarakat, ia adalah ulasan terhadap perkongsian saya dalam majlis ilmu berkenaan pada petang Isnin 22 Disember 2025 di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Lihat Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC yang dipersembahkan Khamis 25 Disember. Atas adalah gambar yang diambil daripada surat khabar yang dibeli di Bangsar pagi Ahad.


Ini pula daripada versi PDF yang dikongsikan oleh saudara Zahamri Nizar melalui WhatsApp beberapa jam kemudian. Sebetulnya saya sedang menunggu versi atas talian dimuatnaik ke laman sesawang Berita Harian bahagian Sastera (Berita Minggu adalah edisi mereka setiap Ahad). Dengan itu bolehlah disalin teks untuk dipaparkankan di sini. Namun pada ketika ini tengah hari Isnin 12 Januari masih belum. Jadi daripada menunggu lagi entah bila biar dipaparkan apa yang sudah sedia ada sekarang.

Oh. Ini adalah artikel ke-2,770 di CATATAN SI MERAH SILU. Ini mengingatkan pada nombor plet kereta VQ770 pada kereta Honda BRV terpakai yang dibeli penghujung tahun lalu. Kebetulan saya sekarang berada di suatu tempat untuk menguruskan hal berkenaan kereta tersebut. Menulis ini pun dari tempat berkenaan. Hmm...


Tambahan - Dibuat bermula jam 10.46 pagi Selasa 13 Jan. 

Tergerak untuk menyemak Berita Harian edisi atas talian bahagian sastera lalu mendapati artikel tentang Perjanjian Pangkor itu telah dimuatnaik Isnin 12 Jan jam 2.48. Nombor 248 mengingatkan pada kereta lama saya Kia Carens generasi pertama, model tahun 2000 ke atau 2001, yang dibeli terpakai hampir penghujung tahun 2014. Setelah beberapa lama berkhidmat dibawa banyak kali berjalan jauh sehingga meliputi hampir seluruh Semenanjung, pernah dibawa lebih 4,000 km dalam satu perjalanan meliputi banyak tempat hingga ke Ayuthayya, Thailand (lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation) ia jadi selalu bermasalah. Sampai satu peringkat tak mampu lagi nak jaga. Dibuat keputusan untuk melupuskan. Itu yang digantikan dengan Honda BRV terpakai penghujung Oktober 2024.

Apapun artikel perjanjian atas talian itu boleh dilihat di sini. Sebagai backup biar disalin di bawah...


"Nasihat" mengikat, detik mula cengkaman British di Perak



Pegawai British yang terbabit dalam pemeteraian Perjanjian Pangkor 1874. Duduk (tengah): Sir William Jervois, Gabenor Negeri-Negeri Selat. Berdiri (dari kiri ke kanan): Dr Anderson; Kapten Innes; Leftenan Henry MC Callum; JWW Birch; Kapten Speedy; Frank Swettenham. - Sumber: Arkib Negara Malaysia


KUALA LUMPUR: Perjanjian Pangkor adalah detik penting dalam sejarah Tanah Melayu yang menandakan bermulanya campur tangan British secara rasmi dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.

Walaupun pada peringkat awal kehadiran British difahami oleh pembesar Melayu sebagai bersifat nasihat dan bantuan, realitinya Perjanjian Pangkor membawa kepada penguasaan British yang semakin meluas terhadap pentadbiran, ekonomi dan perundangan negeri Perak.

Perbezaan kefahaman terhadap isi perjanjian ini bukan sahaja menjejaskan kedaulatan Perak, malah menjadi asas kepada peluasan pengaruh British ke negeri-negeri Melayu lain sehingga membentuk corak pemerintahan dan perlembagaan negara hingga ke era moden.

Calon doktor falsafah dan pengkaji sejarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC-UIAM), Mohd Fahrulradzi Mohamad Sapiee, berkata perjanjian itu ditandatangani 20 Januari 1874 di perairan Pulau Pangkor oleh Raja Abdullah bersama beberapa orang pembesar Perak dan disaksikan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat, Andrew Clarke.

Katanya, tujuan utama perjanjian itu adalah untuk menaikkan Raja Muda Abdullah Ibni Sultan Ja'afar Muadzam Syah sebagai Sultan Perak ke-26, dan ia dimeterai di atas kapal British, HMS Pluto.

"Latar belakang perjanjian berkenaan berkait rapat dengan keadaan politik dan keselamatan negeri Perak pada abad ke-19.

"Pada ketika itu, Perak mengalami pertikaian takhta yang berpanjangan kerana sistem pewarisan takhtanya berbeza daripada negeri lain," katanya ketika siaran langsung Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun: Satu Penilaian Semula menerusi saluran YouTube ISTAC.

Masalah kongsi gelap

Mohd Fahrulradzi menjelaskan, konflik itu bermula sejak zaman Raja Ja'afar yang berselisih dengan Sultan Abdullah Muhammad Shah I sehingga Raja Ja'afar pernah mengisytiharkan dirinya sebagai sultan sebelum dilantik secara rasmi sebagai Sultan Perak ke-23 selepas kemangkatan Sultan Abdullah I.

"Selepas kemangkatan Sultan Ja'afar diikuti Sultan Ali, berlaku kekeliruan dalam pelantikan sultan baharu," katanya.

Beliau menambah, walaupun Raja Abdullah sepatutnya menaiki takhta mengikut adat, pelbagai halangan timbul termasuk konflik keluarga, faktor keselamatan dan campur tangan pembesar.

"Akhirnya Raja Ismail dilantik sebagai Sultan Perak ke-25 pada tahun 1871 walaupun baginda tidak memenuhi syarat adat sepenuhnya," katanya.

Dalam tempoh yang sama, Perak turut berdepan masalah keselamatan akibat pergaduhan antara kumpulan kongsi gelap Cina yang terbabit dalam perlombongan bijih timah. Aktiviti perlombongan yang semakin pesat sejak pertengahan abad ke-19, mencetuskan keadaan huru-hara, sukar dikawal dan menjejaskan kestabilan negeri.

"Gabungan pertikaian takhta dan masalah keselamatan inilah yang membuka ruang kepada campur tangan British, lalu membawa kepada termeterainya Perjanjian Pangkor yang memberi kesan besar terhadap pentadbiran dan kedaulatan negeri Perak," katanya.

Tambahnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani oleh pembesar Melayu, termasuk Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, dengan kefahaman bahawa kehadiran British adalah untuk membantu menjamin keselamatan dan memajukan negeri Perak di bawah kedaulatan sultan serta peranan pembesar Melayu.

"Namun realitinya perjanjian itu membuka jalan kepada campur tangan aktif British dalam pentadbiran Perak yang melangkaui batas kuasa yang difahami dan dipersetujui oleh orang Melayu pada ketika itu," katanya.

Campur tangan British yang semakin mencengkam akhirnya mencetuskan penentangan terbuka. Kemuncaknya adalah pembunuhan Residen British pertama di Perak, JWW Birch di Pasir Salak pada 2 November 1875 ketika umat Islam sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Katanya lagi, sikap angkuh Birch serta tindakannya memaksa pelaksanaan sistem cukai British tanpa menghormati adat dan sensitiviti tempatan telah mencetuskan kemarahan penduduk.

"Peristiwa ini membawa kepada Perang Perak–British yang berakhir dengan kekalahan pejuang Perak pada awal tahun 1876," katanya. Susulan kekalahan itu, Datuk Maharajalela dihukum gantung, manakala Sultan Perak, Laksamana Muhammad Amin serta dua pembesar lain dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada tahun 1877.

Kegagalan strategi

Menurut Mohd Fahrulradzi, Perjanjian Pangkor sering dianggap sebagai kegagalan strategi politik yang membolehkan campur tangan British di Perak.

Namun tegasnya, tafsiran ini perlu dinilai semula dengan menekankan kewujudan dua versi perjanjian, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu Jawi,.

Katanya, sejarah Malaysia banyak bergantung pada versi perjanjian berbahasa Inggeris, sedangkan pihak Melayu memeterai versi perjanjian berbahasa Melayu tulisan Jawi.

"Perbezaan bahasa dan makna, khususnya mengenai peranan Residen British, membawa kepada tafsiran berbeza dan menyumbang kepada peluasan kuasa kolonial British di Perak.

"Misalnya versi Melayu menjelaskan peranan Residen dilihat sebagai penasihat yang tidak wajib dipatuhi, berbeza dengan tafsiran dalam versi Inggeris," katanya.

Percanggahan tafsiran ini tegasnya, membawa kepada salah faham, konflik berterusan dan akhirnya membuka jalan kepada penguasaan Inggeris ke atas Perak walaupun secara rasmi negeri itu hanya dianggap berada di bawah perlindungan British.


Sedikit pembetulan terhadap kapsyen pada gambar yang menyatakan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor tahun 1874. William Jervois disebut sebagai Gabenor Negeri-negeri Selat. Cuma beliau sebenarnya mula memegang jawatan pada 8 Mei 1875. Yang terlibat dalam perjanjian adalah Gabenor sebelum itu, Andrew Clarke. Apapun Jervois banyak terlibat dalam hal ehwal Perak selepas memegang jawatan.



Ini pula dari Tiktok sekitar jam 9.40 pagi 13 Jan. Isteri telah meletakkan gambar yang diambil dalam suratkhabar tidak lama selepas mendapatkannya pagi 12 Jan. Pada kiri bawah terpapar jumlah beberapa kali sudah ditonton iaitu 770. Terkait lagi dengan nombor kereta Honda BRV iaitu VQ770 yang mana artikel ini asalnya ditulis di tempat di mana urusan melibatkan kereta sedang dibuat. Boleh baca perincian dalam Dari hal e-hailing buat cukai jalan sangkut hingga ke syarahan tertutup pelajar PhD di UIA.


Ahad, Januari 11, 2026

Hari-hari kebelakangan sebelum kembali ke tahfiz

 Satu artikel kecil demi kesinambungan gerak rasa sejak beberapa hari kebelakangan.



Dalam artikel Bersama anak-anak ke Tanjung Sepat dan Muar yang dipersembahkan Ahad 4 Januari ada dinyatakan mengambil anak-anak keluar bercuti hujung tahun dari tahfiz Sabtu 28 Disember. Artikel berikutnya Sambutan hari ulang tahun ke-81 Datuk Dr Hamid Arshat Isnin 5 Jan pula menyebut sepatutnya anak-anak kembali ke tahfiz petang 4 Jan. Tetapi berlaku suatu hal menyebabkan bangunan tahfiz harus diperbaiki lalu cuti dilanjutkan buat suatu masa. Artikel selepas itu Madani Nabawi : Lahirnya idea wargakota negara yang majmuk, demokratik dan berakhlak yang dipersembahkan petang Khamis 8 Jan menyatakan pada petang 5 Jan ada menghadiri syarahan tertutup di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) untuk pelajar PhD. Gambar ini diambil sebelum syarahan tersebut. 



Sebenarnya saya ke UIAM kerana penyelia tesis saya, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Rektor universiti mahu berjumpa untuk membincangkan thesis proposal, cadangan tesis saya. Selepas itu beliau memberitahu akan membuat syarahan bagi kelas Research Methodology (kaedah-kaedah kajian) di pejabat. Biasanya dibuat di kampus ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku kerana memang untuk pelajar PhD ISTAC. Walaupun tidak perlu lagi mengikuti kelas kerana sudah mengambilnya pada semester pertama sarjana tahun 2018 saya boleh sahaja menghadiri, sekurang-kurangnya untuk menyegarkan kembali ingatan. Lagipun dahulu itu dibawa oleh pensyarah lain, bukan guru saya ini yang lebih luas dan tinggi ilmu pengetahuan.



Kebetulan syarahan sangat kena mengena dengan cadangan tesis yang sedang diusahakan, cadangan yang sudah beberapa kali diperbaiki, belum lagi diberi kelulusan untuk mempertahankan (proposal defense). Maka sesuai sangatlah menghadiri syarahan jam 5 hingga 7 petang. Gambar ini diambil di bahagian lain Gombak. Ketika itu hendak berbuka puasa sunat hari Khamis dengan hidangan satay minang.



Gambar ini pula diambil jam 11.50, selepas menghadiri syarahan umum Rabu malam Khamis 7 Jan. Syarahan inilah yang dikongsikan ceritanya dalam Madani Nabawi : Lahirnya idea wargakota negara yang majmuk, demokratik dan berakhlak. Ketika itu baru lepas mengisi minyak motosikal di stesyen terdekat ke rumah di Bandar Sungai Buaya. Tertarik kerana meter ganti (meter asal di sebelah kanan itu sudah lama rosak) menunjukkan nombor 35553 (3,5553 km sejak mula dipasang penghujung tahun lalu).



Tadi pagi Sabtu 10 Januari 2026 bergerak bersama isteri dan anak-anak untuk membawa kembali ke tahfiz di selatan Cheras.



Selepas menyelesaikan sedikit hal rasmi bagi permulaan pembelajaran tahun baru sampailah masa untuk meninggalkan mereka. Dengan ini cukuplah cerita kesinambungan ini. Dalam masa kurang 48 jam nanti insyaallah akan dikeluarkan satu cerita bagi menutup hal-hal melibatkan Perjanjian Pangkor yang dimulakan dengan artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Menjejak kota dan bandar-bandar Melayu yang hilang 19 Disember.


Khamis, Januari 08, 2026

Madani Nabawi : Lahirnya idea wargakota negara yang majmuk, demokratik dan berakhlak

Salam. Pergi pada majlis ilmu terbaru di kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak. Ia adalah syarahan umum pertama dihadiri buat tahun baru 2026. Dua hari sebelum itu, petang Isnin 5 Januari ada menghadiri syarahan tertutup untuk pelajar PhD di sana.


Poster bagi majlis. Ini adalah yang ke-9 dalam siri berkenaan yang diadakan setiap awal bulan.



Siri-siri sebelumnya boleh dirujuk dalam artikel Kepimpinan dan kepengikutan di negara Madani Nabawi.



Pergi pada tajuk terkini.



Apa yang tertera dalam slaid harus cukup jelas.









Cuma saya kurang selesa dengan terma "demokrasi". Ini kerana melihat praktiknya seperti sering diwar-warkan dunia Barat lebih dikuasai pihak-pihak berkepentingan yang berduit, demi membuat duit, atas topeng menjaga kepentingan rakyat melalui suara majoriti ramai (yang sebenarnya mudah ditunggang pihak berkenaan).






Namun apabila dikembalikan balik pada makna asal "demo" merujuk pada rakyat dalam bahasa Yunani dan "krasi" sebagai pemerintahan (istilah diperkenalkan di Greece atau Yunani purba sekitar 400 tahun Sebelum Masihi) tanpa menafikan perananan keTuhanan dalam pentadbiran suatu negara baru terasa cukup selesa.


Boleh ikuti sendiri perjalanan majlis dan penerangan lanjut dalam rakaman video di bawah...





Isnin, Januari 05, 2026

Sambutan hari ulang tahun ke-81 Datuk Dr Hamid Arshat

Satu lagi artikel yang ada kena mengena dengan apa yang berlaku dalam tempoh 2-3 minggu kebelakangan terutama Kembalinya bonda tersayang ke rahmatullah.



Semalam tengah hari Ahad 4 Januari 2025 saya membawa isteri dan anak-anak ke rumah bapa saudara di Bukit Damansara.



Ada majlis sambutan ulang tahun ke-81 bagi bapa saudara tersebut.



Asalnya mahu melibatkan anak beranaknya sahaja. Seorang ibu saudara mencadangkan agar dijadikan sekali pertemuan keluarga yang lebih besar lalu sejumlah ipar duai dan anak cucu masing-masing turut sama berkumpul.



Bapa saudara tersebut, Datuk Dr Hamid Arshat adalah seorang pakar sakit puan terkenal. Boleh kata beliau adalah perintis bidang di Malaysia (sejak tahun 70an). Nama-nama yang muncul kemudian kebanyakan adalah anak murid beliau. 



Namun muncul masalah kesihatan menyebabkan tidak dapat lagi aktif. Seingat saya beliau masih menyambut bayi pada umur 77 tahun iaitu 4 tahun lalu. Selepas itu dilanda masalah saraf yang menjadi semakin teruk sehingga tidak mampu berdiri.



Itu antara sebab kenapa ibu saudara yang berumur 75 tahun, seorang adik almarhum ibu saya, mencadangkan agar dibuat pertemuan keluarga di rumah Dr Hamid. Kerana susah untuk beliau bergerak jauh dari kawasan rumah.



Alang-alang hari lahirnya jatuh dalam masa terdekat iaitu 4 Januari dibuatlah berserta sambutan ulang tahun.






Isteri saya (paling kiri) bersama isteri Dr Hamid di sebelah. Beliau adalah adik tertua almarhum ibu.



Ibu saudara ini juga akan mencapai umur 81 pada tahun 2026, tapi beberapa bulan lagi. Kelihatan saya (kanan sekali) di sebelah ibu saudara lain yang mencadangkan agar dibuat pertemuan keluarga.




Alhamdulillah bapa (berdiri tengah) yang menetap di Muar, kini sudah melepasi umur 83 tahun, dapat datang dibawa oleh adik yang menetap di Melaka. Dibuat bacaan tahlil dan doa selamat mengambil kira isteri saya sendiri akan menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-51, pada 5 Januari (hari ini) sambil mengenangkan ibu yang baru 2 minggu pergi. Anak-anak (berdiri bersama datuk mereka) sepatutnya kembali ke tahfiz petang itu kerana habis cuti. Rujuk Bersama anak-anak ke Tanjung Sepat dan Muar. Namun berlaku suatu hal menyebabkan bangunan tahfiz harus diperbaiki lalu cuti dilanjutkan buat suatu masa. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,767 di CATATAN SI MERAH SILU.

Ahad, Januari 04, 2026

Bersama anak-anak ke Tanjung Sepat dan Muar

Pada penghujung artikel Kembalinya bonda tersayang ke rahmatullah yang dipersembahkan Isnin 29 Disember ada dinyatakan ketika itu sedang berada di kampung isteri di Tanjung Sepat. Petang esoknya Selasa 30 Disember mahu ke Muar lagi menemui dan menemani bapa setelah kehilangan ibu. Kali ini membawa sekali anak-anak. Sekarang biar dikongsikan cerita perjalanan berkenaan.



Perjalanan bermula apabila meninggalkan rumah pagi Ahad 28 Disember 2025 untuk ke tahfiz anak-anak di selatan Cheras.



Ada majlis penganugerahan sijil kepada pelajar-pelajar tahfiz yang menunjukkan kecemerlangan dalam kategori-kategori tertentu. Alhamdulillah kedua-dua anak kami mendapat anugerah.



Selepas itu boleh membawa keluar bercuti hujung tahun. Terus ke rumah kakak isteri di Jenjarom untuk perhimpunan keluarga.



Dibuatlah makan-makan secara potluck...



Tengah hari Isnin 29 Disember, selepas bermalam di rumah kakak, pergi ke beberapa tempat bersejarah di Jugra lalu dibuat sejumlah rakaman yang kemudian dimuatnaik ke Tiktok. Klik pada pautan-pautan berikut :-


1. Masjid Alaeddin dan Istana Bandar : Lagi bukit bandar Melayu yang hilang 




5. Bukit Jugra - Tempat Hang Tuah bertapa sebelum menghilang ke Ulu Perak?


Petangnya sampai ke kampung isteri di Tanjung Sepat lalu bermalam di rumah pusaka keluarga yang diwarisi adik bongsu. Pada malamnya, ditulis lalu dipersembahkan artikel Kembalinya bonda tersayang ke rahmatullah.



Petang Selasa 30 Disember ziarah ke makam-makam ibu bapa isteri sebelum meninggalkan kampung. Isteri yang merupakan anak ke-11 daripada 13 adik beradik telah kehilangan ibu 25 tahun lalu. Bapa menyusul 15 tahun kemudian.



Ambil jalan menyusuri pantai melepasi Port Dickson menuju selatan ke kampung saya di Muar.




Malam itu dibuat edisi ke-18 "Merah Silu Live" di Muar. Cerita perjalanan lama yang dikemukakan :-


25. NS ke Pulau Besar awal 2008 - lebih 600 km. Lihat  Mengenang kembali perjalanan mengambil video pusing Negeri Sembilan hingga ke Pulau Besar.




Pagi Rabu 31 Disember bersama bapa dan anak-anak menziarahi makam bonda yang baru 9 hari gitu disemadikan. Kemudian baru keluar berjalan-jalan.




Makan malam di medan selera Bentayan.



Melihat suasana sebelum masuk tahun baru di Tanjung Emas.



Pagi Ahad 1 Januari 2026. Membawa bapa bersarapan di kafe Kopi 434 sebelum ke beberapa lagi tempat.



Selepas tengah hari membawa beliau ke rumah adik di Melaka sebelum bergerak kembali ke rumah sendiri di Bandar Sungai Buaya.



Apabila sampai lewat malam didapati saya sudah memandu hampir 700 km.


Sabtu, Januari 03, 2026

"Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dalam Dewan Masyarakat

Hari ini 3 Januari 2026 yang tarikh Hijriahnya adalah 13 Rejab 1447 biar dibuat perkongsian ini.


Merujuk lagi pada penceritaan dalam Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC. Sebetulnya tak sampai 3 jam selepas pembentangan yang berlangsung di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang Isnin 22 Disember 2025 selesai sekitar jam 4.30 petang keluar artikel mengulasnya dalam majlis Dewan Masyarakat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka versi atas talian (on-line). Ini boleh dilihat di sini. Namun petang ini baru tergerak hendak memberitahu umum terutama di CATATAN SI MERAH SILU. Biar disalin isinya...


------------


Perjanjian Pangkor 1874: Perbezaan Tafsiran Versi Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris

Oleh Muhammad Haziq Noor Affandi

Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 20:27


Kuala Lumpur – Perjanjian Pangkor yang dimeterai pada 20 Januari 1874 menjadi perdebatan dalam kalangan sejarawan apabila timbul persoalan mengenai perbezaan tafsiran perjanjian antara versi bahasa Inggeris dengan versi bahasa Melayu bertulisan Jawi yang menyentuh aspek kefahaman politik, undang-undang dan budaya antara pihak pemerintah Melayu dengan penjajah British pada era ketika itu.

Demikian inti pati forum yang menampilkan pembentangan oleh pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee menerusi aplikasi Zoom, yang membincangkan tafsiran perbezaan antara versi bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu Jawi tentang Perjanjian Pangkor 1874 serta implikasinya terhadap kedaulatan Perak. Menurut beliau, dokumen versi bahasa Inggeris menggambarkan bahawa sultan mesti meminta nasihat Residen British dalam pelaksanaan perjanjian tersebut, manakala versi bahasa Melayu Jawi yang ditandatangani oleh sultan dan pembesar pula menggambarkan terdapat perbezaan penggunaan istilah yang membawa maksud saranan, dan bukannya kewajipan mutlak.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa persetujuan yang dicapai oleh pihak Melayu adalah berdasarkan kefahaman terhadap teks Melayu yang selari dengan konsep pemerintahan beraja dan adat Melayu”, katanya.

Tambahnya, isu konflik ini menimbulkan tuduhan bahawa pemerintah Melayu gagal mematuhi perjanjian, sekali gus menjadi asas kepada campur tangan British yang lebih meluas dalam pentadbiran Perak.

“Perbezaan tafsiran itu akhirnya melemahkan kedudukan sultan dan pembesar tempatan serta membuka laluan kepada penguasaan British ke atas negeri tersebut,” tambahnya lagi.

Mohd Fahrulradzi turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia perlu memahami konteks sejarah sebenar mengenai perjanjian ini, termasuklah niat dan kefahaman pihak Melayu ketika itu bagi menilai peranan sultan dan pembesar Perak secara adil serta menghargai perjuangan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negeri.

 


Perjanjian Pangkor pada tahun 1874...

Khamis, Januari 01, 2026

"Merah Silu Live" dan selamat tahun baru 2026

Salam. Perkongsian untuk hari ini 1 Januari, hari pertama tahun baru 2026. Dengan ini siri "Merah Silu Live" iaitu siaran langsung mingguan melalui TikTok, kemudian dimuatnaik ke Youtube dirujuk.


Sejak memulakan siri 19 Ogos saya telah memberikan komitmen akan melaksanakannya sekurang-kurangnya sejam setiap Selasa malam Rabu, walau ketika berada di luar kawasan untuk suatu urusan. Setiap sesi adalah berdasarkan catatan perjalanan lama saya seperti dikumpulkan secara kronologi atau turutan masa perjalanan berlaku dalam artikel Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021. Di celah-celah itu, kalau turutan masa membawa pada ketika salah satu buku tulisan saya diterbitkan, maka penumpuan diberikan pada ulasan buku. 

Selepas mengenangkan kembali cerita lama seperti mana telah dicoretkan dalam CATATAN SI MERAH SILU, atau mengulas buku, sesi soal jawab pun dibuka lalu saya sedia melayan apa jua pertanyaan setakat ingat dan mampu. Empat edisi terawal telah dipautkan dalam artikel Mengimbau perjalanan/pengembaraan lama melalui Merah Silu live di Tiktok setiap Selasa malam Rabu diikuti dua dalam Ringkasan aktiviti setengah bulan kebelakangan September. Edisi-edisi seterusnya dipautkan satu demi satu dalam artikel-artikel berikut :-


1. Asbab isteri bermesyuarat di Pulau Pinang - Pusing pulau sebelum membuat live di hotel

2. Tinjauan beberapa puncak bukit di Kuala Lumpur

3.  'Beraya' ke selatan penghujung 2025 - Dari Shah Alam membawa ke Mur

4. 'Beraya' ke selatan penghujung 2025

5. Manifestasi kemaruk senarai panjat bukit dan gunung

6.  Antara santai outdoor bersama isteri, majlis Maulud dan melaksanakan Merah Silu Live di Tiktok

7. Asbab khidmat kepada ibu bapa - Lebih seminggu di Muar






Sehingga tamat tahun 2025 cuma pernah dua kali sahaja tidak dilaksanakan "Merah Silu Live" itu. Pertama kali pada 4 November yang mana sepatutnya berlangsung edisi ke-12. Tapi terlupa langsung, mungkin kerana ketika itu isteri demam agak teruk sementara saya sendiri dilanda sakit tekak. Edisi pun dilaksanakan pada minggu berikutnya 11 Nov. Kedua, pada 23 Disember yang mana sepatutnya berlangsung edisi ke-18. Ia dapat dilaksanakan kerana ibu baru meninggal dunia malam sebelumnya 22 Disember. Malam berikutnya 23 Disember adalah malam pertama majlis bacaan Yasin dan tahlil arwah. Ramai ahli keluarga dan saudara mara berkumpul di rumah. Tidak sesuai dilaksanakan "Merah Silu Live" namun digantikan dengan satu siaran langsung pendek bagi menerangkan keadaan. Lihat Kembalinya bonda tersayang ke rahmatullah yang dipersembahkan 29 Disember.

Edisi/episod/sesi digantikan pada 30 Disember. Ketika itu saya dan isteri kembali lagi ke kampung di Muar, kali ini membawa dua orang anak yang belajar di tahfiz. Sebelum itu tidak dapat ikut sama kerana belum bercuti juga sedang mengambil peperiksaan. Rakaman Youtube bagi episod ini belum sempat dipautkan dalam mana-mana artikel kerana perjalanan berkenaan belum habis lagi untuk dijadikan cerita.

Di bawah adalah video-video bagi "Merah Silu Live" sejak dimulakan 19 Ogos sehingga terakhir bagi tahun ini 30 Disember. Anggaplah perkongsian ini sebagai ucapan selamat tahun baru saya kepada semua.





Episod 1 - 19 Ogos 2025


Cerita-cerita pengembaraan lama yang sempat dikongsikan :-

1. Naik basikal separuh Semenanjung 1989 - lebih 1,250 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989.  

2. Mengikuti program outward bound di Pulau Pangkor tahun 1989 - 486 km. Lihat Kenangan outward bound training di Pulau Pangkor Disember 1989.






Episod 2 - 26 Ogos 2025 


3. Trip ke Cardiff 1992-93 - lebih 750 km. Lihat Ke Cardiff di Wales sekitar tahun 1992-1993.

4. Scotland 1993 - mendekati 1,700 km. Lihat Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun 1993.

5. Sewa kereta di England 1994 - lebih 1,100 km. Lihat Kompilasi cerita sewa kereta ke separuh England tahun 1994.


Ada disebut sedikit tentang perjalanan seterusnya...


6. Kembara solo Eropah tahun 1995 mendekati 5,900 km. Lihat Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995.


Tetapi cerita penuhnya ditunda untuk edisi lain memandangkan ia telah dijadikan buku yang terbit tahun 2019. Lihat artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa diikuti Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995.




Episod 3 - 2 September 2025


Cerita-cerita pengembaraan lama berikut sempat dikongsikan :-

7. Naik Gunung Kinabalu Jun 1997 -  237 km. Lihat Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997.

8. 4 x 4 Challenge Sept 1997 -  lebih 750 km. Lihat Kenangan 4x4 tahun 1997.





Episod 4 - 9 September 2025


9. Bermotosikal besar solo keliling Semenanjung Dis 1997 – Jan 1998 sekitar 3,850 km.  Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung.

10. Mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - sekitar  950 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000.



Cuma isteri ada tersilap tertekan butang ketika  soal jawab bebas selepas cerita perjalanan lalu siaran jadi terputus. Kenalah mulakan satu siaran langsung sambungan seperti di bawah...





Meneruskan ke edisi seterusnya...



Episod 5 - 16 September 2025


11. Jelajah Mesra PDRM sekitar tahun 2000 - dalam 2,155 km. Lihat Jelajah Mesra PDRM sekitar tahun 2000.

12. Liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - lebih 2,250 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000.

13. Meliputi acara X Games di Phuket tahun 2000 - lebih 300 km. Meliputi Asian X-Games di Phuket tahun 2000.





Episod 6 - 23 September 2025


14. Kali pertama ziarah makam tahun 2001 - sekitar 780 km. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.


Episod 7 - 30 September 2025


15. Kali pertama ke makam Tok Kenali sekitar 2003 - sekitar 1,250 km. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003

16. Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - harus lebih 1,100 km. Lihat  Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003


Episod 8 - 7 Oktober 2025


17. Berpetualang ke Aceh 2004 sekitar 1,900 km. Lihat Kompilasi cerita "Berpetualang ke Aceh" tahun 2004

18. Ke Terengganu selepas Aceh 2004 - sekitar 1,900 km. Lihat Kompilasi cerita ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004.


.




Episod 9 - 14 Oktober 2025

 
19. Umrah ziarah 2005 - lebih 1,100 km. Lihat Cerita An-Nur yang membawa kepada Umrah 2005 dan seterusnya....




Episod 20 - 21 Oktober 2025


Ulasan buku pertama  saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006.




Episod 11 - 28 Oktober 2025






Episod 12 - 11 November 2025


21. Singapura Okt 2006 - sekitar 850 km. Lihat Mengenang lawatan spontan ke Singapura tahun 2006....




Episod 13 - 18 November 2025


22. Perjalanan 2 bulan ke Pantai Timur dan Selatan lalu ke Utara 2006-2007 lebih 4,000 km. Lihat Mengenang kembali pengembaraan 2 bulan Disember 2006-Februari 2007.




Episod 14 - 25 November 2025


Ulasan buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" yang terbit Mei 2007. 




Episod 15 - 2 Disember 2025


23. BKA Tour Run 2007 - lebih 1,700 km. Lihat Kenangan BKA Tour Run tahun 2007





Episod 16 - 9 Disember 2025


Ulasan buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit November 2007. 


Episod 17 - 16 Disember 2025


24. Pengembaraan setelah trilogi BKA keluar (tahun 2007-2008) -  sekitar 4,000 km. Lihat Kenangan pengembaraan setelah trilogi BKA keluar 2007-2008.





Episod 18 - 30 Disember 2025


25. NS ke Pulau Besar awal 2008 - lebih 600 km. Lihat  Mengenang kembali perjalanan mengambil video pusing Negeri Sembilan hingga ke Pulau Besar.


-----------------


Sebagai mengakhiri perkongsian biar diulang komitmen akan melaksanakan "Merah Silu Live" sekurang-kurangnya sejam setiap Selasa malam Rabu walau ketika berada di luar kawasan untuk suatu urusan. Cuma besar kemungkinan tidak dapat dalam tempoh masa 9 hingga 23 Februari akan datang. Ini kerana kami sekeluarga akan menunaikan umrah dan ziarah. Tapi boleh sahaja digantikan dengan sesuatu apabila sampai masanya insyaallah. Jam 9.30 malam di Malaysia harus bersamaan jam 4.30 petang di Tanah Arab. Doakan perjalanan kami dipermudahkan dan mencapai matlamat.