Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, April 17, 2021

Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Babussalam sebagai pintu masuk ke Darussalam?

Salam petang Sabtu 5 Ramadhan. Menyambung cerita daripada artikel Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Hikmah dugaan feri ke Medan. Jika artikel tersebut  menggunakan isi Bab 4 buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006) artikel ini pula menggunakan isi Bab 5. Ia sebenarnya adalah bab ke-11 dalam buku. Sebelum itu ada bab bertajuk "Legenda Merah Silu : Kemunculan Sultan Malikus Salih".



Lebih kurang beginilah rupa van yang dinaiki untuk meninggalkan Medan...


Bab 5 yang bermula pada muka surat 213 buku menyebut...

--------------


Pada saat dan ketika yang baik, Rasyid pun bersiap-sedia meninggalkan Medan untuk meneruskan perjalanan ke Aceh.  Oleh kerana perjalanan darat mesti melalui bandar Tanjung Pura  di kabupaten (wilayah) Langkat yang bersempadan dengan bumi Serambi Mekah,  pemuda ini bercadang untuk singgah di Kampung Babussalam, sebuah  pusat kerohanian Tariqat Naqsyabandiah yang terbesar di Sumatera.

Selesai sarapan pagi, Apin menghantar anak Malaysia ini ke batu enam jalan besar ke Binjai, tempat perhentian kereta sewa ke utara Sumatera. Memandangkan Rasyid orang luar yang tidak tahu selok-belok tempatan,  dia pun berbincang dengan seorang pemandu untuk menetapkan harga tambang. Mereka bersetuju dengan tambang 7,000 Rupiah. Rasyid menyediakan ongkos itu lalu menyerahkannya terus kepada pemandu.

Pesan Apin ringkas: “Turunkan kawan saya ini di Masjid Azizi, Tanjung Pura.” Dia menunggu sehingga mobil itu (sebenarnya van sebesar Toyota Liteace yang dijadikan pengangkutan awam) cukup penumpang, adalah dekat 20 orang  berhimpit bertemu lutut dan siku. Selepas mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada Apin,  Rasyid pun berlepas meninggalkan hiruk-pikuk kesesakan kota Medan.

Dalam perjalanan, pemuda kelahiran Muar, Johor itu tidak banyak bercakap. Dia hampir tidak bersuara langsung, menikus dalam dunianya sendiri seperti tidak mahu bercampur orang langsung. Orang tua yang duduk berhimpit di sebelah sehingga lutut mereka bertemu ada bertanyakan arah tujuannya tetapi Rasyid cuma menjawab: “Mahu ke Tanjung Pura”. Kemudian tersenyum sebelum menoleh ke hadapan melihat pemandangan.

Mungkin sikapnya kelihatan sombong kerana tidak sudi berbual dengan penumpang lain. Sebenarnya pemuda ini tidak mahu  bercakap banyak kerana tidak mahu sesiapa menyedari dia adalah orang luar. Takut ada manusia berniat jahat akan mengambil peluang mengenakannya, take advantage kerana dia tidak tahu selok-belok tempatan. Sekurang-kurangnya jika ada yang sedar pun, mereka mungkin menganggap Rasyid sudah biasa ke Indonesia. Mungkin berfikir dua tiga kali sebelum cuba menipunya. Pengalaman dua hari dua malam di Medan telah mengajar, ramai manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk mendapatkan duit tambahan...

Bukan hendak kata orang  Indonesia jahat, apa lagi orang tua di sebelah yang kelihatan kuat beragama. Tetapi kalau orang ini jujur, belum tahu penumpang lain juga begitu. Maka lebih elok berhati-hati sebelum apa-apa terjadi.  Bila Rasyid membuka mulut , orang boleh tahu pemuda itu orang Malaysia dan selalunya mereka menyangkakan orang Malaysia kaya-raya belaka, ada membawa banyak duit untuk melancong di Indonesia. Lalu ramai yang meletakkan harga lebih, tidak kira untuk membeli rokok, makan di warung atau membayar tambang pengangkutan awam. Tambang  atau harga barangan 1,000 Rupiah boleh dinaikkan menjadi 5,000 Rupiah. Silap-silap di;ketuk’ menjadi lebih 10,000 Rupiah!

Orang tempatan atau orang luar yang sudah biasa dengan Medan selalunya jarang bertanyakan harga. Kalau naik pengangkutan awam, agak-agak sahajalah berapa orang selalu beri, 1,000 Rupiah atau 2,000 kemudian bayar. Jangan bercerita panjang... Begitu juga harga makanan dan rokok kerana  kedai-kedai biasa jarang meletakkan tanda harga. 

Itu belum dikira muka-muka penyangak yang  akan cuba menggertak meminta duit jika diberi peluang. Dari jauh lagi, dari body languagenya, Rasyid boleh mengenali orang-orang seperti ini... Dan sejak sampai di Indonesia dia telah terserempak tidak kurang empat orang berperangai gangster  yang tidak akan teragak-agak meminta wang jika diberi peluang.

Van dari Medan ini berhenti sebentar di kota Binjai menurunkan  penumpang sebelum meneruskan perjalanan melalui ladang kelapa sawit yang luas. Anak muda itu pula tertidur nyenyak kepenatan. Beberapa hari kebelakangan ini tidak cukup rehat kerana asyik berjalan hampir tanpa henti...  Sedar-sedar sahaja, sudah sampai ke Masjid Azizi, masjid raya (masjid utama) Tanjung Pura,  ibukota kabupaten Langkat.

        

Gambar daripada artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Tanjung Pura Langkat, Amir Hamzah, Sheikh Abdul Wahab dan Kampung Besilam tahun 2011 ini menunjukkan rupa Masjid Raya Azizi ketika sampai bersama isteri dan anak penghujung tahun tersebut. Artikel itu banyak mengandungi sedutan daripada Bab 3 buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" lalu tak perlulah diulang isi tersebut di sini. Ada diceritakan bagaimana indahnya rupa masjid, tentang makam-makam berbatu nesan tinggi di hadapan masjid juga keadaan tempat bernama Babussalam lebih kurang 8 km perjalanan dari masjid. Turut diceritakan panjang lebar tentang pengasas Babussalam iaitu Sheikh Abdul Wahab Rokan. Tetapi biar perkongsian di sini ditumpukan pada cerita perjalanan.

Perenggan ketiga muka surat 216 menyebut...

----------

Setelah puas menziarahi makam, pemuda itu masuk ke Masjid Azizi lalu menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid. Kemudian berehat  setengah jam sebelum berjalan kaki menuju ke pusat kota. Selepas 3 kilometer  berjalan, barulah dia berhenti di sebuah kedai,  makan tengahari lauk ikan dengan sayur masakan tempatan. Sambil itu,  Rasyid mahu bertanyakan arah ke Kampung Babussalam kerana walaupun dia ada terserempak orang di sepanjang jalan,  anak muda itu masih was-was hendak bertanya, takut tersilap orang lalu ditipu atau dipermainkan. Selepas meneliti airmuka setiap orang yang keluar masuk kedai, dia pun bertanya seorang pelayan kedai.  Pelayan itu memberi petunjuk arah tetapi katanya kampung itu masih jauh, dekat 10 kilometer lagi.  Jenuhlah juga kalau berjalan kaki...

Katanya lagi, Rasyid boleh menaiki motosikal sewa yang menjadi salah sebuah pengangkutan awam utama di sini, dipanggil orang tempatan sebagai ‘kereta’. Ambil di pusat kota, lagi 1 kilometer perjalanan tetapi dia tidak tahu tambangnya berapa. Pemuda itu sudah malas hendak bertanya lagi, nampak sangat tidak tahu selok-belok tempatan. Akhirnya dia menaiki beca yang kebetulan lalu di hadapan kedai makan.  Rupa-rupanya, ‘terkena’ juga. terbang 20,000 Rupiah sedangkan anak muda ini boleh  pergi ke Babussalam dengan tambang  2,000 Rupiah jika menaiki ‘kereta’...


Ralat : Semakan dengan Google Map menunjukkan saya cuma berjalan kaki sekitar 1 km sahaja dari Masjid Tanjung Pura sebelum berhenti makan, bukan 3 km seperti disebut di atas.



Masjid di Babussalam. Daripada artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Tanjung Pura Langkat, Amir Hamzah, Sheikh Abdul Wahab dan Kampung Besilam tahun 2011...


Selepas menceritakan sedikit tentang sejarah Kampung Babussalam atau panggilan tempatannya Besilam  juga tentang pengasasnya Sheikh Abdul Wahab yang dilahirkan di Rokan pada tahun 1811 diceritakan pula pengalaman saya melihat orang asyik meminta wang di sana. Hal ini membawa pada dialog antara watak Muhammad Al-Aminul Rasyid dengan seorang kenalan yang aktif dalam dunia politik. Mereka bertekak kerana Rasyid melihat banyak yang tidak kena tentang ini (meminta wang di institusi agama seperti Babussalam) sedangkan pada kenalan tersebut ini perkara biasa dalam dunia politik. Kenapa itu pun nak bising?  Terus pada muka surat 225 buku...

---------

Malam itu, Rasyid dijemput seorang pengunjung tetap Babussalam untuk tidur di rumah suluk berhadapan makam Sheikh Abdul Wahab. Hamba Allah  sebaya ayah dan berasal dari Medan ini memberitahu itulah rumah suluk almarhum semasa beliau masih hidup, tempatnya menajamkan mata hati dan makrifat terhadap Allah Subhanahuwata’ala.

Pengunjung lain di rumah suluk itu yang berasal daripada pelbagai pelusuk Sumatera juga mengajak pemuda ini supaya duduk lebih lama. Kalau boleh 40 hari, paling kurang pun tujuh. Mereka seronok apabila mendapat tahu Rasyid orang Malaysia dan ingin mengenalinya lebih dekat. Memang terdapat warga Malaysia yang rajin datang ke Babussalam dan orang-orang di sini nampaknya sukakan orang Malaysia, tidak tahulah mengapa... Adakah kerana orang Malaysia banyak duit? Harap-harap tidak...

Tetapi pemuda itu menjawab dia tidak boleh duduk lama kerana ada rancangan lain. Mereka terus memujuk. “Kalau tak dapat lama, tiga hari pun jadilah.  Kalau mahu merasakan kelebihan Babussalam...”

Rasyid cuma tersenyum sahaja. Katanya cukuplah satu malam. Melihatkan permainan duit yang tidak putus hari itu, dia merasa tidak selesa untuk menetap lebih lama tetapi  tidak menyatakan apa yang terbuku dihatinya. Harus juga menjaga perasaan orang lain walaupun pemuda ini kadang-kadang mulutnya lancang...

Lagipun dia sudah menunaikan janji kepada diri sendiri untuk bermalam di Kampung Babussalam, sudah melihat sedikit-sebanyak isinya walaupun setakat satu malam. Sudah masuk pintu kesejahteraan walaupun ia sekarang bergelumang dengan permainan wang. Sekarang sampailah masanya untuk pemuda ini masuk ke daerah kesejahteraan. Maka target seterusnya adalah bermalam Jumaat, malam esok di Aceh Darussalam... 



Perjalanan hari itu boleh dilakarkan seperti di atas. Ia ditandakan bermula dari satu kedai makan bernama Bakso Aceh kerana saya lihat kedudukannya cukup dekat dengan rumah Apin. Dicampur jarak ada berjalan kaki ke sana ke mari di Binjai juga di Tanjung Pura ia boleh dibulatkan menjadi 77 km. Campur jarak sebelum ini iaitu 826 km (rujuk artikel Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Hikmah dugaan feri ke Medan) jadilah 903 km sejak meninggalkan pejabat di Kuala Lumpur pada malam tahun baru 2004.


Friday, April 16, 2021

Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Hikmah dugaan feri ke Medan

Salam pagi Jumaat 4 Ramadhan. Adapun artikel sebelum ini iaitu Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Pulau Pinang sebagai 'jambatan' ke Aceh telah menggunakan isi daripada Bab 3 buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Sekarang biar disambung cerita menggunakan isi daripada Bab 4. Sekadar memaklumkan, ia sebenarnya adalah bab ke-9 dalam buku. Sebelum itu ada bab bertajuk "Sedikit mengenai Sheikh Abdul Qadir al-Jilani". 



Seingat saya lebih kurang begini rupa feri yang dinaiki dari Pulau Pinang untuk ke Medan. Tetapi ini adalah feri Singapura ke Tanjung Pinang di Riau...


Bab 4 yang bermula pada muka surat 169 buku menyebut...

-------------------- 

Perjalanan feri Pulau Pinang ke Belawan, pelabuhan terdekat ke Medan, Sumatera tidaklah selicin yang disangkakan.  Menurut brochure yang diberi, perjalanan ini sepatutnya memakan masa tidak lebih empat jam menaiki feri jenis bot laju. Maka Rasyid sudah berkira-kira akan makan tengahari di Medan kerana ia berlepas jam 9 pagi. Sebaliknya dia sampai setelah matahari terbenam, lewat lebih 7 jam dari yang dijadualkan.

Pada mulanya, feri itu bergerak lancar meninggalkan jeti Georgetown. Tidak ada apa-apa masalah, semuanya nampak OK belaka sambil ia meluncur laju di bawah Jambatan Pulau Pinang lalu melepasi selat kecil yang memisahkan Pulau Jerejak dengan kawasan Bayan Lepas, terus membelok menghala ke barat. Tetapi apabila sampai di perairan Balik Pulau, tidak pasal-pasal pula kemudinya patah, tersangkut pukat nelayan. 

Memandangkan mereka sudah hampir ke perairan lepas, pemandu feri dan anak kapal cuba meneruskan perjalanan menggunakan tayar yang diikat sebagai pelampung untuk mengimbangi arah. Dua orang anak kapal memegang sambil mengawal tali yang diikat sementara seorang lagi bertindak sebagai perantaraan untuk memberitahu pemandu di hadapan hala yang patut dituju dalam mencari perseimbangan arah.

Rupa-rupanya percubaan ini tidak berhasil. Bukan senang mengawal feri besar dengan lebih 100  orang penumpang melawan arus yang sentiasa berubah dengan kemudi yang patah. Selepas lebih dua jam berpusing-pusing di perairan Balik Pulau, mereka terpaksa berpatah balik ke jeti Georgetown. Makan tengahari yang hendak dinikmati di Medan pun bertukar menjadi sesi makan nasi bungkus atas jeti sementara menunggu feri gantian. 

Apapun,  tetap ada hikmah di sebalik kejadian ini. Kelewatan yang tidak dirancang telah mengenalkan Rasyid dengan Kak Dewi, seorang warga Medan yang baru selesai melancong ke Malaysia dan Singapura bersama tiga orang anak gadisnya. Lalu dengan pertolongannya, dia dapat melepasi pemeriksaan kastam dan imigresyen dengan mudah, diberi pula keizinan berada di Indonesia sehingga 60 hari  tanpa banyak cerita!

Sebelum itu ramai orang memberitahu bukan mudah melepasi kastam dan imigresyen Indonesia tanpa menghulurkan “buah tangan”, apalagi  mendapatkan kebenaran menetap begitu lama tanpa alamat yang hendak dituju. Pemuda itu tidak mengenali sesiapa di sana, tidak pernah sampai  ke Indonesia, tidak cukup belanja untuk penginapan jika ingin berjalan lama. Walaupun dia sudah biasa tidur bersepah, boleh menumpang mana-mana masjid dan surau, apakah hendak dijawab jika kastam dan imigresyen bertanya di manakah dia akan menginap?  Tentu banyak cerita nanti... Silap-silap Rasyid boleh ditahan, dipaksa pula bermalam di Belawan.

Nasib baik ada Kak Dewi. Kepadanyalah anak muda ini berterus-terang hendak ke Sumatera menziarahi tempat-tempat bersejarah termasuk Istana Maimon, istana kesultanan Deli yang menjadi kebanggaan penduduk Medan. Kebetulan pula wanita cantik berumur sekitar 40an ini mempunyai  adik ipar yang tinggal tidak jauh dari istana. Lalu dia berjanji akan menyuruh adik iparnya membawa pemuda itu ke sana nanti.

Kalau mengikut rancangan asal, semua penumpang feri sepatutnya menaiki bas yang disediakan ke Medan, dalam 20 kilometer  perjalanan. Tetapi kelewatan itu menyebabkan adik ipar Kak Dewi datang sendiri menjemput di pelabuhan untuk memastikan mereka selamat pulang. Kastam dan imigresyen pula tidak banyak bertanya apabila Kak Dewi menyebut Rasyid bersamanya. Ada pula adik iparnya, si Apin menggunakan nama seorang saudara  yang bekerja sebagai pegawai kastam. Maka anak muda itupun selamat sampai ke Medan dengan selesa, dapat pula tidur nyaman di sebuah bungalow sederhana mewah  di Pulau Berayan... 

--------------



Beginilah cerita hari pertama saya sampai ke Medan, pada 5 Januari 2004. Seterusnya buku menyebut bagaimana suami Kak Dewi iaitu Abang Arman memberitahu susah dan amat bahaya untuk masuk ke Aceh. Hari-hari ada orang mati kerana pertempuran demi pertempuran antara GAM (Gerakan Aceh Merdeka)  dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia). Berita televisyen pun tak henti-henti memaparkan konflik. 

Seterusnya diceritakan esoknya saya mengikut adik Abang Arman iaitu Apin ke rumahnya di Kota Maksum. Letaknya cuma sekitar satu kilometer  sahaja dari Istana Maimon tinggalan KeSultanan Deli, kesultanan yang pernah berkuasa ke atas sebahagian besar wilayah yang kini dikenali sebagai Sumatera Utara. Selepas berehat sebentar dan makan tengah hari di rumah kami berjalan kaki ke masjid lama kebanggaan keSultanan iaitu Masjid Raya Al Mansun. Letaknya dalam perjalanan ke Istana Maimon.

Di situ berlaku deja vu iaitu satu perasaan yang kita pernah melihat atau mengalami sesuatu peristiwa sebelum benar-benar mengalaminya di dunia nyata. Diceritakan pula bagaimana saya biasa mengalami ini sejak kecil lagi. Hal ini berlaku di tempat mengambil wuduk kemudian di dewan solat. Masuk ke perkarangan istana berlaku lagi deja vu

Disebut pula tentang sejarah wilayah ini sebelum wujud KeSultanan Deli membawa ke sejarah kesultanan abad ke-19 dan kemudian. Masuk sekali cerita beberapa pengalaman lama termasuk ketika belajar di London tahun 1991-1995 sebagai 'jambatan'.



Gambar isteri dan anak di hadapan  Masjid Raya Al Mansun. Daripada artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Raya Haji di Medan... dan penceritaan sebenar pun bermula tahun 2011. Dalam artikel ini ada lebih banyak perincian daripada buku termasuk hal deja vu...

Banyak lagi perkara diceritakan dalam buku termasuk bagaimana banyak tempat di Medan diberikan nama berbunyi Jawa disebabkan pemerintahan negara Indonesia yang berpusat di Jakarta, Pulau Jawa lebih berorientasi ke sana. Selepas kembali ke rumah Apin dari Istana Maimon ada berlaku perbualan panjang dengan seorang pakcik Apin yang berumur sekitar 50an. Ini kerana beliau mempersoalkan motif saya mahu ke Aceh. Namun tak perlulah diceritakan panjang lebar tenang itu. Pergi terus kita ke muka surat 188 buku...

-----------


Apin  juga ada rancangan hendak ke Aceh tetapi setakat sampai ke Langsa sahaja, 40 kilometer  ke utara sempadan Sumatera Utara-Aceh, lebih kurang 200 kilometer  dari Medan.  Katanya, dia mempunyai seorang abang yang bekerja sebagai pegawai bank di sana dan ada berjanji  akan menemuinya dalam masa terdekat. Tetapi pemuda ini tidak pasti bila... Mungkin dua tiga hari lagi, mungkin seminggu, mungkin lebih? 

Katanya lagi dia perlu berjumpa dengan beberapa orang kenalan terlebih dahulu kerana sudah berjanji hendak mengambil ubat yang akan mereka sediakan untuk abangnya. Tidak tahulah pula abangnya sakit apa sampai perlu menunggu ubat daripada Medan...

Pada Rasyid, elok juga kalau dapat pergi ke Aceh bersama Apin kerana dia lebih tahu selok-belok tempatan, tahu kerenah orang Indonesia dan faham cara percakapan mereka. Sekurang-kurangnya orang tidak boleh senang-senang menipu tambang bas atau pandai-pandai naikkan harga makanan, ambil kesempatan sebab anak muda ini orang luar. 

Tetapi Rasyid tidak boleh menunggu lama. Lutut sudah menggeletaq... Tidak sabar hendak berjalan lagi. Penyakit nak mengembara tak boleh duduk diam dia dah mai dah... Lagipun dia rasa tidak sedap menumpang  lama di rumah Apin. Mereka baru sahaja berkenalan dan rumah itu sebenarnya rumah ibunya, bukannya rumah bujang...

Apin ada mengajaknya tidur di rumahnya sehari dua lagi sekurang-kurangnya untuk berjalan-jalan mengenali Medan... Lagipun ada beberapa lagi tempat menarik dan bersejarah yang elok diziarahi dan belum pernah dijejaki anak Malaysia itu terutama pekan Deli Tua, pusat lama kerajaan Deli malah mungkin juga pusat lama kerajaan Haru yang pernah muncul setaraf dengan keSultanan Melaka 600 tahun dahulu.

Tetapi pengembara alias pengkaji sejarah amatur itu telah membuat keputusan untuk bergerak menuju ke  bumi Serambi Mekah seawal yang mungkin.  Cuma dia tidak akan terus ke Aceh kerana terasa perlu singgah di sebuah perkampungan yang mengandungi sebuah pusat kerohanian yang terbesar di Sumatera, sebuah kampung bernama Babussalam. 

Salah satu sebab  Rasyid terasa perlu ke situ adalah nama kampung itu membawa makna yang sangat bererti dalam pengembaraannya. Kerana Aceh juga dikenali sebagai Aceh Darussalam, daerah kesejahteraan sedangkan Babussalam yang terletak di Tanjung Pura, wilayah Langkat dalam perjalanan ke Aceh pula bermakna pintu kesejahteraan, sama dengan nama pintu-pintu utama Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.  Pendek-kata ada juga kaitannya...

Seperti hadis Rasulullah SAW: “Aku ini kota ilmu dan Ali pintunya. Maka jika hendak masuk ke kota ilmu, masuklah ikut pintunya.”  Takkan nak masuk ikut bumbung ataupun tingkap? Itukan biadab? Sedangkan pintunya ada menunggu untuk diziarahi. Lagipun Kampung Babussalam agak terkenal kerana pengasasnya bertaraf wali...


Ini adalah lakaran mudah perjalanan dari Belawan ke Pulau Berayan di Medan diikuti ke Kota Maksum. Campur jarak berjalan kaki dari rumah Apin ke Masjid Raya Al Mansur dan Istana Maimon juga ke tempat-tempat berdekatan harus tidak kurang 35 km. Semakan dengan Google Earth pula menunjukkan perjalanan dengan feri dari Pulau Pinang ke Belawan mencapai 256 km. Dicampur jarak berpatah balik dari Balik Pulau kerana feri rosak lalu perlu bertukar feri jadi 306 km. Campurkan ini jadilah jumlah 341 km. Dicampur jarak perjalanan dari Kuala Lumpur singgah banyak tempat diikuti berjalan di Pulau Pinang iaitu 485 km (rujuk Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Pulau Pinang sebagai 'jambatan' ke Aceh) jadilah jumlah 826 km.


Thursday, April 15, 2021

Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Pulau Pinang sebagai 'jambatan' ke Aceh

Salam hari Khamis 3 Sya'aban. Dalam artikel sebelum ini iaitu Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Meninggalkan Kuala Lumpur malam tahun baru sudah diberitahu bahawa perkongsian di blogspot akan mengambil bahagian-bahagian berkenaan daripada bab-bab bernombor dalam buku "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Sebagai contoh, artikel tersebut telah menggunakan isi daripada Bab 2 sedangkan ia sebenarnya adalah bab ke-4 dalam buku. Artikel ini pula menggunakan isi Bab 3 sedangkan ia sebenarnya adalah bab ke-7 buku. Sebelum itu ada bab-bab bertajuk "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor" diikuti "Interlud : Warkah untuk Nenek". Sekarang bolehlah disambung cerita daripada permulaan Bab 3 ,daripada muka surat 111 buku.


Lakara mudah laluan yang digunakan dari Teluk Intan untuk ke Pulau Pinang. Campur ada pusing ke sana sini di Teluk Intan, Lumut dan Taiping jarak harus menjadi sekitar 260 km...


Selesai sahaja urusan di Teluk Intan, Rasyid pun mengatur langkah untuk ke Pulau Pinang. Di sana terdapat perkhidmatan feri menyeberangi Selat Melaka ke  Belawan, pelabuhan terdekat ke Medan dalam  rangka perjalanannya untuk memasuki wilayah Aceh Darussalam.

Satu masa dahulu perkhidmatan feri terus ke Aceh juga turut ditawarkan sama di pulau itu. Tidak perlu ke Medan, lebih 2 jam perjalanan  darat ke sempadan  bumi Serambi  Mekah. Malangnya darurat yang diisytiharkan pemerintah Republik Indonesia akibat konflik berterusan dengan puak pemisah GAM telah menyebabkan perkhidmatan ini ditamatkan. Apapun, pada pemuda itu, jika tidak boleh terus ke sana, maka singgahlah dahulu di Medan. Lihatlah apa yang menarik kemudian lawatilah destinasi lain sepanjang perjalanan. Insya’allah, adalah hikmahnya nanti... 

Anak kelahiran Muar, Johor ini memang suka singgah seberapa banyak tempat yang boleh. Alangkan hendak ke Pulau Pinang pun dia tidak mengambil kenderaan terus sebaliknya singgah di Lumut. Kemudian baru menaiki bot menyeberangi Sungai Dinding ke Damar Laut lalu mendapatkan bas buruk ke Pantai Remis. Berehat sebentar di Taiping sebelum pergi ke Butterworth untuk menaiki  feri ke Pulau Pinang.

Salah satu sebab Rasyid mengambil jalan ini adalah kerana setiap  tempat yang diziarahi mempunyai kaitan tersendiri dengan cerita-cerita lama yang dicari. Menurut seorang tua di Perak, wilayah Lumut ke Taiping pernah termasuk di dalam kerajaan Melayu lama Beruas yang diasaskan Sultan Malikul Mansur kira-kira 700 tahun lalu. Malah katanya, kerajaan  lama itu pernah meliputi wilayah yang agak luas dengan sempadan utaranya ke Kedah, timur ke Terengganu dan selatan ke Muar, Johor! 


Bab ini menyambung dengan cerita kerajaan lama Beruas dan kaitannya dengan kerajaan Samudera-Pasai di Aceh. Selepas itu disebut pula kaitan Pulau Pinang juga Kedah (dahulu Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah) dengan Aceh.  Turut dinyatakan tentang satu tempat penting di pulau itu dibuka oleh seorang kerabat diraja Aceh. Cerita dalam buku seterusnya menyebut...

-----------------


Dari terminal feri Georgetown, Rasyid berjalan kaki masuk ke Lebuh Chulia, jalan yang selalu diikutinya setiap kali sampai ke Pulau Pinang melalui feri. Walaupun dia tidak tahu di manakah letaknya Lebuh Aceh, pemuda ini sudah meneliti peta pulau itu ketika berada di Kuala Lumpur.  Seingatnya tidaklah jauh sangat daripada bangunan Komtar yang boleh dilihat dari semua arah.  Singgah sebentar di sebuah restoran mamak, makan nasi kandar lauk ayam ‘negro’ kegemarannya kemudian baru menghala ke Jalan Kapitan Keling di mana terdapat salah sebuah masjid paling cantik di utara Semenanjung iaitu Masjid Kapitan Keling. 

Pemuda itu berehat sebentar di kawasan masjid sambil memikirkan hala-tuju seterusnya. Setelah pasti kedudukan, barulah dia membelok ke Lebuh Carnavon. Kalau ikut peta dahulu, Lebuh Aceh  sudah dekat sangat, tidak sampai  500 meter pun dari masjid tadi.  Tetapi jalan punya jalan tak juga jumpa-jumpa. Sedar-sedar sudah sampai ke Komtar. Nampak gayanya sudah terlajak. Bila sudah terkial-kial, barulah hendak bertanya orang...

Rupa-rupanya dari Jalan Kapitan Keling tadi boleh pergi terus ke situ. Tidak payah membelok ke mana-mana malah boleh kelihatan menara Masjid Lebuh Aceh dengan terang. Itulah, awal tadi tidak mahu bertanya. Pandai sangat, nak  cari sendiri. Apapun ada hikmahnya pemuda ini terlajak... Biasalah... Ada saja alasan budak ni tak nak mengalah...


Gambar isteri dan anak di hadapan Masjid Lebuh Aceh tahun 2011. Anak kecil ini yang sekarang sudah menjejak usia 12 tahun adalah pemilik nama Muhammad Al-Aminul Rasyid, nama yang digunakan untuk mewakili diri sebenar saya dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (2006-2007)...


Sebagai mahu menunjukkan ada hikmahnya boleh terlajak berjalan kaki di Pulau Pinang buku pun menyorot kembali (flasback) cerita pernah tersesat 19 jam setelah mendaki Gunung Nuang di sempadan Selangor-Pahang seorang diri dari arah Janda Baik. Butirannya ada dalam artikel Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan... tahun 2007 lalu tidak perlu dipanjangkan di sini. Hal tersebut dikaitkan dengan hikmah terlajak berjalan di pulau sehingga harus mengambil jalan jauh untuk masuk ke Lebuh Aceh lalu dapat melihat suatu keadaan. Cerita berkenaan ada dikongsikan dalam artikel Mencari jejak Merong : Lebuh Aceh dan faktor 555 di Pulau Pinang tahun 2011. Gambar atas diambil daripada artikel tersebut.

Selepas itu dikongsikan cerita bagaimana ada berkenalan dengan seorang warga tempatan di perkarangan Masjid Lebuh Aceh lalu diberitahu masjid dan lebuh dibina oleh seorang kerabat diraja Aceh bernama Tuanku Syed Aidid. Buku pun mula menelusuri sejarah beliau yang sebenarnya sempat menjadi Sultan Aceh. Dibuka pula cerita bagaimana nenek moyang beliau yang bergelar Sayyid dan Sharif, keturunan Nabi Muhammad SAW dapat menjadi Sultan-sultan Aceh sebelum naik satu keluarga lain yang dikatakan berketurunan Bugis. Disebut bagaimana saya pertama kali menziarahi makam Tuanku Syed Aidid di hadapan masjid. 

Masuk pula cerita seniman besar negara, Allahyarham P. Ramlee yang berasal dari Pulau Pinang sedangkan bapanya datang dari Aceh, ada darah bangsawan sana. Tetapi untuk perkongsian di sini biar melompat terus ke apa yang terjadi selepas menginap tiga malam di masjid. Pergi ke muka surat 139 buku.

----------


Oh... Rasyid ada menelefon Pak Syed untuk memberitahu dia berada di Pulau Pinang dan akan menuju ke Aceh. Ketika itu sudah lima hari pemuda ini menghilang tanpa berita, masih berkecil hati kerana diherdik orang tua itu ketika di Kuala Lumpur. Pak Syed tidak hairan. Dia tahu anak muda yang pernah menolong mengarang beberapa buah bukunya sejak kebelakangan ini memang “kaki lesap”, suka buat magic. Hilang tanpa perkhabaran,  tiba-tiba boleh muncul di mana-mana. Dia selalu beritahu orang, Rasyid ini ibarat biskut Chipsmore, sekejap ada sekejap tak ada...

Tetapi hamba Allah yang telah lebih 40 tahun berkecimpung dalam dunia penulisan ini terperanjat  juga apabila pemuda itu memberitahu dia akan bergerak ke Aceh pagi itu, kerana menyangkakan anak angkatnya itu akan menunggu sehingga dia menghulurkan sedikit duit belanja. Pak Syed cuba memujuknya balik dahulu ke Kuala Lumpur. Katanya, dia hendak menanam saham sempena perjalanannya ke Aceh... Orang tua itu tidak tahu Rasyid sanggup menjual semua baki pelaburannya dalam Bursa Saham yang dahulunya bernilai lebih RM20,000 tetapi disebabkan masalah syarikat - kaunter digantung, dekat dua tahun lepas itu consolidate 40 saham menjadi 1 - telah susut nilai menjadi RM1,000 sahaja. Itupun separuh telah diserahkan kepada bekas isteri untuk perbelanjaan anak. Bakinyalah yang dibuat belanja perjalanan dan makan minum ke Aceh...

Anak muda itu memberitahu dia tidak boleh berpatah balik, mesti berjalan terus. Lagipun dia pantang membuat u-turn apabila sudah melangkah. Pak Syed kata tak apalah. Dia doakan semuanya selamat... 

Rasyid juga sempat menelefon ibu dan ayah. Sebelum itu dia tidak pernah bercerita kepada mereka tentang niatnya hendak ke Aceh. Seperti biasa, mereka tidak terperanjat. Sudah cukup masak dengan perangai anak sulung  yang selalu pergi berkelana tanpa dirancang ini.  Apa yang ayah dan ibu  tahu, sejauh mana pun dia pergi, bagaimana sekali pun keadaan yang ditempuhi, Insya’allah  pemuda itu tetap akan pulang dengan selamat.


Lakaran peta ini menunjukkan laluan saya dari jeti Pulau Pinang lalu terlajak berjalan kaki hingga ke Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak, bangunan tertinggi di utara Semenanjung) ketika hendak mencari Lebuh Aceh. Sepanjang menginap tiga malam di Masjid Lebuh Aceh tiap-tiap hari saya berjalan kaki ke sana ke mari lalu meliputi jarak tidak kurang 10 km. Campur jarak 260 km dari Teluk Intan  jadi 270 km. Campur jarak dari Kuala Lumpur seperti disebut dalam artikel Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Meninggalkan Kuala Lumpur malam tahun baru iaitu 215 km jadilah jumlah 485 km. Sekarang melompat kita dekat dua muka surat untuk cerita seterusnya...

---------


Pagi 5 Januari 2004, lima hari selepas meninggalkan Kuala Lumpur dan segala hiruk-pikuknya, Rasyid melangkah ke jeti untuk menaiki feri  ke Medan. Berbekalkan wang sebanyak 666,000 Rupiah (RM300 ditukar dengan kadar RM1 = 2,220 Rupiah) dan sedikit simpanan Ringgit, dia bertekad untuk memulakan kehidupan baru di  Aceh Darussalam. Seperti ketika meninggalkan Kuala Lumpur malam Tahun Baru, sekali lagi pemuda itu melangkah melawan arus dan lumrah kebiasaan. 

Di kala ramai ingin meninggalkan Indonesia untuk mencari rezeki di Malaysia yang lebih aman, makmur dan damai,  di kala rakyat Aceh sendiri sibuk mencari jalan melarikan diri dari tanah air yang kelam-kabut penuh rintangan, Rasyid pula beriya-iya mahu menyeberang ke arah yang berlawanan, ada hati hendak menetap  di sana... Di kala semua hendak mencari kehidupan yang lebih selamat, dia pula mahu memasuki zon darurat yang dihiasi muncung senapang. Mungkin maut yang sebenarnya pemuda ini cita-citakan? Mungkin di situ terletaknya erti kebahagian sejati?


Wednesday, April 14, 2021

Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Meninggalkan Kuala Lumpur malam tahun baru

Salam hari Rabu 2 Ramadhan. Merujuk pada cara tertentu cerita-cerita dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" disusun seperti disebut dalam artikel pertama siri ini Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Sebab musabab perjalanan. Saya telah membuat keputusan bahawa perkongsian bagi siri cerita perjalanan dalam blogspot ini dibuat dengan mengambil bahagian-bahagian berkenaan sahaja daripada bab-bab bernombor dalam buku. Misalnya untuk cerita kedua ini biar diambil daripada Bab 2 buku pertama "Berpetualang ke Aceh", buku yang memiliki tajuk kecil "Mencari Diri dan Erti" (Jun 2006). Biar dimaklumkan ia sebenarnya adalah bab ke-4 dalam buku. Sebelum itu ada bab-bab bertajuk "Mukadimah : Mengapa Berpetualang?" diikuti  Bab 1 kemudian "KeSultanan Perlak : Bermulanya sebuah Cerita".


  


Lebih kurang beginilah rupa bas yang dinaiki dari Rawang ke Tanjung Malim ketika cerita berlaku sebelum tahun baru menjelang 1 Januari 2004. Ketika itu belum lagi terdapat perkhidmatan kereta api Komuter menyambungkan dua bandar tersebut...


Permulaan Bab 2, muka surat 55 buku menyebut...

----------------


Sedang kebanyakan rakyat Malaysia mula berpesta, Rasyid pula merengkok dalam bas buruk meninggalkan suasana meriah kotaraya  menuju ke tempat yang kurang happening iaitu Tanjung Malim.  Kebetulan bas model lama dari Rawang ini adalah bas awam terakhir hari itu masuk ke pekan yang terkenal dengan sebuah ikon perjuangan Melayu sebelum merdeka, Maktab Perguruan Sultan Idris (sekarang universiti). Maka tempat pertama dituju adalah stesyen keretapi, lebih 1 kilometer  berjalan kaki.

Memang tidak ada apa-apa lagi pengangkutan awam daripada Tanjung Malim ke Teluk Intan, destinasi sebenarnya malam itu. Yang ada cuma perkhidmatan keretapi malam ke utara melalui Tapah Road, perhentian terdekat ke sana. Itupun tidak tahu jam berapa keretapi sampai... Malam pula semakin lewat, lebih jam 9. Jika sampai ke Tapah Road pun tentu tidak sempat mendapatkan pengangkutan awam ke mana-mana tempat.

Apapun Rasyid tetap bertekad mencari jalan untuk sampai ke Teluk Intan malam  itu juga. Mungkin boleh menumpang mana-mana kereta yang lalu-lalang?  Atau  lori  barangan yang suka mengambil kesempatan    kesunyian awal pagi, ketika jalanraya jarang digunakan... 

Mungkin ada yang tertanya mengapa Rasyid tidak menaiki bas ekspress Kuala Lumpur ke Teluk Intan. Perkhidmatan terakhir 8.30 malam, bukankah itu lebih senang? Ini tidak. Naik KTM Komuter ke Rawang, kemudian bas buruk yang asyik berhenti menurunkan atau mengambil penumpang. Berhenti pula lagi di Kuala Kubu Baru dekat suku jam. Akhirnya perjalanan yang boleh dilakukan dalam masa kurang dua jam menjadi panjang, lebih empat jam. Itupun tak sampai ke Teluk Intan...

Kalau hendak tahu, itulah cara anak muda ini mengembara. Jarang berpatah balik jika sudah menuju ke satu arah. Petang tadi dia ada urusan  di Kepong. Sebab itu naik Komuter menghala utara ke Rawang. Kalau hendak ambil bas ekspress, harus berpatah kembali 10 km ke pusat kota. Lagipun semua perkhidmatan awam dan jalanraya masuk ke Kuala Lumpur sedang sesak kerana sambutan perayaan Tahun Baru, Happy New Year. 

Walau apapun Rasyid sudah sampai ke Perak, negeri yang  menyimpan banyak rahsia susur-galur keturunan bangsawan dan kerabat diraja Aceh, Di sini dia berharap akan mendapat  ‘pembukaan’ atau ilham yang dapat memberi petunjuk bermakna untuk perjalanannya ke Aceh... 


 ————————


Bab ini seterusnya menyebut bahawa KeSultanan Perak yang merupakan satu-satunya warisan keSultanan Melaka yang masih wujud hingga ke hari ini juga mempunyai titisan darah KeSultanan Aceh. Disebutlah bagaimana titisan darah ini masuk melalui beberapa perkahwinan diraja sebelum menyatakan kaitan dengan pemilik sebuah makam purba berdekatan Teluk Intan. Diceritakan bahawa kali terakhir saya ke Perak adalah pada setengah tahun sebelum itu (pertengahan tahun 2003) lalu ada menziarahi makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah (memerintah 1528-1549) di Teluk Bakong, Parit. Disebut bahawa baginda adalah pewaris sebenar jajahan takluk empayar Melaka selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis 1511.  

Dikaitkan pula dengan signifkan makam nenda baginda iaitu Sultan Alauddin Riayat Syah (Melaka) berbatu nesan Aceh. Makam ayahanda Sultan Mansur Syah juga berbatu nesan Aceh tetapi telah dirosakkan oleh Portugis. Dipanjangkan pula cerita bagaimana Sultan Alauddin itu dikatakan jujur dan berani menangani sendiri masalah di Melaka. Tetapi ini menimbulkan perasan tidak senang para pembesar. Dibuka juga beberapa hal tentang kepincangan dalam pemerintahan dan pentadbiran kerajaan Melaka yang muncul kemudian lalu ini dinyatakan sebagai sebab sebenar kejatuhan Melaka.

Tidaklah ingin hal ini dipanjangkan dalam penulisan di sini kerana mahu memberikan tumpuan pada cerita perjalanan sebenar ke Aceh yang menjadi tulang belakang trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" kecuali ditambah satu perkara sahaja iaitu sebab sebenar kejatuhan Melaka. Disebut dalam Bab 2 bahawa ia bukan kerana orang Melayu Melaka tidak memiliki senjata api lalu ketinggalan teknologi berbanding Portugis yang menyerang sebaliknya Melaka jatuh kerana pengkhianatan dalaman. Percaya atau tidak hal ini tidak pernah dibincangkan dalam kalangan umum sebelum ia keluar dalam buku pertama saya. Selepas itu baru ramai memanjangkan perkara. 

Namun ramai pula tanpa rasa bersalah mahupun malu mengaku sebagai pencetus walaupun baru mengangkat perkara lebih 2 tahun selepas ia disebut dalam buku saya Jun 2006. Lihat sedutan berkenaan dalam artikel Sebab sebenar kejatuhan Melaka. Dipaparkan pada 13 November tahun tersebut ia adalah artikel ke-4 di blogspot ini.


Kembali pada sedutan dalam buku tentang perjalanan sebenar ke Aceh. Daripada muka surat 72-73 buku, penghujung Bab 2.

-----------


Berbalik ke cerita Tanjung Malim. Sebaik sahaja sampai ke stesyen keretapi, Rasyid terus bergegas ke kaunter untuk memeriksa jadual perjalanan. Alhamdulillah, keretapi ke utara masih ada dan akan sampai  dalam masa sejam. Dapatlah bergerak lebih hampir ke Teluk Intan...

Stesyen pula dipenuhi para pelajar Universiti Perguruan Tanjung Malim (UPSI) yang sibuk hendak kembali bercuti Tahun Baru ke kampung masing-masing. Sambil menunggu, dia sempat berkenalan dengan beberapa orang  pelajar lalu duduk santai bercerita sambil minum-minum kopi... Hampir-hampir sahaja Rasyid mahu bercerita lagi tentang raja-raja Melayu dan kaitannya dengan Aceh tetapi dia teringat pesanan seorang tua, kali ini elok menutup mulut langsung atau buka cerita lain. Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar... Kerana pemuda itu sedang mengorak langkah ke bumi Serambi Mekah, perlu bergerak seperti  tersebut dalam bahagian terakhir ayat 19 Surah Al-Kahfi yang berbunyi:


Wal yatalatthaf wala yusy’irannabikum ahada

Terjemahan ringkas ke dalam bahasa Melayu: “Hendaklah berlaku lembut dan janganlah  beritahu kepada seorang jua pun tentang hal mu.”

Mengikut ceritanya, ayat ini merupakan sebuah pesanan penuh makna yang ditujukan kepada seorang dari para pemuda Al-Kahfi (ahli gua) yang telah ditugaskan turun ke bandar membeli makanan. Setelah terbangun dari tidur yang sangat lama di sebuah gua di kawasan pergunungan. Mengikut satu riwayat mereka tertidur  selama 309 tahun! Tetapi ketika itu, mereka menyangkakan mereka setakat tertidur beberapa jam sahaja... 

Para pemuda Al-Kahfi ini pernah menjadi penasihat seorang raja zalim.. Tetapi Tuhan memberikan hidayah sehingga mereka menjadi orang-orang beriman lalu melarikan diri kerana tidak tahan lagi dengan kezaliman raja. Dalam perjalanan, mereka telah berehat di sebuah gua lalu tertidur.Apabila terbangun, para pemuda ini terasa sangat lapar dan dahaga pula... 

Pesanan tersebut telah diberikan kepada pemuda yang turun ke bandar supaya kehadirannya tidak disedari, takut raja akan memburu mereka nanti. Sebaliknya bandar itu kecoh kerana dia telah menggunakan matawang yang sudah lama pupus sehingga identitinya pun dikenal-pasti! Nasib baiklah raja yang zalim sudah lama mati digantikan seorang raja yang beriman...

Kebetulan ayat ini terletak betul-betul di bahagian tengah Al-Quran sehingga huruf-hurufnya ditanda dengan warna merah. Maka ia  juga dianggap mempunyai banyak makna serta khasiat yang tersirat terutama oleh pengamal ilmu persilatan peringkat tinggi dan para ahli kebatinan.

Rasyid telah diingatkan seorang tua yang penuh dengan petua supaya jangan bercerita tentang tujuan sebenarnya ke Aceh kecuali kepada orang-orang yang mampu memahami, boleh menerima keadaannya yang suka menziarahi makam-makam lama dengan matahati yang terbuka dan hati yang suci. Malah kalau boleh jangan bercerita langsung tentang raja-raja Melayu dan kaitannya dengan para wali kerana ia melibatkan banyak rahsia, sudah tentu ada pihak yang tidak senang dan akan cuba menghambat perjalanannya samada secara zahir mahupun batin nanti! Maka itu apabila ditanya dia hendak ke mana, apakah tujuan perjalanannya, pemuda itu cuma menjawab hendak ke Perak kerana sudah jemu dengan hiruk-pikuk Kuala Lumpur. “Saja tukar angin!” jawabnya ringkas...

Dipendekkan cerita, Rasyid sampai ke Tapah Road hampir jam 1 pagi.  Lalu dia cuba  untuk hitchike, menunggu di tepian jalan untuk menumpang kenderaan menghala ke Teluk Intan tetapi nampaknya tak ada nasib... Tidak ada motosikal, kereta ataupun lori menghala ke sana lagi. Terpaksalah tidur di serambi sebuah surau yang berkunci. 

Keesokan pagi, barulah anak muda ini dapat menaiki bas ke sana. Barulah boleh melangkah ke makam seorang wali Allah yang pernah bermastautin di bumi Serambi Mekah tetapi lari untuk memulakan kehidupan baru di Perak, ketika keSultanan-keSultanan Melaka, Aceh dan Perak belum wujud dalam sejarah, sekitar 1,000 tahun yang lampau.

Di sana terungkailah satu cerita yang akan mengaitkan kesemua keSultanan tersebut dengan keSultanan-keSultanan Samudera Pasai dan Perlak. Satu kesinambungan yang akan mengaitkan jihad untuk menegakkan Syiar Islam di Nusantara dengan perjuangan kaum kerabat Rasulullah SAW di Timur Tengah. Insya’allah...

 

Perjalanan saya petang itu membawa ke selepas tengah malam 1 Januari 2004 boleh dilakarkan dalam peta Google Map seperti di atas. Ia meliputi jarak 178 km (boleh dibulatkan menjadi 180 km) dalam tempoh  7 jam disebabkan banyak persinggahan dan menggunakan pelbagai kenderaan awam. Ada disebut bahawa petang itu ada urusan  di Kepong, sebab itu naik Komuter  ke Rawang kemudian bas ke Tanjung Malim diikuti kereta api turun di Tapah Road. Sekarang biar diberitahu urusan di Kepong itu sebenarnya adalah untuk bertemu dengan bekas isteri dan anak kecil kami yang ketika itu baru berumur setahun lebih.

Selain mahu melepaskan rindu saya mahu memberi wang RM500 sebagai belanja anak. Wang itu adalah separuh daripada duit RM1,000 yang diperolehi beberapa hari sebelum itu hasil penjualan saham. Ia sebenarnya adalah akibat pelaburan RM20,000 susut nilai. Penghujung tahun 2000 saya ada melaburkan wang tersebut untuk membeli saham satu syarikat yang sedang menghadapi masalah.

Ketika itu otak saya gila-gila yakin boleh membuat untung atas masalah yang menyebabkan harga saham boleh turun naik secara drastik begitu sahaja. Tetapi berlaku perjalanan ke Perancis (lihat Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000) yang membuat saya tidak dapat memantau dengan baik. Tahu-tahu sahaja kaunter digantung. Dekat dua tahun selepas itu diumumkan pula 40 saham digabungkan (consolidate) menjadi 1 menyebabkan nilai pelaburan RM20,000 susut nilai menjadi RM1,000!

Beberapa lama selepas itu pula baru kaunter dibuka kembali lalu saham dijual untuk mendapatkan RM1,000 itu. Daripada jumlah tersebut, separuh diserahkan kepada bekas isteri untuk belanja anak separuh lagi untuk belanja perjalanan ke Aceh. Sesungguhnya semasa menyerahkan itu saya tidak pasti akan kembali lagi ke Malaysia. Ketika itu ada rasa mahu berhijrah terus ke Aceh.


Oh. Oleh kerana cerita dalam Bab 2 dihabiskan dengan saya sampai ke Teluk Intan siang selepas bermalam di Tapah Road biar lakaran perjalanan berkenaan dibuat dalam peta. Saya tidak mahu memperincikan lawatan-lawatan yang dibuat di Teluk Intan dan sekitarnya. Cukuplah supaya nampak ada jarak 35 km perjalanan dari Tapah Road. Campur dengan jarak sebelum ini yang dibulatkan sebagai 180 km jadilah 215 km.


Tuesday, April 13, 2021

Berpetualang ke Aceh tahun 2004 - Sebab musabab perjalanan

Salam pagi Selasa 13 April 2021 bersamaan 1 Ramadhan 1442 Hijriah. Mengambil keberkatan bermulanya bulan mulia yang mana umat Islam diwajibkan  menunaikan ibadah puasa ini biarlah dimulakan satu siri baru perjalanan lama yang boleh dikatakan kemuncak pada semua yang telah berlaku sebelum perjalanan dimulakan awal tahun 2004. Biar siri ini diberi nama "Berpetualang ke Aceh", sama tajuk besar seperti pada tiga buku terawal saya yang terbit tahun 2006-2007. Biar diberikan dahulu sedikit mukadimah berkenaan.


Pertama, kenapa diberi tajuk "Berpetualang ke Aceh"? Tentang itu telah diterangkan panjang lebar dalam artikel kedua di blogspot ini iaitu Mukadimah: Kenapa Berpetualang? lebih 14 tahun lalu. Ia menggunakan sedutan berkenaan daripada bab pembuka yang memiliki tajuk serupa dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Selepas menjelaskan sebab musabab pemilihan tajuk bab ini menyatakan betapa pentingnya menilai kembali sejarah Alam Melayu menurut kaca mata sendiri bukan kata mata berat sebelah Barat. 

Disebut juga tentang kewujudan lebih 300 makam kerabat diraja, ulamak dan bangsawan di Semenanjung Tanah Melayu yang memakai batu nesan Aceh (setakat diketahui semasa itu) sebagai bukti kepentingan Aceh juga kerajaan Samudera-Pasai yang pernah wujud di situ dalam pensejarahan keIslaman Alam Melayu. Percaya atau tidak soal ini (melihat kembali sejarah menurut kaca mata sendiri dan kajian batu nesan Aceh) adalah antara begitu banyak perkara yang telah diangkat oleh siri buku "Berpetualang ke Aceh". Siri ini merupakan satu trilogi iaitu tiga buah buku bersiri. Bukan tidak ada orang pernah memperkatakan tentang hal itu. Cuma ia lebih pada dalam ruangan tertutup seperti dalam perbincangan dan makalah di universiti lalu tidak sampai kepada umum seperti dilakukan melalui penerbitan buku bermula pertengahan tahun 2006.

Penulisan buku itu sendiri sebenarnya sudah bermula awal tahun 2004, sebelum mendapat rupa yang dirasakan sesuai untuk diterbitkan sendiri. Selepas hampir setengah setahun buku pertama keluar baru dibuka blogspot ini lalu diberikan nama CATATAN SI MERAH SILU. Artikel Mukadimah: Kenapa Berpetualang? muncul kurang sejam selepas artikel Apa-apa aje le... yang menerangkan kenapa memakai nama Merah Silu  menjadi artikel pertama blogspot petang Ahad 12 November 2006. Ia adalah permulaan bagi penulisan saya mencapai khalayak yang lebih luas berbanding sekadar dengan buku.

Buku ini sarat dengan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber. Antaranya melalui pengembaraan, menemui 'orang-orang lama', ilham dan mimpi selain membaca buku dan sumber-sumber akademik. Dikongsikan pengalaman hidup secara berlapis-lapis berdasarkan teknik flashback mengikut gerak ilham di manakah patut diletakkan suatu cerita. Namun cerita tulang belakang buku  adalah perjalanan pertama kali saya ke Aceh pada awal tahun 2004 iaitu ketika ia masih dilanda darurat perang akibat pertentangan antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan TNI (Tentera Nasional Indonesia) lalu itulah yang hendak dikongsikan dalam siri di sini. 


Dinyatakan dalam Bab 1, muka surat 19 hingga 20...

------------


Petang 31 haribulan Disember 2003. Suasana  pesta perayaan mula dirasakan. Walaupun pejabat kecil di atas bengkel kereta di Jalan Gombak ini agak terlindung daripada hiruk-pikuk luar, Rasyid dapat mendengar  kecoh-riuh hilai ketawa  orang-ramai keriangan.

Sesekali terdengar bunyi mercun bunga api berdentum daripada pelbagai arah. Walaupun masih terdapat lebih enam jam sebelum tengah malam, sebelum seluruh Kuala Lumpur juga seluruh Malaysia malah seluruh dunia berpesta menyambut perayaan besar  Happy New Year... 

Mohamed Hasrat baru menyiapkan sebuah tugasan untuk Pak Syed, tuan-punya pejabat. Rasyid yang duduk di sebelah pun menoleh ke arah Hasrat lalu bertanya.  “Amacam malam ini bro, apa plan?” 

Sebulan kebelakangan ini, pemuda  Singapura ini adalah satu-satunya teman berbual dan bertukar fikiran.. Sementara menjadi ‘penunggu’ siang-malam di pejabat, menyiapkan buku terbaru Pak Syed. 

Hasrat belum sempat menjawab, tiba-tiba Pak Syed sudah menyampuk: “Kamu ni, ingat hendak enjoy sahaja. Cuba fikir, apa yang kamu sudah buat sepanjang tahun? Have you been a success or a failure? What have you contributed? What have you done with your life? Have you done anything beneficial?

Rasyid tidak menjawab. Terus membisu seribu bahasa... 

Orang tua itupun menyambung: “Patutnya time-time begini kamu fikir baliklah apa yang kamu sudah buat dengan kehidupan. Muhasabahlah diri... Tengok di mana salah dan silap... Ini tidak, fikir nak  enjoy sahaja. Bagaimana kamu hendak berjaya? Tengok macam aku...” 

Pak Syed pun mula bersyarah tentang kehidupan dan kejayaan, tentang penulisan dan penerbitan buku... Tentang bagaimana dia sendiri melangkah sebelum menjadi penulis terkenal. Pemuda itu cuma mendengar sahaja, tidak terfikir pun mahu enjoy. Terlalu banyak perkara  yang merunsingkan fikirannya... Tahun Baru akan menjenguk tidak lama lagi tetapi kemelut yang melanda jiwanya tidak juga selesai-selesai. Semuanya terasa tawar dan hambar. Mana ada mood  hendak enjoy? Tengok orang ramai pun pening, meluat... Rasa nak muntah pun ada. Boleh ke celebrate new year begini?

Lalu Rasyid teringat perayaan-perayaan hujung tahun 80an dan awal 90an dahulu, ketika dia  masih suka enjoy... Ketika itu layaklah kalau Pak Syed menegurnya... Zaman itu, awal-awal lagi dia sudah menyiapkan seluar, baju dan kasut yang hendak dipakai dan digayakan, supaya penampilannya ‘mengancam’, dapat menarik perhatian... Sudah merancang dengan kawan-kawan, manakah lokasi yang happening, tempat ‘hinggap’ yang sesuai...

Tempat-tempat seperti Dataran Merdeka boleh tahanlah juga, boleh  menonton konsert free dengan show  bunga api. Tetapi anak muda ini sudah terbiasa menghabiskan zaman kolejnya di pusat-pusat hiburan eksklusif seperti Scandals di Bukit Bintang dan Faces di Jalan Ampang, tempat-tempat yang pengunjungnya ada class, bukan orang sembarangan... Barulah boleh berjumpa awek yang dapat memenuhi citarasanya yang agak tinggi.

Zaman itu, waktu hujung minggunya sering dipenuhi bersama kawan-kawan ‘sealiran’ berdansa mengurat perempuan, kalau tidak membawa girlfriend ataupun date bersama... Gelak ketawa santai minum-minum, kadang-kala sampai tujuh disko satu malam! Dari Scandals boleh ke Faces, tukar selera pula ke Traqs. Eh... Ke Trax? Sudah lupa ejaannya, diskonya pun tak ada lagi...  Yang nyata, ia terletak di Jalan Ampang juga, tidak jauh dari beberapa kelab malam lain dalam segitiga emas Kuala Lumpur.


Pembukaan sebegini bagi Bab 1 dibuat untuk menerangkan bagaimana keadaan jiwa dan pemikiran watak utama buku iaitu Muhammad Al-Aminul Rasyid sebelum memulakan perjalanan ke Aceh. Ia sebenarnya merujuk pada diri saya lalu cerita-cerita yang dikongsikan adalah 100 peratus pengalaman sebenar belaka, sekurang-kurangnya menurut sudut pandang sendiri setakat dapat diingati. Disebutlah tentang zaman kolej di PPP/ITM (kolej persediaan untuk ke luar negeri) tahun 1988 hingga 1990 yang mana saya aktif keluar ke kelab-kelab malam lalu dilawankan pula dengan zaman membesar yang mana saya masih lagi berminat untuk mencari kebenaran. Disebut sejak berumur 18 tahun ada mengidam untuk hidup dalam sebuah negara berperadaban tinggi dengan rakyat yang sayangkan ilmu. Namun ada percanggahan jiwa terbit akibat realiti hidup. Ini mula tercetus kerana menghadapi masalah pergaulan semasa belajar di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang akibat pemikiran yang lain daripada orang lain.

Hal ini membuat saya mula memberontak lalu menjadi budak nakal kerana kelihatannya lebih mudah diterima kawan-kawan. Yang menyelamatkan keadaan adalah saya termasuk dalam kalangan orang yang semulajadi pandai terutama dalam bidang matematik lalu ini diakui oleh semua yang mengenali. Pun begitu hidup menjadi semakin celaru sehingga dibuang daripada sekolah pada penghujung Tingkatan Empat akibat masalah disiplin. Punyalah pemberontak, ketika sedang menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun sempat lari rumah kerana bergaduh dengan ayah.  

Nasib baik masih mampu mendapatkan Gred 1 walaupun aggregatnya tidaklah sehebat mana. Ini yang membolehkan saya untuk memperolehi penajaan bagi menyertai program “A” level seterusnya melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti terkemuka di England. Bertahun kemudian baru  terfikir bagaimana hidup boleh jadi begini bercelaru. Rupa-rupanya sudah hilang rasa home sweet home atau memiliki rumahku syurgaku sejak berumur 12 tahun lagi. Itupun setelah lama asyik berkeluar berkelana ke sana ke mari tanpa arah tujuan yang pasti. Muka surat 30- 32 menyatakannya begini...

----------

Mungkin sebab itu, Rasyid sering berkelana tanpa arah dan tujuan yang pasti? Main redah sahaja ikut gerak hati, mana rasa hendak pergi, di situlah dia membawa diri... Kalau tiba-tiba terasa hendak berjalan kaki masuk ke hutan, tak kira hujan ataupun ribut,  mesti juga pergi... Tidak kiralah jika dia tidak pernah sampai ke situ, tidak ada guide, tidak ada sesiapa menunjukkan jalan...

Pernah sekali Rasyid tersesat 19 jam seorang diri di tengah hutan kerana tiba-tiba ‘gatal' hendak mendaki Gunung Nuang yang tingginya hampir 5,000 kaki. Daripada Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang, turun ke Hulu Langat, Selangor dalam hujan renyai tak henti. Sampai puncak pula jam 6 petang... Terpaksa turun dalam gelap sebab torch-light pun tak dibawa..

Tetapi Alhamdulillah, Rasyid dapat keluar dengan selamat tanpa terserempak walau seekor pun binatang berbahaya atau berbisa. Walhal kata orang, kawasan yang dilaluinya adalah tempat harimau dan ‘jin bertendang’. Mungkin ini berlaku berkat kepercayaan serta sifat Tawakalnya yang kental? Terutama terhadap sepotong ayat Quran yang maknanya lebih kurang begini: “Ubun-ubun setiap binatang yang melata berada di dalam genggamanKu.” Tidak ada satu pun makhluk boleh berbuat apa-apa tanpa digerakkan Allah SWT.  Pendek-kata kalau Dia kata selamat, maka selamatlah kamu tidak kiralah apa yang menunggu...

Ada masanya pula pemuda ini keluar menunggang motosikal besar kesayangannya melalui suatu jalan yang dilihat dalam peta atau menelusuri sungai semata-mata kerana hendak memuaskan hati. 

Pernah sekali, dia pergi ke Kampung Gajah, Perak untuk menghantar orang, malas pula hendak kembali cepat ke Kuala Lumpur  lalu terasa mahu menghulu Sungai Perak. Mula-mula anak muda ini menunggang sampai ke Bota Kanan, lebih kurang 20km utara dari Kampung Gajah. Tetapi dia masih tidak berpuas hati lalu meneruskan perjalanan menghulu sungai sampai ke Parit, dalam 20km lagi. Entah apalah  yang dicari? 

Selepas berehat sebentar minum teh tarik, Rasyid menyambung lagi perjalanan sampai ke Kuala Kangsar. Sempat berjalan-jalan di bandar diraja  Perak sebelum membuat keputusan untuk terus menelusuri Sungai Perak sampai ke hulu sejauh yang boleh. Sedar-sedar sahaja sudah sampai ke Jeli, Kelantan, lebih 200km dari Kampung Gajah! Kalau dikira dari Kuala Lumpur, sudah hampir 400km perjalanan... 

Atas  gerak hati yang serupa, dia juga pernah ke Kuala Klawang, Negeri Sembilan lalu keluar di Teriang, Pahang sebelum menghulu Sungai Pahang.  Sedar-sedar saja sudah sampai ke  Jerantut pula, lebih 200km perjalanan kerana pengembaraan ini bermula dari Kajang.

Lebih menarik,  ini dilakukan dengan tayar belakang motosikal yang sudah botak lebih empat bulan, sudah nampak thread ataupun benang. Tetapi tayar ini  dibiarkan begitu sahaja kerana hendak menjimatkan wang, sebab harga tayar yang baru lebih RM300 sebuah.  Lalu tayar itupun dipakainya selagi boleh hinggakan anak muda ini tidak sedar, tayar itu telah bocor setelah lebih-kurang 20km meninggalkan Temerloh. Tahu-tahu sahaja sudah geylong, rasa lain macam, tidak stabil asyik nak lari ke kiri dan kanan.

Memandangkan pekan kecil itu tidak ada kedai menjual tayar motosikal besar, Rasyid terpaksa membeli tape hitam yang digunakan untuk menutup wayar eletrik lalu disalut mengelilingi bahagian yang bocor  serta rim sebelum mengisi angin di sebuah bengkel. Cukuplah untuk bertahan 20km lagi hingga ke Jerantut sebelum tayar pancit itu ditukar.

Apapun tayar buruk itu sempat dimanfaatkan untuk mendaki bukit-bukau dan kawasan pergunungan di Kuala Klawang, satu kawasan dengan jalan pendakian sukar berliku-liku yang menurut polis trafik sering digunakan untuk meningkatkan kemahiran ahli menunggang motosikal berkuasa tinggi. Kira OKlah, berjasalah juga si tayar botak ini...

Begitulah kehidupan Rasyid 10  tahun kebelakangan. Nasib baik tak ada jalan darat menelusuri Sungai Pahang untuk ke Gunung Tahan...  Yang ada, cuma laluan air  Sungai Tembeling ke Taman Negara aje. Kalau tidak, tentu sudah lama diredahnya sampai ke atas kerana motosikal yang sama juga pernah mendaki Gunung Ledang di Muar dan Gunung Jerai di Kedah...



Peta laluan yang diambil dari Kajang ke Kuala Klawang membawa ke Teriang dan seterusnya...


Cerita sesat di Gunung Nuang ada dikongsikan panjang lebar dalam Bab 3 buku iaitu pada muka surat 117-124. Lihat isi berkenaan dalam artikel Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan... tahun 2007. Cerita menunggang motosikal besar menyusuri sungai pula tidak dipanjangkan dalam buku tetapi ada diberikan perincian dalam blogspot baru 2-3 minggu ini. Lihat Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000. Cerita menunggang dari Kajang ke Kuala Klawang lalu keluar di Teriang, Pahang sebelum menghulu Sungai Pahang cukuplah sedikit yang ada dalam buku. Ini baru tiga contoh daripada sekian banyak pengembaraan mengikut gerak hati pernah dibuat sebelum berlaku perjalanan pertama ke Aceh tahun 2004. 

Oh, aturan bab dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" tidak dibuat seperti kebanyakan buku yang mana selepas Bab 1 baru Bab 2 diikuti Bab 3. Ia dibuat berselang-seli dengan bab-bab yang memiliki tajuk berdasarkan suatu perkara. Misalnya selepas Bab 1 ada bab bertajuk "KeSultanan Perlak : Bermulanya Sebuah Cerita" kemudian baru Bab 2. Kemudian ada pula diselitkan bab seperti "Interlud : Warkah untuk Nenek". Lalu bab yang ditanda sebaga Bab 3 adalah sebenarnya bab ke-7 dalam buku.

Berbalik pada hal berjalan mengikut gerak hati. Turut dijadikan contoh adalah perjalanan pusing Eropah tahun 1995 yang ceritanya telah dijadikan buku ke-13 lalu terbit tahun 2019. Rujuk artikel Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995 kurang tiga minggu lalu. Sekarang berbalik pada cerita pada petang sebelum Tahun Baru  tahun 2004. Daripada muka surat 33 buku...

-----------------

Pada mulanya Rasyid belum menetapkan tarikh hendak berangkat ke Aceh. No rush, tidak perlu terkejar... Boleh ditangguh seminggu dua lagi mengikut keadaan. Walaupun dia memang tidak ada mood mahu enjoy, pemuda ini ada terfikir juga hendak menikmati suasana Happy New Year  di Kuala Lumpur yang akan bermula tidak sampai enam jam lagi. 

Lagipun, ada kemungkinan dia tidak akan kembali ke Malaysia buat  jangka masa yang lama, atau tidak akan kembali langsung ke tanahair! Maka itu apalah salahnya mahu menghirup suasana riang di Kuala Lumpur barang seketika? Bukannya hendak minum arak atau berbuat maksiat... Setakat cuci mata melihat kemeriahan suasana sambil menghidupkan sedikit nostalgia kenangan-kenangan lama. Takkan itupun tak boleh?

Tetapi bila Pak Syed sudah sound semacam,  herdik dirinya yang sedang terkial-kial mencari jawaban, Rasyid rasa cukuplah segala beban yang tersimpan dalam dada. Cukuplah menanggung derita dalam jiwa. Dia pun membuat keputusan untuk terus melangkah saat itu juga. Apa lagi yang hendak ditunggu jika kehadirannya cuma menyakitkan hati?

Malam itu, di kala ramai manusia berpusu-pusu menuju pusat bandar Kuala Lumpur untuk menyambut perayaan Tahun Baru secara besar-besaran, Rasyid pula keluar keseorangan melawan arus meninggalkan kotaraya dan segala kemeriahan. Pemuda yang sudah lama mencari erti ketenangan sejati ini berazam untuk meninggalkan segala hiruk pikuk keduniaan, segala kisah pahit manis silam dan memulakan kehidupan baru di Aceh Darussalam yang bermakna daerah kesejahteraan...

Masalahnya wilayah itu sedang darurat, sengsara dilanda perang. Lalu dapatkah kesejahteraan itu ditemukan? Atau malang yang menanti di hadapan? Ah... Apapun, kita lihat dulu apa yang akan terjadi. Pantang ajal sebelum mati. Biarlah Takdir menentukan segalanya nanti...



Sunday, April 11, 2021

Mendekati kembali dunia perkudaan atas asbab telah menyelesaikan artikel-artikel berkenaan?

Salam hari Ahad 11 April 2021 tetapi sudah malam Isnin 29 Sya'aban 1442 Hijriah. Tarikh Islam ini ditunjukkan dalam kalender di rumah sebagai hari terakhir bulan Sya'aban. Lalu hari seterusnya iaitu masuk waktu Subuh pagi Selasa umat Islam harus mula berpuasa wajib bulan Ramadhan. 



Dalam artikel Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Asbab perjalanan berlaku yang dipersembahkan pagi Selasa lalu saya ada menyebut begini :-


Salam pagi Selasa 23 Sya'aban. Sedar tak sedar tinggal seminggu sahaja lagi sebelum kita mula berpuasa wajib bulan Ramadhan. Dalam artikel Kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - Malam terakhir di mana? yang dipersembahkan jam 8.47 malam semalam ada disebut bahawa mungkin saya akan menghubungi penunggang kuda yang pernah menjadi juara endurance dunia tahun 2001 iaitu Datuk Awang Kamaruddin untuk menunjukkan siri artikel berkenaan. Kami sudah 20 tahun tidak berhubung. Lewat malam semalam baru tergerak untuk mencari di Facebook lalu menghubungi, setelah dipaparkan Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 jam 11.15. 

Alhamdulillah beliau masih ingat saya dan apa yang berlaku ketika menaja perjalanan di Perancis hampir penghujung tahun 2000. Ternyata beliau yang kini sudah berumur 76 tahun masih sihat walaupun katanya tidak lagi menunggang kuda tetapi lebih pada mengajar orang menunggang dan menguruskan acara. Beliau menunjukkan satu gambar sedang mengajar sejumlah orang muda yang berpakaian jubah berkopiah... ada orang memanah cara tradisional sunnah di latar belakang gambar itu. Beliau juga memberitahu masih ada menyimpan gambar-gambar lama dan potongan artikel-artikel saya yang muncul di suratkhabar di The New Straits Times lama dahulu.




Semalam jam 11.32 pagi beliau menghubungi melalui WhatsApp untuk memberitahu akan berada di Country Homes, Rawang pagi Ahad untuk satu urusan kuda. Ini kerana saya ada memberitahu kalau ada naik dekat-dekat kawasan saya di Bandar Sungai Buaya beritahulah supaya kita boleh bertemu. Beliau sekarang menetap di Nilai, Negeri Sembilan sedangkan sekarang masih lagi musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Bukan senang-senang hendak berjumpa. Antara rumah-rumah kami ada jarak dekat 100 km.



Kebetulan saya dihubungi itu setelah melengkapkan perkongsian satu siri cerita perjalanan lama lalu baru memulakan satu siri perjalanan lama yang lain. Yang dilengkapkan itu merujuk pada artikel Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Kenali tahun 2003  (dipaparkan pada jam 11.15 Jumaat malam Sabtu). Esoknya pagi Sabtu siri seterusnya dimulakan lalu keluarlah artikel pertamanya, Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Mencari wasilah ke Aceh jam 11.11. Tak sampai setengah jam selepas itu beliau menghubungi. Saya menjawab insyaallah akan membawa isteri dan anak-anak bertemu di tempat berkenaan.



Tempat pertemuan adalah di pusat berkuda Ikhwan milik GISB (Global Ikhwan Sendirian Berhad) Holding di Country Homes, Malaysia. Maka bertemulah kami setelah 20 tahun tidak bersua muka. Sebelum itu saya memastikan dapat menyiapkan lalu melengkapkan cerita siri perjalanan yang sedang diusahakan. Maka keluarlah artikel Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 jam 12.12 awal pagi Ahad.



Ingatkan beliau sudah lama mengajar orang menunggang kuda di situ. Rupa-rupanya ini baru pertama kali datang. Kiranya ia adalah pengenalan untuk mendapatkan khidmat pandangan Awang bagi memajukan aktiviti berkuda Ikhwan.



Sekadar memberitahu, pusat berkuda yang terletak dalam satu kawasan rumah kedai yang telah dibeli Ikhwan ini jaraknya dari rumah saya di Bandar Sungai Buaya lebih kurang 20 km. Tetapi terdapat jalan kelapa sawit dan laluan kasar boleh memendekkan jarak sehingga menjadi sekitar 4-5 km, cuma tidak boleh dilalui kereta biasa. Namun ada ura-ura jalan elok akan dibuat membenarkan semua jenis kenderaan lalu insyaallah dalam masa beberapa tahun akan datang.



Katanya sudah 5 tahun juga pusat kuda Ikhwan ini mula beroperasi. Tak tahu pun saya ada tempat berkuda di sekitar ini. Dahulu semasa bertugas sebagai wartawan sukan akhbar The New Straits Times tahun 1999 hingga 2001 (saya mula menjadi wartawan tahun 1996) saya selalu ke pusat-pusat berkuda di Lembah Klang. Tetapi itu banyak di bahagian tengah dan selatan Kuala Lumpur. Aktiviti berkuda masih sangat terhad di Malaysia. 

Yang ada selain di Kuala Lumpur kalau tak salah ada cuma di kelab polo diraja Pahang di Pekan dan kawasan istana kerana kerabat Pahang rajin bermain polo. Di Johor Bahru pun rasanya ada untuk kerabat diraja bermain polo. Selain itu adalah di Pantai Timur terutama di Kelantan. Itu lebih pada kuda padi yang sudah lama menjadi tradisi permainan dan tunggangan di sesetengah kampung berdekatan pantai.



Awang mengajak saya agar kembali aktif dengan dunia perkudaan. Selepas selesai urusan di Country Homes kami melihat kuda di bangsal kecil milik seorang kenalan beliau di Bukit Beruntung (saya tak ambil gambar). Dari situ kami pergi ke rumah saya di Bandar Sungai Buaya lalu berbual panjang. Menurut beliau ada dipanggil untuk beberapa program kuda di Utara dan Pantai Timur. 

Paling utama adalah menerajui suatu akademi kuda di Terengganu. Beliau mengajak agar membuat liputan dan menulis tentang tempat-tempat berkenaan serta aktiviti berkuda. Saya jawab insyaallah. Cuma tak boleh janji sebab tesis pengajian pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) masih tak siap lagi.

Tapi siapa tahu pada masa hadapan? Siapa tahu apa takdir yang Allah SWT sediakan? Sesungguhnya dunia berkuda memiliki satu tempat istimewa dalam hati saya kerana pernah terlibat beberapa tahun dengannya sehingga dapat mengenali ramai watak utamanya di Malaysia. Jika apa yang berlaku siang tadi terjadi setelah berjaya melengkapkan beberapa cerita perjalanan lama, apa pula yang akan terbit bila isi untuk senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa lengkap lalu boleh dipaparkan mengikut turutan sepatutnya?


Oh. Baru teringat lagi satu perkara berkaitan. Adapun sejak memaparkan artikel Hari-hari terakhir sebagai wartawan - Cabaran seorang idealis mahu mengangkat ketamadunan tinggi di Malaysia pagi Khamis lalu saya merasakan ada sesuatu yang istimewa akan berlaku pada 11 April iaitu siang tadi. Ini kerana tarikh tersebut bakal muncul dalam paparan komputer sebagai 4/11. Lihat sahaja tarikh yang dipaparkan dalam screen shot atas.

Ketika terfikir tentang ini masih lagi hari Khamis lalu terpapar sebagai 4/08. Kenapa boleh merasakan sebegitu? Kerana terbaca sedutan daripada buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit November 2007) yang dikongsikan dalam artikel, bahagian yang berbunyi :-


Setelah tamat Sukan SEA 2001 yang dilangsungkan di Kompleks Sukan Bukit Jalil, pemuda itu mula terasa hilang semangat untuk bekerja. Ketika itu, dia sudah mengalami sebuah mimpi pelik yang mempunyai kaitan dengan keSultanan Perak, mimpi penuh makna yang akhirnya akan mendorong anak muda ini mengembara jauh menziarahi makam-makam lama raja-raja dan para wali sehingga dia pergi “Berpetualang ke Aceh” demi mencari jawaban kepada segala persoalan yang melanda jiwa selama ini.

Oh… Baru teringat. Mimpi itu berlaku lebih sebulan sebelum bermula acara sukan empat tahun sekali antara negara-negara Asean itu yang menyaksikan Malaysia muncul pemenang keseluruhan dengan, kalau tidak salah ingatan, 111 pingat emas. Tidak lama kemudian, berlaku pula peristiwa September 11 yang menyaksikan bangunan pencakar langit berkembar World Trade Centre di New York setinggi 411 meter runtuh menyembah bumi dilanggar dua buah kapalterbang penumpang.  Hmm... Banyak pula nombor 11... Seolah-olah kesemuanya ada kaitan dan makna yang tersirat...


Saya membacanya untuk menyemak kembali paparan. Tengok-tengok artikel ini dikeluarkan pada jam 11.11. Terasa terkait pula dengan ayat terakhir sedutan atas tadi - 

Hmm... Banyak pula nombor 11... Seolah-olah kesemuanya ada kaitan dan makna yang tersirat...

Melihat nombor 411 merujuk pada ketinggian bangunan yang runtuh di New York terlihat pula nombor 4/08 di sudut kanan bawah komputer merujuk pada tarikh 8 April. Itu yang terfikir apa akan jadi pada 4/11 merujuk pada tarikh 11 April...


Sesungguhnya artikel Hari-hari terakhir sebagai wartawan - Cabaran seorang idealis mahu mengangkat ketamadunan tinggi di Malaysia itu keluar selepas berjaya melengkapkan cerita perjalanan terakhir ketika masih bertugas sebagai wartawan Ini merujuk pada artikel Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 lewat malam sebelumnya. Siri itu pula selesai selepas lengkap satu cerita perjalanan tentang kuda melalui artikel Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000. Hal ini bahkan disebut dalam paparan yang ada jam 11.11 tadi. Apakah sekadar kebetulan sahaja pada 11 April yang ditunjukkan komputer sebagai 4/11 dapat bertemu kembali dengan orang yang pernah menaja perjalanan di Perancis lalu memperkenalkan saya dengan sukan berkuda endurance?


Ya. Banyak juga dibincangkan terutama di rumah saya. Bukan sekadar dunia berkuda sahaja tetapi tentang dunia perniagaan dan pekerjaan kerana Awang pernah menerajui syarikat pembinaan rumah juga syarikat kejuruteraan. Antara yang dibincangkan adalah etika bekerja, bab rasuah yang banyak merosakkan orang juga merendahkan kualiti projek.  Dalam hal ini kami nampaknya memiliki prinsip hidup yang sama. Biar digunakan ungkapan straight forward, no hanky panky...

Turut dibincangkan beberapa hal melibatkan dunia politik. Antaranya tentang seorang bekas pemimpin negara  yang para penyokongnya bermati-matian menafikan ada mengambil duit berjuta. Walhal Awang cukup kenal beliau malah berasal dari satu kampung dengannya. Beliau memang mengenali secara peribadi ramai pemimpin besar negara. Tun Dr Mahathir dan Sultan Mizan Terengganu pun belajar menunggang kuda daripada beliau.

Awang ada menyebut antara sebab Malaysia sedang mengalami masalah ekonomi sekarang adalah disebabkan bekas pemimpin berkenaan telah melarikan berbillion Ringgit Malaysia ke luar negara. Menurut beliau asalnya pemimpin tersebut tidak berapa bermasalah tetapi disebabkan desakan isteri jadi bermacam perkara seperti dilihat hari ini. Oh, tadi saya ada menyebut ada ke Bukit Beruntung tidak jauh dari rumah. Di situ saya mengalami deja vu iaitu rasa sudah melihat tempat dan keadaan entah dalam mimpi atau bayangan bila. Hal ini berlanjutan selama lebih kurang 10 saat. Ini adalah deja vu pertama setelah setengah tahun gitu tidak mengalaminya. Sekian cerita.