Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Februari 17, 2012

Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh

Subhanallah. Malam ini malam Jumaat terasa sesuai untuk menyambung penceritaan perjalanan Medan ke Banda Aceh 2-13 November 2011. Adapun saya menulis ini dan 13 artikel sokongannya dalam keadaan tertunggu-tunggu. Isteri saya sedang berada di wad bersalin hospital... bila-bila masa sahaja boleh melahirkan cahaya mata baru kami. Bersambung dari artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Menelusuri sejarah Perlak sebelum ke makam Sultan Malikus Saleh.



Dalam artikel lepas telah ditunjukkan bagaimana kami berjalan dari Langsa ke Perlak lalu ke Geudong dan sampai ke makam Sultan Malikus Saleh pada malam Jumaat 15 Zulhijjah 1432 iaitu ketika bulan penuh. Siang Jumaat masuk tarikh yang menarik - 11 November 2011 atau 11/11/11. Dan kami masih berada di sekitar makam Sultan Malikus Saleh!



Ya. Madrasah yang dilihat di atas sangat dekat dengan makam sang Sultan, begitu juga pusat asuhan anak yatim di sebelah. Kedua-duanya memakai nama besar baginda. Di pusat inilah kami bermalam atas pelawaan orang. Lihat artikel Panti Asuhan Anak Yatim (Care centre for ophans) Yayasan (Foundation of) Sultan Malikus Saleh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Sebenarnya kami ingin bermalam di makam tetapi orang-orang berdekatan melarang. Bukan melarang kerana tidak dibenarkan bermalam tetapi risau melihat keadaan isteri saya yang sedang sarat mengandung 6 bulan membawa bersama anak kecil yang baru sahaja melepasi umur 2 tahun.



Mereka rasa bersalah jika membiarkan kami tidak selesa selain terdedah pada hawa dan cuaca. Antara sebab mereka mungkin mengambil berat adalah seorang kenalan baik kami, rakyat Malaysia yang kini menetap di Banda Aceh sering menyumbang banyak wang untuk pembangunan infrastruktur berkaitan agama di sekitar sini.



Apapun kami dapat bersantai lama malam hari di makam. Cuma orang-orang yang menunggu membuat kami pula terasa bersalah lalu saya menyuruh isteri membawa anak pergi dahulu masuk ke pusat asuhan, menginap di rumah ulamak yang menjaga pusat... baru saya ditinggalkan keseorangan dengan tenang. Itupun setelah lama saya rasa harus masuk ke rumah menemani anak dan isteri.

Untuk melihat makam rujuk artikel-artikel dari perjalanan terdahulu, Makam (tomb of) Sultan Malikus Salih! dan Akhirnya, makam Sultan Malikus Salih waktu siang (At last, tomb of Sultan Malikus Salih at daytime). Dengan sampainya kami ke makam kali ini kiranya perjalanan pertama saya ke Aceh, perjalanan yang dibuat 8 tahun lalu dengan niat menziarahi makam baginda sehingga menjadi tulang belakang cerita siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh dikira sempurna. Ini kerana semasa itu memang tujuan utama saya ke Aceh adalah semata-mata untuk ke sini.



Sedutan panjang lebar tentang Sultan Malikus Saleh dari buku telah diletakkan di dalam artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Menelusuri sejarah Perlak sebelum ke makam Sultan Malikus Saleh. Perjalanan seterusnya boleh dikira bonus...




Dengan menaiki 'ojek' iaitu membonceng motosikal sewa kami keluar ke jalan besar lalu mendapat kenderaan yang dipanggil labi-labi.



Pergi ke bandar raya Lhokseumawe yang terletak sekitar 20 km dari Geudong dan makam Sultan. Singgah di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Baiturrahman, Lhokseumawe.




Oh. Di sini kami berjalan dengan menaiki becak atau beca bermotosikal pula. Singgah sebentar melihat masjid yang sangat besar ini. Lihat Masjid besar (Big mosque of) Lhokseumawe.




Kelihatan di dalam ramai orang menghadiri satu majlis pernikahan. Nampaknya ada pasangan mahu mengambil 'berkat' dari tarikh 11/11/11 seperti mana saya dengar di Malaysia ramai juga orang berkahwin pada tarikh tersebut. Malah ramai ibu mengandung yang ada duit sengaja mengupah doktor agar dapat melahirkan anak hari itu. Bagi kami keberkatan ditambah kenyataan bahawa ia hari Jumaat dan pertengahan bulan Zulhijjah.



Sungguh, tarikh yang memiliki 3 x 11 ini sangat sesuai untuk kami menjejak satu warisan hebat.



Dengan menaiki van dari pinggir Lhokseumawe, setelah menginap malam Jumaat di sekitar makam Sultan Malikus Saleh dan mendapat restu raja orang-orang salih itu kami pun menuju ke Sigli, sebuah bandar yang terletak lebih 3 jam perjalanan dari bandar raya tersebut.



Walaupun kami meninggalkan Lhokseumawe selepas jam 9.30 waktu tempatan, walaupun dalam perjalanan kami dapat melihat sekurang-kurangnya sebuah masjid lain yang telah memulakan solat Jumaat, alhamdulillah kami sampai di masjid utama Sigli ketika imam masih membaca khutbah.



Rupa-rupanya pemandu van juga mahu mengejar solat di sini. Kelihatan keadaan di luar masjid selepas solat.


Bila orang dah kurang baru saya masuk kembali untuk mengambil lebih banyak gambar. Lihat Masjid Agung (Great mosque of) Al-Falah, Sigli.



Dari masjid kami menyewa becak untuk masuk ke kawasan pendalaman.


Turun hujan lebat menyebabkan pemandu berhenti untuk menutup becak dengan ponco askar.



Alhamdulillah, dalam keadaan hujan lebat itu kami dapat sampai ke sebuah masjid yang memiliki satu khazanah besar. Lihat Masjid (Mosque of) Labui.



Berkat hari Jumaat, dan mungkin juga berkat 3 x 11, kami disambut oleh penjaga masjid yang terus menunjukkan khazanah tersebut... tongkat milik raja yang dikira paling besar dan hebat dalam sejarah Aceh, Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636 Masihi).



Atas saranan isteri saya dibenarkan memegang tongkat penakluk agung itu sambil duduk di mimbar lama masjid. Difahamkan masjid ini berdiri di atas tapak masjid lama yang wujud semasa Sultan Iskandar Muda memerintah. Atas sebab tertentu baginda selalu bertandang walaupun pusat pemerintahan di Banda Aceh terletak lebih 100 km jauh. Atas sebab tertentu juga tongkat yang katanya pernah digunakan untuk keluar berjalan-jalan malah pergi berperang di merata tempat selain digunakan ketika baginda membaca khutbah ditinggalkan di masjid ini, tidak di tempat lain.



Di sebelahnya terdapat masjid lama yang didirikan selepas Sultan Iskandar Muda mangkat. Lihat Masjid (Mosque of) Poteu Meureuhom, Labui. Menariknya ia memiliki bentuk ukiran yang pada saya kelihatan seperti lidah terjulur atau lidah tergantung, satu bentuk yang kalau di Malaysia susah mahu ditemui kecuali di Perak dan sebahagian Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Selangor. Dahulu saya mendapat semacam alamat bahawa ia berkaitan Aceh pada satu zaman yang agak lampau. Lihat artikel lama Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu?. Peliknya saya menghadapi masalah untuk mencarinya di Aceh. Ini adalah masjid pertama saya singgahi yang memiliki ukiran ini, setelah 5 kali masuk ke Aceh...




Di satu sisi masjid yang lebih baru, masjid yang didirikan atas tapak masjid lama zaman Iskandar Muda terdapat satu perigi.


Difahamkan sang Sultan selalu mengambil air di sini.



Seterusnya kami ke makam seorang ulamak Bugis yang dikatakan antara pendakwah paling awal dari sana datang ke Aceh. Lihat Makam (Tomb of) Pakeh Seundri.



Sekarang sampailah giliran untuk menjejakkan kaki ke makam yang paling ingin kami ziarahi di sekitar ini, sebuah makam yang semasa perjalanan pertama saya ke Aceh 8 tahun lalu tidak termasuk langsung dalam senarai tempat-tempat yang harus dilawati, masuk lawatan kedua pertengahan 2009 yang dibuat bersama isteri baru berkira-kira hendak menjenguknya. Dengan itu biar diletakkan sedikit sedutan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" yang terbit Jun 2006.



Pemerintahan keturunan Sayyid di Aceh pula bermula apabila Sayyid Ibrahim Habib berjaya mendapatkan fatwa dari Mekah mengatakan orang perempuan tidak layak memerintah negara, semasa keSultanan Aceh diperintah raja perempuannya yang ke empat, Sultanah Zinatuddin Kamalat Shah. Baginda pun pergi ke sana dan berjaya mendapatkan sokongan hulubalang untuk menurunkan Sultanah Zinatuddin. Lalu pada tahun 1699 diangkat menjadi Sultan baru Aceh bergelar Sultan Badrul Alam Sayyid Ibrahim Habib Jamaluddin Sharif Hashim Shah.
Pemerintahan baginda bagaimanapun tidak lama. Pada tahun 1702, Sayyid Ibrahim yang sempat mengahwini Sultanah Zinatuddin pula dijatuhkan lalu digantikan anakandanya Sayyid Ali Zainal Abidin yang bergelar Sultan Jamalul Alam Badrul Munir fil Alam Sharif Hashim Shah. Sultan ini juga tidak dapat bertahan lama. Malah baginda juga dijatuhkan selepas memerintah setahun sahaja. Nampaknya para hulubalang begitu berkuasa menentukan siapakah yang boleh menaiki takhta sedangkan kerabat diraja pula sibuk bergaduh untuk menjadi raja.
Salasilah terperinci Aceh yang diperolehi Rasyid menunjukkan proses turun naik takhta ini berterusan hampir 30 tahun. Dalam tempoh ini sahaja, Aceh telah enam kali bertukar Sultan berketurunan Sayyid! Cuma seorang, Sultan Jamalul Alam Badrul Munir fil Alam Habib Abdullah ibni Sultan Sharif Hashim Shah dapat memerintah lama, tahun 1711 hingga 1726 iaitu 15 tahun. Tetapi baginda juga akhirnya dijatuhkan hulubalang.
Keadaan menjadi semakin kalut selepas itu. Raja seterusnya, Sultan Jauharul Alam Aminuddin cuma dibenarkan memerintah selama 20 hari sebelum digantikan oleh Sultan Undei Tebang Shamsul Alam yang cuma bertakhta beberapa hari sahaja. Negara pula menjadi huru-hara...
Akhirnya pada tahun 1727, para hulubalang membuat keputusan mengangkat seorang pembesar berketurunan Bugis, Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman menjadi Sultan Alauddin Ahmad Shah Johan Badr Berdaulat. Keturunan bagindalah nanti yang akan berebut takhta dengan anakanda Tuanku Syed Aidid 80 tahun kemudian. Dan keturunan inilah menjadi pemerintah terakhir KeSultanan Aceh.



Apa yang diceritakan adalah peralihan kuasa dari keturunan Sayid kepada satu dinasti baru yang dikatakan berketurunan Bugis. Sambung sedutan...


Rasyid sedikit pelik. Bagaimanakah Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman boleh menaiki takhta Aceh? Setahunya, pangkat itu bukanlah sebesar pangkat Bendahara atau Perdana Menteri. Bukan juga pangkat kerabat diraja, apalagi baginda dikatakan berketurunan Bugis. Siapalah si Ahmad ini jika dibandingkan dengan keturunan Sayyid anak cucu Rasulullah SAW yang diakui ketinggian martabatnya? Lalu dia pernah bertanyakan hal ini kepada seorang tua berketurunan Aceh yang sekarang menetap di Perak. Jawaban orang tua itu senang... Sebenarnya Ahmad bin Abdul Rahman bukan sekadar bangsawan biasa. Dia berasal daripada keturunan yang terpilih...
“Ayahandanya, Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu terdahulu, juga Laksamana bernama Abdul Rahman bin Zainal Abidin adalah anakanda Laksamana Raja Keumala Hayati, satu-satunya panglima perang perempuan yang pernah memimpin sebuah armada kapal laut yang terulung di Nusantara,” orang tua itu membuka cerita. “Angkatan perang yang terdiri daripada janda-janda para pejuang yang mati syahid itu pernah mengalahkan armada Belanda dalam peperangan di Teluk Aru.”
“Raja Keumala Hayati pula adalah generasi keempat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah (1511-1530), raja besar dan pahlawan berwibawa yang diiktiraf sejarah sebagai Sultan pertama Aceh Besar kerana berjaya menggabungkan kerajaan-kerajaan Daya, Pedir, Pasai dan Haru ke dalam Aceh. Maka memang Ahmad bin Abdul Rahman mempunyai darah keSultananan Aceh dan memiliki kelayakan untuk menaiki takhta,” dia menyambung.
Kata orang tua itu lagi, ayahanda Ahmad, Abdul Rahman bin Zainal Abidin pula pernah berkahwin dengan Sultanah Naqiatuddin, raja perempuan kedua Aceh. Tetapi tidak pastilah jika baginda dilahirkan hasil perkahwinan ini atau daripada ibu yang lain.
“Nendanya, Zainal Abidin juga bukan calang-calang orang. Suami Laksamana Raja Keumala Hayati ini merupakan Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu juga Laksamana di zaman Sultan Alauddin Sayyid al Mukamil,” dia meneruskan. “Selain itu beliau juga dikenali sebagai anakanda seorang ulamak yang amat disanjung tinggi di Aceh, Daeng Mansur bin Sheikh Abdullah Al-Malikul Amin, ayahanda kepada Puteri Ratna Sendi Istana, Permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda dahulu.”
Lagipun pangkat Laksamana di Aceh bukannya pangkat kecil-kecilan. Ia adalah satu pangkat besar kerabat diraja yang dahulunya sering digunakan oleh raja muda atau tengku mahkota, bakal Sultan Aceh!



OK. Cerita dalam buku yang mula ditulis tahun 2004 itu ada sedikit ralat. Bapa Laksamana @ Maharajalela @ Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat bukan bernama Abdul Rahman tetapi Abdul Rahim. Apapun perhatikan nama Daeng Mansur ada disebut. Di atas adalah gambar kami anak beranak yang akhirnya dapat sampai ke makam Daeng Mansur!

Allah. Sebaik sahaja siap perenggan atas saya mendapat panggilan daripada isteri yang beliau mahu dibawa masuk ke bilik bersalin. Nanti sambung.


----------------------


Sambung balik penulisan. Dah nak masuk jam 11 pagi ni dah. Tadi isteri saya membuat panggilan jam 3 pagi. Jam 5:24 gitu anak kami lahir, seorang bayi lelaki alhamdulillah yang diberi nama Muhammad Alauddin Johan sempena mengambil gelaran sejumlah Raja Aceh (misalnya Sultan Alauddin Ahmad Shah Johan Berdaulat... cuma Ahmad aje nama, yang lain semua gelaran). Selepas menemani isteri dan anak beberapa lama saya kembali ke rumah untuk membasuh dan menanam uri. Kemudian baru mandi dan buka laptop untuk menyambung kerja...




Adapun nama Daeng Mansur ini sangat penting dalam pengkajian peribadi saya yang melibatkan salasilah Raja-raja Aceh serta rahsia identiti sejumlah nama yang disembunyikan kaitan sebenarnya demi mengaburkan mata musuh yang tidak mahu keturunan tertentu terus wujud di muka bumi. Cukuplah sekadar tahu baginda seorang wali Allah yang menurut sesetengah cerita mampu 'memecahkan wajah' untuk memerintah 7 buah kerajaan yang berjauhan dalam masa yang sama. Cukuplah disebut Daeng Mansur adalah punca Raja-raja Aceh Dinasti Bugis, raja-raja yang memerintah Aceh dari tahun 1727 sehinggalah Sultan terakhir, Sultan Muhammad Daud dipaksa turun dari takhta oleh Belanda 1904. Lihat Makam (Tomb of) Teungku Chik di Reubee Daeng Mansur.




Allah. Sungguh saya terasa bertuah Jumaat 11/11/11 itu. Selepas dapat menutup satu fasa cerita di makam Sultan Malikus Saleh kami dapat memegang tongkat Iskandar Muda dengan saya dibenarkan duduk atas mimbar lama. Dapat pula pergi ke makam Daeng Mansur yang sudah lama saya idamkan mahu singgah. Oh. Sampai sahaja di sana kami disambut penjaga makam, seorang wanita berumur yang terus mencium tangan saya kemudian tangan isteri.

Seterusnya kami menziarahi makam puteri kepada Daeng Mansur, Puteri Ratna Sendi. Baginda adalah isteri pertama kepada Sultan Iskandar Muda. Lihat Makam (Tomb of) Putroe Sani.




Ini pula adalah Masjid Teungku Chik di Reubee. Daeng Mansur dikenali sebagai Teungku Chik di Reubee. Namun ada cerita menyebut Daeng Mansur dan Teungku Chik di Reubee adalah dua individu berlainan. Katanya baginda datang dari Bugis lalu mengahwini puteri kepada Teungku Chik di Reubee.

Sebenarnya Teungku Chik adalah gelaran yang bermaksud ulamak besar dan Teungku Chik di Reubee bermaksud ulamak besar di Reubee. Jadi Daeng Mansur telah mengahwini puteri kepada ulamak besar Reubee ketika itu. Kemudian beliau sendiri menjadi ulamak besar situ. Apa yang pelik sangat tentang ini?

Oh. Bentuk kubah dan bahagian sokongannya serupa dengan apa yang terdapat di Masjid Baiturrahman Banda Aceh apalagi masjid terkenal itu asalnya memiliki sebuah kubah sebelum ditambah satu di kiri dan kanannya. Lihat artikel Masjid Jamek (Main mosque of) Teungku Chik di Reubee dan bandingkan dengan artikel lama Masjid Raya (Main mosque of) Baiturrahman, Aceh.



Seterusnya kami mencari masjid lama Padang Tiji. Sebelum itu kami ada singgah di sebuah masjid yang lebih baru. Lihat Masjid Besar (Big mosque of) Raudhatur Rahman, Padang Tiji dan Masjid lama (Old mosque of) Padang Tiji.




Kami ke masjid lama untuk menziarahi makam seorang pejuang besar dan kerabat diraja Aceh yang gigih menentang pencerobohan Belanda (bermula apabila mereka dapat menawan Banda Aceh 1873), seorang keturunan Daeng Mansur juga. Lihat Makam (Tomb of) Tuanku Hashim Banta Muda.

Oh. Biar diberitahu Daeng Mansur dikatakan datang bersama Pakeh Seundri (makamnya ada ditunjukkan atas tadi) dan seorang lagi pendakwah dari Tanah Bugis yang dikenali sebagai Teungku Sigeuli. Baginda katanya datang dari kerajaan Wajo, Pakeh Seundri dari kerajaan Sidenreng tetapi orang Aceh menyebutnya Seundri. Teungku Sigueli saya tak tahu datang daripada mana. Yang nyata beliau juga ulamak besar sehingga nama Sigueli itu diabadikan menjadi nama kota Sigli, kota terbesar di daerah Pidie, Aceh. Menariknya ketiga-tiga ini dikatakan datang ke Aceh pertengahan abad ke 16 Masihi. Sedangkan sejarah rasmi menyebut Tanah Bugis cuma menerima Islam apabila tiga orang ulamak Minang, Datuk Ri Bandang, Datuk Di Tiro dan Datuk Ri Patimang sampai ke Tanah Bugis abad berikutnya.

Mungkin ini ada kaitan dengan fakta bahawa pendakwah agung dari keturunan Rasulullah SAW, Sayyid Hussin Jamaluddin Kubro mangkat di Wajo lalu dikebumikan di ibukotanya Tosora? Sampai sekarang makamnya masih wujud tetapi saya belum berpeluang sampai kecuali melihat gambar-gambar orang. Sayyid Jamaluddin Kubro diketahui aktif berdakwah abad ke 14 Masihi. Sebagai leluhur kepada para Wali Songo dan ramai lagi ulamak besar mustahil beliau boleh sampai ke Tanah Bugis tanpa mengIslamkan ramai orang. Malah beliau harus juga meninggalkan keturunan di sana sepertimana keturunannya ada bertebaran di merata Asia Tenggara atau Alam Melayu.


Senja, kami berehat dan makan di pekan Padang Tiji. Cukuplah proses ziarah makam dan tempat-tempat untuk hari Jumaat 11/11/11 bersamaan 15 Zulhijjah itu kerana seterusnya kami mahu ke Banda Aceh, 99 km perjalanan lagi. Adapun tanpa dirancang artikel ini menggunakan 33 buah gambar. 11 x 3 tu, kena juga dengan 11/11/11. Cukup. :]



Isnin, Februari 13, 2012

Kembara Johor-Riau - Mencari kesinambungan pemerintahan di Kota Tinggi, Johor

Assalamualaikum. Setelah beberapa lama bercerita hal-hal lain kita sambung penceritaan perjalanan selatan yang dibuat 10-18 Disember 2011.


Dalam artikel Kembara Johor-Riau - 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat empayar yang dibuat 2 minggu lalu telah diceritakan bagaimana kami sampai dan baru tahu kewujudan tempat bernama Kota Tinggi di Pulau Bentan, Indonesia. Ini membuat kami terasa begitu bersemangat untuk mencari kesinambungan di satu tempat yang namanya sama tetapi lebih terkenal sekurang-kurangnya bagi rakyat Malaysia. Lalu sebaik sahaja kembali ke Johor Bahru kami terus bergegas ke Kota Tinggi, Johor. Esoknya siang Jumaat 16 Disember kami pun memulakan proses jejak-menjejak.



Ini dimulakan dengan mencari sebuah makam yang sudah lama ingin dijejaki tetapi tidak berkesempatan.


Saya pernah cuba menjejakinya seorang diri dalam kepekatan malam.


Tetapi alangkan di siang hari pun saya menghadapi masalah mencari, inikan lagi dalam kegelapan malam tanpa membawa lampu. Lihat artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan Johor Lama, waris Empayar Melaka? yang dibuat 2 tahun lalu.


Nasib baik ada pemuda tempatan sudi menunjukkan jalan.


Kalau cari sendiri tanpa tahu kedudukan denai dan bahagian mana belukar patut dituju memang susah nak sampai.


Alhamdulillah. Setelah beberapa lama sampai juga kami ke makam Siti Aminah seorang wanita cantik yang menjadi pujaan ramai. Mereka yang dengki dan irihati dengan kecantikannya memanggilnya sebagai Siti Jalang. Menurut ceritanya beliau mengahwini 100 orang lelaki. Lihat artikel Makam (Tomb of) Siti Jalang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Mungkin ada yang bertanya apa kena-mengena si Siti Aminah @ Siti Jalang dengan tajuk artikel ini, "Kembara Johor-Riau - Mencari kesinambungan pemerintahan di Kota Tinggi, Johor"? Sebenarnya saya mahu memuaskan hati kerana makamnya merupakan satu-satunya makam terkenal di sekitar Kota Tinggi yang belum pernah saya ziarahi sebelum ini. Selain itu Siti Aminah dikatakan anak seorang pembesar istana, mungkin anak bendahara pada zamannya.

Untuk makan tengahari kami singgah di sebuah restoran Melayu yang dikenali istimewa dengan masakan makanan laut. Paling istimewa dan susah didapati di tempat lain adalah hidangan telor belangkas dan isinya. Itulah yang berwarna merah di pinggan tengah... belangkas dan telor masak asam pedas...


Perjalanan diteruskan dengan 'menajamkan ilmu tauhid'.


Memang tempat bernama Makam Tauhid ini terdapat banyak makam lama. Namun nama itu sendiri sebenarnya merujuk pada kota yang pernah menjadi pusat pemerintahan 2 orang Sultan. Lihat Makam Tauhid pada siang hari (The Tauhid tombs during daytime). Oh. Tajuk itu diberikan kerana dahulu saya sampai waktu malam.


Makam Tauhid itu letaknya tidak jauh daripada makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, seorang Sultan yang sangat terkenal dalam sejarah Tanah Melayu kerana mangkat ditikam ketika sedang dijulang atas usungan menuju ke masjid untuk bersolat Jumaat. Tadi sudah disebut kami berjalan di Kota Tinggi ini hari Jumaat bukan? Saya pun bersolat di masjid bersebelahan makam sultan. Lihat Masjid sebelah makam Sultan Mahmud Mangkat dijulang (The mosque besides the tomb of Sultan Mahmud Mangkat Dijulang).



Seterusnya kami singgah di jeti berdekatan menghadap Sungai Johor. Lihat artikel Johor river from Kota Tinggi jetty di blogspot BERPETUALANG KE ACEH, artikel ke 900 di situ.


Kemudian baru masuk ke Kompleks Makam Sultan Mahmud. Biar diingatkan, baginda adalah anakanda kepada Sultan Ibrahim yang membuka Kota Tinggi di Bentan.


Walaupun sudah menziarahi makam ini beberapa kali, baru kali ini saya tersedar bahawa terdapat 3 orang lagi Sultan Empayar Johor-Riau-Lingga yang turut dimakamkan dalam bangunan. Lihat Makam Sultan-sultan lain di Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat dijulang (Tombs of other Sultans at the Sultan Mahmud Mangkat Dijulang tomb complex).



Kemudian saya terlihat papan tanda ini.


Ah. Apakah ada makam lama yang harus diziarahi?


Saya tidak dapat melihat apa-apa binaan lama. Kalau ada yang terserlah pun mungkin ini.


Seterusnya kami ke makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid (lagi).


Inilah makam Tun Habib Abdul Majid, bendahara yang menyokong pemerintahan Johor semasa zaman Sultan Ibrahim membawa ke zaman Sultan Mahmud lebih 300 tahun lalu. Tetapi beliau meninggal dunia 2 tahun sebelum Sultan Mahmud mangkat. Katanya sultan tidak meninggalkan zuriat. Lalu anakanda Tun Habib yang menjadi bendahara ketika itu dinaikkan ke atas takhta menjadi Sultan Abdul Jalil. Anakandanya Sultan Sulaiman kemudian mengalih pusat pemerintahan ke Bentan iaitu di Hulu Riau. Lihat artikel Kembara Johor-Riau - Makam-makam di Hulu Riau dan alamat salasilah ibu yang ditulis hampir sebulan lalu.


Saya sebenarnya sudah membuat 2 buah artikel tentang makam Tun Habib sebelum ini. Tetapi kali ini saya lebih teliti dengan mengambil juga gambar-gambar setiap makam berkaitan. Lihat Melihat lebih teliti makam Tun Habib (Having a detailed look at the tomb of Tun Habib).



Selepas itu kami singgah di Masjid jamek Kota Tinggi. Walaupun sudah beberapa kali sampai ke bandar ini, baru kali ini saya sampai ke masjid jameknya kalau tak salah ingatan. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Kota Tinggi.


Ini pula surau utama di tengah bandar. Lihat Surau bandar (The town's small praying hall), Kota Tinggi.


Dari situ kami menziarahi lagi makam Laksamana Bentan, orang yang dikatakan menikam Sultan Mahmud ketika baginda sedang dijulang.


Umum tahu cerita bagaimana isteri Laksaman Bentan yang sedang sarat mengandung dibelah perutnya atas titah sultan semata-mata kerana kes mengidam nangka. Itu yang membuat suaminya berdendam. Kali ini selain menziarahi makam laksamana dan isterinya saya mengambil peluang melihat beberapa buah makam berdekatan. Lihat artikel Sekitar makam Laksamana Bentan (Around the tomb of Laksamana Bentan).


Dengan itu baru terasa cukup sesi ziarah di sekitar bandar Kota Tinggi. Kami pun keluar dari bandar tetapi masih di dalam lingkungan daerah Kota Tinggi untuk menziarahi makam-makam lain milik watak-watak utama Empayar Johor-Riau-Lingga. Terlihat papan tanda ke Kota Seluyut yang pernah menjadi salah satu pusat pemerintahan empayar.


Cuma kami masuk agak lewat iaitu hampir jam 5, waktu pintu masuk ditutup kerana kota atau bekas kota terletak jauh di dalam kawasan ladang kelapa sawit. Walaupun kami dibenarkan masuk, selepas beberapa lama mencari terserempak polis bantuan yang menyangkakan kami sudah sesat. Oleh kerana hari semakin lewat beliau menasihatkan agar kami keluar dahulu dan mencuba lagi esoknya. Beliau sanggup menunjukkan jalan. Kami pun keluar menghala lebih jauh ke selatan.


Terus ke terminal feri di Tanjung Belungkor.


Saja-saja nak melihat perairan yang menghadap ke Pulau Tekong milik Singapura.




Ke barat jeti boleh kelihatan kuala Sungai Johor. Kelihatan langit menunjukkan waktu senja.



Keluar dari terminal kami mengambil satu jalan menghala ke barat yang tamat sebelum bertemu sebuah sungai lain.


Di sini, di tepian Sungai Lebam yang mengalir masuk ke Sungai Johor saya deja vu panjang.


Memandang belakang ke arah sebuah bukit saya dapat merasakan ada sesuatu tentang tempat ini yang harus menjadi kesinambungan pemerintahan Empayar Johor-Riau-Lingga tetapi sejarahnya digelapkan. Yang pasti, menurut penduduk tempatan, di lereng sebuah bukit lain tidak jauh ke arah timur atau belakang bukit dalam gambar terdapat makam Si Bongkok yang ceritanya sangat terkenal dalam sejarah negeri Johor penghujung abad ke 19.

Saya tak mahu menyebut panjang. Cukuplah disebut saya dapat melihat kerajaan negeri dan agensi-agensinya termasuk pihak muzium seperti diarah agar tidak mengakui kewujudan makam Si Bongkok di sekitar ini iaitu di Tanjung Belungkor.


Kami turut melihat persekitaran sebuah tempat bernama Pasir Gogok, tenggara dari Tanjung Belungkor. Walaupun dah agak lewat malam dan susah hendak melihat apa-apa saya tetap menggagahkan diri sehingga puas. Tu dia... hingga hampir jam 11 kami masih berjalan-jalan meneroka. Semuanya menurut rasa untuk menghirup suasana penuh sejarah yang berkaitan dengan kerajaan Johor lama.