Gunung Nuang dengan 3 puncaknya yang berbalam-balam kelihatan daripada satu bahagian Kampung Janda Baik di Bentong, Pahang.Assalamualaikum sekalian. Semalam saya telah berjalan-jalan di Janda Baik bersama seorang wanita yang sangat saya sayangi. Dalam pada itu, ternampak puncak Gunung Nuang lalu teringat satu pengembaraan lalu... Teringat bahawa pengembaraan ini ada dinukilkan sebagai pengalaman seorang pemuda bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid, watak utama dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" atau BKA I...
Oh... Untuk maklumat, cerita ini pernah dipaparkan dalam satu forum di Internet kira-kira setahun lalu untuk menjawab satu persoalan. Ketika itu, saya baru sahaja belajar membuat promosi buku "Berpetualang ke Aceh" melalui dunia siber lalu ramai juga bertanya apakah cerita yang dinukilkan di dalam buku adalah berdasarkan pengalaman sebenar atau sekadar imaginasi penulis... Bacalah dan fikirkan sendiri... :]
---------------------
Sejak awal tahun 2003, apabila tidak keluar mengembara atau menziarahi rumah keluarga, saudara-mara dan kawan-kawan, Rasyid banyak menghabiskan masa berehat di rumah bapa angkatnya Pak Syed di Janda Baik, yang terletak 1,400 kaki tinggi dari paras laut. Rumah itu tersergam indah di dalam tanah kampung seluas 8 ekar, dipenuhi taman-taman bunga yang mengandungi beberapa buah kolam ikan serta beratus, mungkin beribu pohon cantik termasuk jenis tanaman dari baka yang susah untuk ditemui di tempat lain.
Di belakangnya pula, di kawasan lereng bukit terdapat sebuah dusun luas mengandungi pohon-pohon durian, langsat, rambutan, duku juga manggis. Sepanjang sisi kawasan taman pula mengalir sebuah sungai yang berjeram-jeram dengan air sejuk yang jernih, bersih lagi menyegarkan daripada kawasan pergunungan, cukup dekat dengan bilik tidur pemuda itu sehingga dia boleh terus terjun ke dalam sungai dari pintu dapur rumah di sebelah!
Tidak jauh dari kawasan rumah, berdekatan sebuah jambatan menyeberangi sungai yang sama pula terletak sebuah surau kayu...
Walaupun surau itu jarang dikunjungi penduduk tempatan, mungkin kerana terdapat masjid moden yang lebih selesa 2km dari situ, ia sentiasa hidup berkat kehadiran para pengikut Tabligh yang selalu beriktikaf atau menumpang bermalam, kadang-kadang sampai berbulan-bulan. Rasyid juga selalu solat berjemaah di sana lalu bersantai bertukar-tukar fikiran dengan para ‘penunggu’ surau berserta beberapa orang anak kampung yang turut memeriahkan suasana. Mereka datang daripada pelbagai pelusuk Semenanjung, ada yang dari Johor, ada orang Perak malah ada yang datang jauh dari berbagai wilayah di Indonesia untuk bekerja mengambil upah berkebun atau menjaga rumah-rumah mewah milik hartawan dan ahli politik yang banyak terdapat di Janda Baik.
Hendak dijadikan cerita, pada satu malam yang tenang, ketika sedang berbual-bual dengan dua orang pemuda yang berasal dari Riau, Indonesia dan kawan-kawan lain di pondok kecil sebelah surau, tiba-tiba terkeluar nama Gunung Daik yang terkenal dalam pantun lama Melayu:
Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.
“Tinggi woo... Gunung Daik!” kata Eddie, pemuda Riau yang sudah lebih setahun tidak balik kampung, “Selalu kena kepung awan. Dahlah susah nak panjat, tempat tu keras woo... Jangan buat main-main.” dia menyambung bicara dalam loghat Selatan, loghat Johor-Riau.
Riau dahulu pernah termasuk di dalam lingkungan kekuasaan empayar Melaka, kemudian empayar Johor-Riau-Lingga setelah kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Maka itu, pemuda yang mukanya kelihatan seperti orang Negro ini boleh dikira orang Johor lah juga... Jika tidak kerana angkara Barat memecahkan dunia Melayu kepada dua bahagian yang bakal mewujudkan negara Malaysia dan Indonesia, melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, perjanjian yang juga berjaya memecah-belahkan sejarah Melayu sehingga ramai yang tidak faham konsep sebenar bangsa Melayu lalu tidak mengenali asal-usul bangsa. Sebab itu ramai orang Melayu keliru! Tidak nampak kaitan sebenar turun-temurun di antara kedua-dua buah negara Melayu ini...
Menurut Eddie, beberapa orang pelancong Barat pernah cuba mendaki gunung itu tetapi semuanya tidak berjaya, semuanya sesat belaka. Mereka yang duduk di pulau (tidak ingat namanya) yang berpasakkan gunung itu pula tidak tergerak hendak mendakinya. Bukan semua orang minat mendaki gunung...
“Buat apa nak panjat Gunung Daik?” katanya. “Silap-silap boleh hilang terus dalam hutan. Banyak lagi kerja lain boleh buat. Orang-orang Melayu di Riau banyak yang miskin-miskin belaka, tak ada masa nak panjat gunung tak tentu pasal. Sebab itu ramai cari kerja kat Malaysia. Macam akulah juga...”
Seorang lagi pemuda Riau menggangguk bersetuju. Tetapi dia berasal dari bahagian tanah besar Sumatera, bukan di gugusan kepulauan Riau yang mengandungi Pulau Batam yang terkenal di kalangan warga Singapura atau Pulau Penyengat, pusat pemerintahan Riau dahulukala.
“Betul ke Gunung Daik itu bercabang tiga?” Rasyid membuka mulut.
Eddie tersenyum. Sudah mengagak mesti soalan ini akan keluar. “Betullah tu...” kata anak Riau itu. “Tetapi itu zaman dahulu, zaman sebelum atuk kepada atuk aku masih hidup lagi. Sekarang dah takda, tinggal dua je... Satu cabang lagi dah patah, jatuh ke laut”
“Ait? Bagaimana boleh jadi begitu pula?” tanya seorang kawan dari Parit Buntar, Perak. Pelik juga mendengar cerita ini...
“Tak tahulah aku.” Jawab Eddie. “Tapi kata orang tua-tua, cabang yang patah itulah yang tercampak ke laut lalu menjadi Pulau Pandan.”
Rasyid mula berangan-angan hendak mendaki Gunung Daik. Anak muda ini pernah menjejaki puncak Gunung Ledang di Johor dan Gunung Jerai di Kedah, masing-masing melebihi 4,000 kaki tinggi dari paras laut. Tetapi kira ‘mengelat’, dengan menunggang motosikal mendaki jalan kecil sampai ke stesyen telekomunikasi berhampiran puncak sebelum memanjat sedikit ke atas. Dengan cara yang sama juga, dia pernah sampai ke puncak Gunung Berinchang di Cameron Highlands (lebih 6,600 kaki) dan Gunung Ulu Kali di Genting Highland (sekitar 6,000 kaki). Yang penting sampai...
Kalau dengan tenaga kudrat sendiri pula, Rasyid pernah mendaki beberapa puncak dengan ketinggian kurang 2,000 kaki termasuk Gunung Lambak (1,600 kaki) di Keluang semasa belajar di Tingkatan Satu dahulu. Tetapi dia juga pernah menjejaki puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu (13,455 kaki) semasa bertugas sebagai wartawan untuk membuat liputan dan mengiringi rombongan Ketua Menteri Sabah ketika itu, Datuk Seri Yong Teck Lee bersama para pegawai kerajaan dan sekumpulan juruukur Sabah.
“Ya... Satu hari nanti aku mesti mendaki Gunung Daik dan melihat cabang tiga... eh duanya,” tiba-tiba terpacul perkataan dari mulut Rasyid.
Kawan-kawan lain tersenyum lebar melihat gelagatnya. Eddie pula menggaru kepala yang tidak gatal. “Bukan senang nak panjat Gunung Daik tau,” dia menegur. “Setahu aku tak ada denai sampai ke atas. Kan aku dah kata tadi, ramai orang sudah mencuba tapi semuanya sesat tak jumpa jalan?”
Tiba-tiba seorang kawan memotong: “Jauh tu kamu nak pergi tu... Kena pergi Indonesia, pergi ke Pulau Batam. Lepas tu kena naik bot pergi rumah Eddie. Gunung Nuang di belakang ini dah khatamkah belum?”
Gunung Nuang? Jiwa Rasyid yang sedang menerawang jauh disentak kembali ke alam nyata, balik ke surau kayu bersama kawan-kawan di sana. Ya, Gunung Nuang. Gunung tertinggi yang kelihatan jelas dari Janda Baik, selain Gunung Ulu Kali yang lebih tinggi dan lebih jauh. Gunung setinggi hampir 5,000 kaki ini agak terkenal di kalangan peminat sukan mendaki terutama di Selangor. Sering menjadi tapak latihan mereka yang bercita-cita untuk menawan puncak yang lebih mencabar seperti Gunung Tahan (sekitar 7,200 kaki). Tetapi selalunya orang akan mendaki Gunung Nuang dari Hulu Langat, dari sebelah Pangsun. Jarang sekali yang mahu mencuba dari Janda Baik.
Anak muda itu pernah mendengar beberapa cerita pelik daripada mereka yang pernah mendaki dari kampung itu, salah satunya, tentang kewujudan sebuah perkampungan orang Bunian yang besar malah sebuah pusat kerajaan ghaib! Seorang kawan pernah menceritakan bagaimana ketika berkhemah di sebuah dataran kecil berhampiran puncak, dia dan beberapa rakan lain telah ternampak sebuah obor bergerak di dalam kegelapan, siap dengan bunyi loceng basikal seperti memanggil-manggil!
“Nampak seperti orang menjual roti atau aiskrim menaiki basikal malam-malam buta,” kata kawan yang biasa memanjat gunung itu. “Tapi takkanlah ada orang berniaga atas puncak gunung? Bukannya ada orang duduk di situ, bukannya ada kampung dalam hutan berdekatan...”
Katanya lagi, seorang ahli perkhemahan mereka terpukau mendengar bunyi loceng itu lalu mula berlari ke arah obor yang bergerak. Hamba Allah ini seperti tidak sedarkan diri, tidak terfikirkan pun perbuatannya boleh membahayakan tubuh-badan. Tak tahulah kalau dia kempunan sangat nak makan roti ataupun aiskrim malam-malam buta...
“Nasib baiklah aku tahan.Kalau tak, sia-sia sajalah masuk gaung...” sambung kawan yang mengenali selok-belok hutan di situ.
Malam itu, nama Gunung Nuang terngiang-ngiang di fikiran Rasyid. Sebenarnya pemuda ini sudah lama terfikir hendak mendaki gunung itu, sejak pertama kali sampai ke rumah Pak Syed awal tahun 2002 dan terpandang puncaknya yang berbalam-balam bercabang tiga (seperti Gunung Daik dahulukala agaknya?), puncak yang kalau dilihat dari Janda Baik kelihatan seperti belakang seekor naga yang dipalu, satu puncak sedikit rendah, diikuti dua lagi puncak yang semakin meninggi.
Dia pernah bertanyakan kawan-kawan di Janda Baik yang pernah mendaki gunung itu, berapa lamakah masa yang diperlukan untuk berjalan sampai ke puncak. Kata mereka, paling cepat empat jam, kalau mendaki berlari-anak. Purata yang biasa orang buat enam jam... Masih dalam kemampuannyalah juga walaupun sudah lama tidak bersenam, berjogging atau bermain bola, kerana sudah biasa berjalan kaki berbatu-batu. Tetapi entah kenapa, selama itu anak muda ini belum betul-betul tergerak menunaikan hajatnya, sampailah suatu pagi, dua hari setelah perbualan di surau mengenai Gunung Daik. Ketika itu, hujan selalu renyai tidak putus. Begitulah cuaca seminggu kebelakangan itu. Kalau berhenti pun, paling lama dua tiga jam sahaja, kemudian hujan lagi. Hendak kata musim tengkujuh, semasa itu baru pertengahan 2003...
Rasyid pula terbangun tidur dalam keadaan ternganga. Tiba-tiba, gerak hatinya terasa begitu kuat mahu memanjat Gunung Nuang. Malam sebelumnya, dia telah meminta pendapat kawan yang biasa keluar masuk kawasan gunung apakah elok mendaki dalam masa terdekat, takut ada halangan yang tidak diduga. Katanya, tunggulah lagi seminggu-dua, mungkin musim hujan akan tamat, senang sedikit memanjat... “Lagipun seminggu lagi masuk pertengahan bulan. Ketika itu, bulan penuh mengambang, malam pun terang. Tak pakai lampu pun boleh nampak jalan,” dia menambah.
Lama juga pemuda itu termenung pagi itu. Perlukah dia mendaki hari itu juga, dalam hujan renyai tak henti? Gerak hatinya memang kuat menyuruhnya ke sana. Sambil itu dia teringat cerita tentang Gunung Daik yang terasa begitu menarik, amat menarik sehingga ia boleh dijadikan bahan pantun orang Melayu lama yang sangat terkenal hingga ke hari ini. Tetapi kalau Gunung Nuang yang kakinya terletak cuma beberapa batu sahaja dari Kampung Janda Baik pun belum didaki, apalah gunanya berangan hendak menaiki gunung bercabang tiga tetapi tinggal dua yang terletak jauh di negara orang? Apa gunanya jika tidak pernah mendaki puncak yang boleh kelihatan jelas di hadapan?
Dalam pada itu, Rasyid teringatkan Nur, gadis kesayangannya. Timbul pula rasa rindu, sudah lebih dua minggu tidak menatap wajah manis wanita langsing itu yang menetap di selatan Kuala Lumpur. Terbayang pula senyuman lebarnya yang jarang lekang di bibir...
Anak muda itu juga sudah lama tidak bermalam di Kajang, di salah sebuah rumah milik keluarga, rumah penginapannya semasa tahun pertama bekerja sebagai wartawan 1996 hingga 1997. Rumah itu juga adalah tempat ayah menetap sebelum pencen dan kembali ke Muar. “Hmm... Kalau panjat Gunung Nuang dan keluar di Hulu Langat boleh juga berjumpa Nur kemudian balik ke Kajang,” getus hatinya.
Dia pun keluar mandi di sungai bersebelahan rumah lalu bersiap-sedia. Ringkas, sebuah beg knapsack besar diisi penuh pakaian yang akan dibawa balik ke Kajang. Pakaian di badan sekadar t-shirt, seluar tracksuit dan sebuah jaket kalis hujan tertera lambang Polis diraja Malaysia serta perkataan “JELAJAH MESRA PDRM” di dada kiri. Hingga ada orang yang menganggap Rasyid seorang anggota polis, walaupun ketika pemuda itu sedang berambut panjang. Ramai juga menduga dia mungkin seorang polis undercover kerana gayanya yang agak tenang tetapi tegas dan berani, lebih-lebih lagi ketika memakai jaket labuh berwarna biru gelap ini. Nasib baik dia bukan jenis yang suka menyamar...
Anak muda ini tergelak apabila ditanya tentang itu. Geli-hati pun ada.... Lalu dia akan menyuakan bahagian lain jaket supaya dapat dilihat dengan jelas, jaket yang merupakan salah satu daripada pelbagai hadiah yang diterima ketika bertugas sebagai wartawan dahulu.
“Ini, tengok ini,” katanya menerangkan keadaan. “Lambang KFC ada, Telekom ada, EON, Majlis Sukan Negara malah Persatuan Lumba Basikal Kuala Lumpur pun ada. Pilihlah yang mana, kamu hendak kata saya bekerja di mana. Semua pun boleh,” pemuda ini berseloroh.
Rasyid keluar dari rumah Pak Syed sekitar jam 10 pagi dengan memakai sepasang kasut ‘kung-fu’ lalu melangkah ke dalam hujan renyai yang masih belum putus sejak semalam menuju ke kedai makan berhampiran surau. Kebetulan pula kawannya yang biasa keluar masuk Gunung Nuang ada di kedai. Maka dia pun bersantai sebentar membaca suratkhabar dan minum kopi kemudian mendapatkan sedikit petunjuk tentang laluan yang perlu dijejaki di gunung itu nanti, jalan mana yang harus dipilih jika terjumpa denai yang bercabang dan sebagainya... Semuanya diterapkan dalam ingatan sahaja.
Kawan yang berumur 50 tahun itu memintanya menunda perjalanan dalam seminggu, mungkin juga beberapa hari sahaja lagi. Katanya dia boleh menemani dan menunjukkan jalan jika Rasyid sanggup menunggu.
“Tak mengapalah,” pemuda itu menolak tawarannya. “Aku rasa wajib mendaki hari ini juga. Jika tidak, aku tak pasti bila lagi akan ada peluang, bila lagi akan tergerak. Kalau ditunda lagi takut tidak jadi langsung. Takut lagi setahun nanti baru timbul gerak untuk mendaki.”
Melihatkan tekadnya, kawan inipun mengangguk lalu menawarkan diri untuk menghantarnya menaiki motosikal sampai ke kaki bukit terdekat ke Gunung Nuang. Rasyid pula membeli sebuku roti dan sebotol kecil air mineral. Rasanya cukuplah sebagai bekalan, Insya’allah boleh bertahan walaupun perlu tidur di atas gunung semalaman.
Dalam perjalanan, kawan ini singgah di sebuah kedai sementara pemuda itu menunggu di motosikal. Katanya ada hal yang perlu diselesaikan. Tiga minit kemudian, dia pun keluar lalu menyuakan segenggam beras.
“Nah! Ambil ini,” kawan ini memberi arahan. “Kalau ada kabus atau sebagainya menghalang jalan, bacakan selawat kemudian taburkan sedikit ke arah rintangan. Mana tahu, bila sudah sampai puncak nanti kamu mahu melihat pemandangan luas tetapi terhalang?”
Rasyid mengambil beras yang diberi lalu menyimpannya dalam jaket. Mereka menyambung perjalanan sehingga ke penghujung jalan bertar lalu membelok kanan memasuki jalan tanah merah melalui kebun sayur yang luas sampai ke pinggir sebuah sungai. Dari situ, pemuda itupun memulakan perjalanan mendaki Gunung Nuang...
Jam menunjukkan pukul 11 pagi. Hujan renyai bertukar menjadi gerimis. Denai penuh lecak dan berlumpur menyebabkan perjalanan sukar dan perlahan. Seringkali lumpur dari tanah merah yang lembik akibat hujan melekat sehingga setebal 3 inci pada tapak kasut ‘kung-fu’ Rasyid menyebabkan langkahnya berat dan terhalang. Terpaksa pula mengambil masa untuk mengikisnya keluar...
Apapun, pemuda itu tidak mahu berjalan pantas kerana mahu menjimatkan tenaga serta menjaga nafas. Kerana dia sudah lama tidak bersenam kecuali berjalan kaki ke sana ke mari berbatu-batu. Yang penting, perjalanan perlu diteruskan sejauh mungkin tanpa berhenti, tanpa jantung berdenyut terlalu laju sehingga nafas tidak terkawal lagi. Sesekali sahaja dia berehat mengembalikan tenaga, hilangkan dahaga pun dengan beberapa titik air sahaja, mengikut petua orang tua-tua supaya tidak mudah lelah...
Dipendekkan cerita, hampir jam 6 petang, baru Rasyid sampai ke puncak Gunung Nuang, gunung tertinggi di Selangor. Kelihatan sebuah bangunan kecil yang terdiri daripada sebatang tiang dengan bumbung berbentuk kon. Hujan yang berhenti sebentar pula kembali renyai...
Pada awalnya, pemuda yang tidak membawa apa-apa peralatan perkhemahan ini merancang untuk bermalam di bawah kon yang boleh menaungi dua orang itu. Tetapi dia terpaksa membatalkannya kerana bahagian atas kon itu berlubang, senang dimasuki air sedangnya tubuhnya mula kesejukan digamit udara dingin pergunungan dan pakaiannya pula agak basah. Seluar tracksuit dan kasut ‘kung-fu’ yang dipakai tidak kalis air dan kelembapan di bahagian luar jaket cuma menambah rasa sejuk.
Apapun Rasyid mahu berehat sebentar menikmati pemandangan dari puncak. Tetapi kabus tebal pula menyelimuti kawasan, rasanya visibility tidak sampai 20 kaki. “Ah... Kalau begini, kempunanlah aku hendak melihat pemandangan luas kehijauan hutan rimba Banjaran Titiwangsa saujana mata memandang,” bisik hatinya.
Dahulu semasa mendaki puncak Gunung Kinabalu pun dia menghadapi masalah yang serupa. Malah keadaan di sana lebih teruk lagi kerana suhunya boleh turun ke tahap beku! Pemuda ini teringat bagaimana dia dan beberapa orang wartawan yang berkongsi bilik di Panar Laban, tempat berehat semalaman setelah penat mendaki sehingga ke paras 11,000 kaki telah bangun tidur dan keluar awal untuk menyambung pendakian jam 3 pagi semata-mata untuk melihat matahari terbit dari atas gunung. Mereka sampai ke Low’s Peak, puncak tertinggi pada paras 13,455 kaki sebelum jam 6 tetapi kabus tebal pula menyelimuti disertai hujan renyai-renyai. Sesekali kabus hilang ditiup angin deras untuk mendedahkan langit mendung dengan awan tebal tetapi digantikan pula kelompok kabus yang lain. Atau mungkin ia sebenarnya awan juga kerana tidak nampak bezanya antara awan dan kabus di puncak gunung?
Masuk jam 7, kabus dan hujan masih melitupi pemandangan. Mereka yang berada di atas pun mula turun sedikit ke bawah, ke sebuah kawasan mendatar meninggalkan Rasyid dan dua orang krew sebuah stesyen televisyen yang terpaksa menjaga peralatan untuk siaran langsung menggigil di celah batu di puncak gunung. Cuaca cuma cerah hampir jam 9, ketika matahari sudah meninggi. Kempunanlah pemuda itu untuk menikmati pemandangan mataharit terbit dari Gunung Kinabalu...
Di puncak Gunung Nuang pula kabus tebal terus menyelimuti pemandangan lewat petang. Rasyid tidak mahu kempunan lagi, sudah penat-penat memanjat, takkanlah mahu turun tanpa menikmati pemandangan yang didamkan. Dia teringat pesanan kawan tadi. Ambil sedikit beras yang diberi, selawat dan taburkan ke arah kabus. Ajaibnya, tidak sampai seminit kemudian, kabus tebal yang menyelimuti kawasan yang ditabur dan sekitarnya hilang ditolak angin. Lalu terbentanglah kawasan pergunungan luas menghijau berbalam-balam, Subhanallah, indahnya!
Kebetulan puncak Gunung Nuang terletak di atas sempadan Pahang dan Selangor, tidak berapa jauh dari Kenaboi, Negeri Sembilan. Nampaknya kawasan yang terbentang luas itu meliputi sebahagian Banjaran Titiwangsa di sebelah Pahang dan Negeri Sembilan menghala ke timur. Kalau menghala ke barat, tentu akan terbentang bandaraya Kuala Lumpur dan sekitarnya. Rasyid pun berjalan menghala barat ke sebuah tebing tinggi lalu membaca selawat dan melemparkan beberapa biji beras lagi. Setelah menunggu sehingga jam 6.30, kabus tidak juga hilang-hilang. Hendak tidak hendak, dia terpaksa memulakan langkah menuruni puncak kerana hari akan gelap, kali ini melalui denai lain yang mengikut perkiraannya menuju selatan ke Hulu Langat. Denai ini kelihatan lebih jelas dan terang kerana sering digunakan terutama pada hujung minggu, tidak seperti denai Janda Baik yang jarang dilalui, sering tertutup dan hilang jejak kerana banyak pohon tumbang tidak dibersihkan.
Pemuda itu tahu mustahil dia boleh keluar daripada kawasan pergunungan sebelum gelap. Maka itu dia telah bersedia untuk bermalam di mana-mana sahaja yang perlu lalu terus menyusuri denai sehingga matahari hilang. Setelah berjalan lebih kurang sejam, setelah kegelapan menyelubungi pemandangan sehingga denai tidak lagi kelihatan, Rasyid pun melabuhkan knapsacknya, beg galas besar yang sering digunakan sebagai alas di bawah sebatang pokok di tepi denai, di satu sudut yang sedikit kering berbanding persekitarannya yang lembab. Ketika itu, hujan renyai sudah berhenti tetapi langit masih lagi mendung menyebabkan malam gelap pekat. Tidak kelihatan apa-apa pun kecuali beberapa sudut di celah pohon dan daunan yang kelihatan sedikit cerah. Itu sahaja ‘cahaya’ yang dapat dilihat!
Menggunakan titisan air yang melekat pada rumput dan dedaun dia menjamakkan solat Maghrib dan Isyak dengan meneka arah kiblat. Kemudian pemuda itupun baring dan cuba melelapkan mata.
Tetapi Rasyid cuma dapat tidur ayam sahaja. Pakaian dan persekitaran yang lembab serta hawa dingin pergunungan menusuk dalam ke tulang sum-sum menyebabkan dia mula menggigil tanpa dapat lagi ditahan.
“Ah... Tak boleh jadi ni,” hatinya berbisik. “Hendak tidur pun susah. Nampaknya aku terpaksa bergerak juga untuk memanaskan badan.”.
Pemuda itupun menyambung perjalanan, kali ini secara jalan itik dan merangkak dengan muka dan dada menghadap ke atas, tangan dan kaki sahaja di bawah merasa bentuk tanah. Kegelapan malam yang sangat pekat sehingga tidak kelihatan apa-apa lagi kecuali sedikit langit yang terdedah di sebalik rimbunan daunan memaksa Rasyid untuk berhati-hati supaya tidak terlanggar pokok, tersadung akar atau tersilap melangkah cerun ataupun lubang. Sekurang-kurangnya dapat juga membezakan denai yang terasa lapang berbanding tepian yang berumput atau penuh akar kayu. Tetapi dia juga terpaksa meredah lumpur dan lecak... Sekali-sekala, apabila tidak dapat menahan penat, pemuda itu terbaring berlapikkan knapsack. Ada masanya dia cuba melelapkan mata tetapi tidak lama... Paling kuat pun 10 minit sebelum kelembapan dan kedingingan malam pergunungan memaksanya meneruskan perjalanan.
Setelah hampir dua jam menuruni Gunung Nuang begini, Rasyid sampai ke sebuah dataran lapang. Ada juga kawasan berehat yang selesa... Masalahnya, dataran lapang yang agak luas itu, mungkin seluas sebuah tennis court, menyebabkan pemuda itu hilang jejak. Bagaimana hendak mencari denai dalam kegelapan malam yang masih pekat? Dia cuba meraba-raba sekeliling pinggiran dataran untuk mencari jalan yang biasa digunakan orang tetapi tidak berjaya menemui sebarang jejak.
Akhirnya, setelah suku jam termangu – hendak tidur menunggu hari terang pun tidak boleh kerana kesejukan, Rasyid membuat keputusan nekad untuk menuruni cerun yang agak curam di satu sisi dataran. Dengan cara merapatkan badan yang beralaskan knapsack serapat mungkin ke bumi, tangan meraba kiri dan kanan mencapai apa-apa pohon kecil atau akar kayu malah ada masanya mencekak pangkal rumput sahaja supaya tidak tergelincir. Setelah kukuh pegangan, kakinya pula dihulurkan perlahan-lahan ke bawah sehingga terjumpa tempat berjejak Kemudian badannya yang rapat ke bumi itupun diensotkan ke bawah. Logiknya, asal sahaja terus turun ke bawah, pemuda ini pasti akan sampai ke anak sungai yang mengalir ke sungai yang lebih besar seterusnya keluar dari hutan atau menuju kawasan yang didiami orang.
Alhamdulillah, telahannya tepat. Setelah agak lama berhempas-pulas teraba-raba dalam kegelapan, sesekali berbaring senget di tepian cerun untuk melepaskan penat, dia dapat mendengar deruan air sungai mengalir. Rasyid pun bergerak ke pinggir lalu menghilir sungai yang berliku dan berjeram, berjalan apabila jejak terasa kukuh, merangkak apabila tanah terasa licin atau terlanggar batu dan akar kayu. Sesekali anak muda ini harus menahan sejuk hingga ke tulang sum-sum kerana terpaksa merentasi air. Ada masanya pula, dia menggunakan ‘teknik’ menuruni cerun tadi, apabila tiba ke bahagian air terjun dengan tebing yang curam.
Dipendekkan cerita, setelah sehari semalaman menahan dingin dan penat, setelah lama berjalan dalam keadaan menggigil-gigil seluruh badan sehingga kepala lutut berlaga, begitu juga rahang mulut, setelah bercalar-calar seluruh badan terutama kaki yang sering terendam dalam air, pemuda itu berjaya keluar dari hutan Gunung Nuang selepas jam 1.30 tengahari. Kalau ditolak waktu mula menuruni puncak iaitu jam 6.30 petang semalam, dia telah memakan masa 19 jam untuk turun ke bawah dalam keadaan sesat!
————————
Rupa-rupanya ada hikmah besar di sebalik kesesatan ini.Rasyid telah menceritakan apa yang berlaku kepada kawan yang biasa keluar masuk kawasan hutan pergunungan itu, terutama apa yang dialami selepas meneruni cerun di sisi dataran yang agak luas tadi.
Salah satu sebab pemuda ini memilih untuk turun melalui jalan itu adalah kerana dia ternampak banyak tumbuhan menyala seperti puntung rokok tetapi dengan cahaya sejuk putih seakan-akan cahaya kelip-kelip tanpa berkerdip. Sepanjang perjalanan, cahaya sebegitulah yang dilihatnya banyak terdapat pada rumput dan pepohon kecil, kadang-kadang meliputi hampir seluruh batang pokok besar, adakalanya pula di bahagian dalam kayu balak yang sudah reput. Kata orang, kerana jangkitan sejenis kulat hutan yang halus tetapi tumbuh meluas mengeluarkan cahaya sejuk.
Tahu tidak apa ‘interpretasi’ kawan itu? Kawan yang menurut kenalan lain biasa keluar masuk alam ghaib, jin dan bunian serta mahir dalam ilmu perubatan tradisional itu menyebut Rasyid sudah memasuki sebuah perkampungan bunian malah pusat sebuah kerajaan ghaib yang mempunyai kaitan dengan sebuah kerajaan purba yang amat besar!
“Bukan itu sahaja,” dia meneruskan penuh misteri. “Kamu juga telah memasuki perkarangan istana raja kerajaan itu.”
Rasyid ada menerangkan, dia sempat berehat malah tidur sejenak di atas sebuah batu besar dengan sebuah mata-air di sebelah, tidak jauh dari pinggir sungai yang ditemui setelah menuruni cerun curam. Walaupun ketika itu malam masih gelap-gelita, masih tidak kelihatan apa-apa kecuali langit yang sedikit cerah, walaupun segalanya samar-samar belaka, pemuda itu dapat menduga keadaan sekeliling dengan meraba-raba juga memusatkan deria.
Kata kawan itu lagi, dari alam bunian itu, seseorang boleh berjumpa dengan ‘pintu-pintu’ ajaib yang membolehkan manusia melangkaui ruang dan masa. Boleh kembali ke zaman dahulukala malah bergerak ke masa hadapan seperti menaiki time machine, lebih kurang macam dalam cerita wayang Back to the Future! Kalau dalam cerita fiksyen sains Orang Putih, pintu sebegini dipanggil doors atau gateways into another dimension. Kalau dalam teori fizik pula, ia dipanggil wormholes (lubang cacing?) walaupun kewujudannya belum terbukti secara nyata kecuali dari segi teori dan imaginasi yang disokong perkiraan matematik...
Tambahnya, dengan memasuki pintu-pintu ini seseorang itu boleh melihat apa yang sebenarnya berlaku di Melaka dahulukala, bukan sekadar mempercayai interpretasi sejarah Barat yang berat sebelah. Atau melihat Kuala Lumpur semasa seluruh Lembah Kelang terletak di bawah laut, ketika Batu Caves adalah sebuah pulau sementara bukit-bukit batu kapur Klang Gate di belakang Zoo Negara pula terletak di pinggiran pantai. Ini berlaku di suatu zaman lampau di mana cerita-cerita lama Melayu yang sering dilabel pengkaji Barat sebagi dongeng dan mitos semata memanggil Gunung Jerai sebagai Pulau Serai. Tetapi seseorang itu mestilah tahu kaedah menggunakan pintu-pintu ini, bagaimana cara membuka, melangkah dan menutupnya... Kalau tidak boleh sesat, hilang entah ke mana. Mahu ke Melaka tetapi boleh sampai ke Russia pula!
“Bukan senang hendak masuk ke kawasan yang kamu sampai ini,” kata kawan itu lagi. “Kalau dicari memang tidak akan berjumpa kerana kedudukannya tersembunyi dan dilindungi pula pihak-pihak tertentu daripada kerajaan alam ghaib. Selalunya cuma orang yang sesat atau orang tertentu yang tahu selok-beloknya sahaja boleh sampai ke situ.”
Malangnya Rasyid sekadar dapat melalui kawasan itu dan berehat sebentar di pinggir istana. Belum betul-betul dapat memasuki alam ghaib di sebaliknya, alam yang menurut cerita-cerita orang lama mengandungi pelbagai perkara ajaib yang menakjubkan. Jadi apakah silapnya?
“Silapnya satu sahaja,” kawan itu menerangkan. “Fikiran kamu bercabang. Tidak tetap, tak disalurkan ke satu tempat dan keadaan kerana ada perkara lain yang sedang kamu fikirkan. Kalau kamu tumpukan sepenuh perhatian dan jiwa-raga pada apa yang berlaku di sekeliling, terima sahaja apa yang akan berlaku, tentu kamu sudah dijemput masuk ke istana raja.”
Memang fikiran Rasyid bercabang ketika itu, sangat bercabang.... Tidak terfikir pun hendak menyiasat lebih lanjut walaupun gerak hatinya menyatakan dia mungkin sudah sampai ke kawasan istana ghaib itu kerana sudah lama mendengar cerita tentang kewujudannya.Pemuda itu bukan takut sesat atau mara bahaya kerana yakin Allah akan melindunginya tetapi lebih banyak memikirkan bila akan dapat keluar hutan akibat terlalu mengenangkan Nur. Malah, semasa tidur ayam sebentar di atas batu bersebelahan mata air, kawasan yang disebut kawannya sebagai terletak di dalam lingkungan istana ghaib, anak muda ini ada terdengar bunyi perempuan berdehem seolah-olah menegur kehadirannya. Tetapi bila dia cuba mencari, tidak ada pula orang di situ.
Apa yang membuatnya lebih musykil, bunyi itu saling tak-tumpah seperti cara Nur berdehem apabila memperlinya atau bergurau-senda. Sehingga tebayang wajah manis serta senyumannya! Rindu sangatlah agaknya itu...
Sebelum bertolak, Rasyid ada menelefon gadis kesayangannya untuk memberitahu rancangan mendaki Gunung Nuang dan keluar di Hulu Langat. Lalu berjanji akan berjumpa keesokan hari dan menghubunginya sebaik sahaja keluar dari hutan, mengikut jangkaannya awal pagi atau paling lambat sebelum tengahari. Nur tidak hairan mendengar rancangan ini kerana sudah masak dengan perangai gila pemuda kesayangannya. Sudah tahu bagaimana dia telah mengharungi berbagai jenis pengembaraan yang mencabar tetapi tetap kembali dengan selamat, sihat tubuh-badan... Maka itu apabila tersangkut lama di dalam hutan dan tidak dapat menghubungi gadis itu melalui telefon bimbit kerana ketiadaan signal, Rasyid mula terasa resah dan gelisah. Risau mengenangkan gadis itu tertunggu-tunggu, mungkin susah hati di Kuala Lumpur.
Rupa-rupanya memang wanita kesayangannya susah hati sepanjang hari. Malah apabila dapat bertemu jam 4 petang di pekan Batu 9, Hulu Langat, Nur menceritakan bagaimana malam itu dia tidak dapat tidur, asyik berhempas-pulas bertukar tempat tidur menggigil-gigil kesejukan.
“Nak kata sebab air-cond dipasang kuat, saya sudah biasa... Rupa-rupanya sebab awak menggigil sejuk atas gunung. Saya pun dapat rasa!” katanya lega kerana pemuda itu selamat dan sudah berada di depan mata...
Apapun, pada Rasyid, hikmah sebenar di sebalik kesesatan ini adalah bukti bahawa konsep tawakal yang menjadi pegangan hidupnya adalah benar. Bahawa segala-galanya adalah di dalam genggaman Allah Subhanahuwata’ala jua, bukan setakat bercakap melaung-laungkan ayat-ayat Al-Quran tetapi belum merasai kebenaran yang tersurat dan tersirat di dalamnya.
Sebagai seorang yang sudah lama cenderung ke arah bidang kerohanian dan Tasawuf, pemuda itu mahu mengalami hakikat tawakal yang sebenar. Bukan sekadar tawakal peringkat pertama yang dihuraikan Imam Ghazali dan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani sebagai tawakal biasa atau tawakal orang awam di mana Nabi Muhammad SAW menyuruh orang mengikat untanya sebelum masuk bersolat di masjid. Kemudian baru bertawakal samada unta itu akan hilang atau masih ada bila dia keluar. Mengikut kedua-dua orang pakar ilmu kerohanian ini, tawakal peringkat kedua pula adalah tawakal khusus, ibarat seorang bayi di pangkuan ibunya. Berserah sepenuhnya kepada penjagaan si ibu tetapi masih boleh membantah atau menyatakan rasa tidak puas hati dengan menangis apabila tidak mendapat apa yang dikehendaki.
Tetapi hakikat tawakal yang sebenar, tawakal peringkat ketiga atau tawakal khusus wal khusus adalah jauh lebih tinggi. Dalam peringkat ini, seseorang itu ibarat mayat di tangan pembasuh mayat. Sukahati pembasuhlah hendak buat bagaimana, gosok dengan berus dawai pun tidak boleh mengelak atau membantah malah mengatakan “Aduh...” pun tidak! Salah satu ilmu yang diperlukan untuk mencapai peringkat tawakal ini adalah memahami bahawa ada hikmah di sebalik setiap perkara yang terjadi. Ada sebab kenapa berlaku sesuatu Qada’ dan Qadar kerana Allah tidak akan menjadikan sesuatu perkara sia-sia kerana Dia Maha Bijaksana. Kita sahaja yang tidak memahaminya...
Sebab itu ada ayat Quran berbunyi lebih kurang begini: “Adakalanya kamu rasa sesuatu perkara itu baik untuk kamu sedangkan hakikatnya tidak. Adakalanya pula kamu rasa sesuatu perkara itu buruk sedangkan sebenarnya ia baik untuk kamu.” Pendek-kata ada masanya hakikat sesuatu perkara itu bertentangan dengan apa yang kelihatan secara zahir!
Maka itu jika kita mahukan husnul khatimah, kesudahan yang elok, biar Tuhan sahaja menentukan perjalanan hidup kita. Maka itu juga, dalam perjalanan Tasawuf yang penuh ranjau dan duri, banyak pula rahsia dan hikmah yang tersembunyi, seseorang itu perlu banyak bersabar. Lebih baik lagi jika dia mampu redha terhadap setiap perkara yang menimpa tidak kira baik ataupun buruk kerana kita kurang arif tentang hakikat sebenar sesuatu peristiwa...
Jauh perjalanan, luas pemandangan. Melalui peristiwa-peristiwa yang memayahkan juga seseorang itu dapat melihat hakikat sebenar kehidupan yang tersurat dan tersirat di sebalik kalimah Lahaulawala quwataila billa hil ‘aliyilazim, tiada daya dan upaya kecuali dari Allah belaka.
Bayangkan, masuk seorang diri ke dalam hutan belantara, meredah jarak sekitar 40km mendaki gunung setinggi hampir 5,000 kaki dengan berbekalkan sebuku roti dan sebotol kecil air mineral tanpa apa-apa peralatan perkhemahan malah torch-light pun tiada. Sesat pula dan main hentam meredah kegelapan pekat malam, bila-bila masa sahaja boleh terjatuh ke dalam gaung ataupun lubang di dalam hutan yang diketahui orang tempat binatang buas, kawasan harimau bermaharaja-lela malah tempat hantu dan jin bertendang. Hendak kata Rasyid pandai bersilat untuk mempertahankan diri pun tidak... Dia bukan pernah mengikuti apa-apa perguruan formal. Jungle survival skill pun kurang, nama-nama pohon buah-buahan dan sayur-sayuran banyak tak kenal, apalagi hendak tahu yang mana beracun, yang mana boleh dimakan...
Lebih pelik lagi, dia boleh berjalan seorang diri lebih 24 jam dalam hutan tanpa terserempak walau seekor pun binatang berbisa seperti ular mahupun serangga. Yang ada cuma seekor kelip-kelip yang terbang ke satu arah seolah-olah menunjukkan jalan di sebalik kegelapan malam. Maka di sini juga terserlah hakikat sebuah lagi ayat Quran yang maksudnya lebih kurang begini – Ubun-ubun setiap binatang yang melata berada di dalam genggamanKu. Ertinya Allah jua yang menggerakkan segala-galanya. Tidak akan ada apa-apa gerak tanpa izinNya. Maka itu juga agi idup agi ngelaban, pantang mati sebelum ajal. Nyawa terletak di tangan Tuhan, bukan di tangan makhluk ciptaanNya!
Inilah pegangan hidup sebenar Rasyid, bukan pandai bersilat, bukan sebab stamina kuat, bukan sebab boleh menundukkan binatang. Dia setakat menurut gerak hati yang ditapis menurut kaedah tertentu kerana percaya akan wujudnya ‘program’ tersirat Tuhan untuk menyucikan dirinya demi memberi kefahaman tentang hakikat sebenar kehidupan.Sebab itu pemuda ini sanggup mengalami semua ini, sanggup kehilangan kerja dan segala-galanya. Sanggup mengembara merata-rata menziarahi makam-makam purba, mengumpul cerita-cerita lama termasuk kisah-kisah para wali dan raja-raja yang cuba dinukilkan dalam buku mengenai Aceh yang sedang diusahakannya. Kerana dia percaya walau apapun terjadi, walau bagaimana hebat sekali pun dugaan yang mendatang, tetap ada hikmah di sebalik semua ini, hikmah yang mungkin tidak dapat diduga sekarang tetapi akan menjadi kenyataan yang tidak boleh disangkal nanti...
Walaupun usahanya ini dikira kurang siuman oleh pelbagai pihak termasuk ahli keluarga sendiri malah menyebabkannya berpisah dengan isteri ketika anak mereka masih bayi lagi, Rasyid tetap mencekalkan hati untuk melalui semua ini kerana dia percaya dan tahu, di sebalik semua pengalamannya itu terletak satu jigsaw puzzle yang perlu diselesaikan jika dia ingin mengecapi kebahagian hidup yang sejati. Pemuda ini tahu, mahu tidak mahu dia terpaksa menempuh perjalanan hidup yang agak pelik dan penuh ranjau duri kerana sejak kecil lagi telah diberi pelbagai bayangan yang jarang dapat dijangkau orang termasuk melihat peristiwa-peristiwa yang akan datang. Cuma Rasyid tidak dapat menduga bilakah sesuatu peristiwa itu akan berlaku, di mana ia akan terjadi sementara hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa itu pula cuma akan dapat digapai setelah ia betul-betul berlaku, kadang-kadang bertahun-tahun selepas itu. Maka itu dia cuba menerima segala yang datang sebaik mungkin dengan husnul zaan, bersangka baik selagi boleh dan mampu...
Tetapi sebagai manusia biasa yang mengidamkan sebuah home sweet home iaitu rumah atau tempat yang betul-betul dapat memberikannya istirehat, pemuda itu juga banyak melakukan kesilapan, pernah menyoalkan apakah makna semua ini. Kenapa Tuhan menjadikannya begini sengsara, kenapa tidak biarkan sahaja dia mati. Dan serangkali juga pemuda itu menangis seorang diri menanggung beban dan dugaan yang perlu dilaluinya demi mengenali erti dirinya yang sejati. Apa boleh buat? Itulah jalan yang perlu ditempuhi...