Rasanya ada penemuan baru yang akan berlaku tapi tak pasti apa...
Sampai ke satu tempat sekitar 10 km sebelum pekan Kuala Selangor saya terlihat sesuatu yang mengujakan.
Ada rumah dengan bentuk lidah terjulur, perhati kali saya melihatnya di dalam daerah Kuala Selangor. Lihat artikel Rumah dengan bentuk lidah terjulur di Kuala Selangor (House with tounge-like shape hanging down at Kuala Selangor) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Ini membuat saya terasa pasti ada sesuatu yang melibatkan pencarian saya tentang sejarah lama di sekitar ini. Tapi bila pusing-pusing masuk ke dalam tak nampak apa-apa kecuali sebuah sungai, mungkin taliair yang mengalir masuk ke Sungai Selangor.
(saya tak nak sebut nama tempat ini iaitu Tanjung Siam... nanti ada pula pihak yang kata ini le bukti kat sini ada raja daerah empayar Siam-Islam konon. Untuk makluman pembohongan dan kesilap-tafsiran mereka terhadap sejarah telah pun dibongkar banyak pihak. Ternyata mereka sekadar waris kerajaan Ligor yang pernah menjadi agen pencacai kerajaan Buddha Ayuthia untuk menguasai kerajaan-kerajaan Melayu di utara Semenanjung. Cuma mereka yang cetek ilmu sejarah atau berkepentingan seperti keluarga mereka yang ada hati mahu menuntut takhta negeri Kedah malah jawatan Yang di Pertuan Agung sahaja terus berkokok dengan sejarah tipu-belit mereka).
Saya pun meneruskan perjalanan ke Kuala Selangor. Ternyata Kampung Kuantan yang terkenal dengan populasi kelip-kelip yang dikatakan kedua terbesar di dunia terletak cukup dekat dari tempat tadi.
Isteri saya mengingatkan kata-kata orang bahawa di Kampung Kuantan atau sekitarnya terdapat banyak makam lama. Saya pun tergerak untuk mencari dengan mula masuk ke satu bahagian tepian Sungai Selangor.
Saya biasa membawa isteri dan anak juga kawan-kawan ke sini untuk melihat kelip-kelip.
Pandangan ke kiri iaitu menghilir sungai, boleh kelihatan kompleks jeti kelip-kelip. Dari situ kita boleh menyewa bot untuk melihat kelip-kelip waktu malam. Tapi kena le bayar satu kepala RM40...
Pandangan ke kanan menghulu sungai. Kat mana ya nak cari makam-makam lama ni? Saya tahu berdekatan kompleks makam ada beberapa makam lama dan pernah melihatnya. Tetapi saya mahu mencari yang lain dari itu.
Ah... mungkin saya perlu masuk lebih dalam ke jalan kampung sekitar. Kami pernah mengambilnya suatu malam tetapi ketika itu kami sebenarnya mahu mencari jalan keluar untuk kembali ke jalan besar.
Jasad beliau ditemui dalam keadaan penuh teritip. Namun beliau masih hidup. "Bayangkan berapa lama agaknya dia tenggelam sampai badan penuh teritip," kata pakcik. Saya terlupa bagaimana tetapi beliau akhirnya diterima oleh Sultan Selangor sebagai saudara malah diminta mengajar agama di istana. Mungkin kerana Sultan Selangor berketurunan Daeng Chelak dari Tanah Bugis?
Pakcik ini tidak tahu Sultan manakah yang menerimanya. Tetapi ketika itu Sultan Selangor sedang bersemayam di Bukit Melawati (dahulu dikenali sebagai Bukit Selangor). Sejarah menyebut cuma 3 Sultan terawal sahaja yang bersemayam di Kuala Selangor. Mereka ialah Sultan Salehuddin (katanya ditabal tahun 1766, ada yang kata sudah mula memerintah sejak 1743 sebelum mangkat 1778), Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Muhammad (1826-1857). Maka raja/anak raja Bugis yang dimakamkan di kubur panjang telah datang ke Selangor sekitar 200 tahun lalu. Peristiwa ditemui di laut menyebabkan beliau (baginda?) dikenali sebagai Tok Laut. Lihat Makam (Tomb of) Tok Laut, Kuala Selangor.
Apapun, pakcik tadi ada menyebut dia adalah salah seorang waris Tok Laut. Tapi itu dari susur-galur belah perempuan, dari salah seorang neneknya. Kata pakcik itu susur-galur beliau sekitar 7 keturunan atau lebih sedikit sampai kepada seorang bangsawan Bugis yang dikenali sebagai Daeng Tok Hussin. Dan menurutnya ini berkaitan dengan salasilah pahlawan Melayu Perak yang memegang daerah Kampung Gajah iaitu Tok Sagor.
Ternyata pencarian makam ini lebih mencabar akibat semak dan belukar yang tebal.
Beginilah kedudukan hujung jalan berbanding Bukit Melawati. Nampak tak bukit di tengah? Inilah kali pertama saya berada di sekitar ini. Harap-harap akan lebih banyak petunjuk dan ilham yang timbul dan terbuka nanti.
OK. Kenapa saya sebut "Episod kemaruk Bugis" pada tajuk artikel kali ini? Rasanya mereka yang selalu mengikuti blogspot ini tentu nampak bagaimana saya asyik menulis tentang Bugis kebelakangan ini dan ini bertambah kuat sejak sebulan dua. Sebelum ini, selama beberapa tahun saya lebih mementingkan susur-galur keluarga bapa yang dikatakan berasal dari Aceh. Ternyata apabila diselidiki lebih mendalam, kaitan Bugis juga sangat kuat malah nenek-moyang bapa yang di Aceh abad ke 18 dikenali sebagai keluarga Raja Aceh dari Dinasti Bugis.
Sebulan dua kebelakangan ini saya rasa lebih terpanggil untuk mencari nasab Bugis belah ibu. Adapun ibu saya berdarah Bugis campur Jawa... bapanya Bugis ibunya Jawa. Selama setahun dua gitu, saya sekadar tahu nama bapa ibu ialah Ismail bin Hussin bin Betak dan ada kemungkinan nasab ini sampai kepada Raja Ahmad ibni Raja Haji ibni Daeng Chelak. Baru awal musim raya ini saya mendapat kepastian bahawa Betak ini adalah pembuka Parit Betak di Batu Pahat, Johor. Dan pada malam Jumaat selepas membuat perjalanan terbaru ke Kuala Selangor, selepas menziarahi kubur panjang @ makam Tok Laut, makam-makam lama di Kampung Kuantan hingga sampai ke satu bahagian terdekat ke kuala Sungai Selangor yang semuanya berkaitan Bugis, saya mendapat berita bahawa ayah kepada Betak (turut dipanggil Daeng Betak) adalah Daeng Makuaseng yang membuka Parit Makuaseng di Benut, Pontian.
Lebih tepat lagi, beliau adalah La Makuaseng yang berasal dari Loa di Wajo, Sulawesi Selatan. Allah. Teringat bagaimana dahulu almarhum Nenek iaitu ibu kepada bapa saya pernah memberi petunjuk bahawa susur-galur keturunan bapa dan sulur-galur keturunan ibu ada kena-mengena. Teringat kembali identiti moyang kami yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama di Perak tahun 1700an. Dahulu moyang yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam ini saya sangkakan berketurunan terus dari Aceh... rupa-rupanya walaupun benar ada kaitan Aceh beliau (sebenarnya baginda) berasal dari Wajo.
Yang berketurunan terus dari Aceh sehingga menjadi darah induk keluarga bapa adalah seorang menantu Nakhoda Hitam yang dikenali sebagai Toh Jambu. Itupun Toh Jambu berasal dari Dinasti Bugis yang menjadi Raja-raja Aceh. Menariknya, Dinasti Bugis ini boleh disusur hingga ke seorang moyang bernama Daeng Mansur yang dikatakan datang dari Wajo tahun 1600an. Walaupun ada cerita menyebut bapa Daeng Mansur sebenarnya adalah seorang anak raja besar Aceh, hakikat bahawa ibunya berdarah Bugis sudah cukup untuk menyebabkan beliau (juga baginda sebenarnya) dikenali sebagai seorang ulamak Bugis.
Yang menarik mereka semua ada kaitan dengan Wajo. Adalah juga menarik untuk difikirkan bahawa Sayyid Jamaluddin Kubra, wali besar keturunan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan menurunkan para Wali Sembilan di Pulau Jawa akhirnya mangkat di Wajo. Makamnya masih ada di sana bersebelahan dengan makam seorang Raja Wajo yang menjadi menantunya. Apakah kaitan semua ini? Apakah ini adalah punca (atau salah satu punca) munculnya darah Ahlul Bait pada Raja-raja Bugis? Mungkin inilah yang menyebabkan mereka lebih gagah dan berwibawa daripada Sultan-sultan Empayar Johor-Riau berketurunan Bendahara yang naik selepas Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dibunuh orang tahun 1699. Walhal kalau menurut salasilah besar Bugis 5 Daeng terkenal yang datang ke Johor sekitar itu sebenarnya cuma berpangkat bangsawan menengah, bukan anak raja...
Faktor yang sering diperbesarkan anak cucu Bendahara yang menjadi raja (keturunan ini kemudian menjadi Sultan-sultan Johor, Pahang dan Terengganu hingga sekarang) untuk menyokong hak dan kedaulatan mereka menaiki raja adalah Bendaharaja Johor ketika itu berketurunan Sayyid dari Aceh. Sayyid ini pula dikatakan dari keturunan Ba' Alawi di Hadramaut yang sampai kepada Saidina Hussein. Namun ramai dapat melihat bahawa Sayyid Jamaluddin yang turut dikatakan berasal dari keturunan Ba' Alawi telah menurunkan cabang Ahlul Bait yang lebih hebat. Harus ditambah bahawa ada salasilah dari Aceh menyebut Sayyid Jamaluddin yang hidup abad ke 14 hingga ke 15 Masihi sebenarnya adalah seorang anak cucu Sultan Malikus Salih dari Samudera-Pasai.
Turut disebut sumber Aceh adalah kewujudan seorang ulamaknya Sheikh Ali Muqaisar yang datang ke Tanah Bugis hampir sezaman dengan kedatangan Sayyid Jamadil Qubra. Namun sejarah rasmi Bugis sendiri setakat menyebut mereka mula diIslamkan setelah kedatangan 3 orang datuk dari Minangkabau yang menuntut ilmu di Aceh abad ke 16. Nampaknya mereka kurang tahu tentang kedatangan Sayyid Jamadil Qubra apalagi Sheikh Ali Muqaisar. Menurut cerita dari Aceh, nama kota Makassar yang menjadi pusat kerajaan Goa di Tanah Bugis timbul akibat kedatangan Sheikh Muqaisar...
Oh. Satu lagu berita yang baru saya dapat sejak perjalanan petang Khamis ke Kuala Selangor. Biar diberi sedikit latar-belakang. Dahulu saya percaya bahawa moyang saya yang menjadi Laksamana pertama adalah adik-beradik dengan Daeng Selili, Maharajalela pertama Perak. Kemudian saya diberitahu oleh seorang waris dari Sabah bahawa Laksamana yang turut memakai nama Daeng Hanasah ini adalah anakanda kepada Daeng Selili, bukan adik-beradik. Nama Daeng Selili pula katanya adalah identiti samaran bagi La Madukelleng seorang Raja Wajo yang menjadi Raja besar Bugis, sangat dibenci dan ditakuti Belanda kerana selalu mengalahkan pihak mereka. Namun sejak beberapa bulan kebelakangan ini saya mendapati timbul arah lain apabila kaitan dua watak ini disebut di forum-forum. Semalam baru saya dapat tahu bahawa kajian terbaru waris-waris menyebut Daeng Selili bukanlah La Madukelleng. Beliau cuma pengikut Nakhoda Hitam yang paling setia. Sekian luahan kemaruk Bugis..