Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Julai 07, 2009

Baru sampai ke makam Syiah Kuala yang amat terkenal itu!

Assalamualaikum semua. Lihat gambar di bawah yang diambil daripada artikel Sampai ke Aceh setelah 5 tahun 5 bulan menunggu! Rupa-rupanya ada faktor 131 di sini...


Pada artikel itu saya ada menyebut bahawa dalam gambar ini boleh kelihatan kawasan makam Syiah Kuala milik seorang ulamak terkenal Aceh bertaraf wali dahulukala...


Biar saya zoomkan sedikit gambar di atas dan tanda kedudukannya... nampak kan?

OK. Sebaik sahaja selesai urusan di lapangan terbang iaitu ketika baru sampai ke Aceh, Kak Ann bertanyakan saya apakah tempat pertama yang saya teringin untuk jejakkan kaki di Aceh. Kalau ikutkan, memang saya mahu ke makam Sultan Malikus Salih terus kerana itulah tujuan utama saya masuk ke Aceh sehingga sanggup mengenepikan keadaan darurat dan perang ketika percubaan pertama masuk ke sana Januari 2004 seperti ada dinukilkan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh". Tetapi saya kini berada di Banda Aceh sedangkan makam itu terletak di Geudong berhampiran Lhoksumawe lebih 400km ke tenggara, maka saya fikir elok ke makam Syiah Kuala terlebih dahulu.

Cuma dari hotel makam itu terletak agak jauh juga katanya sedangkan pemandu kami mencadangkan agar pergi ke Masjid Raya Baiturrahman terlebih dahulu. Kemudian kami 'terjebak' pergi ke tempat-tempat lain pula sehingga masuk waktu Maghrib. Lihat artikel Bismillahi rahman nir rahim, kasi selesai le aktiviti hari pertama di Aceh sampai habis! Maka kena tunggulah hari lain untuk ke makam itu...

Awal pagi Selasa, 16 Jun 2009. Selepas solat Subuh saya dan isteri berjalan-jalan di luar hotel. Ternyata kelihatan ramai warga Aceh turut beriadah pagi hari, ada yang sekadar berjalan kaki pantas, ada berlari, ada menaiki basikal malah ada yang berkaki ayam! Ini suatu pemandangan yang sangat menarik dan menyenangkan bagi kami. Kalau di Malaysia, pemandangan seperti ini cuma dapat dilihat di taman-taman dan pada hujung minggu sahaja. Dan kebanyakan mereka yang suka beriadah begini adalah kaum Cina. Tetapi di Aceh, aktiviti sebegini berlangsung pada hari-hari biasa sebelum orang keluar pergi kerja, bukan sekadar di taman-taman... malah jalanraya biasa seperti jalan di hadapan hotel kami ini, Jalan Panglima Nyak Makam kalau tak salah ingatan (yang pasti memang ada nama Nyak Makam) cukup meriah dengan aktiviti ini.

Lebih menarik lagi, di Aceh yang berbuat begini semuanya bangsa Melayu, Islam. Yang perempuan semuanya memakai tudung. Jangan main-main woo... di Aceh orang tidak bertudung atau menutup aurat (seperti lelaki memakai seluar pendek di tempat awam) boleh ditangkap polis berdasarkan hukum syariat mirip apa yang terdapat di tanah suci Mekah dan Madinah! Serambi Mekah lah katakan... lihat artikel Views of Aceh from our hotel early morning... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .


Selesai berjalan-jalan, kami kembali ke hotel untuk mandi dan bersiap-siap...

Makan pagi puas-puas sementara menunggu pemandu datang...


Kemudian terus ke kompleks makam Syiah Kuala yang terletak sekitar 5 km dari pusat Banda Aceh...


Inilah bangunan utama yang mengandungi makam. Di dalamnya terdapat sejumlah makam-makam lama. Lihat cerita dan gambar-gambar yang telah diletakkan pada artikel Makam (tomb of) Syiah Kuala di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.

Papan-tanda ini menyebut tempat ini hanya untuk wisata (lawatan pelancungan) spiritual sahaja. Turut terdapat papan-tanda menyeru agar makam dijaga, jangan sampai jatuh ke laut, satu seruan yang mungkin berdegar-degar di telinga ramai setelah berlaku peristiwa tsunami yang meranapkan sebahagian Aceh 26 Disember 2004. Menurut sesetengah pihak bencana itu berlaku akibat segolongan manusia telah melakukan maksiat di hadapan makam pada malam sebelum tsunami berlaku iaitu pada 25 Disember, malam Krismas. Untuk pengetahuan semasa itu Aceh masih lagi dikuasai pihak tentera dari Jakarta. Maka jangan hairanlah jika sesetengah mereka beragama Kristian malah berperangai seperti orang tidak beragama apabila sibuk minum arak bercampur laki-laki dan perempuan di sebuah kawasan yang cukup dihormati warga tempatan... apabila ditegur, mereka dengan kurang ajar mengajukan senapang...

Kawasan makam ini turut dipukul ombak ganas, katanya setinggi sekurang-kurangnya 6 meter. Sekitarnya hancur terus dan pagar besi yang pernah mengelilingi makam bengkang-bengkok akibat pukulan arus deras. Nasib baik kawasan makam terselamat, katanya akibat lindungan Allah yang menjadi barakah wali besar yang disemadikan di sini....



Saya singgah dahulu di surau dalam bersebelahan makam untuk bersolat sunat...




Kelihatan di luar tingkap Laut Andaman dan Pulau Wei. Kelihatan juga tembok panjang menggunakan timbunan batu-batu gunung yang baru dibuat selepas peristiwa tsunami.

Saya difahamkan bahawa dahulu garis pantai mengunjur lebih 500 meter ke laut dari tembok itu. Tetapi kini semuanya sudah terhakis masuk ke dalam air akibat tsunami yang mengganas. Lihat gambar-gambar yang terdapat pada artikel Views around the tomb of Syiah Kuala... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .

Adapun nama sebenar Syiah Kuala adalah Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri. Beliau dikatakan lahir tahun 1591 Masihi dan mangkat pada usia 105 tahun, pada 1696 Masihi. Semasa zaman awal hidupnya, berlaku pergolakan besar keagamaan di Aceh yang menyebabkan para pengikut wali besar Sheikh Hamzah Fansuri dan Sheikh Shamsuddin Sumatrani dihukum bunuh, kitab-kitab mereka dibakar di hadapan Masjid Baiturrahman. Apa yang berlaku sangat terkenal dalam sejarah Islam Nusantara sebagai pertembungan antara pengikut fahaman Wujudiyah atau Wahdatul Wujud yang pernah dibimbing Sheikh Hamzah melawan pengikut fahaman yang dipanggil Wahdatul Shuhud yang dibawa seorang ulamak besar kemudian iaitu Sheikh Nuruddin.

Umum diberitahu bahawa ini cuma pertembungan pendapat sahaja sepertimana disebut orang... apabila satu fatwa itu tepat seseorang itu mendapat dua pahala iaitu pahala berfatwa dan pahala kerana tepat sedangkan jika fatwa itu tidak tepat, dia cuma mendapat satu pahala sahaja iaitu pahala membuat fatwa. Tetapi saya berkeyakinan bahawa pertentangan akibat fatwa Sheikh Nuruddin yang dibuat dengan sokongan Sultan Iskandar Thani (memerintah 1636-1641) berlaku atas sebab-sebab yang tidak jujur malah kemudian ternyata berjaya melemahkan Aceh dari dalam.

Perkara ini ada disentuh panjang-lebar dalam buku ketiga saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke gagang?", melalui bab-bab bertajuk "Angkara Nuruddin? Mula kejatuhan Aceh" dan "Angkara Nuruddin lagi? Mula kejatuhan Aceh (Bahagian 2)". Biar diletakkan sedikit sedutan di mana Sheikh Abdul Rauf Fansuri juga dikenali sebagai Abdul Rauf al-Singkili mula memainkan peranan memperbetulkan keadaan...

----------------------

Sultan Iskandar Thani mangkat di Aceh 1641. Pada tahun yang sama, Belanda berjaya mengalahkan Portugis di kota Melaka lalu menduduki kota itu pula. Penguasaan Portugis terhadap beberapa wilayah di Nusantara luput sama sekali sementara Aceh pula mula diperintah seorang raja perempuan iaitu balu Iskandar Thani. Anak kepada Sultan Iskandar Muda bernama Puteri Sri Alam ini ditabalkan sebagai Paduka Sri Sultanah Ratu Safiatuddin TajulAlam Shah Johan Berdaulat Zillullahi fil ‘Alam. Apa yang memusyilkan, kenapa tidak ada waris laki-laki sedangkan menurut kajian Rasyid, masih terdapat ramai lagi kerabat diraja yang layak menaiki takhta.

“Yang pasti, Nuruddin beriya-iya mahukan Puteri Sri Alam menjadi pemerintah Aceh,” pemuda itu memberitahu Nasri, Nizam dan Azlan. “Apakah Nuruddin berharap supaya kedudukannya sebagai ulamak paling berkuasa terus kekal kerana sang ratu adalah isteri Iskandar Thani? Jika inilah yang diharapkan, pembodek besar daripada Ranir ini ternyata akan kecewa. Tidak lama kemudian, seorang tokoh Wujudiah bernama Saiful Rijal kembali ke Aceh setelah lama menghilangkan diri di India.”

Kali ini kawan-kawannya tidak dapat turut serta mengemukakan pandangan kerana tidak pernah membaca sejarah Aceh sejauh itu. Mereka setakat mampu memasang telinga dan menganggukkan kepala. Bacaan Rasyid mengenai peristiwa ini menunjukkan Nuruddin bukanlah sehebat mana tanpa perlindungan khas Iskandar Thani. Ratu Safiatuddin pula tidak mahu campur tangan dalam pertempuran intelektual yang bakal berlaku.

“Maka Nuruddin terpaksa berdepan secara gentleman lelaki dengan lelaki dalam satu perdebatan ilmu untuk membuktikan tindakannya adalah benar dalam menghukum pendokong fahaman Wujudiyah sebagai zindiq dan sesat lalu halal dibunuh.” dia meneruskan. “Ternyata, tanpa bantuan sang raja di belakang, dia tidak mampu menyokong tindakannya itu.”

Kekalahan ini menyebabkan ramai pendokong fahaman Wujudiyah yang selama ini senyap ataupun telah ‘bertaubat’ ketika Iskandar Thani masih hidup telah kembali menyatakan dokongan terhadap fahaman Martabat Tujuh secara terang. Nuruddin pula dilaporkan pulang tergesa-gesa ke Ranir. Mengikut sebuah cerita lain pula, sebahagian besar pendokong fahaman ini kemudiannya telah lenyap dibunuh dengan kejam oleh seorang tokoh agama bernama Saifullah yang tidak bersetuju dengan fahaman ini. Wallahualam… Yang pasti, sekali lagi nyawa ramai orang Aceh hilang membuatkan Rasyid sedih mengenangkan apa yang berlaku.

“Sudahlah brother, relax... Cool down!” Nasri memujuk sambil menepuk-nepuk bahu anak muda itu. “Apapun, the damage is done. Kerosakan telah berlaku. Kami tahu Aceh zaman Iskandar Thani bukan lagi sebuah kuasa besar yang begitu digeruni penjajah Barat terutama Portugis akibat angkara Nuruddin. Ia bukan sahaja tidak pernah melebarkan sayapnya lagi seperti yang pernah berlaku semasa zaman Iskandar Muda malah mengempis pula apabila satu demi satu wilayah taklukan bebas daripada pengaruhnya.”

Rasyid masih serius dengan muka marah bercampur kesal. Pada pemuda itu, apa yang berlaku sepanjang Nuruddin berjaya menentukan arah tuju pemerintahan Aceh mungkin melegakan sesetengah pihak yang menganggap kerajaan itu sebagai sebuah kuasa imperialistik yang amat besar egonya. Maka itu ada pihak termasuk orang Melayu sendiri bertepuk-tangan apabila pengaruhnya mengecut. Mereka lupa akan peranan Aceh sebagai pelindung Islam di Nusantara...

Tanpa kekuatannya, penjajah Barat terutama Belanda dan Inggeris akan bermaharajalela di seluruh Nusantara nanti akibat tidak ada lagi kuasa besar Melayu yang cukup kuat untuk mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara.

Nasib baik masih terdapat seorang ulamak berpengaruh yang mampu mengstabilkan kembali kerajaan Aceh selepas ia dirosakkan dari dalam. Ulamak ini adalah Sheikh Abdul Rauf Fansuri, juga dikenali sebagai Abdul Rauf Singkel yang kembali ke Aceh tahun 1661... Selepas menuntut berbagai ilmu agama selama 19 tahun di Timur Tengah beliau muncul menjadi ulamak paling terkemuka Aceh semasa zaman pemerintahan Sultanah Ratu Safiatuddin, puteri Iskandar Muda dan balu kepada Iskandar Thani.

Sheikh ini mempunyai ramai anak murid dari seluruh Nusantara termasuk Sheikh Burhanuddin Ulakan yang dikenali sebagai penyebar Islam ke wilayah Minangkabau. Seorang lagi anak murid beliau yang tersohor ialah Sheikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis dari Terengganu. Sebagai seorang ulamak bertaraf wali yang sangat arif dalam bidang Tasawuf, beliau juga percaya kepada fahaman Martabat Tujuh dan Wujudiyah tetapi membahaskannya dalam bentuk yang lebih mudah diterima umum. Lagipun beliau memang pernah berguru dengan Sheikh Hamzah Fansuri malah beliau sebenarnya adalah anak saudara Sheikh Hamzah! Kedudukannya sebagai bekas anak murid Hamzah Fansuri, kemudian guru kepada Tok Pulau Manis adalah salah satu sebab kenapa Rasyid terasa wajib ke Aceh untuk menyambung wasilah kerohanian...

Masyarakat Aceh yang celik sejarah selalu menyebut keSultanan itu mempunyai empat orang tokoh ulamak terbesar sepanjang zaman iaitu Sheikh Hamzah Fansuri, Sheikh Shamsuddin Sumatrani atau Shamsuddin Pasai, Nuruddin al Raniri dan Sheikh Abdul Rauf Fansuri atau Abdul Rauf Singkel. Walaupun Rasyid tidak bersetuju Nuruddin diangkat dalam senarai kerana menganggapnya sebagai punca kejatuhan Aceh, dia akur pendatang daripada Ranir itu telah menyumbangkan banyak penulisan yang turut mewarnai dunia kesusateraan Melayu. Maka daripada penilaian ramai, dia tetap dianggap sebagai seorang ulamak besar.

Apapun, ulamak yang paling dikenang masyarakat Aceh kini adalah Sheikh Abdul Rauf... Mungkin kerana beliau hidup paling dekat dengan zaman sekarang? Maka disebut dalam Hadis Majah atau pepatah Aceh:

Adat bak Poteumeureuhoom,
Hukoom bak Syiahkuala,
Kanun bak Putrou Phang,
Reusam bak Laksamana,
Hukoom ngon adat,
Lage zat ngon sifeut
.

Adat seperti diatur almarhum (Iskandar Muda), hukum agama menurut contoh Syiah Kuala, satu gelaran bagi Sheikh Abdul Rauf yang kemudian dimakamkan di kuala sungai di Banda Aceh. Beliau juga dikenali kerana mempunyai beribu anak murid yang bakal menjadi ulamak besar Nusantara. Salah satunya adalah Tok Pulau Manis atau Sharif Abdul Malik, ulamak pertama menterjemahkan kitab Tasawuf terkenal, Hikam karya Ibnu Athoillah Al-Iskandariah ke dalam Bahasa Melayu.

Sheikh Abdul Rauf diketahui memiliki banyak karamah. Salah satunya, beliau cuma perlu membuka serban kemudian menebarkannya di atas lautan lalu berjalan di atas serban untuk sampai ke Mekah. Wallahualam… Yang penting, Sheikh Abdul Rauf telah mengamankan kembali Aceh. Walaupun kerajaan itu tidak sekuat dahulu lagi, sekurang-kurangnya beliau telah mempertahankan teras kekuatan Aceh. Ini adalah fahaman sejati Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh yang kini selalu disalah-ertikan orang...

Seperti disebut pada papan-tanda dalam gambar tadi, Sheikh Abdul Rauf hidup lama untk menasihati 4 orang ratu perempuan yang memerintah Aceh berturut-turut. Sejarah mencatatkan, selepas itu naik seorang Sayyid dari Mekah menjadi Sultan Aceh setelah fatwa dari Mekah yang menyebut orang perempuan tidak boleh memerintah mula berkuat-kuasa.

Sebenarnya fatwa ini telah dibawa ke Aceh lebih awal lagi tetapi selagi Sheikh Abdul Rauf ada sebagai penasihat, beliau dapat memberikan legitimasi terhadap pemerintahan para ratu berdasarkan keadaan semasa di Aceh. Ternyata legitimasi itu tidak dapat dipertahankan lagi setelah beliau mangkat tahun 1696 lalu ratu terakhir Aceh, Sultanah Zinatuddin digantikan oleh suaminya Sayyid Ibrahim yang menaiki takhta sebagai Sultan Badrul Alam Sayyid Ibrahim Jamaluddin Sharif Hashim Shah tahun 1699.

Di atas adalah gambar makam Sheikh Abdul Rauf yang terletak di dalam kawasan tertutup. Lagi gambar-gambar telah diletakkan di dalam artikel Makam (tomb of) Syiah Kuala di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Tentang Sheikh itu sendiri biar disajikan sedikit penulisan oleh almarhum Ustaz Wan Saghir. Kalau ada masa lihat juga artikel lama Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku... dan Tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir .

SYEIKH ABDUR RAUF FANSURI pentafsir al-Quran pertama dalam bahasa Melayu

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI ulama ini sangat banyak ditulis orang, namun tulisan ini terlebih dahulu mengemukakan kelainan penulisan yang bersumber daripada orientalis yang diikuti oleh hampir semua penulis dunia Melayu, iaitu tentang namanya yang dikemukakan sebagai Abdur Rauf Singkil atau al-Sinkili. Walhal daripada Syeikh Abdur Rauf sendiri belum ditemui penambahan perkataan Sinkili di hujung namanya, yang ada hanyalah ‘al-Fanshuri’.

Penambahan nama ‘al-Fanshuri’ bukan ‘as-Sinkili’ di hujung nama untuk Syeikh Abdur Rauf bin Ali yang tersebut dilanjutkan oleh semua ulama Melayu, yang dimulai oleh muridnya Baba Daud bin Ismail ar-Rumi ketika beliau menyelesaikan Turjumanul Mustafid atau Tafsir al-Baidhawi, demikian juga pada salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyahnya.

Hal yang sama dilanjutkan pula oleh murid Baba Daud bin Ismail ar-Rumi bernama Syeikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dalam Manzharul Ajlanya. Malahan juga sama dengan yang ditulis oleh Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi di dalam Bidayatul Hidayahnya. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Manhalush Shafi juga menyebut nama Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri.

Demikian halnya dengan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani di dalam Siyarus Salikin. Demikian halnya dengan Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani di dalam Aqidatun Najin dan juga Syeikh Ahmad al-Fathani pada kenyataannya sewaktu mentashhih kitab Turjumanul Mustafid/Tafsir al-Baidhawi.

Barangkali tulisan terawal di kalangan ulama yang menyebut ulama ini berasal dari Singkel ialah Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khalifah al-Qadiri al-Bantani dalam karyanya berjudul Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Di antara tulisannya, “... dan berkata orang yang arif, iaitu Syeikh Abdur Rauf anak Ali, Singkil nama negerinya”.

Pada halaman terakhir manuskrip tertulis, “Ini kami mengambil risalah ini karangan Syaikhu Masyaikh segala Jawi Syeikh Abdur Rauf Aceh, Singkil nama kampungnya ....”

Namun dalam tulisan ini, penulis tetap mengikut tulisan ulama-ulama kita, iaitu menyebut nama lengkapnya Syeikh Aminuddin Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. Nama Aminuddin yang biasa dipakai pada awal namanya, namun jika dihilangkan tidaklah cacat kerena untuk memendekkan kalimat.

ASAL USUL DAN PENDIDIKAN

Menurut pendapat A. Hasymi, ada dua orang ulama yang bersaudara keturunan Parsi, iaitu Ali al-Fansuri dan Hamzah al-Fansuri. Datuk nenek kedua-duanya diberi kepercayaan oleh kerajaan memimpin pusat pendidikan yang bernama Daya Blang Pria. Ulama tersebut bernama Syeikh al-Fansuri.

Bahawa pada masa pemerintahan Sultan Alaiddin Riayat Syah Said Mukammil, 997-1011 H/1589-1604 M, dua orang keturunan Syeikh al-Fansuri itu mendirikan dua pusat pendidikan Islam di pantai barat Tanah Aceh, iaitu Syeikh Ali al-Fansuri mendirikan Dayah Lipat Kajang di Simpang Kanan. Adiknya Syeikh Hamzah al-Fansuri mendirikan Dayah Obah di Simpang Kiri Rundeng.

Pada 1001H/1592M, Syeikh Ali al-Fansuri dikurniakan seorang putera yang diberi nama Abdur Rauf. Ada pendapat lain menyebut bahawa Abdur Rauf lahir dalam tahun 1024H/1615M. Pendapat tersebut berbeza dengan pendapat Dada Meuraxa, menurutnya Abdur Rauf lahir di Singkel (Aceh Selatan), ibunya berasal dari Barus. Katanya, dalam sejarah abad ke-16 terdapat dua ulama yang serupa namanya, Syeikh Abdur Rauf dari Singkel dan Syeikh Abdur Rauf dari Barus.

Hamka dalam bukunya yang bercorak menyerang Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan berjudul Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao telah memansuhkan pendapatnya sendiri yang sebelumnya mengatakan bahawa yang bernama Syeikh Abdur Rauf itu adalah dua, dalam buku tersebut beliau mengatakan hanya seorang.

Walau bagaimana pun kalimat di bawah ini mencerminkan bahawa beliau masih belum tahqiq atau ragu-ragu. Katanya, “Tetapi saya akan kembali pula mengatakan dua kalau ada orang yang dapat mengemukakan fakta yang dapat dipertanggungjawabkan”.

Pendapat Dada Meuraxa dan Ir. Mangaraja Onggang Parlindungan yang menyebut Syeikh Abdur Rauf ada dua orang disokong kuat oleh Abdullah Abbas Nasution dalam bukunya Sejarah Islam Sedunia 14 Abad Silam.

Dengan bersyukur kepada Allah, penulis menemukan bukti bahawa di Aceh pada zaman yang sama memang terdapat dua orang yang bernama Syeikh Abdur Rauf. Penulis juga menemukan sebuah manuskrip berjudul Durratun Nakhirah Tanbihan li Durril Fakhirah karya Syeikh Sirajuddin bin Jalaluddin yang diselesaikan pada 1238 H/1822 M. Di dalam kitab tersebut diceritakan dua orang yang bernama Abdur Rauf, iaitu yang seorang Abdur Rauf saja dan yang seorang lagi Abdur Rauf Hitam.

Menurut jalan cerita kitab itu, yang Abdur Rauf saja iaitulah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Kedua-dua Abdur Rauf itu menerima wasiat daripada Syeikh Muhammad az-Zainusy Syakhiyah sewaktu mereka masuk ke dalam kubah Syeikh Syazili di Mokha.

Jadi berdasarkan kepada kitab yang tersebut bererti Syeikh Abdur Rauf memang ada dua orang. Walaupun dalam kitab tersebut tidak memberi maklumat secara jelas bahawa mereka berasal dari Aceh, namun secara logiknya dapat diterima bahawa mereka memang datang dari negeri yang sama.

Secara umumnya, mereka sama-sama berasal dari Sumatera. Penulis tidak bermaksud mencampuri pertikaian-pertikaian pendapat yang tersebut, tetapi dua orang yang bernama Abdur Rauf itu, penulis ungkapkan adalah menceritakan suatu penemuan penulis yang terbaru. Sekali gus adalah merupakan jawapan terhadap tulisan Almarhum Buya Hamka yang masih mencari-cari tentang Syeikh Abdur Rauf satu atau dua orang itu.

Syeikh Abdur Rauf Hitam tidak dibicarakan dengan panjang di sini, yang dibicarakan ialah Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, penyusun Turjumanul Mustafid iaitulah terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama dalam bahasa Melayu.

Hampir semua karya beliau sudah penulis pegang dan baca, baik yang manuskrip mahupun cetakan. Ada pun karya ulama bernama Syeikh Abdur Rauf Hitam belum lagi penulis menemuinya. Oleh itu tidak perlu dibicarakan mengenai beliau dalam artikel ini.

Mengenai para gurunya, Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri mencatatkan dalam karyanya, Umdatul Muhtajin, secara keseluruhannya, termasuk salasilah Tarekat Syathariyah dan Tarekat Qadiriyah, telah penulis tulis dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1. Namun begitu, baik pada manuskrip ‘Umdatul Muhtajin mahupun Kifayatul Muhtajin koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) terdapat ketinggalan beberapa nama jika dibandingkan dengan salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tidak tersebut nama Syeikh Abdullah asy-Syathari. Seharusnya guru Imam Qadi Syathari ialah Syeikh Abdullah asy-Syathari, dan guru Syeikh Abdullah asy-Syathari ialah Syeikh Muhammad Arif. Demikian menurut salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Pada salasilah Tarekat Syathariyah Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri langsung saja sesudah Syeikh Qadi Syathari berguru kepada Syeikh Muhammad Arif.

Orang-orang anti tarekat selalu berpendapat bahawa salasilah tarekat ada yang terputus-putus ertinya seseorang guru tarekat meninggal dunia, muridnya pula belum lahir. Hal ini berlaku seperti Syeikh Hasan al-Kharqani tidak pernah berjumpa dengan Abi Yazid al-Bistami. Demikian juga Abi Yazid al-Bistami tidak pernah berjumpa dengan Imam Ja'far Shadiq.

Pandangan yang keliru dan salah itu perlu dijawab, jawapannya ialah bahawa kedua-dua tempat pada salasilah itu tidak terputus, dengan hujah-hujah sebagai yang berikut, bahawa yang tersebut ini memang ada golongan tarekat yang lebih suka menyebut bahawa penerimaan itu adalah secara rohaniah.

Namun secara arif, pengkaji-pengkaji dan pengamal-pengamal tarekat mempunyai hujah-hujah lain, iaitu sebenarnya Syeikh Hasan al-Kharqani sebelum menerima secara rohaniah daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami. Beliau terlebih dahulu belajar dengan Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi. Syeikh Abi Muzhaffar at-Thusi belajar pula kepada Khawajah Abi Yazid al-Asyqi. Khawajah Abi Yazid al-Asyqi belajar kepada Muhammad al-Maghribi. Khawajah Muhammad al-Maghribi inilah yang sebenarnya menerima tawajuh tarekat daripada Syeikh Abi Yazid al-Bistami.

Adapun perantaraan Syeikh Abi Yazid al-Bistami dengan Imam Ja'tar Shadiq pula, ialah Syeikh Abi Yazid al-Bistami berguru kepada Imam Ali Ridha. Imam Ali Ridha belajar kepada ayahnya Imam Musa al-Kazhim, Imam Musa al-Kazhim belajar pula kepada ayahnya Imam Ja'far as-Shadiq.

Dengan keterangan di atas tidak ragu lagi bahawa tarekat-tarekat yang diterima oleh Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri dari guru-gurunya selama berada di Mekah, Madinah dan Timur Tengah adalah sah ditinjau dari segi salasilah menurut istilah tasauf atau sanad dalam ilmu hadis.

Dari keseluruhan gurunya yang cukup ramai, yang paling banyak beliau sebut ialah Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

MURID-MURID DAN KETURUNAN

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri sangat ramai, tetapi yang dapat dipastikan ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama yang tersebut ini. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Pattani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Setelah berkhidmat di Mekah dikirim oleh saudara sepupu dan gurunya Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ke Kota Bharu, Kelantan untuk memimpin Matba’ah al-Miriyah al-Kainah al-Kalantaniyah. Lalu beliau berpindah ke Kota Bharu, Kelantan, beliau dikenal dengan gelaran ‘Tok Daud Katib’.

Ada pun Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi di atas beliau inilah yang menyempurnakan karya gurunya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang berjudul Turjumanul al-Mutafid atau yang lebih terkenal dengan Tafsir al-Baidhawi Melayu, iaitu terjemah dan tafsir al-Quran 30 juzuk yang pertama dalam bahasa Melayu.

Naskhah asli tulisan tangan Baba Daud bin Ismail al-Jawi ar-Rumi itu dimiliki oleh keturunannya Tok Daud Katib, lalu naskhah itu diserahkan kepada guru dan saudara sepupunya Syeikh Ahmad al-Fathani.

Dari naskhah yang asli itulah diproses oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Idris bin Husein Kelantan sehingga terjadi cetakan pertama di Turki, di Mekah dan Mesir pada peringkat awal. Nama ketiga-tiga ulama itu yang dinyatakan sebagai Mushahhih (Pentashhih) pada setiap cetakan tafsir itu kekal diletakkan di hal-man terakhir pada semua cetakan tafsir itu.

Turjumanul Mustafid yang diterbitkan sampai sekarang adalah merupakan lanjutan daripada cetakan yang dilakukan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dan dua orang muridnya itu (keterangan lanjut mengenai ini lihat buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, 1990:157-172).

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang lain pula ialah Syeikh Burhanuddin Ulakan. Beliau inilah yang disebut sebagai orang yang pertama sebagai penyebar Islam di Minangkabau (Sumatera Barat) melalui kaedah pengajaran Tarekat Syathariyah.

Di Jawa Barat, Indonesia terkenal seorang murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang dianggap sebagai seorang Wali Allah. Beliau ialah Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan. Sepanjang catatan sejarah, beliau dianggap orang pertama membawa Tarekat Syathariyah ke Jawa Barat dan selanjutnya berkembang hingga ke seluruh tanah Jawa.

Adapun mengenai Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi yang berasal dari tanah Bugis ada riwayat menyebut bahawa beliau juga murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Riwayat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi itu adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani.

Walau bagaimanapun, selembar salasilah yang ada pada penulis, yang ditemui di Kalimantan Barat, menyebut Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi menerima Tarekat Syathariyah kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri itu. Memang diakui bahawa Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi ialah orang pertama menyebarkan Tarekat Syathariyah di Tanah Bugis atau seluruh Sulawesi Selatan.

Bahkan dianggap juga beliau sebagai orang pertama menyebarkan pelbagai tarekat lainnya, di antaranya Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah. Tetapi berdasarkan manuskrip Mukhtashar Tashnif Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri oleh Syeikh Abdur Rauf bin Makhalid Khali-fah al-Qadiri al-Bantani bahawa Syeikh Yusuf al-Mankatsi adalah cucu murid kepada Syeikh Abdur Rauf al-Fansuri, tertulis, “... kerana kata ini daripada Syeikh Yusuf (al-Mankatsi/al-Maqasari) turun daripada Syeikh Muhyuddin Karang (Pamijahan), turun daripada Syeikh Abdur Rauf al-Asyi”.

Murid Syeikh Abdur Rauf bin Alial-Fansuri di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia) pula, yang paling terkenal ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis yang mengarang berbagai-bagai kitab di antaranya Kitab Kifayah.’

Ada yang meriwayatkan bahawa Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani pernah belajar kepada Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri. Tetapi dalam penelitian penulis tidaklah demikian. Yang betul ialah ayah Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itu, iaitu Syeikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani dipercayai adalah sahabat Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri kerana sama-sama belajar kepada Syeikh Ahmad al-Qusyasyi dan Syeikh Ibrahim al-Kurani. Sebagai pengenalan awal penyelidikan murid-murid Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri di sini setakat ini dulu dan penyelidikan lanjut masih sedang dijalankan.

KARYA-KARYA

Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu. Karya beliau telah penulis senaraikan dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara, jilid 1, sebanyak 25 buah.

Setelah buku tersebut diterbitkan, diketahui pula karya beliau yang belum termasuk dalam senarai yang tersebut. Karya-karya tersebut ialah: Aghmadhus Sail. Kitab ini baru ditemui hanya sebuah saja, iaitu yang diamanahkan kepada Muzium Islam Pusat Islam Kuala Lumpur. Kandungan kitab ini mengenai ilmu tauhid. Judul yang lain juga baru diketahui pula ialah Kanzul Insaniyi, telah menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM, nombor kelas MS1530.

Karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru menjadi koleksi Pusat Manuskrip Melayu PNM pula ialah Durratul Baidha’ Tanbihan lin Nisa’ nombor kelas MS 1625.

Oleh itu, terdapat tiga karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri yang baru diketahui, dengan disebutkan tiga buah kitab yang tersebut bererti ada 27 buah karya beliau yang telah dikenalpasti kerana Hujjatul Balighah ternyata bukan karya Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, judul itu terpaksa digugurkan dari senarai yang telah lalu.

PENUTUP

Demikianlah satu tinjauan mengenai Syeikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri ulama Asia Tenggara yang berasal dari Aceh Selatan atau menurut pendapat yang lain berasal dari Mandailing (daerah Batak) yang telah menggunakan masa hidup mulai tahun 1001/1592 M.

Namun menurut pendapat lain 1024H/1615 M, dan juga ada pendapat lain mengatakan 1620 M, hingga wafat tahun 1693 M. Setelah wafat lebih terkenal dengan sebutan Teuku Syiah Kuala.


Ini pula adalah gambar lawatan rasmi yang dibuat oleh satu rombongan pemimpin rakyat Aceh. Gambar bertarikh 12/10/2008 ini diambil daripada website "Situs berita RakyatAceh.com" iaitu di http://202.152.32.84/~rakyat/index.php?open=foto&start=1&picid=270 . Caption di bawahnya menyebut...

Wali Nanggroe, Tgk Hasan Muhammad Di Tiro, hari kedua di Aceh, Minggu (12/10) melakukan serangkaian kegiatan, diantaranya berziarah dan sekaligus berdoa ke Makam Syiah Kuala, Makam Teuku Chik Di Tiro, Makam Sultan Iskandar Muda dan mengunjungi kuburan massal di Uleelheu. ---foto: Imran Joni

Adapun menurut ceritanya Sultan terakhir Aceh Sultan Muhammad Daud (memerintah 1874-1903) yang dimakzulkan oleh Belanda tahun 1903 telah menyerahkan pemerintahan kepada keluarga ulamak besar Teungku Chik di Tiro . Tidak seperti pemerintah lain Aceh, sultan ini ditabalkan di luar Banda Aceh akibat pusat pemerintahan Aceh itu telah dikuasai Belanda satu waktu setelah perang secara rasminya bermula tahun 1873. Baginda memerintah sambil berjuang melawan penjajah dalam pelarian tetapi akhirnya terpaksa menyerah diri akibat ahli keluarga baginda juga ahli keluarga beberapa orang pembesar utama Aceh ditangkap Belanda. Keluarga Teungku Chik meneruskan perjuangan menentang penjajah dan Teungku Hasan adalah seorang anak cucu yang kemudian berjuang dari luar melawan penguasaan Jakarta dan pihak Jawa ke atas Aceh, lantas dianggap ramai sebagai waris kesultanan Aceh.



Yang ini katanya rupa paras Sheikh Abdul Rauf. Saya jumpa potret lukisan ini di Internet juga. Cukup ya, sekian... :]