Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, April 17, 2016

Tentang perkuburan lama Islam dan batu nesan Aceh di Masjid Jamek Kuala Lumpur

Sampai masanya untuk menyentuh satu berita menarik yang muncul beberapa hari lalu tetapi baru semalam iaitu siang Sabtu sempat membuat sedikit penyiasatan yang berkenaan...



Rabu 13 April 2016. Tiba-tiba keluar berita daripada akhbar  The Star menunjukkan penemuan batu-batu nesan lama di sekitar Masjid Jamek Kuala Lumpur. Menariknya, salah satu nesan adalah daripada jenis batu Aceh.  Penemuan pun diwar-warkan sebagai bukti telah terdapat tanah perkuburan Islam di sekitar itu 200 tahun lalu. 

Berita ini saya dapat tahu setelah terlihat beberapa orang rakan Facebook memaparkannya di tembok (wall) masing-masing. Salinan berita telah diletakkan dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Rujuk artikel Exciting discovery of old Muslim Gravestones at Kuala Lumpur's Masjed Jamek.. Kebetulan hari tersebut saya ada sesi penggambaran untuk dokumentari Daulah Melayu di Bukit Tunku, tidak berapa jauh dari Masjid Jamek. Isteri pun menyarankan, bila tamat sesi pergilah ke masjid untuk melihat batu-batu nesan itu...


Tetapi penggambaran selesai lewat iaitu selepas jam 6 petang. Saya sudah kepenatan, nak masuk pusat bandar KL meredah kesesakan jalan raya pada masa orang ramai biasa pulang kerja untuk sampai ke Masjid Jamek dah terasa malas. Semalam 16 April baru ada kesempatan untuk melihat. Saya dan isteri telah keluar ke KL untuk melihat persembahan di Planetarium Negara. Selepas jam 4 petang baru bertandang ke masjid.


Keadaan di luar pintu gerbang masuk ke kawasan masjid. Saya tak pasti ada buat apa, mungkin untuk pembangunan stesyen MRT bawah tanah. Sebelum ke Planetarium kami singgah di bahagian lain Taman Tasik Perdana untuk melihat satu simbol perjuangan yang pernah menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Lihat artikel Tugu Negara (National Monument of) Malaysia di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kemudian kami melihat pemandangan bandar raya daripada menara Planetarium. Lihat Views from the National Planetarium.


Masuk ke kawasan atau halaman Masjid Jamek. Masjid ini merupakan salah satu tempat persinggahan kegemaran saya apabila timbul gerak untuk berjalan kaki atau bermotosikal secara musafir di tengah bandar raya KL. Sebelum ke masjid kami sekeluarga juga sempat melihat segala macam pameran yang terdapat di Muzium Negara. Kali terakhir saya masuk ke dalam bangunan utama muzium untuk melihat pameran adalah lebih 5 tahun lalu kalau tak salah ingatan. Kali ini baru dapat meneliti batu nesan berciri reka bentuk Aceh yang dikatakan milik Sultan Mansur Syah Melaka. Lihat artikel-artikel berikut :-






Muzium Negara (National Museum) - Galeri-galeri luar (Outside Galleries)



OK. Kiblat terletak menghala ke kanan gambar ini. Pintu gerbang masuk ke halaman yang ditunjukkan pada awal artikel sebenarnya terletak di sisi kanan masjid. Kedudukannya adalah di belakang saya ketika gambar ini diambil. Pada sisi kiri gambar iaitu halaman belakang masjid kelihatan kerja-kerja sedang dijalankan, katanya untuk mencantikkan kawasan. Laporan dalam akhbar The Star menyatakan di kawasan inilah batu-batu nesan lama mula ditemui.

Untuk pengetahuan ke belakang sedikit dari halaman iaitu ke kiri gambar (tak nampak dalam gambar ini) adalah Sungai Kelang. Ke hadapan dalam gambar iaitu di hujung halaman sisi kiri masjid terdapat kuala Sungai Gombak. Pertemuan Sungai Gombak dengan Sungai Kelang inilah yang menimbulkan nama Kuala Lumpur. Ini kerana kuala Sungai Gombak dikatakan sentiasa berlumpur.


Alhamdulillah, saya dapat menemui petugas yang katanya terlibat secara langsung dalam penemuan batu-batu nesan. Beliau pun menunjukkan batu yang disimpan dalam bangunan pejabat.


Nampaknya memang sama dengan apa yang ditunjukkan dalam akhbar The Star.


Terlupa pula untuk bertanya label-label pada batu nesan itu apakah maknanya dan siapa yang buat.


Yang sempat saya tanya ketika itu cuma dua perkara. Satu adalah ke manakah perginya batu nesan jenis Aceh yang saya lihat ada tertera dengan jelas dalam gambar pada laporan akhbar The Star.


Kata petugas ia telah diambil untuk simpanan Jabatan Warisan. Terlupa pula saya untuk bertanya bilakah ini berlaku.


Sejarah kawasan persekitaran Masjid Jamek yang terpapar berdekatan kumpulan batu nesan. Peta tahun 1895 ditandakan kawasan tanah perkuburan Melayu yang menjadi tempat masjid didirikan kemudian...





Soalan kedua sempat saya tanya adalah yang manakah  batu nesan yang ada catatan nama, tarikh dan sebagainya. Ada berapa kesemuanya.


Kata petugas cuma satu sahaja yang dilihat memiliki catatan. Inilah dia...


Saya kemudian bertanya di bahagian manakah masjid batu-batu nesan tersebut ditemui. Petugas memberitahu ia bukan di kawasan halaman belakang masjid seperti ditunjukkan tadi dan dinyatakan The Star sebagai tempat ditemui. Sebaliknya ia di kawasan hadapan menghala ke arah kiblat. 


Inilah kawasannya. Ia juga sedang dibangunkan untuk satu projek mencantikkan kawasan. Allah. Di hadapan itu iaitu di tengah gambar dahulu terdapat sebuah kolam mengambil wudhuk. Walaupun ada beberapa tempat untuk mengambil wudhuk di sekitar masjid kolam tersebut merupakan tempat kegemaran saya menyucikan diri setiap kali singgah ke sini...


Saya ditunjukkan lagi sejumlah batu nesan, kali ini di halaman luar berdekatan tempat mengambil wudhuk (bukan kolam) di sisi kanan masjid.








Kata petugas batu-batu nesan di luar ini ditemui dalam tempoh sebulan kebelakangan. Sedangkan yang tersimpan dalam bangunan pejabat adalah daripada penemuan lebih awal yang dibuat sekitar 2 bulan lalu. Penemuan berlaku akibat kerja-kerja mencantikkan kawasan yang memerlukan tanah terlibat dikorek sehingga mencapai kedalaman tertentu lalu diratakan. Batu-batu nesan ditemui oleh pekerja lalu pihak masjid dimaklumkan.


Saya seterusnya meminta petugas untuk mennjukkan lokasi tepat batu nesan Aceh ditemui dalam kawasan yang sedang dikerjakan. Beliau memberitahu ia terletak berdekatan pangkal pokok kelapa di hujung halaman hadapan masjid, satu-satunya pokok kelapa yang masih ada di situ.


Saya masuk ke kawasan tersebut walaupun hujan mula menjadi lebat. Tanpa memakai payung atau baju hujan saya mara terus meninggalkan petugas yang menunggu di serambi masjid. Untuk makluman saya sampai ke Masjid Jamek ketika hujan renyai. Isteri dan anak-anak menunggu dalam kereta yang diletakkan di tepi jalan raya, saya seorang sahaja masuk ke masjid untuk melihat batu nesan dan bertanya apa yang patut tentangnya.


Pokok kelapa ini terletak di tepian Sungai Gombak. Sekitar 120 meter ke hadapan iaitu di tengah gambar terdapat kuala sungai yang bertemu dengan Sungai Kelang, "Kuala Lumpur" yang asal. Kedudukan kawasan di halaman hadapan masjid sesuai dengan kenyataan kebiasaan kedudukan kubur di masjid-masjid. Kewujudan tanah perkuburan di kawasan pertemuan dua sungai ini katanya memang tertulis dalam rekod sudah wujud seawal tahun 1870. 

Penemuan batu nesan Aceh yang jenisnya boleh disenaraikan sebagai buatan tahun 1700-1800 Masihi (rujuk buku Batu Aceh :Early Islamic Gravestones in Peninsular Malaysia tulisan Profesor Dato' Dr Othman Yatim) boleh dijadikan hujah bahawa kawasan ini sudah diduduki orang Islam sejak lebih 200 tahun lalu. Disertai dengan fakta bahawa cuma manusia daripada golongan atasan seperti raja-raja, para bangsawan, panglima-panglima dan ulamak terkemuka sahaja diketahui berhak memakai batu nesan Aceh untuk menandakan makam, ini menunjukkan penempatan yang wujud bukan setakat kampung golongan bawahan. Ia mungkin sudah pun menjadi sebuah kota ketika itu. Cuma definisi dan reka bentuk kota menurut orang Melayu yang sukakan kehijauan lalu biasa membina rumah dan kedai antara pokok-pokok sedia ada mungkin kelihatan seperti kampung sahaja pada kaca mata Barat yang suka meratakan sesuatu kawasan sebelum mendirikan bangunan.


Yang pasti sudah wujud penempatan yang cukup signifikan di sekitar ini sebelum muncul seorang kepala orang Cina iaitu Yap Ah Loy yang sering disebut sejarah rasmi pro-Barat/bukan Melayu sebagai orang yang bertanggungjawab membuka Kuala Lumpur. Yap Ah Loy lahir di Cina pun katanya tahun 1837, tahun 1854 baru sampai ke Tanah Melayu sebelum dapat menjadi ketua orang-orang Cina di Kuala Lumpur bermula tahun 1869 . Ketika itu Raja Abdullah, seorang ahli kerabat diraja Riau yang ada kena mengena dengan istana Selangor telah lama menerima watikah daripada Sultan ketiga Selangor, Sultan Muhammad Syah untuk menguasai Kelang dan sekitarnya iaitu pada sekitar tahun 1849 atau 1850. Oleh itu pengkaji seperti Profesor Dato' Dr Abdullah Zakaria daripada Universiti Malaya percaya Raja Abdullah yang sebenarnya membuka Kuala Lumpur, bukannya Yap Ah Loy. Rujuk tulisan  berkenaan di sini.

Yang pasti ia telah dibuka oleh orang kita sebelum bangsa Cina mendapat kedudukan di Tanah Melayu terutama melalui campur tangan British yang sengaja mahu meminggirkan orang Melayu. Dan boleh jadi Kuala Lumpur telah dibuka lebih awal walaupun mungkin dikenali dengan nama lain sebelum itu. Melihat kedudukan asal batu Aceh ditemui berdekatan pangkal pokok kelapa di tepian Sungai Gombak teringat saya akan dua buah makam lain berbatu nesan Aceh berdekatan sungai yang sama tetapi sekitar 3.4 km ke hulu iaitu di Sentul. Lihat artikel lama Selamatkan makam Harun Al-Rasyid, satu-satunya makam berbatu nesan Aceh yang masih wujud di Kuala Lumpur.


Ini adalah bahagian gambar dalam laporan The Star menunjukkan batu Aceh yang ditemui di Masjid Jamek. Untuk pengetahuan makam-makam di Sentul memiliki 4 batang batu nesan yang sama rupa dan jenis. Melihat balik koleksi lama artikel-artikel yang pernah disuakan dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) saya dapati bahawa batu nesan serupa turut digunakan pada sepasang makam lama yang kurang diketahui orang di barat KL. Lihat Makam (Tomb of) Pinang Tunggal, Jalan Klang Lama. Menariknya kedudukan makam ini adalah kira-kira 10.5 km menghilir Sungai Kelang dari Masjid Jamek. Apakah ada kaitan antara kesemua makam-makam ini?

Hal ini menyebabkan saya terasa ingin berkongsi tentang beberapa makam lain yang pernah dilihat memiliki batu nesan serupa atau hampir sama. Semoga ada pihak dapat membaca kaitan dengan lebih baik lalu dapat berkongsi tentangnya kepada umum...


Melaka

Makam berbatu nesan Aceh di sebelah Masjid Tengkera (Tombs with Aceh gravestones besides the Tengkera mosque)

Batu nesan Aceh di (Aceh gravestones in) Taboh Naning

Makam (tombs of) Hang Kasturi dan (and) Hang Jebat

Batu nesan Aceh di (Aceh gravestones in) Bukit Beruang, Melaka


Johor

Makam (Tomb of) Sultan Alauddin Riayat Shah II Johor

Makam Sultan-sultan lain di Kompleks Makam Sultan Mahmud Mangkat dijulang (Tombs of other Sultans at the Sultan Mahmud Mangkat Dijulang tomb complex)

Melihat lebih teliti makam Tun Habib (Having a detailed look at the tomb of Tun Habib)

Makam Tauhid pada siang hari (The Tauhid tombs during daytime)

Batu nesan Aceh di Gemereh (Aceh tombstones in Gemereh


Pahang

Kawasan pemakaman diraja di (the royal mausoleum at) Kuala Pahang...


Terengganu

Makam (Tomb of) Sayyid Yassin


Kedah

Makam (Tomb of) Sultan Muzaffar Shah I Kedah 

Sebuah makam berumur 1,100 tahun di Kedah! (A 1,100 year old tomb in Kedah!)

Bertandang ke makam diraja Langgar, Kedah? (A visit to the royal mausoleum at Langgar, Kedah?)

Makam (Tomb of) Tok Pasai


Pulau Pinang

Makam (Tomb of) Tuanku Syed Hussein Aidid


Aceh

Rupa baru makam Saidil Mukamil (New look of the tomb of Saidil Mukamil

Makam Raja-raja Dinasti Bugis (the tomb of kings from the Bugis dynasty)

Makam (Tomb of) Sultan Alauddin Mahmud Shah

Makam (tomb of) Syiah Kuala


Riau

Makam (Tomb of) Daeng Chelak

Makam-makam berdekatan makam Sultan Ibrahim (Tombs nearby the tomb of Sultan Ibrahim)


Sulawesi  Selatan

Makam (Tomb of) Sheikh Yusuf Makassar


Sekarang cukuplah saya bercerita tentang ini. Harapan saya semoga ada yang dapat merungkai penemuan di Masjid Jamek KL dengan lebih baik. Mungkin Jabatan Warisan, Muzium Negara atau mana-mana institusi yang berwibawa boleh mengadakan satu seminar di mana pembentangan dan kajian-kajian berkaitan ditonjolkan. Tujuannya adalah agar umum mendapat gambaran lebih jelas tentang penempatan-penempatan awal orang Melayu di Lembah Klang. 

Bolehlah dimasukkan sekali cerita-cerita tentang Kampung Abdullah Hukum, Kampung Baru dan Kampung Sungai Chinchin misalnya. Yang penting dapat diserlahkan hak orang Melayu terhadap wilayah ini pada kala ada pihak berusaha bersungguh-sungguh untuk membodohkan kita sebagai bangsa yang kurang bertamadun konon, perlu berharap pada mereka untuk maju. Walhal mereka dengan bantuan ajen-ajen Barat yang anti Islam telah lama menipu, merompak hasil mahsyul kita, memporak-porandakan sejarah sebenar untuk digantikan dengan sejarah putar belit yang bertujuan meminggirkan kita sekian lama. Cukup kata-kata. Selamat malam...