Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, July 30, 2022

Hari Peradaban Bangsa Melayu dan misi keluarga Laksamana



Salam Ma'al Hijrah. Selamat tahun baru yang sebenar-benarnya tahun baru bagi umat Islam kesemuanya, terutama semua yang berbangsa Melayu di tanah air tercinta ini. Pagi ini bermula jam 9 akan diadakan buat julungkalinya Hari Peradaban Bangsa Melayu di suatu lokasi bandar raya Kuala Lumpur. Pada awalnya ia dicadangkan mahu diadakan di Dataran Merdeka. Kemudian dapat Padang Merbok. Tetapi difahamkan berlaku 'gangguan demi gangguan' yang akhirnya membawa pada lokasi terkini di Taman Melati. 

Pun begitu semoga ia dapat diadakan dengan jayanya demi kemaslahatan anak Melayu dalam menghadapi cabaran demi kebangkitan umat Islam akhir zaman yang mana ramai sekarang percaya ia akan bermula dari bumi sebelah sini iaitu di Alam Melayu. Antara sebab kenapa boleh berlaku begitu adalah di sinilah terletaknya paling ramai umat Islam dalam satu kawasan iaitu lebih 300 juta (campur penduduk di Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand, selatan Filipina dan sebagainya). Selain itu ia sejarah panjang pergolakan di Timur Tengah telah menyaksikan ramai pihak teraniaya membawa diri ke rantau ini. Atas asbab tersebut maka di sini juga terdapat paling ramai Ahlul Bait iaitu keturunan Nabi Muhammad SAW.



Sebagai seorang penulis juga aktivis kedaulatan Melayu yang cukup dikenali ramai saya dan isteri telah diminta oleh pihak penganjur untuk hadir bagi menzahirkan sokongan terhadap majlis dan misinya. Insyaallah kami akan datang untuk perasmian pada jam 2.30 dan akan terus bersama sehinggga majlis selesai jam 6 petang. Untuk hadir lebih awal memang tak dapat kerana kami berdua ada hal. Selain itu saya sebenarnya harus berehat lagi. 

Kerja-kerja membuat penyelidikan untuk mencari jejak sejarah seorang moyang (sebenarnya datuk kepada datuk saya, kiranya ayah kepada moyang) telah menyebabkan saya seringkali tidur lambat tiga minggu kebelakangan ini. Seringkali selepas jam 4 pagi baru dapat masuk tidur. Rujuk hal berkenaan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British diikuti Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part II. Malam tadi pula dekat jam 2 baru masuk bilik. Sedangkan azam saya untuk tahun baru Hijriah adalah mula tidur setiap malam selewatnya jam 10.




Merujuk pula pada artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Menjiwai perjuangan orang Melayu menentang kesan buruk penjajahan yang ditulis pada 1 Mac 2022. Dinyatakan bahawa pada 23 Februari, dalam perjalanan kembali daripada urusan berkenaan di Kedah, saya dan isteri telah singgah di Teluk Intan lalu bertemu dengan pemegang terbaru gelaran Laksamana Raja Mahkota Perak, Dato' Meor Redzwan. Ketika itu beliau baru menerima gelaran, setelah hampir setahun biarkan kosong akibat kematian Laksamana terdahulu. Maka disebutlah ayat-ayat berikut dalam artikel. Biar disalin bulat-bulat dengan gambar-gambarnya sekali seperti disuakan di sana...


----------------


Kami datang tanpa dirancang mahupun membuat apa-apa temu janji kerana mahu mengucapkan tahniah atas penganugerahan gelaran yang baru diterimanya daripada Istana Perak sekitar 3 minggu sebelum itu. Cuma difahamkan beliau menerima makluman secara tidak rasmi. Belum keluar apa-apa surat mahupun diadakan majlis berkenaan untuk memasyhurkan beliau sebagai Laksamana baru.

Walaupun belum mengenali beliau tiada masalah menerima kedatangan kami setelah diberitahu ada waris dari Batak Rabit, daripada keturunan Orang Kaya Muhammad Arshad mahu bertemu. Beliau pula menyatakan tertarik dengan tanjak saya. Sebetulnya kami pernah bertemu dan bertegur sapa dalam satu majlis ilmu di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu. Kemudian bertemu ketika majlis suai kenal dan temu bual untuk gelaran Laksamana pada awal November tahun lalu. Rujuk artikel-artikel berikut :-




Selain itu saya mahu memberitahu secara berhadapan mata bahawa saya tidak pernah memohon gelaran Laksamana. Yang dimohon adalah gelaran Toh Muda Laksamana iaitu bakal Laksamana. Tiada niat saya untuk melangkah kedudukan beliau sebagai Toh Muda ketika itu. Fikir saya apabila Laksamana terdahulu meninggal dunia pada penghujung bulan Februari tahun lepas beliau secara automatik akan naik sebagai Laksamana tidak lama lagi kerana begitulah adat dan kebiasaan sejak hampir 300 tahun lalu. Dengan itu jawatan Toh Muda akan menjadi kosong lalu mana-mana waris yang berkelayakan boleh memohon. Itulah yang saya lakukan iaitu memohon gelaran Toh Muda. Lihat kembali penerangan dalam artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai.

Siapa sangka kemudian dipanggil untuk temu duga bagi gelaran Laksamana? Namun diakui kalau berpeluang untuk naik terus sebagai Laksamana tanpa menjadi Toh Muda saya akan ambil. Saya ada tujuan dan matlamat perjuangan tersendiri. Gelaran tinggi dalam hieraki kepimpinan tradisional Kesultanan Perak ini boleh memberikan kuasa, cara dan alat perkakas bagi melaksanakan banyak perkara yang pernah dibincangkan dalam majlis-majlis ilmu anjuran pihak saya. Rujuk perkara-perkara berkenaan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)





Niat saya boleh dipendekkan sebegini...


Aku mahu menterbalikkan segala kesan negatif Perjanjian Pangkor tahun 1874 yang menyebabkan bangsaku Melayu dan agamaku Islam jadi seperti terabai dalam arus kemodenan zaman yang seperti melebihkan puak liberal serta bangsa dan penganut agama lain.


Adapun moyang saya Laksamana Muhammad Amin itu merupakan salah seorang yang menandatangani Perjanjian Pangkor. Rentetan panjang daripada perjanjian ini terbitlah keadaan sosio politik negara Malaysia sekarang yang antaranya menyebabkan mahkamah sivil berasaskan undang-undang ciptaan Barat dapat mengatasi mahkamah syariah dan undang-undang Islam. Raja-raja Melayu dijadikan seperti rubber stamp atau alat rasmi pengesahan sahaja sambil ahli-ahli politik bermaharajalela. Hal ini adalah warisan tersurat dan tersirat daripada isi perjanjian yang menyatakan raja mesti menerimapakai nasihat Residen British kecuali dalam hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Ahli politik yang mudah terpalit dengan kegilaan harta dunia lalu mudah dibeli para kapitalis kaya terutama towkay-towkay Cina seperti mewarisi peranan residen menegakkan kepentingan-kepentingan sekular sambil memperkecilkan peranan raja dan pembesar tradisional Melayu.

Realitinya hal agama dan adat juga kini dilanggar akibat renteten peristiwa demi peristiwa yang berkaitan. Sesuatu harus dilakukan untuk memperbetulkan keadaan. Ini adalah tanggungjawab para raja dan pembesar yang bertakwa, sedar akan amanah yang wujud dalam darah keturunan lantaran kedudukan yang diberikan, bukan untuk bermewah dan bermegah lalu jadi terikut dengan rentak ahli politik dan kapitalis keduniaan. 




Merujuk pula pada artikel Prospek masa hadapan institusi beraja di Malaysia yang dipersembahkan petang semalam. Gambar atas diambil daripada rakaman video melalui Live Facebook yang dibuat oleh penganjur majlis iaitu Muzium Diraja Kuala Lumpur. Masuk sesi soal jawab saya telah membawa persoalan siapakah atau bagaimanakah sebenarnya seorang ulamak? Ini kerana ada ahli panel menyatakan bahawa baiknya orang ramai adalah bergantung pada pemimpin sedangkan baiknya pemimpin bergantung pada ulamak. 

Saya bertanya kerana melihat takrif ulamak telah disempit menjadi orang yang tahu fekah, bab-bab ibadah, soal jawab halal haram dan sebagainya, mungkin (tidak semestinya sekarang) bersama bab tasawuf sekali. Sedangkan bagi ulamak silam Islam terutama pada zaman kegemilangan di sekitar Baghdad dan Andalusia abad ke-8 sehingga ke-11 Masihi perkara-perkara tersebut cuma asas sahaja bagi seorang ulamak. Dahulu boleh dikatakan semua yang dipanggil sebagai ulamak iaitu orang yang banyak ilmu itu pakar pelbagai bidang. Mereka ada sekali ilmu matematik, ekonomi, siasah, sejarah malah ilmu bela diri seperti bermain pedang dan memanah pun pandai. Barulah boleh dijadikan rujukan untuk memajukan pelbagai aspek kehidupan umat Islam. Itu belum lagi cerita bab karamah dan kewalian.

Adapun sebelum menyatakan soalan saya telah memperkenalkan diri lalu memberikan sedikit latar belakang yang membentuk arah fikiran iaitu sebagai graduan matematik dari universiti di London yang kemudian menjadi wartawan akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001. Itu kira dah biasa apabila memperkenalkan diri dalam majlis-majlis sebegini. Yang jarang, mungkin julungkali dibuat adalah menyatakan diri sebagai keturunan Laksamana Perak yang menandatangani Perjanjian Pangkor tahun 1874.

Ini dinyatakan kerana sangat relevan dengan konteks perbincangan ilmu dalam majlis. Ini kerana Perjanjian yang mana menyebabkan seorang Sultan Melayu pertama kali harus meminta nasihat seorang Residen British lalu menggunapakainya dalam semua hal kecuali agama Islam dan adat Melayu inilah yang menjadi asas pembentukan undang-undang dan perlembagaan negara yang mengikat institusi beraja kini. Lalu diisytiharkan bahawa saya sebagai anak cucu Laksamana mahu menterbalikkan (saya sebut reverse dalam majlis) kesan-kesan buruk Perjanjian Pangkor terhadap agama, bangsa dan tanah air. Saya sebut kesan buruk kerana ada kesan baik yang boleh dikekalkan. Misalnya cara British menerbitkan perkhidmatan awam dan segala macam badan berkenaan disertai sistem dokumentasi dan rekod yang kemas bagi mentadbir negara. 




Sebagai anak cucu Laksamana saya merasa bertanggungjawab untuk memperbetulkan dan memperbaiki keadaan lalu akan mencuba sedaya upaya mengikut kemampuan yang ada pada sesuatu masa. Sesungguhnya inilah misi sebenar saya sebagai seorang ahli keluarga Laksamana. Saya percaya misi ini juga patut dilanjutkan oleh setiap ahli keluarga kerana memiliki darah kepimpinan dan perjuangan itu. Dengan ini biar dikumpulkan pautan bagi artikel-artikel yang telah dibuat atas nama "Misi Keluarga Laksamana" juga artikel-artikel 'celah' yang terlibat dengan misi...








7. Lawatan baru ke Galeri Panglima Kinta (New visit to the Gallery of Panglima Kinta)

8. Misi keluarga Laksamana - Mendalami lagi talian persaudaraan lama diikuti kaitan dengan Panglima Kinta

9.  Clear views from the Teluk Intan floating restaurant

10. Misi keluarga Laksamana - Solidariti keturunan Orang Kaya Arshad dan adik seibu sebapanya Aminah


Artikel 'celah' :-

1. Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British


Daripada Misi Keluarga Laksamana part II :-

1. The lake garden of Slim River

2. Misi Keluarga Laksamana part II - Antara Slim River, Teluk Intan dan Ipoh

3. Masjid (Mosque of) Ghufran, Kampung Manjoi, Ipoh

4. Masjid (Mosque of) Ijtihadiah, Kampung Simpang Suak Pelang













Artikel 'celah' :-



Sesungguh artikel-artikel awal atas nama "Misi Keluarga Laksamana" itu terbit akibat perlu menghadiri perbicaraan berkenaan di Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh. Ada lagi sesi-sesi perbicaraan yang perlu dihadiri. Laluseperti biasa apabila keluar cukup jauh sebegitu saya akan membuat beberapa perkara lain yang sama ada dirancang atau timbul gerak rasa pada saat akhir akan mengisi naratif keseluruhan suatu perjalanan. Seringkali pula saya mendapat ilham atau maklumat baru dalam perjalanan itu. Di celah-celah perjalanan pula saya harus membuat bacaan dan kajian berkenaan apa lagi saya bercadang untuk menjadikan kisah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan anaknya Orang Kaya Arshad sebagai sebuah buku. 

Maka selagi hayat dikandung badan insyaallah banyak lagi artikel berkenaan akan terbit nanti. Sampai waktunya kesemuanya akan dikumpulkan dalam satu artikel induk nanti. Kiranya ini termasuk azam saya bagi tahun baru 1444 Hijriah. Tunggu.


Friday, July 29, 2022

Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British part II

Merujuk lagi pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British yang dipersembahkan dua hari lalu, artikel yang menceritakan tentang kerja-kerja berkenaan pada 19 hingga 20 Julai 2022. Untuk makluman proses ini disambung lagi 27 hingga 28 Julai iaitu sehingga petang semalam. Sekarang biar dilepaskan cerita. Bersambung daripada artikel Prospek masa hadapan institusi beraja di Malaysia.



Adapun majlis tentang institusi beraja itu tamat sekitar jam 1 petang. Selepas itu hadirin turun makan di restoran hotel. Saya duduk bersama Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali serta dua orang wakil daripada Muzium Sabah. Disebabkan banyak berbual macam-macam perkara jam 3 baru meninggalkan hotel untuk menyambung kerja pencarian dokumentasi di Perpustakaan Negara.




Terus menuju ke bahagian berkenaan. Kebetulan hari itu saya berbusana tradisional Melayu penuh bersampin, bertanjak dan berkeris. Sambung aje le berpakaian sebegitu ke perpustakaan membawa semangat anak Melayu yang mahu menjunjung tinggi institusi beraja demi kemaslahatan ummah. Letak keris sat atas dokumen sebagai tanda dan isyarat. Semoga membawa berkat.




Kali ini saya bermula dengan dokumen-dokumen awal tahun 1898.  Ketika gambar ini diambil sudah jam 3.49 petang.




Masuk jam 5 baru sampai penghujung April tahun 1899 sedangkan perpustakaan dah nak tutup. Nak tak nak memang kena sambung hari lain. Saya memang sudah bersedia untuk itu. 

Saya telah memberitahu isteri bahawa akan bermalam di mana-mana untuk menyambung kerja. Malam Jumaat baru balik. Itupun sebab pagi Jumaat isteri perlu ke pejabat hingga petang lalu saya pula perlu menguruskan anak pergi balik sekolah. Kebetulan sekembalinya dari Perak malam sebelumnya masih ada baju belum dipakai dalam beg. Saya setakat perlu menambah sedikit pakaian bersih lalu bersedia untuk keluar.




Walaupun harus keluar dari dewan bacaan perpustakaan jam 5 kita masih lagi boleh berlegar-legar di sekitar bangunan-bangunan dalam halaman perpustakaan. Saya tidak mahu terus bergerak keluar kerana tidak mahu menempuh kesesakan jalan raya akibat orang ramai balik kerja.  Saya mencari satu bahagian perpustakaan yang selesa yang ada power point untuk membuka komputer riba lalu membuat sedikit kerja. Di atas gulungan-gulungan permaidani yang kelihatan di tengah gambar inilah saya duduk lama sehingga jam 8. Di sinilah dibuat lalu dipersembahkan artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British...




Punyalah selesa, walaupun ada nyamuk dan dikatakan gatal, sehingga terfikir elok juga bermalam di atas gulungan permaidani itu. Kawasan ini pula jarang dilalui orang sekarang. Dahulu ke kiri itu adalah perpustakaan khas bagi kanak-kanak, ke kanan adalah kafeteria perpustakaan. Memang selalu sibuk ada orang keluar masuk. Tetapi ia mula menjadi sepi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk mengekang wabak Covid-19 berkuatkuasa bermula bulan Mac tahun 2020. Sampai sekarang keadaan di perpustakaan belum pulih, tidak begitu ramai lagi orang datang.




Namun pengawal keselamatan tidak membenarkan. Saya faham dan akur tidak mahu menyusahkan. Dengan itu keluarlah saya menghala ke Jalan Pahang. Tergerak pula untuk masuk di lorong sebelah hospital yang dahulunya Hospital Tawakal. Terkenang bagaimana sekitar tahun 2003, selepas bersolat Jumaat di sebuah masjid besar dekat Supermarket Ong Tai Kim di satu bahagian Gombak saya tergerak untuk berjalan kaki hingga ke bahagian yang kelihatan.



Ceritanya telah diabadikan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" yang terbit November 2007. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003. Boleh tuju terus ke Kali pertama ke makam Tok Pulau Manis tahun 2003 - Mencari wasilah ke AcehGambar ini menunjukkan keadaan di sebuah restoran mamak berdekatan. Kelihatan di seberang jalan dengan papan tanda berwarna hijau Restoran Haslam. Ia masih wujud sedangkan kedai cermin mata yang mana di dalamnya saya pertama kali terjumpa satu risalah tentang Tok Pulau Manis, sebaris dengan restoran tetapi jauh sedikit ke arah kanan tidak ada lagi sekarang.



Adapun ketika berjalan kaki seorang diri sekitar 6 km hampir 20 tahun lalu itu saya ada singgah di masjid yang kelihatan. Ketika itu masjid yang diasaskan pada tahun 1933 ini masih digunakan. Sekarang sudah digantikan dengan masjid baru di belakang (yang kelihatan ada cahaya)...




Ketika persinggahan pertama tahun 2003 itu saya ada menyimpan niat untuk bermalam satu hari nanti. Tapi setelah beberapa lama masih tak buat-buat. Akhirnya baru jadi hari itu Selasa malam Rabu 27 Julai 2022.



Awal pagi Khamis 28 Julai saya bersolat Subuh berjemaah di masjid baru.




Dari situ bergerak ikut jalan belakang untuk ke Perpustakaan Negara...







Kebetulan laluan yang ditunjukkan oleh Google Map melalui simpang ke sebuah makam lama di Sentul. Saya pun singgah untuk berziarah. Tentang makam boleh lihat artikel lama Maulidur Rasul di makam Harun Al-Rasyid.




Selepas itu baru masuk Jalan Tun Razak untuk menuju ke Perpustakaan Negara.




Terlihat Balai Seni Negara timbul rasa untuk pergi ke "Rumah Degil" di perkarangannya, rumah tradisional Melayu yang didirikan di Chow Kit tahun 1926 sebelum dialihkan ke situ sekitar 10 tahun lalu. 




Tengok-tengok ada pangkin selesa di bawah rumah. Ketika gambar ini diambil baru jam 7.32 pagi. Sedangkan perpustakaan cuma akan dibuka pada jam 10. Saya pun mengisi masa di pangkin. Nak makan di kafetaria tak boleh kerana sedang berpuasa sunat hari Khamis. 




Di sinilah dipersembahkan artikel Misi Keluarga Laksamana part II - Antara Slim River, Teluk Intan dan Ipoh dan artikel sokongannya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Di sini juga disediakan artikel susulan iaitu Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Ipoh ke Sungai Siput dan Karai serta artikel sokongan-sokongan berkenaan tetapi belum dipaparkan pada waktu itu.



Disebabkan kesibukan bagai itu kemudian mandi lagi sekali lalu bersalin pakaian (saya dah mandi waktu Subuh tapi masih memakai pakaian tidur) jam 10.23 baru sampai ke perpustakaan.



Terus menyambung ke bahagian yang akhir sekali dilihat pada petang sebelumnya.



Kali ini saya berada begitu lama sehingga sampai satu peringkat membawa masuk sleeping bag untuk dipakai separuh badan akibat kesejukan (tak ambil gambar pula) lantaran lamanya dalam dewan berhawa dingin. Sedangkan perut kosong akibat puasa lalu kurang haba. Jam 5, sampai waktu untuk keluar saya mengambil gambar ini.



Bukan apa. Sekadar mahu menunjukkan berapa jilid dokumen sudah diteliti muka surat demi muka surat. Dua rak teratas sudah berjaya diliputi sejak memulakan usaha seperti dinyatakan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British. Sekarang baru selesai jilid pertama pada rak ketiga. Selepas ini harus menyambung untuk separuh kedua tahun 1906 pula. Dengan ini selesailah gerak penulisan saya bagi tahun Islam 1443 Hijriah. Kurang 2 jam lagi akan masuk tahun baru 1444 Hijriah.

Prospek masa hadapan institusi beraja di Malaysia

Merujuk pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British yang dipersembahkan dua hari lalu juga artikel Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Lubuk Merbau ke Kuala Kangsar membawa ke Ulu Slim pagi tadi. Kedua-kedua artikel ada menyebut saya perlu menghadiri satu majlis melibatkan institusi beraja. Ini ceritanya...



Awal pagi Rabu 27 Julai 2022. Selepas sedikit rehat sekembalinya dari perjalanan di Perak lewat hari Selasa malam Rabu saya pun bergerak ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis.










Sampai ke lokasi iaitu Hotel Ancasa berdekatan Perhentian Pudu Raya terlupa hendak mengambil gambar hotel. Sebaliknya bangunan PNB118 setinggi lebih 600 meter pula yang menarik perhatian. Eh sat sat. Rasanya yang kanan itu Hotel Ancasa...



Masuk ke dewan majlis kelihatan ramai sudah menunggu untuk mengikutinya.










Mungkin kerana topiknya "Institusi Beraja : Prospek Masa Hadapan Institusi Beraja di Malaysia" begitu menarik. Ia dianjurkan oleh Muzium Diraja yang bertempat di Istana Lama (untuk Yang-di Pertuan Agong dahulu), Kuala Lumpur, satu badan di bawah Jabatan Muzium Malaysia.



Saya pula, selain mahu mengikuti majlis, mahu bertemu dengan pemberi ucaptama iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdullah Zakaria bin Ghazali. Ini kerana sudah lama tidak berjumpa beliau, rasanya kali terakhir pada awal tahun 2020, mungkin 2019 gitu. Selain selalu mengikut syarahan-syarahan beliau di majlis-majlis kami juga sering berbincang tentang sejarah secara peribadi termasuk di pejabat beliau di Universiti Malaya yang penuh dengan pelbagai dokumen termasuk surat-surat khabar lama. Kali terakhir menghubungi beliau sekitar sebulan lalu saya ada meminta nasihat tentang bagaimana hendak mencari apa-apa catatan tentang datuk kepada datuk saya yang merupakan anak dan waris utama kepada Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah Perak tahun 1877). Rujuk hal berkenaan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British.




Selepas sesi pengenalan oleh pihak muzium Abdullah pun memberikan ucaptama. Beliau menceritakan sejarah panjang institusi diraja  di Semenanjung Tanah Melayu dengan menyatakan ia telah berusia sekurang-kurang 13 abad  bermula di Kedah pada tahun 630 Masihi. Kesultanan pula bermula apabila seorang raja Kedah memeluk Islam lalu memakai nama Sultan Muzaffar Syah bermula tahun 1136 Masihi.



Disorot pula sejarah Kesultanan Melaka yang bermula tahun 1262 Masihi (melalui kajian yang diwar-warkan sekitar tahun 2010. Sebelum itu ia dinyatakan bermula sekitar tahun 1400an) yang naik gemilang pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah diikuti anaknya Sultan Mansur Syah, cucunya Sultan Alauddin Riayat Syah dan cicitnya Sultan Mahmud. Pada tahun 1511 Portugis datang lalu menduduki Kota Melaka. Namun Kesultanan tidak terhenti kerana Sultan Mahmud masih hidup walaupun harus bertakhta di tempat-tempat lain. Tahun 1528 baru Kesultanan Melaka boleh dikatakan tamat. Ini kerana anaknya Raja Ali yang memakai nama Sultan Alauddin Riayat Syah memulakan Kesultanan Johor sementara seorang lagi anak, Sultan Muzaffar Syah memulakan Kesultanan Perak pada tahun 1728.

Cabaran demi cabaran terhadap Kesultanan-kesultanan Melayu diceritakan panjang lebar termasuk ancaman Belanda di Perak juga Johor, Perang Musuh Bisik yang menyaksikan Kedah berada di bawah pemerintah Siam 1821-1842 sementara Sultan Kedah terpaksa berlindung di luar negeri, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang memecahkan Kesultanan Johor (juga dikenali sebagai Johor-Riau-Lingga) menjadi dua bahagian, satu ke utara Singapura, satu ke selatan, Perjanjian Pangkor 1874 yang mana seorang Residen Inggeris harus dipakai nasihatnya membawa ke zaman Malay Union 1946 hingga pembentukan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948. Namun institusi beraja tetap terus bertahan walaupun kuasanya banyak dikurangkan sehingga British boleh menentukan malah membuang raja.

Malah raja-raja sebenarnya banyak memainkan peranan. Ini termasuk dalam membentuk isi Perlembagaan juga dalam menuntut kemerdekaan dari British (yang akhirnya membawa pada tarikh keramat 31 Ogos 1957). Cuma raja-raja tidak semestinya hadir secara fizikal dalam rundingan-rundingan berkenaan. Yang pasti wakil-wakil atas nama raja dihantar, satu fakta yang saya lihat seperti cuba digelapkan oleh puak-puak politik yang sengaja merendahkan peranan raja-raja, untuk mengangkat pihak mereka dan parti sebagai penyelamat orang Melayu.




Selepas itu baru diadakan sesi pembentangan yang lebih santai atau bicara naratif. Encik Mohd Ismail Adnan daripada RTM (Radio Televisyen Malaysia) yang biasa  mengacarakan program-program televisyen tayangan RTM pun mengendalikan sesi. 



Tiga orang panelis berwibawa ditanyakan soalan secara bergilir-gilir. Mereka adalah  :-


1. Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz, penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu, UiTM (Universiti Teknologi MARA)

2. Prof Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, UTMKL (Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur)

3. Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan




Shamrahayu yang merupakan seorang pakar undang-undang menekankan tentang kepentingan institusi beraja seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara.




Muhammad Fathi membawa pendekatan realiti sosio-politik negara dalam memperkatakan kepentingan institusi.




Khalif Muammar yang merupakan anak murid pemikir besar Islam, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas menekankan betapa pentingnya ilmu dan adab dalam menanggapi perkara.



Secara rata semua bersetuju institusi beraja tetap akan terus relevan di Malaysia. Hal ini boleh dilihat apabila Perdana Menteri ke-7, Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan lalu seluruh kabinet barisan menteri terbubar dengan sendirinya awal tahun 2020. Buat beberapa lama Malaysia secara rasminya tidak memiliki pentadbiran politik (orang biasa sebut kerajaan sedangkan kerajaan bukan sekadar orang politik) kerana menunggu Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Namun pentadbiran negara secara keseluruhannya tetap masih berjalan kerana para penjawat awam masih ada, di bawah naungan institusi beraja dengan Agong sebagai ketua sebenar negara (bukan Perdana Menteri ya).

Ini menunjukkan bagaimana institusi sangat diperlukan untuk menjamin kestabilan pada kala puak politik sering berbalah dan mudah bertukar arah dan fikiran demi menjaga kepentingan sendiri dan parti. Cuma ada yang perlu diperbaiki agar institusi beraja dapat dipandang tinggi dan mulia oleh semua. Antaranya adalah para raja harus memperbaiki diri peribadi mereka sesuai dengan kedudukan sebagai ketua agama Islam bagi peringkat negara dan bagi setiap negeri. 

Dengan itu penekanan diberikan terhadap bagaimana hendak menjadi seorang raja yang berwibawa seperti dinyatakan dalam kitab-kitab lama seperti Nasihatul Muluk oleh Imam Ghazali. Oleh kerana baiknya rakyat bergantung pada pemerintah sedangkan baiknya pemerintah bergantung pada ulamak, harus dikenali terlebih dahulu siapakah yang betul-betul ulamak lalu layak diangkat untuk menolong menasihati raja. Ini kerana sudah beberapa lama berlaku kekeliruan tentang siapakah itu ulamak. Apakah semata-mata kerana pandai hukum fekah, baca Al-Quran membuat tafsiran bagai? Sedangkan bagi ulamak zaman silam semasa zaman kegemilangan Islam ilmu-ilmu sebegitu cuma asas sahaja. Mereka tahu dan cukup faham banyak lagi ilmu termasuk matematik, sains, siasah, kewangan dan macam-macam lagi.

Untuk mengikuti sendiri majlis lihat rakaman video masuk sini. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,288 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.



Misi Keluarga Laksamana part II

OK. Artikel kompilasi untuk perjalanan ke Perak 24-26 Julai 2022.


Perjalanan berlaku atas asbab mahu ke Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh 25 Julai kerana urusan berkenaan keluarga Laksamana Perak. Bergerak dahulu ke Teluk Intan 24 Julai sebelum ke Ipoh. Selesai urusan di Ipoh pergi ke Kuala Kangsar melalui Sungai Siput lalu berjalan-jalan di sekitar Jawang kemudian ke Karai. Fikirnya hendak bermalam di makam Tok Temong. Tetapi anak saudara mengajak ke Lubuk Merbau. Selepas itu baru ke Kuala Kangsar kemudian bergerak kembali ke arah selatan melalui Sayong, Parit dan Bota dengan niat hendak mengambil anak kembali bercuti di Janda Baik. Masuk pula ke Ulu Slim, satu laluan yang belum pernah diambil sebelum ini. Sempatlah mandi sungai seorang diri jauh ke pendalaman dalam kegelapan malam.

Gambar atas menunjukkan saya mencecahkan kaki di kuala Sungai Sayong. Ia tidak dalam perancangan tetapi terbit ketika hedak naik ke Bukit Chandan bagi menziarahi makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin diikuti makam Daeng Selili. Ketika itu naik ke bukit baru mendapat bahawa kuala Sayong itu betul-betul menghadap ke sekitar makam Daeng Selili di satu bahagian bawah hujung bukit. Apakah kena mengena dengan 'panggilan' pertama saya ke kuala sungai ketika pertama kali menziarahi makam-makam lama lebih 20 tahun lalu? Ikut cerita perjalanan secara tertib...


1. The lake garden of Slim River

2. Misi Keluarga Laksamana part II - Antara Slim River, Teluk Intan dan Ipoh

3. Masjid (Mosque of) Ghufran, Kampung Manjoi, Ipoh

4. Masjid (Mosque of) Ijtihadiah, Kampung Simpang Suak Pelang












Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Lubuk Merbau ke Kuala Kangsar membawa ke Ulu Slim

Salam pagi Jumaat 29 Zulhijjah 1443 Hijriah. Adapun apabila masuk waktu Maghrib karang maka masuklah juga tahun baru Islam 1444 Hijriah. Sebelum ini berlaku biar dilepaskan saki baki cerita yang boleh dikongsikan daripada beberapa hari kebelakangan. Maka itu masuklah kita pada hari ketiga perjalanan ke Perak baru ini. Bersambung daripada artikel Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Ipoh ke Sungai Siput dan Karai.



Pada penghujung artikel sebelum ini telah disebut seorang anak saudara bernama Hisham telah mengajak untuk bermalam di rumah keluarga sebelah bapanya di Lubuk Merbau. Selepas bersoreh dengan orang tua di Enggor bergeraklah kami ke sana. Pagi Selasa 26 Julai 2022, selepas puas bermalam saya melihat ke luar rumah.




Ia dikelilingi sawah padi yang luas. Lihat artikel The paddy fields at Lubuk Merbau di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Di satu bahagian belakang pula ada sebuah rumah lama tinggal yang cantik. Lihat artikel Sebuah rumah lama di Lubuk Merbau (An old house at Lubuk Merbau) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Jam 9.50 gitu saya keluar untuk menyambung perjalanan. 




Pergi ke Temong melalui Kati, singgah sebentar di surau yang selalu menjadi tempat saya juga keluarga menginap apabila ke Kuala Kangsar. Asalnya memang hendak bermalam di sini. Tetapi apabila anak saudara mengajak ke Lubuk Merbau saya ikut sahaja le...




Dan tentunya juga menziarahi makam Tok Temong serta melihat sungai di bawah sebelah. Lihat Just another look at the Perak river from Temong jetty Kali terakhir singgah sebelum itu adalah dalam perjalanan kembali dari Kedah 5 bulan lalu. Lihat Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh.




Ketika itu juga kali terakhir ke masjid di Kota Lama Kanan. Maka kali ini kena datang lagi.




Ziarah ke makam Temenggong Husain di perkarangan masjid.




Kemudian ke batu tanda tempat ghaibnya Sultan Perak ke-2, Sultan Mansur Syah ketika menunaikan solat Jumaat hampir 500 tahun lalu.




Selepas itu baru masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar. Bandar dan tempat-tempat sekelilingnya pun kali terakhir dijejaki dalam perjalanan kembali dari Kedah 5 bulan lalu.







Selepas itu saya cuma ada naik paling jauh ke utara setakat ke Ipoh sekali dua. Kalau ke Teluk Intan iaitu kampung asal tempat keluarga sebelah bapa ada le 4-5 kali gitu.




Berziarahlah ke makam moyang kami Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan.




Selepas itu beriktikaf sebentar di Masjid Ubudiyah kemudian masuk ke Kampung Padang Changkat di belakang Istana Iskandariah untuk menziarahi makam Daeng Selili kemudian ke rumah saudara belah keluarga Maharajalela berdekatan makam.




Keluar dari sana terlihat istana lama yang dijadikan muzium ini. Didapati bahawa ia telah dibuka sepenuhnya. Dalam lawatan terakhir penghujung tahun lalu cuma bahagian bawah sahaja telah dibuka kembali selepas lebih 10 tahun muzium ditutup kerana kerja-kerja membaik pulih bangunan. Lihat Bahagian atas Muzium Diraja (The upper section of the Royal Museum), Kuala Kangsar.




Oh. Adapun ketika menaiki Bukit Chandan sambil melihat Sungai Perak di lembah bawah timbul rasa untuk menyemak di manakah sebenarnya kedudukan kuala Sungai Sayong. Apakah boleh kelihatan dari jalan menaiki bukit atau bagaimana?




Kalau cari terus pakai Google Map tidak akan berjumpa kerana tidak ditanda. Namun semakan melalui satellite view menunjukkan ada sungai kecil di sekitar Sayong yang kualanya mengunjur keluar betul-betul ke kawasan sekitar makam Daeng Selili iaitu seberang Sungai Perak. Kelihatan juga ada jalan kasar menuju hampir ke kuala. Tetapi tidak ditunjukkan oleh Google Map sebaliknya kena cari dengan mata kasar dalam satellite view. Berdasarkan itu saya pun membawa kereta ke sana. Nasib-nasiblah kalau dapat jumpa kuala Sungai Sayong, takut sungai lain pula.




Alangkah leganya rasa apabila terlihat papan tanda ini di hujung jalan. Perlu jalan sedikit untuk mencari kuala. Lihat dahulu Sungai Perak yang terbentang luas di sebelah. Lihat Perak river from Sayong.




Ke kuala Sungai Sayong perlu berjalan kaki lagi melepasi satu kawasan yang nampaknya harus digenangi air bila pasang. Nasib baik ketika itu surut dan cukup kering. Dapatlah ke kuala lalu mencecahkan kaki. Lihat Sayong river mouth

Teringat bagaimana dalam perjalanan pertama saya ke makam-makam lama lebih 20 tahun timbul rasa untuk mencari di manakah kuala Sungai Sayong. Atas asbab itulah saya pertama kali ke masjid Kota Lama Kanan lalu dapat melihat batu nesan tanda di dalam masjid. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 atau tuju terus  pada Kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001 - Menyusur jejak nenek moyang hingga ke Kuala Kangsar.




Perjalanan diteruskan melalui jalan sama dari Sayong ke selatan, laluan yang sebenarnya menyusuri Sungai Perak dari tebing kanan (kanan jika dilihat dalam peta).




Sampai di Parit berhenti sebentar minum teh ais di tepian sungai yang ada Pulau Cempakasari di tengahnya.




Sambil berjalan terkenang bagaimana masjid-masjid seperti di Parit ini sering menjadi tempat melepaskan penat malah tempat bermalam dalam pengembaraan-pengembaraan lama di Perak.




Sambil itu juga memberikan salam kepada para almarhum Sultan-sultan Perak yang dimakamkan di beberapa lokasi di sepanjang laluan sehingga ke selatan Kampung Gajah. Nak ziarah dah tak larat selain perlu mengejar masa.



Ketika di Ipoh hari Isnin isteri ada menelefon untuk memberitahu bahawa anak kami di tahfiz di Janda Baik akan bercuti Rabu sehingga Sabtu sempena tahun baru 1444 Hijriah atau hari Ma'al Hijrah 1 Muharram yang jatuh pada hari Sabtu (esok) 30 Julai. Maka saya bercadang untuk ke Janda Baik melalui Batang Kali petang Selasa. Bermalamlah di mana-mana kemudian mengambil anak jam 7 pagi Rabu lalu baru menghala kembali ke rumah. 

Itu pun tidak terus balik kerana ada satu majlis tentang institusi beraja perlu dihadiri di pusat bandar raya Kuala Lumpur pagi Rabu 27 Julai. Selepas itu mahu ke Perpustakaan Negara pula untuk menyambung satu kerja (rujuk cerita berkenaan dalam artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British). Selepas perpustakaan tutup jam 5 petang baru bawa anak kembali ke rumah.



Tengok-tengok sampai di Slim River isteri memberitahu bahawa beliau tersilap. Sebenarnya anak boleh balik Rabu minggu hadapan bukan minggu ini. Dengan itu tidaklah perlu terkejar-kejar ke Janda Baik. Lebih baik balik berehat di rumah sebelum ke majlis di Kuala Lumpur pagi Rabu.

Saya jawab kalau begitu biar berjalan-jalan dahulu, mungkin di Tanjung Malim. Apapun, memang rancangan saya, sama ada pergi ke Janda Baik atau tidak hendak mencuba satu laluan yang seingat saya belum pernah diambil sebelum ini, laluan ke Ulu Slim.



Maka masuklah jauh ke dalam kawasan pendalaman. Ketika berhenti makan sebelum sampai di Ulu Slim ada penduduk tempatan memberitahu bahawa jalan cukup elok sehingga lebih jauh lagi ke pendalaman. Malah boleh tembus masuk ke negeri Pahang dekat-dekat Raub. Tetapi kena bawa kenderaan pacuan empat roda untuk itu.



Saya pun masuk jauh ke dalam sehingga hari gelap. Sampai di satu kawasan yang diperkirakan terletak sekitar 8 km ke utara Ulu Slim baru berhenti untuk mandi sungai kemudian menjamakkan solat Maghrib dan Isyak. Kalau tidak kerana perlu berada di KL pagi Rabu tak mustahil saya akan masuk sehingga penghujung jalan tar kecil, dalam perkiraan saya sekitar 15-20 km lagi ke utara. Apapun cukuplah penerokaan buat hari itu. Lihat The road to Ulu Slim and beyond.




Kembali ke rumah meter menunjukkan kali ini saya telah berjalan hampir 630 km secara keseluruhan. Kalau jadi mengambil anak di Janda Baik harus tambah lagi 130 km. Insyaallah lain kali saya akan mengambil jalan Ulu Slim itu sehingga paling hujung dapat dicapai dengan kereta biasa. Katanya sampai ke penempatan Orang Asli yang dipanggil sebagai Pos Tenau.