Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, March 09, 2019

Menerbitkan sistem pengajaran matematik dan sains yang bebas daripada belenggu pemikiran Barat

Semalam selepas masuk waktu Isyak, entah kenapa saya dilanda rasa penat yang amat sangat. Rasa tak larat hingga tidak mampu menunaikan solat lalu saya pun tidur awal. Masuk jam 4.44 pagi di mana saya selalu set jam untuk bangun bersahur (kalau hendak berpuasa pada siang hari itu) barulah menunaikan solat Isyak kemudian Tahajud. Namun rasa penat amat datang kembali lalu saya layan tidur lagi. Jam 11 pagi baru dapat betul-betul bangun lalu disibukkan pula dengan mengemas rumah, membasuh lantai luar, permaidani dan sebagainya sehingga jam 2.30.

Jam 3 saya harus melayan sejumlah tetamu yang datang untuk mendapatkan sedikit fakta sejarah tentang Alam Melayu sebelum naik kerajaan Srivijaya abad ke-7 Masihi. Syarikat mereka mahu membuat sesuatu melibatkan fakta yang diberikan. Untuk ini saya harus membawa sejarah manusia sejak zaman Nabi Adam AS membawa ke pergerakan manusia selepas banjir Nabi Nuh AS juga zaman Nabi Ibrahim AS. Secara rata saya mengupas isi daripada buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" serta buku ke-12 "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" untuk memberikan latar belakang yang patut bagi keperluan mereka.

Jam 7 petang baru mereka bersedia untuk pergi. Masuk waktu Maghrib saya berbuka dahulu dengan secawan teh ais kaw yang dibeli semalam. Selesai wirid selepas solat tergerak untuk membaca Surah al-Baqarah sampailah ayat ke-93 lalu solat Isyak pula.Selepas itu baru betul-betul makan malam kemudian berehat. 

Artikel ini dimulakan jam 10 malam sebagai menyambung gerak penulisan yang sama dengan artikel Wadah Cendekia "Francis Light" - Menolak naratif pro-Barat yang menafikan keberadaan awal Melayu di Pulau Pinang (dipersembahkan petang semalam). Saya membuat pengenalan panjang lebar di atas ini kerana hendak memberitahu - Ikut rasa dan gerak sepatutnya artikel baru ini dipersembahkan malam semalam selepas Isyak. Tapi saya memang tak larat. Kemudian ditemuramah pula dekat 4 jam tentang fakta-fakta sejarah. Sekarang baru ada kesempatan...


Merujuk kepada artikel Pesta Buku Selangor 2019 dan aspirasi buku baru yang ditulis pagi semalam. Ada diberitahu pada pembukaan artikel bahawa ketika menulis itu saya juga perlu bersedia untuk hadir ke satu majlis ilmu di tempat saya belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu). Di atas adalah poster untuk majlis yang dimaksudkan. Saya menerima poster dan makluman tentangnya dekat jam 6 petang Khamis iaitu cuma 15 jam sebelum majlis dijadualkan berlangsung jam 9 pagi Jumaat 8 Mac 2019 semalam.


Sebelum menulis artikel Pesta Buku Selangor 2019 dan aspirasi buku baru gerak penulisan yang muncul ketika itu memerlukan saya menulis terlebih dahulu 3 buah artikel di blogspots SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan sebuah di BERPETUALANG KE ACEH. Sekitar jam 8.45 baru semuanya selesai lalu berkejarlah saya ke ISTAC 40 km dari rumah. Tengok-tengok jam teruk selepas tol Duta. Jam 9.37 baru sampai ke bilik di mana diadakan majlis...


Alhamdulillah ia baru sahaja dimulakan lantaran pemberi syarahan pun sampai lewat kerana ada hal. Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar pun memberikan pengenalan. 


Kata beliau (duduk kanan) majlis dibuat secara tergesa-gesa dan ad hoc setelah Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak memberitahu seorang tokoh matematik dari India bernama Dr Chandra Kant Raju akan berada di Kuala Lumpur. Terus diatur agar Chandra (duduk kiri) boleh memberikan satu syarahan di ISTAC. Punyalah tergesa-gesa sampai tajuk pun tak pasti. Main letak sahaja "The Unique Achievement of Islamic Mathematics" (Pencapaian Unik Matematik Islam) seperti kelihatan dalam poster.


Chandra boleh sahaja menangani topik tersebut malah banyak lagi topik melibatkan dunia matematik juga fizik . Tetapi beliau memilih untuk membawa tajuk dan persoalan yang berbunyi begini : "Is it possible to teach mathematics and science with a non-Western epistemology" - Adakah boleh mengajar matematik dan sains menggunakan epistimologi (teori ilmu pengetahuan) yang bukan keBaratan (terjemahan saya ini). Persoalan ditimbulkan kerana menurut beliau kita sudah terikut dan terikat dengan dogma pemikiran Barat yang sebenarnya diwarnai falsafah pemikiran Judeo-Christian. Ini merujuk kepada pengaruh agama Yahudi dan Kristian yang membentuk cara pemikiran Barat  sejak berkurun lampau. Walaupun kemudian mereka mendakwa menolak pengaruh agama dalam sains kerangka pemikiran falsafah tersebut terus memacu arah fikiran mereka sama ada sedar atau tidak...



Kata Chandra ini juga satu bentuk penjajahan fikiran terhadap dunia selain Barat.  Konsep-konsep yang dipelajari dalam ilmu matematik rasmi di mana-mana bahagian dunia sekarang semuanya dipengaruhi pemikiran Barat. Banyak perkara teknikal disebut beliau yang mana kalau saya ulas dan ulangi perlu disertakan penerangan panjang lebar tentang konsep-konsep berkenaan. Saya sebagai graduan matematik daripada University College of London (1991-1995) pun banyak sudah lupa perkara apatah lagi orang yang tidak memiliki latar belakang berkenaan, Nasib baik dapat juga sedikit sebanyak faham apa yang diperkatakan. 

Cukuplah disebut bahawa Chandra menyatakan disebabkan pemikiran Barat yang sebenarnya berasaskan falsafah keagamaan Judeo-Christian itulah banyak perkara yang sepatutnya mudah dijadikan susah. Di atas ditunjukkan sebahagian daripada jalan-jalan pembuktian untuk menunjukkan 1 + 1 =  2. Sepatutnya cukup jelas bukan bahawa 1 + 1 jawabannya adalah 2. Tapi kata Chandra kalau mengikut prinsip pembuktian rasmi matematik kena dimasukkan banyak konsep abstrak. Akibatnya untuk membuktikan bahawa 1 + 1 benar-benar bersamaan 2 kena tulis rangkaian pembuktian equations (persamaan) sehingga memakan 378 muka surat. Ini kedengaran seperti amat intelektual bagi sesetengah pihak tetapi tidakkah ia kerja sia-sia?


Menurut Chandra ada asas-asas matematik bukan Barat yang pernah digunakan oleh cerdik pandai dalam dunia Hindi purba juga pada zaman kegemilangan Islam yang sepatutnya diangkat sebagai kurikulum pembelajaran buat semua. Ini boleh membantu sesiapa sahaja menghadam pelajaran walaupun mereka datang daripada aliran sains sosial yang tidak pernah langsung terlibat dengan matematik dan sains.


Chandra yang seringkali mengambil pemikiran Imam al-Ghazali dan ajaran falsafah tinggi Buddha sebagai contoh falsafah pemikiran yang ulung memberitahu beliau sudah ada kurikulum sendiri yang boleh digunapakai. Dan ia sudah disahkan berjaya melalui beberapa kelas yang dijalankan beliau di USM, Universiti Sains Malaysia...


Dengan cara beliau sesiapa pun boleh diajar menyelesaikan masalah-masalah matematik dan sains peringkat tinggi. Kata Chandra sepatutnya pembelajaran matematik itu menyenangkan seperti mana boleh dikatakan sesiapa sahaja boleh menikmati muzik. Ini kerana menurut beliau pengetahuan semulajadi manusia yang dipercayai sesetengah ahli falsafah Yunani sebagai sudah wujud sejak peringkat roh lagi meletakkan matematik dan muzik pada aras sama sedia wujud dalam jiwa mana-mana manusia. Yang diperlukan adalah cara supaya apa sedia wujud terpendam dalam jiwa itu dapat diaktifkan menjadi kebolehan nyata.


Secara rata beliau memberitahu dengan sistem pembelajaran yang telah dirangkanya kita tidak perlu pergi terlalu tinggi sehingga hendak membuktikan 1 +1 = 2 pun perlu memakan 378 muka surat. Cukuplah dapat menyelesaikan masalah-masalah praktikal yang biasa digunakan dalam dunia nyata terutama dalam bidang kejuruteraan dan sebagainya. Sebetulnya banyak lagi perkara menarik terkeluar dalam syarahan diikuti sesi soal jawab. Boleh terkeluar nama orang-orang seperti Tomas Aquinas. Stephen Hawking dan Bertrand Russell (sila Google sendiri, ini nama-nama besar dalam dunia pemikiran Barat). 

Terkeluar konsep-konsep tertentu dalam ilmu fizik kuantum juga hal-hal seperti continuum, real number, infinitesimal, set theory, malah pemahaman tentang alam semulajadi yang melanggar kurikulum biasa sains yang dianuti seluruh dunia sekarang. Dibincangkan juga tentang sifat masa yang boleh disamakan seperti frames dalam roll filem. Sehingga seorang kawan lama sebaya yang hadir (iya, orang luar boleh menghadiri majlis-majlis ilmu di ISTAC) yang merupakant lulusan undang-undang dari London tetapi kini cuba menjadi seorang kartunis menyebut syarahan sebagai sebagai begini : "It's like a rock concert for the mind" - Ia seperti konsert rock untuk minda. Pendek kata berbagai ilmu dikongsikan seperti mencurah-curah. Tapi cukup sampai sini perkongsian daripada saya. Selamat malam dan wassalam...  :]



Friday, March 08, 2019

Wadah Cendekia "Francis Light" - Menolak naratif pro-Barat yang menafikan keberadaan awal Melayu di Pulau Pinang

Salam petang Jumaat. Menyambung gerak penulisan sama daripada artikel Pesta Buku Selangor 2019 dan aspirasi buku baru. Ada disebut dalam artikel itu bahawa asalnya saya mahu menulis tentang satu majlis ilmu yang dihadiri semalam. Tetapi dilepaskan dahulu hal pesta buku setelah terlihat gambar-gambar berkenaan dalam fail bulan Mac. Sekarang barulah boleh bercerita tentang majlis ilmu tersebut....


Dirujuk di atas poster tentang majlis ilmu yang dimaksudkan. Maklumat yang terpapar harus cukup jelas. Sebelum ke lokasi majlis di Dewan Bahasa Pustaka pagi semalam Khamis 7 Mac 2019 ada sedikit konflik nak pergi ke tidak. Ini disebabkan badan tak berapa sedap. Nak menelaah ilmu baca buku dan sebagainya 2-3 hari kebelakangan ini terasa susah nak masuk kepala. 

Selain itu ada soal siapa hendak mengambil anak-anak daripada sekolah kebangsaan jam 1 petang nanti kemudian menghantar mereka ke sekolah agama sebelum 2.30. Persoalan ini harus ditangani terlebih dahulu sebelum saya keluar ke mana-mana majlis yang biasanya diadakan di Kuala Lumpur 40 km dari rumah. Kebiasaannya saya yang harus mengambil dan menghantar anak-anak kerana bekerja daripada rumah. Kalau keluar jauh daripada kawasan perumahan sama ada saya harus berkejar kembali pantas untuk menguruskan anak-anak atau isteri harus bergerak 13 km meninggalkan pejabat beliau di Rawang semasa waktu rehat makan tengah hari kemudian kembali ke pejabat selepas jam 2.


Ah. Kebelakangan ini banyak kali pula saya menyebut tentang urusan anak-anak yang harus ditangani. Mungkin kerana begitu banyak majlis ilmu harus dihadiri dalam tempoh sebulan dua kebelakangan. Walaupun bukan wajib pergi tapi atas dasar sayangkan ilmu juga perjuangan demi kedaulatan Melayu dan Islam saya cuba menghadiri selagi larat dan terasa ada kelapangan. Untuk majlis semalam isteri bersetuju menangani anak-anak. Cuma beliau meminta saya menghantar satu barangan berupa hadiah kepada seorang kawan kami di bahagian lain Kuala Lumpur selepas jam 3. Selepas itu saya harus berkejar untuk mengambil anak-anak balik sekolah agama jam 5.30 kemudian  menghantar mereka mengaji Mukaddam dan Al-Quran.

Nak jadi cerita sebelum keluar rumah mesin basuh buat hal sedangkan basuhan hampir siap. Dah jadi kebiasaan isteri memasukkan pakaian ke dalam mesin sebelum bergerak ke pejabat, saya menyidainya di halaman rumah selepas siap basuhan. Saya pun cuba mencari punca masalah. Alhamdulillah dapat dibetulkan tetapi memakan masa lalu saya keluar lewat. Sampai ke DBP pula tersilap masuk ke bahagian lain bangunan. Rupa-rupanya majlis diadakan di satu bahagian yang saya tidak biasa sampai. Dipendekkan cerita jam 10.53 baru saya berada dalam dewan.


Ternyata saya telah terlepas pembentangan daripada ahli panel pertama iaitu Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican. Penulis buku "Batu Uban : Sejarah Awal Pulau Pinang" ini boleh dikatakan orang paling lantang mempersoalkan sejarah rasmi Pulau Pinang yang pro-Barat. Ini merujuk kepada kenyataan yang bisa kita dengar bahawa Pulau Pinang dibuka oleh pedagang Inggeris bernama Francis Light pada tahun 1786. Sejarah 'rasmi' inilah yang sering digunakan oleh pihak chauvinist untuk menolak keberadaan orang Melayu dan Islam di Pulau Pinang.

Ketika saya sampai pembentang kedua Dr Ahmad Jelani Halimi sedang bercakap. Mantan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang ini terkenal sebagai seorang pakar pengkaji perkapalan Melayu lama. Namun kali ini beliau cuba mengupas suasana zaman di sebalik kedatangan Light.


Diceritakan bagaimana Light pernah bersifat biadap terhadap Sultan Kedah tetapi menjadi begitu bersopan santun dalam surat menyurat apabila memerlukan sesuatu. Diketahui umum bahawa Light harus mendapatkan Pulau Pinang untuk dijadikan pengkalan Inggeris daripada Sultan Kedah kerana pulau tersebut memang jajahan takluk Kedah. Ia didapatkan melalui perjanjian pajakan dengan Inggeris membayar sejumlah wang yang telah ditetapkan kepada Sultan Kedah setiap tahun. Amalan membayar wang pajakan ini masih berjalan sehingga sekarang dengan jumlah sama (kalau tak salah $6,000 untuk pulau, $4,000 untuk bahagian di tanah besar iaitu Seberang Perai, dolar itu asalnya dalam matawang Sepanyol) walau jumlah tersebut telah jauh susut nilai.


Ahmad Jelani sedang bercakap. Terus terang cakap keupayaan saya untuk menyerap maklumat sedang berada pada tahap lemah. Oleh itu maafkan saya kalau perkongsian ini kurang lengkap.


Tidak berapa lama kemudian pembentang atau panelis ketiga, Abd Ur-Rahman Mohamed Amin mula berkongsi kajian. Yang saya dengar pensyarah Universiti Teknologi Petronas di Perak ini mahu bercerita tentang surat-surat Light. Tetapi beliau mengupas terlebih dahulu keberadaan awal Pulau Pinang.


Ditunjukkan satu peta lama lakaran barat abad ke-16 di mana ada tertera nama Pulau Pinang. Namun penekanan peta adalah terhadap kedudukan Melaka. Nama tempat-tempat lain disebut demi menjelaskan di manakah wilayah yang dinamakan Melaka itu berpusat di Semenanjung Tanah Melayu.


Disebut juga Pulau Pinang pernah dikenali sebagai Pulo Ka Satu.


Ketika Inggeris sampai tahun 1786 sudah ada sejumlah penempatan...


Disebut nama-nama asal beberapa tempat misalnya Tanjung Penaga...


Inilah kawasan pesat bandar raya yang kini dikenali sebagai Georgetown. Kalau sebut Tanjung Penaga entah berapa orang sahaja kenal...





Berdasarkan surat-menyurat Light juga pegawai penting Inggeris yang lain dengan Sultan Kedah dan para pembesar Melayu dapat dilihat bagaimana pendudukan Inggeris di Pulau Pinang mengambil masa untuk dirancang lalu mencapai kata sepakat...








Pendek kata terdapat banyak bahan bukti yang boleh menunjukkan bahawa Pulau Pinang bukan 'dibuka' oleh Francis Light malah telah wujud dengan kampung-kampung orang Melayu sejak beberapa lama. Untuk mengakhiri artikel ini biar dipaparkan laporan Astro Awani tentang apa yang diperolehi daripada majlis semalam :-


Guna media sosial perbetul sejarah Pulau Pinang - Ahmad Murad


KUALA LUMPUR: Pengaruh media sosial akan digunakan untuk memperbetulkan sejarah Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light.

Penulis buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang, Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, ia termasuk mewujudkan kesedaran tentang tokoh-tokoh dan peristiwa sejarah menggunakan visual atau cerita pendek yang akan dipaparkan di platform media sosial.

"Apa yang saya lihat adalah, walaupun buku teks sejarah mengatakan bahawa Pulau Pinang dibuka oleh Francis Light, hanya 2018 sahaja tetapi ia tidak begitu jelas dari segi penerokaan awal Pulau Pinang, perhubungan Francis Light dan Sultan Kedah.

"Ada juga fakta yang tidak tepat, tahun yang tidak tepat dari segi merujuk kepada penempatan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

"Cuma dia merujuk dari buku saya dari segi peta, dari segi cerita orang Melayu di Pulau Pinang tetapi tahun itu tidak betul," katanya ketika ditemui selepas menjadi pembicara Forum Wadah Cendekia 'Francis Light Bukan Pembuka Pulau Pinang' di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, pada Khamis.

Selain Ahmad Murad, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Ahmad Jelani Halini dan pensyarah Universiti Teknologi Petronas, Abdul Rahman Mohamaed Amin turut menjadi pembicara forum.

Buku Batu Uban: Sejarah Awal Pulau Pinang menceritakan tentang sejarah penempatan awal masyarakat Melayu Minangkabau di Batu Uban yang wujud sebelum kedatangan Francis Light.

Di dalam buku itu, Ahmad Murad menyediakan huraian lengkap menggunakan pelbagai fakta dan contoh berkaitan usaha membuktikan kepentingan perjuangan mendapatkan pengiktirafan tapak warisan kepada Batu Uban.

Beliau turut menerangkan kepentingan proses merungkai fakta sebenar kepentingan nasional sekali gus keperluan asas dalam reformasi persejarahan negara.

Dalam pada itu kata Ahmad Murad, sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang respons daripada pihak berkuasa, kementerian, kerajaan negeri atau pusat mengenai isu tersebut.

"Kita sedang berusaha dari segi membuat kegiatan untuk mengalih kesedaran masyarakat terutamanya melibatkan tanggapan dan kesedaran popular serta apa yang perlu dilakukan ialah kita sedang memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai sejarah awal Pulau Pinang sebelum 1786.

"Kita bukan mengatakan bahawa sesiapa menjumpai Pulau Pinang, tidak. Cuma hendak kata sebelum itu Pulau Pinang sudah ada penduduk, sudah ada masyarakat, sudah ada undang-undang sebelum 1786 malah beratus tahun sebelum itu.

"Cuma dalam sejarah apa yang kita boleh kaji, terdapat kelompok masyarakat Melayu sejak tahun 1730-an lagi dengan adanya masjid, salasilah, cerita lisan, asal usul dan sebaginya," katanya.



------------


Untuk laporan asal sila rujuk sini. Sekian perkongsian saya tentang majlis. Sekadar memberitahu semalam saya keluar dengan motosikal besar untuk mengikuti majlis kerana menyangkakan cuaca akan terang benderang sehingga petang. Tengok-tengok masuk jam 3 turun hujan lebat. Terpaksalah meredah untuk menyampaikan hadiah kepada kawan seperti diminta isteri. Kemudian harus ke Sentul pula untuk menggantikan cermin sisi motosikal yang tiba-tiba patah ketika hendak meninggalkan rumah...




Pesta Buku Selangor 2019 dan aspirasi buku baru

Salam pagi Jumaat 1 Rejab tahun 1440 Hijriah. Adapun pada awalnya saya bercadang untuk berkongsi cerita satu majlis ilmu yang dihadiri di Dewan Bahasa dan Pustaka semalam untuk pagi ini. Sambil itu saya perlu bersedia untuk bergerak ke majlis ilmu lain di tempat saya belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu) sebentar lagi. Tengok-tengok dalam fail koleksi gambar saya untuk bulan Mac ada beberapa cerita perlu dilepaskan terlebih dahulu. Ini untuk blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Yang lain sudah dikongsikan di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)


Sabtu lepas saya dan keluarga telah bermalam di kampung isteri di Tanjung Sepat, Selangor. Ahad keesokannya kami singgah di Shah Alam dalam perjalanan balik ke rumah lalu ke Pusat Konvensyen Shah Alam.








Adapun Pesta Buku Selangor 2019 telah bermula di sini pada 28 Februari iaitu Khamis lalu. 


Ia akan berlangsung sehingga hari Ahad10 Mac  iaitu hujung minggu ini.


Pesta buku yang diasaskan beberapa tahun lalu ini dilihat semakin meriah tahun demi tahun.





Sayangnya saya tidak sempat untuk mempersembahkan buku baru di pesta ini mahupun Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2019 yang dijadualkan berlangsung hujung bulan ini hingga awal April.





Doakan buku baru yang akan menjadi buku ke-13 saya itu dapat ditatap pembaca pertengahan tahun ini ya. Saya sekarang sedang menunggu satu penerbit jika mereka berminat. Pada masa ini mereka sedang menumpukan kepada buku-buku baru yang sudah dijadualkan mahu dikeluarkan untuk PBAKL 2019. Kalau selepas itu mereka tidak berminat saya akan berusaha untuk menerbitkannya sendiri. Sekadar melepaskan gerak untuk 1 Rejab lihat juga artikel-artikel yang telah dipersembahkan di blogspots saya yang lain :-





Istana Bandar (The Bandar Palace), Jugra