Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, Oktober 31, 2021

Gambar-gambar keQuranan alam - Satu alam, banyak dunia

Salam. Semalam saya dan keluarga memenuhi hari dengan pergi ke rumah ayah angkat saya, penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas @ Pak Habib di Janda Baik untuk mandi sungai, berpiknik dan membuat aktiviti-aktiviti berkaitan. Buat pula persinggahan ke beberapa tempat menyelesaikan hal-hal lain, sekitar jam 8.15 malam baru kembali ke rumah. Mandi membersihkan diri kemudian bersiap untuk mengikuti satu majlis ilmu jam 9. Kelihatan poster bagi majlis di bawah.



Majlis ini dianjurkan oleh IIIT (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam) dengan Institut Darul Ehsan. Ia adalah syarahan oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Islam, bunyi lebih kurang seperti IIIT tapi sangat lain institusi), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Tajuk syarahan boleh diterjemahkan sebagai "Gambar-gambar keQuranan Alam - Satu Alam, Banyak Dunia". Tajuk besarnya sama dengan satu buku tulisan Osman terbitan tahun 2016. Beliau ada menghadiahkan kepada saya penghujung tahun 2018, setelah sebulan dua berkenalan di ISTAC.



Memperkenalkan majlis juga pensyarah adalah Profesor Dr Mohamad Fauzan Noordin daripada IIIT. Beliau sering terlibat dalam syarahan-syarahan Osman.




Osman membuka dengan menekankan kepentingan ilmu kosmologi untuk sepanjang zaman. Dihuraikan makna linguistik perkataan Inggeris universe yang juga membawa makna serupa dengan cosmos (diMelayukan jadi kosmos). Ia boleh diterjemahkan sebagai alam dalam bahasa Melayu juga alam dalam bahasa Arab. Ia juga disebut sebagai alam semesta.



Daripada segi asal usul pula perkataan cosmos berasal daripada perkataan Yunani purba kosmos (ya, sama ejaan dengan yang diMelayukan tetapi lain huruf penulisan). Ia membawa makna menyeluruh (whole) juga tersusun (orderly). Ini adalah berlawan dengan perkataan chaos yang membawa maksud tidak tersusun, kelam kabut.  Perkataan universe pula berasal daripada perkataan Latin universus yang sama seperti kosmos membawa makna menyeluruh (dalam satu badan).

Merujuk pada persamaan dengan alam. Menurut Osman perkataan alam tidak disebut dalam Quran secara berdiri sendiri tapi ada dalam bentuk bersambungan seperti alamin.  Ia selalu disebut bersama dengan Tuhan (sebagai Rabbul alamin - Tuhan sekalian Alam). Ini menunjukkan hubungan antara Tuhan dengan alam. Sangat susah untuk memisahkan kedua itu dalam Islam.

Disebut pula tentang pelbagai jenis alam termasuk alam khayal (dalam fikir) dan alam spiritual. Alam halus (subtle) seperti alam jin. Ia tidak kelihatan (pada mata dan deria manusia) tetapi wahyu menyatakan ia wujud. Begitu juga dinyatakan banyak ketamadunan dunia.

Adapun perkataan al-alamin (dalam Quran yang sering disebut dengan Tuhan menjadi rabbul alamin) itu merujuk kepada semua alam. Lihat sahaja terjemahan Surah Al Fatihah yang menyebut Tuhan SEKALIAN alam. Ini menunjukkan terdapatnya banyak alam, banyak dunia. Walau perkataan alam kedengaran sebagai tunggal ia boleh merujuk pada banyak dunia yang ada sistemnya sendiri juga sistem bawahan (sub-system).

Kata Osman ada dua definisi kosmos (atau alam itu - beliau bersyarah dalam bahasa Inggeris maka perkataan cosmos digunakan) dalam Islam

1. Kosmos adalah segala (kewujudan) selain Tuhan

2. Kosmos adalah bayanganTuhan (image of God) seperti mana manusia adalah bayangan Tuhan. 

Kosmos wujud sebagai manifestasi (pengzahiran/pernyataan) nama-nama Tuhan. Kosmologi pula adalah ilmu tentang kosmos, asal usul dan sebagainya. Ia adalah asas segala jenis ilmu sains juga kesenian. Malah ia adalah asas ketamadunan, sangat penting bagi memahami tamadun.




Disebut pula tentang kepercayaan dalam kosmologi moden lalu timbul beberapa isu :-

1. Kosmos yang menguncup (shrinking) di dunia Barat. Ini kerana mereka telah mengenepikan banyak komponen asal dan ini bermula sebelum zaman moden iaitu pada sekitar abad ke-16 Masihi. Satu komponen penting yang disudutkan (marginalised) adalah kepercayaan pada malaikat (yang merupakan satu daripada enam Rukun Iman orang Islam). Konsep malaikat diketepikan kerana tidak diperlukan (lagi) bagi menerangkan kosmos (akibat penemuan-penemuan baru sains). Sebelum itu malaikat (angels) dipercayai memiliki peranan penting dalam fungsi kosmos (demi memastikan kelancaran dan sebagainya).

Bermula pada zaman Isaac Newton (saintis besar Inggeris yang hidup tahun 1643-1727, beliau menemukan banyak hukum fizik yang masih terpakai hingga sekarang) alam ini (Osman menggunakan perkataan universe) dilihat seperti jam (merujuk pada sifat jam lama yang mengunakan banyak mekanisma dan komponen fizikal agar teratur dalam menyukat masa). Tetapi masyarakat masih mempercayai Tuhan sebagai pencipta jam (God as clock maker). Lambat laun hubungan itupun hilang. Alam dilihat sebagai jam yang berfungsi sendiri (tanpa perlu kewujudan Tuhan).

Masuk abad ke-19 manusia seperti Charles Darwin (yang terkenal dengan Teori Evolusi sehingga manusia dikatakan berasal daripada beruk itu) membawa pada kepercayaan yang 'memotong' (memisahkan) alam daripada 'tangan' Tuhan (cut off from hands of God).  Suasana intelektual ketika itu menyebabkan tiada keperluan untuk menerangkan fungsi Tuhan. Alam pun menjadi seperti jentera (cosmos becomes mechanised).



Berbeza dengan dalam dunia Islam. Ciri-ciri alam adalah berdasarkan apa yang diterangkan dalam Al-Quran. Ia tidak wujud sebagai entiti bebas. Tuhan mendedahkah diriNya (revealed Himself) dalam Quran. 

Quran memberikan gambaran yang sangat jelas. Kosmologi Islam bukan sekadar yang fizikal sahaja. Ia mengandungi banyak tingkat realiti atau kewujudan. Ada banyak makhluk mendudukinya termasuk yang bersifat kerohanian seperti malaikat.

Dalam Islam ada ilmu berkenaan malaikat (angeology). Ia boleh dilihat sebagai satu cabang kosmologi. Kosmos Islam memiliki struktur yang ada hierarki  (tersusun mengikut kepentingan/keutamaan).

Merujuk pada asal usul alam yang boleh dilihat secara fizikal (physical cosmos), sama ada kita percaya pada steady state (teori yang menyatakan alam sudah sedia wujud bersaiz besar seperti sekarang) atau big bang (alam bermula sebagai satu titik padat yang meletup lalu berkembang) tidak menjadi masalah dalam agama. Ini kerana ahli kosmologi Islam percaya  apa pun penemuan yang dibuat ia tidak akan (dapat) melanggar pandangan kosmos Islam. Sesungguhnya alam fizikal itu diwujudkan daripada ruang kerohanian (spiritual space).

Apabila orang Islam bercakap tentang big bang ia tidak merujuk pada seluruh alam. Ia cuma merujuk pada alam fikizal kerana malaikat sudah pun wujud (sebelum big bang). Orang Islam percaya pada kewujudan makhluk-makluk sebelum adanya alam (yang kita lihat).

Apakah peranan malaikat dalam penciptaan alam fizikal? Ini adalah diterangkan dalam ilmu klasik Islam. Quran cukup jelas bahawa alam ini akan digantikan oleh realiti lain (merujuk pada kiamat dan kewujudan selepas itu).

Kenapa ada banyak gambar-gambar berlainan (pada alam)? Asmaul Husna atau 99 nama-nama indah Allah SWT pun dirujuk (kebetulan perisian Zoom menunjukkan sedang ada 99 orang mengikuti majlis melalui Zoom). Setiap nama ada digambarkan dalam alam (each name reflected in the cosmos). Maka itu kita boleh mengenal Tuhan melalui alam.




Osman seterusnya menunjukkan kulit hadapan buku beliau yang berkenaan (yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Gambar-gambar keQuranan alam" itu). Kata beliau ia ditulis 7 tahun lalu. Alhamdulillah saya sudah membacanya hingga selesai sebelum penghujung tahun 2018. Secara rata ia mahu menyatakan bagaimana alam ini memberikan gambaran akan isi dan pengajaran dalam Al-Quran.




Disebut  bagaimana Quran memberikan gambaran bersifat astronomi (ilmu angkasa lepas). Misalnya apabila Tuhan bersumpah atas nama buruj. Seterusnya adalah gambar atau gambaran bersifat seni bina diikuti alam sebagai kerajaan keTuhanan. Juga terdapat gambaran tentang alam sebagai dunia cahaya dan kegelapan. Ada pula gambaran manusia sebagai microcosm alam yang mana seluruh alam dapat dilihat terkandung dalam diri manusia (bagi mereka yang faham).  




Osman memberitahu mahu membuat satu buku baru yang menyambung (sequel) daripada buku sebelum ini (yang ditunjukkan tadi).  Akan disebut gambaran yang bersifat biological atau ilmu hayat - kerana Quran mempersembahkan alam ini sebagai suatu entiti hidup, berlawanan dengan sains yang mempersembahkannya sebagai benda mati  (non-living). Seterusnya ada gambar bersifat matematik juga gambaran alam sebagai dunia kecerdasaran (world of intelligences). Ini diikuti gambar alam sebagai sebuah buku tanda-tanda keTuhanan...





Rumusan syarahan :-

1. Tuhan menghantar pesanan (messages) kepada manusia melalui banyak dan bermacam jenis gambar.

2. Banyak gambar membawa pada bermacam cara manusia tertarik pada tanda-tanda keTuhanan

3. Setiap gambar kosmos (cosmic picture) boleh menjadi asas teori bagi pembinaan suatu dimensi ketamadunan manusia yang tertentu.

4. Gambar-gambar kosmik ini ada penyatuannya (unity, keEsaan).

Sekian.