Gambar ini diambil pada jam 1.20 petang iaitu setelah hampir sejam setengah lagi berjalan. Ketika ini seorang daripada kami sudah berpatah balik kerana tidak dapat meneruskan pendakian. Beliau ada masalah kencing manis yang memerlukan suntikan insulan sedangkan kami tidak membawa bekalan makanan kecuali 2-3 botol air dan 2-3 batang biskut cokat, juga beberapa keping cakoi. Beliau kembali bersama satu kumpulan yang sudah lebih awal sampai ke puncak.
Pada jam 1.35 terjumpa papan tanda menunjukkan kami baru meliputi 60 peratus perjalanan. Ketika ini sudah cukup jelas kami memerlukan lebih 3 jam untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Sepanjang perjalanan kami asyik bertemu dengan kumpulan-kumpulan yang kembali dari puncak. Kami dapat tahu ada yang datang 50 orang tetapi berpecah kepada 2-3 kumpulan lebih kecil mengikut kecergasan. Ada yang datang 30 orang kemudian berpecah. Kamilah kumpulan paling kecil, daripada 3 orang tinggal cuma berdua meneruskan. Tapi sekurang-kurangnya kami dapat tahu masih agak ramai berada di hadapan...
Jam 1.52 kami sampai di satu puncak yang dikenali sebagai Anak Irau. Kelihatan ramai orang berehat setelah kembali dari puncak utama Gunung Irau.
Letaknya 6,666 kaki dari paras laut, lebih kurang sama tinggi dengan ketinggian puncak Gunung Brinchang. Puncak utama Gunung Irau yang terletak 300 kaki lebih tinggi pula katanya memakan masa lagi sejam perjalanan. Oleh itu ada yang menasihatkan kami cukuplah sampai ke Anak Irau. Ini kerana kami akan memakan masa lagi untuk keluar sedangkan keadaan katanya mula gelap seawal jam 6 petang dalam hutan.
Kami membulatkan tekad untuk meneruskan perjalanan sampai ke puncak utama. Selepas berehat 5 minit di Anak Irau kami harus turun sedikit ke arah puncak. Jam 2.25 baru denai mula menaik balik...
Sepuluh minit kemudian sampai pada kawasan penanda yang dikenali sebagai CP (Check Point) Slide. Ia dinamakan begitu kerana di kiri kanan terdapat lereng curam jatuh menjunam.
Jam 2.41 sampai penanda yang dipanggil CP Bonzai 1.
Jam 2.48 terjumpa papan tanda menyatakan masih ada 350 meter sebelum sampai ke puncak Gunung Irau. Harus dah cukup dekat bukan?
Tetapi tidak terasa dekat bagi kami yang sedang mendaki dalam keadaan yang semakin mencabar...
Jam 3.10 sampai di CP Banzai 2. Orang yang berehat di situ setelah kembali dari puncak memberitahu ada setengah jam lagi perjalanan.
Kawan saya mula terasa hendak berpatah balik. Dalam perjalanan memang kami asyik bertemu kumpulan-kumpulan dalam perjalanan balik. Apabila ditanya ada yang kata sejam lagi nak sampai, kemudian setelah beberapa lama jumpa kumpulan lain yang juga kata sejam lagi nak sampai. Setelah beberapa lama lagi ada yang kata tinggal setengah jam. Ke hadapan lagi jumpa kumpulan lain tapi juga kata setengah jam lagi. Kalau begini bila sebetulnya nak sampai-sampai? Masa semakin lewat sedangkan semua yang ditemui sudah mengorak langkah kembali, kami masih belum tiba ke puncak.
Nasib baik saya dapat memujuk beliau untuk meneruskan. Kata saya dah tinggal sedikit sahaja ini. Kalau berpatah balik kemudian dapat tahu betapa tinggal sedikit sahaja sebelum mencapai matlamat tapi mengalah tentu akan menyesal panjang. Saya biar beliau yang lebih muda dan cergas berjalan di hadapan lalu menyusul sedikit lambat. Alhamdulillah tidak lama kemudian beliau sampai ke puncak. Saya sampai seminit dua lewat pada jam 3.35.
Secara rata kami mengambil masa 4 jam 35 minit untuk sampai ke puncak Gunung Irau. Ini adalah lebih 50 peratus terlajak berbanding masa jangkaan 3 jam berdasarkan bacaan di Internet.
Untuk menunjukkan jangkauan pengembaraan dan pendakian menuju ke puncak Gunung Irau biar dikongsikan gambar daripada artikel lama
Misi penganjuran HIKMAH IV - Rehat di Cameron Highlands... nyaman.... Gambar ini diambil selepas bermalam di sebuah tempat rehat di Tanah Rata awal tahun 2013. Semakan menggunakan program Google Earth menunjukkan ia diambil menghadap hampir tepat ke utara menuju ke Gunung Brinchang dan Gunung Irau.
Beginilah kedudukan kawasan-kawasan yang dilalui dalam perjalanan. Untuk makluman pintu masuk ke Mossy Forest terletak sekitar 800 meter ke utara, barat sedikit dari puncak Gunung Brinchang. Daripada sudut pandang gambar ia terlindung oleh puncak. Dari situ kami bergerak ke barat laut 2.35 km untuk sampai ke puncak Gunung Irau.
Apabila sudah sampai ke puncak memang terasa gembira amat kerana berjaya mencapai matlamat walaupun rancangan dibuat baru 2 hari sebelum itu dalam keadaan saya kurang cergas. Dan lagi, ia dibuat di celah perjalanan jauh bermotosikal besar. Rasanya jarang sekali orang melakukan dua perkara yang cukup mencabar dalam satu masa. Kalau mahu mendaki gunung orang biasanya membuat persediaan yang patut hanya untuk itu lalu menuju ke gunung. Kalau mahu mengembara menaiki motosikal orang bersiap untuk mengembara begitu, tidak memanjat sekali gunung kecuali kalau boleh dinaiki dengan motosikal...
Kali terakhir saya naik sampai ke puncak gunung adalah pada bulan April di Gunung Jerai yang ketinggiannya adalah 3,992 kaki dari paras laut. Itupun dengan kereta kemudian baru berjalan kaki sedikit. Lihat
Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Berhimpun di puncak gunung sebelum menutup majlis di kaki barat. Kalau betul-betul mendaki berjalan kaki daripada bawah sampai ke atas kali terakhir mencapai puncak gunung adalah pada tahun 2003 di Gunung Nuang yang memiliki ketinggian 4,898 kaki dari paras laut. Ia dikatakan adalah gunung tertinggi di negeri Selangor. Sebahagian puncaknya terletak di dalam negeri Pahang, sebahagian lereng sedikit bawah hingga ke kaki berkenaan terletak di dalam Negeri Sembilan.
Menariknya ia dibuat secara solo tanpa membawa peralatan yang patut - tiada lampu, tiada khemah, tiada peralatan masak, bekalan setakat sebuku roti dan satu botol air mineral - tetapi ada niat untuk bermalam di puncak gunung. Akibatnya merasa sesat dalam hutan selama 19 jam. Lihat artikel lama
Pendakian dan sesat di Gunung Nuang dalam ingatan,... Walaupun bukan pendaki tegar saya pernah merasa mendaki sampai ke puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu di Sabah (13,435 kaki dari paras laut). Sukacita dimaklumkan saya juga telah mencapai puncak beberapa gunung lain termasuk Gunung Ledang di selatan tanah air (4,187 d.p.l).
Tetapi kepuasan mencapai puncak Gunung Irau (6,924 d.p,l) Sabtu 7 Oktober lalu tanpa dirancang dan tanpa persediaan yang patut pada umur menghampiri 47 tahun terasa lebih manis apa lagi dibuat dalam rangka perjalanan bermotosikal besar yang kemudian meliputi jarak keseluruhan hampir 600 km. Itu jarak yang diliputi kerana bermula dari rumah di Sungai Buaya, Rawang sehingga kembali. Bagi kawan yang sama sampai ke puncak jaraknya adalah sekitar 700 km kerana bermula dan berakhir daripada rumahnya di Bandar Seri Putra hampir ke sempadan Negeri Sembilan. Seorang lagi kawan iaitu yang harus berpatah balik selepas lebih sedikit 1/3 perjalanan ke puncak Gunung Irau meliputi jarak keseluruhan bermotosikal lebih 1,300 km. Ini disebabkan beliau datang hari Khamis dari Pasir Gudang, Johor dan kembali petang Ahad selepas singgah berehat sejam dua di rumah saya.
Di atas adalah gambar yang diambil jam 8 pagi Ahad setelah berhenti rehat makan pagi di Simpang Pulai sebelum kembali ke rumah. Selain rasa puas amat kerana dapat sampai ke puncak kami juga merasa lega apabila melihat masih ada orang lain di sana. Mereka, sekitar 13-15 orang adalah daripada kumpulan terakhir memulakan pendakian sebelum kami iaitu masuk ke Mossy Forest jam 9 pagi. Sekurang-kurangnya ada juga kawan untuk perjalanan kembali yang ketika itu sudah dijangka akan melepasi waktu Maghrib.
Kami sama-sama memulakan penurunan dari puncak Gunung Irau jam 4 petang. Bermula di belakang mereka kami kemudian memotong kerana ada ahli kumpulan itu lambat bergerak. Ke hadapan setelah beberapa lama kami bertembung dengan satu kumpulan sekitar 10 orang yang terpecah daripada kumpulan besar yang sudah sampai ke puncak seawal waktu Subuh. Kumpulan tersebut menghadapi masalah kerana seorang ahli terpelecok akibat tergelincir sementara dua orang mengalami kejang otot.
Kami bergerak memotong mereka dan setelah beberapa lama lagi bertemu sekitar 7-9 orang yang asalnya daripada kumpulan yang masuk jam 9 pagi tadi, kumpulan yang ditemui di puncak. Mereka turun lebih awal kerana lebih cergas berbanding pecahan kumpulan yang ditinggalkan. Kami sama-sama meredah kegelapan hutan selepas masuk waktu Maghrib sebelum memotong meninggalkan mereka lalu keluar hutan sejurus sebelum kedengaran azan Isyak berkumandang. Di pintu keluar masuk Mossy Forest kelihatan 2-3 buah kenderaan pacuan empat roda dan sejumlah orang menunggu. Itu yang dapat dengar azan berkumandang daripada telefon bimbit salah seorang...
Satu kumpulan sedang menunggu 7-9 orang ahli mereka yang tertinggal akibat kecederaan yang disebut tadi. Setelah berehat beberapa minit kemudian menyiapkan barangan saya dan kawan pun meluncurkan motosikal melalui kegelapan pekat malam turun Gunung Brinchang 7 km ke simpang kemudian bergerak 12 km utara ke Kampung Raja untuk bertemu seorang lagi kawan. Beliau yang telah berpatah balik selepas lebih sedikit 1/3 perjalanan ke Gunung Irau telah disuruh menunggu di masjid sana.
Di situlah saya membuat keputusan untuk berehat satu malam lalu yang lain ikut sama. Perjalanan ke Kampung Raja sebelum itupun sudah terasa begitu mencabar sejuk menggigil teruk disapa angin dingin malam pergunungan kerana pakaian kami basah terkena hujan juga lumpur ketika meninggalkan puncak Gunung Irau. Apatah lagi hendak meneruskan perjalanan kembali ke rumah sedangkan kami sampai ke masjid itupun dah lepas jam 9 malam.
Di masjid kami mengambil masa mandi dan membersihkan badan dengan air paip yang begitu dingin sebelum menunaikan solat kemudian keluar makan. Saya juga mengambil peluang melepaskan hajat. Adapun sejak meninggalkan pekan Brinchang untuk naik ke gunung sekitar jam 9.15 pagi saya cuma ada membuang air kecil sekali di puncak.
Sehari dua setelah kembali baru dapat tahu kumpulan yang sama turun dari puncak keluar hutan sekitar jam 10.45 malam. Nampaknya bukan kami sahaja tersilap menjangkakan perjalanan naik gunung dapat dibuat dalam masa 3 jam seperti dibaca di Internet. Kumpulan-kumpulan besar yang ada jurupandu, pernah beberapa kali turun naik gunung pun tersilap jangkaan. Kalau tidak, kenapa mereka yang sudah masuk hutan jauh lebih awal daripada kami pun keluar berjam-jam kemudian? Nampaknya keadaan denai pendakian yang sedia diketahui ramai selalu licin berlumpur menjadi lebih teruk akibat hujan hari itu. Jurupandu-jurupandu dan mereka yang lebih berpengalaman mungkin boleh melakukan pendakian pergi balik dalam masa 6-7 jam. Tetapi apabila membawa orang ramai yang kurang berpengalaman juga kurang cergas maka bersedialah untuk ketinggalan malah bersiaplah untuk bermalam di dalam hutan.
Cukuplah perkongsian tentang pengalaman terbaru perjalanan jauh setakat ini ya. Sekali lagi apa yang berlaku membuktikan apa yang kita dapati dalam pembacaan tidak semestinya sama dengan apa yang dilalui sendiri walaupun apa yang dibaca itu adalah berdasarkan pengalaman sebenar. Apatah lagi hendak dibandingkan dengan penulisan yang dibuat berdasarkan penulisan orang lain - bacaan atas bacaan malah bacaan atas bacaan atas bacaan... setelah beberapa lapis baru sampai pada tulisan yang dibuat berdasarkan pengalaman sebenar. Saya yang sudah banyak pengalaman merata ke pelbagai ceruk rantau pun boleh tersilap jangkaan sehingga keluar masuk hutan Gunung Irau lebih 9 jam setelah membaca pengalaman sebenar orang membawa anak-anak sampai ke puncak 3 jam pergi dan kembali lagi 3 jam, apatah lagi mereka yang kebanyakan masanya dihabiskan di hadapan komputer, jarang-jarang atau tidak pernah turun ke lapangan.