Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Januari 29, 2016

Persiapan akhir untuk HIKMAH di Janda Baik

Cerita kecil yang memiliki makna yang sangat besar.


Rabu lewat malam saya telah bertolak ke Janda Baik untuk satu urusan. Selepas bermalam di sebuah surau saya menikmati hidangan pulut sambal hijau di kedai berdekatan yang sudah lama saya tak singgah.


Selepas itu baru melaksanakan urusan.


Ada sejumlah barangan harus diletakkan lebih awal di rumah penulis buku politik terkenal, Pak Habib @ S.H. Alattas untuk majlis yang akan saya selenggarkan Sabtu dah Ahad ini.


Selain itu saya harus membuat beberapa persiapan akhir untuk majlis. Bila nak keluar daripada rumah baru terfikir elok dibuat sekali papan tanda arah di beberapa tempat. Lihat artikel Rumah Pak Habib bersedia untuk menyambut tetamu HIKMAH di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)
.

Tidak jauh dari rumah Pak Habib terdapat sebuah sekolah agama atau maahad baru yang amat cantik. Selama ini saya lalu sahaja di luar. Kali ini tergerak untuk melihat ke dalam. Lihat artikel Looking at Maahad An-Noer in Janda Baik di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Saya turut singgah ke sebuah rumah lama yang ada makna tertentu buat diri ini.


Keluar dari Janda Baik saya mengambil jalan lama ke Kuala Lumpur. Terlihat satu tempat di atas bukit saya berhenti sebentar untuk menikmati pemandangan daripada atas situ. Lihat Karak Highway from a vantage point above.


Turut disinggahi adalah sebuah air terjun kecil yang sedikit tersorok dengan suasana yang boleh menyeramkan. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,414 di blogspot ini.


Selasa, Januari 26, 2016

Meninjau lebih dalam hutan berdekatan dan rupa baru Kampung Tauhid



Selepas syarahan tamat saya berlegar-legar di UTM sehingga tengah malam kemudian ke KL Sentral menghantar orang. Selepas itu saya ke Gombak lalu masuk ke dalam hutan berdekatan.


Saya mahu masuk ke satu penempatan yang dibuka oleh seorang kawan dah ahli-ahli kumpulannya. Sampai di penempatan hampir 1.30 pagi.



Esok pagi baru dapat melihat persekitaran dengan jelas.


Selamat datang ke penempatan dalam hutan yang dipanggil Kampung Tauhid.





Ketika saya pertama kali sampai Gotong royong di tadika, qeqah di Bukit Damansara dan air terjun pembentangan di Gombak hampir setahun lalu belum ada rumah batu.









Ketika saya sampai kali kedua iaitu sekitar 10 hari selepas itu kolam renang baru boleh digunakan. Lihat Bermalam di Kampung Tauhid - Berkhemah bersama isteri dan anak-anak.


Saya pun melihat rupa baru penempatan daripada beberapa sudut...





Saya diberitahu rumah siap dibina 3 bulan lalu.








Kalau dah masuk sini rasa tak sah kalau tak masuk lebih dalam ke hutan melihat air terjun yang ada. Namun saya agak kepenatan disebabkan beberapa aktiviti yang dilakukan hari sebelumnya. Sekitar 2.30 petang baru mengorak langkah dan seperti biasa saya lebih suka meneroka seorang diri...








Kali ini saya pergi lebih jauh daripada apa yang pernah dilakukan...


Seterusnya biarlah dicopy paste perkongsian yang dibuat di Facebook semalam dengan sedikit suntingan dan tambahan...


-----------------


ANTARA PENAT MASUK HUTAN DAN DIEKORI HARIMAU...


Penat tapi tak boleh tidur lagi. Sabtu pagi hingga petang berada di Janda Baik untuk mengatur apa yang perlu untuk acara ke-16 HIKMAH di sana 30-31 Jan. Lihat artikel Penggunaan ruang untuk HIKMAH Janda Baik dan penginapan percuma untuk semua di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Malam, pergi syarahan Prof Naquib al-Attas di UTM. Lihat Tentang keadilan dan fitrah manusia - Satu syarahan Prof Syed Naquib al-Attas. Lepas tengah malam masuk penempatan yang didirikan seorang kawan di dalam hutan belakang Gombak, penempatan yang mereka panggil sebagai Kampung Tauhid. Lepas Zuhur siang tadi pi trekking seorang diri ikut air terjun yang diaorang panggil Air Terjun Tujuh Puteri pas tu follow sungai sambil mendaki bukit dengan niat nak cari hulu sungai. Makin lama makin jauh masuk hutan. Ada le sesuatu yang saya jumpa tapi diingatkan jangan bagitau kepada umum.

Selain tu saya dapat merasakan ada harimau mengekori, tak pasti daripada belakang atau sisi. Bau hamis yang biasa dikaitkan dengan rimau muncul di tiga tempat, ada sekali tu terdengar bunyi macam deruan kapal terbang. Tapi deruan kapal terbang bunyinya lama, yang ni dalam 5-6 saat je. Bila diamati betul2 macam ngauman perlahan pun ada.

Diakui ada juga rasa cemas timbul dalam hati. Tapi saya ingatkan diri. Bukan sekali dua saya pernah masuk hutan berbekalkan tawakal dan Allah bagi selamat. Takkan kali ni rasa cuak pulak? Mungkin sebab saya dah tak berapa lasak macam dulu. Bila dah tetapkan hati saya teruskan perjalanan masuk lebih jauh ke dalam hutan tapi tetap dalam keadaan berhati-hati. Kalau rasa semacam saya berhenti dahulu meninjau keadaan sambil merangka apa yang patut dilakukan kalau betul-betul diancam.

Dalam perjalanan keluar balik saya lebih menjaga ruang. Lalu di celah pokok dan sebagainya supaya kurang ruang untuk apa-apa makhluk datang menerkam. Apapun bila dah sampai balik bawah kat penempatan saya menceritakan apa yang berlaku, tentang kawasan yang saya masuk dan bau hamis itu. Saya diberitahu, ya memang ada harimau di situ. Tetapi ia biasanya tak kacau orang, setakat meninjau keadaan...



Saya keluar daripada penerokaan sekitar 6.30 petang. Kelihatan ahli-ahli penempatan sedang bermain panah.


Sambil itu juga ada kumpulan lain sudah masuk untuk bermalam. Mereka sedang berehat menikmati pemandangan, ada yang mandi di kolam renang, ada yang sedang makan-makan.

Di sini ingin saya memanjangkan pesanan tuan punya tempat dan kawan-kawan. Kata mereka datanglah bawak kawan-kawan rehat beramai-ramai dan beriadah di Kampung Tauhid. Ada bermacam-macam aktiviti, boleh berenang, boleh main panah, main tombak pun ada. Boleh buat jungle trekking, boleh berkhemah, bermalam, tak perlu nak bayar apa-apa kerana mereka memang suka orang ramai datang memeriahkan. Kalau nak bagi sumbangan mungkin sekadar duit minyak untuk menghidupkan generator. Tempat ni takda bekalan eletrik daripada luar. Kalau nak lampu, kipas atau apa-apa barangan elektrik hidup kena le pakai generator...

Sekian pesanan. Sukacita dimaklumkan, dengan ini saya telah berjaya melepaskan segala gerak penceritaan yang patut daripada aktiviti hujung minggu lalu. Semoga acara ke-16 HIKMAH yang pihak saya akan laksanakan di Janda Baik 4 hari sahaja lagi akan bergerak lancar dan mencapai matlamat demi keredhaan Ilahi dunia dan akhirat. Untuk cerita berkenaan rujuk artikel Penggunaan ruang untuk HIKMAH Janda Baik dan penginapan percuma untuk semua.




Tentang keadilan dan fitrah manusia - Satu syarahan Prof Syed Naquib al-Attas

Salam. Berkongsi aktiviti hujung minggu baru ini...


Merujuk pada artikel Sambutan Maulidur Rasul 1437 Hijriah di Yayasan al-Jenderam dan Seminar Fitnah Akhir Zaman di Perpustakaan Shah Alam yang dibuat seminggu lalu. Sebelum saya mendapat tahu tetang kedua-dua acara saya telah dimaklumkan lebih awal tentang satu acara lain di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) KL.


Sabtu malam Ahad 23 Januari baru acara tersebut berlangsung. Saya pun bergegas ke lokasi.


Lihat dahulu jualan buku di luar dewan.


Antaranya adalah buku yang akan diperkatakan atau disyarahkan. Tajuknya adalah "On Justice and the Nature of Man" tulisan cendekiawan besar, Tan Sri Professor Syed Naquib al-Attas. 


Buku ini telah dilancarkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah tepat sebulan sebelum syarahan. Majlis pelancaran boleh dikatakan kemunculan pertama Prof Syed Naquib pada mata umum selepas 2 tahun seperti menyepikan diri daripada perhatian orang ramai... 


Beliau pernah menganjurkan satu siri syarahan pada tahun 2013. Tahun 2014 membawa ke tahun 2015 suara beliau tidak lagi kedengaran. Cuma anak-anak muridnya yang menjadi para cendekiawan susulan meneruskan tugas membawa pemikiran dan gagasan besar beliau ke mata dunia.


Maka syarahan terbaru beliau ini amat ditunggu ramai.





Tentang tajuk syarahan yang juga merupakan tajuk buku, ia boleh diterjemahkan menjadi "Tentang Keadilan dan Fitrah Manusia".


Kalau tak salah Syed Naquib kini berumur 85 tahun. Masuk jam 9 malam beliau (kiri) mengambil tempat diiringi murid kanan beliau, Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud. Prof Wan adalah pengasas dan pengarah CASIS, Center for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (pusat kajian lanjutan tentang islam, sains dan ketamadunan) di UTM. Sukatan pelajaran di sana rata-rata dibuat mengikut gagasan pemikiran Syed Naquib.


Untuk menangani tajuk dengan baik Syed Naquib memberikan definisi apa itu manusia dan fitrahnya menurut Islam. Kata beliau kita harus jelas tentang itu agar tidak terpengaruh atau terpesong dengan definisi manusia menurut saintis Barat yang meletakkan kita sebagai satu jenis binatang. Apabila manusia telah diletakkan sebagai binatang, cuma lebih pandai dan berakal daripada yang lain maka kita akan senang terpengaruh dengan konsep keadilan berlandaskan keperluan hawa nafsu yang tidak terdidik dan dikawal. Tetapi bila kita sudah jelas bahawa manusia itu adalah satu kejadian istimewa yang menggabungkan ciptaan tubuh badan daripada tanah dan sehina-hina kejadian (air mani) yang ditiupkan roh oleh Allah maka konsep keadilan juga akan menurut amanah yang diberikan kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi.

OK. Saya harus berterus-terang. Sepertimana keadaan ketika pertama kali mendengar syarahan beliau tetapi di dewan yang lebih kecil 2 tahun lalu saya mula mengalami kebosanan. Ini disebabkan apa yang diceritakan sudah sedia berada dalam pengetahuan saya sejak lebih 20 tahun lalu. Ada rasa mahu keluar meninggalkan dewan. Nasib baik tidak diturutkan atas rasa hormat terhadap susuk diri beliau yang diangkat begitu tinggi oleh ramai orang. 

Lihat tulisan saya dalam bahasa Inggeris 2 tahun lalu. Rujuk artikel An evening with the eminent Professor Syed Naquib Al-Attas di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Seperti pada ketika itu, saya merasakan, secara rata syarahan beliau masih berkitar dalam wilayah falsafah akal demi meyakinkan mereka yang sebenarnya masih terjebak dalam cara pemikiran Barat. Pada mereka yang sudah melepaskan diri daripada wilayah pembuktian dan mantiq falsafah lalu menceburkan diri kedalam ketidak-pastian wilayah Tasawuf yang cuma dapat dipandu dengan keyakinan yang tinggi terhadap keagungan rahsia ilmu Allah, apa yang diceritakan adalah biasa-biasa sahaja. Apa yang diperkatakan sudah lama saya kutip dalam kitab-kitab Tasawuf malah diperkatakan oleh orang-orang tua yang dibuka hijab di kampung-kampung. Cuma terma-terma yang digunakan samada dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa Arab kedengaran begitu tinggi taraf keintelektualan. Itulah yang disukai oleh mereka yang merasakan dirinya terpelajar....


Saya cuma merasakan dapat ilmu baru apabila Syed Naquib menyuakan kajian dan kiraan beliau tentang tahun-tahun wujud dan hidupnya sejumlah nabi dan rasul. Kebetulan saya sedang membuat kajian sendiri tentang perkara tersebut agar dapat dipadankan dengan kajian DNA yang mengatakan orang Melayu sudah wujud seawal 60,000 hingga 70,000 tahun dahulu. Saya dapati ada sedikit percanggahan daripada pelbagai sumber. Jadi apabila Syed Naquib mengemukakan kajiannya, saya rasa sekurang-kurangnya dapat satu rujukan yang berotoriti tinggi.


Daripada setakat mendengar syarahan, saya mula membuka laptop untuk membuat catatan. Ketika itulah anak muda di sebelah kanan saya memberitahu apa yang disebut Syed Naquib sudah ditulis dalam buku beliau. Kebetulan anak muda itu ada memiliki senaskah. Saya pun meminjam lalu mencari muka surat yang berpatutan. 


Akhirnya saya mengambil gambar semua muka surat yang berkenaan. Untuk artikel ini biar ditunjukkan 3 muka surat yang kelihatan...


Oh, biar diingatkan. Syarahan dan buku dibuat dalam bahasa Inggeris. Jika dahulu saya tergerak untuk mengulas syarahannya dalam bahasa Inggeris (merujuk pada artikel An evening with the eminent Professor Syed Naquib Al-Attas) kali ini biar diulas dalam bahasa Melayu. Tak perlulah diterjemahkan muka surat yang ditunjukkan ya. Cukuplah disebut, mengikut kajian beliau Nabi Adam diturunkan 7165 tahun lalu (buku diterbitkan tahun 2015 lalu ini bersamaan 5150 tahun Sebelum Masihi). Beliau menegaskan ini sambil menolak kajian Antropologi Barat yang menyebut manusia sudah wujud beratus ribu tahun dahulu.


Saya rasa ada 1,000 orang datang menghadiri syarahan ini. Di sini biar ditambah ulasan tentang syarahan yang dikutip daripada Facebook...


Daripada Prof Wan Nor...

Posted on January 24 at 7:55am 

Alhamdulillah Special CASIS Sat Night Lectures dgn kerjasama AKEPT KPT oleh salah seorang guru terbilang umat ini, Tan Sri Prof SMN al-Attas mengenai buku terbarunya, On Justice and the Nature of Man, berlangsung dgn sangat baik. Dlm iklim ekonomi yg getir, pergolakan politik bangsa yg sangat mencabar, dan kecelaruan pemikiran yg semakin bersimpang siur, umat akan dapat diperkuatkan dgn ilmu yg teguh, mendalam dan melangkaui disiplin dan kepentingan2 sempit. Pertama sekali dlm hidupku selama 60 tahun, aku menyaksikan dewan seminar sebesar ini dibanjiri pecinta ilmu serius dari pelbagai negara, institusi, aliran politik dan umur: 50 peratus anak tangga dewan menjadi kerusi tambahan, ada yg bersila di belakang.

Semoga Allah swt akan terus memberkati Prof al-Attas, keluarganya serta semua yg ikhlas berjuang bersamanya menjejaki ajaran Allah dan RasulNya serta ulama muktabar. Saya pernah menyatakan kpd Prof al-Attas selepas membaca draft terakhir buku ini, bahwa karyanya ini bersama beberapa yg terdahulu, blh membina satu displin ilmu kemanusiaan yg baru berteraskan Islam yg blh mendasari ilmu2 pendidikan, psikologi, sosiologi, pembangunan, perundangan dsbnya. Inilah satu lagi karya sarjana tempatan yg berimpak global. Kita teruskan perjuangan murni ini!!!


Daripada Prof Madya Khalif Muammar, seorang lagi anak murid Syed Naquib... 

Posted January 24 at 9:08am 

Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahannya Tentang Keadilan dan Hakikat Manusia (On Justice and the Nature of Man) malam tadi membicarakan tentang asal usul kejadian manusia menurut Islam, menyangkal teori evolusi Darwin yang mengatakan bahawa manusia adalah sejenis binatang (animal) yang berbeza dengan binatang lain dari segi genus atau spesiesnya. Al-Attas menegaskan bahawa perbezaan manusia dengan binatang bukanlah perbezaan genus, seperti yang diajarkan di universiti-universiti sekarang, tetapi berbeza dari segi jenis (kind) juga. Manusia adalah makhluk yang berbeza daripada binatang, makhluk baru yang Allah ciptakan, yang memiliki unsur bashariyyah (jasadi) dan insaniyyah (ruhi, spiritual) sehingga mampu mengemban amanah sebagai khalifah Allah. Beliau juga membuktikan bahawa manusia pertama, Nabi Adam as, bukanlah homo sapien yang muncul sejak ratusan ribu tahun yang lalu, tetapi beliau telah diciptakan dan diturunkan ke bumi sekitar 7000 tahun yang lalu. Penguasaannya terhadap sejarah dunia di bantu dengan penelitiannya terhadap penemuan para ahli arkeologi serta ilmu nasab membolehkan beliau untuk membuat anggaran ini. Manusia oleh kerana itu bukan termasuk dalam 3 kerajaan alam tabi'i (Three kingdoms of nature), ia berada di atas tiga kerajaan itu.

Sebelum ini Profesor al-Attas telahpun menegaskan bahawa manusia sejak awal lagi adalah makhluk yang bertamadun, berakal dan berilmu. Ini bertepatan dengan penjelasan al-Qur'an. Manusia menurut Prof. Al-Attas, setiap orang, diberikan amanah dan kepercayaan (trust) oleh Allah SWT untuk mengemban tugas besar di muka bumi. Insan ini pada hakikatnya adalah gabungan antara realiti fizikal dan spiritual, yang mana unsur spiritualnya merupakan unsur yang dominan dan kekal. Insan ini hidup di dunia sebagai suatu percubaan, untuk dihisab di hari perhitungan.

Syarahan beliau ini menunjukkan bahawa umat Islam masih memiliki seorang ilmuwan Islam yang benar-benar ulung, seorang polymath, manusia universal, ulama' yang bukan sahaja memahami teks (wahyu) tetapi juga konteks (al-waqi'), ilmuwan yang bukan sahaja menguasai ilmu agama tetapi juga ilmu dunia. Syarahan malam tadi sememangnya cukup luar biasa, ramai yang menyatakan sangat terkesan dengan hujah-hujah ilmiah yang dikemukakan, pemikirannya yang tajam, meskipun umur beliau telah mencecah 85 tahun.

Mungkin ada yang berkata kami taassub dan fanatik terhadap beliau, terlalu mengagungkan beliau. Saya anggapnya suatu tuduhan yang tidak berasas dan buruk sangka yang seringkali kedengaran yang timbul akibat kejahilan. Hakikatnya sosok seperti ini susah untuk dicari ganti, payah ditemui di mana-mana pada zaman sekarang, kita amat beruntung kerana Allah telah anugerahkan kepada kita seorang ulama' besar dan sempat menimba ilmu walaupun sedikit untuk mendapat pencerahan dalam persoalan-persoalan besar yang menimpa umat Islam.


Nota : Khalif menterjemahkan Nature pada tajuk buku dan syarahan sebagai Hakikat. Pada pemahaman saya Hakikat dalam bahasa Inggeris adalah Reality. Nature adalah Fitrah. Oh, saya telah membeli senaskah buku. Selesai beberapa hal insyaallah saya akan mula menelaah...