Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, August 13, 2020

Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Apabila Raya Haji menjadi pengganti Aidil Fitri

Sekadar melengkapkan gerak. Bersambung cerita daripada Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


 

Isnin 3 Ogos 2020. Kami telah bermalam di rumah tinggalan arwah ibu bapa isteri di Tanjung Sepat. Petang itu dekat jam 5 baru keluar sebentar. Itupun cuma saya dan isteri kerana hendak melihat pekan juga jeti batunya yang mengunjur jauh ke laut. Lihat artikel New visit to Tanjung Sepat jetty di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami kembali ke kampung isteri setelah berjalan jauh ke Muar diikuti Felda Jelai kemudian ke masjid-masjid lama di Negeri Sembilan lebih pada untuk menggembirakan anak-anak. Anak kecil kami Rasyid dan Johan rindu hendak bermain dengan rakan sebaya mereka yang berpangkat anak saudara mereka, cucu saudara kepada isteri. Semasa kembali ke kampung pada penghujung bulan Syawal lalu mereka tak puas. Kalau tidak kerana itu kami akan terus ke rumah sendiri di Rawang, Selangor selepas selesai segala urusan di Negeri Sembilan. Rujuk kembali artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


Dari kampung isteri saya bercadang untuk singgah ke beberapa tempat menarik dan/atau bersejarah dalam perjalanan kembali ke rumah. Antaranya adalah bandar diraja lama bagi negeri Selangor iaitu Bandar di Jugra. Fikirnya mahu naik sekali ke Bukit Jugra dekat-dekat situ hingga ke puncak. Kami sudah naik ke bukit tersebut beberapa kali tetapi setakat sampai ke bangunan radar di mana ada orang bermain hand gliding dari atas lereng sana. Rujuk artikel lama Jejak Laksamana Toh Jambu di atas Bukit Jugra?.


Tapi kami meninggalkan Tanjung Sepat pun sudah jam 6 petang sedangkan selepas itu ada rumah kakak isteri mahu disinggahi di Jenjarom diikuti rumah abangnya di Teluk Panglima Garang. Kami juga ada memberitahu seorang ibu saudara akan singgah ke rumahnya di Petaling Jaya. Jadi cuma sempat singgah sambil lalu ke Pantai Morib sahaja nampaknya...



Kali ini saya harus mengalah dengan kehendak isteri. Saya harus akur telah banyak mengambil masa beliau dan anak-anak apabila semua harus menurut kehendak saya mencari masjid-masjid lama pada hari sebelumnya. Sekali lagi, rujuk Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar.


Sesungguhnya Aidil Adha atau Hari Raya Haji kali ini boleh dikatakan menjadi pengganti bagi sambutan Hari Raya Aidil Fitri dua bulan lalu. Dahulu kami tak dapat balik kampung kerana tahap PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) untuk mengawal sebaran virus Covid-19 ketika itu tidak membenarkan umum membuat perjalanan jauh. Beraya dekat-dekat pun dibenarkan sehari sahaja iaitu pada hari raya pertama 1 Syawal. Bila kawalan dilonggarkan bermula 10 Jun lalu perjalanan rentas negeri dibenarkan baru dapat balik beraya ke Muar hujung minggu tersebut. Semasa itu masih bulan raya Syawal, dah nak masuk minggu ke-3. Tapi tak cukup 'korum' pula kerana seorang adik tidak dapat bersama.


Kali ini semua adik beradik saya dan ahli keluarga dapat bersama beraya di Muar kecuali seorang yang sudah lama meninggal dunia. Rujuk artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai. Alang-alang sudah berjalan jauh kami pergi pula beraya di rumah adik beradik isteri bermula di Felda Jelai kemudian Tanjung Sepat kemudian baru ke tempat-tempat yang disebut tadi. Walaupun semasa minggu terakhir Syawal ramai adik beradik isteri dapat berjumpa dalam satu majlis keluarga itu adalah di rumah kampung di Tanjung Sepat. Kali ini, setelah masuk hari-hari Tasyriq yang menyusul selepas tarikh 10 Zulhijjah Hari Aidil Adha baru dapat singgah ke rumah beberapa orang adik beradik. Dapatlah suasana seperti beraya pada bulan Syawal walaupun tidak semeriah kebiasaan pada tahun-tahun lalu. Selesai cerita.


Monday, August 10, 2020

Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar

Merujuk pada artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Muar-Pagoh-Gunung Ledang-Jelai yang dipersembahkan 3 hari lalu.  Pada perenggan terakhir artikel ada disebut bahawa "Esoknya akan berlaku perjalanan yang lebih menarik di mana kami dapat menjejak beberapa buah masjid lama berusia sekitar 100 tahun atau lebih walaupun ini asalnya langsung tiada dalam rancangan". Hari ini biar dikongsikan cerita berkenaan. Maka bersambunglah kisah daripada artikel tersebut.



Tengah hari Sabtu 1 Ogos 2020, ketika saya masih lagi berada di Muar seorang kawan sejak zaman kolej akhir tahun 80an telah menunjukkan gambar-gambar sebuah masjid lama di Negeri Sembilan melalui Facebook lalu mengajak ke sana hari Isnin. Memandangkan saya dan keluarga memang mahu bergerak ke NS petang itu saya pun memberitahu akan menjejak sendiri masjid pada keesokannya hari Ahad. Melalui Google Map didapati kedudukannya tidak jauh daripada jalan yang mahu diambil ketika menuju kembali ke Lembah Klang nanti. Satu rancangan spontan pun mula dirangka ketika itu.


Tengah hari Ahad 2 Ogos. Setelah puas berada di rumah kakak isteri di Felda Jelai kami pun memulakan penjejakan.


Dari Felda Jelai ada jalan barat menuju ke masjid lama yang dimaksudkan. Tetapi saya memilih untuk mengambil jalan sebelah timur kerana mahu menghilir terlebih dahulu bahagian Sungai Muar yang berdekatan.



Adapun Sungai Muar yang kualanya terletak di daerah kelahiran saya iaitu Muar berpunca di Negeri Sembilan. Fikir saya selepas menyusuri Sungai Muar berdekatan Felda Jelai akan masuk jalan dalam ke masjid lama. Sebaliknya kami 'ditarik' ke arah Bahau.


Apa yang berlaku adalah kami sepatutnya mengambil satu simpang kiri di pekan Rompin 20 km di selatan Bahau. Sebaliknya isyarat bagi program Google Map tersangkut teruk sehingga terlepas simpang lalu kami bergerak terus ke arah Bahau.


Saya ambil ini sebagai petanda bahawa kami harus membuat persinggahan di satu tempat di Kampung Jambu Lapan sekitar 3 km ke timur Bahau.


Di situ terdapat apa yang dipanggil sebagai Sungai Pertemuan iaitu pertemuan antara Sungai Muar dengan Sungai Jempol.


Ia adalah sebahagian daripada laluan purba yang dikenali sebagai Jalan Penarikan. Cerita tentangnya sudah disebut beberapa kali disentuh dalam blogspot ini. Boleh rujuk artikel-artikel berikut :-






Malah ia pernah dijadikan satu topik pembentangan dalam satu majlis ilmu yang saya anjurkan secara terbuka dan percuma kepada umum. Lihat artikel Jalan Penarikan - Membuka Laluan Lama di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Selepas itu baru ke masjid lama yang gambarnya ditunjukkan oleh kawan. Letaknya cuma sekitar 7 km sahaja ke timur Sungai Pertemuan. 


Ternyata masjid yang bangunan asalnya (sebahagian masih dikekalkan termasuk tiang-tiang seri yang kemudian disalut konkrit) menghampiri usia 200 tahun sudah lama tidak digunakan.  Sebagai ganti terdapat masjid moden di sebelah namun tetap tidak dapat menandingi aura keheningan dan keagamaan yang terdapat pada masjid lama. Lihat artikel Masjid lama (Old mosque of) Kampung Terusan, Juasseh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) kemudian bandingkan dengan Masjid Kariah (Community mosque of) Kampung Terusan, Juasseh.


Adapun ketika mencari maklumat tentang masjid pada malam sebelumnya didapati terdapat beberapa buah lagi masjid lama tidak beberapa jauh dari situ yang masing-masing berumur sekitar 100 tahun atau lebih. Saya pun merangka laluan paling ekonomi untuk meliputi semua lalu singgah di masjid ini. Letaknya sekitar 4.5 km ke timur-daya masjid tadi. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kampung Rembang Panas.


Masjid seterusnya mahu disinggahi terletak di Jemapoh, dalam laluan utama menuju ke bandar Kuala Pilah dari Bahau. Kebetulan di belah sana ada rumah seorang sepupu kepada isteri. Kami pun singgah ke rumahnya terlebih dahulu. Dapatlah mendengar cerita-cerita menarik tentang almarhum datuk kepada isteri yang berasal dari Kebumen di Pulau Jawa. 

Abang sepupu ini sangat rapat dengan datuk mereka bernama Haji Salleh lalu dapat merasai dan melihat beberapa pengalaman mistik. Antaranya menunggang harimau (ghaib?) belaan datuknya untuk sampai cepat ke suatu destinasi juga melihat bagaimana datuknya boleh melompat lalu berdiri di atas pelepah pokok pisang. Kelihatan ilmunya lebih kurang seperti watak Datuk dalam siri novel terkenal awal tahun 80an dahulu iaitu "Bercakap Dengan Jin". Isteri pula baru tahu tentang ini. Teringat beberapa tahun lalu kami anak beranak pernah berjalan pusing Pulau Jawa lalu menjejak wilayah asal nenek moyang isteri baik sebelah bapa mahupun sebelah ibu. Sebelum itu kami sempat menjejak wilayah asal seorang datuk belah ibu saya yang juga berdarah Jawa. Lihat artikel-artikel berikut :-







Ternyata masjid lama Jemapoh terletak kurang 1 km selepas rumah abang sepupu menghala ke Kuala Pilah. Beliau memberitahu, menurut orang tempatan masjid itu dijaga oleh jin berserban hijau. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Jemapoh.



Perjalanan diteruskan ke Kampung Pelangai sekitar 4 km sebelum Kuala Pilah.  Masjid lamanya pada saya sangat menarik. 


Sayang ia sudah lama rosak dan tidak digunakan. Alangkah bagusnya kalau dapat diperbaiki dijadikan tempat pengajian khas agama, rumah suluk atau sebagainya. Tentu ada keberkatan. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kampung Pelangai, Kuala Pilah.



Masjid lama seterusnya tiada langsung dalam rancangan hari itu. Nasib baik abang sepupu isteri memberitahu. Letaknya dalam bandar Kuala Pilah. Nama masjid pula seperti hendak menyatakan sesuatu. Lihat Masjid (Mosque of) Tok Muar, Kuala Pilah

Sesungguhnya Kuala Pilah dan semua masjid-masjid lama di sekitarnya terletak di dalam lembangan Sungai Muar iaitu kawasan yang disaliri oleh sungai tersebut dan anak-anak sungainya. Malah Masjid Tok Muar juga Masjid Terusan iaitu masjid lama pertama disinggahi dalam perjalanan ini terletak hampir bersebelahan Sungai Muar


Seterusnya kami mengambil jalan alternatif ke arah Seremban iaitu bukan jalan utama Kuala Pilah- Seremban demi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang selalu teruk melanda jalan tersebut pada hujung minggu. Begitu teruknya kesesakan sehingga Google Map memberitahu jika mengambil jalan alternatif sehingga ke Tanjung Ipoh kemudian masuk ke Seri Menanti lalu masuk kembali ke jalan utama melalui laluan ke hadapan sedikit dapat menjimatkan 40 minit. Sedangkankan ia adalah tambahan 8 km berbanding mengambil jalan utama sepanjang 38 km itu. Menurut Google Map kesesakan memakan masa lebih satu setengah jam.



Baik laluan utama mahupun laluan alternatif membawa ke arah hulu Sungai Muar. Cuma laluan alternatif yang meliputi bukit bukau lebih dekat dengan sungai tetapi perlu turun naik bukit masuk kampung orang...



Walaupun sedikit lebih jauh dan banyak liku turun naik juga agak sempit ia tiada kesesakan dan tidak terasa memenatkan. Dapatlah singgah ke sebuah lagi masjid lama dalam lingkungan. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kuala Serdang, Tanjung Ipoh.


Jalan alternatif juga membawa lebih dekat ke Masjid Tuan Tulis yang dinamakan sempena seorang wali Allah besar Negeri Sembilan iaitu Tuan Tulis Ismail. Lihat Lawatan terbaru ke Masjid Tuan Tulis (Latest visit to mosque of Tuan Tulis).


Ziarahlah kami ke makam wali Allah yang terkenal awal abad ke-20 ini di hadapan masjid. Yang ini baru termasuk dalam rancangan asal persinggahan kami di NS iaitu sebelum diberitahu oleh kawan tentang masjid lama. Tentang siapakah Tuan Tulis boleh rujuk melalui artikel lama ini - Berkenaan 7 wali Melayu dan lawatan ke makam-makam mereka.... Saya cuba mencari penerangan dalam artikel-artikel lama saya tetapi mendapati sudah banyak kali makam disinggahi lalu disebut dalam cerita tetapi tidak diterangkan panjang lebar siapakah beliau.


Kalau ikut rancangan asal selepas ziarah makam Tuan Tulis kami mahu ke bandar diraja Negeri Sembilan iaitu Seri Menanti. Kebetulan itu juga laluan terbaik ditunjukkan Google Map untuk mengatasi kesesakan di jalan utama Kuala Pilah-Seremban. Tetapi disebabkan ketika meninggalkan masjid pun sudah dekat jam 6 petang kami tak jadi singgah. Sebaliknya kami meneruskan dengan mengambil satu lagi jalan alternatif ke Seremban. Ia tidak ditunjukkan oleh Google Map tetapi ada papan tanda menunjukkannya di hadapan Masjid Tuan Tulis.


Walaupun tidak ditunjukkan oleh Google Map saya dapat mengesahkan ia boleh dilalui sehingga sampai ke bahagian hadapan jalan utama dengan menggunakan program tersebut. Cuma kita harus pandai membaca peta yang terdapat dalam Google Map secara manual. Nampaknya program tidak  dapat merangka jalan alternatif menggunakan laluan yang melepasi beberapa simpang kampung itu.


Malah sampai satu bahagian jalan dalam peta pun kelihatan terputus. Tetapi saya dapat melihat secara fizikal dibantu 2-3 buah papan tanda bahawa ia masih boleh membawa lebih jauh ke hadapan menghala ke Seremban sebelum masuk kembali ke jalan utama. Oleh kerana laluan membawa dekat ke jalan masuk ke sebuah empangan kami pun cuba masuk ke sana. Sayang pintunya terkunci, orang awam dilarang masuk. 

Untuk makluman baru sehari dua itu saya dapat tahu empangan ini terletak di bahagian lebih ulu Sungai Muar berbanding satu empangan sedikit ke bawah yang kami suami isteri pernah sampai. Lihat artikel-artikel berikut :-





Adalah menjadi harapan saya satu hari nanti dapat menyusuri Sungai Muar sehingga ke sebetul-betul punca di lereng-lereng gunung. Peta menunjukkan, untuk itu saya harus mengkaji kawasan tanah tinggi Gunung Telapak Buruk (1,193 tinggi meter daripada paras laut) yang bahagian selatannya disempadani oleh jalan Kuala Pilah-Seremban membawa ke bandar Kuala Klawang dan daerah Jelebu ke utara. Punca berupa anak-anak sungai kini susah hendak kelihatan dalam peta. Ia memerlukan ekspedisi turun padang masuk hutan naik bukit bukau dan gunung ganang yang memenatkan serta memakan masa. Ini kerana kawasan-kawasan punca telah menjadi tasik-tasik akibat wujudnya empangan di tempat-tempat yang disebutkan di atas ini.

Sesungguhnya Sungai Muar memiliki peranan yang sangat penting dan strategik dalam sejarah lama Negeri Sembilan. Terdapat ramai penduduk awalnya datang berhijrah melalui sungai yang bermuara di daerah Muar (pernah bertaraf negeri sebelum diserapkan ke dalam Johor). Rasanya lebih separuh sungai-sungai yang berada di timur negeri iaitu ke timur Banjaran Titiwangsa terutama di sekitar Kuala Pilah dan Bahau  mengalir masuk untuk membentuk aliran Sungai Muar. Malah bandar diraja NS iaitu Seri Menanti itu sendiri asalnya adalah sebahagian daripada Luak Ulu Muar, luak yang mendapat nama kerana terletak di bahagian hulu Sungai Muar. Raja-raja awal NS berketurunan Minang yang berasal dari Pagaruyung, Sumatera dapat bertakhta dan memiliki kawasan pusat melalui restu Penghulu Ulu Muar.



'
Apapun selepas itu kami berjaya melepasi semua bahagian sesak di jalan utama Kuala Pilah- Seremban. Dari laluan alternatif kami dapat sampai ke bahagian hadapan jalan mendekati Seremban yang tiada lagi kesesakan lalu lintas. Sampai ke kawasan rekresai Ulu Bendol baru berhenti untuk makan tengah hari lewat merangkap makan malam awal. Lihat artikel A stop at Ulu Bendol recreation forest di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.