Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, April 05, 2019

Hakikat bahasa dalam pembangunan insan dan tamadun - Syarahan terbuka Awang Sariyan di ISTAC

Salam Jumaat 29 Rejab. Perkongsian daripada majlis ilmu di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pagi tadi.


Dalam kalangan pejuang bahasa Melayu nama Awang Sariyan atau Profesor Datuk Dr Awang Sariyan tidak perlu diperkenalkan lagi. Tokoh ilmuwan yang pernah menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka ini telah menghasilkan beberapa buku tentang bahasa. Di ISTAC beliau memegang jawatan Ketua Unit Tamadun Melayu-Islam. Beliau juga mengendalikan kelas mingguan Islam in Malay History and Culture atau "Islam dalam Sejarah dan Budaya Melayu" yang saya hadiri semester lalu untuk memenuhi kehendak pengajian di institut.

Bulan lepas beliau telah memulakan satu siri terbuka kepada umum tetapi saya tidak dapat hadir kerana berada di utara bersama keluarga. Lihat Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Batu nesan Aceh di Kebun Lama, pemandangan di Bukit Bendera dan laksa kegemaran di Kota Lama Kanan. Untuk sesi seterusnya pagi tadi 5 April saya ada kelapangan lalu bergegaslah ke lokasi di bilik syarahan 8. Ia adalah bilik yang sering digunakan bagi kelas pelajar. Lihat Sedikit perkongsian setelah sebulan setengah menyambung pengajian di ISTAC.


Bilik ini juga telah digunakan untuk siri syarahan Sheikul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar tentang buku beliau, Classification of Knowledge in Islam. Lihat artikel-artikel berikut :-







Ini pula kehadiran untuk syarahan Awang. Kata beliau ia adalah sekali ganda lebih ramai berbanding syarahan pertama siri.


Saya lihat ada muka-muka pelajar dari negara Cina yang mengaji bahasa Melayu. Untuk makluman Awang pernah memegang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University. Oleh itu beliau memiliki ramai bekas anak murid dari negara tersebut.


Kembali kepada syarahan. Beliau membuka dengan membuat recap atau ulasan semula syarahan terdahulu. Disebut tentang takrif falsafah atau philosopy dalam bahasa Inggers. Ia berasal daripada perkataan Yunani philosophia yang membawa maksud "love of wisdom", cinta kepada hikmah juga cinta kepada ilmu. Falsafah amat penting dalam operasi hidup. Ia membentuk disiplin dan menjadi kerangka cara kita membawa diri. 

Misalnya hidup untuk makan berbanding makan untuk hidup. Jika falsafah yang menjadi pegangan hidup kita adalah hidup untuk makan, maka selagi hidup kita akan sentiasa makan tanpa henti. Tetapi kalau falsafah kita adalah makan untuk hidup kita akan makan sekadar cukup untuk meneruskan kehidupan lalu bolehlah mengalih perhatian kepada benda-benda lain selepas cukup makan.


Cara Awang bersyarah kepada umum sama dengan cara dia bersyarah dalam kelas. Jika Osman cukup sekadar bersyarah daripada tempat duduk menjadi kebiasaan bagi Awang pula untuk bangun lalu membuat coretan di papan putih (ya... takkan warna putih nak panggil papan hitam pula).


Masuk bab ilmu disebut tentang epistemologi iaitu kajian tentang ilmu atau asal usul suatu ilmu/cabang ilmu. Awang lebih suka mendefinisikannya sebagai ilmu tentang ilmu. Lalu disebutlah boleh dikatakan semua cabang ilmu keduniaan yang kita ada hari ini adalah menurut acuan Barat yang asasnya adalah daripada falsafah Yunani purba. Terkeluar nama pemikir abad ke 600 Sebelum Masihi iaitu Thales yang menyebut "nature is natural". Saya terjemahkan sebagai "alam semulajadi bersifat semulajadi".

Kata-kata ini begitu ringkas, simple. Tetapi kesannya sangat besar sehingga boleh dikatakan menjadi acuan  bagi seluruh pemikiran moden yang menolak keTuhanan. "Nature is natural" membawa maksud semua benda wujud atau jadi seperti mana ia jadi melalui proses-proses semulajadi yang tidak ada pengaruh luar daripadanya  seperti aturan Tuhan. Ini bertentangan dengan akidah umat Islam. Nah. Nampak tak bagaimana suatu bentuk falsafah boleh mempengaruhi segenap aspek kehidupan?


Dalam kerangka pemikiran dan falsafah sebeginilah ada ahli bahasa atau linguistik percaya bahasa itu bersifat arbitrari atau sewenang-wenang. Suatu bahasa, kata-kata yang digunakan dalam bahasa boleh terbit atau tercipta atas pilihan suka-suka hati manusia hendak menciptanya. Sedangkan daripada sudut agama dan akidah bahasa muncul kerana Allah SWT mengajar manusia bertutur.


Dalam dunia pemikiran segalanya mahu dikupas dan dipertikaikan kerana wujud falsafah pemikiran yang bersifat nisbiah - segalanya adalah relatif, tidak ada yang mutlak. Ini berlawanan dengan prinsip agama yang mana hukum-hakam tertentu sudah tetap, tidak perlu diperbahaskan lagi. Dalam pemikiran nisbiah segalanya dianggap boleh berubah. Apa yang baik hari ini mungkin dipandang buruk kemudian hari mengikut perubahan zaman. Maka muncullah pelbagai macam teori tentang bahasa seperti boleh dilihat dalam slaid.


Bandingkan dengan hakikat bahasa bagi orang yang berTuhan. Tak perlulah diulas atau diulang taip apa yang boleh dibaca sendiri melalui gambar.


Sesekali Awang merujuk kepada buku-buku tulisan beliau untuk memberikan huraian. Tidak seperti Osman yang bersyarah dengan mengulas ayat demi ayat dalam suatu perenggan sehingga selesai suatu sub-topik atau muka surat dibahaskan Awang memetik secara bercampur-aduk daripada beberapa buah buku menurut keadaan. Disebutlah tentang tokoh silam Islam terkenal al-Farabi ada mengangkat bahasa sebagai suatu ilmu asas utama untuk memahami segala ilmu yang lain. Hal sama sudah disebut Osman kerana al-Farabi merupakan seorang daripada tiga tokoh utama dibincangkan dalam buku Classifications beliau. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan.


Lagi teori-teori tentang bahasa oleh Barat. Kata Awang banyak yang keliru tetapi ada juga yang menghampiri kebenaran seperti disebut dalam al-Quran. Ini adalah berkenaan sifat innate atau ada tersimpan dalam diri iaitu kapasiti/kecenderungan untuk berbahasa sudah sedia ada dalam jiwa setiap manusia. Hal ini ada disebut sarjana seperti Noam Chomsky walaupun beliau tidak sampai menjadi orang yang betul-betul beragama.


Antara banyak perkara disebut Awang antara yang paling mengesankan adalah makna pada bahasa iaitu melalui suatu perkataan. Bagaimana sebutan yang berubah sedikit boleh membawa maksud yang langsung berlainan. Misalnya perkataan jamal dengan jamaal (panjang bunyinya). Satu bermaksud cantik, satu lagi unta. 

Lagi satu adalah makna asal berdasarkan kata akar. Misalnya ikhtiyar yang dipakai dalam bahasa Melayu sebagai ikhtiar membawa makna usaha. Kata akarnya adalah khair, baik. Maka itu ikhtiar sebenarnya cuma boleh digunakan untuk perkara-perkara baik sahaja. Salah guna jika kita kata mahu beriktiar untuk merosakkan orang atau sesuatu.


Lagi teori Barat tentang bahasa. Kebanyakkanya mahu menolak Tuhan lalu evolusi manusia dalam berbahasa disamakan seperti binatang sebelum mencapai kesempurnaan.


Sesungguhnya segala teori-teori Barat ini memenatkan dan melelahkan kerana masih tercari-cari hakikat perkara dan kebenaran. Sedangkan bahasa adalah alat untuk menyampaikan kebenaran. 


Segala sudah dijawab dalam al-Quran. Cuma mereka tak dapat hidayah sementara ada puak memang sengaja menyelewengkan makna juga teknik berbahasa disebabkan suatu kepentingan. Misalnya golongan sophist atau sustafiyah (sebut Arab) yang menggunakan bahasa semata-mata untuk menang berhujah.


Dengan falsafah hidup yang benar termasuk dalam berbahasa barulah kita betul-betul boleh membangunkan insan dan ketamadunan. Itu kesimpulan yang boleh saya berikan. Seperti syarahan Osman banyak juga perkara disebut Awang. Antaranya tentang apa itu phoneme, morpheme, kata, frasa, klausa dan ayat yang merupakan pandangan bersifat struktural terhadap bahasa. Tentang "kotak hitam" bahasa yang disebut sarjana bernama Bloomsfield lalu tak perlulah bersusah-payah hendak menyelami makna dalaman, cukuplah apa yang terzahir melalui tulisan dan percakapan. Tentang Za'aba dan 16 cara menggayakan suatu perkataan. Tentang Hamka mengatakan falsafah berada dalam nadi setiap manusia. 


Ada disebut juga tentang Descartes yang menyatakan ilmu bermula dengan keraguan - semain ragu semakin saintifik ia. Tentang laudform iaitu suatu ungkapan Jerman untuk bahasa yang dizahirkan berbanding innersprachform untuk kata-kata dalam hati. Namun biar setakat ini perkongsian. Kalau hendak diceritakan kesemuanya boleh lelah saya. Sekarang ini dah lepas jam 4 petang dan saya masih berada di ISTAC sejak memulakan penulisan selepas solat Jumaat. Sebentar lagi harus berkejar ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Wassalam.


Wednesday, April 03, 2019

Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Batu nesan Aceh di Kebun Lama, pemandangan di Bukit Bendera dan laksa kegemaran di Kota Lama Kanan

Salam 27 Rejab, hari memperingati peristiwa Isra' dan Mikhraj yang berlaku kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW pada waktu malam lebih 1,400 tahun lalu. Pada hari ini masuklah kita kepada cerita hari ke-4 dan terakhir perjalanan saya bersama keluarga di utara yang berlangsung minggu lalu. Bersambung penceritaan daripada Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Makam-makam di Langgar, tarikan Gunung Keriang dan Kuala Kedah.


Tengah hari Selasa 26 Mac 2019. Kami meninggalkan hotel tempat kami menginap di tengah bandar raya Georgetown di Pulau Pinang.


Cadangnya hendak naik Bukit Bendera atau Penang Hill.


Dalam perjalanan menghala ke barat menuju ke arah bukit kami singgah dahulu ke satu kawasan yang dipanggil sebagai Kebun Lama. Kami diberitahu di tanah perkuburan sana terdapat makam-makam ahli keluarga Sayyid Hussein Aidid, seorang ahli kerabat diraja Aceh yang membuka Lebuh Aceh dan masjidnya awal abad ke-18


Tengok-tengok terdapat sejumlah makam berbatu nesan Aceh juga sebuah makam dengan batu nesan unik yang lain buatannya. Lihat artikel Makam-makam berbatu nesan Aceh di (Tombs with Aceh stones in) Kebun Lama, Pulau Pinang dan Sebuah makam terserlah di (An outstanding tomb at) Kebun Lama, Pulau Pinang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Yang pasti memang ada kaum kerabat keturunan Sayyid Hussein disemadikan di sini. Mereka boleh dikenali kerana memakai nama keluarga atau marga Al-Aidid. Untuk makluman Sayyid Hussein yang dimakamkan di Masjid Lebuh Aceh adalah keturunan seorang Sultan Aceh daripada dinasti Sayyid keturunan Arab yang datang ke Aceh penghujung abad ke-17 Masihi. Malah Sayyid Hussein sendiri pernah menjadi Sultan Aceh selama 3 hari sebelum menyerahkan takhta kepada seorang anak tahun 1815. Rujuk artikel lama Mencari jejak Merong : Lebuh Aceh dan faktor 555 di Pulau Pinang.


Nampaknya kawasan Kebun Lama ini ada kaitan dengan warga berketurunan Aceh. Sekitar 100 meter ke barat terdapat masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Acheh Kebun Lama.


Ketika berada di tanah perkuburan tiba-tiba timbul rasa untuk melihat rumah kelahiran seniman agung negara, allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Rasanya ramai tahu beliau berketurunan Aceh daripada sebelah bapa malah berdarah bangsawan yang memakai gelaran Teuku. Saya pun menyemak kedudukan menggunakan Google Map. Tengok-tengok rumah tersebut letak cuma 650 meter sahaja ke arah timur. Lihat artikel Rumah kelahiran P. Ramlee (House of birth of P. Ramlee) diikuti Galeri (Gallery of) P. Ramlee.


Gambar bapa P. Ramlee dalam rumah. Dinyatakan beliau berasal dari Lhokseumawe di Aceh. Ini tidak jauh daripada tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai yang diasaskan oleh seorang moyang utama saya, Sultan Malikus Saleh. Semakan menggunakan Google Earth yang dibuat kemudian menunjukkan jarak lurus tanpa ada belok-belok dari tanah perkuburan ke rumah cuma 330 meter sahaja. Oleh itu besar kemungkinan semua ini termasuk dalam kawasan khas yang asalnya diduduki orang berketurunan Aceh.


Harus dinyatakan juga Pulau Pinang terletak hampir ke timur tepat sekitar 400 km menyeberangi Selat Melaka dari Lhokseumawe. Perjalanan diteruskan menghala ke Bukit Bendera.


Kami sampai ke kaki Bukit Bendera atau Penang Hill sekitar jam 1.52 petang.


Tetapi disebabkan harus menunggu lama untuk giliran menaiki kereta api bukit ke atas kami sampai di atas sana selepas jam 3. Lihat artikel Up Penang Hill and the superb views from up there di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Seingat saya kali terakhir jelas ada naik Bukit Bendera adalah ketika membuat perjalanan solo pertama keliling Semenanjung dengan motosikal besar hampir penghujung tahun 1997. Selepas itu rasanya ada lagi sekali tapi tak jelas bila. Yang pasti memang sudah lebih 10 tahun.


Yang pasti juga saya tidak pernah naik bersama isteri dan  anak-anak. Hmm. Mungkin pernah dengan isteri pertama dahulu yang kampung bapanya terletak di Seberang Perai iaitu bahagian tanah besar negeri Pulau Pinang. 


Apapun berjalanlah kami anak beranak melihat suasana menyenangkan bukit yang mencapai ketinggian lebih 800 meter ini. Ia adalah satu ketinggian yang melayakkannya dipanggil sebagai gunung...






Begitu santai dan nyaman suasana dengan udara sedikit dingin sehingga sampai ke satu kawasan berdekatan meriam ini saya berbaring lalu terlelap buat satu tempoh. Sambil itu anak-anak bermain di taman permainan bersebelahan.


Sekitar jam 3.45 baru tersedar lalu pergi menunaikan solat di masjid ini. Lihat Masjid (Mosque of) Bukit Bendera.


Selesai menjamakkan solat Zohor dan Asar baru saya mengajak isteri dan anak-anak berjalan-jalan lagi meneroka apa yang ada di atas bukit.


Bila dah penat berjalan kaki disambung pula dengan menaiki kereta kecil atau buggy sewa.


Sampai ke satu pelantar yang memberikan pandangan menarik ke arah Geogetown kami berhenti sebentar. Tiba-tiba datang satu buggy lain berhenti di pelantar. Tengok-tengok ia membawa seorang anak muda yang gigih mengkaji sejarah. Beliau inilah yang menunjukkan kepada saya gambar dan kedudukan tanah perkuburan di Kebun Lama melalui Facebook. Rupa-rupanya anak muda ini sedang membuat tesis Masters tentang batu nesan Aceh...


Puas berlegar-legar di atas Bukit Bendera sampai masa untuk kembali ke rumah. Tetapi sebelum itu saya ingin menunaikan satu hajat iaitu makan laksa telur sarang di satu bahagian Kuala Kangsar di Perak.


Masalahnya kedai itu tutup jam 7.30 malam sedangkan kami sampai ke kaki bukit pun dekat jam 5.40 petang.


Dari kaki Bukit Bendera ke Kuala Kangsar ada jarak 130 km yang menurut Google Map dan memakan masa 1 jam 40 minit. Sedangkan isteri mahu kami singgah dahulu di satu bahagian pulau untuk membeli jeruk Pak Ali.


Disebabkan persinggahan tersebut kami sampai ke jambatan kedua Pulau Pinang pun sudah jam 6.40 petang. Dari permulaan jambatan di belah pulau ke Kuala Kangsar ada jarak 116 km bersamaan 1 jam 20 minit perjalanan.


Sambil berkejar menyeberangi jambatan sepanjang 24 km ini, 16.9 km di atas air kami dapat melihat Pulau Aman yang pertama kali dimasuki pada hari pertama perjalanan. Lihat Perjalanan jauh pertama tahun 2019 - Antara Taiping, Pulau Aman dan Bukit Mertajam.


Ditakdirkan kami cuma dapat sampai ke kedai laksa di Kota Lama Kanan. 2.3 km ke timur bandar diraja Kuala Kangsar hampir jam 8. Walaupun kedai sebenarnya sudah tutup kami dapat menikmati laksa kegemaran kerana penjaga kedai sanggup menunggu kedatangan kami setelah diberitahu melalui telefon dalam perjalanan.


Dengan itu sempurnalah makan malam saya itu hari itu. Dalam perjalanan saya ada berbuka puasa dengan air kosong sahaja dalam kereta (sudah diberitahu perjalanan dibuat dalam keadaan saya pertama kali cuba menunaikan puasa 3 bulan berturut-turut, Rejab, Sya'aban dan Ramadhan). Selepas makan singgah pula ke masjid Kota Lama Kanan di mana terdapat batu nesan dalam masjid menandakan tempat ghaibnya Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Syah ketika menunaikan solat Jumaat hampir 500 tahun lalu. Cerita berkenaan ada dinukilkan dalam artikel lama Kelantan-Langkawi-Perak hujung tahun - Kota Lama Kanan dan Bukit Chandan. Sekian penceritaan. Wassalam. :]


Tuesday, April 02, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang

Salam semua. Dalam artikel Kelebihan Istighfar dan saikologi spiritual yang dipersembahkan jam 1.47 pagi tadi ada disebut saya akan menghadiri satu majlis ilmu lagi di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam beberapa jam sahaja lagi selepas itu. Kemudian tergerak untuk menulis artikel Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 dan harapan tentang buku baru lalu ia betul-betul siap jam 4. Alhamdulillah walaupun kepenatan dan kurang tidur saya dapat mengikuti majlis yang dimaksudkan dengan baik. Ini ceritanya...


Majlis yang bermula jam 10 pagi  itu adalah syarahan ketiga  Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar tentang bukunya "Classification of Knowledge in Islam". Syarahan pertama telah diadakan pada pagi Isnin 11 Mac, kedua pada Isnin 18 Mac. Rujuk artikel-artikel berikut tentang syarahan-syarahan tersebut :-





Syarahan ketiga sepatutnya menyusul pagi Isnin 25 Mac. Tetapi ia digantikan oleh majlis tentang ilmu kalam oleh Dr Amran Muhammad daripada ISSI (Islamic and Strategic Studies Institute  - Institut Kajian Islam dan Strategi). Kelihatan pada papan makluman untuk pelajar poster tentang siri syarahan Osman berkenaan buku Classificationnya di kiri atas. Ia diwar-warkan atas tajuk umum dan besar Book Commentary Series 2019 - Siri ulasan buku untuk tahun 2019. 

Pada kanan atas adalah poster 3 syarahan bersiri oleh seorang lagi tokoh dan pengajar di ISTAC iaitu Profesor Datuk' Dr Awang Sariyan. Yang pertama telah diadakan pada pagi Selasa lepas 26 Mac lalu saya tidak dapat bersama kerana masih berada di utara bersama keluarga sempena cuti sekolah. Di bawah pula adalah satu syarahan atas nama  Book Commentary Series 2019  pada pagi Jumaat lalu oleh seorang lagi kakitangan berwibawa ISTAC, Profesor Madya Dr Imtiyaz  Yusuf. Pada pagi Jumaat akan datang syarahan kedua Awang dijadualkan berlangsung. Insyaallah saya akan hadir mendengar.


Kembali kepada syarahan ketiga Osman. Ia ditunda kepada pagi semalam lalu saya dapat hadir setelah membatalkan rancangan untuk ke Pulau Besar, Melaka. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Kelebihan Istighfar dan saikologi spiritual.


Sejumlah hadirin yang sudah ada jam 10 pagi. Lain-lain muncul sedikit lambat. Terus kepada syarahan. Bersambung penceritaan daripada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian) iaitu tentang syarahan lalu.



Adapun pengenalan tentang buku telah diberikan panjang lebar dalam artikel tentang syarahan pertama iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan. Syarahan kedua cuba meliputi sub-topik atau tajuk kecil kedua dalam bab pengenalan atau mukadimah. Tetapi sub-topik yang memakan ruang lebih sedikit daripada satu setengah muka surat ini sebenarnya belum selesai disyarahkan sepenuhnya kerana ia ditamatkan pada muka surat dua. Apapun syarahan pagi semalam dibuka dengan ulasan kembali (recap) syarahan kedua itu. Diceritakan kembali secara ringkas tiga tokoh besar ilmuwan Islam zaman silam yang dibincangkan dalam buku :-


1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)

2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)

3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311)


Untuk recap ini ditekankan tentang peranan al-Shirazi dalam konteks zaman. Beliau telah menyaksikan kejatuhan ibu kota Kekhalifahan Abbasiyah iaitu Baghdad ke tangan puak Mongol tahun 1258 Masihi. Selepas kemusnahan akibat serangan muncul era baru keilmuwan Islam yang diterajui oleh al-Shirazi dan guru beliau Nasir al-Din (Nasiruddin) al-Tusi. Kata Osman beliau hidup sezaman dengan seorang lagi tokoh terkenal Islam, pengkaji sejarah dan ketamadunan tersohor iaitu Ibnu Khaldun. Tetapi mereka tidak saling mengenali.

Untuk makluman tokoh ini terkenal dengan buku besar tentang ketamadunan bertajuk Muqaddimah. Selepas menulis perenggan tadi (pada jam 10.51 malam semalam di rumah) saya menyemak tentang Ibnu Khaldun. Maklumat daripada Google menyatakan beliau dilahirkan pada tahun 1332 di kota Tunis, Tunisia dan meninggal dunia tahun 1406 di Kaherah, Mesir. Patutlah tidak saling mengenali - Ibnu Khaldun lahir selepas al-Shirazi sudah meninggal dunia tahun 1311.

Apapun perkataan sebenar yang digunakan Osman lalu saya terjemahkan sebagai sezaman itu adalah perkataan Inggeris contemporary (ingat. Syarahan dibuat dalam bahasa tersebut). Hidup sezaman ini bukan semestinya sama tempoh masa kehidupan. Cukuplah dalam satu ruang lingkup masa yang boleh dianggap tidak begitu banyak beza keadaan lalu suasana zaman boleh dikatakan sama secara rata.

Tentang pemikiran sarjana silam Islam Osman memberitahu pada awalnya ada tiga cabang utama membentuk ilmu falsafah yang dianggap praktikal. Ini adalah :-


1. Etika (ethics, boleh disamakan dengan adab)

2. Ekonomi

3. Politik (perkataan Arab yang sesuai adalah siyasah - ilmu mengatur negara dan masyarakat)


Tiga cabang ini diperkenalkan oleh pemikir besar Yunani abad ke-4 Sebelum Masihi iaitu Aristotle. Tentang bagaimana ia mempengaruhi pemikiran silam Islam sehingga muncul aliran Mashsha'I  sudah diterangkan pada syarahan-syarahan terdahulu lalu boleh dirujuk dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan  dan  Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian).Pun begitu al-Farabi dan tokoh sezamannya Ibnu Sina (yang terkenal sebagai pakar perubatan tersohor) itu mengambil pendekatan berlainan walaupun awalnya mereka diajar begitu.

Oh. Semakan melalui Google menunjukkan, seperti hal Ibnu Khaldun dengan al-Shirazi, Ibnu Sina juga dilahirkan beberapa tahun selepas al-Farabi meninggal dunia. Namun mereka boleh dikira hidup sezaman kerana muncul dalam suatu tempoh waktu yang mana perkembangan dunia pemikirannya adalah lebih kurang sama.

Maka disebutlah tentang tradisi pengajaran ilmu pengetahuan ketika itu. Secara rata ia mengalir dalam keluarga, misalnya ilmu perubatan yang diketahui seorang bapa diajar kepada anak dan begitulah seterusnya. Tradisi lisan sangat penting zaman itu. Lalu disebut tentang kewujudan satu kitab autobiografi (kisah perjalanan hidup yang ditulis sendiri) oleh al-Farabi tetapi sudah hilang. Osman dapat menemui secebis dua untuk membantu penulisan. Ini ada dinyatakan dalam muka surat 15 buku Classification of Knowledge in Islam.

Disebut sekali tentang ilmu logik atau mantik yang digunapakai al-Farabi iaitu ilmu logik Aristotle (Aristotelian logic). Ia menjadi pilihan ramai pemikir Islam walhal daripada zaman kehidupan al-Farabi abad ke-9 Masihi ke zaman pemikir Yunani itu ada jarak masa selama 13 abad atau 1,300 tahun! Lalu ada hadirin bertanya daripada manakah beliau mendapat ilmu tersebut. Kata Osman al-Farabi mendapat tahu ada seseorang mewarisi ilmu tersebut melalui satu sanad keilmuan yang panjang disampaikan daripada guru kepada pelajar, pelajar menjadi guru menyampaikan kepada yang lain sehingga ke Aristotle. Pada zaman al-Farabi didapati tinggal seorang sahaja yang mewarisi ilmu ini lalu beliau pun mencarinya lalu berguru.


Sekadar ingin berkongsi. Syarahan ini menyaksikan buat pertama kali setelah begitu banyak tahun saya menyalin nota tangan ketika mengikuti suatu majlis. Adapun kali terakhir saya berbuat begitu kalau tak salah ingatan adalah semasa masih bertugas selepas wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996-2001. Selepas itu saya sering mengembara lalu tidak pernah membuat apa-apa catatan tangan. Saya telah terbiasa menulis secara terus ke dalam komputer riba. Semasa menulis itulah saya menggali ingatan tentang sesuatu yang telah berlaku.

Bermula hampir penghujung tahun 2006 saya mula membiasakan diri mengambil gambar-gambar apabila ke mana-mana. Gambar-gambar tertentu kemudian dipilih lalu diatur untuk penulisan blog. Ia membantu saya untuk mengingati suatu perkara apa lagi ada maklumat seperti tarikh dan waktu boleh dilihat dalam komputer. 

Bermula tahun 2009 saya mula rajin menghadiri majlis-majlis ilmu di institusi-institusi seperti Persatuan Sejarah Malaysia, Perpustakaan Negara dan universiti-universiti. Pembentangan ilmu atau kertas kerja pada majlis-majlis ini selalu disertai paparan slaid lalu saya ambil gambar mana yang patut. Disertai maklumat yang biasa dipaparkan pada pamplet acara atau maklumat atur cara ia membantu saya untuk mengulas kembali dengan baik. Seringkali salinan kertas-kertas kerja diberikan sekali. Secara rata saya tidak perlu pun membuat apa-apa bentuk catatan. Semua ini disertai kemampuan penghayatan dan pemahaman semulajadi agak cukup untuk membantu ingatan dan penulisan. Lihat Apabila jumlah artikel "Refleksi Sejarah" mencapai 222

Lain daripada itu saya mengambil sikap begini - kalau dapat ingat dan terkeluar dalam penulisan itulah kalam yang Allah SWT berikan dan izinkan untuk dikongsikan kepada umum buat masa itu. Kalau tidak terkeluar, sama ada akibat terlupa atau menghadapi masalah menerangkannya dengan ayat yang boleh difahami ramai (tetapi ini jarang berlaku kerana saya sedaya upaya akan cuba mencari jalan untuk memudahkan perkara) saya anggap tidak ada rezeki. Baru sehari kedua kebelakangan ini timbul rasa untuk mencatat kemudian timbul pula dorongan yang seperti disampaikan oleh Ilahi...

Maaflah saya bercerita panjang lebar tentang ini kerana itulah saya. Penulisan bukan sekadar perkongsian ilmu dan pengalaman tetapi juga perkongsian rasa secara jujur. Sudah lebih 20 tahun saya hidup dalam keadaan sentiasa mengikut gerak ilham juga gerak hati berdasarkan panduan-panduan tertentu agar tidak diselewengkan oleh bisikan syaitan, jin dan hawa nafsu sendiri. Pelbagai pengalaman hidup termasuk hal-hal boleh mengancam jiwa dan nyawa ketika pengembaraan di rantau orang telah berjaya dilepasi sebagai bukti bahawa gerak hati yang dialami bukan imaginasi budak hingusan yang belum diuji sembang lebatnya dengan cabaran sebenar di lapangan dan dunia nyata. 

Lihat sahaja cerita-cerita yang banyak dipaparkan di blogspot ini. Pada yang membaca menggunakan telefon bimbit sila scroll ke bawah dan klik butang View Web Version untuk mendapatkan paparan lengkap seperti dalam komputer. Anda dapat melihat beratus mungkin beribu pautan sudah disenaraikan menurut aturan tertentu supaya mudah dirujuk kembali.

Tentang gerak untuk membuat catatan tangan setelah hampir 20 tahun tidak berbuat begitu - Ia adalah akibat syarahan-syarahan Osman tentang buku Classificationnya yang mengandungi begitu banyak maklumat. Hmm. Ada baiknya dipaparkan kembali poster promosi syarahan pertama seperti  dikongsikan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan.



Adapun ketika menulis artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan sehari selepas syarahan pertama saya mendapati banyak perkara tidak dapat diingati ketika membuat penulisan. Syarahan dibuat secara terus lisan tanpa paparan slaid atau nota tambahan pada papan hitam. Yang ada cuma salinan bahagian-bahagian buku yang hendak diulas, disyarah dan dipanjangkan.

Pun begitu, sebenarnya tak perlulah semua hendak dikongsikan. Semasa menjadi wartawan dahulu pun kami sudah diajar ambil beberapa perkara penting sahaja untuk dikongsikan kepada umum. Antara sebabnya adalah orang tak larat nak baca semua pun kalau cerita itu panjang. Kita pun sendiri tak larat nak tulis sebab banyak lagi perkara nak kena buat. Dan ruang berita atau cerita dalam surat khabar adalah terhad. Bukan kita seorang sahaja wartawan menulis lalu mengisi ruang...

Bila menulis di blogspot hadnya tidak sama seperti dalam suratkhabar. Kita boleh menulis seperti mana yang kita suka. Had boleh dibuat berdasarkan kehendak kita, bukan kehendak mana-mana pihak lain yang berkepentingan. Yang utama pada saya dapat berkongsi suatu cerita sehingga terasa cukup dan puas. Tetapi tetap ada had ruang dan masa. Penat wooo menulis panjang-panjang sedangkan kita pun ada banyak perkara lain nak buat selain menulis di blogspot.

Pun begitu masuk penulisan syarahan kedua Osman seperti dikongsikan dalam Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian) saya mula merasa rugi apabila menyedari banyak perkara terlepas daripada ingatan. Ya, saya tetap percaya ia ada dalam diri sekurang-kurangnya dalam ingatan secara sub-conscious atau bawah sedar. Apa yang terlupa itu boleh muncul kembali pada masa lain dan inilah yang biasa berlaku dalam kehidupan saya. Tetapi tetap terasa rugi kerana ada perkara tak dapat diingati ketika perlu...

Namun begitu semasa mengikut syarahan Osman tentang Islamic Spiritual Pyschology pagi Ahad baru ini saya masih malas untuk menulis nota. Setelah masuk sekitar 10 minit lalu menyedari luas sungguh jangkauan ilmu yang dikongsikan apa lagi ada terma-terma khusus yang patut diingati saya pun membuka laptop atau komputer riba lalu menaip nota. Ketika menulis artikel tentang syarahan ini iaitu Kelebihan Istighfar dan saikologi spiritual sekitar tengah malam Ahad masuk Isnin saya mendapati nota-nota ini sangat sangat membantu penulisan. Tiba-tiba ternampak, lupa entah dari mana tapi di atas meja, apakah pada komputer. telefon pintar atau suatu buku ada ungkapan berbunyi lebih kurang begini :-


Kamu hadir ke majlis ilmu itu adalah ibarat menangkap haiwan liar. 
Tambatlah ia dengan membuat catatan.


Saya cuba mencari kembali ungkapan tersebut dengan Google tetapi tidak berjaya menemuinya. Kalau tak salah ia disebut oleh Imam al-Ghazzali. Yang ditulis tadi adalah berdasarkan apa dapat diingati. Yang pasti ia tidak lari jauh daripada apa yang dilihat dalam bahasa Melayu dan tulisan Rumi.

Entah betul entah tidak saya lihat itu keluar di mana-mana waktu itu tetapi petunjuk-petunjuk sebegini memang amat biasa dalam kehidupan saya sejak lebih 20 tahun lalu. Sejak kecil lagi pun saya sudah mengalaminya. Kadangkala mata hati ini dapat melihat kehadiran suatu tokoh ulamak yang sudah meninggal dunia beratus tahun lalu. Kadangkala pula tiba-tiba tak pasal-pasal saya diberikan bayangan tentang sesuatu yang akan berlaku. Yang ini selalu dikongsikan dalam penulisan-penulisan pengembaraan saya apabila hal tersebut betul-betul berlaku. Itulah yang dipanggil sebagai deja vu...

Apapun ungkapan tersebut membuatkan saya buat pertama kalinya dalam tempoh hampir 20 tahun membuat catatan tangan dalam suatu majlis ilmu. Ini dibantu oleh kesedaran bahawa catatan melalui laptop ternyata amat membantu dalam merakam dan mengulas syarahan Osman pagi Ahad. Hampir sahaja saya melakukannya lagi untuk syarahan pagi Isnin tetapi memilih untuk membuat catatan tangan setelah menyedari dua perkara - catatan dengan laptop ada sedikit bising dan boleh mengganggu hadirin lain disebabkan bunyi ketap ketup menaip pada papan kunci. Catatan tangan  lebih mudah walau tulisan cakar ayam. Tetapi yang betul-betul membuat saya akhirnya menulis tangan adalah teringat ungkapan tersebut...




Sekarang bolehlah kita kembali kepada syarahan. Maka masuklah kpada muka surat ke-3 buku dan bahagian sub-topik kedua yang tidak sempat dipanjangkan dalam syarahan terdahulu. Oh. Kalau hendak diceritakan segala yang telah dikongsikan letih dan tak larat saya menulisnya. Nanti banyak kerja lain tergendala. Dengan itu biar diterjemahkan sahaja bahagian isi buku yang dibincangkan seterusnya perenggan demi perenggan ya.





Antara al-Farabi dan Qutb al-Din (al-Shirazi) ada jarak masa sejarah selama 4 abad. Dalam tempoh masa ini berlaku perkembangan dan kemajuan yang terserlah ketara dalam bidang sains, falsafah juga keagamaan. Sains-sains pra-Islam diIslamkan dan dimajukan lalu sains-sains baru dicipta. Adalah menjadi kajian menarik untuk menyiasat apakah perkembangan dan perubahan ini memberikan kesan atau mempengaruhi secara ketara asas fundamental dan stuktur pengklasifikasian yang dikaji, mengambil kiri ia ditulis  dalam suasana falsafah dan keagamaan yang berbeza. Setakat yang saya tahu, tiada orang pernah mengemukakan persoalan tersebut sebelum ini, apa lagi menjawabnya. Kajian saya sekarang sebahagiannya adalah usaha untuk menjawab persoalan ini.



Dalam kes al-Farabi ada satu lagi sebab untuk memilih klasifikasinya. Ia adalah klasifikasi berpengaruh pertama dalam Islam, lalu disebabkan itu beliau diberikan kehormatan dengan gelaran "Guru Kedua" (al-mu'allim al thani). Klasifikasi itu menjadi model bagi semua pengarang kemudian. Atas sebab ini, kebanyakan bahagian kajian saya diperuntukkan untuk klasifikasinya.

Hmm. Kena juga ulas ini. Adapun gelaran "Guru Kedua" buat al-Farabi ini adalah penghormatan besar terhadap ketinggian pemikiran dan ilmu falsafah beliau. Ini kerana gelaran diberikan sebagai pengiktirafan daripada para ilmuwan sezamannya. Ia menunjukkan beliaulah pengganti kepada Aristotle yang sering disebut sebagai "Guru Pertama" - orang pertama diketahui mengasaskan ilmu pemikiran falsafah berserta logik atau mantik yang dianuti mereka...






3. Sifat dan Skop Kajian yang Sedang Dilakukan

Dalam sebelas bab seterusnya  saya telah melakukan kajian falsafah terperinci terhadap tiga klasifasi yang telah saya pilih. Tujuan utama kajian ini adalah untuk membentuk dasar asas falsafah bagi setiap klasifikasi lalu mengaitkan dasar ini dengan prinsip-prinsip tertentu yang terkandung dalam ilmu wahyu Islam. Saya juga telah memberikan penekanan analitik kepada persoalan-persoalan berikut : (1) Perkara-perkara utama yang membezakan setiap klasifikasi, (2) Sikap setiap pemikir terhadap sains-sains falsafah dan keagamaan serta bagaimana mereka melihat perbezaan antara itu.




Penerangan bagi setiap sains yang berlainan seperti  diberikan setiap pengarang dibincangkan setakat mana ia dapat membantu untuk menggambarkan tesis utama yang dipersembahkan dalam kajian ini. Tesis itu adalah pengklasifikasian dibuat berdasarkan idea-idea falsafah yang menjadi kebiasaan bagi semua aliran intelektual Islam dan pada masa sama meliputi idea-idea khas yang merupakan pandangan sarwa jagat intelektual dan keagamaan pengarangnya serta aliran yang diwakilinya.






Bagi setiap pemikir ada bab (bab satu, tujuh dan sepuluh) ditujukan kepada hidupnya, kerja-kerja dan apa yang ketara tentangnya. Penceritaan ini menyertakan ilmu pengetahuan tentang pendidikan dan latihan setiap pemikir dalam sains-sains yang berlainan, minat falsafahnya dan hasil kesarjanaan, lingkungan intelektual mereka, dan suasana intelektual dan keagamaan pada masa mereka. Ilmu pengetahuan sebegini memberikan latar belakang yang perlu untuk analisa patut tentang setiap klasifikasi yang telah dibentuk.

Sekadar memberitahu, terma "sains-sains" digunakan sebagai terjemahan bagi perkataan Inggeris sciences kerana merujuk kepada banyak jenis sains. Namun ada masanya cukup untuk menggunakan perkataan sains  sahaja (tidak berbilang) untuk meliputi semua bergantung pada konteks.




Oleh kerana klasifikasi al-Farabi telah dipersembahkan sebagai klasifikasi "model" dan merupakan yang pertama mahu dianalisa dalam kajian ini, saya telah memperuntukkan lebih bab (bab dua, tiga dan empat) untuk menetapkan dan menerangkan asas falsafahnya berbanding apa yang saya telah berikan kepada dua lagi klasifikasi. Idea falsafah terpenting yang al-Farabi telah gunakan untuk klasifikasinya adalah hierarki bagi sains-sains. Bab dua, tiga dan empat menangani tiga kriteria yang disenaraikan oleh al-Farabi, yang mana dengan itu hierarki sains-sains boleh ditetapkan. Untuk menjelaskan tiga asas berlainan bagi hierarki ini, adalah perlu untuk merujuk kepada saikologi al-Farabi, logik, ontologi, dan etika, walaupun ini bermakna harus memasukkan bahan-bahan tertentu yang telah begitu dikenali oleh sarjana falsafah silam. Apa yang penting dan utama adalah dalam perbincangan ini satu usaha telah dilakukan buat pertama kalinya untuk menetapkan satu hubungan konseptual antara idea-idea dalam saikologi al-Farabi, logik, ontolog dan etika juga klasifikasinya terhadap sains-sains.

Tentang bab hierarki atau susunan keutamaan daripada yang paling penting menuju ke bawah kepada yang kurang penting Osman menyebut betapa pentingnya ia dituruti dan dijaga. Hal ini sangat disedari bukan sahaja oleh para ilmuwan Islam malah ilmuwan dan sarjana Barat dahulukala. Hierarki di sini bermaksud setiap bidang ilmu ada taraf-tarafnya, tidak bolehlah dilonggokkan sama sahaja ibarat meletakkan intan permata emas kaca pada satu rak yang sama. Paling tinggi adalah ilmu tentang keTuhanan, wujud diri dan sebagainya. Tentunya tidak boleh diletak sama rata dan sama taraf dengan ilmu mengkaji binatang katak misalnya. 

Tetapi apa yang berlaku, perkembangan pemikiran dunia moden yang diterajui Barat mula meminggirkan hal-hal keTuhanan. Ini berlaku sejak abad ke-18 selari dengan kemunculan pemikiran 'moden' yang meletakkan segala suatu pada aspek-aspek fizikal yang boleh dilihat dan dicerna. Semua ilmu diletak seperti sama rata lalu rosaklah perkembangan jiwa manusia. Itulah juga yang diikuti kita malah ramai ilmuwan Islam sendiri akibat melupakan tradisi keilmuwan sejati.



Dalam bab lima dan enam saya cuba meringkaskan klasifiksi al-Farabi dan penerangannya tentang sains-sains lalu menunjukkan keketaraan kedudukan yang telah diberikannya terhadap suatu sains dalam klasifikasinya.




Kajian saya terhadap klasifikasi sains-sains al-Ghazzali termasuk satu bab (bab lapan) tentang orang yang berpengetahuan atau pencari ilmu. Beliau membahagikan orang berpengetahuan kepada empat golongan utama : ahli teologi (mutakallimun), Ta'limit atau Ismai'li, ahli falsafah (falasifah) dan orang Sufi. Bab ini cuba untuk menetapkan epistemologi al-Ghazzali dengan menganalisa kritikan-kritikannya terhadap dakwaan-dakwaan epistemologi dan metodologi empat kumpulan itu. Analisa ini menunjukkan bahawa pada al-Ghazzali masalah perhubungan antara pena'akulan dengan pengalaman yang melampaui kerasionalan juga antara agama dan falsafah telah dipertimbangkan daripada satu sudut pandang yang ternyata berbeza daripada apa yang ditemui pada al-Farabi. Bab ini menyediakan bahan yang perlu untuk memahami klasifikasi al-Ghazzali tentang sains-sains yang dianalisa dalam  bab sembilan.

Perenggan ini ada memperkatakan golongan Mutakallimun (ahli ilmu Kalam) sebagai ahli teologi. Kata Osman ini adalah berdasarkan persepsi Barat walhal dalam dunia Islam golongan lain pun boleh disebut sebagai ahli teologi. Ia berbalik kepada makna teologi itu sendiri iaitu kajian keTuhanan. Semua golongan atau aliran yang disebut al-Ghazzali dalam perenggan ini mengkaji tentang Tuhan. Cuma cara mereka berlainan. Dalam hal ini golongan Mutakalimun lebih jelas caranya kerana menggunakan ilmu mantik atau logik untuk menggapai makna keTuhanan. Daripada segi sejarah dan asal usul golongan ini muncul untuk menjawab serangan ahli teologi Nasrani (Kristian) dan Yahudi terhadap kepercayaan Islam.




Dalam bab terakhir (bab sebelas) saya cuba untuk menetapkan asas  falsafah klasifikasi Qutb al-Din. Walaupun idea fundamental yang mendasari klasifikasi ini sekali lagi merupakan perbezaan antara falsafah dengan sains-sains keagamaan, butiran yang ditekankan Qutb al-Din tentang perbezaan adalah tidak sama dengan apa yang dibuat oleh al-Farabi dan al-Ghazzali.






Kajian saya terhadap klasifikasi-klasifikasi sains-sains ini pada dasarnya adalah satu kajian terhadap falsafah-falsafah Islam terhadap sains. Perkataan "sains" ('ilm) digunapakai dalam kajian ini daripada segi menyeluruh suatu badan ilmu pengetahuan yang tersusun yang terdiri daripada satu displin dengan matlmat-matlmat yang jelas, ada premis-premis dasar, ada objek dan cara-cara menyiasat. Oleh itu saya merujuk kepada satu falsafah sains yang meliputi makna dan bidang kajian yang jauh lebih meluas berbanding displin moden yang memakai nama sama




Dengan ini tamatlah sub-topik 3 disyarahkan dalam bab pengenalan atau mukadimah buku Classification of Knowledge in Islam tulisan Osman. Sekadar mengingatkan, ia mengambil terus daripada tesis PhD beliau yang diselesaikan lalu dipersembahkan kepada Temple University di Amerika Syarikat tahun 1988. Masih ada lagi satu sub-topik sebelum masuk Bab Satu buku. Di sini, walaupun sudah penat dan rasa tak larat hendak menulis lagi saya terasa wajib untuk menambah beberapa perkara tanpa mengikut kronologi atau turutan masa bagaimana, kenapa dan pada waktu bila ia dinyatakan dalam syarahan. Biar dikongsikan seperti berikut :-

1. Penerangan Osman tentang sains seperti difahami sarjana dan ulamak silam Kata beliau ia melebihi apa yang difahami dan diiktiraf sebagai sains sekarang. Dahulu, kajian ilmu keTuhanan juga hal-hal seperti bahasa termasuk dalam sains. Prinsipnya begini. Sesuatu itu boleh dipanggil sebagai sains atau satu bentuk/cabang sains jika memenuhi kehendak 4 premis atau perkara asas berikut :-

i. Ada perkara yang mahu dikaji/diperkatakan (penerangan saya untuk subject matter)

ii. Ada asasnya (foundation)

iii. Ada metodologi atau kaedah teratur menanggapi suatu perkara

iv. Ada matlamat (goals)

Kalau semua ini ada secara tersusun dan baik dalam suatu bidang maka ia boleh dipanggil sebagai sains. Tetapi sekarang sains sudah dihadkan kepada apa yang dianggap logik dan rasional selain boleh diuji di mana-mana (empirical). Disebabkan itu apa yang kita fahami sebagai sains hari ini lebih merujuk kepada apa yang dikategorikan sebagai natural science, sains alam semulajadi yang mana tidak ada lagi unsur campur tangan atau aktiviti keTuhanan di dalamnya.

2. Saya ada bertanya kepada Osman bagaimana beliau membuat keputusan untuk memilih tiga tokoh ini - al-Farabi, al-Ghazzali dan al-Shirazi (Dalam tulisan Osman menyebutnya sebagai Qutb al-Din). Apakah ada membuat shortlist atau senarai pendek tokoh-tokoh yang mahu dikaji kemudian disaring sehingga tinggal 3 orang? Maka terkeluarlah penerangan yang sangat bernilai dalam perjalanan kesarjanaan saya sendiri...

Osman memberitahu sebelum memulakan PhD di Temple University (tahun 1983) beliau sudah tahu tokoh-tokoh mana patut dipilih kerana sudah didedahkan dengan ramai tokoh silam semasa peringkat Masters lagi. Ketika membuat MA (masters in arts) dalam bidang berkenaan di universiti tersebut pendedahan sudah diberikan melalui pelbagai modul pelajaran yang wajib diikuti selain membuat kajian tesis. Sebelum itu beliau pernah membuat ijazah sarjana muda sains Bsc di University of London dalam bidang matematik diikuti ijazah sarjana Msc dalam bidang dan institusi sama. Ketika itu lagi beliau sudah banyak membaca tentang tokoh-tokoh silam Islam.

Walaupun sudah memiliki Msc dari London beliau disuruh membuat satu lagi Masters ketika hendak masuk ke Temple, bukan terus boleh buat PhD. Kata Osman memang asalnya dia berniat untuk membuat terus PhD kerana sudah ada Masters. Tetapi Temple University melarang kerana berlaku pertukaran bidang yang memerlukan dia mendalami perkara terlebih dahulu pada peringkat Masters. 

Hal ini mengingatkan betapa saya sendiri masuk ke ISTAC dengan niat kalau boleh hendak membuat PhD terus. Bezanya saya belum memiliki Masters kerana tidak mahu menyambung lagi pelajaran formal di menara ganding selepas mendapat Bsc Mathematics daripada University College of London tahun 1995. Tetapi saya masuk ke ISTAC September 2018 sebagai seorang pelajar matang (matured student) yang sudah sedikit berumur (48 ketika itu), banyak pengalaman hidup malah sudah menulis 12 buah buku. Cadangan tesis saya adalah usaha untuk mengangkat isi dua buku terakhir saya yang terbit awal 2018 ke persada akademik. Maka perkara sudah dikaji terlebih dahulu, cuma perlu digubal balik mengikut kehendak dan format akademik.

Semasa cadangan tesis dipersembahkan kepada jawatankuasa akademik ISTAC hampir penghujung 2018 saya malah mendapat persetujuan dan galakan agar tesis itu diangkat terus daripada peringkat Masters kepada PhD. Persetujuan dan galakan diberikan setelah jawatankuasa menyedari skop kajian berserta latar belakang pengajian dan pengalaman saya. Tetapi Osman yang diminta menjadi penyelia tesis tidak bersetuju. Dia mahu saya tetap mengambil Masters lalu melakukan sedikit perubahan sambil mengecilkan skop kajian demi memenuhi kehendak peringkat Masters yang lebih rendah berbanding PhD. 

Setelah seminggu dua juga berlaku pergelutan jiwa dan rasa tidak puas hati saya akhirnya akur atas asbab dia adalah penyelia tesis dan hampir sebaya bapa saya. Selain memang diakui sebagai seorang cendekiawan besar bertaraf dunia saya sebetulnya lebih akur atas dasar harus merendahkan diri kepada orang tua apa lagi yang menjadi guru kita. Insyaallah akan ada hikmahnya.

Penerangan yang diberikan Osman tentang beliau sendiri harus mengambil lagi Masters lalu itu sangat membantu penulisan PhD yang menjadi buku Classificationnya memberikan makna besar buat saya. Sebetulnya sejak mendengar syarahan pertama beliau tentang buku seperti dinyatakan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan saya menjadi sangat gembira lalu lebih sedia akur dengan guru saya itu. Sebelum itu saya ada rasa ragu-ragu tentang masa hadapan ISTAC yang ingin diterajui beliau sehingga sanggup menulis dalam satu artikel bahawa saya sedia meninggalkan institusi ini dalam sekelip mata jika hala tuju yang dibawa bercanggah dengan pendirian saya. Lihat Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC?.

Sebetulnya banyak lagi perkara menarik terkeluar dalam syarahan ini. Tetapi seperti syarahan-syarahan sebelumnya juga banyak penulisan terdahulu cukuplah perkongsian daripada saya ya... :]