Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Julai 23, 2009

Misteri Lubuk Pusing dan keramat Sheikh Sayyid Ahmad Marzuki

Alhamdulillah. Setelah membuat beberapa buah artikel baru di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , baru saya boleh menceritakan secara lebih teratur satu perjalanan terbaru yang dibuat Sabtu lalu. Mari...


Adapun asbab perjalanan kali ini adalah untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara belah isteri di Bagan Datoh, Perak. Lalu peluang ini digunakan untuk pergi ke satu tempat lain juga yang saya belum pernah sampai seumur hidup, cerita tentangnya pun baru saya ketahui tidak sampai 2 minggu sebelum itu.

Sampai di Sungai Besar, Selangor, saya mengambil jalan masuk ke kanan. Saya mendapat tahu jalan ini setelah melihat dalam Google Earth seterusnya bertanyakan orang tempatan.


Perjalanan diteruskan menyusuri tali air yang agak cantik ini...

Sawah padi yang menghijau menyejukkan mata, mengingatkan kembali pada perjalanan di Aceh yang dibuat lebih sebulan lalu, perjalanan yang ceritanya belum lagi selesai dilepaskan di blogspots saya malah masih banyak lagi tetapi sengaja 'ditergendalakan' buat sementara... demi menurut gerak bercerita perjalanan-perjalanan terdekat buat masa ini.


Ah... setelah masuk 15km gitu sampailah kita pada simpang yang dicari.


Tidak lama kemudian sampai pula kami di hadapan masjid lama yang memiliki ceritanya yang tersendiri, Masjid Marzukiyah di Lubuk Pusing, Sabak Bernam, Selangor.



Saya mendapat tahu tentang kewujudan masjid ini dari Ustaz Halim, pembantu kanan almarhum Ustaz Wan Saghir iaitu pengasas pusat kajian Khazanah Fathaniyah yang banyak menerbitkan artikel-artikel bermutu tentang ulamak-ulamak terkemuka Nusantara di dada-dada akhbar. Pada satu hari tiba-tiba dia menalifon untuk memberitahu bahawa dia sudah sampai ke makam Datuk Sempedang, orang yang dikatakan mengetuai beberapa keluarga berhijrah dari Pasai di Aceh hingga ke Jempol di Negeri Sembilan melalui Sungai Muar, kata orang sebelum wujudnya keSultanan Melaka.

Sebelum itu beliau ada menalifon bertanyakan jika saya tahu tentang sesiapa ulamak Aceh dahulukala yang pernah bermastautin di Negeri Sembilan. Saya teringat cerita tentang Datuk Sempedang lalu memberitahu tentangnya. Sila lihat artikel-artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam?

Oh... untuk melihat lebih banyak gambar masjid sila baca artikel Masjid (mosque of) Marzukiyah, Lubuk Pusing, Sabak Bernam yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.



Setelah bercerita tentang lawatannya ke makam Datuk Sempedang, Ustaz Halim kemudian memberitahu saya tentang kewujudan makam 2 orang pahlawan Negeri Sembilan di Seri Menanti. Saya kurang berminat tentang itu tetapi sebaik sahaja dia menyebut tentang Masjid Lubuk Pusing di Sabak Bernam dan cerita di sebaliknya, saya terasa wajib menziarahinya.

Ceritanya begini. Dahulukala di kawasan ini terdapat sebuah sungai besar yang sering dilalui kapal-kapal besar, katanya sebahagian dari Sungai Bernam juga. Tetapi di sekitar ini terdapat sebuah lubuk dengan air berpusing-pusing, maka itu dipanggil Lubuk Pusing. Masalahnya, seperti cerita Bermuda Triangle di Lautan Atlantik berdekatan Amerika Tengah, lubuk ini sering menelan kapal-kapal lalu mengorbankan banyak nyawa. Maka orang menjadi takut lalu mengharapkan jika ada sesiapa dapat menolong menyelesaikan perkara ini.


Ini adalah bangunan kayu lama di sebelah masjid. Untuk pengetahuan ia pernah dijadikan tempat orang bersuluk dahulukala, katanya untuk pengikut tariqat Naqshabandiah. Saya pula tertarik apabila mula deja vu melihat tasik di hadapannya. Seterusnya baru saya teringat pernah melihat tasik dan bangunan kayu itu dengan tidak sengaja secara batin beberapa tahun lalu.


Maka tersebutlah kedatangan seorang ulamak dari Perak bernama Sayyid Ahmad Marzuki, dipanggil juga sebagai Sheikh Marzuki ke Lubuk Pusing. Ketika itu, kalau tak salah saya seluruh Bernam masih terletak di dalam jajahan takluk Perak.

Orang-orang Lubuk Pusing pun mengadukan masalah mereka kepada Sheikh Marzuki. Sheikh itu bermunajat lalu mendapat satu ilham dari Allah.

Di atas adalah gambar makam Sheikh Marzuki yang terletak di hadapan masjid. Sila lihat artikel Makam (tomb of) Sheikh Sayyid Ahmad Marzuki di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



OK. Biar cerita tentang Sheikh Marzuki 'ditergendalakan' sebentar ya. Saya pun masuk ke masjid untuk bersolat...

Apabila keluar saya dapati isteri saya sudah selesai bersolat dan sedang rancak berbual-bual dengan seorang tua.




Dari orang tua itu baru kami tahu di sisi kiri hadapan masjid, bersebelahan sahaja dengan makam Sheikh terdapat sebuah kolam yang airnya sering digunakan untuk orang berubat juga mengambil berkat. Malah terdapat sebuah bilik mandi kecil untuk pengunjung. Timbul pula rasa untuk mandi-manda.

Tetapi kami harus menunggu satu keluarga ini selesai mandi, ada 7 orang anak-beranak kesemuanya kalau tak salah ingatan. Mereka sanggup datang jauh dari Petaling Jaya setelah mendapat nasihat daripada seseorang agar mandi air di kolam masjid Lubuk Pusing ini...




Sambil itu saya terasa ingin tahu makam siapakah yang terletak jauh di sana dengan bumbung kuning agak terserlah... saya pun berjalan kaki ke sana...



Rupa-rupanya kubur seorang penduduk biasa sahaja. Tiang berbumbung kuning ini digunakan untuk melindungi kubur baru...



Ini adalah kedudukan bangunan suluk, masjid juga bangunan makam Sheikh Marzuki yang kelihatan apabila saya kembali ke arah masjid.


Memandangkan keluarga tadi masih belum selesai mandi, kami membuat keputusan untuk pergi ke satu tempat lain berdekatan, tempat lain yang dikatakan tempat terletaknya kedudukan Lubuk Pusing yang sebenar...




Ini laluannya...



Kami perlu masuk ke ladang kelapa sawit yang agak sunyi...



Ah. Baru kelihatan salah satu kolam yang menurut ceritanya 'sisa-sisa' Lubuk Pusing penuh misteri lagi bersifat seperti Bermuda Triangle itu!




Kelihatan airnya menggelegak berbuih-buih tetapi tidak panas.




Terdapat 2 lagi kolam sebegitu yang boleh dilihat di sini. Sekarang baru boleh disambung cerita tentang Sheikh Marzuki...



Setelah bermunajat kepada Allah SWT, Sheikh Marzuki pun diberikan satu ilham. Beliau memberitahu kepada penduduk sekitar, apakah mereka mahu jika lubuk yang berpusing-pusing itu dihilangkan? Katanya jika mahu, Insyaallah dengan kuasa Tuhan sungai besar di sekitar boleh menjadi daratan.


Memikirkan bahaya besar lubuk yang sudah menelan banyak kapal dan nyawa itu mereka pun bersetuju. Kata Ustaz Halim, orang memberitahu kapal yang ditelan Lubuk Pusing ada yang kemudian ditemui rosak tetapi keluar balik di Selat Melaka sekitar 25km ke 30km gitu dari situ.

Sheikh Marzuki pun mengajak penduduk kampung sama-sama bersolat hajat. Dengan kuasa Allah, keesokannya kawasan merbahaya itu terus mulai menjadi daratan, yang tinggal cuma beberapa kolam kecil di atas bekas lubuk yang berpusing dengan air sentiasa berbuih menggelegak hingga kini sebagai tanda.

Nak tengok bagaimana airnya menggelegak walaupun sejuk? Sila lihat klip-klip video yang telah diletakkan pada artikel The 'Bermuda Triangle' that is Lubuk Pusing in Sabak Bernam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Kemudian saya cuba mencari pula bagaimanakah kaitan kawasan ini dengan aliran Sungai Bernam yang wujud sekarang. Bagaimanakah agaknya sungai besar dahulu yang dikatakan wujud di sini boleh 'beralih' aliran. Sila lihat artikel Looking for the Selangor-Perak connection along the Bernam river di blogspot itu juga...

Tentang Sheikh Marzuki pula, ternyata dia dianggap sebagai seorang ulamak keramat besar di sini. Beliau juga memimpin Tariqat Naqshabandiah di sekitar lalu mendirikan sebuah rumah suluk di sebelah masjid di Lubuk Pusing. Dalam perjalanan ke bandar Sabak Bernam untuk terus ke Perak pula, saya ternampak sebuah lagi masjid yang dinamakan sempena beliau. Lihat artikel Masjid (mosque of ) Marzukiyah di (at) Jalan Sepintas... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Nampaknya masjid ini juga mesti ada aura tertentu kerana ia dijadikan tempat orang Tabligh beramal. Sekian...


Kaitan Masjid Putrajaya dengan Masjid Brunei di Danau Tok Uban?

Ini adalah gambar dari artikel lama bertajuk Masjid Jamek (main mosque of) Putrajaya... yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)


Ini pula gambar dari artikel Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban! (At last, the Brunei Mosque at Danau Tok Uban!) yang turut pernah dibuat di blogspot yang sama.

Hmm... apabila memikirkan tarikh artikel lama ini dibuat iaitu 21 Julai 2007, macam ada kena-mengena pula dengan lawatan terbaru ke makam Raja Ahmad yang menyebabkan saya tergerak untuk pergi lagi ke Masjid Pulau Besar, Perak... lalu terasa pula mahu membuat artikel bertajuk Masjid Pulau Besar Perak lagi (The mosque of Pulau Besar Perak again) baru sebentar sahaja tadi di blogspot yang sama.

Apa yang berlaku adalah tadi saya telah melihat koleksi gambar-gambar baru masjid-masjid yang diambil dalam perjalanan ke Perak hujung minggu lalu. Kemudian baru tersedar bahawa saya pernah membuat sebuah artikel tentang Masjid Pulau Besar di Perak itu lama dahulu. Cuma semasa itu saya tidak meletakkan banyak gambar yang betul-betul menunjukkan senibina masjid. Itu yang membuat saya terus mahu mengatur sebuah artikel baru yang memaparkan gambar-gambar lebih relevan tentangnya tadi. Sedangkan sepatutnya kalau mengikut giliran, saya harus membuat sebuah artikel tentang Masjid Marzukiyah di Lubuk Pusing, Sabak Bernam diikuti artikel-artikel tentang 2-3 masjid lain yang telah dilawati terlebih dahulu.

Yang menarik, adalah artikel lama tentang Masjid Pulau Besar yang bertajuk Masjid (mosque of) Pulau Besar, Perak... telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pada 23 Julai 2007, sedangkan tarikh hari ini (lepas jam 12 malam daa...) adalah 23 Julai 2009. Ini bermakna artikel baru tentang masjid ini dibuat betul-betul 2 tahun kemudian. Macam ada makna je...

Saya pun menyemak kembali sedikit isi dalam blogspot tersebut... apakah ada lagi masjid-masjid yang telah dipaparkan tetapi saya sendiri sudah terlupa pernah membuatnya? Selepas membuat search menggunakan keywords perkataan "Masjid Putrajaya " melalui kemudahan yang terdapat di atas kanan blogspot itu, terus terkeluar 2 sahaja artikel iaitu Masjid Jamek (main mosque of) Putrajaya... yang ditulis pada 21 Disember 2007 dan Akhirnya, Masjid Brunei di Danau Tok Uban! (At last, the Brunei Mosque at Danau Tok Uban!) yang dibuat 21 Julai 2007. Terus terfikir, apakah ada kaitan antara Masjid Putrajaya atau lebih tepat, Masjid Putra di Putrajaya dengan Masjid Brunei Darussalam di Danau Uban?

Seterusnya terbetik di fikiran, kedua-dua masjid ini terletak betul-betul di tepian tasik luas, kedua-dua sebenarnya tasik buatan. Tasik Putrajaya memang diketahui ramai dibuat untuk mencantikkan ibunegara Malaysia yang baru iaitu Putrajaya sedangkan Danau Tok Uban pula terbentuk apabila sebuah sungai berdekatan dijadikan empangan untuk mengatur saliran air ke sawah padi. Ramai juga orang menyangkakan Danau Tok Uban adalah tasik semulajadi lebih-lebih lagi kerana ada cerita menyebut sebuah kota lama pernah tenggelam ke dasarnya. Mungkin perkara ini benar. Memang sebuah kota pernah tenggelam ke dalam bumi di situ lalu terbentuk tasik yang kemudiannya kering? Mungkin lama selepas itu, kawasan kering itu terbentuk kembali tasik apabila sungai diempang.

Kalau begitu, apakah mungkin juga Tasik Putrajaya dahulu pernah wujud sebegitu rupa sebelum ia kering, kemudian menjadi balik tasik seperti kelihatan sekarang akibat perbuatan manusia atas ilham-ilham tertentu? Tak mustahil kerana sudah disebut bahawa ada pihak percaya di sekitar Putrajaya pernah terdapat pusat sebuah kerajaan lama. Lihat artikel Artikel ke 535 di sini, jalan di Putrajaya dan kaitan kerajaan lama dengan kerajaan akhir zaman? yang dibuat di blogspot ini minggu lepas.

Tarikh-tarikh saya membuat artikel-artikel tentang masjid yang disebut di atas pun terasa ada kena-mengena. Yang pasti, apabila membuat search "Masjid Putrajaya" lalu terkeluar artikel-artikel lama tentang Masjid Putra (yang semasa itu saya sebut sebagai Masjid Jamek Putrajaya) dan Masjid Brunei Darussalam, terus terasa mahu berkongsi apa yang terbetik di fikiran bersama para pembaca di sini. Kebetulan pula tarikh antara kedua artikel ini tepat berbeza 5 bulan.

Tarikh artikel pertama tentang Masjid Pulau Besar, Perak yang dibuat 2 hari sahaja selepas artikel Masjid Brunei itu dipaparkan juga membuat saya rasa teruja. Banyak betul nombor 2 terkeluar awal pagi ini, semuanya disebabkan 2 buah artikel yang terkait apabila membuat search "Masjid Putrajaya". Sedangkan nombor 5 (beza 5 bulan dalam perenggan di atas) pula adalah sama seperti nombor 2 yang diterbalikkan ke atas. Ada apa-apa ke?

Rabu, Julai 22, 2009

Translation buku dah siap dan perjalanan ke Perak hujung minggu lalu...

Saja je nak pakai gambar kat area Hartamas ni. Rasa sejuk pula tengok canopy ni...


Assalamualaikum semua. Sukacita dimaklumkan, bahawa kerja-kerja penterjemahan sebuah buku 500 mukasurat dengan jumlah perkataan 150,000 sudah berjaya disiapkan semalam. Alhamdulillah, proses penterjemahan sebenar telah siap 10 hari lalu. Kemudian saya harus membaca dan meneliti sekali lagi untuk memperbetulkan apa-apa kesilapan mahupun apa-apa ayat yang kurang terang atau terasa kurang enak aturannya. Maka proses seterusnya itulah yang siap petang semalam lalu dapatlah saya menghantarnya kepada pihak yang meminta terjemahan atau translation yang agak berat ini.

Pada sesiapa yang tidak tahu hujung pangkal cerita di sebalik kerja penterjemahan ini, sila lihat artikel Buku Ahlul Bait yang membuat saya pening, rindukan anak dan hal-hal lain... yang dibuat lebih sebulan lalu. Cuma artikel itu dibuat dalam keadaan kurang enak sedangkan kini perkara itu telah pun selesai dan pihak yang meminta penterjemahan faham apa yang berlaku, alhamdulillah.

OK. Pada hujung minggu lalu saya dan isteri telah pergi ke Bagan Datoh, Perak untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara belah isteri. Oleh kerana dah menghala ke sana, saya pun menggunakan peluang ini untuk melawat satu tempat yang agak misteri iaitu Lubuk Pusing di Sabak Bernam, Selangor berdekatan sempadan ke Perak. Katanya cerita kawasan ini ada unsur-unsur ala-ala Bermuda Triangle gitu. Dan saya baru mendapat tahu tentang tempat ini juga masjid lama di sana di mana terdapat makam seorang ulamak bertaraf wali apabila Ustaz Halim, pembantu almarhum Ustaz Wan Saghir dari Khazanah Fathaniya tiba-tiba menalifon saya sekitar seminggu sebelum itu.

Kami juga pergi melihat keadaan terbaru di Beting Beras Basah di mana saya nyaris-nyaris tenggelam di dalam lumpur tebal apabila cuba juga meredah kuala sungai dalam keadaan air surut untuk pergi ke kawasan beting pasir di tengah kuala sungai. Selain itu, kami pergi menziarahi makam-makam Raja Ahmad, Keramat Kuala Bidor juga Marhum Durian Sebatang selain kawasan pemakaman keluarga terdekat di Batak Rabit. Setiap tempat ada cerita terbarunya yang tersendiri.

Seterusnya kami sempat pergi ke makam seorang lagi moyang, Laksamana Toh Jambu @ Keramat Sungai Durian yang keadaannya masih terperosok di dalam hutan belukar tepian Sungai Perak. Lihat artikel Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! yang dibuat selepas lawatan terakhir saya ke sana tahun lepas. Kemudian dari sana kami pergi ke Kota Setia seterusnya Hujung Rintis, menyusur balik jejak lama saya ketika pertama kali sampai ke tempat-tempat ini, kalau tak salah ingatan tahun 2007 gitu di mana saya banyak berjalan kaki campur naik bas campur tumpang motosikal dan kereta orang sebelum menaiki bot menyeberangi Sungai Perak, baru pergi ke Bagan Datoh seterusnya Beting Beras Basah, tempat terakhir pertabalan diraja Perak.

Kami juga pergi ke tempat-tempat lain termasuk Kampung Kota di seberang bandar Sabak Bernam, sebuah tempat yang memiliki sejarahnya yang tersendiri. Oleh itu, buat masa ini saya rasa akan cuba melepaskan dahulu cerita-cerita ini di blogspots saya ya sebelum menyambung balik cerita-cerita tentang perjalanan ke Aceh yang 'ditergendalakan' sebentar setelah membuat artikel Baru sampai ke makam Syiah Kuala yang amat terkenal itu! dua minggu lalu.

p/s: Rancangnya, hujung minggu ini pula mahu pergi ke empangan Talang berhampiran Terachi, Negeri Sembilan sebelum pergi ke Pulau Besar, Melaka. Sejak baru tahu bahawa empangan Talang itu sebenarnya terletak di hulu Sungai Muar sekitar dua minggu lalu, timbul rasa yang kuat untuk melihat apa yang ada di sana. Padahal dahulu, semasa masih berkhidmat sebagai wartawan akhbar The New Straits Times, saya pernah pergi ke sana 2-3 kali kerana ada kerja di sekitar Terachi. La ni baru tahu kenapa tempat tu memang ada rasa yang tersendiri. Maklumlah saya dibesarkan di Muar, di sekitar kawasan kuala Sungai Muar... selalu juga terfikir bagaimana keadaan dan rupa hulu Sungai Muar. Silap-silap selepas melepaskan semua rasa ini baru saya dapat menyambung balik cerita-cerita tentang Aceh kot?