Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Julai 09, 2007

Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?

Lihat gambar di atas... Kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" 'parking' di tepian jalan di Genting Sempah, tidak jauh daripada terowong bawah tanah. Di sinilah tempat saya menunggu kenderaan awam untuk ke Raub semalam, setelah menumpang kereta seorang kawan untuk keluar daripada kawasan Janda Baik lalu pergi ke Genting Sempah di mana terdapat tempat perhentian, stesyen minyak serta tempat makan bagi para pengguna lebuhraya Karak.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa saya memilih tajuk yang agak pelik ini... "Ketinggalan dua buah bas sebelum mendapat sebuah teksi ke Raub. Apakah yang tersirat?". Memanglah itu yang berlaku semalam tetapi kenapa tidak sahaja dipilih tajuk yang lebih pendek sebelum memanjangkan apa yang telah berlaku di bawahnya...
Sebelum itu, biar saya berterus-terang. Adapun mereka yang telah lama mengenali saya terutama melalui forum mungkin tahu bagaimana saya ada sedikit 'kegilaan' yang melibatkan nombor... Maklumlah, bekas graduan bidang Matematik. Tapi bukan kegilaan membeli nombor ekor ya... Saya memang tidak suka dan tidak pernah berjudi sejak kecil, kecuali apabila 'tersampuk' penyakit main mesin sodok duit di London di mana saya akhirnya kehilangan lebih 200 Pound Sterling (lebih RM1000) dalam tempoh 2 hari!
Kegilaan saya mengenai nombor adalah kegilaan untuk menafsir atau mengaitkan sesuatu dengan nombor. Tak semestinya saya akan mengkaji begitu dalam tetapi saya selalu mengikut gerak hati berkaitan nombor dalam hal-hal tertentu. Contohnya, apabila membuat posting mengenai Janda Baik dalam ketiga-ketiga blogspot saya, satu dalam Bahasa Melayu di sini, satu dalam Bahasa Inggeris di BERPETUALANG KE ACEH dan lagi satu dalam kedua-dua bahasa di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), maka saya sebenarnya telah membuat posting ke 137 di sini, ke 66 di blogspot Bahasa Inggeris dan 33 di blogspot dwi-bahasa.
Adapun sejak kecil lagi, saya suka nombor 11 dan sering mengaitkannya dengan diri sendiri, tak pasti mengapa. Hmm... Mungkin sebab Nabi Yusuf adalah anak ke 11 Nabi Ya'akob. Eh... Tapi apa kena-mengenanya dengan saya ya tak. Entah apa-apa le si Merah Silu ini...
Apapun, nombor 66 dan 33 masing-masing adalah gandaan nombor 11. Jadi saya rasa perlu mengaitkan jumlah posting di blogspot ini dengan nombor 11. Jawaban yang saya dapat, jadikan jumlah posting sehingga 141... Nombor 4 diapit 1 dan 1... Kira ada juga kaitan dengan 11 ya tak (mungkin untuk menyedapkan hati sendiri? Sukati engkau le Labu, janji puas... Heh!)
Maka jadilah posting ini, artikel ke 141 dalam blogspot ini. Tapi bukan buat cerita semata-mata untuk memenuhi ruang. Ada le sebabnya.
Semalam, selepas keluar daripada Janda Baik lalu ke Genting Sempah, saya berehat sebentar di kawasan makan-minum sebelum tergerak untuk melangkah. Rakan saya menyuruh menunggu lagi kerana hujan belum betul-betul berhenti. Jawab saya, jika bergerak ketika itu juga, mungkin akan sempat berselisih dengan bas Kuala Lumpur-Raub yang berlepas daripada bandaraya jam 4.30 petang.
Untuk pengetahuan, perkhidmatan bas yang melalui Bentong ini diadakan setengah jam sekali. Ketika itu, jam menunjukkan pukul 5.10 petang dan saya merasakan bas 4.30 akan lalu sebentar lagi.
Telahan saya ternyata tepat sekali. Setelah mengheret kit promosi berserta membawa rucksack besar di belakang berjalan sejauh lebih 200 meter lalu menyeberangi lebuh-raya dengan penghadang di tengah seperti kelihatan di gambar atas, saya dapat melihat bas merah ke Raub baru sahaja keluar daripada terowong.
Terus saya buat isyarat menahan. Kalau diikutkan, memang bas itu boleh berhenti kerana cukup ruang dan masa. Sebaliknya pemandu bas terus meninggalkan saya seraya membuat isyarat bahawa akan ada bas lain di belakang.
Ah... Perlukan saya menunggu lagi setengah jam?


Tempat rehat di Genting Sempah kelihatan di atas... Ternyata memang ada sebuah lagi bas di belakang muncul sekitar 15 minit kemudian. Maka tidaklah perlu menunggu setengah jam kalau mengikut anggaran berdasarkan jadual perjalanan. Malangnya bas ini juga agak penuh dengan penumpang dan tidak mahu berhenti. Ah... Apa ini?
Saya mula mengira-ngira keadaan. Kenapakah semua ini berlaku? Apakah saya tersilap waktu, menunggu di situ ketika orang-ramai mahu balik bekerja dari Kuala Lumpur? Tetapi hari itu hari Ahad, kenapa pula ramai orang? Timbul pula sedikit rasa penyesalan. Mungkin saya sepatutnya menunggu keesokan harinya sebelum meninggalkan Janda Baik atau saya sepatutnya menunggu bas di Bukit Tinggi, bukannya di Genting Sempah yang sebenarnya tidak ada pondok menunggu bas...
Saya sebenarnya sangat kepenatan dan sudah mengidam mahu tidur di dalam bas sebaik sahaja dapat tetapi ternyata saya terpaksa menahan penat memikul beg besar mengheret beban kit promosi jalanan. Langit pula masih mendung dan ada titisan hujan. Kalau tiba-tiba jadi lebat, terpaksalah berlari mengheret segala beban menyeberangi lebuhraya yang sering ada kenderaan laju lalu-lalang untuk berteduh di bawah jejantas, itupun kalau sempat...
Hmm... Saya tak dapat memanjangkan cerita kerana kedai komputer ini akan tutup 5 minit lagi... Lihat gambar di bawah ini pula...

Dalam gambar ini kelihatan sebuah kepala lori berwarna kuning. Lori kuning ini sebenarnya adalah sebuah lori pick-up yang mahu digunakan untuk menarik sebuah lori kertas yang telah terbakar hari sebelumnya. Mungkin kedudukannya yang menghalang jalan menyebabkan bas-bas tadi tidak mahu berhenti?
Apapun, tidak lama kemudian, datang sebuah teksi berhenti tanpa ditahan. Ternyata teksi itu mahu ke Raub malah melalu jalan ke rumah almarhum nenek, maka sampai le saya ke sana.
OK... Terpaksa berhenti dah. Sekurang-kurangnya dah siap posting ke 141... Selamat!

------------------------

OK... Tambahan cerita dibuat daripada Kuala Lipis, Selasa 10 Jun 2007. Itupun mungkin terpaksa terkejar juga kerana saya telah menghabiskan agak banyak masa membuat beberapa pembetulan ejaan dan silap taip untuk artikel-artikel lain dan saya sebenarnya merancang untuk mendapatkan keretapi jam 2.30 petang ke Kelantan... Nampaknya dah terlambat kerana ketika menulis ini, sudah masuk jam 2.23 dah sedangkan saya mula masuk Internet tadi jam 12! Mungkin boleh mendapatkan keretapi jam 3.30 pula, itupun kalau betul ada keretapi untuk ke Kelantan pada waktu itu... Kalau tidak, mungkin perlu bermalam di sini.

Hmm... Biar saya berterus-terang akan rasa hati berkaitan peristiwa ditinggalkan dua buah bas kemudian baru mendapat sebuah teksi ke Raub. Adapun pada awalnya hati yang masih belum suci sepenuhnya ini mula hendak menyumpah-nyumpah keadaan. Nasib baik terbetik juga fikiran akan semua ini cuma ujian Allah hendak menduga keyakinan kita akan rancangannya. Mesti ada sebab kenapa bas itu tidak mahu berhenti. Lalu saya bertahan walaupun begitu penat dengan harapan akan terbukti sekali lagi akan aturan Allah itu atas sifat tawakal diri ini...

Sekitar jam 5.40 petang begitu, muncul sebuah teksi lalu berhenti tanpa diundang. Kalau diikutkan, saya tak terfikir pun nak naik teksi kerana memikirkan tambangnya mesti mahal lebih-lebih lagi kerana teksi itu sedang kosong bermakna semua kos perjalanan akan ditanggung saya seorang diri. Dalam pada itu, ada bisikan hati menyatakan apa salahnya bertanya. Lalu saya berlari anak mengejar teksi yang berhenti jauh sedikit ke hadapan akibat kelajuannya ketika cuba berhenti dan bertanyakan harga jika ingin ke Bentong. Jawab pemandunya, seorang Cina yang agak tua, RM5 sahaja... Hmm... Kalau begitu, boleh le... Tambang bas ke Bentong pun hampir RM4.

Dalam perjalanan itu, pemandu Cina itu bertanya lagi... Sebetulnya saya mahu ke mana? Jawab saya ke Raub... Raub? Dia tersenyum. Rupanya dia hendak ke situ juga.

"Kalau itu macam, kenapa tak naik terus sampai Raub?"

Jawab saya: "Takut mahal la apek... Saya mahu jimat belanja. Tengok ni, saya jalan pun bawak tikar buruk tunggu bas..."

Kata si pemandu: "Lu bagi RM10 cukuplah, sampai Raub..."

Elok juga tu... Kalau tak salah ingatan, tambang bas daripada Bukit Tinggi ke Raub pun ada dalam RM7 begitu. Ini lebih sedikit je dan lebih selesa serta cepat sampai. Saya pun bersetuju. Dia terus memandu...

Selepas melepasi Bentong, sekali lagi pemandu bertanya... "You betul-betul Raub mana mau pergi?"

Jawab saya: "Batu 3 jalan pegi Cheroh?"

"Cheroh?" katanya dengan nada agak terperanjat. Rupa-rupanya dia orang Cheroh dan memang mahu menuju balik ke rumah.

Dipendekkan cerita, saya sampai ke rumah almarhum nenek lebih-kurang jam 6.30 petang dengan selesa. Cuma perlu bayar lebih sedikit sahaja iaitu RM12. Jika naik bas yang pasti akan melalui jalan lama Bentong-Raub berliku-liku melalui kawasan bukit, kemungkinan besar saya akan sampai ke Raub selepas jam 7 sedangkan bas terakhir untuk ke rumah nenek habis jam 6... Maknanya terpaksalah naik teksi dan membayar RM6, paling kurang pun RM5...

Semasa baru berada di dalam teksi tersebut, saya terfikir... Peristiwa ditinggalkan 2 buah bas sebelum dapat naik teksi yang lebih selesa ini mungkin bermakna saya perlu bermalam sekurang-kurang 2 hari di Raub dan cuma menyambung langkah hari ke 3. Ternyata ini ada juga kebenarannya... Asalnya saya mahu pergi ke Kuala Lipis hari Isnin selepas berada di rumah nenek satu malam. Tetapi pagi itu, saya diserang demam sementara pakaian yang dibasuh malam sebelumnya belum kering.

Seorang teman wanita yang menalifon bertanyakan khabar menasihatkan saya supaya berehat sehari lagi di Raub. Lalu saya gunakan masa itu untuk ke kedai komputer membuat sejumlah posting baru untuk blogspot-blogspot saya.

Semasa hendak menunggu bas daripada rumah nenek untuk ke Raub seterusnya Kuala Lipis pagi tadi, tiba-tiba hati ini terbetik... Apakah ketinggalan dua bas sebelum mendapat sebuah teksi lalu selamat sampai ke destinasi dengan lebih laju dan selesa bermakna saya perlu bersabar lagi sedikit dengan segala perit jerih kerenah menerbit serta menjayakan dua buah buku siri "Berpetualang ke Aceh"?

Kadang-kadang saya rasa tak tertahan lagi dengan segala penat-lelah yang memakan begitu banyak masa dan tenaga di samping segala tekanan jiwa yang menyebabkan saya selalu sakit-sakit badan dan kepala sedangkan keluarga sendiri pun masih memandang remeh usaha ini kerana belum begitu nampak hasilnya, apalagi daripada segi duit... Orang lain pula gelak di belakang apabila saya berkata sanggup menanggung kesusahan ini demi melestarikan satu perjuangan... Mana ada perjuangan, ejek mereka... Itu cuma angan-angan engkau sahaja! Angan-angan orang yang sebenarnya nak kan duit tapi tak mampu sebab takda peluang... Maka engkau topengkan angan-angan itu dengan kata-kata perjuangan demi menyedapkan hati sendiri dan meraih perhatian orang lain!

Hati ini sebenarnya perit, sering menangis sendirian malam-malam akibat kata nista yang dilemparkan sedangkan diri ini selalu keseorangan, ada anak perempuan seorang pun begitu susah hendak bertemu kerana saya tidak mampu lagi menanggung keluarga... Ada teman-teman wanita pun tidak dapat betul-betul bersama kerana halangan yang dihadapi serta keadaan saya yang masih dhaif ini. Mungkin selepas siap buku ketiga, baru saya akan mendapat jalan yang lebih laju dan selesa untuk menuju ke home sweet home yang didambakan selama ini?

Insyaallah! Itulah harapan saya. Minta kawan-kawan dan para pembaca doakan kesejahteraan diri ini dan kejayaan mengharungi segala cabaran sambil memikul amanah demi memartabatkan bangsa Melayu Islam dengan cara tersendiri ya!

OK... Saya mesti bersedia untuk pergi. Kalau boleh mahu masuk ke Kelantan hari ini juga, kalau tak dapat pergi terus ke Danau Tok Uban dan Bukit Panau, dapat ke Tanah Merah pun jadilah. Wassalam! :] (Lega sungguh rasa dapat meluahkan semua ini, Alhamdulillah!)


Raja Suran dan keturunan Iskandar Zulkarnain dalam "Berpetualang ke Aceh"

Sekali lagi, cerita daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal"... Sambungan daripada posting Persoalan Iskandar Zulkarnain dalam"Berpetualang ke Aceh".
Cerita ini berkisar kepada bagaimana keturunan Iskandar Zulkarnain boleh menjadi Raja-raja Melayu terutama di Melaka. Dan apakah itu kontrak sosial asal antara rakyat dan raja yang menyebabkan munculnya konsep daulat dan derhaka... Bacalah...

-----------------------

Sejarah Melayu menceritakan Raja Suran telah masuk ke dalam laut dan berkahwin dengan puteri seorang raja kerajaan di bawah laut. Daripada perkahwinan ini, terbitlah tiga orang anak, Nila Pahlawan, Kerishna Pendita dan Nila Utama yang kemudian muncul di Bukit Siguntang, di tengah Sungai Melayu yang hulunya di Gunung Maha Miru, dekat padang Penjaringan dalam negeri Palembang. Negeri inilah yang sering disamakan sarjana Barat dengan kerajaan Buddha Sriwijaya yang pernah menguasai seluruh Nusantara sebelum kemunculan kerajaan Hindu Majapahit.
Hikayat Hang Tuah yang lebih fantastic ceritanya pula menyatakan tiga-beradik ini turun daripada kayangan. Mereka adalah anak seorang raja “keinderaan” yang biasa bertukar alam, menetap di kayangan tetapi selalu turun bermain-main di muka bumi. Apapun, kedua-dua kitab Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu ada menyatakan, setelah mereka muncul di Bukit Siguntang, tiga beradik ini bertemu dua orang wanita, Wan Empok dan Wan Walini yang sedang berladang di sana. Dipendekkan cerita, Wan Empok berkahwin dengan Nila Pahlawan, Wan Malini dengan Kerishna Pendita. Nila Utama pula mendapat gelaran baru sebagai Sang Si Perba.
Menurut kitab Sejarah Melayu, pada masa itu Palembang sedang diperintah oleh seorang raja yang dipanggil Demang Lebar Daun. Apabila mendengar khabar ada anak raja besar keturunan Iskandar Zulkarnain turun di Bukit Siguntang, baginda pun terus ke sana untuk bertemu-muka dan mengambil berkat kebesaran anak raja itu. Berita ini tersebar jauh ke merata tempat sehingga raja-raja lain pun turut sama bertumpu ke situ.
Sesetengah raja datang membawa kaum keluarga mereka. Maka Sang Si Perba pun mengambil mana-mana puteri raja yang elok untuk dibuat isteri dan mereka menerima sahaja kerana rasa bertuah bermenantukan anak cucu Iskandar Zulkarnain. Malangnya, semua puteri ini kedal setelah “dijamah” baginda. (Inilah bahasa yang digunakan dalam kitab itu, Rasyid tidak pasti apakah itu penyakit kedal, mungkin seperti gatal-gatal kot?) Mengikut ceritanya, ini berlaku disebabkan ketinggian daulat baginda.
Tersebutlah nama Wan Sendari anak Demang Lebar Daun yang cantik paras rupa. Sang Si Perba ingin memperisterikannya tetapi si bapa pula takut puterinya pun akan kedal juga. Maka sembah Demang Lebar Daun: “Jikalau anak patek tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mahu berwa’adat (berjanji sumpah setia) dengan patek, maka patek persembahkan anak patek ke bawah duli Yang di-Pertuan.”
Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Si Perba itu keturunan raja-raja besar... Maka titah Sang Si Perba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”
Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinusta dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”
Sang Si Perba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba...”
“Janji yang mana itu, tuanku?”
“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun.”
“Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”
Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”
Mereka pun bersumpah-sumpahan serta berteguh janji, barang siapa yang mengubah perjanjian itu dibalikkan Allah bumbung rumahnya ke bawah, tiangnya ke atas. Itulah sebabnya anak Melayu tidak boleh derhaka kepada raja walau seburuk-mana sekali pun perangai raja itu... Kalau derhaka, maka tulah dimakan sumpah. Raja pula tidak boleh memberi aib atau malu terhadap anak Melayu walau besar mana sekali pun kesalahannya. Kalau dilakukan juga, raja itu akan jatuh “terpele’ot” juga nanti...
-------------------
Begitulah alkisahnya... OK... Saya akan cuba membuat posting yang ke 141 di blogspot ini... Adalah sebabnya.
Adapun ketika ini sudah masuk jam 6.10pm dan rasanya sudah ketinggalan bas terakhir untuk kembali ke rumah almarhum nenek di batu tiga jalan ke Cheroh. Mungkin terpaksa naik teksi dan membayar mahal sedikit nanti.

Tour terbaru "Berpetualang"... Berita dari Raub

Lihat gambar di atas. Perhatikan dengan teliti... Nampak tak poster atau bunting promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang tergantung di tengah-tengah?
Adapun ingin dilaporkan saya kini berada di Raub dalam rangka-kerja mengembara sambil membuat promosi jalanan buku yang Insyaallah akan meliputi tempat-tempat tertentu di Pahang, Kelantan seterusnya Kedah dan Perak sebelum kembali ke Kuala Lumpur bulan Rejab. Ini kerana gerak hati saya menyuruh untuk menyambung apa yang perlu dalam penulisan buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III hanya apabila sudah masuk bulan Rejab. Sementara itu, gunakan masa yang ada untuk membuat apa yang patut demi memastikan buku kedua "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" juga baki buku pertama "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" dapat menemui khalayak seramai yang mungkin.
Oleh kerana diri ini sudah mula gatal hendak mengembara dan timbul pula gerak menyuruh pergi ke Kelantan, maka saya gunakan peluang ini untuk meneruskan promosi secara jalanan. Lagipun saya dapat merasakan perlu ke Kelantan sekali lagi untuk menghabiskan perjalanan di sana Disember lalu yang terpaksa dipendekkan kerana diserang demam dan sakit beguk di samping terpaksa berkejar ke kampung ibu di Muar untuk sambutan Hari Raya AidilAdha... Perjalanan yang terdahulu itu sepatutnya meliputi ziarah ke Danau Tok Uban dan Bukit Panau tetapi saya menjadi terkejar masa apabila perjalanan sebelumnya di Terengganu menjadi lebih panjang daripda yang dijadualkan akibat gerak hati baru yang muncul secara spontan.
Maka perjalanan ke Kelantan yang terdahulu itupun diakhiri dengan menaiki keretapi ke Kuala Lipis, kemudian naik bas ke Raub... Kebetulan juga seorang sepupu baru mendapat anak sulung ketika itu, maka memang sesuai saya ke sana. Cuma masalah beguk menyebabkan saya tidak boleh rapat dengan si bayi kerana takut ia berjangkit pula.

Perjalanan kali ini bermula hari Jumaat daripada Bukit Damansara, selepas bermalam di Zawiyah atau rumah suluk tariqat Naqsyabandiah Haqqani di sana. Perhatikan... Saya sempat meletakkan bunting di hadapan masjid Bukit Damansara sejurus sebelum bersolat Jumaat.
Sebelum itu, saya singgah makan tengahari di kawasan Plaza Damansara. Signal wi-fi free yang wujud di situ membolehkan saya membuat posting bertajuk Poster BKA 'beranak" tiga! Dan pengembaraan tetap diteruskan jua.
Posting terbaru ini menyebabkan seorang pembaca blog bernama Nordin sedar bahawa saya berada di kawasan itu. Pembaca yang bekerja di Plaza Damansara ini telah cuba menghubungi saya tidak lama selepas selesai solat Jumaat. Ketika itu saya sudah berada di pondok menunggu bas berhampiran Pusat Bandar Damansara.
Bas ke pusat bandar Kuala Lumpur pula datang lambat. Ternyata ini berlaku kerana Allah hendak menemukan saya dengan Nordin yang tertarik dengan sejarah lama Melayu terutama kisah-kisah yang digelapkan. Dipendekkan cerita, kami bertemu di pondok bas itu, dapat juga berbual-bual mengenali diri masing-masing sebelum dia mendapatkan buku BKA I dan BKA II. Nordin lah yang menghantar saya ke stesyen bas Pekeliling di mana saya dapat menaiki bas ke Raub untuk turun ke Bukit Tinggi seterusnya masuk ke Kampung Janda Baik, salah sebuah destinasi rehat kegemaran saya.


Inilah surau di Sungai Chemperoh dalam kawasan Janda Baik yang sering menjadi tempat saya tidur dan berehat di sana sekarang... Sempatlah gantung poster ini sebagai 'perhiasan'...



Ini pula kedai Zaini, salah satu tempat saya selalu makan dan minum di Janda Baik. Elok juga diletakkan bunting di sini kerana orang selalu lalu-lalang terutama orang luar yang sering datang hujung minggu untuk menikmati udara bersih Janda Baik.


Tu dia... Sebuah selekoh di Simpang Kallang, hampir 2km daripada pusat bandar Raub. Ia terletak di jalan utama menghala ke Kuala Lipis, jalan yang juga digunakan untuk ke Kelantan melalui Gua Musang.
Tidak jauh daripada selekoh ini terletak sebuah warung makan yang ada menjual masakan ikan keli gulai asam rong kegemaran saya. Sementara menikmati makanan pedas yang menyelerakan ini, elok juga diwar-warkan akan kewujudan buku "Berpetualang ke Aceh" ke seantero dunia.


Bunting digantung di luar kedai komputer tempat saya sedang menulis cerita ini. Kan elok berbuat begini daripada membuang masa berbuat yang bukan-bukan ya tak? :]

Persoalan Iskandar Zulkarnain dalam"Berpetualang ke Aceh"

Hmm... Terasa hendak menyertakan sebahagian cerita mengenai Iskandar Zulkarnain yang ada dikemukakan dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal"... Sila baca...

-------------------------

“Kalau begitu, benarlah kata orang, Iskandar Zulkarnain di dalam Al-Quran dengan Alexander the Great yang diagung-agungkan para pengkaji Barat adalah orang yang sama,” rakan lama Rasyid, Daniel bersuara setelah membaca beberapa mukasurat awal kitab Sejarah Melayu. Anak muda yang sedang mengolah-balik buku kedua “Berpetualang ke Aceh” mengangguk bersetuju. Kebetulan sudah sampai ke bab yang menyebut asal-usul kerajaan Melaka... Walaupun sejarah Barat menyatakan baginda berbangsa Greek, ini tidak bercanggah dengan kata-kata Sejarah Melayu bahawa Iskandar Zulkarnain berbangsa Rum, satu istilah yang asalnya merangkumi semua bangsa Eropah tetapi akhirnya disempitkan untuk merujuk kepada bangsa Roman yang mendirikan empayar yang berpusat di Rome, Italy.
“Tetapi ada sarjana Islam yang tidak setuju bahawa mereka orang yang sama,” pemuda itu memberi penerangan. “Ini kerana pengkaji Barat mendakwa Alexander the Great adalah penyembah berhala malah ada yang menuduhnya seorang lelaki homosexual! Sedangkan Al-Quran menyatakan Iskandar Zulkarnain sebagai seorang raja yang saleh, pendakwah yang keluar membawa cahaya agama Allah ke semua wilayah yang ditaklukinya. Lagipun perkataan ‘Zulkarnain’ itu bermakna ‘dia yang memiliki dua tanduk’, bukan sekadar nama. Maka ada yang menafsirkannya sebagai raja yang memerintah Timur dan Barat... Ada juga yang kata, yang dimaksudkan dua tanduk itu adalah mahkota perang yang dipakai baginda.”
Daniel berfikir sejenak. “Kalau begitu sesiapa pun boleh menjadi Iskandar Zulkarnain jika memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan,” dia berkata.
“Boleh juga,” jawab Rasyid. “Maka itu sesetengah sarjana Islam mencalonkan Raja Cyrus dari Parsi atau salah seorang Raja-raja Himyar dari Yaman yang masing-masing pernah menakluki wilayah yang sangat luas sebagai Iskandar yang dimaksudkan. Tetapi calon utama mereka ialah Cyrus yang dilahirkan di Persis (sekarang Fars), barat-daya Iran, abad ke 6 sebelum Masihi, wilayah yang menerbitkan nama Parsi ataupun Persia dan pusat kepada empayar yang dikenali sebagai Achaemenid Empire.”





Cyrus the Great adalah cucu Astyages, raja bangsa Medes yang zalim. Tetapi baginda dibesarkan sepasang suami-isteri penggembala kambing lalu menjadi manusia berakhlak terpuji lagi berkarisma yang bakal muncul sebagai seorang pahlawan yang handal. Cyrus membentuk sebuah pasukan tentera yang hebat dan pada tahun 550 SM berjaya menumpaskan Astyages. Kemudian baginda menyatukan bangsa Medes dengan sebuah lagi bangsa utama Parsi iaitu Parsia lalu menakluki satu demi satu wilayah sehingga sebelum meninggal dunia pada tahun 529 SM, baginda telah memiliki empayar luas merangkumi India, Babylon, Mesir dan Eropah! Maka Cyrus menepati tafsir yang mengatakan perkataan Zulkarnain itu bermakna ‘dia yang memiliki dua tanduk’ kerana berjaya menakluk Timur dan Barat. Baginda juga dikenali sebagai seorang raja yang tidak menyembah berhala. Lebih menarik, masih wujud sebuah ukiran batu menunjukkan raja itu memakai mahkota bertanduk dua menyebabkan sesetengah sarjana Islam yakin, orang inilah Zulkarnain sebenar yang disebut di dalam Al Quran.
“Apapun, mungkin juga Alexander the Great yang memerintah Makedonia dari tahun 356 hingga 323 SM dengan Iskandar Zulkarnain yang tersebut dalam Al-Quran adalah orang yang sama,” kata Rasyid. “Mungkin kenyataan sarjana Barat mengatakan baginda penyembah berhala dan homosexual pula yang serong? Sepertimana Barat menyerkap jarang pengamal pelbagai agama di Hindi sebagai penganut agama Hindu belaka?”
Lagipun anak muda itu yakin, sarjana-sarjana Barat yang dipelopori para pemikir bangsa Yahudi Zionis memang telah lama melakukan fitnah terhadap ajaran Islam serta tokoh-tokoh berkaitan dari dahulu sampailah sekarang. Bukankah mereka pernah melakukan ini ketika menceritakan tentang Perang Salib antara tentera Islam dan Kristian? Maka tentera Islam difitnah berlaku kejam lagi tidak berperi-kemanusiaan?
“Mungkin mereka sengaja memfitnah peribadi Alexander the Great supaya kita tidak tahu baginda juga pernah membawa agama Tauhid? Dengan mengatakan baginda seorang penyembah berhala malah lelaki homoseksual, tentu susah untuk sesiapa menerima akan kemungkinan baginda sebenarnya orang yang beriman, apalagi seorang pendakwah Islam Syariat Nabi Ibrahim seperti disebut dalam kitab Sejarah Melayu... Supaya kita tidak nampak kesinambungan Islam daripada Nabi Adam sampai sekarang, sehingga ramai yang menganut fahaman sempit bahawa Islam itu cuma bermula daripada Nabi Muhammad SAW 1425 tahun dahulu?”
Rasyid percaya Iskandar Zulkarnain yang diceritakan di dalam kitab Sejarah Melayu memang seorang penakluk besar dan pembawa agama Islam Syariat Nabi Ibrahim AS... Pada zamannya, belum muncul Nabi Isa AS, apatah lagi Nabi Muhammad SAW. Dalam perjalanan mengembangkan agamalah, baginda telah menakluki benua Hindi lalu berkahwin dengan anak Raja Kinda Hindi, Tuan Puteri Shahrul Bariyah... Maka tersebutlah dalam kitab itu akan pernikahan mereka menurut Syariat Nabi Ibrahim yang disaksikan oleh penasihat dan wazir baginda iaitu Nabi Khidir AS.
Mengikut Sejarah Melayu lagi, dari perkahwinan ini lahirlah Raja Aristun Shah yang memerintah Hindi selama 350 tahun (Kenapa? Tak percaya ke?) sebelum digantikan anaknya Raja Aftus. Kemudian naik Raja Aska’inat, diikuti Raja Kasdas, Raja Amtabus, Raja Zamzius, Raja Kharus Ka’inat, Raja Arhat Aska’inat dan seterusnya Raja Kudar Zakuhun anak Raja Amtabus. Selepas itu Raja Nikabus menaiki takhta diikuti Raja Ardishir Babegan yang beristerikan anak kepada Raja Nurshirwan Adil, raja Mashrik dan Maghrib (Timur dan Barat), juga dikenali sejarahwan Barat sebagai Nurshirwan the Just. Nurshirwan yang berasal daripada Dinasti Sassanid memerintah empayar Parsi atau Persia, satu di antara dua empayar terbesar di dunia pada zaman itu (sebuah lagi adalah empayar Rom), dari tahun 531 hingga 579 Masihi. Untuk pengetahuan, Nabi Muhammad SAW dilahirkan semasa Raja Nurshirwan memerintah Parsi, iaitu sekitar 570 Masihi.
Perkahwinan Raja Ardishir dengan puteri kepada Raja Nurshirwan menerbitkan seorang anak laki-laki bernama Raja Dermanus. Menurut kitab itu, anak cucu bagindalah yang akan memegang kerajaan besar di Hindi turun-temurun sampai kepada Raja Tersi Berderas, anak kepada Raja Zimrut bin Raja Tersi bin Raja Dermanus bin Raja Ardishir Babegan bin Raja Kudar Zakuhun bin Raja Amtabus bin Raja Sabur bin Raja Aftus bin Raja Aristun Shah bin Raja Iskandar Zulkarnain.
Tersi Berderas pula beristerikan anak Raja Sulan, raja di negeri Amdan Nagara yang menguasai Hindi dan Sindi (hampir ke China), seorang anak cucu keturunan Raja Nurshirwan Adil juga. Maka bertemu lagi keturunan Raja-raja Hindi yang mempunyai titisan darah Iskandar Zulkarnain dengan keturunan Raja-raja Parsi dan lahirlah Raja Suran yang akan mewarisi kerajaan Amdan Nagara kemudian menurunkan Raja-raja Melayu daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain... Itulah yang tersebut sebagai asal-usul Raja-raja Melaka yang turun ke Bukit Siguntang!

Janda baik tempat rehatku

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Saya kini berada di sebuah kedai komputer di Raub, Pahang menggunakan line wi-fi berbayar untuk membuat posting baru dalam setiap blogspot saya sebelum melanjutkan pengembaraan ke Kuala Lipis, rasanya esok, Insyaallah!
Di sini, saya akan merakamkan lagi gambar-gambar yang diambil di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, kali ini semasa berehat di sana Jumaat hingga Ahad. Sesungguhnya memang Janda Baik ada semacam tarikan mistik yang membuat saya selalu ingin ke sana terutama apabila ingin berehat melarikan diri daripada hiruk-pikuk kehidupan harian.
Seperti biasa, saya akan cuba bercerita setakat boleh, setakat yang terkeluar daripada jiwa yang sering kepenatan akibat dugaan hidup yang melanda diri ini. Maka terimalah persembahan yang diberikan seadanya ya! Bacalah... Bacalah dengan nama Allah yang mencipta dan mengerakkan setiap penulisan...

Ini adalah gambar bahagian Sungai Chemperoh yang terletak bersebelahan dengan kawasan rumah bapa angkat saya S.H. Alattas atau Pak Habib. Suatu masa dahulu, kawasan ini menjadi tempat rehat utama serta tempat bermain-main saya apabila berehat di Janda Baik.

Sebahagian daripada kompleks rumah Pak Habib.



Balai polis Janda Baik.

Hmm... Ini nak dipanggil apa ya. Takkan panggil tugu kot? Yang pasti ia adalah satu bentuk penanda yang menyatakan seseorang itu sudah masuk ke Kampung Janda Baik.
Oh... Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kampung ini dikenali sebagai Janda Baik? Janda mana pula yang baik sangat sampai namanya melekat menjadi nama sebuah kampung di tengah-tengah kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa.
Sebenarnya ada beberapa versi cerita tentang bagaimana kampung ini boleh dipanggil Janda Baik. Tetapi saya lebih percaya akan cerita seorang wanita yang suaminya telah keluar meninggalkannya... Ada cerita menyebut suami ini seorang yang buruk perangai, suka berjudi dan sebagainya. Ada yang menyebutnya sekadar keluar merantau lalu tak kembali lagi.
Yang pasti, si isteri adalah seorang yang setia. Walaupun kecantikannya mengundang ramai peminat yang ingin melamarnya sebagai isteri, dia tetap setia menunggu kepulangan suaminya.
Kalau mengikut hukum Islam, seorang isteri yang ditinggalkan tanpa nafkah zahir dan batin lebih daripada tempoh tertentu (kalau tak salah, tiga bulan) mempunyai hak untuk memutuskan pertalian perkahwinan. Mungkin sebab itu wanita dalam cerita ini dipanggil Janda Baik? Kerana walaupun mengikut ceritanya, dia tidak pernah memutuskan perkahwinan, mungkin dari segi hukumnya, dia boleh dikira sebagai janda lebih-lebih lagi kerana wanita ini dikatakan meninggal dunia dalam keadaan suaminya (atau bekas suami?) tidak kembali langsung. Atau mungkin suaminya telah meninggal dunia terlebih dahulu, lalu wanita inipun mendapat gelaran janda?
Cerita yang lebih misteri pula menyebut, Janda Baik yang dimaksudkan masih hidup sampai ke hari ini di kawasan pergunungan berdekatan! Dia hidup dalam alam ghaib, cuma sekali-sekala sahaja muncul di alam nyata terutama apabila ada orang sangat memerlukan pertolongan!


Ini pula pintu gerbang bagi sebuah kawasan rumah persendirian. Perhatikan ukiran kayunya serta pokok-pokok yang menghiasi kiri-kanan. Cantik kan!



Ini adalah sebuah rumah berdasarkan binaan buloh yang sedang dibina oleh seorang sahabat, Ahmad Nazim. Nazim adalah seorang rakyat British yang sudah lama memeluk Islam dan berkahwin dengan rakyat tempatan.
Binaan yang dilihat ini telah dibina dengan qudrat sendiri dengan pertolongan beberapa orang kawan. Kelihatan dalam gambar adalah Nazim dan seorang anak perempuannya.


Perhatikan betul-betul gambar ini. Di sebalik pepohon di belakang ini terletak sebuah rumah lama daripada Perak yang dikatakan sebuah istana lama... Ceritanya ada di sini... Rumah lama Perak di Janda Baik (An old Perak house...


Oh... Mungkin ada yang tertanya-tanya, di manakah saya sering duduk sekarang apabila berada di Janda Baik? Lagipun pada permulaan artikel ini, saya ada menyebut, suatu masa dahulu saya duduk di rumah Pak Habib, bermakna sekarang saya tidak lagi duduk di situ bukan?
Jawabannya ada pada link yang diberikan di atas juga pada posting baru mengenai promosi buku yang akan dibuat di blospot CATATAN SI MERAH SILU nanti. Buat masa ini, biarlah saya membuat apa-apa pembaharuan yang patut di blogspot lain ya... Wassalam!