Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, March 11, 2022

Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022

OK. Biar dibuat artikel kompilasi tentang perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 walaupun cuma memakan tempoh 3 hari 3 malam dan cuma ada beberapa artikel tentangnya.


 

Perjalanan dibuat supaya dapat menghadiri satu majlis ilmu di Bukit Katil, Melaka pada pagi Ahad 6Mac 2022 juga kembali ke kampung di Muar bertemu orang tua. Jadi diputuskan pergi ke rumah mereka dahulu dengan bergerak dari rumah sendiri di Selangor hari Khamis malam Jumaat 3 Mac. Singgah ke Bukit Melaka sebelum ke rumah ibu bapa. Siang Jumaat pergi seorang diri bersolat Jumaat di Masjid Jamek Muar kemudian beriktikaf buat sejam dua. 

Hari Sabtu baru membawa keluarga dan ibu bapa berjalan merata. Seperti biasa apabila ada peluang kami akan bersarapan hidangan nasi beringin di kedai berkenaan di kompleks perhentian bas tepi Sungai Muar. Ahad selepas majlis di Melaka singgah ke pusat bandar raya kemudian menuju ke Kuala Pilah lalu menziarahi lagi beberapa tempat bersejarah. Apabila kembali ke rumah meter menunjukkan kereta sudah berjalan hampir 680 km. Sedangkan perjalanan pergi balik ke rumah ibu bapa adalah 480 km. bermakna ada 200 km lagi tambahan berjalan-jalan ke sana ke mari.


1. Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor

2. The waterfront and jetty besides the Muar river in Panchor

3. Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Membawa orang tua berjalan lalu terimbau kenangan lama sejak tahun 2002

4. Semarak Cinta Watan : Menjejaki Permata Tuah

5. Rumah (House of) Munsyi Abdullah

6. Lawatan terbaru ke makam (Latest visit to tomb of) Sheikh Shamsuddin Sumatrani








Thursday, March 10, 2022

Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Dari majlis di Melaka ke tempat-tempat bersejarah hingga ke Negeri Sembilan

Salam malam Jumaat 8 Sya'aban. Dipersembahkan cerita ke-3 dan terakhir perjalanan ke selatan baru ini. Bersambung daripada artikel Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Membawa orang tua berjalan lalu terimbau kenangan lama sejak tahun 2002.



Pagi Ahad 6 Mac 2022. Kami meninggalkan rumah ibu bapa di Muar untuk menghala kembali ke rumah sendiri ke utara Selangor.




Singgah dahulu di Bukit Katil, Melaka. Ada majlis melibatkan kedaulatan Melayu dan Islam dan  saya adalah seorang tetamu kehormat. Lihat artikel Semarak Cinta Watan : Menjejaki Permata Tuah di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).




Selepas majlis tentang ketokohan Hang Tuah diadakan sesi muzakarah dengan pucuk pimpinan NGO. Saya diminta menyatakan sesuatu. Terkeluar kalam tentang Great Reset 2030 yang dirancang Barat juga apa yang berlaku tahun 1920an melibatkan kejatuhan Turki Uthmaniyah dan bagaimana ia mempengaruhi golongan bangsawan di Tanah Melayu. Lihat rakaman berkenaan di sini dan sini.



Sebetulnya perjalanan ke selatan yang merupakan pertama bagi tahun 2022 ini memang dirancang sebegitu rupa supaya dapat menghadiri majlis tersebut. Kalau tidak kerana itu mungkin dah balik kampung lebih awal, misalnya semasa cuti Hari Raya Cina awal bulan Februari. Dekat jam 2.30 baru meninggalkan Bukit Katil. Oh. Kami juga menghabiskan sedikit masa di zawiyah berdekatan.



Pergi ke pusat bandar raya Melaka untuk ke Masjid Kampung Hulu. Dah lama juga tak singgah. Dalam tempoh 2-3 tahun kebelakangan kami cuma lalu di pinggir bandar raya sahaja. Ini kerana tidak suka pada kesesakan yang biasa dialami kalau masuk ke pusat.



Jamakkan solat Zohor dan Asar lalu  beriktikaf sejenak. Masjid ini sudah banyak kali dijadikan tempat beriktikaf malah menginap.



Ziarah makam-makam yang ada di masjid juga yang keluar sedikit, satu makam tokoh besar agama bertaraf wali dari Aceh yang meninggal dunia selepas terlibat dalam peperangan melawan Portugis 400 tahun lalu. Makam tersebut baru diganti batu nesan dengan replika batu Aceh (bukan dalam gambar). Hampir di sebelahnya pula terdapat rumah tinggalan seorang tokoh penulis Melayu yang kontroversi. 

Beliau dikatakan tokoh kerana penulisan tentang keadaan orang Melayu di beberapa tempat dapat dijadikan rujukan zaman berzaman. Namun ada kontroversi kerana beliau juga bertanggungjawab membuat penterjemahan kitab Bible Kristian ke dalam bahasa Melayu. Entahlah untuk apa. Lihat artikel Rumah (House of) Munsyi Abdullah di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) diikuti Lawatan terbaru ke makam (Latest visit to tomb of) Sheikh Shamsuddin Sumatrani.




Jam 3.30 baru mengorak langkah keluar dari bandar raya.




Ambil jalan di pinggir pekan Alor Gajah menuju ke Tampin...




Sebelum sampai Tampin singgah di masjid ini di Padang Sebang. Singgah juga di tanah-tanah perkuburan berdekatan kerana ada sejarah yang tersendiri. Menurut sumber kebatinan di sekitar ini ramai orang Melayu mati syahid menentang Portugis ketika kuasa Barat itu datang menceroboh tahun 1511. Ada beberapa makam disebut sebagai milik tokoh-tokoh besar Melayu yang kalau disebut nama ramai pengkaji tahu. 

Saya mengangguk kepala sahaja apabila diberitahu. Selagi tidak ada pengesahan yang lebih jitu saya pegang tidak tolak pun tidak. Cukuplah direkodkan sebagai sesuatu yang saya berusaha juga untuk ambil tahu. Lihat artikel-artikel berikut :-










Perjalanan disambung jam 5.30. Di Tampin sekadar lalu di tepian pusat bandar sebelum mengambil jalan ke Kuala Pilah.




Singgah di Masjid Tok Muar yang katanya adalah masjid jamek atau masjid utama bagi pekan Kuala Pilah sebelum masjid lebih moden dibina lalu dibuka tahun 1966. Tujuannya adalah untuk menziarahi makam orang bernama Tok Muar yang pernah menjadi Penghulu Ulu Muar 200 tahun lalu. Dikatakan ia terletak di halaman masjid. Tapi ada pula mengatakan itu cuma makam imam masjid. Satu lagi makam adalah milik pembantunya. Lihat Makam (Tomb of) Tok Muar?.




Dengan ini selesailah suatu macam 'hutang'. Ini kerana ketika kali pertama dan terakhir sampai ke masjid lebih setahun setengah lalu tak tahu ada makam. Bila dah jauh meninggalkan baru tahu tentang itu. Lihat artikel Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Masjid lama Negeri Sembilan dan faktor Sungai Muar yang dipersembahkan Ogos tahun 2020. 

Sejak itu saya berazam akan menziarahi makam. Tetapi belum muncul kesempatan walaupun ada lalu dekat-dekat Kuala Pilah. Setelah beberapa lama baru sampai. Kami pun menuju ke tempat persinggahan seterusnya dengan rasa lega.




Gambar ini diambil pada jam 7.08 petang. Kalau ikutkan hajat ada 2-3 tempat lagi nak singgah sebelum kembali ke rumah tapi dah tak sempat. Dah lewat sangat sedangkan tempat-tempat ini semua memakan masa dan jarak. Cukuplah sampai ke tempat yang kelihatan.




Kami berehat sebentar dalam bangunan makam. Tergerak pula untuk mengambil gambar ini lalu diletakkan di Facebook dengan kapsyen berikut berbunyi "Nak menulis kena jumpa Tuan Tulis".




Ini pula di rumah seorang pakcik di kampung berdekatan makam. Kawan yang bawa lalu ajak berjumpa. Sebetulnya kawan tersebut yang menetap di Bangi ditemui di majlis di Melaka lalu kami berjalan bersama selepas itu, beliau dalam satu kereta. Di sinilah kami menjamakkan solat Maghrib dan Isyak lalu berbual panjang sebelum kembali ke rumah.


Wednesday, March 09, 2022

Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Membawa orang tua berjalan lalu terimbau kenangan lama sejak tahun 2002

Meneruskan penceritaan bagi perjalanan terbaru ke selatan. Bersambung daripada artikel Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor.



Pagi Sabtu 5 Mac 2022. Kami anak beranak menuju ke pusat bandar Muar atau Bandar Maharani.




Bawa sekali ibu bapa, adik bawah saya (berumur 50 tahun ini) dan anak kecilnya makan nasi beringin di kedai makan terkenal di perhentian bas ke Melaka tepian Sungai Muar. Seorang adik ibu kemudian turut sekali makan.




Puas makan kami berjalan ke Tanjung Mas kemudian menjambil Jalan Junid untuk kedai rempah Mak Pon. Selepas membeli sejumlah barangan ambil lagi jalan sehingga ke hujung selatan lalu masuk ke jeti nelayan yang kelihatan iaitu di Parit Unas.



Masuk pula ke Jalan Abdul Rahman lalu ke pekan Parit Jawa. Membelok ke arah laut untuk ke Pantai Leka...



Perjalanan sejak dari Tanjung Emas itu boleh dikatakan menyusur jalan raya biasa (bukan jalan kampung) terdekat ke garisan pantai. Dekat jam 12 kami mengambil pula jalan ke Bukit Mor lalu menuju ke pendalaman.







Dari situ boleh masuk ke jalan Bakri-Parit Sulong lalu menuju kembali ke arah bandar Muar. Singgah di tanah perkuburan besar di Batu 6 Bakri untuk menziarahi kubur sejumlah ahli keluarga bermula dengan kubur datuk belah ibu yang meninggal dunia pada tahun 1984. Untuk makluman melalui datuk bernama Ismail bin Hussein bin Daeng Betak ini kami dipercayai memiliki titisan darah Bugis daripada Daeng Parani. Isteri datuk iaitu ibu kepada saya berdarah Jawa.




Di bahagian lain tanah perkuburan terdapat kubur adik laki-laki bongsu saya. Beliau meninggal dunia tahun 2002 dalam satu kemalangan, dipercayai dihimpit ke tepi salah satu jambatan kecil di Shah Alam oleh sebuah kereta pada waktu malam. Adik yang menunggang motosikal terlanggar besi penghadang atau sesuatu serupa ini. Pemandu kereta pula lari meninggalkan beliau. Orang lain pula yang jumpa lalu memaklumkan.

Ketika melihat tahun beliau meninggal pada batu nesan iaitu 2002 baru teringat bagaimana berlaku banyak perkara yang mencengkam jiwa pada tahun tersebut. Timbul rasa bahawa penulisan bertajuk Artikel ke-2,222, bagi tarikh 22/2/22 yang disiarkan setengah bulan lalu ada kena mengena dengan hal tahun 2002 itu.




Cuma beberapa kaki sahaja dari kubur adik pula adalah kubur ibu kepada ibu. Beliau yang pernah menjaga saya sejak kecil sehingga remaja juga meninggal dunia tahun 2002. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002.  Melawat kubur adik dan nenek timbul isyarat dalam hati bahawa antara perkara penting perlu dilalui bagi tahun 2022 adalah berhadapan dengan segala yang terbuku dalam hati akibat apa yang berlaku 20 tahun lalu. Nampak seperti sudah begitu lama ditinggalkan dan sudah lupa. Sebenarnya ada luka-luka lama yang belum betul-betul terubat sedangkan saya sekadar menggagahkan diri.



Sebetulnya ibu yang menyebut sudah lama tidak menziarahi kubur adik di Batu 6 Bakri itu, sudah lebih 2 tahun gitu, iaitu pada hari sebelumnya. Kalau dah ke situ tentu ziarah sekali kubur ibu bapa kepada ibu. Saya pun mengajar ke kubur lalu mengatur ke dalam rancangan perjalanan hari Sabtu. Dari tanah perkuburan kami menuju kembali ke pusat bandar Muar. Didapati dalam perjalanan melalui jalan Bakri-Parit Sulong inilah kelihatan paling banyak dan paling rapat-rapat terkibar bendera-bendera parti bagi pilihan raya Johor. Rujuk sedikit hal berkenaan dalam artikel sebelum ini iaitu Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor.






Perjalanan diteruskan dengan menyeberangi Sungai Muar melalui jambatan lama. Masuk ke satu bahagian yang dahulu adalah separuh utara daerah Muar tetapi kini telah dijadikan daerah sendiri iaitu Tangkak.



Anak bongsu saya mahu ke pasar raya di sebelah sini. Kelihatan sebahagian dari bandar Muar dari tempat rehat tepian sungai bersebelahan pasar raya.




Petang itu selepas berehat sejam dua juga menunaikan solat Zohor di rumah (saya, isteri dan anak menjamakkan sekali Asar) kami membawa ibu bapa dan adik saya serta anaknya berjalan ke arah timur daerah Muar pula.




Singgah sebentar di pusat rempah Nasuha di mana terdapat ladang besar untuk rempah ratus yang dijual atas jenama Mak Siti.




Kemudian mengambil jalan ke Bandar Universiti Pagoh lalu ke Panchor di mana kami makan-makan di tepian Sungai Muar lagi. Lihat artikel The waterfront and jetty besides the Muar river in Panchor di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Dari Panchor terfikir hendak membawa ibu bapa ke Gerisek diikuti Bukit Gambir kemudian ke kaki Gunung Ledang. Seterusnya ke Bukit Kepong sebelum kembali melalui Lenga kemudian Pagoh. Tetapi mereka merasa tidak selesa lama di luar kerana mahu menunaikan solat Asar di rumah. Saya pun mengambil jalan kecil mengikut ladang kemudian persisiran Sungai Muar untuk ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah (Sultan Melaka lebih 500 tahun lalu) di sebelah Masjid Kampung Raja, Pagoh. Dari situ boleh kembali ke rumah ibu bapa di Kampung Temiang...




Rasanya sudah lebih 2 tahun juga tidak menziarahi makam ini walau sudah beberapa kali balik ke Muar dalam tempoh tersebut. Nasib baik ayah sudah tidak berapa pelik lalu turut keluar dari kereta untuk ke makam. Apabila kembali ke rumah didapati kami sudah berjalan sekitar 130 km hari itu. Walhal cuma pusing-pusing di sebahagian daerah Muar sahaja. Kalau pergi hingga ke kaki Gunung Ledang kemudian Bukit Kepong harus melepasi 230 km.

Oh. Ketika hendak memulakan artikel baru teringat bahawa pada 20-23 Februari iaitu 2 minggu lalu kami telah membuat perjalanan ke Kedah dan Perak lalu memakan jumlah jarak 1,200 km. Lihat artikel Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II. Hujung minggu 26-27 Feb pula kami ke kampung isteri di Tanjung Sepat. Pergi balik ada dalam 250 km juga. Tapi tak buat apa-apa cerita. Cuma ada disebut pada awal artikel kedua "Kembara kekerabatan" iaitu Dari Kota Kuala Kedah membawa ke Kerian membawa ke Ijok bahawa disiarkan dari sana.

Esoknya pagi Isnin 28 Februari kami ke Janda Baik untuk menghantar anak masuk tahfiz. Lalu pada awal artikel ketiga "Kembara kekerabatan" iaitu Kembara kekerabatan Laksamana Perak dan Kedah part II - Antara Lenggong dengan panggilan Laksamana Aceh ada disebut ia disiarkan dari sana. Taklah jauh sangat tempatnya. Tetapi perjalanan pergi balik harus memakan jarak lebih 170 km juga. Tiga hari selepas itu iaitu pada hari Khamis 3 Mac baru mengorak langkah ke rumah ibu bapa di Muar sekitar 240 km perjalanan. 

Maka dalam tempoh sejak bergerak ke Kedah 20 Februari hinggalah selepas membawa ibu bapa berjalan-jalan pusing sebahagian daerah Muar pada 5 Mac iaitu kurang 2 minggu saya telah memandu lebih 2,000 km, Ini adalah jumlah jarak yang disebut tadi campur ada berjalan sendirian hari Jumaat 4 Mac bersamaan 1 Sya'aban seperti diceritakan dalam artikel Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor. Di celah-celah itu saya mempersembahkan sejumlah artikel di blogspot ini. Malah ketika di Muar sahaja pun terbit 10 artikel baru. Lihat artikel Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki diikuti Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki dan Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002 juga 7 artikel yang tersenarai di dalamnya. 

Sambil itu saya juga membuat bacaan, kajian dan penulisan tesis untuk ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam) selain melakukan amalan seperti menghabiskan sekurang-kurang satu juz bacaan Quran sehari berserta 10 ayat pertama dan  10 ayat terakhir Surah Al-Kahfi, kalau pagi Jumaat mesti habiskan satu surah. Nah. Banyak perkara dilakukan setiap hari selain berjalan-jalan ke sana ke mari sambil mencari kesan sejarah setiap kali berpeluang. Mana tak penat?

Saya sebut hal ini kerana ia berkenaan apa yang timbul ketika menziarahi kubur adik dan nenek (ibu kepada ibu) yang meninggal dunia tahun 2002 itu. Ini disebut dalam konteks mungkin tahun 2022 ini harus berhadapan dengan luka-luka lama yang masih wujud walau digagahi selama ini seperti tiada apa-apa. Ya. Jika 2 minggu kebelakangan pun sudah memenatkan bayangkan apa yang telah dihadapi dalam tempoh 20 tahun kebelakangan. Kalau nak kira perjalananan sahaja harus sudah lebih 100,000 km. Lihat artikel Senarai 60 perjalanan terjauh 30 istimewa dan 81 lain-lain diikuti Setakat 179,389 km apa barang kan?. Bayangkan betapa penat berjalan ke sana ke mari dalam tempoh 20 tahun itu. Apabila disemak kembali banyak perjalanan dibuat rapat-rapat, lepas satu satu seperti halnya 2 minggu kebelakangan ini.

Belum campur usaha sehingga terbitnya 13 buku tulisan saya dari tahun 2006 hingga tahun 2019, juga penulisan artikel-artikel yang berjumlah hampir 7,000 sejak penghujung 2006 hingga kini. Untuk makluman di blogspot ini pun sudah terdapat 2,239  setakat ini termasuk artikel ini. Terdapat lagi 2,180 artikel di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), 2,169 di BERPETUALANG KE ACEH dan 400 di Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Ini belum dikira bermacam beban emosi, juga cabaran berbentuk kebatinan kerana selalu ke makam-makam lama juga tempat jin bertendang seperti dalam hutan.

Cuma tu le. Saya selalu terlupa. Selalu tak ingat juga tak endah entah beberapa banyak perkara dihadapi. Sedangkan ada yang sebenarnya memberikan luka baik secara fizikal mahupun pada dalaman dan jiwa. Luka secara fizikal tu sekurang-kurangnya boleh nampak ia pulih walaupun tak sama lagi keadaan seperti halnya saya patah kaki tahun 2013. Dalam keadaan begitu pun tetap banyak perkara dilaksanakan, ribuan kilometer dibuat perjalanan. Lihat artikel-artikel lama berikut :-










Tetapi luka dalam jiwa siapa yang tahu? Selalu saya gagahi sahaja walaupun kesannya tetap ada. Itu yang agaknya badan dan kepala selalu terasa penat selain sebab-sebab nyata seperti perjalanan fizikal dan buat bermacam kerja. Itu yang perlu dihadapi dan diselesaikan tahun 2022 ini. Doakan saya ya.


P/s : Nak fahami apa yang berlaku pada tahun 2002 dengan lebih baik, bagaimana ia meruntun jiwa, sila rujuk artikel Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002 serta artikel-artikel yang tersenarai di dalamnya.



Tuesday, March 08, 2022

Perjalanan pertama ke Muar tahun 2022 - Antara Bukit Melaka dengan pilihan raya negeri Johor

Salam petang Selasa 5 Sya'aban. Merujuk pada artikel kompilasi Tentang projek buku pertamaku dalam bahasa Melayu tahun 2002 yang dipersembahkan lewat malam semalam. Adapun artikel-artikel yang disenaraikan lalu dibuat pautan di situ semua disiarkan di/dari Muar. Kenapa dari Muar? Biar dimulakan satu siri kecil berkenaan.



Khamis malam Jumaat 3 Februari 2022 selepas jam 9. Saya membawa isteri dan seorang anak menuju ke selatan. Masuk bandar raya Kuala Lumpur makan malam lewat di Kampung Bahru. Selepas itu menuju ke Lebuh Raya LEKAS ke Seremban sebelum mengambil jalan lama melepasi Pedas, Rembau dan Alor Gajah.

Gambar ini diambil pada jam 1.32 pagi Jumaat 4 Februari di Jonker Walk, bandar raya Melaka. Sebelum itu saya telah pergi menziarahi makam Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani di Kampung Ketek tidak jauh dari Jonker Walk. Selepas membelok ke sini baru tergerak untuk mengambil gambar. Ini kerana ada makam tokoh boleh kelihatan di sebelah.



Ia adalah makam Hang Kasturi, salah seorang daripada pahlawan 5 bersahabat terkenal daripada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka lebih 500 tahun dahulu. Saya mengambil gambar kerana kelihatan cukup jelas di Jonker Walk. Tidak seperti makam Sheikh Shamsuddin yang terletak sedikit ke dalam lalu tempatnya gelap. Yang itu biar diambil gambar bila datang lagi pada waktu siang.

Sesungguhnya sudah lama kami tidak berjalan-jalan di pusat bandar raya Melaka dan sekitar. Rasanya dah lebih 2 tahun tak singgah. Kami cuma ada mengambil jalan di luar kerana mahu mengelak kesesakan yang biasa melanda kawasan. Kali ini ada keperluan untuk ke pusat bandar dan ini akan diterangkan dalam artikel kemudian.



Dari Jonker Walk timbul rasa untuk menuju ke tinggalan kota lama yang dikenali sebagai A Famosa.  Yang tinggal ini cuma pintu gerbang bagi tembok kota lama yang pernah mengelilingi Bukit Melaka.




Secara rasminya ia dikenali sebagai Bukit St. Paul kerana nama itulah yang ditinggalkan lalu dipakai hingga sekarang iaitu selepas Portugis menjajah Kota Melaka tahun 1511. Tergerak untuk singgah kerana beberapa hari sebelum itu ada terbaca laporan berita bahawa ia akan ditukar kepada nama asal Bukit Melaka. Dalam laporan ada gambar menunjukkan kain rentang besar dengan nama Bukit Melaka tertera dekat puncak. Untuk pengetahuan di puncak itu harus pernah berdiri istana utama kerajaan Melaka sebelum diruntuhkan penjajah lalu digantikan dengan gereja.




Kalau boleh saya ingin menyaksikan kain rentang. Terasa begitu bersemangat apabila membaca proses pertukaran nama sudah dimulakan. Isteri pula seperti faham apa yang bermain dalam fikiran. Belum dinyatakan niat lagi, tiba-tiba beliau pula memberitahu hendak naik puncak bukit naiklah. Beliau sanggup menunggu dalam kereta. 



Ya. Saya boleh sahaja pergi begitu tanpa kebenaran beliau. Namun sebagai seorang suami yang bertimbang rasa saya tahu beliau juga penat kerana perjalanan. Sedangkan ketika kami sampai berdekatan kaki bukit pun sudah jam 1.45 malam. Sedangkan destinasi sebenar iaitu rumah ibu bapa di Muar masih lebih 40 km perjalanan. 

Seperti halnya apabila ada tempat mahu dilawati sedangkan isteri kepenatan beliau sedia menunggu dalam kereta. Anak kami yang berumur 10 tahun pula sudah nyenyak tidur. Lalu bergegaslah saya ke kaki bukit. Timbul rasa kecewa nama tempat masih dinyatakan sebagai Bukit St. Paul pada papan maklumat. .



Tak mengapa pujuk hati ini. Mungkin nama belum ditukar kerana belum digazetkan. Harap ada kain rentang bertulis nama "Bukit Melaka" di atas.. Saya pun naik menuju ke puncak. Dalam perjalanan perlu melalui beberapa kubur lama daripada zaman penjajah Belanda tahun 1641 hingga 1824.




Tidak dipedulikan pun bahawa ketika itu sudah lewat malam Jumaat, malam yang biasa disebut paling menyeramkan.




Masuk pula ke dalam gereja St Paul binaan zaman penjajahan Portugis tahun 1511 hingga 1641. Dalam itu terdapat beberapa buah lagi kubur termasuk milik orang Portugis.



Walaupun dapat dirasakan kehadiran makhluk halus yang kuat saya tak peduli semua itu. Lagipun dah biasa menghadapi seorang diri di kubur-kubur, bangunan lama dan hutan. Saya tak peduli dan tak hairan. Bukan kerana merasakan diri kuat mahupun berani tetapi kerana mahu berpegang pada kenyataan dan keyakinan bahawa cuma Allah SWT sahaja berkuasa, bukan sekadar cakap-cakap...



Yang ingin dicari adalah kain rentang bertulis "Bukit Melaka" itu. Pusing segenap puncak dan lereng berdekatan langsung tak jumpa. Walhal baru dilihat dalam gambar pada laporan berita berkenaan. Terasa bukan mudah hendak menggantikan balik nama tempat kepada nama asal sebelum dijajah. Banyak pihak berkepentingan, pihak yang tak mahu kedaulatan Melayu naik sebenar-benarnya naik kembali di bumi Melaka akan berusaha menghalang.



Bila dah balik ke rumah sendiri lalu menyemak gambar-gambar untuk digunakan dalam artikel ini baru tersedar bahawa papan maklumat di kaki bukit ada menyebut nama Bukit Melaka. Cuma tinggal tajuk besar Bukit St. Paul perlu diubah. Insyaallah ada harapan...




Gambar ini pula diambil di Masjid Jamek Muar pada jam 1.30 petang. Dari Melaka kami telah bergerak ke rumah ibu bapa di Kampung Temiang lalu sampai sekitar jam 3 pagi. Berbual-bual dengan orang tua sebelum masuk tidur dekat jam 4. Bapa menunjukkan televisyen baru Android bersaiz 70 inci yang baru sebulan dibeli lalu memainkan cerita Ertugrul. Bangun untuk bersolat Subuh kemudian tidur kembali jam 6 lebih. Bangun lagi jam 8 lebih untuk bersarapan bersama keluarga sebelum menyambung tidur jam 9 lebih. Dekat jam 1 baru bersiap untuk menunaikan solat Jumaat di masjid ini.




Bapa dan adik lelaki yang muncul kerana saya ada memilih untuk bersolat di masjid berdekatan. Saya sahaja pergi seorang diri ke masjid jamek yang terletak 8 km dari rumah. Ini kerana masjid ini meninggalkan banyak kenangan. Dahulu, sejak lahir tahun 1970 sehingga betul-betul meninggalkan Muar tahun 1988 (kerana pernah bersekolah asrama penuh di Kluang 1983-1986 tetapi balik bercuti di Muar)  saya menetap di rumah datuk kurang 500 meter dari masjid. Di situlah  selalu menunaikan solat Jumaat juga lain-lain solat terutama solat Teraweh semasa bulan Ramadhan. Di sini dan sekitarnya saya mula mengenali silat juga permainan batin berkenaan.



Selepas solat Jumaat saya beriktikaf sehingga jam 4. Sempatlah menamatkan Juz 1 Al-Quran. Oh. Hari itu tarikh Jumaatnya adalah 1 Sya'aban. Selepas mengkhatamkan bacaan 30 juz bagi bulan Rejab pada siang Khamis iaitu hari sebelum saya telah memulakan satu lagi pusingan bacaan bagi bulan Sya'aban.



Satu perkara menarik dapat dilihat apabila menghampiri kawasan rumah ibu bapa di Kampung Temiang adalah bendera-bendera parti untuk pilihan raya negeri Johor yang berkibaran di tepian jalan.




Nampak begitu meriah walaupun pada musim Covid-19 sedang melanda ini. Dan jumlah kes kembali meningkat...




Walaupun tidak gemar pada dunia politik suasana pilihan raya tetap terasa mengujakan. Maklumlah pernah menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris di The New Straits Times tahun 1996-2001. Secara automatik minda akan menilai dan menafsir keadaan.