Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, November 26, 2020

Apabila ulang tahun kelahiran yang ke-50 juga jatuh pada malam Jumaat

Salam lewat malam Jumaat. Artikel ini telah disediakan seminggu lalu tetapi disemak lalu disunting waktu Subuh tadi. Gambar bawah ini pula diambil daripada satu rakaman video selepas solat Isyak. Semuanya untuk perkongsian selepas jam 11 malam ini atas sebab tertentu...



Lewat malam Khamis 19 November 2020. Terlihat iklan di televisyen menyatakan satu rancangan akan diadakan pada hari Khamis 26 November 2020. Teringat bahawa pada tarikh tersebut genaplah umur saya 50 tahun menurut kalender Gregorian yang diperkenalkan oleh Barat. Apabila melihat tarikh tersebut jatuh pada hari Khamis teringat pula bahawa saya dilahirkan sekitar jam 11 malam Jumaat.

Ya, malamnya adalah malam Jumaat berdasarkan kiraan Islam bahawa apabila masuk sahaja waktu Maghrib maka bermulalah hari baru. Tetapi siangnya adalah hari Khamis. Maka 26 November 2020 jatuh pada hari Khamis sedangkan malamnya adalah malam Jumaat. Menarik ini. Saya akan menyambut hari ulangtahun ke-50 pada hari Khamis yang  malamnya adalah malam Jumaat seperti halnya ketika lahir setengah abad lalu.

Ini membuatkan timbul rasa untuk menyemak sudah berapa kalikah ulang tahun saya jatuh pada hari Khamis malam Jumaat. Semakan boleh dibuat dengan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter (mengubah tarikh Barat kepada tarikh Islam, boleh cari programnya menggunakan Google) kerana ia turut menunjukkan pada hari apakah suatu tarikh itu jatuh. Tetapi hendak menyemak setiap tahun sehingga sampai yang ke-50 harus memakan masa. Untuk mempercepatkan proses terfikir untuk menggunakan kira-kira matematik seperti berikut :-

------------

Adapun satu tahun dalam kalendar Gregorian memiliki 365 hari. Suatu hari akan berulang selepas seminggu atau 7 hari. Misalnya 19 November jatuh pada hari Khamis. Maka 26 November iaitu 7 hari selepas itu juga jatuh pada hari Khamis. Begitu juga seminggu selepas itu dan seterusnya.

365 hari bahagi 7 = 52 minggu + 1 hari... ada anjakan satu hari. Ini bermakna setahun selepas 1970 iaitu pada tahun 1971 tarikh 26 November jatuh satu hari selepas Khamis iaitu pada hari Jumaat.

Saya menyemak ini menggunakan program Gregorian to Hijriah converter lalu mendapati ini adalah benar. Cuba pula bagi tahun 1972. Ingatkan 26 November jatuh sehari selepas Jumaat  iaitu pada hari Sabtu. Tengok-tengok salah. Ia jatuh pada hari Ahad.

Ah. Nampaknya saya sudah terlupa bahawa 1972 adalah Tahun Lompat yang mengandungi 366 hari. Ini adalah bersamaan 52 minggu + 2 hari. Dalam kalendar Gregorian ia berlaku sekali pada setiap 4 tahun. Setiap kali berlaku Tahun Lompat suatu hari pada suatu tarikh teranjak sebanyak 2 hari. Jika 26 November 1971 jatuh pada hari Jumaat maka 26 November 1972 jatuh pada 2 hari selepas Jumaat iaitu Ahad.

Ya. Faktor Tahun Lompat mesti diambil kira. Nasib baik boleh mengenal mana satu Tahun Lompat. Ia jatuh pada tahun yang boleh dibahagi 4 tanpa meninggalkan baki. Misalnya 1970 bahagi 4 adalah 492 darab 4 campur baki 2. Sedangkan 1972 bahagi 4 adalah tepat 493. Setelah mengetahui ini kita boleh tambah 4 pada 1972 untuk mengetahui Tahun Lompat seterusnya adalah 1976. Ini diikuti 1980, 1984, 1988 dan seterusnya.


Dengan ini bolehlah dibina jadual anjakan hari seperti di atas. Setiap jumlah anjakan yang boleh dibahagi dengan 7 menunjukkan 26 November pada tahun tersebut jatuh pada hari Khamis yang malamnya adalah malam Jumaat. Hasilnya adalah didapati ini berlaku pada tahun 1981, 1987, 1992, 1998, 2009, 2015 dan 2020. Semakan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter menunjukkan kira-kira ini adalah benar. Ia juga memberikan tarikh-tarikh kalendar Islam atau Hijriah seperti berikut :-

1) 26 November 1981 = 29 Muharram 1402 

2)  26 November 1987 = 4 Rabiualwal 1408

3)  26 November 1992 = 1 Jamadilakhir 1413

4)  26 November 1998 = 7 Sya'aban 1419

5)  26 November 2009 = 9 Zulhijjah 1430

6) 26 November 2015 = 14 Safar 1437

7) 26 November 2020 = 11 Rabiulakhir 1442


Untuk makluman program memberitahu ada terdapat kemungkinan ralat 1 hari dalam penukaran tarikh menurut kalendar. Harus juga diingatkan bahawa kalendar Islam dahulu boleh jadi berbeza antara negara disebabkan kemunculan anak bulan dijadikan penentu utama bagi bermulanya bulan baru, bukan kiraan falak. Hal ini boleh menyebabkan orang di Indonesia mula berpuasa pada hari Khamis sedangkan orang di Malaysia mula berpuasa pada esoknya hari Jumaat. Begitu juga halnya pada Hari Raya Aidilfitri. Apapun program memberikan hari lahir tepat saya 26 November 1970 adalah bersamaan 26 Ramadhan 1390 Hijriah. Ini adalah benar kerana malamnya adalah 27 Ramadhan iaitu Malam Tujuh Likur. Memang saya dilahirkan pada malam mulia itu. 

Seterusnya tergerak untuk cuba mengingati di manakah saya berada pada tarikh-tarikh berkenaan...

1) 26 November 1981 - Ketika ini baru habis Darjah 5 di Sekolah Rendah Ismail 2 di Muar. Harus sudah masuk cuti sekolah hujung tahun. Mungkin sedang berjalan ke mana-mana dibawa ibu bapa. Ketika ini anak ke-5 dan bongsu mereka iaitu satu-satunya adik perempuan saya sudah hendak masuk umur 2 tahun.

2)  26 November 1987 - Semasa ini harus cuti sekolah juga. Pada tahun ini saya berada di Tingkatan 5 Sekolah Tinggi Muar. Cuma tak pasti apakah ketika itu sudah tamat mengambil SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) atau bagaimana. Satu perkara menarik dalam ingatan. Saya pernah bergaduh dengan bapa sehingga lari rumah ketika peperiksaan menjelang. Hampir-hampir tidak mengambil SPM. 

Nasib baik terfikir juga tentang masa hadapan lalu meminta adik membawakan baju sekolah ke satu tempat perjumpaan. Selama 2-3 hari juga saya mengambil peperiksaan dalam keadaan 'pelarian' menumpang di rumah kawan. Selepas mengambil peperiksaan di sekolah membantu beliau menjual rojak di taman peranginan sebelah Sungai Muar. Nasib baik masih boleh dapat Gred 1 walaupun agregatnya tidak berapa cemerlang.

3)  26 November 1992 - Ketika ini sudah masuk Tahun 2 pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di Universiti College of London. Tetapi saya selalu ponteng kelas. Malah rasanya tak sampai 5 peratus kehadiran dalam kelas. Masa banyak dihabiskan tidur atau berjalan. Saya sedang menghadapi pergolakan jiwa yang hebat akibat diri yang dahulu sangat meminati ilmu sains dan logik akal mula beralih arah masuk ke dunia spiritual bersifat Tasawuf. Nasib baiklah selepas itu dapat juga ijazah kepujian walau tidak cemerlang.

4)  26 November 1998 - Ketika ini sudah 2 tahun lebih bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times di Kuala Lumpur. Rasanya sudah masuk meja sukan yang bersifat lebih santai berbanding misalnya meja berita (newsdesk) yang dipandang lebih berwibawa kerana sering berurusan dengan para menteri dan pentadbiran tertinggi negara mencari berita-berita penting yang boleh menentukan hala tuju. Namun pada zaman itulah rupanya dapat mengenali para VVIP dalam kapisiti lebih peribadi. Misalnya, saya pernah diperkenalkan dengan seorang Tengku Mahkota dan seorang Raja Muda dalam keadaan santai minum-minum bersama kawan-kawan. Tidak lama kemudian mereka menaiki takhta negeri masing-masing.

5)  26 November 2009 - Ketika ini sudah hampir setahun bernikah dengan isteri sekarang. Anak pertama kami (bersama kerana kami masing-masing sudah ada anak) sudah berumur hampir sebulan setengah. Ketika ini juga saya sudah menghasilkan 4 tajuk buku. Berdasarkan tarikh adalah bersamaan 9 Zulhijjah 1430 kami harus sedang berada di kampung saya di Muar untuk menyambut Hari Raya Haji atau Aidil Adha.

Oleh kerana pada ketika ini sudah lebih 3 tahun saya aktif menulis dalam blogspot maka dapatlah juga disemak aktiviti apakah yang dilakukan pada sekitar waktu itu. Didapati bahawa selain balik kampung kami mengambil peluang untuk berjalan ke selatan sehingga ke Singapura setelah isteri habis pantang  bersalin 40 hari iaitu pada 22 November. Lihat artikel Akan datang : Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan!. Bila disemak betul-betul artikel-artikel berkenaan didapati bahawa pada 26 November 2019 kami sekeluarga telah melakukan perjalanan dari Bandar Tenggara ke Muar. Singgah di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang di mana saya pernah belajar Tingkatan 1 hingga 4 kemudian membawa anak kecil kami berziarah ke makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh sebelum kembali ke kampung untuk berhari raya. Lihat artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan lama Gelanggayu, kopi Kluang dan kenangan sekolah menengah lalu...  diikuti Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menutup perjalanan di makam Sultan Alauddin!

6) 26 November 2015 - Ketika ini anak kedua bersama isteri sudah berumur 3 tahun lebih. Saya pula telah menghasilkan 8 tajuk buku. Pada jam 11.31 malam saya telah mempersembahkan satu artikel bertajuk Daulah Melayu di Jawa Timur - Sunan Giri, panggilan Raden Santri dan Sunan Ampel. Perjalanan dalam cerita berlaku sebulan lebih awal. Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan itu saya sibuk dengan penggambaran satu projek dokumentari selain beberapa hal.

7) 26 November 2020 - Setelah menghasilkan tajuk buku yang ke-13 pada bulan Syawal tahun 2019 saya memilih untuk berehat daripada menulis apa-apa buku baru. Sepatutnya saya sudah siap menulis tesis sarjana di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) 2-3 bulan lalu kerana sudah cukup 4 semester bersama institusi (rujuk artikel lama Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia).  Tetapi masih menghadapi masalah gangguan mood dan rentak penulisan. Besar harapan agar segala gangguan sirna dan saya dapat menyiapkannya sebelum akhir tahun ini. Semoga luahan dalam penulisan ini membawa kelancaran yang didambakan. Doakan saya ya kawan-kawan. Sekian. Selamat malam.


Nota tambahan : Siang tadi saya ada menelefon ibu di Muar untuk bertanya waktu tepat saya dilahirkan 50 tahun lalu. Beliau yang sudah berumur 78 tahun sudah lupa tapi ia harus sekitar jam 11.40. Saya pun menunggu suatu waktu berdekatan untuk memaparkan artikel ini. Sengaja dipilih jam 11:31 kerana ada nombor 131 yang saya suka.

Oh. Selepas solat Isyak isteri melakukan kejutan dengan membawa keluar kek yang ditempah khas untuk menyambut ulang tahun kelahiran saya. Kebetulan ada sejumlah kawannya datang ke rumah untuk satu urusan berlainan. Maka dijadikanlah acara menyambut ulang tahun sekali. Itu yang ada gambar atas tadi.  :]




Wednesday, November 25, 2020

Al-Farabi - Seorang pemikir universal

Dipersembahkan perkongsian daripada satu majlis ilmu petang semalam.

 


Majlis kali ini dianjurkan oleh tiga pihak - ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Kuala Lumpur, Kedutaan Kazakhstan di Malaysia dan Al-Farabi Kazakh National University di Kazakhstan. Negara Kazakhstan yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Russia (USSR) terlibat kerana majlis adalah tentang seorang tokoh silam yang berasal dari Farab, satu wilayah yang kini berada dalam Kazakhstan. Tokoh yang hidup pada abad ke-9 Masihi itu dikenali sebagai Al-Farabi.

Majlis dalam format Webinar itu memiliki tajuk besar yang boleh diterjemahkan sebagai "Al-Farabi - Seorang Pemikir Universal". Tajuk kecilnya pula boleh diterjemahkan sebagai "Membincangkan Buku Osman Bakar Tentang Kehidupan, Pemikiran dan Kepentingan Al-Farabi". Ini kerana Osman (Profesor Datuk Dr Emeritus) daripada ISTAC pernah menulis buku dengan tajuk berkenaan dalam bahasa Inggeris. 



Majlis dibuat seiring dengan sambutan 1,150 tahun lahirnya Al-Farabi ke muka bumi iaitu pada tahun 870 Masihi. Ketika menyertai majlis sedikit lewat Duta Kazakhstan ke Malaysia, Bolat Imanbayev baru sahaja selesai memberikan kata-kata aluan. Kelihatan dalam gambar Rektor Al-Farabi Kazakh National University iaitu Profesor Dr. Mukhambetkali Burkitbayev pula memberikan kata-kata pengenalan. Paparan dalam komputer kemudian dihadkan untuk menunjukkan beberapa orang. Mereka yang sedang bercakap ditanda dengan kotak berwarna kuning...









Setelah beberapa lama sampai giliran Osman untuk membincangkan perkara. Beliau membuka dengan terus memperkatakan sifat Al-Farabi sebagai seorang pemikir universal. Ini boleh dilihat melalui latar belakang tokoh dan pelbagai perkara berlainan dalam alam fikirnyanya. Farabi dilahirkan di Farab kemudian ke Merv (dalam Turkmenistan sekarang) untuk belajar ilmu logik Aristotle (Aristotelian logic) dan falsafah. Beliau juga belajar muzik kemudian pergi ke Baghdad untuk mempelajari bahasa. 

Tambah Osman, Al-Farabi sangat menyayangi bidang ini lalu boleh bertutur dalam banyak bahasa. Beliau seterusnya pergi ke Constantinople (kemudian dikenali sebagai Istanbul) untuk belajar ilmu falsafah dalam bahasa Greek ataupun Yunani. Kata Osman menyayangi bahasa selain bahasa ibunda adalah tanda seorang yang bijaksana, ada pemikiran universal. Al-Farabi juga dikenali sebagai seorang ahli teori muzik pada zaman pertengahan (middle ages, merujuk pada abad ke-5 hingga ke-15 dalam konteks sejarah dunia menurut kaca mata Eropah) dan seorang komposer. Lagu-lagu ciptaannya masih dimainkan oleh kumpulan Tariqat Mevlevi (yang terkenal dengan tarian Sufi pusingnya di Turki). 

Pemikiran universal beliau boleh dilihat daripada cara membuat klasifikasi ilmu pengetahuan dan sains (yang mana Osman ada mengarang buku khas tentang perkara). Al-Farabi meletakkan penguasaan bahasa sebagai keperluan awal dalam menuntut ilmu. Selepas itu adalah ilmu logik ataupun mantiq kerana ia adalah seni dalam pemikiran. Beliau telah menulis 40 buah buku tentang logik dan ini termasuk apa yang kita panggil hari ini sebagai pemikiran kreatif. 

Seterusnya adalah sains matematik. Kata Farabi matematik adalah subjek paling mudah untuk dipelajari semasa muda. Matematik bersifat universal, bukan sectarian (bersifat prejudis menurut mana-mana sistem fikir atau sistem nilai). Kata Osman, Al-Farabi adalah manusia pertama yang memperakui ilmu Algebra sebagai satu cabang tersendiri dalam bidang matematik. Sebelum itu dunia mengenali empat sahaja cabang matematik iaitu Aritmetik, Geometri, Astronomi dan Muzik (pada zaman sila muzik termasuk dalam ilmu matematik). Farabi menambah Trigonometri, Algebra dan Kejuruteraan Mekanikal untuk menjadikan 7 cabang matematik yang tersendiri.

Al-Farabi juga menulis 15 tajuk dalam ilmu Metafizik. Ini termasuk bidang Epistemologi. Sekitar sedozen hasil kerjanya adalah tentang sains politik. Pemikir besar silam seperti Ibnu Rushd dan Maimonides adalah peminat Al-Farabi 

Beliau juga menulis tentang Ilmu Kalam dan banyak lagi bidang. Lebih 100 buku telah dihasilkannya dan sebahagian telah hilang. Kata Osman hasil kerjanya bersifat abadi dan sentiasa terpakai (perennial). Secara rata Al-Farabi adalah seorang pemikir yang kerana beliau menuntut ilmu secara universal (dalam pelbagai bidang). Buah fikirnya adalah untuk semua orang, bukan untuk satu agama tertentu sahaja. Disebut juga tentang  bagaimana Al-Farabi melihat politik (ilmu siasah) sebagai jalan untuk mencipta kebahagian. Ketamadunan harus bertujuan untuk mencapai kebahagian itu.



Panelis kedua Prof Dr Aliya Massalimova daripada Al-Farabi Kazakh National University membuka daripada perspektif sejarah Kazakhstan. Disebutlah tentang sumbangan-sumbangan Al-Farabi dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, bagaimana beliau telah membuat terjemahan hasil-hasil kerja oleh para pemikir besar Yunani seperti Aristotle dan Plato serta ramai lagi ke dalam bahasa Arab. Kemudian Al-Farabi membuat penulisan yang menyatukan pelbagai sudut fikir yang kelihatan berlainan. Hasil kerja beliau mempengaruhi pemikir-pemikir besar Barat seperti Thomas Aquinas dan Dante. 



Panelis ketiga Profesor Dr Hazim Shah daripada Universiti Utara Malaysia mengenengahkan kritikan Imam Al-Ghazali terhadap Al-Farabi juga Ibn Sina (yang lahir lebih seabad kemudian). Walaupun beliau tidak menyatakan ini ramai faham yang dimaksudkan adalah Al-Ghazali yang hidup pada abad ke-11 Masihi tidak menggemari pemikiran falsafah Yunani yang dibawa oleh kedua-dua tokoh. Namun jika melihat pada situasi zaman harus difahamkan bahawa umat Islam zaman itu adalah bersifat lebih kosmopolitan. Perkembangan Islam telah membawa kepada pertembungan dengan peradaban-peradaban besar yang telah wujud lebih awal lalu berlakulah penyerapan fikiran.

Apapun, Al-Ghazali tidak boleh mengkritik cara hidup Al-Farabi yang bersifat keSufian berbanding Ibnu Sina yang diketahui lebih keduniaan. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang Al-Farabi dan perkara-perkara berkaitan boleh lihat penulisan-penulisan lama saya berdasarkan syarahan-syarahan Osman seperti berikut :-









9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


10. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual


11. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan


12. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?


13. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham


14. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam


15. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat


16. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini


17. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


18. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia





Sunday, November 22, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu

Salam Ahad malam Isnin 7 Rabiulakhir 1442 Hijriah. Sampai masanya untuk membuka satu siri cerita baru tetapi sebenarnya lama yang telah difikirkan malah dibuat lakaran dalam blogspot lebih setengah tahun lalu. Tetapi baru beberapa hari lalu disunting cantik menunggu masa untuk dikongsikan kepada umum.



Gambar hiasan : Daripada artikel Majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku Merah Silu lebih setahun lalu...


Pada suatu hari lebih setengah tahun lalu, beberapa waktu setelah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) mula dilaksanakan 18 Mac untuk menangangi masalah penyebaran wabak virus COVID-19. Ketika itu umum dilarang untuk keluar lebih 10 km dari tempat tinggal kecuali mereka yang mendapat kebenaran seperti harus melakukan kerja di pejabat, tidak boleh secara on-line dari rumah. Perintah menyeluruh yang meliputi seluruh Malaysia ini berkuatkuasa sehingga 10 Jun. Sehingga hendak balik kampung untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri pun tak boleh.

Disebabkan kebosanan amat kerana tidak boleh keluar mengembara timbul dalam fikiran untuk mengumpulkan lalu membandingkan kesemua perjalanan jauh yang telah dibuat lalu boleh diingati dalam kepala. Didapati bahawa perjalanan pusing Eropah tahun 1995 yang meliputi jarak hampir 5,900 km masih belum dapat diatasi. Lihat Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995. Paling dekat adalah ketika memandu kereta sendiri membawa keluarga dan dua orang kawan menjelajah Thailand sampai ke Ayuthayya penghujung 2017.  Lihat Jejak Langkasuka-Siam Lama-Srivijaya - The Compilation. Menurut meter kereta ia memakan jarak keseluruhan 4,167 km. 

Selain itu terdapat beberapa perjalanan yang memakan jarak antara 2,000 hingga 3,000 km dan banyak antara 1,000 hingga 2,000 km. Yang dimaksudkan di sini adalah perjalanan menggunakan kenderaan darat. Boleh dimasukkan juga atas air kerana turut memakan masa. Yang jelas tak masuk perjalanan menggunakan pesawat udara kerana boleh meliputi ribuan kilometer dalam masa sejam dua. Tiba-tiba teringat bahawa pada penghujung tahun 1997 membawa ke awal 1998 ada membuat perjalanan solo bermotosikal besar keliling Semenanjung yang mana saya dapat mencapai 4 'sudut' utama dalam peta. 

Bermula dari Kuala Lumpur dan kembali dalam tempoh sekitar sebulan ia meliputi sudut paling kiri atas (ke utara dan barat Semenanjung) di sempadan Perlis-Thailand, sudut paling kanan atas (ke utara dan timur) di sempadan Kelantan-Thailand, sudut paling kanan bawah (ke selatan dan timur) di hujung daerah Kota Tinggi, Johor dan sudut paling kiri bawah (ke selatan dan barat) di hujung daerah Pontian, juga di negeri Johor. Alangkan dari Johor Bahru ke Kangar, Perlis pun memakan jarak 825 km menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) apatah lagi perjalanan tersebut yang dibuat menggunakan jalan-jalan biasa atau jalan lama. Saya pun cuba melakar kembali laluan berdasarkan ingatan. Dapatlah laluan atas peta seperti berikut...
 


Lakaran mudah dari tempat ke tempat ini menunjukkan perjalanan meliputi jarak 2,559 km. Petanya boleh dicapai sini. Tetapi ia sebenarnya tidak termasuk perjalanan pusing dalam suatu bandar ataupun tempat apa lagi perjalanan berulang seperti berlaku di sesetengah lokasi. Kalau dicampur semua itu jarak sebenar harus mencapai atau hampir 2,700 km. 

Kalau begitu ia boleh termasuk antara 10 perjalanan paling jauh pernah dilakukan seumur hidup setakat ini. Sudah sampai masanya diambil tahu kembali butirannya apa lagi ia juga adalah perjalanan pertama saya dengan menaiki motosikal besar. Sudah sampai masanya ia diingati kembali lalu dicoretkan apa yang berlaku dari hari ke hari. Namun yang boleh diingati ketika lakaran penulisan ini dibuat sekitar April lalu adalah semasa itu sudah lebih setahun saya bekerja sebagai wartawan akhbar The New Straits Times. Sudah boleh ambil cuti... 

Sebelum itu saya tidak dibenarkan mengambil cuti kerana berada dalam tempoh pemerhatian selama setahun. Walaupun tempoh tersebut ditamatkan lebih awal iaitu selepas 6 bulan masuk kerja lalu saya mendapat pengesahan jawatan tetap tak boleh ambil cuti selagi belum cukup setahun bekerja. Surat-surat rasmi lama dalam simpanan menunjukkan saya mendapat pengesahan jawatan bermula 16 Mac 1997. Saya mula masuk bekerja pula pada 16 September 1996. 

Ini bermakna pada 15 September 1997 sudah cukup setahun bekerja lalu boleh mengambil cuti. Adapun saya boleh mengambil cuti berjumlah 28 hari bagi setiap tahun. Dicampur hari tidak bekerja bagi setiap minggu (sudah lupa apakah sehari atau dua... dan lagi sebagai wartawan kami tidak mengikut kebiasaan pejabat lain yang cuti minggunya jatuh pada hari Sabtu dan Ahad) bolehlah mengambil cuti sebulan terus. Soalnya bila?




Satu perkara lagi yang saya ingat adalah separuh daripada perjalanan dibuat dalam bulan Ramadhan. Dan ia memanjang sehingga awal tahun 1998. Semakan menggunakan program Gregorian to Hijriah converter (boleh Google) menunjukkan bahawa 31 Disember 1997 adalah bersamaan 1 Ramadhan 1418 Hijriah. Kalau begitu perjalanan harus bermula sekitar seminggu dua sebelum itu. Mungkin sekitar Hari Krismas 25 Disember.

Selain itu saya ingat baru beberapa bulan memiliki motosikal besar berjenama Yamaha model Virago 535 cc. Kalau tak salah, lesen pun baru dapat ketika itu. Semakan pada surat cukai jalan menunjukkan motosikal yang dibeli baru di sebuah kedai berdekatan ibu pejabat NST itu didaftarkan pada 12 Jun 1997. Apapun saya pun mula membuat catatan ringkas perjalanan berdasarkan apa yang dapat diingati pada waktu itu (bulan April). Dapatlah dibuat senarai seperti berikut :-



Hari pertama - Kuala Lumpur (Damansara Heights) - Tapah
Hari ke-2 : Tapah - Cameron Highlands

Hari ke-3 : Cameron Highlands - Pulau Pinang? Pusing Pulau. Naik Bukit Bendera

Hari ke-4  : Ada naik Gunung Jerai, kali pertama sampai atas dan dengan motosikal

Hari ke-5 :  Masuk Pulau Langkawi - sewa kereta. Motosikal tinggal dekat jeti Kuala Kedah. Naik Telaga Tujuh. Tidur di Pantai Chenang

Hari ke-6 : Keluar Langkawi naik ke Kuala Perlis sehingga ke hujung sempadan Thai bertemu laut/Selat Melaka

Hari ke-7 : Bergerak ke Pantai Timur  menurut laluan ke Tasik Pedu

Hari ke-8 : Sambung dari Tasik Pedu. Ada singgah Empangan Pergau

Hari ke-9 : Di Rantau Panjang. Bulan puasa bermula 

Hari ke-10 : Ke Pengkalan Kubor sehingga ke hujung sebelum ke Kota Bahru 

Hari ke-11 : Ke Kuala Terengganu. Masuk Tasik Kenyir

Hari ke-12 : Ke Kuantan. Tidur rumah Cik Ana. Pergi Teluk Chempedak

Hari ke-13 : Ke Pekan. Lepas Nenasi

Hari ke-14 : Tidur Mersing. Fikirnya hendak masuk ke Pulau Tioman tetapi tiada feri disebabkan musim tengkujuh air laut bergelora

Hari ke-15 : Terus ke Teluk Ramunia. Menginap di Kota Tinggi kalau tak salah

Hari ke-16  : Pergi ke Johor Bahru. Menginap di rumah seorang datuk saudara. Jalan merata termasuk ke link ke-2 (Johor-Singapura) dan meninjau jambatan seberang Sungai Johor (belum siap ketika itu)

Hari ke-17 : Pergi Kluang. Tidur sana. Mendaki Gunung Lambak waktu petang dan turun dalam kegelapan awal Maghrib walau sedang berpuasa

Hari ke-18  : Pergi Batu Pahat kemudian balik Muar. Berehat lama di rumah tempat membesar...

Hari ke -

Hari ke -

Hari ke -

Hari ke -


Selepas sampai ke Muar saya tidak ingat bagaimanakah perjalanan seterusnya. Apakah terus berada sehingga masuk tarikh 1 Syawal Hari Raya Aidilfitri lalu kembali ke KL selepas itu? Menurut Gregorian to Hijriah converter tarikh tersebut adalah bersamaan 29 Januari. Kalau mengambil cuti lebih sebulan bermula hari Krismas boleh jadi saya kembali ke KL selepas raya. Tempat-tempat yang disinggahi dari Muar ke KL pun tak ingat langsung apakah ada atau bagaimana.

Namun boleh jadi perjalanan dimulakan beberapa hari sebelum Krismas jatuh hari Khamis. Yang ingat lagi adalah saya bergerak lewat petang dari rumah seorang bapa saudara di Damansara Heights atau Bukit Damansara kerana mahu bersama saudara mara meraikan pernikahan seorang sepupu. Kalau begitu sampai ke Muar harus sekitar 8 hingga 12 Januari. Tak tahan rasanya hendak duduk menunggu sehingga raya tiba lebih 2 minggu kemudian. Besar kemungkinan selepas 3 hingga 5 hari saya menyambung perjalanan ke KL lalu menutupnya di sana. Selepas beberapa lama baru kembali lagi ke Muar untuk berhari raya. 



Apapun, itu semua adalah lakaran awal berdasarkan apa yang dapat diingati waktu itu. Insyaallah butiran sebenar pengembaraan akan muncul apabila sampai waktunya kerana memang siri ini dimulakan untuk menggali kembali ingatan dan cerita. Namun setelah menyediakan lakaran pembukaan ini bulan April saya belum bersedia untuk mengeluarkan cerita. Pagi Jumaat 20 November bermula sekitar jam 11 baru tergerak untuk menyunting lalu memperbaikinya. 

Mungkin ini berlaku disebabkan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) melarang perjalanan keluar mukim bermula 14 Oktober telah dipanjangkan sehingga 6 Disember. Malah ada ura-ura ia akan terus dilaksanakan sehingga tamat tahun 2020. Kalau begitu tiada peluang untuk keluar berjalan jauh lagi buat tahun ini. Ketika itulah juga disemak satu album kecil mengandungi beberapa keping gambar daripada perjalanan tersebut. Didapati ada tarikh dan masa tertera menunjukkan besar kemungkinan ia dimulakan 21 Disember iaitu pada hari Ahad. 

Nampaknya album kecil itu dapat membantu menggali ingatan sekurang-sekurangnya sampai ke suatu tahap yang memberangsangkan. Walaupun gambarnya sedikit malah kelihatan sudah hilang beberapa keping cukuplah buat masa ini. Walaupun artikel pengenalan/pembukaan ini dapat dibuat sehingga betul-betul puas jam 12.41 tengah hari Jumaat 20 November ia tidak dapat dipersembahkan hari itu juga kerana sudah terlebih dahulu mengeluarkan artikel Islam sebagai satu jalan ilmu iaitu pada jam 9.26 pagi itu. Oleh itu biar ditunggu barang 2-3 hari lagi. Selepas itu akan dipersembahkan cerita-cerita yang memperincikan perjalanan secara berperingkat setakat mampu ingat. 

Ini mungkin dilakukan menurut hari, mungkin menurut suatu bahagian perjalanan sehingga terasa cukup puas bagi setiap cerita. Semoga akan dibuka lebih banyak ingatan untuk penceritaan yang lebih lengkap. Semoga juga usaha ini akan membuka sesuatu yang lebih bermakna pada masa hadapan seperti mana seringkali berlaku apabila gerak hati ini menyuruh melaksanakan suatu perkara atau mengeluarkan cerita walau tidak jelas apakah asbab sebab musababnya. Semoga mereka yang membacanya juga mendapat kebaikan dunia dan akhirat. Amin amin Ya Rabbul Alamin.