Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Ogos 28, 2013

Melaka di dalam Samudera-Pasai sebelum Sultan Mansur Syah menaiki takhta 1379 Masihi?




Semalam saya telah membuat satu pembentangan di sebuah hotel di Shah Alam untuk sejumlah pelajar universiti yang dipilih untuk mengikuti satu kursus kepimpinan di Indonesia. Menggunakan tajuk seperti tersebut dalam gambar saya bercerita tentang asal-usul penggunaan perkataan Nusantara dan membandingkannya dengan penggunaan perkataan Kepulauan Melayu. Kebetulan projek buku baru yang sedang diusahakan menyentuh hal berkaitan. Maka cerita tentang kerajaan Funan yang dikatakan bermula abad pertama Masihi pun disebut membawa pada kemunculan Srivijaya, Majapahit dan Melaka.

Tadi petang, chatting dengan seorang rakan di Facebook membawa pada hal kemungkinan bahawa Melaka dahulu pernah berada di dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai. Ia memang antara perkara yang mahu dibincangkan dan dilanjutkan dalam buku lalu saya tergerak untuk menulis sesuatu tentangnya di FB. Setelah menulis separuh jalan di Microsoft Word (buat situ dulu kalau menulis panjang, takut berlaku kesilapan semasa menaip di FB yang tiba-tiba boleh membawa seluruh penulisan hilang), saya fikir lebih elok ia dikongsikan di sini. Beberapa bahagian akan diletakkan di FB dan cerita boleh disambung di sini. Mari...



MELAKA DI DALAM SAMUDERA-PASAI SEBELUM SULTAN MANSUR SYAH MENAIKI TAKHTA 1379 MASIHI?

Adapun tarikh pengasasan Melaka 1262 yang dibuat berdasarkan maklumat dari kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu sudah 3 tahun begitu diwar-warkan menggantikan pernyataan lama Melaka dibuka 1400. Pernyataan lama itu sebenarnya dibuat berdasarkan tulisan orang Portugis selepas kejatuhan kota Melaka 1511. Tulisan itu pula banyak berdasarkan kata-kata lisan dari orang Jawa yang masih berniaga di Kota Melaka, kata-kata yang turut menyebabkan timbul nama Parameswara, satu terma berbau Hindu/Jawa lama yang tidak pernah disebut dalam kitab-kitab Melayu.

Tahun baru pengasasan Melayu ini boleh dipadankan dengan beberapa perkara namun menimbulkan pula persoalan lain. Biar saya beri point by point...

1.   Almarhum Prof Ali Hajsmy dari Aceh menyebut dalam buku Sejarah Islam di Indonesia (menggabungkan makalah sejumlah pengkaji sehingga 1981) bahawa Sultan Malikus Saleh berkahwin dengan Puteri Ganggang Sari, anak Sultan Muhammad Amin Johan Berdaulat Perlak (memerintah 1230-1263).  Sultan Malikus Saleh disebut mula memerintah Pasai 1267 sebelum mangkat 1297. Tapi saya ada kiraan tersendiri untuk menunjukkan baginda terlebih dahulu membuka kerajaan Samudera 1245, kerajaan yang disebut dalam wasiat Nabi Muhammad SAW menurut teks-teks lama seperti Hikayat Raja Pasai dan Sulatus Salatin. (rujuk artikel lama Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian I). Selama ini pembukaan Samudera dan Pasai seperti dilonggokkan bersama sebagai berlaku 1267, paling awal pun 1261. Walhal turutan peristiwa menyebut Malikus Saleh membuka Samudera dahulu sebelum berkahwin dan mendapat anak. Apabila anak itu akil baligh baginda tergerak untuk membuka negeri baru bernama Pasai.

2.  Prof Ali menambah seorang lagi anak Sultan Muhammad Amin iaitu Puteri Ratna Kemala dikahwinkan dengan Sultan Muhammad dari Melaka. Perkara ini adalah mustahil kalau Melaka diasaskan 1400 di mana Sultan Muhammad dalam salasilah Melaka muncul beberapa tahun kemudian. Tetapi ia jadi logik malah serasi apabila tahun pengasasan Melaka ditetapkan pada 1262. Kerana menurut perkiraan baru, Sultan Muhammad Syah yang disebut sebagai sultan ke-3 Melaka memerintah (1283-1338), masih dalam lingkungan zaman Sultan Malikus Saleh, tidak terlalu jauh dari zaman Sultan Muhammad Amin.

3.  Malah saya percaya Sultan Muhammad Syah itu tidak lain tetapi sama orangnya dengan Raja Iskandar yang  meninggalkan Singapura 1260, bermastautin 2 tahun di Muar kemudian membuka Melaka 1262.

4.  Maka tersebutlah dalam kitab SS (Sulalatus Salatin) bahawa Melaka diIslamkan pada zaman Sultan Muhammad Syah oleh Sidi Maulana Abdul Aziz dari Jeddah. Kebetulan Perlak semasa zaman Sultan Muhammad Amin memiliki raja muda bernama Abdul Aziz. Baginda menaiki takhta sebagai Sultan Mahkhdum Alaiddin Malik Abdul Syah, memerintah 1263-1292. Selepas baginda mangkat Perlak pun diserapkan ke dalam kerajaan Samudera dan Pasai (disebut kerajaan berkembar kerana dua-dua diasaskan oleh Sultan Malikus Saleh). Saya sudah lama dapat merasakan Sayyid Abdul Aziz dari Jeddah yang dikatakan mengIslamkan Melaka itu adalah Sultan Abdul Aziz dari Perlak. Bukan orang lain pun, samada ipar kepada Sultan Muhammad dan Malikus Saleh atau sepupu kepada isteri-isteri mereka.

5.  Kitab SS menyebut sebaik sahaja Sultan Muhammad Syah masuk Islam Melaka mencapai kemajuan mendadak, wilayahnya tiba-tiba membesar sehingga sampai ke sempada Beruas di Perak dan Terengganu di Pantai Timur. Cerita dalam SS tidak menunjukkan apa-apa bentuk penaklukan, perluasan wilayah disebut berlaku begitu sahaja. Saya percaya ini adalah wilayah yang diberikan kepada Melaka oleh Perlak yang sudah menjadi kerajaan Islam sejak tahun 840 Masihi. Perlak pernah mengalami masalah dalaman sehingga kerajaan berpecah dua lalu Srivijaya mengambil kesempatan menyerang 986. Tetapi ia tidak berjaya ditundukkan lalu Srivijaya menarik tenteranya keluar 1006 untuk menangani masalah lain.

6.  Walaupun wilayahnya telah meluas  nama Melaka tidak disebut dalam sumber-sumber lain. Misalnya apabila kerajaan Singosari (menguasai Pulau Jawa 1222–1292) membuat ekpedisi Pamalayu 1275 untuk menakluki bekas wilayah Srivijaya terutama di Sumatera nama Melaka tidak tersebut. Satu penerangan yang boleh dibuat, Melaka belum cukup besar untuk diambil kira ketika itu. Berdasarkan nama Sultan Muhammad Syah mula muncul 1283 (walaupun saya percaya baginda sama dengan Raja Iskandar yang membuka Melaka 1262) mungkin selepas itu baru Melaka cukup gah untuk diambil tahu.

7.  Namun Ibnu Battutah yang diketahui melawat beberapa tempat di Alam Melayu 1345 pun tidak pernah meyebut tentang Melaka. Sebaliknya nama Sultan Malikus Zahir yang memerintah Pasai ketika itu diberi sebutan istimewa sebagai salah seorang dari sedikit raja-raja Islam di dunia yang mengkagumkan beliau, sangat tinggi ilmu pengetahuan agama dan amat merendah diri. Kenapa nama Melaka tidak disebut atau ia tidak disinggahi kalau ia sudah kerajaan besar?

8.  Menurut kiraan baru, semasa itu Melaka sedang diperintah oleh Sultan Muzaffar Syah (1340-1379). Ketika inilah muncul watak bernama Tun Perak untuk menangani serangan Siam dan mengalahkannya. Tetapi kitab SS tidak ada perluasan Melaka ketika itu.

9.  Pada zaman baginda, raja terkenal dari Pulau Jawa iaitu Hayam Wuruk menaiki takhta Majapahit 1350. Dibantu Gajah Mada (1313-1364) Majapahit meluaskan kuasa ke luar Jawa. Kitab Negarakertagema  yang ditulis 1365 menyebut penaklukan Majapahit mencapai hampir seluruh Nusantara. Sisa-sisa Srivijaya pula katanya ditamatkan Majapahit 1377. Tapi nama Melaka masih tidak disebut pada catatan luar. Sebaliknya Negarakertagema ada menyebut nama Muar yang pernah menjadi tempat Raja Iskandar duduk 1260-1262.

10.  Nama Melaka mula dikenali luar semasa Sultan Mansur Syah memerintah 1379-1449. Diketahui selepas Hayam Wuruk mangkat 1389 Majapahit mula mundur. Malah mengikut kitab SS, Betara Majapahit yang dilawati Sultan Mansur Syah (kelihatannya tidak lain adalah Hayam Wuruk) telah menghadiahkan sejumlah wilayah kepada Melaka setelah Sultan Mansur mengahwini puteri baginda. Nama Melaka pula mula disebut dalam catatan Cina apabila Laksamana Cheng Ho datang 1405. Pada masa itu Cina diperintah Dinasti Ming (1368-1644), selepas lama melawan penaklukan bangsa Monggol pimpinan Kublai Khan, cucu Genghiz Khan yang menerbitkan Dinasti Yuan 1279. Pada zaman Maharaja Yongle (1402-1424) baru Cina memulakan kembali penerokaan di luar sempadan wilayahnya. Disebabkan catatan Cina lah ramai sejarawan beranggapan Melaka bermula 1400an.

11.  Berdasarkan catatan Negarakertagama yang menyebut kewujudan Muar tetapi tidak Melaka ada yang percaya kerajaan Melaka sebelum itu berada di bawah kerajaan Muar. Kerajaan lama Muar pula katanya pernah didirikan oleh seorang raja yang membawa diri dari Perlak, ada pula kaitan dengan Samudera-Pasai. Mungkin sebab itu Negarakertagama menyebut Muar sebagai antara taklukan Majapahit yang dibuat Gajah Mada semasa zaman Hayam Wuruk? Sebab itu Melaka tidak disebut, kerana ia terkandung dalam pengertian Muar? Perlak dan Samudera pula memang tercatat sama...

12.  Melihat semua ini saya terasa bahawa Melaka sebelum zaman kenaikan Majapahit sebenarnya terletak di dalam jangkauan kekuasaan Samudera-Pasai atau Pasai sahaja (nama yang lebih dikenali setelah Samudera diserap ke dalam Pasai, mungkin sekitar 1310an). Mungkin ini yang menyebabkan Melaka semasa zaman Sultan Muhammad Syah (1283-1338) menjunjung tinggi surat dari Pasai sehingga kitab SS menyebut ia disambut selengkap alat kerajaan.

13.  Hal ini tak mustahil apabila kita tahu bahawa Sultan Muhammad Syah adalah menantu kepada Sultan Muhammad Amin Perlak dan biras kepada Sultan Malikus Saleh Samudera-Pasai. Sudah disebut bagaimana wilayah Melaka menjadi besar mendadak setelah ia secara rasmi diIslamkan oleh Sidi Abdul Aziz yang saya lihat tidak lain adalah Sultan Abdul Aziz, sultan terakhir Perlak.

14.  Selepas Sultan Abdul Aziz mangkat 1292 Perlak diserap ke dalam Samudera-Pasai. Maka apa-apa wilayah yang ada kena-mengena dengan kekuasaan Perlak harus tunduk kepada Samudera-Pasai pula dan ini termasuk Melaka. Sebab itu kitab SS menyebut surat dari Pasai dijemput dengan segala kelengkapan kerajaan.

15.  Sebab itu ketika Ibnu Batutah datang 1345 nama Sultan Malikul Zahir disebut. Nama Sultan Muzaffar Syah yang sedang memerintah Melaka mahupun Melaka itu sendiri tidak tercatat sebab ia masih kerajaan bawahan. Ibnu Batutah yang selain menjadi pengembara turut berperanan sebagai duta Kesultanan Delhi yang sedang menguasai hampir seluruh benua Hindi terus berurusan dengan ketua-ketua utama negara Islam.

16.  Sebab itu juga nama Melaka tidak tercatat dalam Negarakertagama yang ditulis 1365. Sebab ia masih belum signifikan. Nama Samudera disebut sebagai antara kerajaan yang berjaya ditaklukkan (sebenarnya dikalahkan buat sementara). Melaka masih kerajaan bawahan tetapi penaklukan sementara Majapahit ke atas Samudera yang saya lihat turut membawa perebutan takhta di Pasai akan menyebabkan Melaka bebas menaikkan diri.

17.  Kesimpulannya Melaka sebelum Sultan Mansur Syah memerintah 1379 berada di bawah kekuasaan Pasai, kekuasaan yang meluntur sedikit selepas Majapahit melancarkan kempen penaklukan Nusantara di bawah Gajah Mada 1350an. Melaka mungkin bebas mencorakkan arah tuju sendiri sekitar itu. Ini dibayangkan pada cerita dalam kitab SS bahawa pada zaman Sultan Muzaffar Syah yang berpanjangan sehingga 1379  tiga negeri dikira sama besar – Majapahit, Pasai dan Melaka, masing-masing memiliki orang bijaksana, Aria Gajah Mada, Orang Kaya Raja Kenayan dan Bendahara Paduka Raja (Tun Perak).


Cukuplah cerita saya tentang hal ini. Untuk pengetahuan ia adalah antara beberapa perkara yang akan diteliti dalam buku baru yang sedang diusahakan… :]


Selasa, Ogos 27, 2013

Batu-batu bersurat di Kedah - Petunjuk satu hubungan purba?


Sebuah candi di Lembah Bujang, Kedah, di lereng Gunung Jerai...



Pada artikel Kenangan dan petunjuk 11.11.11 yang ditulis kurang 48 jam lalu saya ada memberitahu bahawa tumpuan saya sejak sebulan kebelakangan ini banyak pada menyiapkan projek buku baru, projek yang sebenarnya dimulakan awal tahun lepas tetapi tertunda akibat gangguan mental block lalu saya alihkan perhatian pada menganjurkan acara-acara HIKMAH. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Hari ini ketika meneliti balik sebahagian isi yang sudah ditulis lalu ingin dipadankan dengan beberapa hal lain saya tertarik dengan kewujudan batu bersurat yang dipanggil Batu Bersurat Buddha-Gupta.

Saya tersedar tentang kewujudan batu ini apabila ditegur seorang pengkaji sejarah yang aktif di Internet. Dalam Facebook sekitar 2 minggu lepas saya ada menulis tentang batu bersurat yang katanya ditemui di Kedah menunjukkan seorang raja Dinasti Chola dari selatan India, Kulotunga I (memerintah 1070-1122) pernah berada di Kedah 1086. Raja ini adalah cucu kepada Rajendra Chola I (memerintah 1012-1044), raja yang telah menyerang lalu mengalahkan Empayar Srivijaya 1025. Ramai pengkaji percaya Rajendra adalah Raja Suran yang disebut kitab Sulalatus Salatin sebagai raja Hindi yang menyerang kerajaan Gangganegara di Perak dan Klangkio di Johor. 

Apabila merujuk pada Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu (kitab SS ni ada beberapa versi, cerita dan watak-watak kadangkala berbeza antara versi), saya dapati yang boleh dipadankan dengan Rajendra adalah watak bernama Raja Syulan. Anak perempuan baginda telah berkahwin dengan seorang raja yang dipanggil Raja Syuran Padsyah yang dikatakan bersama dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Dari perkahwinan ini terbit anak bernama Raja Culan yang datang ke Tanah Melayu dalam perjalanan mahu menyerang Cina. Saya dapati Raja Culan ini boleh dipadankan dengan Kulotunga I. Kalau betul wujud batu bersurat menyatakan Kulotunga ada menjejakkan kaki di Kedah 1086 ini menguatkan lagi telahan bahawa inilah Raja Culan yang kemudian menerbitkan 3 anak raja yang terbit di Bukit Seguntang, seorang daripada mereka menjadi moyang raja-raja Melaka.

Pengkaji tersebut menafikan Kulotunga pernah menjejakkan kaki di Kedah. Beliau nampaknya tidak senang apabila kerajaan kesayangannya, kerajaan kesayangan saya juga sebenarnya iaitu Srivijaya dikatakan tunduk terus-menerus kepada Chola.Tak pa. Itu hal lain. Yang menarik adalah apabila beliau menyebut batu bersurat yang saya sebut ditemui di Kedah itu harus adalah apa yang dipanggil Batu Bersurat Buddhagupta.


Setelah 2 minggu gitu baru saya tergerak untuk mencari tentang Batu Bersurat Buddhagupta. Dari bacaan di Internet saya dapat tahu ia telah diletakkan di Muzium Nasional, Calcutta, India, replikanya ada di Muzium Negara. Teringat saya beberapa bulan lepas ada terbaca tentang batu bersurat lama yang terdapat di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam dalam kawasan sebuah gereja. Saya belum pernah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kalau tiada aral melintang HIKMAH akan mengadakan acara ke-7 di Pulau Pinang nanti. Insyaallah saya akan melihat dengan mata kepala sendiri ketika itu. Buat masa ini saya cuma boleh berharap pada gambar dan bacaan di Internet.

Saya dapat menemui gambar Batu Bersurat Buddhagupta lalu teringat pernah melihat replikanya. Saya tidak ingat jika menatapnya di Muzium Negara tetapi pasti pernah melihat replika serupa di Muzium Arkeologi Lembah Bujang. Saya pun meneliti fail-fail lama. Ternyata ia ada ditunjukkan pada artikel Tinggalan arkeologi di Merbok (Archeological remains in Merbok) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Mac 2011. Artikel dibuat berdasarkan satu pengembaraan bersama keluarga pada bulan Ramdhan 2010. Lihat cerita yang terkumpul pada artikel Susah-payah mencari jejak Merong. Menariknya perjalanan ini tercetus akibat mimpi isteri menyuruhnya beriktikaf 3 malam di satu tempat berdekatan makam yang ada kaitan dengan Saidina Hassan.



Adapun saya pertama kali sampai ke Lembah Bujang juga muzium arkeologinya ketika mengembara seorang diri tahun 2007. Saya tidak pasti jika ketika itu sedar atau ada mengambil tahu tentang kewujudan Batu Bersurat Buddhagupta. Yang pasti pada lawatan penghujung 2010 saya cukup tertarik pada ukiran yang terdapat padanya lalu terbetik dalam hati... "Satu hari nanti aku akan meneliti lebih dalam tentang batu ini." Mana saya tahu malam ini 26 Ogos (ayat ini ditulis tepat jam 11.31 malam mengikut waktu yang tertera pada komputer, artikel ini sendiri mungkin siap ditulis setelah masuk 27 Ogos) baru saya betul-betul berminat untuk meneliti tentang batu ini? Sebagai peringatan untuk diri sendiri, ketika itu sudah malam 20 Syawal 1434. Lalu saya tergerak untuk mencari gambar-gambar lama dari fail lawatan 2010. 



Menurut bacaan yang ditemui sebelum ini Batu Bersurat Buddhagupta ditulis sekitar abad ke 4-5 Masihi. Pengkaji yang memberitahu tentang kewujudan batu ini menyebut ia adalah berkenaan seorang peniaga bernama Buddhagupta yang datang ke Kedah. Semakan di Internet menunjukkan ketika itu sebahagian besar India sedang di bawah penguasaan Empayar Gupta (320–600 Masihi).  Menariknya empayar ini memiliki seorang raja bernama Buddhagupta, memerintah 476–495. Apakah Buddhagupta yang tersurat pada batu dan Raja Buddhagupta di India orang yang sama?

Catatan lain pula menyebut batu bersurat ini berkait dengan kerajaan Raktamaritika yang bermaksud Tanah Merah di Pantai Timur Semenanjung. Ia dipercayai sama dengan kerajaan Chi Tu yang disebut dalam rekod kerajaan Cina. Sesetengah pengkaji terutama dari Kelantan percaya Empayar Srivijaya bermula dari Chi Tu kemudian berkembang ke seluruh Semenanjung lalu ke Sumatera dan lain-lain tempat. Apa pula kaitan Buddhagupta dengan ini semua? Persoalan-persoalan ini membuat saya semakin tertarik untuk meneliti batu ini.



Nasib baik saya ada gambar-gambar yang diambil semasa lawatan ke Muzium Arkelogi bersama anak dan isteri 2010. Melalui gambar dapatlah saya meneliti apa yang tertulis pada Batu Bersurat Buddhagupta seperti telah ditafsirkan para sarjana. Saya tulis balik penerangan yang kelihatan di atas...


Inskripsi Buddha-Gupta dari Seberang Prai yang mengandungi ajaran Buddha dengan turisan (tulisan) gambar stupa dengan tujuh cattras pada permulaannya. Inskripsi dalam bahasa Sanskrit menggunakan huruf Pallava-Grantha bermaksud rasa bersyukur atas kejayaan yang telah dilakukan oleh seorang nakhoda bernama Buddhagupta dari Raktampittika dan bertarikh kurun ke 5 Masihi.


Ternyata batu ini bukanlah ditemui di Lembah Bujang di mana terdapat banyak tinggalan candi lama tetapi di Seberang Prai yang dahulu terletak dalam negeri Kedah, pada tahun 1800 baru ia terpisah untuk dimasukkan ke dalam pentadbiran British di Pulau Pinang yang bermula 1786. Nampaknya nama Buddhagupta memang merujuk pada seorang yang agak berwibawa, dinyatakan di sini sebagai seorang nakhoda. Tapi dari Raktampittika? Saya tidak dapat menemui apa-apa rujukan tentang tempat bernama Raktampittika. Nampaknya salah ejaan untuk Raktamaritika

Sarjana sudah bersetuju Raktamaritika cuma merujuk pada satu tempat di  di Pantai Timur Semenanjung. Ia bermaksud Tanah Merah lalu disamakan dengan kerajaan Chi Tu di lokasi yang lebih kurang sama. Nama Chi Tu disebut rekod Dinasti Sui di Cina (581-618) sudah maju di Kelantan, katanya dibuka oleh orang dari Funan atau berkaitan. Chi Tu adalah panggilan untuk Tanah Merah dalam bahasa Cina. 

Adapun ketika Raja Buddhagupta memerintah di India 476–495 Empayar Gupta telah mengalami kemerosotan. Tak mustahil baginda kemudian membawa diri ke Raktamaritika, singgah di Kedah lalu disebut sebagai nakhoda dari sana. Atau orang ini bertanggungjawab mendirikan Raktampittika, setelah berlaku sesuatu yang menyebabkan baginda harus keluar meninggalkan lingkungan Empayar Gupta di India? Kalau ini benar dan dari Raktamaritika @Chi Tu muncul kerajaan Srivijaya yang berkembang untuk meliputi Semenanjung, Sumatera dan banyak lagi tempat apakah ini bermakna Srivijaya berkait dengan Empayar Gupta?



Oleh kerana saya belum pernah melihat Batu Bersurat Cherok Tokkun dengan mata kepala sendiri maka saya tertanya-tanya apakah ia sama dengan Batu Bersurat Buddhagupta? Gambarnya pun saya tiada, yang ada cuma penerangan dari Muzium Arkeologi. Mungkin juga saya ada mengambil gambar tetapi kabur lalu sudah lama dibuang. Yang nyata Batu Buddhagupta pun berasal dari Seberang Perai, Batu Cherok Tokkun terletak dalam wilayah yang sama.  Tapi kalau keduanya sama kenapa Batu Cherok Tokkun dikatakan masih ada di halaman sebuah gereja di Bukit Mertajam? Bukankah Batu Gupta telah diletakkan di Muzium Nasional Calcutta di India? Untuk menjawab persoalan ini kita harus meneliti apa yang tertulis pada batu mengikut penerangan muzium. Begini katanya...


Dijumpai di Cherok Tokun, Bukit Mertajam, Seberang Prai, Pulau Pinang pada tahun 1845. Tulisan yang menenggunakan huruf Pallava dan bahasa Sanskrit ini telah diukir di atas bongkahan batu granit pada abad Ke-5 Masehi. Ia telah diterjemahkan :

"Saya menjadi saksi bahawa musuh-musuh Raja Ramaunibha yang berbahagia, serta orang-orang yang jahat, akan sentiasa terseksa. Ini telah diperkatakan oleh Manikatha, pelindung segala Buddha-Buddha ulung. Dalam setiap bentuk kehidupan pengetahuan akan menjelma di merata-rata tempar dan melalui pelbagai cara. Karma, yang bermain dengan keghairahan (?) (Maksud tidak jelas 'Karma, Which sports with passion) merupakan punca perpindahan (roh)".


Berdasarkan pada ini, nampaknya Batu Bersurat Cherok Tokkun dan Batu Bersurat Buddhagupta adalah berlainan. Nampaknya bukan satu sahaja batu bersurat pernah ditemui di Kedah maka mungkin batu bertulisan Sanskrit yang katanya ditinggalkan Raja Kulotunga I dari Dinasti Chola 1086 memang benar-benar wujud. Rujukan tambahan tidak tentangnya tidak dapat saya ditemui kerana ia mungkin sudah hilang atau diambil orang. Untuk makluman ini adalah artikel ke 1,131 di blogspot ini.



Nota tambahan : Dibuat setelah menyiarkan tulisan di atas 1:09 pagi.



Selesai sahaja menyiarkan artikel ini saya pun membuat tambahan berkaitan dalam buku yang sedang diusahakan, tambahan berkenaan Batu Bersurat Buddhagupta, Raja Buddhagupta dan negeri Raktamaritika. Tadi, ketika menulis ayat yang menyebut "Satu hari nanti aku akan meneliti lebih dalam tentang batu ini." jam di komputer menunjukkan tepat 11.31 malam. Sudah disebut sebelum nota bahawa artikel ini adalah yang ke 1,131 di blogspot ini. Adapun nombor 131 memiliki makna tertentu buat saya. Lihat sahaja artikel-artikel berkaitan di sini.

Ketika hampir siap membuat tambahan isi buku saya terfikir hal berkaitan 131 ini harus datang 3 serangkai. Ini baru 2 kali (ayat yang ditulis jam 11.31 dan artikel menjadi yang ke 1,131). Siap sahaja penulisan saya pun bersedia untuk menutup komputer. Sebelum itu isi buku yang telah dikemas-kinikan dalam satu fail dipanggil BandinganSejarah pun mahu diletakkan menggantikan fail lama dalam external hard disk. Ketika itu saya mendapati penambahan berkenaan Batu Bersurat Buddhagupta, Raja Buddhagupta dan negeri Raktamaritika itu dimuktamadkan pada jam 1.31 pagi. Nah. Apakah ini semua sekadar kebetulan? :]



Ahad, Ogos 25, 2013

Kenangan dan petunjuk 11.11.11




Assalamualaikum semua. Selamat hari raya maaf zahir batin. Sedar tak sedar dah nak masuk 3 minggu saya tidak menulis apa-apa di mana-mana blogspot. Terasa begitu malas hendak menulis. Mungkin kerana sejak perjalanan ke Tanah Bugis 3-12 Mei saya tidak membuat apa-apa pengembaraan baru kecuali untuk menjayakan acara ke-5 HIKMAH di Terengganu 5-8 Jun, menyambung silaturahim dengan saudara-mara Bugis di Pontian 15-16 Jun dan kembali ke kampung untuk berhari raya 6-10 Ogos. Sejak sebulan kebelakangan pula tumpuan banyak diberikan untuk satu projek buku baru. Kecederaan kaki yang belum pulih sepenuhnya menghadkan aktiviti. Rujuk penerangan pada artikel  Terhencot-hencot ke Tanah Bugis - Sampai ke Makassar setelah 2 tahun menyimpan hajat.

Malam ini saya tergerak untuk menulis sesuatu di Facebook. Ketika menulisnya timbul rasa agar ia dikongsikan di blogspot ini. Tertera adalah apa yang ditulis di FB bawah di tajuk "KENANGAN DAN PETUNJUK 11.11.11". Saya perbaiki sedikit untuk tatapan pembaca sini... 


-------------------


Melihat sebuah video dari Indonesia tentang kedatangan awal Islam menunjukkan makam Sultan Malikus Saleh, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai (mangkat 1297 Masihi) terkenang saya akan lawatan terakhir ke sana, dibuat 11 November 2011 atau 11.11.11. Panggilan kerohanian sultan inilah yang menyebabkan saya mengambil risiko nyawa masuk ke Aceh ketika darurat perang masih melanda 9 tahun lalu. Ini dibuat setelah setahun lebih mendapat tahu baginda adalah seorang moyang saya, moyang bagi keluarga Laksamana Raja Mahkota di Perak. Namun dalam perjalanan awal 2004 yang dibuat melalui Medan naik darat ke Aceh saya cuma sempat berada di Langsa 3 malam, kota terdekat Aceh dari arah Medan sebelum dihalau keluar oleh pihak imigresyen.

Ini berlaku kerana Aceh sedang darurat. Ketika itu orang luar dilarang masuk. Sebelum itu saya pernah ditahan di sempadan oleh tentera. Selepas itu pula saya disoal-siat 2-3 jam di Pengkalan Brandan, kota terdekat di luar Aceh namun sebenarnya berada dalam Aceh sehingga pemisahan wilayah dilakukan, kalau tak salah tahun 1940an. Ini kerana saya disyaki terlibat dengan puak pemisah takpun mata-mata dari luar.

Alhamdulillah saya masih selamat walau digertak beberapa kali dan disuakan mesingun ke muka. Pengalaman perjalanan berserta pengalaman hidup yang membawa saya untuk mula mencari salasilah keluarga penghujung 2001 berserta sejarah terpendam yang ditemui sepanjang pencarian telah dikongsikan dalam siri trilogi buku "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007. Pertengahan 2009, setelah lebih 4 tahun Aceh aman akibat peristiwa Tsunami 26 Disember 2004 yang meragut 200,000 nyawa menyebabkan Aceh harus dibuka baru saya berpeluang menziarahi makam Sultan Malikus Saleh. Ketika itu saya sudah bersama isteri baru yang sedang 6 bulan mengandungkan anak kami Muhammad Al-Rasyid.

Hujung Januari 2010 kami pergi lagi ke Aceh lalu menziarahi makam. Ketika itu Rasyid sudah berumur 3 bulan setengah lalu buat pertama kali kakinya dijejakkan ke tanah di belakang makam, tanah leluhurnya juga. Hujung Februari 2010 kami ke sini lagi. Hujung tahun 2011 saya membawa Rasyid yang sudah berumur 2 tahun sebulan berserta isteri yang sedang 6 bulan mengandungkan seorang lagi anak, Muhammad Alauddin Johan menyusur jalan darat yang pernah saya lalui ketika pertama kali cuba masuk ke Aceh Januari 2004, jalan dari Medan ke utara. Setelah singgah dan bermalam di beberapa tempat kami sampai ke makam Sultan Malikus Saleh malam Jumaat lalu menginap di madrasah/pesantren bersebelahan makam. Esoknya 11.11.11 pagi Jumaat kami menziarahi lagi makam lalu gambar atas pun diambil. Selepas itu kami mendapatkan kenderaan ke Sigli, selepas solat Jumaat singgah di Labui di mana kami dibenarkan memegang tongkat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang memerintah Aceh 1607-1636, seorang moyang saya juga. 

Seterusnya kami singgah di makam seorang bangsawan bernama Daeng Mansur juga dikenali sebagai Tuanku Bugis,. Baginda adalah seorang lagi moyang, hidup sekitar 1550an-1610an (anggaran saya). Dengan itu baru saya rasa lawatan ke Aceh betul-betul lengkap. Ini kerana dari bangsawan inilah terbit apa yang dikenali sejarah sebagai Raja-raja Aceh Dinasti Bugis (memerintah dari 1727 sehingga kesultanan Aceh ditamatkan oleh Belanda 1903). Lihat artikel Jejak "Berpetualang ke Aceh" : 3 x 11 dan jejak warisan Bugis Aceh. Lihat juga artikel Koleksi "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'"yang meliputi keseluruhan pengembaraan 12 hari.

Pertengahan 2012 kami anak-beranak pusing Pulau Jawa 2 minggu. Ketika itu Johan sudah lahir dan berumur 2 bulan setengah. Asalnya kami mahu menziarahi makam semua Wali Songo bermula dari timur di Surabaya di mana terdapat makam Sunan Ampel lalu bergerak ke barat hingga ke makam Sunan Gunung Jati @ Sharif Hidayatullah, Wali Songo ke-9 dan terakhir menurut laluan. Selepas itu perjalanan diteruskan ke Jakarta untuk menziarahi makam raja terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud yang mangkat sekitar 1939 dalam buangan. Makam baginda sudah setahun mahu diziarahi, apabila mendapat tahun Sultan Muhammad Daud juga ada hubungan tertentu dengan keluarga terdekat saya. Lihat Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa".

Selepas itu baru timbul gerak kuat untuk menziarahi Tanah Bugis, sampai ke wilayah kerajaan lama Wajo, kerajaan asal seorang moyang saya juga. Moyang yang dimaksudkan, dikenali sebagai Nakhoda Hitam @ Tok Kuala Bidor. Beliau (baginda sebenarnya) menerbitkan salasilah keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak sekitar 1740an. Untuk pengetahuan Wajo pernah dijejaki Daeng Mansur @ Tuanku Bugis yang datang ke Aceh abad ke-16 Masihi. Malah baginda disebut berasal dari kerajaan ini sedangkan ada sumber menyebut baginda bukan orang lain malah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Syah al-Qahar yang memerintah Aceh 1539 - 1571.

Di Wajo kami dapat menziarahi makam Sayyid Hussein Jamaluddin Kubro, leluhur para Wali Songo. Menurut satu salasilah dari Aceh, Sayyid Hussein ini adalah keturunan Sultan Malikus Saleh. Rujuk Wali Songo dari keturunan Sultan Malikus Saleh?. Dengan itu lengkaplah proses ziarah saya ke makam para leluhur utama, sekurang-kurangnya di Alam Melayu. Makam para leluhur lebih tinggi sudah diziarahi di Madinah juga di Mekah. Yang tinggal cuma makam seorang leluhur besar di Baghdad, orang yang saya lihat sama hakikat batinnya dengan Sultan Malikus Saleh di Aceh. Mungkin selepas ini saya harus menyahut panggilan "Aji Yaki Dastagi", satu nama yang dilihat tertera pada papan tanda dalam mimpi yang berlaku sekitar 13 tahun lalu, mimpi yang ditafsirkan seorang rakan adalah panggilan dari Sultan Awliya, Sheikh Abdul Qadir al-Jilani?