Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Mac 25, 2011

Mencari jejak Merong : Lebuh Aceh dan faktor 555 di Pulau Pinang






Hits counter pada blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ketika dibuka sekitar jam 10 pagi semalam. Alhamdulillah, dah lepas 300,000 pengunjung...

---------------

Assalamualaikum. Dalam artikel lepas iaitu Mencari jejak Merong : Sultan Muzaffar Shah I Kedah... betulkah baginda juga adalah Merong Mahawangsa? telah ditunjukkan bagaimana setelah menziarahi makam Sultan Muzaffar Shah I dan beberapa tempat lain di Kedah kami akhirnya masuk ke Pulau Pinang tengah malam. Biar diulang kami sampai ketika baru masuk 31 Ogos 2010, hari kemerdekaan Malaysia yang ke 43. Sekarang biar cerita diteruskan.


Tengahari itu selepas puas berehat di sebuah hotel murah kami bersedia untuk berjalan-jalan melihat Pulau Pinang.


Tempat pertama dituju adalah bangunan ini.


Ia ada kena-mengena dengan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Lihat Nagore Dargha Sheriff, Pulau Pinang . Hmm... elok juga jika dapat dikaitkan dengan cerita di dalam Mencari jejak Merong : Sheikh Abdul Qadir Shah Alirah, Sultan Siam-Kedah atau Sultan Perlak, kerajaan lama Aceh?.


Seterusnya kami berpusing-pusing di sekitar Georgetown. Lihat artikel Going around Georgetown in Pulau Pinang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Kemudian saya melihat Masjid Kapitan Keling dan kawasan pemakaman berdekatan masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Kapitan Keling, Pulau Pinang dan Makam keluarga Kapitan Keling (Tombs of the Kapitan Keling family), Pulau Pinang.



Oh. Saya sengaja menumpukan kepada gambar restoran nasi kandar yang terdapat di sebelah masjid. Awal pagi sebelumnya di sinilah saya beratur untuk mendapatkan hidangan untuk bersahur.



Dari Masjid Kapitan Keling kami menghala ke Lebuh Aceh yang terletak tidak sampai 300 meter jauh.


Hmm. Seingat saya dalam lawatan terdahulu kawasan ini masih dibaik-pulih.


Sekarang nampak elok. Tetapi saya sangsi, apakah proses baik-pulih yang memakan masa beberapa tahun ini menguntungkan orang Melayu Islam? Dahulu sepanjang jalan ini terdapat banyak kedai kitab agama. Tetapi pengusahanya semua keluar apabila proses baik-pulih bermula kalau tak salah sebelum tahun 2004 lagi. Apakah mereka dapat kembali ke sini ataupun kawasan ini sudah diambil alih Cha Ya Nun Alif?



Dahulu Lebuh Aceh adalah kawasan penempatan besar orang Melayu di Georgetown. Ia dibuka seorang kerabat diraja Aceh yang dikenali sebagai Tuanku Syed Hussein Aidid, pada papan tanda ini disebut sebagai Tunku Syed Hussein Idid. Namun kedudukannya sudah jadi tersepit. Biar disalin balik isi berkaitan dari buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" yang terbit Jun 2006.


-----------

Berbalik kepada perjalanan mencari Lebuh Aceh di Pulau Pinang. Ada juga hikmah sehingga Rasyid terlajak sampai ke bangunan Komtar...

Kalau tahu jalan pintas dari Masjid Kapitan Keling, kemungkinan besar dia akan terus masuk dan berehat di Masjid Lebuh Aceh lalu tidak dapat melihat hakikat sebenar keadaan Lebuh Aceh ketika itu. Sebaliknya dari bangunan Komtar, anak kelahiran Muar, Johor itu terpaksa berpatah-balik sebelum memasuki jalan lain yang memerlukannya merentas sepanjang lebih separuh lebuh itu, jalan yang perlu melepasi sebuah rumah besar peninggalan seorang saudagar Arab dari keluarga Sayyid Al-Attas sebelum sampai ke masjid. Lalu terserlahlah kepincangan kawasan yang pernah menjadi kebanggaan anak watan Pulau Pinang ini...

Dalam perjalanan itu, Rasyid banyak menggeleng-gelengkan kepala. “Kata area Melayu tetapi yang nampak kedai Cina belaka,” getus hatinya.

Jika satu masa dahulu, Lebuh Aceh pernah menjadi tempat berkumpul segenap jemaah haji daripada seluruh Malaysia, Indonesia dan Singapura sebelum berlepas ke tanah suci, aktiviti yang dapat dilihatnya malam itu cuma sebuah opera Cina berdekatan. Kedai-kedai buku dan kitab agama milik orang Melayu masih banyak terdapat di situ tetapi semuanya tidak berpenghuni lagi, daif seperti menunggu masa sahaja untuk dirobohkan. Nampaknya yang tinggal Melayu cuma Masjid Lebuh Aceh dan kawasan sekeliling, itupun sebab ia berdiri di atas saki-baki tanah wakaf yang ditinggalkan untuk membela nasib bangsa. Kalau tidak kerana itu, mungkin langsung tidak ada apa-apa lagi kesan tinggalan milik orang kita. Mungkin ketika itu, Lebuh Aceh dan sekitarnya sedang, sedang dibaik-pulih? Jalan tarnya telah dipecahkan sementara ada bahagian yang dilubangkan. Malah ada sebuah lubang di tengah jalan yang separuh ditakungi air, nampaknya cukup besar untuk menenggelamkan sebuah kereta...

Rasyid bertanya kepada seorang pemuda yang sedang lalu, mengapa jadi begini. Kata pemuda itu, sebab kerajaan hendak mencantikkan Lebuh Aceh, mahu buat persiaran batu-bata untuk pejalan kaki... “Sebab itu kedai-kedai milik Melayu dikosongkan,” katanya lagi. Tetapi mengapakah orang Cina masih ramai di situ? Ada kelihatan di rumah-rumah kedai walaupun tidak dibuka untuk perniagaan. Mana pula pergi orang Melayu kita?

Pemuda itu tidak menjawab pertanyaan-pertanyaan ini. Dia cuma tersenyum sinis kemudian melangkah pergi. Nampak gayanya seperti sudah meluat, fed-up dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Mungkin dia salah seorang penduduk Melayu situ yang akhirnya terpinggir?

Memang rumah-rumah kedai di Lebuh Aceh sudah buruk belaka. Memang patut dikosongkan supaya dapat dibina baru, lebih elok dan canggih, lebih sesuai dengan image Pulau Pinang sebagai bandaraya moden menuju wawasan Malaysia negara maju 2020. Tetapi siapakah yang sebenarnya akan mendapat keuntungan apabila projek untuk memperbaiki dan mencantikkan warisan utama orang Melayu di Georgetown ini siap nanti? Apakah orang Melayu akan dapat mempertahankan hak mereka ke atas kawasan prime property yang pernah diwakafkan semata-mata untuk kebajikan anak watan? Atau mereka nanti terpaksa dipinggirkan ke kampung-kampung di luar arus pembangunan pesat Pulau Pinang?

Masjid Lebuh Aceh pula, masjid tertua di pulau ini yang masih mengekalkan bangunan asal berumur hampir 200 tahun sudah jarang digunakan. Sudah jadi seperti rumah hantu, bukan lagi rumah Tuhan... Yang selalu datang meramaikan masjid cuma para penarik beca dan kutu rayap. Datang pun setakat hendak melepaskan penat lelah seraya menghisap rokok di tepian tembok bukannya hendak sembahyang, apalagi menghidupkan rumah Allah... Kalaulah orang Melayu dahulukala boleh melihat apa yang berlaku, mahu mereka menangis agaknya...

“Apakah Lebuh Aceh nanti akan menjadi Lebuh Ah Chong?” Rasyid tertanya-tanya. “Tak mustahil jika orang Melayu terus terpinggir begini...”



Apapun kami masuk ke dalam Masjid Lebuh Aceh sebelum menziarahi makam Tuanku Syed Hussein. Lihat Masjid (Mosque of) Lebuh Aceh, Pulau Pinang dan Makam (Tomb of) Tuanku Syed Hussein Aidid.



Ketika meninggalkan masjid terlihat jam kereta menunjukkan ini.


Ketika itu kami masih berada di Lebuh Aceh tetapi berdekatan rumah besar milik seorang hartawan zaman dahulu bernama Syed Muhammad Al-Attas yang kini telah dijadikan muzium. Beliau dikatakan sesetengah pihak sebagai ketua kongsi gelap. Walhal yang dikatakan kongsi gelap itu adalah satu badan berani mati pandai bersilat yang pernah bertindak menjaga kepentingan dan kemaslahatan orang Melayu dan Islam pada ketika penjajah Inggeris sengaja menaikkan orang asing dan meminggirkan warga asal.


Seterusnya kami melihat tepian pantai di Padang Kota...






Di situ terdapat kota Inggeris yang dipanggil Fort Cornwallis, kota yang saya tidak suka sama sekali kewujudannya kerana menjadi tapak penjajahan Inggeris yang awal sebelum mereka mendapat Singapura lalu mula menjajah seluruh Tanah Melayu. Namun atas gerak tertentu saya harus menjadikannya satu artikel bertajuk Fort Cornwallis, Pulau Pinang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Kebetulan ia menjadi artikel ke 555 di sana. Apakah ada kaitan tersurat dan tersirat dengan artikel ke 555 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH iaitu A token from Brunei... dan ke 555 di blogspot ini iaitu Artikel ke 555: Betul ke keluarga saya dahulu menyimpan Taming Sari? Apa pula kena-mengena dengan Sultan Malikus Saleh??




Selesai itu kami pun mengorak langkah kembali ke tanah besar. Lihat Crossing the Pulau Pinang bridge. Selepas ini kita akan melihat apa ada di bahagian sana Pulau Pinang. Ingat, negeri ini juga meliputi sebahagian tanah besar... :]


Rabu, Mac 23, 2011

Peta bentuk mukabumi lama yang mengandungi kisah-kisah yang digelapkan

OK. Sebelum kita masuk ke 3 artikel terakhir di dalam siri "Mencari jejak Merong" biar dipersembahkan satu artikel selingan yang mungkin ada kena-mengena...




Seringkali kita cuba menilai sejarah lama sesuatu tempat berdasarkan peta, sempadan dan bentuk mukabumi sekarang sedangkan hakikatnya pada zaman yang diperkatakan semuanya agak berlainan. Contoh paling mudah adalah di manakah ulu Melaka. Kalau melihat pada peta sekarang di mana Melaka cuma sebuah negeri kecil sahaja maka kita cuma akan melihat ulu Melaka dengan mencari hulu Sungai Melaka di dalam peta, sungai yang taklah sepanjang mana. Tetapi kalau kita faham Melaka itu pernah meliputi seluruh Semenanjung maka nampaklah kita kenapa ada tempat bernama ulu Melaka di Pulau Langkawi. Namun itu dari segi sempadan yang cuma ditentukan dari segi penaklukan dan penyerahan wilayah, bagaimana kalau berlaku perubahan bentuk mukabumi yang drastik tapi kita tak sedar misalnya Bukit Treh di Muar yang terletak 5 km dari kuala Sungai Muar kini dahulu pernah terletak di laut di mana kuala sungai ketika itu lebih ke pendalaman?

Tadi saya terjumpa peta Perak di dalam salah satu file gambar saya, ketika cuba mencari gambar-gambar Masjid Lama Bandar Taiping yang ada. Sebenarnya saya sedang mengatur bahan untuk siri "Mencari jejak Merong" akan datang. Baru tersedar tidak pernah membuat apa-apa posting tentang masjid itu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) malah saya tidak dapat menemui apa-apa gambar yang menunjukkan dewan solat di dalam masjid walhal sudah banyak kali singgah dan bermalam di sana! Masyaallah. Begitulah yang terjadi kalau kita take things for granted, ambil sikap acuh tak acuh sahaja. Selama ini saya menyangkakan sudah memaparkan satu artikel khas untuk masjid tersebut tetapi ternyata tidak. Ketika cuba mencari gambar terjumpa peta Perak ini pula. Maka sebelum saya terlupa lagi biar diceritakan sesuatu tentangnya...

Adapun saya sudah beberapa kali terlihat peta-peta lama menunjukkan pernah wujud wilayah yang dipanggil Pulau Perak akibat Sungai Beruas ketika itu masih bersambung dengan Sungai Perak lalu wilayah-wilayah seperti Lumut, Manjung. Sitiawan, Lekir hingga ke Pasir Salak juga Beruas terletak di dalam pulau besar yang terbentuk akibat sungai yang bersambung itu. Tetapi bila nak cari peta-petanya tak jumpa pula. Nasib baik ada terjumpa yang di atas ini dan disalin ke dalam komputer. Yang menariknya peta ini menunjukkan keadaan mukabumi bukan beribu tahun lalu tetapi dalam sekitar 250 tahun sahaja sebelum sekarang. Dari segi ukuran geologi ini bukanlah masa yang begitu lama. Namun perubahan yang berlaku menyebabkan banyak sejarah yang digelapkan... antaranya adalah asal-usul giliran takhta 3 keluarga diraja Perak.

Dalam artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... yang dibuat lebih setahun lalu dan Siri peperangan Aceh dan Bugis di Perak, bukti satu hakikat yang tersembunyi? yang dibuat 5 bulan kemudian saya telah menerangkan sedikit-sebanyak bagaimana Perak boleh diperintah oleh 3 keluarga - satu berketurunan diraja Aceh, satu berketurunan diraja Bugis dan satu berketurunan diraja Melaka. Tetapi cerita ini digelapkan untuk menerbitkan 3 keluarga diraja yang ada sekarang. Saya tidak mahu memanjangkan ini lagi. Sila baca kembali artikel-artikel lama tersebut. Saya cuma ingin membuat satu pembetulan sahaja terhadap fakta yang telah dikemukakan di situ. Berdasarkan kajian terbaru beberapa orang waris, Daeng Selili bukanlah raja besar Bugis yang dipanggil La Madukelleng. Sebaliknya Nakhoda Hitam yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama Perak itulah La Madukelleng dan Daeng Selili adalah pengikutnya.

OK. Saya rasa cukuplah ditambah, tahun 1752 yang merujuk pada peta Pulau Perak di atas adalah zaman di mana pemerintahan 3 keluarga diraja yang asal mula terbentuk sebagai satu kompromi untuk mengelakkan persengketaan yang berterusan lagi merugikan dalam perebutan takhta kerajaan. Saya pernah diberitahu Perak sebenarnya telah dibahagi 3 untuk 3 keluarga itu memerintah sementara takhta seluruh Perak digilirkan antara wakil dari setiap keluarga dan salah satu wilayah yang diperintah satu keluarga adalah Pulau Perak. Cukup cerita...

Di bawah pula adalah satu peta lama dari Muzium Arkeologi di Merbok, Kedah. Lihat artikel Tinggalan arkeologi di Merbok (Archeological remains in Merbok). Ia merujuk kepada satu laluan darat untuk kapal yang dikenali sebagai Jalan Penarikan. Lihat artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam?. Ia adalah satu laluan yang dapat menyambungkan Sungai Muar dengan Sungai Pahang untuk membenarkan kapal dari Selat Melaka masuk ke Laut Cina Selatan tanpa perlu turun lebih selatan hingga ke Singapura. Cuma pada satu bahagian kapal perlu ditarik di atas darat sejauh kira-kira 300 meter sebelum masuk ke air balik maka terbitlah nama Jalan Penarikan.

Namun peta yang ada di bawah ini menunjukkan pada tahun 1596 Masihi Sungai Muar bercantum terus dengan Sungai Pahang hingga memotong selatan Semenanjung menjadi pulau yang agak besar mengandungi sebahagian besar Johor sekarang sebahagian Negeri Sembilan dan sebahagian Pahang. Nah, semasa menulis ayat tadi pun cicak telah berbunyi seperti mengiyakan sedangkan perkara ini sudah diberitahu kepada saya semasa zaman remaja lagi oleh beberapa orang. Dalam keadaan ini tentunya Sungai Muar dan Sungai Pahang berkongsi hulu dan punca di beberapa bahagian. Dalam keadaan ini hulu Sungai Muar turut merujuk kepada hulu Sungai Jelai yang pernah menjadi pusat pemerintahan satu kerabat diraja yang dipanggil Maharaja Perba Jelai (sekarang sudah dijadikan jawatan orang besar Istana Pahang) di mana Sungai Jelai berpunca di sekitar Cameron Highlands. Satu lagi punca atau adalah di hulu Sungai Tembeling yang membawa ke sekitar Gunung Tahan.

Berdasarkan mukabumi sekarang ulu Sungai Muar terletak di pendalaman Negeri Sembilan sekitar Terachi, tidak jauh dari Seri Menanti dan memang pun semasa Raja Melewar datang dari kerajaan Minangkabau Pagar Ruyung untuk menjadi Yamtuan pertama Negeri Sembilan baginda bertemu dengan Penghulu Ulu Muar di sekitar itu (nama Ulu Muar sudah cuba dihilangkan dengan menyatakan Penghulu Ulu Muar sebagai Penghulu Seri Menanti). Tetapi itu penghujung abad ke 18 Masihi di mana kemungkinan besar mukabumi sudah hampir serupa sekarang. Bagaimana pada zaman Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman yang saya percaya berlaku sekurang-kurang 700 tahun lalu. Hulu Muar manakah yang dilawati Malim Dewan sehingga boleh bertemu dengan Puteri Bongsu dari kayangan?




Selasa, Mac 22, 2011

Mencari jejak Merong : Sultan Muzaffar Shah I Kedah... betulkah baginda juga adalah Merong Mahawangsa?


Nombor yang kelihatan pada kaunter jumlah pelawat ke blogspot ini ketika saya membukanya tengahari 19 Mac iaitu 3 hari lalu. Katanya pada hari itu bulan sangat dekat dengan bumi, paling dekat dalam tempoh 18-20 tahun gitu. Pada nombor ini ada faktor 131 (3 x131 = 393). Bersambung dari artikel Mencari jejak Merong : Betul ke candi di Lembah Bujang menghadap kiblat?.


Selepas melihat candi-candi di Muzium Arkeologi Lembah Bujang, kami anak-beranak berehat mandi-manda di tempat perkelahan sebelah kawasan muzium...



Tentunya Al-Rasyid seronok main air apalagi kami memang dah teruk berpeluh berlengas akibat asyik berjalan sepanjang hari.




Keluar ke pekan Merbok bazaar Ramadhan telah bermula.




Biar diingatkan sekali lagi perjalanan ke utara yang diberi nama "Mencari jejak Merong" ini memang dibuat semasa bulan puasa tahun 2010. Makam kami pun singgah sebentar membeli sedikit juadah.




Singgah sebentar juga melihat surau di pinggir pekan Merbok di mana saya pernah bermalam ketika pertama kali sampai ke sini 4 tahun lalu.





Perjalanan diteruskan untuk ke tempat yang menjadi tujuan utama perjalanan ke utara ini dibuat.












Ya kami mahu pergi ke makam...





Inilah makam Sultan Muzaffar Shah I, sultan pertama Kedah.




Lihat artikel Makam (Tomb of) Sultan Muzaffar Shah I Kedah yang telah dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) 4 bulan lalu. Sejarah rasmi menyebut baginda hidup tahun 1100 Masihi. Namun ada pihak yang percaya Sultan Muzaffar Shah I inilah watak lagenda yang bernama Merong Mahawangsa dan baginda dikatakan datang ke Kedah tahun 750an Masihi gitu.



Gunung Jerai di latarbelakang. Jadi manakah yang benar? Sejarah rasmi menyebut Sultan Muzaffar Shah I yang hidup 1100an Masihi adalah keturunan generasi ke 7 (kalau tak salah ingatan) kepada Merong Mahawangsa yang tidak diletakkan tarikh bilakah ia datang. Malah kalau menurut kitab Hikayat Merong Mahawangsa baginda datang ketika keliling Gunung Jerai masih lagi laut dan gunung itu sendiri adalah sebuah pulau yang dikenali sebagai Pulau Serai.

Saya rasa perkara ini pernah disentuh di dalam beberapa artikel terdahulu dan saya tak mahu memanjangkan lagi. Jawaban saya ialah ini. Ada 3 Merong Mahawangsa sepertimana saya melihat ada 3 Iskandar Zulkarnain. Biar dilepaskan rasa tentang Iskandar Zulkarnain dahulu...

Iskandar Zulkarnain yang pertama hidup sekitar 3,000 tahun lalu, kemungkinan anak, cucu atau cicit Nabi Sulaiman dengan Puteri Balqis yang mewarisi kerajaan Saba' kemudian dari keturunannya muncul raja-raja yang memerintah kerajaan Himyar di hujung Semenanjung Arab. Iskandar Zulkarnain kedua adalah raja empayar lama Parsi yang dipanggil Empayar Achaemenid (hidup sekitar tahun 550 Sebelum Masihi), Iskandar Zulkarnain ketiga pula adalah Alexander the Great dari Macedonia di Yunani, Eropah (330 SM) di mana ketiga-tiga batang tubuh ada hubungan keturunan (Iskandar I keturunan Iskandar II keturunan Iskandar III) tapi dari segi rohaninya adalah orang yang sama jua.

Merong Mahawangsa I yang datang ketika Gunung Jerai masih Pulau Serai adalah keturunan Iskandar Zulkarnain I. Walaupun Hikayat Merong Mahawangsa menyebut semasa baginda hidup ada orang bertemu Nabi Sulaiman AS dan ini membayangkan baginda seperti hidup pada zaman Nabi Allah itu, pemerhatian saya tidak begitu. Merong Mahawangsa ini hidup selepas Nabi Sulaiman wafat namun watak zamannya dapat berjumpa Nabi tersebut disebabkan adanya tempat 'lompatan' masa di mana belaku pertindihan ruang zaman dahulu dan kemudian sehingga seseorang itu boleh bertemu dengan orang yang telah mangkat beberapa ratus tahun lebih awal seolah-olah ia masih hidup lagi. Namun saya pun tidak faham bagaimana Merong Mahawangsa I ini boleh bertindih dengan Merong Mahawangsa II yang menurunkan Sultan Muzaffar Shah I Kedah 7 keturunan kemudian (saya pun tak ingat betulkah 7 keturunan kerana saya menulis terus tanpa rujukan kerana tidak mahu gerak ilham penulisan ini terganggu). Adapun Merong Mahawangsa II inilah yang datang sekitar 750 Masihi dan saya percaya baginda adalah orang yang sama dengan Saidina Salman Al-Farisi (rujuk artikel lama Kepala naga Merong Mahawangsa dan legasi Saidina Salman Al-Farisi, satu petanda daripada era lebih 1,200 tahun lalu?).

Dari Merong Mahawangsa II turun pula Merong Mahawangsa III yang merajai Kedah 1100an Masihi. Kiranya 3 batang tubuh berlainan tetapi rohaninya orang yang sama. Saya tidak akan menerangkan bagaimana ini boleh berlaku. Cukuplah disebut ia ibarat reinkarnasi dalam kepercayaan Hindu tetapi bukan. Perkara ini cuma boleh difahami apabila dilihat di luar lingkungan masa di mana roh yang tidak terpenjara dengan mana-mana hukum sebab dan akibat yang biasa kita fahami boleh menzahirkan diri di dalam tiga tubuh badan pada tiga zaman berlainan. Cubalah bertanya pada orang lama yang faham...



Puas melihat makam Sultan Muzaffar Shah I Kedah kami pun berkejar ke arah Sungai Petani.



Kami bukan mahu ke bandar itu tetapi perlu menghala ke sana kerana mesti menyeberangi dahulu bahagian Sungai Merbok yang dekat ke Sungai Petani.



Agak-agak apakah destinasi seterusnya?






Walaupun cuba berkejar secepat mungkin akhirnya kami terpaksa juga berbuka puasa di tepian jalan, masih agak jauh juga dari destinasi.


OKlah. Kami mahu ke Kota Kuala Muda sebelum ke Pantai Merdeka. Lihat artikel Kota (Fort of) Kuala Muda dan Masjid (Mosque of) Kota Raja, Kota Kuala Muda diikuti Pantai Merdeka at night di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami juga mengambil sedikit masa untuk berjalan-jalan di sekitar Kampung Sintuk Bugis, Kampung Bukit Meriam juga ke Kuala Muda sebelah Kedah.


Malah kami juga melihat Kuala Muda atau kuala Sungai Muda di bahagian selatan yang termasuk di dalam wilayah Pulau Pinang. Ada faktor 131 di sini... lihat poskod kawasan...


Setelah itu baru berkejar untuk mendapatkan feri ke bahagian pulau Pulau Pinang (ingat, Pulau Pinang juga termasuk Seberang Perai yang terletak di tanah besar Semenanjung).




Nasib baik sempat mendapatkan feri terakhir yang berlepas tengah malam. Semasa dalam perjalananlah kami dapat mendengar bunyi mercun menandakan sambutan merdeka 31 Ogos 2010 iaitu hari kemerdekaan ke 43 Malaysia telah bermula.Untuk makluman masih ada lagi 3 artikel dalam siri "Mencari jejak Merong" sebelum segalanya selesai... :]