Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, April 26, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Masjid Nabawi, Raudhah dan tempat-tempat menarik di sekeliling

Assalamualaikum semua. Pada artikel Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot yang dibuat hari Selasa ada disebut bahawa saya mengalami kecederaan kaki akibat tergelincir ketika melompat di Perpustakaan Negara. Esoknya setelah dibuat x-ray ternyata saya mengalami keretakan tulang bukulali lalu harus disimen hingga ke peha. Keadaan ini menyulitkan saya untuk menyambung penceritaan ziarah dan umrah 2013. Namun sejak malam Jumaat saya telah berusaha lalu berjaya menyiapkan 16 buah artikel sokongan di blogspots saya yang lain. Sekarang barulah penceritaan boleh disambung dari artikel sebelumnya, Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda....


Setelah lebih 4 jam perjalanan bas dari Jeddah kami pun sampai ke Madinah selepas jam 9 pagi. Lihat artikel Going to Medina di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Selepas berehat sejam dua di hotel sambil mengecas bateri kamera saya pun mengorak langkah untuk melihat Madinah. Tempat pertama tentunya Masjid Nabawi, masjid Nabi.


Hotel kami terletak cuma 200 meter dari perkarangan masjid. Untuk hari pertama di Madinah ini saya mahu berjalan sendirian lalu menyuruh isteri mengisi masa bersama kawan-kawan perempuan sejemaah.


Sambil beribadah saya mahu mengambil gambar dalam masjid sebanyak yang mungkin. Saya ingat, pada lawatan tahun 2005 asyik ditahan dan ditanya penjaga masjid jika ada membawa kamera. Jika ada mereka menyuruh kita meninggalkannya di luar. Penjaga malah sanggup menggeledah beg kecil juga melihat jika ada disorokkan kamera di celah kasut dan lain-lain tempat. 

Memikirkan ini saya telah membeli telefon bimbit baru yang memiliki kamera beresolusi rendah. Sambil itu saya juga membawa kamera digital beresolusi tinggi untuk gambar lebih cantik. Kalau lepas dapatlah ambil gambar cantik, kalau tidak, gambar telefon pun jadilah sebab mereka tidak boleh menahan kita dari membawa telefon masuk ke dalam masjid kerana ia keperluan umum. Selepas itu saya bercadang untuk mencari sejumlah masjid bersejarah yang saya dapat tahu wujud di sekeliling tetapi tidak pasti lokasinya. Lain kali bila dah tahu kedudukan bolehlah dibawa isteri...


Alhamdulillah, saya dapat masuk ke dalam masjid tanpa ditanya mahupun ditahan. Rupanya ramai juga orang dapat masuk membawa kamera kecil ataupun compact.  Bukan itu sahaja. Tanpa disedari saya dapat masuk ke kawasan Raudhah yang disebut Nabi Muhammad SAW sebagai sebuah taman dari syurga. Memang saya mahu menuju ke tempat yang menjadi rebutan orang ramai mendapatkan berkat itu tetapi tidaklah terlalu awal. Sepanjang ingatan, saya cuma berjaya masuk selepas solat Zuhur walhal saya sebenarnya telah menjejakkan kaki lebih awal tetapi baru malam semalam saya tersedar, ketika membuat artikel Masjid (Mosque of) Nabawi  di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Artikel itu menunjukkan keadaan dalam masjid sebelum Zuhur. Selepas itu saya keluar dari pintu timur yang menghadap tanah perkuburan Baqi'.


Saya teringin untuk menziarahi makam tertentu di dalam sana. Tetapi tanah perkuburan sedang ditutup.


Sampai waktu Zuhur saya kembali masuk ke Masjid Nabawi. Selepas itu baru saya betul-betul mencuba untuk masuk ke Raudhah (masuk sebelum itu memang tidak disengajakan dan tidak dirancang malah tidak disedari sehinggalah disemak kembali gambar-gambar malam semalam). Lihat artikel Finding a way to Raudhah inside the Masjid Nabawi.


Seperti biasa, saya akan keluar masjid melepasi makam Nabi Muhammad SAW yang terkandung di sebalik panel-panel besi ini. Turut terdapat di belakang adalah makam Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan makam Saidina Umar al-Faruq.


Selepas makam baru kita dapat keluar dari pintu Baqi' yang terletak di timur atau sisi kiri masjid menghadap tanah perkuburan Baqi'. Apabila mendapat ia masih tertutup saya melihat ke dalam dari satu sisi. Lihat Tanah perkuburan (Burial ground of) Baqi'.
.


Selepas itu saya kembali ke sisi kiri masjid lalu menuju ke utara. Terlihat sebuah masjid lain berdekatan lalu singgah ke situ. Lihat Masjid (Mosque of) Imam Bukhari


Selepas itu saya terlihat sebuah lagi masjid lebih jauh ke utara. Lihat Masjid (Mosque of) Abu Dzar al-Ghifari.


Dari situ saya mengambil jalan ke barat  melepasi hotel lalu membelok ke selatan menyusuri sebuah jalan yang terletak selari dengan sisi kanan Masjid Nabawi. Ketika itulah saya terlihat satu tempat bersejarah di mana Saidina Abu Bakar dikatakan diangkat menjadi khalifah. Lihat (The place called) Sokaifat Bani Saedah.


Dengan menyusuri jalan itu juga saya dapat melawat 3 buah masjid bersejarah yang terletak berdekatan antara satu sama lain. Lihat Masjid (Mosque of) Saidina AliMasjid (Mosque of) Saidina Abu Bakar dan Masjid (Mosque of) Ghamama.




Namun saya masih belum puas hati. Saya terlihat sebuah lagi masjid tetapi terletak sedikit jauh ke selatan.

Saya sanggup masuk ke dalam walaupun kawasan pagarnya sudah ditutup kepada awam kerana kerja-kerja pembangunan di sekeliling masjid. Ternyata saya tidak membuat keputusan yang salah kerana ia juga memang masjid bersejarah. Lihat Masjid (Mosque of) Saidina Umar.


Seterusnya saya ke Masjid Bilal yang sudah dipastikan kedudukannya ketika bas dari Jeddah menghampiri hotel. Terjumpa dahulu sebuah lagi masjid. Lihat Masjid (Mosque of) Zilnurin dan Masjid (Mosque of) Bilal.


Saya bersolat Asar di Masjid Bilal sebelum menuju kembali ke Masjid Nabawi yang terletak lebih 500 meter ke utaranya. Ketika itulah saya terlihat ramai orang baru habis bersolat Asar di masjid Nabi berpusu-pusu masuk ke tanah perkuburan Baqi' yang sudah dibuka.


Saya pun mengikut sama masuk. Walaupun tanah perkuburan memang dibuka pada waktu-waktu tertentu, cuma orang lelaki sahaja dibenarkan masuk. Polis dan penjaga pula melarang orang ramai daripada terlalu bertumpu pada mana-mana makam atas alasan takut berlaku syirik.


Adapun tujuan utama saya ke Baqi' adalah untuk menziarahi makam cucu sulung Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan. Orang ramai cuma dibenarkan melihat dari jauh, mungkin kerana di sebelah makam tersebut terdapat makam 3 orang lagi keturunan Nabi yang diangkat tinggi oleh penganut Syiah. Lihat Makam Saidina Hassan dan sejumlah keluarga Nabi (Tomb of Saidina Hassan and a number of the Prophet's family). Apapun Baqi' memang sebuah tempat bersejarah kerana ramai sahabat Nabi dimakamkan di sini. Lihat Looking inside Baqi'.


Selepas itu saya berehat di hotel. Masuk waktu malam baru saya berjalan lagi ke Masjid Nabawi. Sungguh meriah suasana masjid ketika itu. Lihat Masjid Nabawi at night.


Saya dapat masuk ke Raudhah lagi malah bersolat Isyaq berjemaah betul-betul di hadapan Mihrab Nabi.

Saya juga berpeluang beramal di bahagian Raudhah yang terdekat dengan Makam Nabi.


Ketika keluar lagi, saya terasa mahu mengambil gambar diri sendiri di hadapan makam...


Walaupun sudah keluar saya masih tidak puas berada di sekitar lalu berbaring malah tidur sebentar di hadapan masjid. Sesungguhnya saya kepenatan tetapi puas. Apabila disemak dengan program Google Earth, dari siang saya sudah berjalan kaki sekitar 10 km sebelum terbaring begini. Kemudian saya harus berjalan  lagi 850 meter untuk kembali ke hotel di mana berlaku pula satu hal yang akan diceritakan pada artikel akan datang, satu hal yang menyebabkan saya hampir-hampir mengambil-alih tugas penuh seorang mutawif... :]


Selasa, April 23, 2013

Car Book Sale, Hari buku sedunia dan kaki terpele'ot

Isssh. Kaki tengah sakit ni. Dahlah sakit belakang tapak tangan, atas pergelangan kanan tak hilang lagi setelah jatuh tergelincir keluar bilik air sebelum meninggalkan Mekah 12 hari lalu tak hilang lagi. Ni kaki kanan pulak kena, kat kawasan pergelapangan juga sehingga kelihatan macam nak tercabut.  Apa cerita ni? Ikut je dulu...


Siang tadi 23 April 2013 saya menyertai lagi acara Car Book Sale anjuran Perbadanan Kota Buku di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur.








Sejak kembali dari ziarah dan umrah 12 April ini adalah acara pertama saya sertai. Kiranya ia juga adalah kali pertama saya bersosial dengan manusia selain keluarga sejak itu.






Kalau ikutkan saya masih belum ada mood untuk bercampur-gaul dengan orang. Batuk selsema yang melanda diri sejak di Madinah hampir 20 hari lalu pun tak pulih, semalam pula saya kurang tidur lalu rasa kepenatan. Tapi rasa rugi kalau tak sertai acara Car Book Sale yang sejak awal tahun ini diadakan cuma sebulan sekali. 








Untuk pengetahuan dahulu ia diadakan 2 minggu sekali. Acara cuma dibuat pada hari Sabtu tapi kali ini ada kelainan kerana dibuat hari Selasa.






Keadaan ini menyebabkan penyertaan agak kurang berbanding jangkaan. Sebulan lepas 26 kenderaan memeriahkan acara, terlebih 1 daripada ruang yang ditawarkan. Kali ini saya kira ada 17 kenderaan campur 1 yang muncul tengah hari gitu sedangkan pihak penganjur mengiklankan ruang telah dibuka untuk 30 kenderaan.




Ramai juga memberitahu ini disebabkan acara diadakan hari orang bekerja, tidak hujung minggu seperti kebiasaan. Ramai yang menyertai adalah mereka yang membuat perniagaan sampingan apabila ada masa terluang. Namun ia masih boleh dikira satu kejayaan keranan jumlah penyertaan 17 + 1 itu masih melebihi 15 kenderaan yang muncul 2 bulan lepas untuk memenuhi kuota ketika itu. Kelihatan di atas salah seorang peserta setia Car Book Sale, budayawan terkenal Profesor Dr. Siti Zainon Ismail. Seperti saya beliau menjual buku-buku tulisan sendiri. Kali ini beliau membuka gerai betul-betul di sebelah kereta saya, mungkin kerana ruang berbumbung sudah penuh...


Inilah gerai ad hoc saya.


Sejak mengadakan acara pertama HIKMAH 4 November tahun lepas saya sentiasa mengambil peluang untuk mempromosikannya sama. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).




OK. Sekarang baru saya boleh sebut kenapa kali ini acara diadakan hari Selasa. Ini kerana ia mau diadakan selari dengan Hari Buku Sedunia 23 April. Kelihatan dalam gambar pelajar sekolah yang muncul hampir tengah hari selepas menghadiri acara rasmi di dalam bangunan lama perpustakaan. Bila ada mereka baru nampak meriah Car Book Sale yang bermula 9.30 pagi.


Sebelum itu bukan tidak ada orang datang menjenguk tapi tak ramai. Selain kehadiran pelajar, acara cuma nampak cukup memberangsangkan apabila masuk waktu rehat tengah hari. Maklumlah hari bekerja. Ketika itulah orang dari pejabat-pejabat berdekatan dapat meluangkan masa. Ini pula gambar ruang legar bangunan lama perpustakaan. Acara rasmi sambutan hari buku sedunia diadakan di auditorium, satu paras ke atas. Di sini diadakan pameran.


Saya tertarik dengan pameran ini yang dibuat seperti air terjun turun. Saya rasa inilah pameran paling kreatif saya pernah lihat di Perpustakaan Negara setakat ini.


Ini pula kaki saya yang sakit bengkak. Gambar diambil lewat petang apabila sudah kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Apa yang berlaku adalah sekitar jam 2 kalau tak salah (Car Book Sale hari ini dijadualkan tamat 2.30 petang, minggu lepas 5.30) langit kelihatan seperti mahu hujan. Ketika itu angin sudah setengah jam gitu asyik bertiup kencang. Saya sedang duduk di atas kerusi gerai Prof Siti membaca buku kerana dia meminta saya menengok-nengokkan gerai sementara dia pergi makan.

Apabila hari kelihatan mahu hujan dan Prof Siti masih belum kelihatan peserta kereta sebelah mencadangkan agar kami mengangkat buku-buku beliau yang dipamerkan di luar berserta beberapa barangan termasuk kerusi masuk ke dalam kereta. Takut tak sempat simpan apabila hujan turun. Saya pun menolong bersama seorang lagi peserta. Tiba-tiba angin kencang meniup laju sebuah poster promosi saya terbang kira-kira 20 kaki dari hadapan kereta saya melepasi kereta Prof Siti.

Saya pun mengejar poster. Ia merupakan kertas A3 bercetak rekabentuk sendiri kemudian dilaminate agar kelihatan lebih cantik dan tahan lama. Saya baru hendak mencapainya, tiba-tiba angin meniupnya jauh lagi 20 kaki ke arah sama, saya fikir selatan. Saya pun mengejarnya. Ketika itu angin mahu meniupnya lagi. Saya pun melompat dengan niat hendak menahannya dengan kaki kiri.

Saya dapat berjejak di atas poster tetapi hilang keseimbangan. Sedar tidak sedar saya terus tergelincir jatuh ke belakang. Maklumlah berpijak atas poster berlaminate yang saya lupa bersifat licin. Saya jatuh dengan kaki kiri mengunjur ke hadapan. Tetapi kaki kanan pula terlipat lalu saya dapati telah terkeluar dari pergelangan hampir 90 darjah ikut arah jam!

Masyaallah apa ni? Inilah pertama kali saya terjatuh begini. Biasanya tubuh badan saya akan membuat gerak automatik seperti kucing untuk meminimakan apa-apa bentuk kecedaraan. Kali ini kaki saya sudah terkeluar lari dari had kebiasaan kedudukan tulang. 

Ketika itulah sejumlah peserta datang untuk membantu. Saya cuma terbaring bertakbir perlahan-lahan sambil menahan kesakitan. Sesungguhnya ini adalah satu kecederaan baru buat diri saya yang sudah merasa jatuh dari macam-macam posisi, pernah aktif lasak bermain ragbi sehingga ke peringkat negeri, sudah mengembara jauh ke merata tempat melepasi pelbagai halangan semulajadi selain menepis gangguan orang samseng dah sebagainya. Kenapa boleh jadi begini?

Terbetik dalam fikiran, aku ni dah tua dah sebenarnya, 43 tahun. Tapi kadang-kadang aku lupa. Aku berlari melompat riang seperti orang berumur 20an sedangkan aku sekarang dah kurang bersenam. Kalau masih kuat bersenam dan lebih muda lainlah. Otot lebih kuat dapat menahan tulang dari terkeluar posisi apabila dihentak. Ni aku dah berumur dan kurang bersenam. Dan hari ini aku juga sebenarnya kurang rehat. Aku seronok melihat orang ramai di Car Book Sale sedangkan aku sebenarnya melawan rasa ngantuk disebabkan kurang tidur juga rasa kurang cergas akibat batuk selsema yang kadangkala disertai demam seram-seram sejuk. Allah!

Teringat 12 hari lalu ketika mahu meninggalkan Mekah. Selepas menolong mengangkut beg penumpang saya  terasa mahu buang air besar kerana diserang ceret-beret sehari dua itu. Nasib baik ada masjid dengan tandas dekat. Tapi saya bila dah 'memerut' harus memakan masa sehingga puas, sehingga kedengaran bunyi hon bas memanggil keras.

Selesai hajat saya pun bergerak laju keluar. Tiba-tiba saya jatuh terduduk, tergelincir di tangga luar tandas. Saya jarang jatuh terduduk kerana selalunya refleks akan membawa pada kedudukan di mana saya boleh terus bangun malah melompat. Kali ini saya terduduk beristighfar kerana terasa sakit, terutama di atas pergelangan tangan akibat menahan dari jatuh terbaring terus ke belakang. 

Sampai hari ini sakit itu masih ada. Tiba-tiba siang tadi saya boleh terjatuh pula di perpustakaan hingga kaki kanan terkeluar dari had kebiasaan hampir 90 darjah. Selepas hilang rasa terperanjat dan terkawal rasa sakit saya pun membangunkan badan lalu mencapai kaki kanan. Prap... secara refleks saya memasukkan kaki yang sudah terkeluar di bahagian pergelangan masuk ke tempat yang terasa patut. Ada seorang peserta cuba membantu mengurut. Saya tanya dia tahu urut ke? Dia jawab tidak. Saya jawab kalau begitu tak mengapa. Saya mengurut sedikit kaki kanan itu kemudian cuba bangun lalu cepat-cepat dipapah peserta lain. Saya memang perlu dipapah kerana belum pasti bagaimana serius kecederaan.

Alhamdulillah saya dapat berdiri walaupun terasa kaki sakit campur kebas. Sekurang-kurangya saya masih boleh merasa... khuatir juga kalau tak boleh rasa langsung kaki kanan. Saya gerakkan sedikir jari-jari. OK. Boleh. Tapi tak boleh kuat kerana sakit. Kemudian saya berjalan sendiri terhencot-hencot ke kereta. Peserta lain mahu menolong tetapi saya kata tak mengapa. Saya beritahu mereka, sekarang saya perlu berurut cepat-cepat.

Nasib baik ada yang membantu mengemaskan barangan saya masuk kereta. Dengan terhencot-hencot itu saya masuk dan menghidupkan enjin. Saya tekan pedal. OK. Saya masih boleh mengawal keadaan walaupun sakit campur kebas. Cuma saya harus berhati-hati kerana kawalan kaki kanan itu kurang cekap. Saya perlu mengangkat dari paras peha sebelum menekan baik brek mahupun pedal minyak... menekan dalam kesakitan dan kadangkala seperti hilang rasa menekan.

Dalam keadaan itulah saya dapat memandu kereta hingga ke pekan Ampang mencari orang tempat saya biasa berurut. Keluar dari kereta saya dapati susah berjalan walaupun bertongkatkan payung yang sedia ada dalam kereta. Kerap kali saya menjerit kesakitan apabila tekanan melangkah dengan kaki kanan kena pada pergelangan. Dipendekkan cerita saya sempat berurut sedangkan tukang urut baru sahaja hendak keluar rumah.

Bila dah urut ni sekurang-kurangnya saya lebih yakin. Walaupun masih sakit sekurang-kurangnya menurut pandangan tukang urat saya tidak patah tulang. Kalau retak tu tak tahu le katanya kerana dia bukan doktor. Namun nampaknya ia lebih pada terseliuh, terpele'ot walaupun sehingga terkeluar dari had tulang pergelangan. Nasib baik urut cepat, kalau tak lebih teruk masuk angin, bengkak dan sebagainya. Sekarang saya perlu berehat.

Kalau ikutkan saya mahu berbaring sahaja kerana masih sakit amat dan kaki pun dah bengkak. Tapi saya memandu sendirian dan tidak mahu menyusahkan orang. Nak tak nak saya harus memandu terus ke pejabat isteri di Rawang, kemudian bolehlah dia memandu ke rumah. Ikut rancangan asal, selepas Perpustakaan Negara saya mahu ke rumah seorang ibu saudara di Bukit Damansara untuk menghantar barangan yang dikirimkan di Tanah Suci. Tetapi saya harus menelefon memberitahu membatalkannya. Bukan senang hendak memandu kereta dalam keadaan kaki begini apalagi bila banyak kereta di jalanan. Bukan sekali dua saya rasa hampir melanggar kereta orang dari belakang. Saya sampai terpaksa meminta isteri membelikan tongkat. Itupun harus bertungkus-lumus berjalan sedikit demi sedikit untuk mengelakkan lebih banyak kesakitan.

Ah. Sedikit sebanyak saya terasa lega telah melepaskan cerita panjang lebar. Inilah saya. Penceritaan yang saya selalu buat di blogspots juga perkongsian di Facebook adalah cara saya sendiri melepaskan sesuatu sebelum dapat membuat perkara lebih baik. Semoga kecederaan ini menjadi penebus dosa dan peninggi darjat.  Hujung minggu ini saya dijadualkan hadir perkahwinan seorang sepupu dengan seorang selebriti. Nampaknya saya mungkin akan hadir majlis nikahnya sahaja, untuk majlis makan malam yang lebih formal dan high-profile saya sudah sedia rasa kurang selesa apalagi bila ditambah kecederaan sebegini. 

Semoga selepas ini ia cukup pulih untuk saya melakukan satu misi di luar negara awal bulan depan. Semoga juga saya akan cukup sihat, kuat dan sempurna tubuh badan untuk menjayakan acara ke-5 HIKMAH 5-8 Jun. Amin.


Isnin, April 22, 2013

Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda...

Terus ke hari kedua cerita. Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - 'Menjakunkan' diri di KLIA dan dugaan 1 April.


Pagi Selasa 2 April. Kami bersarapan pagi di Holiday Inn, Glemarie, Shah Alam. Ketika ini saya dapat ramai penumpang seperti suddah melupakan penungguan lama dalam keadaan lapar semalam. Di hotel empat bintang ini (kalau tak salah) mereka dapat lebih dari cukup makan juga berehat dengan penuh keselesaan.


Cuma disebabkan pakaian dah check-in kami harus memakai balik baju semalam. Jam 2 petang bas sudah sedia menunggu untuk membawa kami kembali ke lapangan terbang.


Pesawat dinyatakan akan berlepas jam 8 malam. Kalau dikira dari masa penerbangan asal 5.30 petang 1 April ini adalah penundaan lebih 26 jam. Harap-harap tidak ada lagi apa-apa gangguan...


Semua penumpang mengambil balik boarding pass atau pas menaiki pesawat. Ternyata kami menerima balik boarding pass hari sebelumnya yang dikumpulkan balik oleh kaki tangan KLAS, bukan boarding pass baru untuk hari Selasa. Ini kemudian menimbulkan masalah kepada penumpang yang mahu masuk ke ruang pelepasan lewat petang.  Rupa-rupanya selepas pertukaran shift ramai pekerja lapangan terbang termasuk polis bantuan tidak meyedari telah berlaku penundaan penerbangan pesawat kami ke Jeddah.


Apapun masalah dapat diselesaikan tetapi tidak sebelum berlaku sedikit pertelingkahan dengan pihak keselamatan. Maklumlah, dah lebih 24 jam tertunda penerbangan kemudian ditahan daripada masuk ke ruang pelepasan. Siapa yang tak marah? 


Ketika gambar ini diambil 6.44 petang sudah ramai beratur untuk masuk ke bilik menunggu pelepasan. Alangkah leganya saya dan isteri apabila melihat pesawat juga sudah sedia berada di tempat sepatutnya.


Jemaah lain pun lega. Yang berbaju hijau adalah jemaah dari Indonesia yang transit dari Jakarta. Ada lagi satu kumpulan berbaju lain datang dari sana. Kelihatan dalam gambar sejumlah penumpang dari Malaysia memakai ihram. Mereka adalah orang yang akan terus ke Mekah menunaikan umrah lalu harus berniat atas kepal terbang di miqat (tempat permulaan di niat di luar Tanah Haram) sejam dua sebelum sampai ke Jeddah.


Sekitar 7.40 malam gitu baru penumpang dipanggil masuk kapal terbang. Ramai telah menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di bilik menunggu.


Kumpulan saya yang terdiri daripada 79 orang adalah yang terakhir dipanggil masuk. Ketika ini sudah 8.22 malam. Nyata pesawat akan berlepas lebih lewat daripada jadual yang sudah pun sedia ditunda lebih 26 jam.


Sekurang-kurangnya kami lega sudah masuk pesawat berbanding semalam di mana ia langsung tak nampak. Isteri juga sedikit teruja kerana inilah pertama kali beliau menaiki Boeing 747 yang selama beberapa dekad diiktiraf sebagai kapal terbang komersial terbesar di dunia, boleh memuatkan sekitar 400 orang penumpang.


Gambar ini diambil ketika pesawat sedang berlepas. Jam kamera menunjukkan 9.26 malam.


Selepas hampir 9 jam di udara sampailah kami ke lapangan terbang antarabangsa di Jeddah. Kalau dikira jadual asal 5.30 petang 1 April sehingga pesawat berlepas hampir 9.30 malam 2 April penerbangan kami sebenarnya tertunda 28 jam!


Apapun kami sudah sampai di Tanah Arab.


Saya dan isteri termasuk orang paling awal dari penerbangan kami melepasi imigresyen lalu sampai ke ruang legar luar. Di sini berlaku sedikit insiden saya bergelut dan nyaris bertumbuk dengan seorang pemuda Arab, di kala kawan-kawannya kelihatan seperti mengacah-acah mahu turut sama bertindak. Insiden ini berlaku apabila pemuda Arab tersebut dan kawan-kawannya meminta kami menunjukkan paspot. Apabila ditunjukkan  beliau mengambil paspot saya lalu kelihatan seperti hendak membawanya lari.

Saya pun mengejar dan merampasnya balik. Ketika itu kami tidak pasti mereka ini siapa sedangkan mutawif kami masih lagi di tempat imigresyen. Apakah mereka ulat yang mahu mencari kesempatan kerana semasa meminta paspot mereka menunjukkan isyarat seperti mahu meminta duit? Seorang daripada mereka memakai baju seperti pegawai imigresyen. Tetapi kenapa perlu menyemak lagi paspot sedangkan kami sudahpun melepasi pemeriksaan sah selepas mendarat?


Kemudian kami diberitahu mereka ini orang muasassah yang bertugas melancarkan pergerakan sehingga masuk bas. Tetapi kenapa perlu minta dan ambil paspot dengan cara kasar? Apapun perkara ini akhirnya diselesaikan oleh seorang ahli kumpulan kami yang pandai cakap Arab.


Oh. Kami touchdown di Jeddah tadi sekitar 1.30 pagi waktu tempatan yang lewat 5 jam berbanding waktu Malaysia. Bas mula bergerak meninggalkan lapangan terbang sekitar 3.45 pagi iaitu lebih 2 jam kemudian. Kumpulan kami menggunakan 2 bas menuju ke Madinah sekitar 400 km ke utara Jeddah. Perjalanan harus memakan masa lebih 4 jam.


 
Kami cuma berhenti dua kali di perhentian tepi lebuhraya, pertama untuk solat Subuh, kedua untuk makan pagi. Lihat artikel Masjid kecil antara Jeddah dan Madinah (Small mosque between Jeddah and Medina) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Untuk artikel selepas ini akan ditunjukkan keadaan sekeliling Masjid Nabawi di mana terdapatnya makam Nabi Muhammad SAW. Insyaallah saya juga akan menunjukkan sejumlah masjid berdekatan, antaranya Masjid Imam Bukhari,  Masjid Abu Zar al-Ghifari, Masjid Saidina Ali, Masjid Saidina Abu Bakar dan Masjid Saidina Umar.