Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, February 26, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Kemusykilan tentang tempoh waktu perkara dan beberapa hal berkaitan

Salam petang Jumaat. Fikirnya hari ini mahu berkongsi cerita tentang satu majlis ilmu yang berlangsung pagi hingga tengah hari Rabu. Tetapi kepala terasa begitu berat hendak memulakan artikel. Sebaliknya biar dikongsikan lagi cerita berkenaan perjalanan lama. Ini lebih santai lalu lebih mudah dilepaskan. Lagipun sebahagian besar cerita telah ditulis lebih 24 jam lalu.

Adapun selepas mempersembahkan artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik pagi itu baru saya dapat melihat bahawa kami berkayuh basikal pada kadar 100 hingga 140 km sehari. Ini adalah bersamaan 5 hingga 7 jam berkayuh tanpa henti. Penat woo apa lagi jarak keseluruhan yang mahu diliputi melebihi 1,200 km. Lainlah kalau dah memang pro...

Pada tengah hari itu pula seorang junior saya daripada Batch 8 di PPP/ITM telah menghubungkan saya dengan seorang junior lain yang ada terlibat sama dalam perjalanan berbasikal. Walau junior tersebut sendiri tiada bersama ada kenangan perjalanan lain yang ada kena mengena dapat dikongsikan beliau membuat saya terasa harus berkongsi gambar-gambar berikut berserta sedikit teks tentangnya.






OUTWARD BOUND TRAINING DI PULAU PANGKOR LEBIH 31 TAHUN LALU...

Haha. Junior bawah setahun saya semasa zaman kolej A Level di PPP/ITM bagi 2 gambar ini lalu ditunjukkan yang mana saya. Ia di waterfront di Lumut, katanya dalam bulan Disember 1989. Kami ada pergi ke Pulau Pangkor dari jeti Lumut untuk membuat outward bound training selama seminggu gitu. Masa tu Pangkor belum ada sangat jalan raya. Teringat dari jeti utama di timur pulau kami berjalan kaki sehingga ke penghujung utara pulau lalu berkhemah di teluk sana.
Esoknya kami memotong ke tengah pulau mendaki bukit bukau dan bermalam dalam hutan. Kami ada meredah paya sehingga ke paras pinggang kemudian mendaki bukit tertinggi di pulau (lebih 1,000 kaki tinggi dari paras laut). Teringat sampai ke puncak dalam keadaan ramai dah kena gigit lintah dan pacat sana sini. Jadi apabila dapat turun bukit lalu sampai ke pantai di barat laut alangkah gumbiranya hati dapat mandi laut seraya menghilangkan kesan gatal gigitan.
Seterusnya kami berjalan kaki ke satu teluk di bahagian selatan pulau lalu berkhemah di sana. Di situlah kali pertama saya melihat binatang yang dipanggil sebagai "kote Keling" berenang merata dengan penuh "lucah"nya. Seingat saya memang merata kami pusing pulau dengan berjalan kaki sahaja. Gambar yang ada 2 ini satu harus sebelum satu selepas keluar dari Pulau Pangkor kerana baju lain2, latar belakang sahaja sama. Cuma tak ingat yang mana dahulu yang mana kemudiannya.


------------ 


Gambar-gambar dan teks atas ada dikongsikan di Facebook pada hari Rabu malam Khamis. Ia relevan pada cerita perjalanan berbasikal kerana saya ada menyebut tentangnya dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh iaitu artikel tentang fasa pertama perjalanan. Selain itu terdapat sekurang-kurangnya seorang selain saya dalam gambar turut sama berbasikal. Lebih penting lagi ia dikongsikan untuk menilai kembali bilakah perjalanan berbasikal itu sebenarnya berlaku.

Menurut junior yang memberikan gambar beliau pasti ia diambil pada bulan Disember tahun 1989 kerana ada merekodkannya. Oleh itu tidak mungkin perjalanan berbasikal berlaku pada waktu itu seperti disebut dalam artikel pembukaan Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan. Ini kerana baik perjalanan berbasikal mahupun outward bound training di Pangkor  memakan masa yang agak lama juga banyak tenaga. Selain itu ia memerlukan perancangan dan komitmen pelbagai pihak.  Oleh itu tidak mungkin kedua-duanya dapat dilakukan dalam bulan yang sama. Harus terdapat jarak masa sekurang-kurangnya sebulan dua.

Maka berbaliklah pada kata-kata kawan sama Batch yang turut serta berbasikal seperti disentuh dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik. Saya ada menyebut beliau sebagai memberitahu perjalanan itu berlaku beberapa bulan lebih awal iaitu sebelum Disember 1989. Sebetulnya beliau memberitahu ia adalah sekitar sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia 31 Ogos tanpa menyatakan tahun. Saya sebut lebih awal iaitu sebelum Disember 1989 kerana kalau sekitar 31 Ogos tahun kemudian iaitu pada tahun 1990 saya tiada lagi di PPP/ITM. 



Saya tiada lagi kerana sudah ditendang keluar akibat sudah terlalu banyak membuat kesalahan disiplin. Saya cuma sempat mengambil satu kertas peperiksaan A Level iaitu apa yang dipanggil sebagai January Paper. Saya ditendang keluar ketika tinggal sebulan dua sahaja sebelum peperiksaan utama bermula pada bulan Jun lalu tidak dapat mendudukinya untuk melengkapkan kelulusan. Gambar sijil keputusan January Paper di atas menjadi bukti bahawa memang kertas tersebut diambil pada awal tahun 1990.

Ya. Saya tiada masalah mahupun rasa malu menyatakan ini dengan jujur kerana saya adalah jenis orang yang suka berterus terang, tidak mahu menokok tambah cerita mahupun mencantikkan lalu menambah perisa supaya kelihatan bagus sentiasa. Pada saya semua itu pengalaman yang membentuk jati diri kemudian. Masalahnya ini bercanggah dengan kenyataan bahawa pengembaraan di Pulau Pangkor berlaku Disember 1989. Ini kerana menurut junior yang memberikan gambar ia bermula daripada kampus lama kami di Damansara Utama. 



Saya pasti perjalanan berbasikal bermula di Shah Alam. Di situ terletaknya kampus selepas berpindah dari Damansara Utama, Oleh itu kalau betullah perjalanan berlaku sekitar 31 Ogos ia harus pada tahun 1990. Sedangkan saya pasti sangat-sangat telah dikeluarkan dari PPP/ITM sebelum pertengahan 1990. 

Saya pasti kerana ingat selepas itu tidak mahu lagi menyambung pelajaran (secara formal di mana-mana institusi) lalu cuba bekerja di beberapa tempat. Saya pernah menjadi pembantu audit di sebuah firma profesional audit di Segitiga Emas Kuala Lumpur kemudian junior editor di sebuah syarikat perisian (software) pendidikan di pinggir barat bandar raya. Gambar atas menunjukkan surat tawaran untuk bekerja sebagai pembantu audit bermula 4 Jun 1990. Sepatutnya bulan itu saya menduduki peperiksaan penuh A Level. Tetapi selepas ditendang keluar daripada PPP/ITM jiwa saya jadi lebih memberontak tidak mahu menyambung belajar. 

Walau gaji permulaan sangat kecil iaitu RM330 sahaja sebulan saya yakin boleh meningkat naik cepat dengan kepandaian yang dimiliki. Namun tidak berapa lama kemudian saya mula hilang minat pada bidang berkenaan. Saya lebih banyak menghabiskan masa mengikut orang basking menyanyi dan main gitar di Pasar Seni selain duduk melepak dengan warga jalanan sehingga berhari-hari.



Gambar ini pula menunjukkan surat tawaran untuk bekerja sebagai junior editor di syarikat perisian pendidikan bermula 22 Januari 1991. Berdasarkan latar belakang boleh membuat perisian sendiri (walau secara kecil-kecilan) sejak berumur 12 tahun iaitu pada tahun 1982 saya fikir boleh bergerak maju dalam bidang berkenaan. Tidak lama kemudian terjumpa dengan seorang gadis junior Batch 8 yang membuat terasa begitu bersemangat untuk menyambung kembali pelajaran lalu menduduki peperiksaan A Level. Selepas pertengahan 1991 kami pun berlepas ke United Kingdom untuk pengajian ijazah sarjana muda. Saya  ambil bidang matematik di Universiti College of London (UCL) beliau bidang ekonomi di London School of Economic (LSE).

Berbalik pada hal yang memeningkan kepala. Kalau betul perjalanan berbasikal berlaku sekitar 31 Ogos maka mustahil pada tahun 1990 kerana ketika itu saya tiada lagi di PPP/ITM. Kalau tahun 1989 pula ia harus bercanggah dengan kenyataan oleh junior saya bahawa pengembaraan di Pulau Pangkor berlaku pada Disember tahun itu kerana  menurut beliau kami bergerak dari kampus lama di Damansara Utama. Tahun 1988 memang takda le kerana terlalu awal. Ketika itu junior dari Batch 8 sedang bersedia untuk mengambil peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) lalu belum dipilih untuk masuk ke PPP/ITM

Maka bilakah perjalanan berbasikal pusing separuh Semenanjung itu bermula dari Shah Alam? Buat masa ini saya tak dapat lagi menebak tempoh masa tepat kerana keliru. Mungkin selepas ini akan muncul fakta-fakta yang menjelaskan perkara? Kita tunggu dan lihat. Buat masa ini biarlah terus dianggap bahawa perjalanan berlaku pada tahun 1989 walaupun kelihatan mustahil pada 31 Ogos mahupun pada bulan Disember. Saya luahkan dan kongsikan hal supaya dapat menyambung cerita seterusnya dengan rasa lapang. Sekian buat masa ini.


Wednesday, February 24, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Ipoh ke Gerik

Salam semua. Merujuk pada artikel pembukaan siri iaitu Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan. Adapun selepas mempersembahkannya di blogspot lima hari lalu saya ada berkongsi pautan di Facebook lalu meminta sekarang kawan lama yang turut bersama dalam perjalanan memberikan maklum balas. Tengah hari semalam baru beliau menjawab lalu memberitahu bahawa kami menginap malam pertama di Slim River iaitu sebelum bergerak ke Ipoh. Turut diberitahu perjalanan dibuat bukan pada bulan Disember malah beberapa bulan lebih awal. Hal ini biarlah ditangani kemudian. Sekarang tanpa memikirkan tempoh waktu tepat bila ia berlaku biar kita ke fasa kedua perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh.


Saya tidak ingat kami menginap di manakah di Ipoh. Malah entah betul ada menginap di Ipoh pun sebetulnya tak pasti. Tetapi apabila mendapat tahu daripada kawan kami menginap malam pertama di Slim River rasanya memang logik penginapan seterusnya adalah di Ipoh. Ini kerana Slim River terletak dalam 130 km dari Shah Alam menggunakan jalan lama sedangkan Ipoh terletak lebih 100 km selepas Slim River. Apabila cuba diimbas kembali ingatan terasa seperti di suatu rumah rehat kerajaan (rest house). Tetapi bila diGoogle perkataan "rest house Ipoh" keluar bermacam tempat penginapan yang tiada kena mengena dengan konsep rumah rehat kerajaan. 

Untuk pengetahuan suatu masa dahulu rumah-rumah rehat sebegitu yang memiliki tanah luas boleh ditemui di banyak bandar dan pekan besar. Ia boleh dikatakan legasi daripada zaman pentadbiran British (sebelum merdeka tahun 1957) bagi menawarkan penginapan untuk para pegawai kerajaan yang menjalankan tugas di luar kawasan. Kini kebanyakannya sudah hilang menjadi bangunan lain disebabkan pesatnya perkembangan zaman yang menerbitkan banyak hotel. 

Di atas adalah gambar stesyen kereta api Ipoh. Ia merupakan satu legasi cantik daripada zaman British. Ada juga terfikir apakah di situ kami menginap kerana terdapat sebuah hotel klasik di bahagian atas? Boleh jadi. Yang ingat saya pernah menginap di situ sekurang-kurangnya 2 kali. Tapi apakah pada ketika perjalanan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989? Kalau mengikut kadar sewaan bilik harus tidak kecuali ada pihak yang menaja. Dan lagi pada waktu itu tak pasti apakah bahagian atas itu sudah dijadikan hotel.

Turut timbul walau secara samar dalam ingatan adalah kami diraikan ketika sampai ke Ipoh (atau suatu tempat lain berdekatan?) juga ketika meninggalkan. Rasanya ini disebabkan aturan oleh pihak kolej PPP/ITM (tak perlu dipanjangkan lagi apakah iya kerana sudah disebut dalam 2 artikel sebelum ini) maka kami diraikan oleh pihak atau satu jabatan kerajaan. Dari situ kami pun berkayuh lebih jauh ke arah utara. Menurut laluan jalan lama seperti boleh dilihat dalam peta kami harus melalui pekan Sungai Siput ke arah barat kemudian menyeberangi Sungai Perak menggunakan jambatan lama ke luar dari bandar diraja Kuala Kangsar.



Apapun, walau belum pasti tepat kedudukan biar fasa kedua cerita dimulakan dari Ipoh. Gambar ini menunjukkan Jambatan Iskandar, sekitar 6 km ke utara bandar (dahulu pekan) Kuala Kangsar. Kalau dari Ipoh mengikut jalan lama ke arah utara inilah satu-satunya jambatan untuk menyeberang Sungai Perak. Terbit juga pertanyaan apakah kami ada singgah masuk ke pekan Kuala Kangsar memandang ia satu tempat menarik dan bersejarah? Rugi juga tak singgah kerana sudah sampai berdekatan. Tetapi apabila difikirkan betul-betul rasanya tidak. Ini kerana jarak pergi balik ke jambatan adalah sekitar 12 km bersamaan lebih 30 minit kayuhan basikal. Sedangkan kami perlu pergi lebih jauh ke utara lalu harus berkira tentang masa juga tenaga.


Berdasarkan kadar purata kelajuan kayuhan 20 km/j (rujuk kembali kiraan dalam artikel  Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh) perjalanan hari itu harus ditamatkan di pekan Gerik, sekitar 100 km ke utara Kuala Kangsar. Ketika itu tidak terdapat hotel seperti kelihatan dalam gambar (diambil daripada artikel Pusing separuh Semenanjung bersama ibu bapa - Bersama menjejak leluhur di Perak tahun 2014). Harus kami menginap di rumah rehat kerajaan. Semakan Google menunjukkan ia masih wujud sehingga sekarang.


Lakaran ringkas peta perjalanan dari Ipoh ke Gerik. Namun ini berdasarkan keadaan jalan raya sekarang sedangkan dahulu jalan dari Kuala Kangsar ke Gerik lebih jauh kerana banyak berbelok-belok melalui kawasan bukit bukau, selepas lebih 10 tahun gitu baru banyak bahagian diluruskan dan jalan dibesarkan. Pada kadar kayuhan 20 km/j tempoh 7 jam diperlukan untuk meliputi jarak tanpa henti. Kalau campur rehat makan tengah hari dan lain-lain harus lebih 8 jam bermakna kalau bertolak dari Ipoh jam 8 pagi pun dekat 5 petang baru sampai.


Monday, February 22, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Dari Shah Alam ke Ipoh

OK. Sekadar berkongsi apa yang diletakkan di Facebook siang tadi :-

Pada tarikh hari ini 22 Februari tepat setahun lalu. Pada 22/02/2020. Terlaksanalah acara ke-22 HIKMAH di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Sekali lagi gagasan besar untuk memperkasakan pemikiran anak Melayu Islam melalui kesedaran sejarah dan pelbagai ilmu bersifat intelektual diwacanakan... setelah beberapa lama HIKMAH membawa gagasan sama tetapi dengan pelbagai pengisian berlainan ke merata Semenanjung membawa 3 kali di Aceh. Esoknya kerajaan atau lebih tepat pentadbiran Pakatan Harapan yang kelihatan banyak merosakkan kepentingan umat Melayu dan Islam jatuh setelah 22 bulan memerintah. Namun bukanlah ia jatuh kerana acara atau gagasan. Sebaliknya berlakunya itu menjadi bukti bahawa kami bergerak menurut jadual akhir zaman.





Saya tidak ingat tarikh tepat bilakah perjalanan berbasikal separuh Semenanjung itu berlaku. Tetapi seperti disebut dalam artikel sebelum ini ia nampaknya harus pada cuti semester hujung tahun 1989 iaitu sekitar bulan Disember. Yang dapat diingati seterusnya dalam proses penggalian kembali ingatan adalah saya meminjam basikal lumba berusia beberapa tahun milik seorang bapa saudara. Ketika itu adik kepada ibu saya ini sedang menumpang di rumah seorang lagi adik ibu di Taman Aman, Petaling Jaya.

Seingat saya peserta lain semua membeli basikal lumba baru yang ditawarkan pada harga RM150 (tak salah ingatan) oleh institusi kami iaitu PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar, Institut Teknologi Mara). Saya sahaja memakai basikal lama walaupun lebih berat lalu memerlukan lebih banyak tenaga untuk digerakkan. Saya ingat dalam tempoh 2-3 minggu sebelum perjalanan bermula selalu berulang alik dari Taman Aman ke asrama pelajar di Seksyen 18. Jarak antara kedua tempat itu sekitar 20 km. Pergi balik sekitar 40 km.

Kiranya itulah latihan dan persediaan saya untuk perjalanan. Tak ingat bagaimana orang lain bersedia kerana saya buat hal sendiri. Tunggu perjalanan bermula baru hendak bergerak bersama.



Oh. Acara ini dianjurkan oleh pelajar junior setahun bawah saya daripada Batch 8 program A Level PPP/ITM. Memikirkan ini teringat bahawa sebelum atau selepas itu saya ada mengikuti pelajar Batch ini dalam program outward bound training di Pulau Pangkor selama seminggu. Teringat kami berjalan kaki merata pulau meredah paya bagai mendaki bukit tertinggi pulau yang melebihi ketinggian 1,000 kaki dari paras laut lalu turun ke bahagian lain bukit. Kami berkhemah di beberapa lokasi dan saya merupakan satu-satunya pelajar senior daripada Batch 7 ikut sama dalam program.

Untuk perjalanan berbasikal ada seorang lagi Batch saya ikut sama, lain semua Batch 8. Untuk makluman Batch 8 terdiri daripada lebih 400 orang pelajar sedangkan batch saya cuma sekitar 200 orang. Mungkin disebabkan jumlah sekali ganda itu mereka lebih aktif dengan pelbagai aktiviti kokurikulum. Seingat saya Batch 7 tidak pernah membuat kelab pengembaraan. Sebab itu saya ikut budak Batch 8 dalam program dan memang saya sering diajak bersama kerana diketahui suka berperangai lasak.

Gambar atas menunjukkan satu gugusan flat PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor) di Seksyen 18, Shah Alam. Lebih kurang beginilah rupa asrama di kawasan berkenaan. Antara perangai lasak gila-gila saya yang ramai orang dah kenal adalah suka memanjat tingkap keluar pada tingkat tertinggi asrama lalu berjalan dengan memijak mana-mana bahagian bangunan yang dapat untuk masuk ke bilik lain melalui tingkap. Ini adalah lanjutan daripada perangai suka memanjat pokok dan  bangunan sejak zaman tadika. Semasa sekolah menengah saya selalu melompat ke bawah dari tingkat tiga asrama kemudian berlari naik tangga untuk melompat lagi dari atas.

Oh. Gambar teratas menunjukkan sebuah basikal lumba Shimano model lama. Basikal yang saya pakai untuk perjalanan lebih kurang begitu rupanya tetapi berwarna kelabu keputihan. Gambar ini pula menunjukkan paparan satelit Google Map di satu bahagian Seksyen 17, Shah Alam. Acara atau perjalanan berbasikal separuh Semenanjung ini secara rasminya bermula di tempat kami belajar di Seksyen 17. 

Berdasarkan ingatan terhadap kedudukan dan jalan ia harus terletak dalam kawasan yang kini ditanda sebagai Universit Teknologi MARA Seksyen 17. Dari asrama di Seksyen 18 kami harus berkayuh lebih 2 km. Oleh itu walaupun secara rasmi perjalanan bermula di Seksyen 17 jarak kayuhan sebenarnya harus meliputi perjalanan dari Seksyen 18. 



Saya tidak ingat bagaimana perjalanan dilancarkan mahupun siapa yang merasmikan. Malah sebetulnya tidak ingat langsung apa yang berlaku sebelum sampai ke satu bahagian jalan lama Kuala Lumpur ke Ipoh, Namun berdasarkan fakta bahawa pada waktu itu kebanyakan lebuh raya malah jalan biasa yang terdapat di Lembah Klang belum lagi wujud maka dari Seksyen 18 kami harus menuju ke Lebuh Raya Persekutuan (Federal Highway) lalu ke Petaling Jaya sebelum mengambil jalan ke utara. Di Lebuh Raya Persekutuan kami seharusnya mengambil laluan motosikal seperti kelihatan dalam gambar atas. 

Besar kemungkinan kami seterusnya mengambil jalan ke bangunan Tabung Haji lama lalu menuju ke Damansara Utama diikuti Taman Tun Dr Ismail. Seterusnya kami harus ke Bukit Lanjan yang sekarang sudah ditenggelami pembangunan kawasan mewah Damansara Perdana. Untuk makluman ketika itu belum wujud pusat membeli belah One Utama yang sangat terkenal di belah sana bersama pusat penyiaran TV3 bernama Seri Pentas di sebelahnya. Belum wujud taman-taman perumahan banyak di sekitar itu, yang ada rata-rata adalah ladang kelapa sawit sahaja. 

Dari laluan tersebut kami harus  masuk ke Kepong, rasanya di sekitar FRIM (Pusat Kajian Perhutanan Malaysia) lalu keluar di Selayang. Barulah sampai ke jalan lama KL-Ipoh lalu melepasi Hutan Lipur Kanching menuju ke Rawang (masih pekan kecil dengan beberapa rumah kedai) sebelum bergerak lebih jauh ke utara.



OK. Berapa jauh kami berkayuh pada hari pertama itu? Oleh kerana begitu banyak perkara sudah terlupa saya harus membuat tekaan bijak (intelligent guess). Gunakan kadar biasa kelajuan orang berkayuh basikal. Google "average cycling speed km/h " dapat paparan di atas. 

Berdasarkan maklumat ini rasanya adil untuk menganggarkan bahawa kami mengayuh basikal pada kadar kelajuan purata 20 km sejam. Ingat. Kami bukan pelumba basikal, kami cuma pelajar yang ingin mengembara jauh pusing separuh Semenanjung. Stamina, nafas dan kesihatan perlu dijaga, jangan selalu memecut lalu hilang tenaga sedangkan perjalanan masih jauh dan memakan masa. Perlu ada rehat yang cukup. Perlu ada sarapan pagi, berhenti untuk makan tengah hari dan makan petang juga perlu masa untuk bersolat (walaupun ketika itu saya tidak rajin menunaikan suruhan Tuhan harus ada peserta lain yang sangat menjaga solat).

Saya memang tiada ingatan langsung lagi bagaimana suasana perjalanan kecuali sedikit ingatan kabur berkayuh pada kadar suka-suka sambil bergurau senda dengan kawan-kawan. Ada berhenti beli air di kedai tepi jalan, rasanya ada berbuat nakal pegang belakang lori biar ditarik buat suatu jarak. Apapun, pada kadar kelajuan 20 km/j nak sampai Ipoh pun harus berkayu  lebih 11 jam kerana jaraknya sekitar 230 km mengikut jalan lama dari Shah Alam. Campur berhenti makan dan macam-macam, kalau bertolak pada jam 8 pagi pun lewat malam baru sampai.



Kelihatan peta ringkas laluan berdasarkan apa yang dapat digali daripada ingatan. Jadi apakah kami menginap di Ipoh pada malam pertama perjalanan? Saya tak pasti kerana memang tak ingat. Boleh jadi  kami menginap di tempat lain terlebih dahulu seperti Tanjung Malim atau Tapah. Apapun kami tetap sampai dan singgah ke Ipoh selepas itu. Jadi biar cerita hari pertama perjalanan atau lebih tepat fasa pertama perjalanan ditamatkan di situ.