Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Disember 05, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Pertama kali ke Langkawi terus pusing pulau

Dengar cerita PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) bagi membendung wabak virus COVID-19 dilanjutkan lagi di negeri Selangor kecuali di tiga buah daerah. Tak mengapa. Biar dikongsikan cerita segmen ketiga perjalanan 23 tahun lalu. Bersambung daripada Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Taiping, Bukit Larut dan pusing Pulau Pinang Hari Krismas.



Gambar terakhir pada artikel terdahulu menunjukkan kemalangan lori terbalik di satu lokasi yang diperkirakan berada di sekitar Gurun, Kedah. Gambar ini menunjukkan kemalangan sama daripada sudut lain. Tertera walau kurang jelas tarikh 26 (Disember) yang jatuh pada hari Jumaat dan jam 15 :27 (lebih jelas pada gambar sebenar).




Gambar seterusnya yang masih wujud dalam simpanan menunjukkan kemalangan lori lagi tetapi di tempat lain. Tarikh dan waktunya pun lain iaitu pada 27 Disember hari Sabtu jam 13:50. Ini menunjukkan selepas melihat kemalangan lori di Gurun saya ada menginap di suatu tempat. Ingatan pula mengatakan saya pertama kali menaiki Gunung Jerai dalam pengembaraan bermotosikal solo ini pada tahun 1997. Cuma tidak ada gambar untuk membuktikan.

Ya. Zaman ini saya tidak mengambil begitu banyak gambar disebabkan had filem dan kamera, tidak seperti zaman selepas mengenali kamera digital tahun 2006 di mana kita boleh mengambil sebanyak gambar yang mungkin asalkan cukup RAM pada memory card. Apapun cuma beberapa kilometer sahaja selepas Gurun memang terdapat jalan tar naik sehingga ke puncak Gunung Jerai. Cuma seingat saya setakat sampai ke rumah peranginan atau resort bawah sedikit puncak. Ketika itu tidak tahu pun wujudnya dua lokasi terkenal gunung iaitu perigi Tok Sheikh dan padang Tok Sheikh ke hadapan lagi menuju ke puncak. Berdasarkan kedudukan dan tempoh waktu yang tertera dalam gambar-gambar besar kemungkinan saya bermalam di Alor Setar selepas turun daripada gunung. Selepas itu baru terlihat kemalangan lori yang ditunjukkan dalam gambar atas.




Gambar ini pula diambil di Pantai Chenang, Langkawi pada 28 Disember hari Ahad jam 16:18. Saya ingat ada bermalam di tepian pantai menggunakan sleeping bag. Soalnya apakah pada malam sebelumnya atau selepas itu? 

Sebetulnya masuk ke Pulau Langkawi dari arah mana pun tak ingat. Apakah dari jeti Kuala Kedah 11 km ke barat  pusat bandar Alor Setar (sekarang bandar raya) atau jeti Kuala Perlis 45 km ke utara dan barat? Fikir saya buat berapa lama adalah dari Kuala Kedah. Tetapi gambar kemalangan lori pada 27 Disember menunjukkan kemungkinan ia berlaku di utara Alor Setar. Ini kerana ada tertera nama Kedai Emas Hajah Sofiah dalam gambar. 

Carian Google menunjukkan wujud kedai atas nama ini di Kodiang, 43 km ke utara Alor Setar. Walaupun lokasinya jelas berlainan pada tahun 1997 kerana Google Map menunjukkan kedai sekarang terletak bukan lagi di tepian jalan besar kedai-kedai sebegitu selalunya tidak berpindah jauh dari tempat asal. Apapun saya ingat sampai ke Pulau Langkawi lewat petang lalu terus menyewa sebuah kereta Proton Saga lama pada kadar RM70 bagi 24 jam. Motosikal besar ditinggalkan berkunci di satu bangunan berdekatan jeti lalu saya pun mengambil feri ke Langkawi. 

Ya. Bila difikirkan kembali ada logiknya saya naik dari Kuala Perlis kerana perjalanan ferinya lebih singkat iaitu 1 jam 15 minit berbanding dari Kuala Kedah iaitu 1 jam 45 minit. Tetapi saya ada ke Kuala Kedah terlebih dahulu untuk melihat jadual dan harga. Saya ingat ada memikirkan mahu membawa motosikal naik feri - Ketika itu perkhidmatan dari Kuala Kedah sahaja yang boleh membawa kenderaan persendirian ke pulau, feri Kuala Perlis untuk penumpang sahaja. Tetapi harganya agak mahal... lebih murah menyewa kereta di Langkawi.

Kalau begitu kemalangan yang gambarnya diambil pada jam 13.50 harus berlaku di suatu lokasi antara Kuala Kedah dengan Kuala Perlis. Memang terdapat sebatang jalan lurus mendekati pantai menghubungkan dua tempat tersebut. Ya. Logik juga selepas makan tengah hari di Alor Setar saya ke Kuala Kedah kemudian baru ke Kuala Perlis. Selepas menyewa kereta di Langkawi terus membuat perjalanan pusing pulau lawan arah jam. Sampai ke Pantai Pasir Hitam (Black Sand Beach) di bahagian 'belakang' pulau (maksudnya belakang utara dari pekan Kuah di mana terdapat jeti bagi perkhidmatan feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah) pada waktu senja sedangkan menurut Google Map jaraknya dari jeti Kuah adalah sekitar 21 km bersamaan 25 minit perjalanan. Ertinya feri sampai sekitar atau hampir jam 7. Memang logik sangat...

Saya ingat perjalanan pusing pulau lawan arah jam diteruskan dalam kegelapan malam ke arah barat. Ternampak simpang ke Teluk Datai (Datai Bay) saya pun masuk sehingga sampai ke resort mahal di penghujung jalan kalau tak salah. Seterusnya menuju ke Pantai Chenang lalu bermalam di tepian pantai. Esoknya jalan lagi. Rasanya sampai ke jeti Kuah di mana saya membuat keputusan untuk menyambung sewa kereta lagi 24 jam untuk berjalan-jalan. Yang pasti saya berada lagi di Pantai Chenang pada jam 4: 15 petang Ahad 28 Disember selepas masuk pulau lewat petang 27 Disember.



Gambar atas yang diambil di bahagian atas Telaga Tujuh pada jam 6 petang 28 Disember menunjukkan memang saya menginap di Langkawi lagi satu malam. Letaknya dari Pantai Chenang sahaja sudah 18 km ke arah utara kemudian barat. Nak balik ke jeti Kuah terdapat jarak 31 km bersamaan lebih 40 minit pemanduan tanpa berhenti mahupun gangguan. Memang tak sempat hendak mengejar feri keluar pulau. Jadi memang saya kembali ke tanah besar pada keesokan hari, Isnin 29 Disember. Maka itu biarlah artikel ini ditamatkan pada tahap keluar pulau.




Dengan itu perjalanan dari Gurun pada petang Jumaat 26 Disember membawa ke jeti Kuala Perlis petang Sabtu 27 Disember boleh dilakarkan seperti di atas. Perjalanan pusing Pulau Langkawi diikuti ulang alik Pantai Chenang ke jeti Kuah pula dilakarkan di bawah...



Jumlah jarak perjalanan bagi keseluruhan segmen dicampur dengan pusing-pusing bandar dan sebagainya yang tidak dapat dimasukkan ke dalam lakaran harus mencapai 300 km. Campur pula perjalanan feri (pergi balik ke Kuala Perlis dalam 70 km) jadilah 370 km. Dicampur jarak sejak pengembaraan bermula dari Kuala Lumpur (segmen pertama 320 km dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands diikuti segmen kedua 440 km dalam Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Taiping, Bukit Larut dan pusing Pulau Pinang Hari Krismas)  dah jadi 1,130 km.


Jumaat, Disember 04, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Taiping, Bukit Larut dan pusing Pulau Pinang Hari Krismas

Salam malam Jumaat. Bersambung cerita daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands.



Artikel perjalanan sebelum ini berakhir dengan satu gambar yang diambil selepas mandi di sebuah hotel di sebuah pekan, sama ada di Tapah atau mana-mana pekan/bandar menuju ke arah Ipoh. Tarikh yang tertera pada gambar tersebut adalah 24 (Disember) jam 10.50 pagi. Gambar seterusnya masih wujud dalam simpanan iaitu gambar atas menunjukkan satu tasik besar pada tarikh sama tetapi hampir 4 jam kemudian. Melihat pada jarak waktu dan gambar besar kemungkinan ia diambil di Taiping.



Menurut Google Map, bandar Taiping boleh dicapai dalam tempoh satu setengah jam menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan atau dua jam setengah menggunakan jalan biasa/jalan lama. Dalam perjalanan harus ada singgah di Ipoh kemudian Kuala Kangsar. Yang pasti gambar di atas ini memang diambil di Taiping. Ia menunjukkan pemandangan dari atas puncak Bukit Maxwell atau juga dikenali sebagai Bukit Larut.



Ya. Saya ingat ini. Selepas meletakkan motosikal besar di lapangan letak kenderaan saya menaiki kenderaan pacuan empat roda berupa Jeep yang disediakan pihak berkenaan untuk naik ke kawasan peranginan di atas bukit setinggi lebih 4,000 kaki dari paras laut itu. Di atas terdapat rumah-rumah rehat daripada zaman pentadbiran British. Saya  berlegar buat suatu waktu sebelum turun lalu menyambung perjalanan ke utara.



Berdasarkan gambar yang diambil masih di atas bukit ini besar kemungkinan saya meninggalkan Taiping paling cepat pun pada jam 5 petang. Namun masih boleh sampai ke Pulau Pinang sebelum gelap walau mengikut jalan lama dan tidak masuk langsung ke lebuh raya...




Gambar ini pula diambil menghadap kawasan bandar raya di Pulau Pinang pada petang esoknya 25 Disember. Ia merupakan Hari Krismas. Program Gregorian to Hijriah Converter menunjukkan ini jatuh pada hari Khamis.



Gambar diambil dari atas Bukit Bendera. Terbit ingatan bahawa selepas sampai ke bandar raya saya mendapatkan penginapan berupa hotel murah di atas kedai kopi Cina berdekatan satu pejabat polis besar. Dari situ saya berjalan pusing merata dengan motosikal waktu malam. Tak cukup itu sanggup menaiki beca membayar 50 Ringgit untuk mendapat feel kebiasaan pelancong...



Apapun, kenapa sudah jam 6 petang baru berada di atas Bukit Bendera sedangkan saya sudah sampai ke Pulau Pinang pada hari sebelumnya? Di sinilah perlu ditally balik antara ingatan dan gambar-gambar. Seingat saya ada membuat perjalanan pusing satu pulau. Tapi gambar-gambar seterusnya bermula dengan yang atas ni nampak macam tak tally dengan kenyataan itu...




Gambar-gambar ini diambil pada 26 Disember hari Jumaat antara jam 2 hingga 2.30 petang. Menurut ingatan ia diambil di Taman Botani Pulau Pinang.







Sejam kemudian saya telah mengambil gambar lori terbalik ini. Tak ingat lokasi tepat tapi pasti ia di Kedah. Timbul dalam ingatan sama ada sebelum atau selepas peristiwa ada melalui kesesakan teruk di atas jalan biasa yang lurus panjang diapit sawah meluas kiri kanan. Pada satu ketika cuba 'cilok' motosikal memotong kesesakan mengikut tengah jalan kerana bahu jalan sempit. Terpaksa menghimpit ke bawah tepi lori besar panjang supaya dapat melepasi dereten kereta dari arah bertentangan. Tiba-tiba lori bergerak. Nasib baik dapat mengawal motosikal supaya tidak bergesel dengan kereta mahupun digilis tayar belakang lori. Bukan mudah wooo dengan motosikal besar.

Apapun fakta bahawa saya berada di Taman Botani Pulau Pinang sekitar jam 2 petang kemudian sampai ke Kedah dalam tempoh sejam menunjukkan mustahil ada membuat perjalanan pusing pulau pada hari itu. Ini kerana ia memakan jarak 70 km jalan berliku-liku lalu memerlukan masa sekitar 2 jam, itupun kalau tanpa henti. Mungkin ada tercampur aduk ingatan dengan sesi pengembaraan lain? Boleh jadi kerana selepas itu sudah tidak terkira membuat pengembaraan bermotosikal besar seorang diri ke merata ceruk rantau.

Tetapi apabila dilihat kembali bahawa saya sudah sampai ke Pulau Pinang pada 24 Disember sedangkan terdapat kelompongan aktiviti  sebelum muncul gambar seterusnya dari atas Bukit Bendera lewat petang 25 Disember maka kelihatan ruang untuk ditally. Ya. Memang ingatan 'suam-suam kuku' ada menyatakan saya ada membuat pusingan pulau di Pulau Pinang dalam pengembaraan ini (selepas itu sudah beberapa kali pusing pulau baik dengan motosikal mahupun dengan kereta). Ketika itu saya sudah lama menyimpan hajat untuk berbuat begitu. Takkan tak buat bila dah sampai dalam tempoh cuti panjang satu setengah bulan? Ya. Ia harus berlaku siang 25 Disember Hari Krismas itu.



Semakan mudah menggunakan Google Map menunjukkan dari Taman Botani kita boleh sampai ke pekan Gurun, Kedah dalam tempoh sejam. Maka biar ia diletakkan sebagai titik penamat bagi perjalanan dalam artikel ini sementara Tapah diletakkan sebagai titik permulaan. Dengan itu bolehlah dilakarkan peta perjalanan dari 24 Disember membawa ke sekitar jam 3.30 petang 26 Disember seperti di atas. Kalau dicampur perjalanan pusing dalam bandar dan sebagainya harus mencapai jarak 440 km. Biar segmen perjalanan seterusnya diletakkan dalam artikel sambungan. Sekadar ingat untuk diri sendiri - Ini adalah artikel ke-1,970 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Selasa, Disember 01, 2020

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands

Merujuk pada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu yang dipersembahkan 22 November. Sekarang biar dimulakan penceritaan sebenar siri.



Sudah disebut dalam artikel pengenalan Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menggali kembali cerita lama hampir 23 tahun lalu bahawa perjalanan ini berlaku selepas dibenarkan mengambil cuti iaitu setelah cukup setahun bekerja sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Surat ini menunjukkan saya mula masuk berkhidmat pada 16 September 1996. Oleh itu saya cukup setahun bekerja pada tarikh 15 September 1997. Selepas tarikh tersebut baru boleh mengambil cuti...



Ada juga diberitahu dalam artikel pengenalan bahawa saya diberikan tempoh pemerhatian setahun sebelum mendapat confirmation atau kepastian bekerja. Alhamdulillah kepastian ini diterima lebih awal iaitu pada 16 Mac iaitu selepas 6 bulan bekerja. Namun saya tetap perlu menunggu cukup setahun sebelum boleh memohon cuti. Soalnya bilakah masa paling sesuai kerana bercadang untuk menghabiskan terus cuti yang diperuntukkan bagi setahun bekerja (untuk tahun 1997) campur cuti secara pro rata bagi tahun 1996.



'

Gambar cukai jalan ini menunjukkan saya mula memiliki motosikal besar kesayangan jenama Yamaha Virago pada 12 Jun 1997. Motosikal inilah yang akan dibawa berjalan merata apabila pergi bercuti nanti. Adapun jawatan membenarkan cuti sehingga 28 hari setahun. Kalau dicampur cuti pro rata sejak berkhidmat 16 September tahun 1996 boleh dapat dalam 36 hari begitu. Campur pula cuti sehari setiap minggu (kalau tak salah ingatan memang sehari sahaja saya bercuti setiap minggu) ini boleh dipanjangkan menjadi 6 minggu atau 42 hari. Kalau ambil hujung tahun boleh campur cuti Hari Krismas dan Tahun Baru sekali.



Yang ingat memang saya bercuti panjang selama sebulan setengah. Tapi tak ingat setakat manakah semua itu digunakan untuk perjalanan bermotosikal besar ini. Apapun di atas adalah gambar saya di pusat peranginan Cameron Highlands. Saya ingat bahawa perjalanan dimulakan daripada rumah seorang bapa saudara di Bukit Damansara. 

Saya berada di sana bersama saudara mara untuk meraikan majlis pernikahan seorang sepupu. Masih dapat diingati bagaimana mereka kemudian memujuk agar bermalam di sana terlebih dahulu supaya dapat terus bergembira bersama sebelum memulakan perjalanan. Tetapi saya bertekad untuk meneruskan kerana sudah memilih tarikh. Walaupun langit menunjukkan hujan lebat akan turun tidak lama lagi digagahkan juga kerana itulah perangai diri ini... kalau sudah memilih suatu tarikh, detik dan masa akan cuba dilaksanakan pada waktunya tak kira walau apa yang melanda.




Saya bergerak lewat petang sekitar jam 6 gitu. Dengan menggunakan jalan lama ke Ipoh saya bergerak ke arah utara lalu meredah hujan yang amat lebat. Sampai di suatu tempat saya menginap tidur di sebuah hotel murah. Kalau tak salah ia adalah di pekan Tapah. Esoknya baru bergerak naik ke Cameron Highlands.

Ketika itu terdapat cuma satu sahaja jalan raya untuk turun naik ke Cameron Highlands. Pada gambar atas ini ada tarikh 22 dan waktu jam 16:45 atau 4: 45 petang saya berada di sebuah ladang teh tepian jalan di Cameron Highlands. Walaupun tidak disebut pada bulan mana gambar diambil saya tahu ia pada bulan Disember kerana masih ingat itu. Dengan ini dapat diketahui bahawa perjalanan dimulakan dari Bukit Damansara pada 21 Disember 1997. Semakan menggunakan program Gregorian to Hijriah Converter (boleh Google ini) menunjukkan tarikh tersebut jatuh pada hari Ahad. Tarikh Islamnya pula adalah 21 Sya'aban 1418 Hijriah.



Ya. Ketika itu sudah hampir masuk bulan puasa ataupun Ramadhan. Nampaknya saya telah mengambil cuti panjang satu setengah bulan bermula 21 Disember supaya dapat disambung terus dengan cuti Hari Raya. Di atas pula adalah gambar di pekan Tanah Rata, Cameron Highlands pada 23 Disember. Ia diambil setelah menginap satu malam.




Tarikh dan masa pada gambar seterusnya telah kabur tapi saya percaya ia masih di Cameron Highlands. Saya ingat ada menunggang motosikal sehingga ke jalan tar paling hujung utara di Kampung Raja malah masuk ke laluan tanah merah. Ketika itu satu kawasan sudah dibuka sebagai persediaan untuk membina laluan baru dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai di Ipoh. Laluan tersebut dibuka beberapa tahun kemudian.




Ini pula setelah turun dari Cameron Highlands lalu bermalam di sebuah hotel murah. Sudah lupa lokasi tepat tetapi letaknya harus sama ada di Tapah atau mana-mana bandar menuju ke Ipoh. Tarikh 24 Disember jatuh pada hari Rabu sedangkan esoknya Hari Krismas. Untuk lakaran mudah peta perjalanan 21 hingga awal 24 Dis sebagai penutup artikel biar dianggap gambar diambil di Tapah.



Ini adalah lakaran mudah perjalanan setakat tahap itu. Kalau dicampur perjalanan pusing-pusing bandar dan sebagainya harus mendekati 320 km. Perjalanan kemudian diteruskan semakin jauh ke utara. Selain mahu singgah ke beberapa tempat saya mahu mencapai 'sudut' paling jauh ke utara dan barat Semenanjung.