Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, September 22, 2015

Buku "Mencari Diri dan Erti" dah masuk kedai...

Perkongsian terakhir tentang aktiviti 4-5 hari kebelakangan. Bersambung daripada Wacana ilmu di DBP - Falsafah Yunani dalam kitab Bustanus Salatin.


Petang Ahad 20 September 2015 saya membawa keluarga ke kompleks membeli-belah Aeon (Jaya Jusco) Rawang lalu singgah ke kedai buku Popular.


Isteri mahu mencari buku pelajaran untuk anak. Saya pun mengambil peluang untuk meninjau buku-buku terbaru.





Sampai ke rak Agama terlihat sesuatu yang familiar...


Ah. Buku terbaru saya "Mencari Diri dan Erti" sudah masuk kedai. Ingatkan kena tunggu lagi seminggu dua baru ada. Rujuk artikel-artikel berikut...







Kemudian baru saya mendapat tahu buku saya ini juga telah tersedia di Popular Ampang Point. Sedangkan ada yang telah cuba mencarinya di Kedah, Johor dan Melaka tapi tidak ditemui. Maknanya apa? Maknanya memang betul ia mengambil seminggu dua lagi sebelum dapat muncul di kedai-kedai utama di seluruh Malaysia. Tapi kalau sekitar Lembah Klang yang mana pihak penerbit iaitu Hijjaz Records Publishing boleh menghantar sendiri tanpa terlalu berharap pada rangkaian pengedar, maka insyaallah dah ada.



Oh. Buku-buku saya tadi dipamerkan dalam keadaan tulang buku sahaja kelihatan. Saya pun mengatur kembali agar kelihatan dengan terang kulit hadapan. Pada sesiapa yang terjumpa buku-buku ini dalam keadaan nampak tulang sahaja saya menyeru agar dapat mengaturnya kembali supaya nampak kulit hadapan. Sambil-sambil itu promosikanlah kepada kawan-kawan dan seramai mungkin ya. Sesungguhnya buku ini yang merupakan pertama dalam siri "Pengembaraan Merah Silu" menjadi permulaan gerak penulisan baru buat saya. Dikembangkan daripada siri asal trilogi (3 buku) novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007 di mana setiap buku dipecah dua untuk siri baru, 5 buku lagi akan menyusul insyaallah dalam tempoh setahun dua.


Wacana ilmu di DBP - Falsafah Yunani dalam kitab Bustanus Salatin

Gerak penceritaan diteruskan untuk melengkapkan perkongsian tentang aktiviti 4-5 hari kebelakangan. Bersambung daripada Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1.



Adapun pada malam sebelum menghadiri wawancara di RTM saya terlihat pengumuman di atas terpapar dalam update seorang sahabat di Facebook.



Selesai wawancara pagi Sabtu saya dan isteri pun berkejar ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ilmu diadakan di bilik mesyuarat tingkat 29 dan kami sampai sekitar jam 10.09.



Inilah kali pertama saya menghadiri perkongsian ilmu oleh Profesor Madya Dr Pisol. Nampaknya beliau memiliki pengetahuan yang luas tentang ilmu-ilmu falsafah Barat termasuk dari Yunani purba.


Saya dapat mengikut dengan baik kerana dahulu pernah berminat dan mengikuti dengan tekun bidang ilmu ini melalui pembacaan penulisan para pemikir Barat purba seperti Plato dan Socrates juga pemikir lebih moden seperti Descartes dan Nietzche. Kemudian saya mula mengkaji falsafah kebatinan Islam melalui kitab-kitab Tasawuf yang diterjemahkan oleh para cendekiawan Barat (yang sebenarnya Orientalis) seperti A.J. Arberry dan R A Nicholson. Setelah beberapa lama bergelumang dalam dunia pemikiran sebegini saya meninggalkan segalanya untuk melangkah masuk ke dalam dunia pengalaman sebenar. Ini kerana ia memerlukan saya untuk mengosongkan kembali cawan yang disangka penuh (empty the cup that is full, meminjam ungkapan daripada falsafah Zen kalau tak salah tetapi telah diInggeriskan) demi mengalami perkara-perkara yang selama ini cuma dapat difahami secara teori. Bermulalah penerokaan peribadi melibatkan hal-hal ghaib juga mencarik adat.


Berbalik pada wacana ilmu di DBP. Sudah disebut dalam artikel Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1 bahawa saya tertinggal bateri kameri di rumah lalu tidak dapat menggunakan kamera. Nak tak nak saya cuma dapat mengambil gambart menggunakan telefon bimbit sedangkan hasilnya tidak sebaik menggunakan kamera. Ini amat mengganggu kebiasaan saya yang suka merakam keadaan suatu majlis sebanyak mana yang munasabah. Setelah beberapa minit saya berhenti mengambil gambar lalu memberikan tumpuan penuh pada wacana.


Begitu banyak ilmu dikongsikan oleh Pisol. Seharusnya lebih ramai anak Melayu yang sayangkan dunia pemikiran dapat bersama mengambil faedah daripada wacana ini.  Selari dengan tajuk iaitu "Falsafah Yunani Dalam Sains Orang Melayu dengan Merujuk kepada Kitab Bustan as-Salatin" pengkhususan diberikan kepada kitab besar Melayu tersebut yang ditulis Sheikh Nuruddin ar-Raniri, ulamak besar Aceh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Thani (1636-1641) Masihi. Kitab itu sendiri merangkumi amat banyak perkara, Kata Pisol ada 7 jilid yang kalau dihimpitkan antara satu sama lain harus tebal lebih sehasta (perkataan saya sendiri ini, beliau setakat mendepakan tangan untuk menunjukkan ketebalan koleksi penuh kitab asal). Maka itu wacana cuma mengkhususkan pada satu bab iaitu At-Tib (begitulah saya dengar bunyinya) iaitu tentang perubatan. 

Saya rasa tak perlulah dipanjangkan perkongsian. Cukuplah ringkasan tentang wacana yang saya temui dalam FB dikongsikan dengan sedikit suntingan di bawah...



Falsafah Yunani Dalam Sains Orang Melayu dengan Merujuk kepada Kitab Bustan as-Salatin

Oleh : Dr. Pisol bin Maidin. ( UiTM )


Muqaddimah


1. Apakah falsafah?

~ Kecintaan kepada hikmah. (philo + sofia)

~ Ada banyak kategori falsafah.

~ Pertanyaan-pertanyaan tentag alam, etika, astrologi dan lain-lain menjadikan ilmu falsafah disusun.

~ Wujud dikotomi antara falsafah Barat dan Islam.

~ Falsafah dalam Islam = Tasawwuf ( falsafah etika ).

~ Friedrich Nietzche ( 1844-1900 ) berpegang dengan prinsip "Gott ist tot" = Tuhan itu mati.

~ Penglibatan Nazi Jerman ( Hitler ) dlm Perang Dunia Kedua dipengaruhi oleh falsafah Nietzche.

~ Perkataan 'Superman' berasal daripada konsep yang dibawa Nietzche.


2. Kepentingan falsafah

~ Tahafut al-Falasifah vs Tahafut at-Tahafut.

~ Imam al-Ghazali hanya kritik konsep ketuhanan dalam falsafah sahajam bukan tolak falsafah secara penuh. Sebab dalam ketuhanan sudah ada dalil naqli dan aqli. Jadi tak perlu falsafah untuk faham konsep ketuhanan.


3. TESIS : Sains orang Melayu atau sains Melayonesia ini berkembang daripada satu landasan falsafah tradisional tertentu dan mempunyai kaitan dalam jaringan keilmuan dunia.

Maknanya : Tamadun Melayu adalah sebahagian daripada tamadun dunia.


4. Ciri-ciri Sains Melayonesia :

- Dalam bahasa Melayu.

- Berlandaskan falsafah Melayu.


5. Kitab Bustan as-Salatin ditulis oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri pada abad ke-17 M.


6. Wujudkah falsafah Yunani dalam Sains Melayunesia?

~ Kosmologi Aristotle bahawa alam terdiri daripada unsur api, angin, air dan tanah.

~ Idea ini bertapak dalam teks-teks bertulis awal seperti kitab Taj as-Salatin.


7. Daripada falsafah Spekulatif menjadi Sains yang Emperis.

~ Kosmologi Aristotle menjadi asas taakulan bahawa semua jasad akan mempunyai sifat alami yang khusus iaitu sifat hangat, basah, kering atau sejuk dalam perkadaran tertentu.

~ Unsur alam ini diwakili oleh humor/cairan tertentu dlm badan sesuai dengan idea bahawa manusia adalah mikrokosmos manakala alam adalah makrokosmos.

~ Keseimbangan tabiat alam dalam humor menentukan sama ada seseorang itu sihat atau sakit.


8. Patologi Humoral dalam Bustan as-Salatin.

~ Keseimbangan humor dalam badan menentukan kesihatan badan.


9. Tapisan dan Ubahsuai Falsafah Luar.

~ Galenisme yang diterima dalam doktrin perubatan Melayu telah mengalami ubah suai.

~ Galenisme Melayu menekankan kepentingan diet. Galenisme Yunani menekankan pengambilan ubat.

~ Susur galur ilmu perubatan Melayu :

Hippocrates > Galen >  Galenisme + Tibb Nabawi = Ilmu Perubatan Melayu.


10. Bustan as-Salatin: Sains yang Rasional dan Saintifik.

~ Ilmu perubatan Melayu mengandungi huraian rasional.


Kesimpulan

* Manuskrip Melayu menyimpan khazanah sains Malayonesia yang sangat bernilai dan memerlukan penerokaan dan kajian lanjut.

* Sains Malayonesia kini di ambang kepupusan atau dilupakan.


Wawancara siaran langsung "Mencari Diri dan Erti" di TV1

Salam semua, salam 8 Zulhijjah. Alhamdulillah, walaupun kurang sihat, mengantuk dan kepenatan, walaupun susah hendak mendapatkan mood penulisan, dapat juga saya mempersembahkan artikel Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa diikuti Wacana ilmu di UKM - Lagi tentang Angkor Wat dan industri besi purba Khmer dalam tempoh beberapa jam kebelakangan. Sekarang bolehlah bercerita perkara yang paling mengujakan dalam tempoh 4-5 hari ini iaitu wawancara siaran langsung di televisyen yang memaparkan diri ini pagi Sabtu, 19 September 2015.


Wawancara yang berlangsung dalam studio di Angkasapuri ini dipaparkan melalui rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1. Saya dimasukkan dalam slot Resensi untuk bercakap tentang buku terbaru saya "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Kesultanan yang Hilang". Rujuk "Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" dah keluar!.


Hos program adalah saudara Sayed Munawar, seorang personaliti televisyen. Pernah berniaga buku selama beberapa tahun, beliau kini memimpin Perbadanan Kota Buku, sebuah badan berkaitan kerajaan (Goverment-linked company atau GLC) yang ditugaskan untuk memajukan industri buku tempatan selain mengangkatnya ke persada antarabangsa. Sayed Munawar pernah mewancara saya dalam program sama 8 tahun lalu, Maka itu beliau cukup sedar bagaimana buku baru saya ini merupakan penambahbaikan daripada buku pertama siri asal trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang terbit 2006-2007. Lihat artikel lama Mengenang ulasan siri buku "Berpetualang ke Aceh" dalam program Resensi, Selamat Pagi Malaysia di RTM1 penghujung 2007...


Sesungguhnya peluang untuk muncul secara live ini memang rezeki yang tidak disangka. Buku pun baru keluar daripada kilang 9 hari sebelum itu, entah dah masuk kedai-kedai ke belum, yang saya tahu masih dalam proses distribusi atau pengedaran ke serata Malaysia. Saya diberitahu, biasanya seminggu dua lagi baru buku boleh didapati di kedai. Memang pihak saya juga penerbit iaitu Hijjaz Records Publishing ada menghubungi Sayed untuk mendapat tempat dalam program Resensi. Tapi kalau ikut giliran 2-3 minggu lagi baru boleh dapat. Siapa sangka orang yang patut muncul pagi Sabtu itu tidak dapat memenuhi komitmen lantaran sibuk dengan hal lain? Saya pun dihubungi lewat petang Jumaat lalu ditanya samada dapat memunculkan diri di RTM pada jam 8 pagi. Ketika itu saya baru sahaja sampai rumah setelah menghadiri wacana ilmu di UKM lalu bersolat Jumaat di sana. Lihat Wacana ilmu di UKM - Lagi tentang Angkor Wat dan industri besi purba Khmer.


Turut diwawancara adalah wakil penerbit, Cik Nor Faezah, Saya meminta beliau dimasukkan agar dapat menerangkan kenapa Hijjaz sudi untuk menerbitkan kembali siri trilogi "Berpetulang ke Aceh" menjadi siri baru "Pengembaraan Merah Silu" yang memiliki format lebih menarik lagi berwarna-warni dan penuh info tambahan termasuk gambar dan peta-peta.  Setiap buku asal dalam trilogi BKA mahu dipecahkan menjadi dua. Ini bakal membentuk 6 buku baru bawah siri pengembaraan yang insyaallah akan dipanjangkan lagi untuk merangkumi beberapa perjalanan lain yang pernah dan akan dibuat saya ke merata ceruk rantau.


Ini adalah gambar yang diambil Faezah sejurus sebelum kami on air.


Ketika inilah saya tersedar kamera telah dibawa ke RTM tetapi bateri pula teringgal... terlupa nak pasang balik setelah mengecas di rumah tengah malam. Sesungguhnya sudah menjadi kebiasaan saya untuk membawa kamera kompak ke mana-mana apa lagi majlis sepenting ini bagi saya. Isteri pula tak bawah handphone kerana meninggalkannya untuk anak-anak bermain. Maka itu beliau menggunakan telefon Faezah untuk merakamkan keadaan semasa penggambaran berlangsung.


Nak dijadikan cerita isteri tersilap tekan butang ke hapa lalu tiada video dirakamkan. Yang ada cuma gambar seperti ini, gambar-gambar sejurus sebelum siaran langsung.



Nasib baik ada bapa saudara saya membuat sedikit rakaman daripada rumah lalu mengedarkannya kepada saudara mara. Untuk pengetahuan bapa saudara tesebut, Dato; Dr Hamid Arshat, seorang pakar sakit puan terkenal adalah orang yang bertanggungjawab meminjamkan modal untuk saya mencetak buku pertama siri "Berpetualang ke Aceh" 9 tahun lalu. Sudah takdir dan jodoh agaknya beliau dapat merakamkan video. Walhal setelah itu baru saya dan isteri mendapat tahu bapa saudara ini dan isterinya baru sahaja kembali daripada perjalanan di Moscow dan St. Petersburg di Russia selama seminggu. Kami menghubungi mereka pagi Sabtu untuk memberitahu tentang siaran langsung tanpa sedar mereka baru sahaja kembali ke tanah air...




Satu lagi video yang dirakamkan bapa saudara. Sukacita juga dimaklumkan, beliau juga bertanggungjawab membiayai kos penerbitan buku ke-7 saya, buku terakhir sebelum "Mencari Diri dan Erti" dapat dihasilkan baru ini. Lihat Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah". Menariknya tentang buku tersebut, sebelum betul-betul keluar daripada kilang pun ia telah dipaparkan dengan saya diwawancara secara langsung penghujung 2011. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia. Dah memang aturan Tuhan. Walaupun saya sendiri tidak dapat merakamkan keadaan wawancara terbaru kerana tertinggal bateri kamera, tengok-tengok ramai kawan lain telah mengambil gambar lalu memaparkannya di FB. Dengan itu dapatlah saya menunjukkannya dalam artikel ini. Saya memilih 4 daripadanya menjadi gambar-gambar terawal di atas.


Sebagai penutup artikel ini lihatlah gambar yang menunjukkan saya pertama kali masuk dalam program Resensi tahun 2007 diikuti kedua tahun 2011. Bandingkan pakaian ketika itu dengan sekarang di mana saya berbusana penuh tradisional Melayu. 



Ketika wawancara, saya sempat memberikan contoh pemakaian dahulu berbanding sekarang sebagai satu bentuk penzahiran nyata evolusi perubahan diri yang tercetus selepas berjaya meluahkan pengalaman sebenar berserta pelbagai ilmu yang didapati melalui siri asal "Berpetualang ke Aceh". Sesungguh siri tersebut adalah luahan untuk meringankan beban ilmu dan pengetahuan yang sangat sarat dalam dada. Sebab itu ia dipersembahkan sangat padat lalu memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi untuk dicerna sehingga tamat. Buku baru pula dibuat agar lebih senang dan menarik untuk dibaca semua peringkat masyarakat. Ia dapat dibuat begitu kerana saya kini sudah jauh lebih tenang dan aman, berbanding dahulu di mana saya mahu meluahkan semua yang patut secepar mungkin kerana sudah amat tertekan dengan keadaan.

Menunjuk pada tubah badan saya Sayed pun bertanya apakah ini, penampilan berbusana tradisional Melayu menunjukkan kemuncak evolusi diri? Saya cuma tersenyum lalu menjawab tidak. Sesungguhnya ini, keadaan saya sekarang ini masih lagi permulaan bagi sesuatu yang lebih besar. Cuma tidak dinyatakan semasa wawancara. Jika diizinkan dan dibenarkan dipertontonkan diri ideal sendiri yang pernah diberikan bayangan suatu waktu dahulu, apa yang sudah ditunjukkan setakat ini sekadar tapak, itupun belum lengkap. Kalau betul-betul dah jadi bangunan siap, memang jauh berbeza keadaannya nanti. Cukuplah cerita. Allahumasolli ala Muhammad wa ala ali Muhammad... :]

Wacana ilmu di UKM - Lagi tentang Angkor Wat dan industri besi purba Khmer



Keesokannya pagi Jumaat saya ke ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu) di UKM (Universiti Tamadun Melayu), Bangi.


Ternampak pintu gerbang tradisional dengan maklumat menyebut ia berasal daripada Kelantan. Kebetulan sebelum sampai ke UKM saya singgah di sebuah rumah lama yang berasal daripada negeri sama. Lihat artikel Rumah (House of) Tengku Fatimah Zaharah diikuti Pintu gerbang istana Sri Akar (Gate to Sri Akar palace) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
.


Saya telah beberapa kali pergi ke UKM untuk menghadiri wacana-wacana ilmu dan sebagainya tetapi di bahagian lain kampus. Walaupun sudah lama berurusan dengan pakar-pakar akademik daripada ATMA inilah kali pertama saya  singgah ke bangunan mereka.


Saya datang untuk menyertai wacana ilmu tentang perusahaan besi purba di Cambodia. Pembentang/penceramah adalah Profesor Thuy yang telah saya temui petang Khamis di UiTM. Lihat Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa.


Semasa di UiTM saya sempat bertanya kepada Thuy apakah beliau akan menggunakan set slaid yang sama untuk membentang di UKM. Jawab beliau ya. 


Terfikir juga, kalau begitu perlukah saya ke UKM? Daripada rumah saya ke UiTM dah lebih 40 km. Nak ke UKM kena memandu lagi 50 km menjaiuhi rumah gitu. Tapi tak mengapa kerana saya sudah merancang untuk bermalam Jumaat di rumah seorang kawan lama di bandar lama Bangi. Daripada situ dah tak jauh ke UKM.


Lagipun kali ini ruang pembentangan diberikan khas seratus peratus untuk Thuy. Maka itu mungkin beliau akan berkongsi maklumat tambahan/baru. Dan lagi, semasa di UiTM saya lambat sampai lalu terlepas beberapa minit pembentang. Di UKM saya sampai awal lalu dapat mengikuti syarahan beliau daripada mula.





Beliau membuka dengan menunjukkan kepentingan kedudukan Asia Tenggara amnya, kedudukan Cambodia/Khmer dalam peradaban lama dunia.


Kemudian baru masuk bab kerajaan Funan yang dikatakan wujud sejak abad pertama Masihi. Ia adalah empayar besar pertama diketahui wujud dengan cukup pasti di Asia Tenggara.


Setelah itu masuklah bab kerajaan Chenla yang mengambil-alih kekuasaan Funan pertengahan abad ke-5 Masihi.


Selesai menerangkan keberadaan Chenla, barulah penumpuan boleh dibuat pada tamadun Angkor yang berpusat berdekatan tasik besar Tonle Sap dan lembah Sungai Mekong.





Tempat-tempat bersejarah penting ditunjukkan, antaranya bagaimana pelabuhan Oc Eo yang merupakan nadi perdagangan Funan berperanan berdasarkan kedudukan yang ada kena-mengena dengan aliran Sungai Mekong.


Banyak kesan tamadun lama telah ditemui dalam lingkungan yang berkaitan dengan Tonle Sap dan Mekong...


Masuk bab tamadun Angkor dan persekitaran Angkor Wat, Thuy menunjukkan satu penemuan menarik berupa ukiran wajah yang kelihatan berbangsa Aryan pada dinding sebuah kuil...


Apa yang dipersembahkan selepas itu adalah serupa apa yang sempat saya ikuti di UiTM. Oleh itu boleh ikuti sahaja cerita dalam artikel Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa sebagai sambungan.





Cuma ada gambar-gambar di sini tidak dikongsikan pada artikel tersebut.











Dan selepas tamat pembentangan ada sesi soal jawab, satu perkara yang tidak dilakukan semasa di UiTM. Banyak perkara baru dapat saya perolehi termasuk keadaan sosio-politik Cambodia yang jarang diceritakan kepada umum. Paling penting Thuy merasakan wacana di UKM juga di UiTM merupakan satu titik permulaan baru kerjasama antara bangsa Melayu. Beliau mengaku dan akur bahawa bangsa Khmer di Cambodia sangat terkait dengan bangsa Melayu di Malaysia. Sesungguhnya keadaan di Cambodia berbeza dengan Thailand dan Vietnam di mana bangsa-bangsa luar yang berasal daripada selatan China telah menguasai wilayah lalu mengubah sejarah lamanya untuk disesuaikan dengan keberadaan mereka. Sedangkan Cambodia masih menempatkan ramai penduduk asli yang walaupun ramai bukan beragama Islam masih terangkum di dalam definisi luas apa itu Melayu.

Thuy malah percaya bahawa teknologi besi purba di Angkor/Khmer/Cambodia berasal daripada arah Semenanjung. Beliau menyebut Kedah sebagai tempat kemungkinan asal kerana pernah mendengar tentang penemuan tapak-tapak perusahaan besi yang lebih awal di Sungai Batu, Kedah lalu berharap akan ada ahli akademik tempatan sudi membawa beliau ke sana dan membantu pengkajian. Semoga ini akan membawa kepada penemuan-penemuan baru yang lebih menggemparkan. Secara peribadi, saya percaya Empayar Funan yang mengawali kerajaan Chenla, apalagi tamadun Angkor/Khmer itu sendiri didirikan oleh seorang cucu Raja Merong Mahawangsa. Sedangkan Merong pula adalah pembuka kerajaan Kedah Tua yang menurut kitab Hikayat Merong Mahawangsa merupakan pengembangan daripada kerajaan Langkasuka yang dibuka baginda lebih awal. 

Rujuk artikel-artikel berikut yang pernah dipersembahkan dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) 8 bulan lalu...



Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Antara Merong dan Mahapudisat

Mencari Kebenaran dalam Hikayat Merong Mahawangsa - Dari zaman Funan ke zaman Kedah Islam


Untuk pengetahuan ia memaparkan isi pembentangan saya semasa acara di Lembah Bujang pertengahan Januari. Lihat Acara kedua belas HIKMAH di Pondok A.M. Bawa Muhaiyaddeen dan tapak arkeologi Sungai Batu, Lembah Bujang, Kedah 17-18 Jan 2015 untuk cerita penuh.


Wacana ilmu di UiTM - Angkor Wat, industri besi purba Khmer dan orang Islam Champa

Adus. Susah sungguh hendak memulakan penulisan kali ini. Tapi nak tak nak kena gak selesaikan, kalau tidak banyak kerja boleh tersangkut. Pada artikel Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti" yang ditulis semalam ada disebut 2-3 hari kebelakangan berlaku beberapa aktiviti yang patut dikongsikan dalam blogspot. Sekarang ini dah jadi 4-5 hari kebelakangan. Kita mulakan.



Beberapa hari lepas saya mendapat tahu melalui Facebook ada perkongsian ilmu menarik akan dilaksanakan di UiTM (Universiti Teknologi Mara), Shah Alam pada hari Khamis 17 September 2015.


Sampai waktunya saya pun bergegas ke tempat.


Cuma disebabkan ada urusan tertentu di Bukit Jelutong, saya sampai ke dewan sekitar sejam lewat.


Namun saya diberitahu pembentang pertama dan utama, Profesor Thuy Chanthourn dari Cambodia baru sahaja memulakan syarahan sekitar beberapa minit. Yang saya betul-betul terlepas adalah kata-kata pengenalan dan pembukaan daripada Prof Madya Dr Wan Salleh Wan Ibrahim daripada FSPU (Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur), UiTM.



Tajuk utama syarahan adalah berkenaan tamadun Angkor. 


Ia dipercayai bercambah daripada tamadun kerajaan Chenla yang telah mengambil-alih kekuasaan Empayar Funan ke atas sebahagian besar wilayah Indo-China bermula pertengahan abad ke-6 Masihi.


Kami pun dibawa menelusuri tinggalan kerajaan Angkor. Kerajaan ini juga dikenali sebagai Empayar Khmer.


Tentunya ramai pernah mendengar tentang kuil Angkor Wat yang dipercayai dibina pada abad ke-12 Masihi.





Namun menurut Thuy, Angkot Wat sebenarnya satu bahagian kecil daripada kompleks bandar raya ibadat yang mengandungi tidak kurang 300 buah kuil kecil besar!


Ditunjukkan di sini peta sistem jalan raya purba Angkor yang menjangkau jarak ratusan kilometer. Sebahagian daripada sistem ini masih utuh sehingga jalan raya dan jambatan purbanya mampu menampung kegunaan kenderaan berat seperti kereta kebal hinggalah sekarang.


Peta kompleks bandar raya ibadat yang pernah menjadi pusat ketamadunan Angkor/Khmer. Nampak kota kecil di tengah> Di dalam kawasan kotak sebesar 1.5 km x 1.5 km (ke 1.5 km x 1.8 km? Dah terlupa pula) itulah etaknya Angkor Wat. Sedangkan ada kawasan kuil lebih besar misalnya yang diwarnakan hijau ke utara.


Daripada hal-hal melibatkan seni bina Angkor, Thuy mula mengalihkan perhatian kepada perusahaan besi purba.


Katanya, Cambodia pernah membuka beberapa kawasan untuk dijadikan lebuh raya tahun 2010 tetapi bertemu kesan-kesan yang menunjukkan pernah terdapat perusahaan besi purba di sekitar itu.


Hal ini menyebabkan kerja-kerja membuat lebuh raya dihentikan atas perintah pihak tertinggi kerajaan. Kerja-kerja cari gali arkeologi pula menjadi ganti.


Sampel barangan daripada beberapa tempat telah dihantar ke makmal luar negara pada tahun 2013 untuk dikenalpasti umur dan zaman. Satu sampel rosak kerana pernah berlaku kebakaran hutan di sekitar menyebabkan pembacaan makmal memberikan umur sampel cuma 8 tahun. Apapun, secara rata, sampel-sampel ini memberikan gambaran bahawa perusahaan besi purba telah wujud di Angkor/Khmer sejak abad ke-8 Masihi.


Hal ini boleh memberikan jawaban bagaimana bangunan-bangunan batu hebat seperti Angkor Wat dapat dibina. Perusahaan besi yang cukup maju membolehkan peralatan sesuai dibuat untuk memotong dan membentuk batu.


Antara corak-corak ukiran/motif yang terdapat pada kuil di Angkor dilakarkan kembali...



Kesimpulannya, kemajuan dalam perusahaan besi memainkan peranan penting dalam membentuk ketamadunan tinggi di Asia Tenggara.


Seterusnya pembentang kedua Dr Mohammad Zain Musa memberikan syarahan.


Beliau bercakap tentang penduduk Islam di Cambodia, sejarah awal mereka dan bagaimana mereka boleh terlibat dengan masyarakt Islam di Malaysia. Rata-rata mereka ini adalah keturunan orang Islam Champa yang dahulunya bertebaran merata akibat kerajaan Champa dikalahkan lalu ditakluki puak Dai Viet daripada selatan China, Ini membawa kepada pembentukan kerajaan baru Vietnam sambil keberadaan masyarakat asal Islam Cham seperti cuba dilenyapkan kesan dan sejarah.











Rupa-rupanya Zain sendiri seorang warga Islam Champa tetapi sudah lama berhijrah ke Malaysia dan menjadi warga negara sini.


Beliau kemudian memperincikan usaha-usaha yang telah dibuat oleh saudara seIslam di Malaysia untuk memajukan masyarakat Islam Champa di Cambodia .





Akhir sekali seorang ustaz Champa menceritakan tentang perkembangan masyarakat Islam di sana. Beliau tidak ada dalam program asal, cuma diminta berkongsi pengalaman apabila muncul ruang...