Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 19, 2012

Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Cukup seminggu mendapat nama...



Subhanallahi walhamdulillahi walailaha illallahu wallahuakbar. Segala puji bagi Tuhan sekalian alam. Malam ini masuk jam 11 genaplah seminggu acara Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman  (HIKMAH) diasaskan secara ad-hoc lalu diwar-warkan melalui Facebook. Baru seminggu sahaja tetapi jumlah yang menyatakan akan hadir sudah jauh melangkaui jangkaan awal... dari kurang 200 dah kelihatan seperti lebih 500 dan mungkin terus bertambah lagi dan lagi. Saya diberitahu, melihat perkembangan ini, wakil dari istana menyatakan minat akan datang. Katanya kalau tak Sultan Selangor, adindanya Tengku Panglima Diraja Tengku Sulaiman akan menjadi wakil utama bersama sejumlah pembesar.

Jika dahulu saya cuma mahu menggunakan dewan (bilik seminar dan ruang luarnya sahaja sebenarnya) di Kompleks Belia dan Kebudayaan, Seksyen 7, Shah Alam untuk seminar sejarah yang paling kuat pun memakan masa 4 jam sekarang, disebabkan sambutan terhadap HIKMAH kami akan beralih ke dewan Sekolah Menengah Seksyen 18 agar dapat dibuat acara sepenuh hari. Saya baru sahaja mendapat berita tentang kepastian tempat siang tadi, setelah beberapa hari mencari alternatif yang sesuai. Ini kerana jika mahu mendapatkan tempat lebih glamour di Kuala Lumpur, kami harus menunggu sehingga bulan Disember. Sedangkan ramai sudah begitu bersemangat untuk menghadiri acara apabila diwar-warkan akan berlangsung 4 November.

Di sini saya ingin berkongsi beberapa perkembangan terkini tentang acara seperti telah dipaparkan di Facebook dari semalam hingga ke hari ini. Anda boleh membaca artikel-artikel sebelumnya, Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) dan Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Permission to proceed untuk melihat perkembangan awal acara.


-------------


Rasanya biar disenaraikan subjek/kertas kerja yang bakal dibentang untuk HIKMAH. Ni tajuk-tajuk tentative ya. Yang ditunjukkan bukan aturan sebenar kerana saya akan menilai kembali menurut jangkaan mood acara daripada pembukaan sehingga ke penghujung. Sampai masa acara dilangsungkan 4 Nov tajuk mungkin diubah tetapi isinya masih tetap kena.

1. Dinar dan dirham sebagai pemangkin ekonomi Islam 

2. Perlembagaan negara dan cabaran terhadap hak Melayu dan institusi beraja

3. Tujuh wasiat Raja-raja Melayu

4. Faktor sultan kepada bangsa Melayu - Mesej untuk umat Melayu di akhir zaman

5. Keris dan penyatuan Melayu Nusantara

6. “Berpetualang ke Aceh” : Satu pengalaman mencari jati diri Melayu

7. Motif pedang Zulfiqar di Alam Melayu

8. Identiti Melayu Islam pada mihrab dan mimbar

9. Busana tradisional Melayu sebagai lambang jiwa merdeka

10. Dari Srivijaya ke Batu Bersurat Terengganu : Perjalanan Melayu merentas zaman menggamit peranan.

11. Panji-panji hitam dari Timur : Peranan bangsa Melayu akhir zaman

Melihat pada senarai nampaknya saya tidak boleh menerima lagi kertas kerja. Mereka yang berminat doakanlah kejayaan HIKMAH agar ada acara seterusnya di mana boleh sampai giliran mereka pula. Setiap kertas kerja harus dihadkan ke 30 minit. Para pembentang sila ambil perhatian.


--------------------


Salam Jumaat. Kita tentunya tahu bagaimana ramai daripada kita berkenalan lalu berhubung di FB, jadi friends, fans dan sebagainya tetapi tidak pernah bersua muka hingga kini. Mengambil keberkatan penghulu segala hari ini saya ingin membuka ruang penyertaan untuk satu komponen utama Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman atau HIKMAH 4 Nov ini. Ia adalah segmen acara berkumpulan menurut minat atau special interest groups. Melalui aturan acara ini, ruang pun dibuka untuk pameran dan perniagaan.

Acara yang kiranya mahu mengangkat format perbincangan groups dalam Facebook ke dunia nyata ini akan diadakan selepas tamat sesi pembentangan petang kertas kerja. Untuk makluman selain memperjuangkan kedaulatan Melayu dan Islam, matlamat HIKMAH adalah untuk menterjemahkan rangkaian perhubungan/perbincangan/setiakawan dalam FB menjadi sesuatu yang mampu dizahirkan ke dunia nyata demi agama, bangsa dan negara (bukan sekadar Malaysia ya. Kita akan ada beberapa penyertaan daripada negara-negara jiran). Sekarang biar disenaraikan aturan special interest groups.


1. Perkerisan – Ini khas untuk peminat keris juga senjata-senjata lain Melayu seperti pedang. Saya sudah mendapat pengesahan penyertaan daripada dua kumpulan besar iaitu Persatuan Pusaka Senipurba Nusantara Selangor (PURBA) dan Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur.

2. Perubatan – Tentunya ada orang yang berminat pada ilmu perubatan terutama yang berbentuk tradisional Melayu. Saya tidak pasti penyertaan tetapi saya tahu ada sejumlah yang menyatakan komitmen akan datang memang terlibat dengan dunia perubatan.

3. Persilatan – Walaupun belum ada persatuan menyatakan penyertaan ramai yang bakal datang ke HIKMAH dan menyokong majlis adalah pesilat dan aktivis persilatan daripada pelbagai aliran, baik lincah, mahupun gayung, cekak sehingga ke penjurit kepetangan. Lagipun persatuan-persatuan yang disebut di bawah tajuk perkerisan itu sendiri terdiri daripada ahli-ahli silat. Saya rasa bolehlah dimaklumkan bahawa di belakang saya ada orang-orang kuat daripada aliran selempang merah.

4. Busana tradisional Melayu – Penyertaan juga mungkin bercampur-baur dengan tajuk perkerisan dan persilatan. Bezanya tajuk busana insyaallah turut mengandungi penyertaan kaum Hawa yang berpakaian tradisional.

5. Kebudayaan/tarian – Sejumlah artis terutama dalam bidang lakonan telah memberikan komitmen mahu menyerikan acara. Peminat subjek berkenaan boleh berkumpul di bawah ‘panji-panji’ ini, chewah… :]

6. Seni ukiran/khat – Ini juga satu cabang seni yang diminati orang Melayu khususnya, Islam umumnya. Saya diberitahu akan ada peserta mempamerkan kerja-kerja khat dan sebagainya. Semoga manusia yang bertanggungjawab memahat Batu Bersurat Terengganu juga datang, hehe.

7. Kitab/buku/sastera – Difahamkan antara penggiat khat ada yang mungkin membawa mushaf Al-Quran lama. Selain itu kumpulan ini boleh dijadikan tempat perkongsian hasil pembacaan kitab-kitab dari pelbagai aliran fahaman termasuk Tasawuf.

8. Keagamaan – Tasawuf, feqah dan sebagainya. Ada perkara yang mungkin bertindih dengan tajuk kitab/buku/sastera. Di sini kumpulan-kumpulan Tariqat boleh bersatu untuk memeriahkan acara.

9. Keluarga dan salasilah – Kita sedia maklum antara topik paling hangat di dunia Internet terutama di forum-forum dan Facebook adalah perbincangan keluarga dan salasilah. Di HIKMAH anda digalakkan membawa salasilah dan lain-lain bukti kaitan keluarga. Mana tahu mereka yang selama ini tidak tahu asal usul sebenarnya rupa-rupanya bersaudara?

Untuk ini saya boleh memaklumkan ada peserta HIKMAH yang merupakan wakil-wakil berpengaruh daripada keturunan Megat Terawis, Daeng Selili, Nakhoda Hitam, keluarga Temenggung Muar, keturunan Daeng Berlima (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) juga keturunan Sultan Hussein Singapura. Saya rasa mereka yang katanya daripada keturunan Hang Tuah pun akan ada selain keturunan kerabat diraja dan bangsawan lain.

Saya juga mengalu-alukan kedatangan kaum keluarga Empayar Siam-Kedah. Walaupun saya secara peribadi tidak bersetuju dengan beberapa dakwaan mereka, keluarga ini juga adalah ahli komponen besar bangsa Melayu Islam kita. Ada kajian mereka yang harus difikirkan.

10. Ketamadunan dan kerajaan – Yang ini mungkin bertindih dengan tajuk keluarga dan salasilah. Bezanya ia tidak ditumpukan kepada keluarga sahaja tetapi melibatkan hal kerajaan. Dalam FB juga di wadah Internet yang lain ada yang sedang sibuk berbincang tentang Srivijaya, ada Siam-Kedah ada juga bab Terengganu lama, Muar, Samudera-Pasai, Melaka, Aceh dan sebagainya. Maka di sini bolehlah perbincangan dilanjutkan ke dunia nyata secara bersemuka empat mata.



Berdasarkan pembahagian ini ruang dan penyertaan pameran akan diatur. Mereka yang mahu berniaga pun akan diatur menurutnya demi mewujudkan persepaduan acara. Kalau anda rasa pameran/produk anda tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana tajuk telitilah lagi. Busana Muslimah misalnya tentu kena di bawah tajuk busanan tradisional. Saya sendiri akan membuka gerai menjual buku tulisan saya terutama siri “Berpetualang ke Aceh” dan itu tentunya masuk di bawah tajuk kitab/buku/sastera.

Acara ini akan diatur untuk membentuk satu macam suasana pasar bercampur wadah perbincangan ilmu bersifat cosmopolitan. Peserta HIKMAH juga pengunjung lain termasuk VVIP/VIP boleh melihat dan melawat dari kumpulan ke kumpulan. Ahli kumpulan boleh boleh ‘mengintai’ aktiviti yang lain. Selain itu setiap kumpulan dan sub-kumpulan (misalnya dua persatuan besar di bawah tajuk perkerisan) akan diberikan kertas dan pen/pensil. Di situ mereka boleh memberikan :-


1. Maklum balas tentang acara, keberkesanan, kelemahan

2. Cadangan untuk penambahbaikan

3. Cadangan/buah fikiran/penyelesaian sesuatu masalah kepada pemerintah tertinggi negara untuk mendaulatkan agama, bangsa dan negara


Maklum balas dan cadangan akan diambil kira bersama isi terpilih pembentangan untuk dijadikan rumusan HIKMAH edisi sulung ini dan membentuk resolusi majlis. Insyaallah ia juga akan diangkat untuk pemerhatian orang atasan oleh pihak kami yang berkebolehan. Selain itu maklum balas dan cadangan akan diwar-warkan sekurang-kurangnya melalui blogspot saya sendiri, merahsilu.blogspot.com dan FB page HIKMAH.

OK. Cukuplah ini ya. Selepas solat Jumaat nanti, mungkin petang sikit saya akan meletakkan setiap tajuk/kumpulan sebagai satu update di page HIKMAH. Sesiapa yang mahu membuat pameran atau/dan berniaga sila tinggalkan nama, jenis perniagaan dan contact number di bawah tajuk pilihan. Sila berikan maklum balas.


----------------------


OK. Senarai sukarelawan untuk HIKMAH 4 Nov pun dibuka. Siapa berminat sila letakkan nama dan contact number/e-mail dan sebagainya pada komen. Kalau takut kena ngurat PM kat saya je.


MC – Dr Hapiza Muhammad 

Penyambut VIP – Nor Afidah Yusof

Urus setia meja hadapan/pendaftaran @ front desk – 3 orang selain saudari Rozein dan Shikin yang akan menjaga 313 buku ke-3 saya “Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?”, ditawarkan pada harga istimewa RM10.

Usherer – 10 orang. Ni yang tolong menunjukkan tetamu ke dalam dengan muka manis gitu.

Security/Bouncer/keselamatan - 15 orang anak jantan. Bukan nak pukul orang. Yang datang pun ramai orang persilatan yang telah menyatakan kesudian bersama saya jika ada yang cuba membuat kacau. Cuma kita sentiasa perlu bersiap-siaga menjaga keselamatan ya tak?

Teknikal – 2 orang. Memastikan misalnya projektor berjalan, pembentangan tiada masalah dan sebagainya pastikan mikrofon cukup dan berfungsi. Tahu sedikit tentang set-up computer, audio-visual.

Runner – 3 orang. Bermacam-macam tugas untuk melicinkan acara.

Moderator kertas kerja – 3 orang untuk 3 sesi pembentangan, pagi, tengah, hari petang. Harus orang yang boleh mengawal masa dan keadaan, mampu mengulas isi kertas kerja di hadapan orang ramai.

Moderator acara berkumpulan – 10 orang. Perlukan orang yang bijaksana boleh mengawal kumpulan orang, sebaiknya ada pengetahuan tentang bidang atau subject matter.

Jawatankuasa makan – 3 orang yang amanah. Bukan harapkan pagar, pagar makan nasi briyani… :]


Untuk melihat status terkini sila klik pada badge. Kami juga sedang mencari sukarelawan untuk memenuhi keperluan yang disebut di atas. Mereka yang berminat boleh mendaftar di page HIKMAH.






Rabu, Oktober 17, 2012

Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Jumaat di Ulu Terengganu, tapak kebangkitan Islam akhir zaman?

Subhanallah! Sedang tak sedar sudah masuk 1 Zulhijjah 1433. Eloklah disambung cerita daripada artikel Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan - Cabaran laluan Gua Musang ke Tasik Kenyir.




Artikel tersebut ditamatkan seminggu lalu apabila ditunjukkan kami berhenti di satu tempat rehat malam hari. Ini adalah pandangan awal pagi...



Di sinilah kami bermalam, di surau kawasan rehat.



Kami telah menghabiskan malam Jumaat di kawasan hutan yang agak terpencil, ada tempat rehat pun disebabkan jalan di sebelah merupakan laluan ramai pemandu lori.




Hari itu 28 September 2012. Kami membuat keputusan untuk berpatah balik ke arah barat.


Kami mahu melihat kembali tempat-tempat yang dilepasi malam sebelumnya dalam kegelapan. Untuk itu kami berpatah balik sekitar 22.5 km hingga ke pusat pemeliharaan gajah ini. Lihat artikel Elephant sanctuary at Sungai Ketiar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas itu kami menjejak kembali lokasi-lokasi yang menawarkan pemandangan indah tasik kenyir.


Pemandangan tasik dari sebelah ini sudah lama saya dambakan kerana cuma pernah pergi ke bahagian barat sahaja sebelum ini. Lihat artikel The first obvious section of Lake Kenyir from the west diikuti Lake Kenyir further north-east.



Kami singgah lagi ke tempat rehat untuk mencari jam tangan mahal sahabat saya, Zaidi yang tertinggal di sebelah surau. Nasib baik jumpa kemudian kami makan pagi.


Perjalanan diteruskan ke arah timur. Singgah di satu lagi bahagian Tasik Kenyir yang apabila diteliti adalah sebenarnya adalah kawasan hulu Sungai Terengganu. Lihat Northern end of Terengganu river which flows into Lake Kenyir.


Kami suka melihat tasik terbesar di Malaysia itu daripada beberapa arah dan lokasi. Maka kami masuk ke satu kawasan lagi iaitu di Sungai Lawit. Lihat Lake Kenyir at Sungai Lawit.


Ini pula pemandangan di Pengkalan Gawi, tempat paling sinonim dengan Tasik Kenyir. Ini disebabkan kebanyakan bot berpengkalan di sini. Dari Pengkalan Gawi baru orang menuju ke serata tasik. Lihat Pengkalan Gawi... again

Hmm. Saya rasa mahu berhenti rehat. Sebelum itu biar dimaklumkan gambar-gambar artikel ini dimuat-naik selepas tengah malam, cerita pula cuma dimulakan setelah jam 5. Sekarang sampai ke perenggan ini sudah 5.45 pagi.   Ada sesuatu yang terasa mahu dikongsi.




Adapun 4 hari lepas saya telah menulis artikel pengenalan acara Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) di mana pada penghujung diberitahu anak saya Muhammad Al-Aminul Rasyid genap umur 3 tahun. Sekarang, pada pertengahan artikel ini biar diberitahu adiknya Muhammad Alauddin Johan pula genar umur 8 bulan selepas lahir 17 Februari jam 5.21 pagi.

Di atas adalah gambar di hadapan kawasan empangan Sungai Terengganu yang membentuk Tasik Kenyir. Dahulu saya pernah masuk sekali dua ke dalam. Ingatkan nak bawa Zaidi melihatnya, tengok-tengok dah jadi kawasan larangan. Kita rehat dahulu... yeeehaaaaa! :]



OK, dah dekat 12 tengah hari baru dapat sambung cerita. Penat wooo. Lepas Subuh baru dapat tidur. Bangun pula terus membuat surat berkenaan penganjuran HIKMAH, setelah mendapat satu berita, kemudian baru dapat menyemak perkembangan minat terhadap acara di Internet. Sekarang baru boleh disambung tulisan...


Apabila mendapati pelawat tidak dibenarkan masuk lagi ke kawasan empangan kami pun mencari jalan lain untuk melihat lebih dekat. Dari tepian kawasan rehat luar pagar boleh kelihatan bahagian hadapan empangan. Turun cerun bukit di sebelah kelihatan pula pemandangan cantik Sungai Terengganu. Lihat Terengganu river near its main dam.


Selepas itu kami pergi ke Jenagor yang terletak 2-3 km gitu menghilir daripada empangan untuk masuk ke satu kawasan tertentu.


Setelah ditemuduga agak panjang lebar tentang asal daripada mana dan tujuan datang baru kami diberi  kebenaran untuk masuk lebih jauh dan kemudahan.



Kemudahan yang dimaksudkan adalah menaiki bot masuk ke satu kawasan hulu Sungai Terengganu yang terpencil. Lihat Terengganu river at Jenagor.


Ia adalah penempatan satu kumpulan yang katanya sedang membuat persediaan untuk menghadapi zaman fitnah dan penuh panca roba akhir zaman. Penempatan dibuat di sekeliling sebuah makam lama yang katanya milik Sharif Muhammad Al-Baghdadi, tokoh berketurunan Nabi Muhammad SAW dari Timur Tengah, orang yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu 1303 Masihi.


Seterusnya kami menziarahi makam waris-waris keluarga Sharif Muhammad Al-Baghdadi yang terletak dalam perjalanan ke bandar Kuala Berang.


Tak perlulah dipanjangkan cerita tentang waris-waris ini. Baca sahaja artikel lama saya Wasilah kekeluargaan Tok Pulau Manis, wali agung Terengganu abad ke 17....


Kami bersolat Jumaat di Kampung Temir, sebuah kampung terpencil yang menurut satu cerita pernah menjadi tapak pemerintahan Sharif Muhammad Al-Baghdadi diikuti beberapa anak cucunya. Selepas solat kami berehat sejam gitu melepaskan penat. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Kampung Temir, Kuala Berang blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu baru ke bandar Kuala Berang. Sampai di jambatan ambil gambar sungai sat. Lihat Terengganu river from Kuala Berang bridge.


Akibatnya kami makan tengah hari lewat. Dah masuk Asar baru nak makan daaa. Begitulah keadaan bila keluar mengembara singgah banyak tempat. Selepas makan kami kembali menghala ke hulu tetapi melalui jalan lain iaitu di sebelah selatan Sungai Terengganu (jalan ke Jenagor dan empangan di sebelah utara). Kami singgah di Memorial Batu Bersurat Terengganu, ziarah makam Tok Raja Ri diikuti makam Tok Gajah sebelum singgah di sebuah makam terpencil yang saya percaya adalah tempat sebenar jasad Sharif Muhammad Baghdadi disemadikan.


Perjalanan diteruskan sehingga ke penghujung jalan raya masuk Kampung Dusun untuk singgah di masjidnya. Di sini ada ukiran menarik kayu yang seperti membayangkan perjuangan orang lama. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Dusun, Kuala Berang.


Apabila keluar dari masjid baru tersedar meter motosikal menunjukkan nombor yang menarik.


Dengan itu saya menganggap selesailah misi kami di kawasan Kuala Berang dan lingkungan besar hulu Sungai Terengganu yang termasuk Tasik Kenyir. Kami pun meluncur laju menghala ke bandar. Tapi sampai di jambatan menyeberangi Sungai Berang timbul rasa yang kuat agar saya berpatah balik sedikit untuk masuk ke Kampung Bulu sehingga ke pinggir Sungai Tersat. Saya teringat, Batu Bersurat Terengganu yang kini berada di dalam simpanan Muzium Negeri katanya pertama kali ditemui di tepian sungai tersebut. Tadi saya semak di Internet. Dalam wikipedia  ada disebut...


Batu Bersurat Terengganu yang dianggarkan telah berusia lebih kurang 700 tahun ini merupakan batu bersurat yang mempunyai ukiran yang paling tua dan tulisan Jawi pertama ditemui di Malaysia. Ia membuktikan Islam telah sampai ke Terengganu sebelum 1326 atau 1386. Batu ini ditemui separuh tenggelam selepas banjir surut di tebing Sungai Tersat di Kuala Berang, Hulu Terengganu pada tahun 1899.





Ah. Nampaknya mungkin disebabkan itu saya 'ditarik' sebentar ke situ. Untuk membaca lebih lanjut tentang Batu Bersurat Terengganu boleh masuk sini. Selepas itu baru saya boleh meneruskan perjalanan melepasi bandar untuk menghala ke Kuala Terengganu pula. Kelihatan dalam gambar kami berhenti sebenar di rumah orang untuk memakai pakaian hujan. Ketika ini juga saya mencuba memakai poncho di badan. Hasilnya saya hampir-hampir kemalangan apabila poncho ternaik menyelebungi kepala dan separuh badan ketika motosikal meluncur laju di tengah jalan.



Nasib baik Allah memanjangkan umur untuk membawa kami sampai ke makam Tok Pulau Manis sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. 



Untuk pengetahuan Tok Pulau Manis adalah wali besar dari keturunan Sharif Muhammad al-Baghdadi. Sahabat saya Zaidi sudah lama berhasrat untuk ke sini sedangkan saya pula sudah lebih setahun, mungkin dua tahun kalau tak salah tidak berziarah. Kiranya hari Jumaat itu kami dapat menyelesaikan misi menjejak sejumlah tempat yang ada kena-mengena dengan warisan baginda khalifah Sharif Muhammad (siapa yang faham, faham le kedudukan sebenar Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW ini). Kalau sampai selepas masuk Maghrib dah kira masuk hari Sabtu dah menurut perkiraan Melayu dan Islam.


Tentunya kami sampai di Kuala Terengganu yang terletak 25 km ke barat-laut Kampung Pulau Manis waktu malam. Selepas membersihkan diri dan bersolat di Masjid Tokku Tuan Besar kami pun menziarahi makam tokoh ulamak Terengganu abad ke 19 Masihi itu. Untuk pengetahuan Tokku Tuan Besar adalah ayahanda kepada wali besar Tokku Paloh, seorang lagi Ahlul Bait terkenal tetapi daripada jalur keturunan berbeza dengan Tokku Pulau Manis yang hidup 200 tahun lebih awal. Anda boleh membaca cerita tentang keluarganya pada artikel lama Keluarga besar Tokku Paloh, wali agung Terengganu abad ke 19 Masihi...

Dari masjid dan makam yang terletak di Chabang Tiga kami singgah di Losong membeli keropok lekor lalu membawa untuk makan di kawasan bertambak tepian Sungai Terengganu berdekatan Kampung Cina. Ada le cerita menarik di situ kerana kami sampai ketika satu sambutan besar orang Cina mahu dimulakan, saya tak pasti apa. Kami sempat makan telur penyu di Pasar Payang, naik Bukit Puteri menziarahi makam Syed Yassin kemudian melihat sambutan orang Cina dengan tanglung-tanglung terbangnya dari atas bukit. Kemudian kami melalui Pantai Buruk sebelum singgah ke masjid terapung di Kuala Ibai. Sebelum hari ditutup kami bertafakur dalam kegelapan malam yang cuma diterangi sedikit cahaya bulan di Pantai Pandak, satu lokasi yang menurut kajian peribadi beberapa orang kenalan pernah menjadi pelabuhan besar yang katanya turut disinggahi armada besar Laksamana Cheng Ho daripada Dinasti Ming di benua Cina. Selesai cerita... :]


Isnin, Oktober 15, 2012

Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) - Permission to proceed

Assalamualaikum semua. Ingatkan siang tadi nak sambung cerita siri "Explorasi bermotosikal besar Pantai Timur bersama rakan". Rupa-rupanya tak dapat lagi. Sebaliknya saya harus menyambung cerita daripada artikel Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).






Pagi tadi saya mendapat makluman agar menghadiri mesyuarat berkenaan acara yang mahu saya langsungkan. Saya diminta menyediakan kertas kerja dan pergi ke pusat belia atau lebih tepat. Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam 4.30 petang. Maka selepas menyelesaikan beberapa perkara saya pun menulis kertas kerja. Melupakan kepenatan akibat kurang mendapat tidur kerana asyik memantau perkembangan minat peserta selain menghubungi sejumlah pihak untuk mendapatkan lagi penyertaan juga pengisian acara, alhamdulillah saya berjaya menyiapkannya dalam tempoh dua jam lebih.

Malangnya printer di rumah sudah rosak. Tak mengapa fikir saya. Copy fail kertas kerja ke dalam thumb drive, pergi sahaja dahulu ke pusat belia. Bawa sekali komputer riba sebagai back up. Nanti di sana insyaallah saya boleh meminta pejabat mencetaknya agar dapat dikongsikan pada mesyuarat.

Sampai di sana saya pun bertemu muka dengan pihak yang ternyata bukan calang-calang. Mereka adalah para penggerak perjuangan Melayu Islam yang memiliki status tinggi dalam masyarakat, ada yang bergerak melalui wadah politik, ada yang merupakan ahli barisan intelektual negara. Ada yang sangat rapat dengan pemerintah  tertinggi sejak zaman Tun Mahathir sehingga kini, nasihatnya boleh menentukan siapakah yang diangkat menjadi wakil rakyat tetapi bergerak di balik tabir. Sayangnya pejabat pusat belia sudah ditutup lalu saya tidak dapat mencetak kertas kerja. Bilik mesyuarat pula ada masalah penghawa dingin lalu mesyuarat diadakan di luar. Maka projektor pun tidak dapat digunakan untuk menunjukkan isi kertas kerja.

Selepas agenda lain mesyuarat selesai saya diminta mengemukakan cadangan acara. Saya tidak dapat menunjukkan kertas kerja yang dibuat dengan penuh tumpuan dan penat lelah siang tadi. Saya cuma dapat menyatakan isi secara lisan sahaja termasuk menyatakan sambutan yang diterima melalui rangkaian kawan dan kenalan di Facebook. Alhamdulillah cadangan saya diterima dan mendapat sokongan. Walaupun ada yang menyatakan kebimbangan takut ramai tidak muncul apabila acara betul-betul berlangsung mereka bersetuju agar saya meneruskan usaha menurut cara yang sedang digunapakai iaitu melalui Internet.

Sambil itu saya terfikir sesuatu. Selepas memberikan risalah promosi buku yang ada mengandungi alamat blogspot ini kepada semua, saya  mencadangkan agar isi kertas kerja  dimuatkan ke dalam blogspot di mana mereka boleh menelitinya kemudian. Mereka tidak membantah. Ini juga bermaksud saya tidak perlu merahsiakan isi kerana tentunya blogspot boleh ditatap oleh sesiapa sahaja. Dengan ini biar dikongsikan kertas kerja (bukan dalam format asal kertas A4 ya) tersebut. Sekarang semua orang boleh membacanya untuk menilai apakah yang sebenarnya cuba dicapai melalui acara. Ini dia... 




Himpunan Kedaulatan Melayu Islam
Akhir Zaman
HIKMAH



Pengenalan

Melihat perkembangan mutakhir sejak beberapa tahun ini di mana umat Melayu Islam di Malaysia diasak dari pelbagai arah, umat Islam umumnya seluruh dunia ditekan dengan pelbagai peristiwa yang kelihatan dirancang untuk menjatuhkan agama yang syumul ini, ramai yang mula bimbang tentang nasib mereka, agama, bangsa dan negara akan datang. Sesungguhnya segala yang terjadi itu seperti membenarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW tentang peristiwa akhir zaman di mana dikatakan umat Islam akan disembelih di mana-mana dan kamu tidak dapat berbuat apa-apa. Apabila ditanya apakah kerana umat Islam itu sedikit ya Rasulullah? Jawab baginda tidak. Mereka ramai tetapi seperti buih-buih di lautan. Mereka lemah kerana dilanda penyakit wahn, cinta kepada harta dunia dan takut mati.

Sejak beberapa tahun ini boleh kelihatan nyata ramai anak muda Melayu mula mencari kembali jati diri. Mereka cuba menggali kembali sejarah-sejarah lama untuk mendapatkan tafsiran yang lebih sesuai dengan keadaan realiti zaman. Mereka mula menolak sejarah popular yang sudah terpakai sekian lama seperti yang terdapat di dalam buku-buku teks rasmi apabila menyedari kebanyakan isi ditulis oleh penjajah untuk memenangkan kepentingan pihak mereka sambil menjatuhkan keyakinan pihak yang dijajah, khususnya bangsa Melayu di rantau kita, umumnya umat Islam di seluruh dunia. Ini boleh dibuktikan dengan kewujudan pelbagai wadah dan kumpulan di Internet yang membincangkan sejarah Melayu Islam daripada pelbagai sudut. Lihat sendiri pelbagai kajian mahupun pendapat yang boleh ditemui atas nama atau kata-kata kunci seperti “Sejarah Melayu” dan “Akhir Zaman” melalui program carian seperti Google.

Menyedari perkembangan ini Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diwujudkan Jumaat malam Sabtu, 12 Oktober 2012, lebih tepat sekitar jam 11 malam. Ia adalah lanjutan daripada cadangan untuk mengadakan satu sesi kecil seminar/syarahan tentang sejarah Melayu Islam oleh penulis bebas Radzi Sapiee, graduan matematik dari University College of London dan bekas wartawan The New Straits Times yang telah menulis trilogi novel pencarian jati diri Melayu Islam bertajuk “Berpetualang ke Aceh” (terbit 2006-2007). Penulis memiliki sejumlah peminat dan pengikut tersendiri yang selalu mengikuti perkembangannya melalui penulisan dan perkongsian pendapat serta pengalaman hidup di blog juga di Facebook. Apabila mendapat tawaran untuk menggunakan sebuah dewan yang katanya boleh memuatkan lebih 200 orang, penulis terfikir alangkah eloknya kalau acara dapat juga mengenengahkan buah fikiran sejumlah pengkaji bebas dan peminat sejarah serta budaya Melayu dan Islam.




Kenapa Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH)?

Seperti disebut awal tadi acara asalnya mahu dibuat kecil-kecilan untuk berkongsi kajian peribadi penulis melibatkan sejarah Melayu. Biar ditambah ini dibuat atas permintaan sejumlah  peminat dan pengikut penulis, apabila mendapat tahu penulis ada membuat ceramah ataupun syarahan berkenaan pada majlis tertutup di Muzium Negara. Apabila mendapat tawaran premis dan terfikir untuk melibatkan lebih ramai pengkaji dan peminat lalu mahu mewar-warkannya di Internet satu nama yang mampu menarik perhatian pun difikirkan. Timbul Himpunan Kedaulatan Melayu Islam diikuti akronim atau singkatan HIKMAH. Namun tidak ada huruf ‘h’ dalam Himpunan Kedaulatan Melayu Islam untuk mewakili huruf ‘H’ dalam HIKMAH. Maka ditambah “akhir zaman” yang walaupun kedengaran agak berat sangat relevan dengan tajuk.

Sesungguhnya sering disebut, Nabi Muhammad SAW diutus sebagai rasul akhir zaman. Maka tempoh yang dipanggil akhir zaman itu sebenarnya sudah bermula sejak baginda dilahirkan lebih 1,400 tahun lalu. Acara ini mahu menghimpunkan sejumlah peserta yang memiliki matlamat sama iaitu mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. Ramai di antara mereka aktif berbincang hal ini di Internet dan melalui wadah itulah penulis dapat mengumpulkan cukup penyertaan untuk menjadikan acara ini satu realiti yang programnya boleh dipanjangkan.

Melihat tajuk yang menjadi HIKMAH itu ada juga yang bertanya kenapa perkataan Melayu dalamnya harus ditambah Islam, kenapa tidak Melayu sahaja?  Bukankah takrif Melayu itu sendiri meliputi Islam? Jawabannya – ini dibuat agar dapat ditekankan makna syumul Melayu yang harus dibezakan dengan takrif antropologi Melayu yang bermaksud satu gabungan besar bangsa Malayo-Polynesia tanpa mengira pegangan agama. Ini juga dibuat agar takrif Melayu dan perjuangan HIKMAH untuk mendaulatkan bangsa tidak diperkecilkan seperti yang sering dilakukan oleh sesetengah pihak yang seperti ‘seriau’ dengan apa-apa bentuk perjuangan untuk mendaulatkan Melayu. Mereka mendakwa bangsa itu tidak penting, Islam sahaja yang penting. Pada mereka perjuangan untuk memartabatkan bangsa hanya bersifat asobiyah belaka.

Mereka-mereka ini telah menyempitkan perjuangan untuk memartabatkan Melayu sebagai perjuangan survival sebuah parti politik sahaja. Mereka lupa, melalui takrif Melayu dalam perlembagaan, Melayu itu sinonim dan seiring dengan Islam. Melalui takrif ini mereka yang bukan Islam tidak layak dipanggil Melayu. Mereka yang masuk Islam kemudian sudi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa harian dan mengamalkan cara hidup yang selari dengan adat-istiadat dan ideal-ideal Melayu pula dikira sudah ‘masuk’ Melayu.





Objektif

Acara ini dibuat untuk mencapai beberapa matlamat :-


       1. Menaikkan kesedaran tentang kedaulatan Melayu Islam tanpa mengira latar belakang dan kecenderungan politik

      2. Memberi faham tentang kenapa umat Melayu di Malaysia khususnya, umat Islam seluruh dunia umumnya sering diasak dari pelbagai arah oleh musuh-musuh.

      3. Menggali sejarah Melayu yang dikaburkan akibat penulisan serong Barat (baca : penjajah) dijadikan rujukan rasmi sejak beberapa dekad

 4. Menaikkan jati diri anak-anak Melayu agar dapat menjadi manusia yang lebih berguna kepada agama, bangsa dan negara.

      5. Meningkatkan persediaan menghadapi segala kemungkinan akan datang akhir zaman.


Adalah menjadi harapan penulis dan ramai lagi pihak agar orang Melayu dapat bersatu mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara tanpa disempitkan oleh kecenderungan untuk menyokong mana-mana parti politik. Dalam hal ini elok kita mencontohi kaum Cina. Tak kira siapakah yang memerintah, siapakah yang mengaku mahu memperjuangkan bangsa mereka, kaum Cina tetap dapat mempertahankan bahasa, budaya juga sistem sekolah mereka. Kenapa premis yang sama tidak boleh kita bina untuk mendaulatkan budaya dan hak kita?








Penyertaan

Ramai ahli kumpulan budaya Melayu, persilatan, perkerisan, mereka-mereka dari pengajian pondok, juga aktivis-aktivis belia telah menyatakan penyertaan. Ada juga kenalan yang terdiri daripada golongan artis seperti sejumlah pelakon terkenal. Ada juga persatuan seperti Pusaka Purba Selangor dan Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur mahu mempamerkan koleksi keris. Ada yang sudi berkongsi ilmu secara sukarela, ada yang menawarkan khidmat tenaga empat kerat untuk menjadi sukarelawan tanpa dipinta. Malah sudah ada yang mahu menaja reka bentuk dan pembuatan banner/bunting untuk acara.

Sukacita dimaklumkan dalam tempoh 48 jam selepas  HIKMAH diwar-warkan, 116 orang telah menyatakan akan datang dan 149 orang mungkin. Ini baru mereka yang dijemput daripada friends’ list atau senarai kawan penulis dari Facebook. Ramai lagi menyatakan akan datang sedangkan setiap mereka dijangka akan menarik beberapa lagi orang kawan untuk memeriahkan lagi acara. Maka walaupun jangkaan awal adalah untuk 200 orang peserta, sudah ada tanda-tanda jumlah kedatangan boleh melepasi 500 orang.

Sekali lagi biar disebut, acara diperkenalkan secara ad-hoc atas jaminan ada premis untuk dijadikan tempat aktiviti dengan reputasi dan rangkaian peribadi penulis sebagai daya penarik awal.  Penulis telah memberikan jaminan bahawa ini bukan acara politik atau bertujuan untuk menarik sokongan politik. Jaminan harus dibuat dan dipertahankan agar penyertaan ramai daripada berbagai latar belakang, ada di antara mereka mungkin berbalah pendirian politik dan pandangan hidup dapat dihimpunkan dalam satu wadah yang bertujuan semata-mata untuk mendaulatkan Melayu dan Islam. Adalah menjadi harapan penulis, semoga acara dapat diteruskan tanpa apa-apa gangguan yang boleh memesongkan matlamat.








 Print screen menunjukkan sambutan selepas acara diwar-warkan dua setengah hari iaitu pada jam 1 tengah hari Isnin 15 Oktober. Ketika ayat ini ditulis jam 2 petang, 141 orang telah menyatakan akan datang, 195 orang mungkin.






Atur cara majlis

Acara pertama HIKMAH sudah dipersetujui mahu diadakan pada hari Ahad 4 November 2012 iaitu seminggu selepas cuti hari raya haji. Masa yang dicadangkan adalah 9 pagi sehingga 1 petang. Atas makluman inilah ramai sudah memberikan komitmen mahu menyertainya. Ada pula yang mencadangkan agar ia dipanjangkan sehingga petang, ada yang mahu ia dijadikan acara dua hari. Tetapi penulis berpendapat elok dipanjangkan sampai ke 4 petang sahaja untuk memberi laluan kepada waktu solat Asar. Acara perlu dipanjangkan kerana ada pembentang yang tidak ada keluangan masa pada waktu pagi selain memenuhi permintaan mereka yang mahu mendapatkan manfaat lebih lama kerana tertarik dengan apa yang bakal dikongsi.

Oleh kerana acara ini masih baru diwar-warkan dan bersifat ad-hoc, atur cara lengkap belum dapat dirangka sepenuhnya. Penulis masih mengusahakan agar dapat didatangkan seorang wakil daripada Aceh yang arif sejarah sana dan kaitannya dengan kerajaan-kerajaan di Semenanjung, wakil yang mungkin seorang survivor peristiwa Tsunami 26 Disember 2004 yang telah melihat dengan mata kepala sendiri keajaiban yang berlaku akibat pertolongan Allah. Penulis juga berharap akan datang wakil dari Bentan atas inisiatif dan belanja sendiri untuk berkongsi hal keberadaan orang Melayu di sana. Namun atur cara tentatif sudah boleh dibuat berdasarkan maklum balas peserta juga mereka yang berminat untuk berkongsi ilmu.


8.30 – 9 : Kedatangan peserta/ pendaftaran

9-9.30  : Acara dibuka/ persembahan silat/ kata-kata aluan/ pengenalan

9.30- 1 : Pembentangan kertas kerja (akan diatur elok sebelum cuti Hari Raya Haji)

1. Bahaya syiah oleh penceramah yang dicalonkan penyedia premis

2. Sejarah penggunaan Dinar Emas – Amirul Mohamad, seorang lulusan undang-undang dari England yang kini menjalankan perniagaan konsultansi

3. Srivijaya dan benua Terengganu oleh seorang peneraju NGO belia di Terengganu

4. Simbolik perkerisan – Khairul Azhar, Yang Dipertua Pusaka KL

5. Satu pengalaman sebenar mencari makna dan jati diri Melayu – Radzi Sapiee (penulis dan pencetus acara)

1-2 : Rehat/makan tengah hari/solat Zuhur

2-3.15 : Sesi pembentangan petang :-

1. Motif pedang Zulfiqar di Alam Melayu – Zahamri Nizar, aktivis Yayasan Restu yang sedang menyambung pengajian peringkat sarjana di Universiti Malaya. Kertas kerjanya pernah terpapar dalam satu terbitan di Jakarta kemudian mendapat perhatian cendekiawan terkenal dunia, Dr Annabel Teh Gallop dari British Library sehingga sanggup membiayai pembentangan kertas pada satu seminar antarabangsa di Aceh.

2. Busana tradisional Melayu – Prof Dr Siti Zainon, aktivis terkenal budaya.

3. Peranan Melayu Islam akhir zaman – Radzi Sapiee

3.15-3.45 - Acara berkumpulan.

 Peserta boleh mengambil sudut dan tempat mengikut kecenderungan masing-masing seperti persilatan, perkerisan, kebudayaan, salasilah keluarga, busana tradisional, budaya, seni khat dan sebagainya. Ini adalah lanjutan daripada interaksi kumpulan-kumpulan ataupun groups di Facebook di mana ahli-ahli sering bertukar-tukar pendapat tetapi ramai tidak pernah bertemu muka di dunia nyata. Acara ini adalah peluang untuk mereka lebih mengenali antara satu sama lain. Sambil itu mereka boleh saling ‘mengintai’ aktiviti kumpulan lain.

Tiap-tiap kumpulan akan diberikan pen/pensil dan kertas untuk menyatakan maklum balas dan cadangan untuk membaiki acara dan apakah harapan mereka, apakah sumbangan yang boleh dibuat demi mendaulatkan Melayu dan Islam.

3.45  : Penutup. Resolusi dibuat berdasarkan maklum balas kumpulan.

4 : Bersurai namun peserta boleh memilih untuk berlegar-legar di dewan meneruskan acara secara sendiri-sendiri.

Penyedia premis telah mencadangkan agar penulis membuka gerai untuk mempamerkan/menjual koleksi buku tulisan sendiri. Namun penulis mencadangkan agar peserta lain juga dibenarkan membuka gerai pameran/jualan asalkan sesuai dengan objektif HIKMAH.


Yang benar,

Radzi Sapiee                                                                                                                           





---------------------



OK. Lagi satu nak beritahu, premis acara HIKMAH 4 November ini mahu dialihkan ke tempat yang lebih menarik berdekatan pusat bandar raya Kuala Lumpur atas cadangan pengerusi. Ahli mesyuarat merangkap jawatan kuasa ad hoc acara pula menerima cadangan saya agar ia dipanjangkan sehingga ke petang. Adapun pada jam 11 malam iaitu sejurus selepas selesai menaip ayat di atas, saya dapati 158 orang telah menyatakan akan hadir, 217 menyatakan mungkin. Kelihatan jumlah akan bertambah dan terus bertambah sehingga sampai waktu acara. Diharap semua yang menyatakan kehadiran dapat mengotakan kata-kata ya. Untuk menyemak sendiri kenyataan saya ini sila klik badge di bawah. Selamat malam.