Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...
Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.
Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...
Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-
Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.
Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...
Merujuk pada artikel Pelbagai hal dalam 2 minggu kebelakangan yang dipersembahkan pada petang Khamis 29 Mei iaitu 2 hari lalu. Disebut pada permulaan artikel bahawa ada majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang berlaku hari sebelumnya (Rabu 28 Mei) mahu dikongsikan cerita. Tetapi hati ini menyuruh mengeluarkan terlebih dahulu cerita tentang beberapa aktiviti yang dilakukan dalam tempoh 2 minggu kebelakangan. Setelah dilepaskan rasa cadangnya hendak menulis lalu mengeluarkan artikel tentang majlis di ISTAC selewatnya semalam Sabtu 30 Mei. Tetapi disebabkan kesibukan berselang-selikan kepenatan tak sempat.
Sebetulnya saya sudah memulakan permusafiran baru pagi Khamis. Artikel Pelbagai hal dalam 2 minggu kebelakangan sebenarnya ditulis di Kuala Selangor. Selepas itu ke Sungai Besar diikuti Sabah Bernam kemudian Bagan Datoh di mana dibuat persinggahan ke jeti Beting Beras Basah hingga selepas Maghrib malam Jumaat. Selepas itu ke Lumut sebelum beriktikaf bermalam di masjid Segari. Esoknya pagi Jumaat buat persinggahan ke beberapa tempat sebelum menunaikan solat Jumaat di Gunung Semanggol. Kemudian bergerak masuk ke Pulau Pinang, terus ke Georgetown lalu bermalam.
Tadi sebelum Subuh berjalan kaki dari tempat penginapan ke Masjid Lebuh Aceh lalu solat berjemaah. Sekarang ada sedikit kelapangan. Biarlah dibuat penulisan ini dari tempat penginapan.
Biar cerita perkongsian ilmu kali ini dimulakan dengan gambar motosikal besar kesayangan yang diparkir di hadapan pejabat lama saya The New Straits Times, Jalan Riong, Bangsar. Dahulu, ketika bertugas sebagai wartawan tahun 1996 hingga 2001 memang biasa diparkir sekitar ini. Sehingga ramai yang pernah bekerja mengingati sebagai 'motosikal legenda'. Ramai masih ingat kehadiran saya yang 'tidak konvensyional' selalu memakai jaket kulit hitam lusuh ketika bermotosikal, jaket yang dibeli di London ketika awal masuk ke University College of London tahun 1991.
Seperti biasa, kalau dah ke situ mesti makan nasi beringin di medan selera dalam bangunan sebelah. Semasa masih di NST dahulu nasi disediakan dan dimakan di warung di selekoh sebelah parkir tadi. Selepas meninggalkan NST atas sebab tertentu melibatkan politik pejabat penghujung tahun 2001 saya masih tetap sesekali datang untuk makan. Cuma dihalang daripada masuk ke dalam premis NST selagi satu hamba Allah masih memegang teraju syarikat.
Selepas beberapa tahun baru boleh masuk melihat ke dalam seraya menjengok kawan-kawan lama. Tetapi baru tahun lepas gitu tak boleh masuk lagi. Katanya kena minta kebenaran khas diluluskan pejabat. Sehingga kawan wartawan mengajak masuk sekalipun dari pintu hadapan pun tetap tidak dibenarkan, kalau tidak kebenaran dari dalam.
Oh. Saya sampai ke medan selera dekat jam 1.30 petang. Jam 2 lebih baru sampai ke ISTAC.
Hari itu Rabu 28 Mei 2025. Kalau hari Jumaat insyaallah sudah sampai selewatnya jam 1 petang untuk menunaikan solat Jumaat.
Majlis kali ini adalah tentang reading atau bacaan daripada kitab Muqaddimah tulisan tokoh ilmuwan Islam yang dikenali sebagai Ibnu Khaldun. Mengulas dan menyampaikan adalah Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang mengetuai unit kajian ketamadunan Alam Melayu di ISTAC.
Seperti beberapa majlis di ISTAC yang dihadiri sebelum ini beliau juga menjadi pengelola kalau tidak pun sekali menyampaikan ilmu. Lihat artikel-artikel berikut :-
Majlis kali ini dihadiri oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Baginda adalah Canselor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), badan yang menaungi ISTAC namun hadir sebagai seorang pelajar. Ini kerana sudah menjadi pelajar sarjana di ISTAC sejak penghujung tahun lalu. Untuk pengetahuan Murad adalah penyelia tesis baginda.
Adapun majlis ini merupakan yang pertama dalam siri pembacaan atau penelahan terhadap kitab Muqqadimah. Insyaallah ia akan berpanjangan dibuat secara berkala sehingga 12 bulan akan datang. Sambil mengulas perkara serta asbab mengadakan siri Murad menunjukkan 3 jilid kitab Muqqadimah yang dipinjam dari perpustakaan ISTAC iaitu Syed Naquib al-Attas Library. Ia dinamakan sempena pengasas ISTAC, kini bergelar Profesor Diraja, satu-satunya di Malaysia selepas almarhum Profesor Ungku Aziz, bapa saudara Syed Naquib.
Murad bercakap terus tanpa slaid. Satu-satunya slaid yang dipaparkan sekadar menunjukkan tajuk majlis dan nama pengulas, buku dan satu muka surat dalam. Beliau mengingatkan majlis diadakan dalam Ibnu Khaldun Conference Room, bilik mesyuarat yang diberi nama sempena tokoh sedangkan hari sebelumnya iaitu 27 Mei adalah tarikh lahir tokoh (27 May 1332 Masihi menurut kiraan Barat). Buku yang dirujuk adalah terjemahan daripada kitab asal berbahasa Arab. Terjemahan dibuat oleh Franz Rosenthal, sarjana Jerman berbangsa Yahudi. Kata Murad nama Ibnu Khaldun sangat terkenal dalam bidang-bidang berkenaan di universiti-universiti Barat termasuk di University of Minnesota, tempat beliau menyambung pengajian suatu masa dahulu. Malah dunia Baratlah yang sebenarnya mengangkat nama Ibnu Khaldun lalu memperkenalkannya kembali kepada dunia Islam. Cuma sayangnya, walaupun kajian dan penulisan Ibnu Khaldun diangkat tinggi, ia tidak diberikan pengiktirafan sebenar.
Menurut Murad, Ibnu Khaldun yang hidup tahun 1332 hingga 1406, dan mengelurkan kitab Muqqadimah pada tahun 1377 adalah pengasas sebenar apa yang disebut dalam dunia Barat sebagai the new sciences, ilmu-ilmu sains baru. Ini merujuk pada bidang-bidang kemanusiaan (humanities) seperti ilmu antropologi, sosiologi dan sebagainya. Faham saya, ia disebut new sciences kerana adalah baru berbanding ilmu-ilmu sains sebelum itu seperti kimia dan fizik yang lebih merupakan kajian terhadap fenomena alam lalu kini lebih dikenali sebagai natural sciences (ilmu-ilmu sains semulajadi). Barat, bergantung pada negara atau puak mana di Eropah (Ameria Syarikat belum lagi wujud ketika itu) yang mengangkat sering menyebut nama-nama seperti Francis Bacon (hidup 1561-1626) sebagai pengasas new sciences. Sedangkan mereka semua hidup lama terkemudian selepas Ibnu Khaldun kembali ke rahmatulallah.
Kata Murad, penafian terhadap Ibnu Khaldun ini sampai ke peringkat ada sarjana Barat menuduh Ibnu Khaldun memplagiat daripada sarjana seperti Bacon. Pun begitu dunia Barat tetap berjasa mengangkat nama dan kajian Ibnu Khaldun. Ini jauh lebih baik daripada apa yang berlaku di negara kita sendiri Malaysia. Kata Murad, Ibnu Khaldun langsung tidak mendapat tempat dalam bidang-bidang berkenaan. Yang diangkat cuma kajian-kajian daripada tokoh-tokoh Barat.
Dikongsikan sedikit asal usul Ibnu Khaldun sebagai seorang yang lahir di Tunisia, Afrika Utara namun berasal daripada satu keluarga Hadramaut, Yaman yang berhijrah ke Andalusia. Disebut tentang bagaimana selain beliau tokoh-tokoh ilmuwan seperti Ibnu Sina, Ibnu Rushd dan Al-Ghazali harus dibincangkan di universiti. Kena ada kursus-kursus tersendiri tentang mereka. Dinyatakan Ibnu Khaldun sebagai seorang tokoh pelbagai bidang, termasuk ekonomi dan politik, lalu banyak pengalaman sebenar membantu selain kesarjanaan semasa. Diberikan sedikit pengenalan tentang isi buku dan tajuk-tajuk bab. Untuk lebih perincian sila tonton video bawah...
Salam. Ada majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) berlaku semalam yang mahu dikongsikan cerita. Tetapi hati ini menyuruh mengeluarkan terlebih dahulu cerita tentang beberapa aktiviti yang dilakukan dalam tempoh 2 minggu kebelakangan.
Petang Ahad 18 Mei 2025 saya dan isteri pergi ke rumah baru rakan sepejabat isteri di Sungai Tengi untuk satu perjumpaan kawan-kawan, keluarga dan makan-makan.
Kami pergi dengan motosikal besar kesayangan yang sudah 29 tahun dimiliki.
Dari situ ikut jalan dalam berdebu, jalan kebun dan kolam hingga ke Bukit Beruntung lalu menyeberang Sungai Selangor di satu bahagian. Ini pun dah lama simpan hajat, setelah terlihat laluan dalam Google Map beberapa tahun lalu. Lihat Selangor river from a dusty route north near Kampung Kuala Kerling.
Pagi Selasa 20 Mei naik motosikal ke Klang membawa isteri yang ada urusan kerja di satu cawangan pejabat syarikat beliau. Sementara menunggu selesai berjalan-jalan di pusat bandar raya lalu ke Masjid Diraja Klang.
Beriktikaflah sambil menyambung bacaan Al Quran bagi bulan Zulkaedah juga penulisan tesis di ISTAC.
Nak dijadikan cerita terlupa hendak mencabut kunci motosikal dalam keadaan suis dan lampu hidup sedangkan 3 jam beriktikaf di masjid. Akibatnya habis langsung cas bateri. Sampai lampu kecil gear neutral pun tak boleh menyala.
Nasib baik dapat jump start dari laluan menurun masjid. Dapatlah dibawa beberapa kilometer, dalam keadaan hujan lebat, sebelum harus mengecas bateri di sebuah bengkel. Itupun selepas satu jam menunggu sambil membaca lagi Al Quran tak juga cukup untuk menghidupkan enjin setakat dapat lampu neutral dan depan hidup. Orang bengkel pun menolong menolak untuk buat jump start. Dapatlah mengambil isteri kembali ke rumah.
Selain itu motosikal juga didapati menghadapi masalah ada kebocoran minyak petrol turun halus tapi kelihatan nyata selepas ditinggalkan semalaman. Petang Khamis 22 Mei hantar ke bengkel di Rawang. Disebabkan itu esoknya Jumaat 23 Mei pergi ke ISTAC menaiki kereta untuk bersolat Jumaat juga mengikuti majlis ilmu. Alhamdulillah dapat mengkhatamkan bacaan Al Quran bagi bulan Zukaedah. Lihat Forum tentang semangat ketamadunan Palestin dan Al-Aqsa - Apa yang kita boleh buat?
Pagi Sabtu 24 Mei keluar ke bandar raya Kuala Lumpur lagi. Kali ini bersama isteri yang ada majlis perjumpaan kakitangan syarikat lamanya di Keramat. Saya pun mengambil peluang untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang baru bermula hari sebelumnya. Nak parkir kereta di sekitar agak susah dan sibuk lalu isteri membawa kereta ke majlis. Lewat petang baru saya kembali mengambil alih. Lihat "Bertapa" di Pesta Buku Antarabangsa KL 2025
Pagi Ahad 25 Mei, selepas bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya, pergi menemani isteri ikut aktiviti syarikat mendaki bukit di hutan simpan Bukit Gasing. Lihat Climbing up the hills at Bukit Gasing.
Namun yang didaki itu bukanlah bukit utama dan tertinggi di hutan simpan. Yang tertinggi malah boleh naik dengan kereta sehingga hampir ke puncak dijejaki selepas itu. Lihat Views from the actual Bukit Gasing.
Petang itu ambil motosikal keluar dari bengkel lalu timbul rasa untuk ke satu tempat melihat pemandangan dari atas tangki air. Lihat Views from a water tower at Bukit Sentosa.
Petang Isnin 26 Mei pula tiba-tiba timbul rasa hendak menaiki motosikal lagi satu, motosikal kecil untuk melihat perkembangan satu projek industri di kampung berdekatan rumah yang menyaksikan banyak bahagian ladang dan hutan bukit bukai telah menjadi lapang. Lihat Checking out earthwork progress at Kampung Sungai Buaya.
Salam semua. Ini pun lambat nak kongsi. Cerita berlaku beberapa hari lalu, tentang acara yang masih berlangsung lagi.
Pagi Sabtu 24 Mei 2025 saya ke World Trade Centre atau lebih dikenali sebagai PWTC. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 baru sahaja bermula hari sebelumnya Jumaat 23 Mei. Kalau tak salah acara tahun ini sudah masuk edisi yang ke-45.
Sejak bergelar penulis buku tahun 2006 boleh kata hampir setiap tahun terlibat dengan acara. Saya telah menulis 15 tajuk buku setakat ini. Seringkali suatu penerbitan dibuat untuk mengejar tarikh acara. Pesta buku KL menjadi tempat promosi utama. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Tahun ini saya datang sebagai pengunjung biasa sahaja. Tiada kelapangan untuk menulis dan menghasilkan buku baru kerana penumpuan sedang diberikan pada penulisan tesis PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Tengok-tengok ada satu kawasan yang sebelum ini setakat tempat lapang telah didirikan kemah tambahan.
Masuk ke dalam kemah...
Sini pun dah cukup meriah...
Dari kemah menyeberang masuk ke dewan ini. Tak ingat nama dewan, cuma tahu yang ini sering digunakan untuk perhimpunan agung UMNO.
Ketika itu baru jam 10.44 pagi namun kemeriahan semakin terasa.
Dekat sejam setengah jugalah "bertapa" sebelum bergerak kembali bagi melihat suasana di bahagian lain bangunan.
Sebagai seorang penulis jiwa saya tidak dapat lari daripada dunia penulisan buku.
Saya bukan sekadar menulis, saya membuat suntingan, reka letak isi malah sudah beberapa kali membuat sendiri rekaan kulit buku dan grafik.
Malah 8 daripada 15 tajuk buku saya diterbitkan sendiri lalu sudah juga mengatur sendiri permohonan nombor pendaftaran buku, cetakan, edaran, jualan dan promosi.
Pendek kata saya sudah terlibat dalam setiap langkah proses penerbitan hingga jualan selain menulis buku.
Sebetulnya ada juga sedikit rasa sedih kerana tiada buku baru untuk tahun ini.
Oleh itu dapat meresap rasa kemeriahan orang lain pun jadilah. Dapat memberikan kegembiraan buat diri...
Sampai di reruai kerajaan negeri Selangor jam 12.35 tengah hari saya ditunjukkan satu tempat duduk yang mana boleh menumpang cas komputer riba yang ketika itu sudah tinggal 20% kuasa bateri.
Sambung lagi "bertapa", kali ini dengan kerja penulisan tesis PhD...
Dekat satu setengah jam baru berjalan lagi melihat suasana.
Jam 3.20, selepas makan tengah hari lewat, "bertapa" buat kali ketiga untuk menyambung penulisan tesis. Sebenarnya begitulah keadaan saya di mana-mana sejak lebih sebulan kebelakangan ini. Sekurang-kurangnya bergerak juga kerja, setelah beberapa lama tidak mendapat rentak lalu asyik termangu di hadapan komputer riba. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,666 di CATATAN SI MERAH SILU.