Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Januari 30, 2008

Salam daripada Lumut, Perak... Salam Perak Man, hehe!

Gambar yang diambil di Muzium Arkeologi di Lenggong, Perak ini menunjukkan gambaran Perak Man, orang purba Perak yang tulangnya ditemui di sekitar kawasan itu. Tulang itu dipercayai berumur berpuluh ribu tahun lalu diambil sebagai bukti Perak sudah lama didiami manusia. Biodata Perak Man yang dapat digapai melalui kajian saintis pun dipaparkan dalam bentuk kad pengenalan My Kad. Mungkin juga ini boleh dijadikan bukti bahawa penyelewengan daftar pilihanraya telah berlaku lama sejak zaman-berzaman?
Bayangkan, jika Perak Man yang sudah mati berpuluh ribu tahun pun ada My Kad yang boleh digunakan untuk mengundi, bagaimana pula mereka-mereka yang diketahui telah mati cuma beberapa tahun lalu... Bagaimana pula tentang warga-warga asing yang menurut ceritanya senang-senang diberi MyKad supaya menyokong pihak tertentu? Hehe! :]

Assalamualaikum semua... Saya kini berada di Lumut, menulis daripada sebuah Internet Cafe yang baru didirikan di tengah pekan... Kalau tidak, seseorang itu perlu berjalan hampir 1km ke Blue Bay (betul ke nama ini? Ingat-ingat lupa) untuk ke Internet Cafe terdekat dan itulah yang saya lalui kali terakhir berada di Lumut setahun lalu.
Oh... Sengaja saya gunakan gambar di atas sebagai hiasan kerana satu, saya tidak dapat memaparkan apa-apa gambar tentang Lumut. Sebabnya kerana saya belum dapat mengalih gambar-gambar terbaru yang diambil dengan kamera digital (dalam SD memory card) kepada thumb-drive. Sebab kedua, timbul rasa hendak mengarut sedikit apabila melihat gambar MyKad Perak Man itu yang termasuk dalam gambar-gambar yang sempat dialihkan melalui laptop di rumah seorang rakan di Sungai Siput 2 hari lepas.
Selalunya, saya akan terus mengalihkan gambar daripada kamera masuk ke komputer seterusnya thumb-drive pada setiap malam sesuatu perjalanan tetapi semenjak hampir sebulan ini saya tidak dapat berbuat begitu akibat kerosakan yang berlaku pada laptop milik saya, laptop yang terpaksa ditinggalkan di sebuah kedai di Kuala Lumpur sejak seminggu lalu untuk diperbaik-pulihkan.
Hmm... Bercakap tentang laptop ini, saya rasa pernah menyebut bahawa ia mula menghadapi masalah tidak dapat dihidupkan setelah sampai ke Kluang. Kemungkinan besar ini disebabkan beg besar tempat laptop ini disimpan jatuh beberapa kali dalam perjalanan bas buruk yang sering tersenggut-senggut daripada Mersing ke Kluang terutama apabila melalui jalan berliku-liku.
Bila sebut tentang Mersing ini, rasanya elok juga diletakkan sedikit gambar berkaitan kerana saya baru sahaja menyiapkan satu artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH , satu lagi di
SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Ini gambar-gambarnya...


Pembaca juga boleh masuk balik ke artikel Salam daripada Mersing pula! yang dibuat sebulan lepas. Adapun di masjid inilah saya mengalami "kemalangan bodoh" yang menyebabkan muka saya berdarah lalu dinukilkan sedikit ceritanya dalam Salam daripada Mersing pula! Biar saya copy and paste di sini ya...



Oh... Sahaja nak mengadu agaknya... Bibir depan atas saya sedang bengkak dengan sedikit darah juga di gusi dan bahagian hidung yang tercalar. Inilah bahana tadi saya memanjat pagar batu masjid untuk mengambil gambar-gambar yang dirasakan menarik terutama gambar-gambar pulau-pulau di perairan Mersing. Dalam seronok berjalan, saya terlupa yang badan saya yang sedikit demam-demam sebenarnya agak kepenatan sehingga langkah saya mula sumbang.
Selesai mengambil gambar, saya melompat ke bawah. Ketika itu, beg sandang kecil yang mengandungi komputer laptop (beg besar dan sebuah beg lain telah ditinggalkan di hotel awal sebelumnya) pun bergoncang lalu saya menggunakan kedua-dua tangan yang ditarik ke belakang untuk mengstabilkan beg itu kembali...
Sambil itu kaki saya melangkah untuk melompat naik ke satu aras bahagian jalan dan tempat letak kereta bertar di hadapan masjid. Ketika itulah saya tergelincir dan buat pertama kali seumur hidup, berdebuk saya jatuh dengan muka di bahagian hidung dan mulut menyentuh tar terlebih dahulu sebelum bahagian lain jatuh! Allah! Sakit sungguh... Langsung tak sempat bertongkatkan tangan mahupun siku. Selalunya kalau terjatuh, saya sempat mengalih tubuh badan supaya mana-mana bahagian yang sensitif terlindung dan selamat. Kali ini langsung tidak!
Tetapi dalam kesakitan sehingga saya terduduk lama di tepi jalan berhadapan serambi masjid memikirkan apa yang berlaku, saya cuma berzikir subhanallah dan alhamdulillah sahaja! Alhamdulillah, ini bermakna sudah ada peningkatan dalam perjalanan musyahadah saya di mana saya bersyukur dengan kesakitan ini... Bersyukur kerana mungkin ia adalah satu kesakitan kecil berbanding dengan bala-bala yang lebih besar yang mungkin sahaja boleh berlaku bila-bila masa sahaja pada saya tetapi telah dijauhi Allah. Maklumlah, saya dah jauh berjalan dan dilindungi Allah. Tentu kurang sopan kalau timbul walau sedikit pun rasa kesal oleh kerana diberi sedikit kesakitan sedangkan selama ini Allah telah menjaga saya dalam banyak keadaan yang lebih mencabar. Dan syukur juga kerana saya dapat mengingati Allah, bukan keluar maki hamun atau marah-marah.
Mungkin juga saya kena menerima kesakitan ini akibat tidak mempedulikan keadaan.... Terus sahaja berjalan-jalan mengambil gambar di atas tembok masjid ketika imam sedang membaca khutbah kemudian melompat ke bawah dan terus bergerak melangkah tanpa berhenti untuk memerhatikan keadaan sekeliling sehingga timbul sedikit riak akibat langkah saya yang dirasakan selalunya mantap... Siapa tahu, bila-bila masa sahaja Allah boleh membuat langkah kita jadi sumbang sehingga jatuh berdebab tanpa sebab?


OK... Berbalik pada cerita "Salam daripada Lumut, Perak"... Sebelum itu, saya minta maaf kerana gambar Perak Man tadi tidak cukup terang akibat pantulan cahaya lampu. Apapun anggaplah ia sekadar nukilan main-main walaupun apa yang disebut itu mungkin benar-benar berlaku, hehe! Terus-terang saya cakap saya benci dunia politik... Saya kenal ramai orang berkedudukan VVIP dalam dunia politik tetapi tak ingin lagi ambil tahu kerana sudah menyampah... Lebih baik bercakap tentang perkara-perkara melibatkan hati daripada buang current bercerita tentang dunia bohong... Malah lebih elok berceloteh begini bercerita tentang perjalanan dan pengembaraan. Semoga ada yang dapat menangkap mesej tersirat terutama yang melibatkan hal-hal keTuhanan di sebalik penceritaan santai ini...

Hmm... Saya sebenarnya membuat posting ini sekadar untuk menerangkan secara ringkas akan perjalanan yang dilalui baru-baru ini... Dalam Sekali lagi, salam daripada Sungai Siput! saya sekadar dapat membuat update perjalanan sehingga satu round-trip lebih 260km yang dibuat hari Jumaat meliputi banyak makam-makam lama termasuk 10 orang Sultan Perak. Maka biar diberitahu, esoknya hari Sabtu saya telah pergi ke Lenggong untuk bermalam di kampung seorang rakan di Kampung Cha'in. Dalam perjalanan ke sana sempat menziarahi sebuah makam misteri di tepi Tasik Raban.


Oh... Gambarnya telah selamat dialih ke thumb-drive. Rasanya boleh letak di sini... Ini dia...



Hari seterusnya Ahad, saya dan rakan itu, Asri pun memulakan perjalanan mencari dan menziarahi makam-makam lama di sekitar Lenggong... Bermula dengan Makam Tok Sendalu dan Mak Tok Lalang di Luat, singgah sebentar di Muzium Arkeologi Lenggong di mana gambar Perak Man tadi diambil seterusnya ke Kampung Chegar Galah untuk menziarahi Makam Tok Jawang, Makam Tok Terosor dan Makam Menteri Syarif Shamsuddin.

Untuk menziarahi Makam Tok Terosor kami terpaksa meredah belukar yang penuh semak... Ketika hendak kembali ke kereta, kawan saya pula tercicir kunci. Nasib baik dapat juga jumpa setelah lama mencari. Kemudian baru ke Makam Tok Jawang di mana seperti di Makam Tok Terosor, kami juga terpaksa menebas dan membersihkan kawasan makam yang begitu bersemak. Setelah itu baru kami kembali ke Kampung Chain untuk menziarahi Makam Tok Busu Sega.

Sebenarnya petang Sabtu sebelumnya kami sudah pergi mencari makam ini tetapi tidak berjumpa walaupun menurut Asri dan penduduk tempat, makam itu boleh kelihatan daripada tepian jalan. Tetapi hari Ahad itu baru kami dapat menemuinya, mungkin sebagai sambungan kerja membersihkan dan menebas belukar di kawasan Makam Tok Terosor dan Tok Jawang, baru boleh "ditemui" dan membersihkan Makam Tok Busu Sega. Untuk pengetahuan, kecuali Menteri Syarif Shamsuddin, kesemua makam-makam ini adalah milik anak cucu keturunan watak legenda bernama Tun Saban yang pernah memerintah Hulu Perak lebih 400 tahun lalu!

Ah... Sekali lagi jadi panjang pula bercerita. Biar diringkaskan...

Pada Ahad malam Isnin, kembali dari Kampung Chain ke Sungai Siput rumah Asri. Esoknya Isnin ikut dia ke Ipoh kemudian baru ambil bas melalui Parit ke Beruas. Daripada Beruas dapat hitchike lori sejenak sebelum terpaksa turun akibat lori berpatah balik kerana ada pemeriksaan JPJ sedikit ke hadapan. Kalau ikutkan saya boleh ambil jalan senang terus menaiki lori kerana ia memang mahu ke Lumut walau harus menurut jalan lain tetapi saya berjanji kepada diri sendiri harus melalui Pengkalan Remis.

Setelah berjalan kaki beberapa jauh baru dapat menumpang lori ke Batu Hampar kemudian menaiki kereta ke Pengkalan Baru. Singgah di masjid sebelah Sungai Beruas mandi dan bersolat sebelum berjalan kaki melalui Pengkalan Remis dan terus lagi sampai malam sehingga menghampiri simpang ke Air Tawar berhadapan bukit-bukit Segari. Kemudian baru menumpang kereta sehingga ke masjid lalu bermalam di sana.

Selasa semalam le, saya pergi ke Baitul Hilal tempat melihat anak bulan di Pasir Panjang, melalui jalan ke logi janaeletrik Segari... Masuk sebentar ke hutan simpan di situ untuk berbaring di bawah pohon Beruas kemudian baru ke tempat penetasan telur penyu... Best woo tengok penyu hidup berenang... Ada dekat 20 ekor kat situ.

Kemudian baru keluar menumpang motor orang sampai ke Kampung Batu Tiga, berjalan kaki untuk ke Damar Laut... 1 km terakhir baru naik bas kemudian naik bot menyeberangi Sungai Dinding lalu ke Lumut.

Atas saranan seseorang yang istimewa, semalam saya bermalam di rumah seorang saudaranya. Selepas Zuhur, saudara itu menghantar saya ke bandar Lumut kerana saya memberitahu cuma akan bermalam satu malam sahaja di sini kerana mahu meneruskan perjalanan ke Teluk Intan. Tetapi apa yang terjadi, tercongok lama pula saya membuat postings di blogspots... Semasa menulis ayat ini, sudah masuk jam 6.31 petang... Rasanya sudah tertinggal bas terakhir ke Teluk Intan.

Nampaknya seperti yang berlaku di Mersing sebulan lepas, kemungkinan besar saya terpaksa bermalam satu malam lagi di sini. Hmm... Mungkin lebih senang bermalam di masjid jamek yang terletak di tengah pekan. Lagipun di situlah saya biasa bermalam apabila berada di Lumut. Sekian! :]

Berbalik ke Kota Tinggi...

Subhanallah dan assalamualaikum semua. Kalau tak salah ingatan, daripada minggu lepas lagi saya ada menyebut ingin menyambung cerita tentang perjalanan pusing Johor meliputi 8 daerah utama yang tamat sejurus sebelum masuk 1 Muharam 1429 iaitu 3 minggu lalu. Nampaknya perhatian saya sering dialihkan pada perjalanan terkini di utara yang masih berjalan lagi sehingga ke hari ini. Maka itu biar terus saya melompat ke sambungan yang sepatutnya ya...
Oh... Kali terakhir saya bercerita tentang Johor dalam blogspot ini adalah di artikel bertajuk Nostalgia di tengah bandaraya Johor Bahru . Selepas bermalam di JB, saya pun pergi ke Kota Tinggi. Maka biar kita "berbalik ke Kota Tinggi" ya...

Pemandangan di stesyen bas Kota Tinggi. Kalau tak salah ingatan, saya meninggalkan Johor Bahru sejurus selepas waktu makan tengahari. Lebih sejam kemudian sampailah ke Kota Tinggi...

Tetapi saya sebenarnya belum makan tengahari dan perut pun mula terasa lapar. Maka perkara pertama di buat di Kota Tinggi adalah mencari tempat makan yang dirasakan sesuai. Ternampak pula restoran yang kelihatan menarik ini... Menarik kerana memakai nama Batu Sawar yang merupakan nama sebuah kota lama yang pernah menjadi pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau dahulukala.

Apabila saya masuk ke restoran, ternyata di dalamnya terpapar banyak gambar dan informasi berkaitan sejarah lama Johor. Apalagi, saya pun makan di situ seraya membelek-belek informasi dan gambar yang ada. Ceritanya telah saya nukilkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH bawah tajuk Historic Kota Tinggi, once the seat of the Johor Empire...


Selesai makan saya pun terus berjalan-jalan. Semasa di JB, saya sempat membelek-belek peta bandar Kota Tinggi lalu dapat "menghadam" kedudukan makam-makam lama milik watak-watak penting dalam sejarah Johor lama. Lalu saya dapati di antara makam-makam ini, makam milik Laksamana Bentan adalah yang paling dekat daripada pusat bandar. Lalu saya menuju ke arah itu...

Oh... Saya sengaja mengambil gambar di atas kerana tertera nama Jalan Tun Sri Lanang. Adapun, Tun Sri Lanang dikenali ramai sebagai penulis kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang banyak memperkatakan sejarah kerajaan dan Raja-raja Melayu daripada zaman sebelum kemunculan Melaka sehingga ke abad 18 Masihi... Beliau adalah seorang Bendahara Johor yang berasal daripada keturunan Bendahara-bendahara Melaka...


Perjalanan ke Makam Laksamana Bentan ini menyusuri Sungai Johor. Selepas menyeberang jambatan di dalam gambar ini menghala ke barat, saya terserempak dengan seorang penduduk tempat berumur sekitar 50an. Melihat keadaan saya yang ternyata musafir dengan beg besar di belakang (juga sebuah lagi beg di tangan mengandungi beberapa naskah siri buku "Berpetualang ke Aceh"), dia mengajak saya bermalam di rumahnya.

Hmm... Elok juga itu. Tak perlu bersusah-payah mencari hotel atau menumpang di masjid. Lagipun rumahnya terletak tidak jauh daripada Makam Laksamana Bentan. Dan bukankah pertemuan ini juga termasuk di dalam Qada' dan Qadar Allah belaka? Maka ke rumahnya lah kami tuju...


Setelah berehat sebentar di rumah abang itu kemudian mandi dan menunaikan solat, baru kami keluar dengan abang ini menunjukkan arah. Kelihatan dalam gambar ini adalah abang yang mengajak saya bermalam di rumahnya.

Oh... Sebelum keluar rumah tadi, kami terpaksa menunggu isterinya kembali kerana dia tertinggal kunci rumah. Kemudian baru kami keluar berjalan kaki. Rupa-rupanya, Makam Laksamana Bentan terletak tidak sampai setengah kilometer daripada rumahnya. Cerita bergambar makam ini telah saya letak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 minggu lalu! Di bawah tajuk Makam (tomb) of Laksamana Bentan ...


Selesai ziarah ke Makam Laksamana Bentan, kami terus menuju ke Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Untuk pengetahuan, Sultan Mahmud ini adalah Sultan terakhir Johor daripada keturunan Raja-raja Melaka. Kalau tak salah ingatan, baginda dibunuh oleh Laksamana Bentan ketika sedang diusung pergi ke masjid untuk bersolat Jumaat. Sebab itu dipanggil Mangkat Dijulang...

Daripada Makam Laksamana Bentan yang terletak di Kampung Kelantan, kami berjalan lawan arah menyusuri Sungai Johor iaitu menghala ke kuala... Menghala sahaja... Kuala Sungai Johor terletak sekitar 40km daripada sini!

Daripada tepian sungai, kami belok ke utara lalu sampai ke stesyen bas tempat saya mula-mula turun tengahari tadi. Di tepi stesyen bas itu terdapat sebuah jambatan kayu menyeberangi sungai kecil. Kami pun menyeberang sebelum masuk lorong-lorong kecil di tepian rumah-rumah orang...


Tidak lama kemudian kelihatanlah kawasan permakaman yang mengandungi Makam Sultan Mahmud Mangkat DiJulang. Ceritanya telah diletakkan di dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pada Isnin, 14 Januari 2008. Tajuknya ialah Makam (tomb of) Sultan Mahmud Mangkat DiJulang ...


Daripada kawasan Makam Sultan Mahmud DiJulang, kelihatan pula "Pengkalan Kota" lama di tepian Sungai Johor ini. Di seberang sana, terletak sebuah lagi makam bersejarah, milik seorang wanita bernama Siti Aminah. Tetapi beliau dikenali sebagai Siti Jalang... Nama yang sungguh tidak senonoh bunyi. Ini kerana wanita cantik ini mengahwini 100 orang laki-laki!

Menurut ceritanya, 99 orang suaminya semuanya mati selepas malam pertama kahwin. Cuma laki-laki ke 100 yang dapat bertahan terus menjadi suami. Katanya kerana beliau cukup "berisi", memiliki ilmu yang boleh membatalkan ilmu "kuncian" yang ada pada Siti Aminah sehingga menyebabkan 99 orang suami sebelumnya mati!

Apapun hari sudah semakin lewat ketika itu. Kami pula mahu menuju kawasan pemakaman yang lain...


Menurut peta bandar Kota Tinggi yang saya lihat di JB, kawasan pemakaman yang ingin dituju seterusnya juga tidak jauh daripada Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Tetapi kami pula melilau-lilau mencarinya di kawasan lain kerana kehilangan arah. Rupa-rupanya kami sudah terlajak... Semasa berjalan tadi, kami telah bertegur-sapa dengan seorang kenalan wanita abang tempat saya menumpang itu. Lalu kami tidak sedar, di belakang wanita itulah terdapat papan-tanda kawasan makam yang ingin dituju, Makam Bendara Tun Habab, seorang cucu Tun Sri Lanang...

Untuk makluman, Bendahara Tun Habab hidup sezaman dengan Laksamana Bentan dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Oleh kerana Sultan Mahmud dikatakan tidak meninggalkan zuriat, maka anak Bendahara diangkat menaiki takhta menjadi Sultan Abdul Jalil IV!

Seorang lagi anaknya menaiki takhta Terengganu sebagai Sultan Zainal Abidin I. Anak-anak lain memegang jawatan-jawatan tertinggi istana termasuk Bendahara dan Temenggung yang baru. Keturunan Bendahara memegang Pahang sementara Temenggung memegang Johor. Pada penghujung Abad ke 19 Masihi, Bendahara Wan Ahmad mengangkat dirinya menjadi Sultan Pahang sementara Temenggung Abu Bakar menjadi Maharaja seterusnya Sultan Johor...

Oh... Cerita bergambar Makam Tun Habab ini juga sudah dinukilkan di dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih seminggu lalu. Tajuknya ialah Makam (tomb of ) Bendahara Tun Habab. Sekian ya! Fuh, lega dah settle cerita ni... Heh!