Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, June 25, 2021

Penyusunan dan pengurusan ilmu di universiti : Sudut pandang Islam

Salam awal pagi Jumaat 14 Zulkaedah. Lagi tentang majlis ilmu. Bersambung daripada artikel Pernyataan dan penyelesaian permasalahan dalam sejarah Malaysia.



Pagi semalam hingga selepas tengah hari berlangsung Webinar terbaru atas nama ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Seperti biasa majlis dianjurkan dalam bahasa Inggeris. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Penyusunan dan Pengurusan Ilmu  di Universiti : Sudut Pandang Islam".



Memperkenalkan majlis juga para panelis adalah Prof Dr Thameem Ushama. Beliau adalah dekan ISTAC. Biar dikongsikan secara ringkas apa yang dapat saya tangkap daripada majlis.



Panelis pertama, Datuk Dr Mohd Daud Bakar adalah presiden UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Beliau membuka dengan menyatakan kita harus keluar daripada definisi buku teks (textbook definition) Syariah yang menyempitkan maknanya kepada fungsi-fungsi keagamaan sahaja. Kata beliau harus dibesarkan definisi Syariah kepada makna yang lebih klinikal dan berfungsi (functional ones). Dan pendidikan harus dibuat untuk semua seperti dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW, bukan dijadikan ekslusif dan bersifat elitis. 

Tidak ada masalah melihat pendidikan daripada sudut komersial kerana ia harus memenuhi keperluan pembangunan masyarakat. Kita harus bergerak daripada sekadar mengurus ke arah kepimpinan yang mempengaruhi semua. Saya lihat beliau lebih menekankan kepentingan ilmu yang bersifat utilitarian. Beliau kelihatan cuma mementingkan ilmu-ilmu yang boleh dipakai dalam kehidupan biasa harian. 

Dengan itu universiti harus menyediakan manusia untuk memenuhi keperluan dunia pekerjaan merujuk pada keperluan industri yang bersifat kapitalistik. Beliau kelihatan seperti kurang menggemari teori dan hal-hal falsafah yang mungkin melebihkan alam fikir. Kelihatan seperti kalau ilmu tidak memenuhi keperluan industri maka ia tidak ada gunanya. Saya kurang bersetuju dengan cara fikir ini namun memahami bagaimana keperluannya timbul, antaranya supaya tidak ada mahasiswa menganggur.




Panelis kedua Prof Dr Anis Ahmad adalah timbalan canselor di Universiti Antarabangsa Riphah, Islamabad, Pakistan. Beliau membuka dengan persembahan slaid.



Selepas menyatakan pendekatan Islam adalah inklusif bukan ekslukif beliau menyebut bagaimana dunia sekarang berlumba-lumba dalam mencari ilmu pengetahuan. Tetapi ini lebih dalam konteks pembangunan ekonomi yang bersifat materialistik dan kapitalistik.


Ada sekitar 30 slaid dikongsikan untuk menyokong pembentangan.  Diberikanlah syarahan tentang ilmu, bagaimana daripada data atau maklumat membawa kepada ilmu pengetahuan yang seterusnya boleh membawa pada hikmah. Disebut tentang Wahyu dan bagaimana Islam membudayakan ilmu pengetahuan, tentang ilmu seperti disebut dalam Al-Quran. Dengan itu ilmu bukanlah sekadar untuk memenuhi keperluan industri dan sebagainya. 

Umat Islam harus menjadi penerbit ilmu, pengembang ilmu dan pemimpin ilmu mengikut acuan sendiri, bukan menurut acuan Barat yang dipakai merata akibat kolonialisma atau penjajahan terhadapan bahagian dunia yang lain. Ilmu juga harus dilihat dalam acuan Tauhid iaitu kesatuan, bukan berbagai-bagai sehingga boleh berantakan. Lihat slaid-slaid beliau dalam artikel Knowledge in Islam di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Panelis ketiga pula sepatutnya adalah Prof Dr Zaid bin Ahmad daripada Jabatan Pengajian Kerajaan dan Tamadun, Universiti Putra Malaysia (UPM). Tetapi disebabkan Prof Madya Dr Khairuddin Aljunied daripada Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) yang disenaraikan sebagai panelis keempat harus mengejar satu urusan lain beliau pun meminta untuk membentang terlebih dahulu.



Khairuddin yang turut menggunakan slaid membuka dengan menyatakan kita sepatutnya beralih daripada usaha mengIslamisasikan ilmu pengetahuan kepada usaha menjadikan ilmu lebih beretika. Mengambil pendekatan melihat melalui sejarah Islam beliau memberikan contoh bagaimana universiti-universiti lama seperti Al-Azhar di Mesir dan Al-Qarawiyin di Maghribi yang sudah berumur lebih 1,000 tahun dapat mencipta kecemerlangan walau tidak wujud perkataan Islam pada nama institusi. Turut diberi contoh beberapa universiti yang lebih muda tetap tetap berusia ratusan tahun, masih dalam dunia Islam tetapi di luar lingkungan Timur Tengah dan bumi pengaruh Arab. Kejayaan universiti-universiti ini menerbitkan bijak pandai yang berjasa patut dikaji dan dicontohi universiti sekarang. 

Antara sebab kejayaan adalah penekanan terhadap ilmu falsafah dan pendekatan ilmu yang bersifat Tauhid, tidak memisahkan ilmu-ilmu. Atas prinsip ini ilmuwan-ilmuwan dahulukala bersifat multi-discipline, boleh menguasai berbagai cabang ilmu kerana melihat semua ilmu saling berkaitan. Hal ini ada dikaji oleh penulis-penulis moden Barat juga penulis dalam dunia Islam. Lalu Khairuddin yang baru berumur 45 tahun berbanding para panelis lain yang berumur 60 tahun ke atas turut merujuk pada penulisan berkenaan oleh Zaid dan Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar daripada ISTAC (panelis kelima dan terakhir).   Lihat slaid beliau dalam artikel Knowledge and university from perspective of Islamic history



Sampai giliran Zaid untuk membentang beliau bercakap terus tanpa slaid. Zaid melihat tajuk (yang saya terjemahkan sebagai "Penyusunan dan Pengurusan Ilmu di Universiti : Sudut pandang Islam") itu sebagai cara mengstruktur, mengatur, membentuk dan mentadbir ilmu. Hal ini telah ditangani oleh para ilmuwan sejak dahulukala lagi menurut keadaan dan perkembangan ilmu pada zaman masing-masing.

Disebutlah tentang tujuan ilmu boleh terbahagi kepada dua perkara besar iaitu untuk memenuhi keperluan manusia, kedua untuk menyelesaikan masalah manusia. Dalam Islam ditambah lagi satu iaitu untuk menerbitkan orang yang bertakwa (God-fearing). Disebut pula tentang penyampaian ilmu lalu timbullah institusi-institusi seperti kolej, madrasah dan universiti sebagai alat untuk menerbitkan dan myampaikan ilmu. Di institusi terbit kaedah-kaedah bagi penyampaian ilmu.

Bagi beliau universiti adalah institusi di mana ilmu diterbitkan, disampaikan dan diamalkan. Ia harus tahu untuk membezakan antara yang betul dengan yang salah. Apa yang membuat suatu universiti itu Islamik? Dalam keadaan perkataan Islamik banyak disalahgunakan antaranya ketika melakukan keganasan hal ini harus diperjelaskan. Harus kembali kepada asas-asas Islam seperti dinyatakan dalam hadis dan Al Quran.



Sampai giliran Osman sudah hampir jam 1 iaitu waktu acara dijadualkan tamat. Beliau membentang dalam keadaan masa semakin terhad. Osman membuka dengan menyatakan apa yang mahu dibincangkan ini adalah isu abadi (perennial issue) yang sentiasa terbit kerana bersifat dinamik menurut perubahan zaman. Beliau melihat ini sebagai isu epistemologi (melibatkan teori ilmu) melebihi isu-isu lain seperti kewangan juga polisi kerajaan pada suatu masa.

Satu perkara pokok dinyatakan beliau adalah universiti asalnya timbul sebagai pengembangan fungsi masjid pada zaman dahulukala. Ini merujuk pada perkembangan ilmu yang mana masjid menjadi tempat halaqah atau majlis-majlis ilmu lalu ini dikembangkan sehingga muncul universiti-universiti Islam dahulukala. Kata Osman keadaan ini harus diulangi kembali dalam universiti-universiti Islam sekarang. Ini ada tergambar dalam reka bentuk kampus utama UIAM di Gombak, Kuala Lumpur.

Banyak lagi perkara telah diperkatakan oleh beliau juga oleh para panelis lain. Tetapi cukuplah perkongsian daripada saya. Untuk maklumat lanjut sila ikuti rakaman majlis di sini.


Wednesday, June 23, 2021

Pernyataan dan penyelesaian permasalahan dalam sejarah Malaysia

Salam petang Rabu 12 Zulkaedah 1442 Hijriah. Sudah lebih sebulan saya tidak menulis di blogspot iaitu selepas mempersembahkan artikel ke-2,181, Melihat kembali semua perjalanan lama dan kepentingan buat diri juga orang lain pada 22 Mei. Memang asalnya fikir saya hendak menyepikan diri daripada membuat apa-apa penulisan buat beberapa lama, kecuali untuk penulisan tesis sahaja. Tetapi inipun tidak adil bagi diri saya. Sesungguhnya saya menulis bukan kerana nama tetapi kerana luahan rasa dan terapi jiwa, satu perkara yang amat diperlukan sebenarnya untuk memastikan kelancaran penulisan tesis yang asyik tersangkut sejaa beberapa lama.

Memandangkan ada beberapa Webinar mahu disertai bermula esok saya fikir bolehlah mula menulis kembali di blogspot selepas itu. Namun lewat malam tadi baru dapat tahu ada Webinar menarik pagi ini lalu saya pun sertai. Maka bolehlah menulis tentangnya hari ini.



Ini adalah poster Webinar berkenaan. Membincangkan perkara adalah orang yang amat saya hormati dalam dunia pengkajian sejarah tanah air iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali. Sudah lama kami tidak berjumpa. Untuk makluman beliau bertanggungjawab melancarkan buku ke-11 dan ke-12 saya pada penghujung April tahun 2018. Lihat Pelancaran rasmi buku berkembar Nabi Adam dan Benua Tua Melayu di kedai buku Khazanah Fathaniyah

Rasanya sudah 10 tahun kami saling mengenali terutama melalui majlis-majlis ilmu di tempat beliau pernah mengajar iaitu di Universiti Malaya. Sejak majlis pelancaran tersebut ada sekali dua bertemu di UM tahun 2019. Selepas itu tidak bertemu sehingga sekarang apa lagi musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) akibat penularan virus Covid-19...



Adapun sejak setahun kebelakangan ini terasa malas untuk mengikuti mana-mana majlis ilmu kecuali yang melibatkan guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Tetapi apabila terlihat nama Abdullah sebagai pembentang dan lagi sudah lama kami tidak berhubung terus terasa mahu mengikuti. Cuma platform yang digunakan iaitu Cisco-Webex tidak pernah dipakai sebelum ini. Saya biasa mengikut Webinar melalui Zoom kalau ada niat mahu berinteraksi dalam majlis. Kalau setakat mahu menonton cukup dengan Youtube atau FB Live.



Maka saya mengambil sedikit masa untuk membetulkan settings, antara supaya dapat dengar audio atau suara daripada majlis. Ada dekat 10 minit juga tak dapat dengar suara. Bila dapat, sudah selesai sesi pengenalan lalu masuk syarahan oleh Abdullah.



Pada mulanya saya fikir mahu mendengar tanpa menaip nota. Tetapi setelah beberapa lama terasa harus juga menaip kerana takut tak ingat memandangkan syarahan memakan masa 2 jam. Adapun saya sudah membuat keputusan tidak akan lagi memaksa diri untuk berkongsi panjang lebar tentang apa-apa Webinar kerana ini memenatkan dan memakan masa. Cukuplah dikongsi secara ringkas apa yang dapat. 

Abdullah menyebut baru dihubungi beberapa hari lalu oleh penganjur majlis iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS) agar memberikan syarahan lalu diminta memberikan tajuk. Selepas beberapa lama beliau pun memilih "Pernyataan dan Penyelesaian Permasalahan Dalam Sejarah Malaysia". Diberitahu ini adalah berdasarkan penulisan tesis yang mana ada harus ada pernyataan permasalahan (dalam bahasa Inggeris disebut Problem Statement) sebagai awal perkara. Ini pun boleh dipanjangkan menjadi tesis yang membawa pada penyelesaian masalah,

Dibangkitkan persoalan misalnya ada yang berkata sejarah Sabah sebelum tahun 1963 tidak boleh dimasukkan ke dalam sejarah Malaysia kerana Sabah tiada dalam Malaysia sebelum tahun tersebut. Tapi ada yang kata patut masuk lalu memberikan alasan mereka. Ada pula melihat sejarah Sabah daripada sudut imperialism (merujuk pada pengembangan kuasa imperialis iaitu atas nama kerajaan dan raja British), ada melihat daripada colonialism (kolonialisma atau penjajahan yang tak semestinya dilakukan oleh kerajaan tetapi boleh dilakukan oleh syarikat bukan kerajaan), ada pula mercentalism (daripada sudut pedagang - perdagangan). Setiap satu sudut pandang menerbitkan persoalan tersendiri.

Satu lagi contoh adalah ada yang mengatakan penglibatan British di Tanah Melayu bermula pada tahun 1874 (melalui Perjanjian Pangkor), ada kata sebelum itu. Semua yang disebut ini boleh menjadi pernyataan masalah lalu boleh dikaji untuk mencari penyelesaian. Abdullah pun menegaskan diri sebagai seorang conversative historian iait seorang yang mengkaji sejarah berdasarkan turut peristiwa atau kronologi. Ini ditegaskan sebagai lawan pada satu aliran baru yang disebut sebagai thematic iaitu berdasarkan tema (lalu kajian dikembangkan untuk menyokong suatu tema tanpa perlu sangat melihat pada kronologi).

Disebut bahawa sebagai pelajar sejarah kena kaji dahulu apa yang pernah ditulis tentang suatu perkara (literature review), kemudian kaji sumber primer seperti perjanjian dan surat menyurat asal yang boleh ditemui di Arkib Negara. Berbalik pada hal apakah British terlibat di Tanah Melayu bermula pada 1874 atau sebelum itu lagi. Disebutlah nama Francis Light sebagai sebenarnya menduduki Pulau Pinang tahun 1786 secara haram, Ini kerana tidak memenuhi syarat yang diminta oleh Sultan Kedah - kalau musuh datang dari laut akan dihadang oleh kompeni (merujuk pada Syarikat British Hindia Timur yang menjadi sandaran Light) dengan belanja kompeni. Kalau datang dari darat kompeni harus membantu, kali ini dengan belanja Kedah

Kedua-duanya tidak dipenuhi Francis Light  atas alasan menunggu bantuan dari Calcutta (pusat pemerintahan rasmi kerajaan British di sebelah sini). Sedangkan Calcutta tidak mahu membantu dan tidak ada peruntukan untuk penglibatan sebegitu. Pun begitu, walaupun benar pendudukan  Light duduk di Pulau Pinang tidak sah, British adalah kuasa paling besar zaman itu. Walaupun pendudukan bukan atas nama kerajaan British ia tetap melibatkan seorang warga British.

Seterusnya disebut tentang penglibatan Stamford Raffles di Singapura bermula tahun 1819. Pada tahun 1824 pulau itu diduduki melalui perjanjian dengan Belanda. Ertinya sebelum 1874 jelas British sudah terlibat dalam pentadbiran Tanah Melayu atau Negeri-negeri Melayu.

Disebut pula tentang pembentukan Negeri-negeri Selat pada tahun 1826, kedatangan James Brooke ke Sarawak 1839 kemudian tahun 1841 baru masuk campur tangan, Disebut juga tentang kewujudan fail berwarna merah jambu (pink file) di arkib negeri Sabah menyatakan tentang perkara-perkara yang tidak memuaskan hati tentang kompeni di Sabah. Di arkib negeri Sarawak ada perjanjian dalam tulisan Jawi asli antara Pengeran Muda Hashim dengan James Brooke yang memberikan kebenaran Brooke mentadbir Sarawak (di Divisyen 1 sekitar Kuching sahaja asalnya). Tetapi dengan kepandaian politiknya dapat mengembangkan kuasa sehingga meliputi Sarawak yang dikenali sekarang.

Disebut tentang hal negeri Melayu yang didakwa setengah pihak tidak pernah dijajah,  cuma dinaungi atau dilindungi. Benar, tidak ada dalam mana-manan perjanjian menyatakan British menjajah. Tetapi apabila melihat pada keadaan sebenar bagaimana raja-raja Melayu harus menurut 'nasihat' British itu adalah keadaan orang dan negeri yang dijajah. Dan lagi jelas bahawa semua proses dalam menuntut kemerdekaan seperti dibuat oleh Tunku Abdul Rahman memakai perkataan merdeka atau independence. Dilaungkan di hadapan ribuan saksi perkataan merdeka setelah memperolehinya pada 31 Ogos 1957. Merdeka daripada itu kalau bukan penjajahan? Cukuplah perkongsian daripada saya ya.